ENJIN CARIAN BAHAN

Jumaat, 29 Ogos 2008

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE 51

Alhamdulilah, siang tadi pihak sekolah melaksanakan program Sambutan Kemerdekaan peringkat sekolah. Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin, dan kemudiannya bacaan tahlil dan doa. Selepas itu pembacaan perutusan dan nyanyian lagu patriotik.

Sungguh syahdu rasanya bila selesai bacaan Yassin, tahlil dan doa. Pada saya inilah sebenarnya cara kesyukuran sambutan merdeka yang sepatutnya. Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah. Kita merdekakan jiwa kita dari dijajah oleh nafsu durjana. Kerana nafsulah, Melaka jatuh ke tangan Portugis, kita bersengketa dan porak peranda. Kerana nafsulah kita melakukan kejahatan, melanggar undang-undang Tuhan dan negara, termasuk peraturan sekolah. Dengan muhasabah diri kira masing-masing, barulah kita sedar banyaknya salah dan dosa kita.

Kepada para pelajar, jauhilah budaya hedonisme, iaitu budaya menghambakan diri dengan muzik dengan melampau. Ini adalah agenda Yahudi dan penjajah barat yang jahat. Dalam bulan Kemerdekaan, bukan pesta muzik petanda kita sayangi negara kita. Itu bohong namanya. Sayangilah negara kita dengan menjadikan diri kita satu unsur yang dapat menyumbang ke arah kebaikan untuk negara. Ikutlah posisi kita masing-masing. Sebagai pelajar, jalankan tugas kamu sebagai pelajar dengan baik.

Semoga negara kita dilindungi Allah selamanya.

Khamis, 28 Ogos 2008

FOKUS STPM 2008 - SUMBANGAN AHLI FALSAFAH -TEMA 6 (TAMADUN DUNIA)

Senaraikan sumbangan ahli falsafah Yunani dan China kepada peradaban dunia.

Pendahuluan

- Usaha untuk meningkatkan keilmuan manusia telah diteruskan oleh para cerdik pandai sejak zaman silam lagi. Satu daripada aspek ilmu ialah dalam bidang falsafah.

- Menambah pengetahuan dan kepandaian dalam pelbagai perkara dan aspek kehidupan merupakan suatu proses yang diberi keutamaan oleh sarjana-sarjana Yunani dan China.

- Kemunculan ilmu falsafah di Yunani adalah berkait rapat dengan sistem politik negara kota Athens yang mengamalkan sistem demokrasi yang banyak memberi kebebasan kepada golongan intelek sehingga lahirnya ramai ahli falsafah yang berpendapat bahawa pemimpin politik dan sosial mesti terdiri daripada golongan ahli falsafah.

- Manakala perkembangan falsafah Tamadun China pula, wujud beberapa pemikir falsafah yang menekankan hal ehwal manusia dan hubungan manusia dalam masyarakat.

- Antara ahli-ahli falsafah yang terkenal dalam Tamadun Yunani ialah Socrates, Plato dan Aristotle manakala aliran pemikiran utama China ialah Confucianisme, Taoisme dan Legalisme.

Isi Jawapan

A). Sumbangan Ahli Falsafah Yunani

1. Socrates

- Beliau dianggap sebagai bapa falsafah dan demokrasi Yunani.

- Socrates menggunakan kaedah bertanya untuk mencari jawapan, pengetahuan dan kebenaran. Segala perkara yang berlaku dalam alam ini harus dibuktikan. Kaedah ini menggalakkan orang ramai menggunakan akal.

- Persoalan yang dibangkitkan oleh Socrates menyentuh kehidupan manusia dan menanamkan nilai individualisme di jiwa rakyat Athens.

- Beliau mengajar manusia berkelakuan dan berakhlak baik serta berfikir dengan bijak.

- Beliau dihukum mati kerana dituduh menafikan dewa dewi dan merosakkan pemikiran golongan muda yang menggunakan kaedahnya iaitu menyampaikan pengetahuan melalui cara menyoal untuk mendapatkan kebenaran.

2. Plato

- Plato adalah anak murid Socrates.

- Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah yang bernama Akademi di Athens di mana sekolah itu telah melahirkan ramai ahli falsafah.

- Menurut beliau, sesuatu kerajaan dan juga kehidupan manusia haruslah berpandukan kepada prinsip-prinsip kebaikan, kemuliaan, keadilan dan kasih sayang. Beliau juga menegaskaan bahawa hak yang sama harus diberikan kepada golongan wanita.

- Plato dalam bukunya ‘ Republik ’ menerangkan tentang struktur kerajaan yang paling baik kepada rakyat dan menekankan bahawa kerajaan yang ideal adalah kerajaan yang dipimpin oleh ahli falsafah.

- Selain itu, pemerintah harus memberi pendidikan kepada setiap warganegara supaya manusia boleh mempunyai hidup yang baik, sempurna, berbudi dan berdisiplin.

3. Aristotle

- Aristotle adalah pengikut Plato yang terkenal dan dikenali sebagai bapa logik.

- Menurutnya, ilmu pengetahuan dan penyelesaian masalah haruslah diperolehi melalui proses pemerhatian, pengumpulan, penyusunan fakta serta fikiran yang yang teratur, tepat atau berdasarkan hubungan sebab dan akibat.

- Beliau merupakan orang yang pertama memperkenalkan kaedah saintifik dalam mencari kebenaran.

- Idea dan falsafah Aristotle terkandung dalam bukunya yang berjudul ‘ Ethics ’ dan ‘ Politic ’ .

- Dalam bukunya Politic, Aristotle menyarankan supaya manusia harus mengamalkan sifat sederhana dalam kehidupan.

- Menurut Aristotle, kerajaan bercorak demokrasi adalah sistem yang zalim dan menindas kerana mengabaikan perbezaan antara manusia. Bagi beliau, kerajaan yang baik adalah politi di mana pemerintahannya dijalankan oleh orang ramai yang meliputi ciri-ciri terbaik pemerintahan monarki dan oligarki.

- Beliau menubuhkan sebuah sekolah bernama Lyceum untuk mengembangkan falsafah dan kajian sainsnya.

B). Sumbangan Ahli Falsafah China

1. Mencius

- Falsafah tamadun awal China dipengaruhi oleh perubahan musim. Menurut Mencius, seorang ahli falsafah China, semua benda di dunia termasuk ilmu terbahagi kepada dua kategori umum iaitu Yin dan Yang.

- Yin dan Yang melambangkan keharmonian dan saling bertindak di antara unsur-unsur yang bertentangan seperti kegelapan dan kecerahan, kelembapan dan kepanasan, langit dan bumi serta lelaki dan perempuan. Kesinambungan di antara kedua-dua unsur ini telah mempengaruhi kehidupan masyarakat China.

2. Confucianisme

- Falsafah China juga tertumpu kepada manusia dan hubungannya dengan orang lain dan di dalam masyarakat. Ahli-ahli falsafah China seperti Confucius juga berusaha untuk memperkukuhkan semula feudalisme di China untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian. Ia tidak menekankan manusia sebagai individu yang bebas.

- Confucianisme yang berasaskan kepada ajaran Confucius, wujud pada zaman Dinasti Chou yang mengalami keruntuhan akhlak akibat keruntuhan sistem feudal dan peperangan. Menurut Confucius, manusia tidak hidup berseorangan atau terasing daripada masyarakat. Oleh itu, manusia diajar bagaimana mereka harus bertindak dalam masyarakat mengikut suatu upacara adat istiadat.

- Ajaran Confucius memberikan penekanan tentang harga diri dan kemanusiaan. Penekanan diberikan kepada prinsip amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati. Kerajaan yang aman dan makmur dapat diwujudkan sekiranya pemerintah menunjukkan budi pekerti yang baik untuk dicontohi oleh rakyat.

- Pedoman untuk hubungan dalam masyarakat dibahagikan kepada lima bentuk iaitu hubungan pemerintah dengan rakyat, ibubapa dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan. Sekiranya wujud hubungan hormat-menghormati, kesopanan, kesusilaan dan bertanggungjawab, maka akan wujud keamanan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

- Ajaran-ajaran Confucius boleh diperolehi daripada dua buku iaitu Klasik Confucius dan Analekta.

3. Taoisme

- Taoisme berasaskan kepada ajaran Lao Tze dan Chuang Tzu. Ajaran falsafah mereka terkandung dalam dua buah buku mereka iaitu Tao Te Ching dan Chuang Tzu. Ajaran ini ialah reaksi terhadap ajaran Confucius yang menekankan kepatuhan kepada peraturan sosial.

- Ajaran Tao ini menekankan keharmonian manusia dengan alam semesta. Tao adalah suatu cara atau jalan untuk mencapai keharmonian itu. Menurut ajaran Tao, manusia tidak harus mementingkan keduniaan dan mencari kebahagiaan dengan mengasingkan diri daripada peraturan duniawi. Manusia harus hidup sederhana serta melakukan meditasi dan hidup berharmoni dengan peraturan alam semesta.

- Taoisme menegaskan bahawa kerajaan yang paling berkesan adalah kerajaan yang paling sedikit memerintah dengan undang-undang dan peraturan yang sedikit serta mudah difahami oleh rakyat. Penekanan kepada alam telah menggalakkan pengikut Taoisme menerokai sains dan teknologi. Pengaruh Taoisme juga terdapat dalam bidang kesusasteraan dan kesenian masyarakat China.

4. Legalisme

- Legalisme merupakan satu lagi falsafah yang penting di China. Ia mengajukan kepentingan penekanan undang-undang untuk mewujudkan kecekapan dalam kerajaan dan ketertiban dalam masyarakat.

- Pemikir unggul Legalis adalah Han Fei yang menulis Han-fei-tzu yang merupakan falsafah legalis yang komprehensif. Pengikut Legalisme tidak percaya tentang kasih sayang dan belas kasihan. Kuasa harus dikekalkan dan dipelihara dalam apa jua keadaan.

- Menurut Han Fei, nilai-nilai yang dicadangkan oleh Confucius adalah hipokratik dan hanya digunakan untuk kepentingan sendiri.

- Falsafah ini digunakan oleh Maharaja Shih Huang Ti untuk memerintah dan mengekalkan kuasanya setelah beliau berjaya menyatukan Negeri China.

Kesimpulan ( 2 markah )

- Pelbagai jenis falsafah yang muncul di Yunani dan Negeri China muncul akibat keadaan politik dan sosial yang wujud pada zaman itu yang memerlukan pendapat dan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah pada zaman itu. Sumbangan ahli-ahli falsafah di Yunani dan China juga adalah relevan untuk kehidupan pada masa kini.

- Apa sahaja kesimpulan yang sesuai.

Rabu, 27 Ogos 2008

Berikan 110% Komitmen

Peperiksaan Percubaan STPM 2008 akan bermula pada 8 September. Ini bermakna STPM 2008 juga semakin hampir. Bagaimana pencapaian anda setakat ini ?

Apa jua pencapaian yang hebat akan disambut dengan berbagai-bagai masalah dan halangan disepanjang jalan. Lagi hebat matlamat anda, maka, lagi hebat masalah dan halangan yang perlu ditempuh.

At wits end

Pastikan anda komited kepada matlamat anda dengan memberi sepenuh tenaga dan perhatian untuk terus mencapainya walaupun pelbagai masalah dan halangan akan mengundang. Jangan sesekali putus asa. Matlamat anda adalah skor A bagi Sejarah ! Betul ?

Thinking

Sebarang kegagalan yang anda temui merupakan pengalaman belajar. Jika anda baca kisah-kisah mereka yang berjaya, pasti anda akan temui kisah kegagalan. Seseorang itu tidak akan berjaya sekiranya tidak menemui sebarang halangan.

Crying

Pengasas syarikat komputer gergasi IBM pernah ditanya “Bagai manakah untuk mencapai kejayaan dengan pantas?”. Jawabnya, “Dua kali gandakan kegagalan anda dan anda pasti menjumpai kejayaan dengan pantas!”

Fokus STPM 2008 - Organisasi Ketenteraan -Tema 3 ( Tamadun Dunia )

Bincangkan organisasi ketenteraan tamadun Mesopotamia dan India.

Pengenalan

Organisasi ketenteraan merujuk kepada jenis-jenis tentera yang mengetuai sesuatu peperangan iaitu tentera berjalan kaki, berkuda, berkereta dua roda dan semua organisasi ketenteraan lain.
Kemajuan tamadun awal seperti Mesopotamia dan India telah menubuhkan organisasi ketenteraan mereka sendiri dalam mengukuhkan ketahanan dan pertahanan sesebuah negara
Terdapat perbezaan dalam organisasi tamadun di Mesopotamia dan India seperti aspek peralatan, pentadbiran, strategi dan taktik.

Isi Penting

1.Jenis-Jenis Tentera

A) Mesopotamia


Pasukan tentera infantri dan berkereta kuda yang berdisiplin.
Dibantu oleh sejumlah besar eren atau tentera yang dikerah oleh raja.
Zaman Tiglathpileser III, tenteranya dibahagikan kepada dua jenis iaitu;
Infantri ringan – pemanah dan skingers dan Infantri berat-tentera lancers
Pasukan tentera yang hebat, cekap dan profesional.

B) India

Terdapat empat ketegori tentera yang utama iaitu

a) Tentera bergajah
b) Tentera berkuda
c) Tentera berkereta kuda
d) Tentera Infantri

Terdapat juga kategori tentera lain iaitu;
a) Tentera laut
b) Tentera pengintip
c) Anggota kumpulan perintis
d) Komisariat ( pegawai pelabuhan)

Pemerintahan Moghul tentera India dibahagikan kepada empat divisyen iaitu artileri, infantri, kalvari dan tentera laut.

Arthasastra menyebutkan bahawa tentera India terdiri daripada 45 kereta kuda,45 tentera bergajah dan 225 tentera berkuda.

2.Pentadbiran Tentera atau Logistik

A) Mesopotamia

Tentera Assyria mahir dalam pembinaan terowong, merobohkan kubu dan tembok pertahanan.
Tentera Assyria merupakan masyarakat militer pertama di dunia yang mengasaskan organisasi ketenteraan yang paling cekap dan paling awal menggunakan besi dan gangsa bagi membuat senjata, kereta kuda dan armor.

B) India

Kapal laut digunakan oleh tentera India untuk mengangkut tentera di sepanjang sungai utama di India.
Terdapat ahli perubatan yang memberikan bantuan kepada tentera yang tercedera dalam peperangan.

3.Komposisi tentera

A) Mesopotamia


Zaman Sargon bilangan tentera diraja sebanyak 5400 orang. Gabenor wilayah mempunyai bilangan tenteranya sendiri.
Zaman Tiglathpileser III seramai 500,000 tentera Ashunasirpal yang terlibat termasuk tentera negeri naungan dalam perang Qargar.

B) India

Menurut Arthasastra satu unit tentera mempunyai;
a) 45 gajah
b) 225 kuda
c) 675 tentera
d) 45 kereta kuda

Chandragupta Maurya dikatakan mempunyai 600 000 tentera.

Raja Chola telah menawan jajahan takluknya dengan menggunakan 900 000 tentera.

4.Strategi Peperangan

A) Mesopotamia.

1. Kekuatan tentera Assyria bergantung kepada kecekapan menggunakan senjata.
2. Mereka mempunyai askar-askar yang mahir dalam perancangan strategi seperti merobohkan kubu-kubu, tembok pertahanan dan membina terowong.
3. Apabila menawan sesebuah bandar, harta benda dirampas, penduduk ditawan dan dibunuh. Bandar dibakar.

B) India

1. Tentera mahir Membina kubu pertahanan
2. Pembinaan kubu-kubu yang klasik didapati di Kansubi dan Susulpalgarta di Drissa.
3. Contoh tembok yang panjang dibina di kota Rajagraha ibu kota Magadha untuk menghalang musuh.

5.Taktik Peperangan

A) Mesopotamia

1. Memperkenalkan kereta kuda secara meluas.
2. Kereta kuda digunakan dalam kempen peperangan di kawasan gunung.
3. Tentera berkuda dilengkapi dengan busur dan tentera berjalan kaki handal dalam memanah.

B) India

1. Tentera Infantri – bersenapang dan mahir gunakan pedang.
2. Gajah digunakan sebagai kereta perisai.
3. Gajah digunakan untuk memecah barisan hadapan, benteng pertahanan dan mengangkut senjata seperti lembing dan busur.
4. Contoh: Barbar gunakan senjata api dalam peperangan Panipat dan Khanwa serta penggunaan Mortar.

6.Gaji Tentera

A) Mesopotamia

1. Mengikut kod Hammurabi tentera tidak dibayar gaji.
2. Tentera akan diberi tanah yang tidak boleh dipindah milik, ternakan dan harta rampasan perang.

B) India

1. Tentera diberi harta rampasan perang zaman Moghul tentera diberi gaji tetap dari perbendaharaan diraja.

7.Alat kelengkapan

A) Mesopotamia

1. Penggunaan lembing dan anak panah dalam peperangan.
2. Perisai tidak digunakan untuk melindungi diri

B) India

1. Meriam, kayu pelontar, lembing, busur dan pedang digunakan dalam peperangan.

8. Peranan wanita

A) Mesopotamia

Wanita dihantar ke medan perang untuk membantu menyediakan makanan.

B) India

Wanita berkhidmat dalam menyedia dan membekal makanan kepada tentera.


Kesimpulan

Organisasi ketenteraan yang lengkap dan sistematik amat penting dalam sesebuah kerajaan bagi memperoleh kejayaan dalam sesuatu misi peperangan.
Mereka telah mengamalkan organisasi ketenteraan yang berbeza namun segalanya dilihat sebagai persiapan yang kukuh dan rapi bagi memastikan kejayaan mereka.
Pembahagian-pembahagian yang dilakukan serta kelengkapan teknologi peperangan jelas menunjukkan mereka semakin berkembang dari segi kemahiran dan kecekapan menghadapi musuh.

Selasa, 26 Ogos 2008

HADIAH HARI JADI 24 OGOS

Saya nak ucap terima kasih kepada Fadz ( 6 Atas Maliki ) sebab memberikan hadiah sempena hari jadi saya pada 24 Ogos lepas. Tak sangka pulak saya diberi hadiah hari jadi. Suatu penghargaan pada saya. Tambahan pulak saya ni cikgu yang agak tegas ( tapi tah , kadang-kadang tak juga ). Cikgu disiplin, nak buat macam mana.

Sekali lagi, terima kasih kerana pemberian hadiah tu. Bukan harga jadi nilaian tapi keikhlasan. Namun begitu, hadiah yang paling istimewa yang dinantikan adalah hadiah yang saya minta masa hari guru dulu. Masih ingat ? Taburkan untuk saya A sebanyak mungkin untuk subjek Sejarah, khususnya Sejarah 1 ! Boleh ? Ada berani ?

Insyaallah, saya akan terus bantu kamu dan kawan-kawan yang lain. Cuma dengarlah nasihat saya yang ikhlas tu. Sebab pengalaman mengajar senior-senior kamu dulu, kadang-kadang memeritkan hati dan perasaan saya. Isu yang selalu saya mainkan seperti cinta monyet, buang masa, tak serius dalam pelajaran, dan malas membaca adalah merupakan antara penghalang utama sasaran lepas. Baikilah kelemahn ini.

Nasihat saya, selalulah online blog saya untuk ambil info terkini yang saya 'update' kan. Walaupun ada yang merungut, tapi kamu semua kena terima kaedah belajar ICT. Ubahlah minda walaupun kamu semua budak kampung. Jangan cari alasan tapi usahalah melepasi halangan yang kamu hadapi.

Ingat blog ini saya buat khusus untuk kamu, wahai pelajar-pelajar SMK DARY ! Jangan sia-siakan.

Saya cikgu Sejarah 1 kamu yang selalu mendoakan kejayaan kamu semua.
Dengarlah nasihat saya....

Isnin, 25 Ogos 2008

Fokus STPM 2008 - Sistem Ketenteraan - Tema 3(Tamadun Dunia)

Bandingkan sistem ketenteraan Islam dengan sistem ketenteraan Rom.

Pengenalan


a. Tamadun Islam muncul pada abad ke 6M-mempunyai system pertahanan dan barisan ketenteraannya yang tersendiri akibat daripada suasana persekitaran yang memerlukan umat Islam mempertahankan diri.
b. Mula berkembang sewaktu pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, Bani Umaiyah dan Bani Abasiyah
c. Kerajaan Rom wujud pada 21 April 753 SM –mempunyai sistem pertahanan dan ketenteraan sendiri untuk memperluaskan kuasa empayar selain mempertahankan Negara daripada ancaman luar

Isi

1. Matlamat ketenteraan

Islam:

a. Menegakkan agama Allah, menjaga kehormatan dan maruah umat Islam, kehormatan Negara Islam
b. Setiap individu bertanggungjawab mempertahankan agamanya daripada diancam dan dihina oleh orang lain
c. Peperangan sebagai jalan kepada niat untuk menegakkan kesucian Islam- tapi tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya
d. Hanya dihalalkan apabila umat Islam diperangi atau maruah Islam dihina

Rom:

a. Untuk memperluaskan kuasa dari segi politik dan ekonomi
b. Berjaya memperluaskan pengaruh politik ke benua Eropah, Asia & Afrika serta
wilayah-wilayah di Laut Mediterranean
c. Dapat menguasai seluruh perdagangan
d. Mendatangkan keuntungan besar kepada Rom

2. Dasar dalam peperangan

Islam

a. Peperangan hanya kepada golongan yang terlibat dan berada di medan perang dan hanya melibatkan golongan lelaki
b. Golongan wanita , kanak-kanak dan orang tua dianggap tidak layak untuk berperang dan dibunuh
c. Harta benda juga tidak dimusnahkan dan hanya harta perang sahaja yang diambil Contoh: peralatan perang, bekalan makanan yang dibawa dan juga kenderaan tunggangan

Rom

a. Dalam peperangan nyawa tidak mempunyai nilai begitu juga dengan harta benda
b. Sewaktu perang berlaku kemusnahan harta benda dan kematian manusia tanpa mengira usia dan jantina

3. Organisasi ketenteraan

Islam

a. Organisasi telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad. Baginda sendiri bertindak
sebagai panglima perang dalam beberapa siri peperangan
b. Pasukan tentera yang berbeza fungsinya seperti pasukan pemanah, pasukan berkuda dll
c. Dalam pasukan perang terdapat orang-orang tertentu yang menjadi peninjau, utusan perang dan pemegang panji-panji(bendera)
d. Sewaktu zaman Khulafa al-Rasyidin- ada jawatan ketua turus, timbalan, komander, qaid, dan leftenan
e. Nabi Muhammad sendiri telah menjadi ketua perang dan telah mengetuai lebih daripada 20 peperangan

Rom

a. Ada organisasi tentera yang tersusun- terdapat perkembangan tentera yang besar dan juga bersistematik
b. Terdiri daripada – 2 kategori besar- legionaries dan auxiliaries
c. Legionaries – diambil dikalangan warganegara dan dan rakyat wilayah jajahan yang diberi kerakyatan melalui pendaftaran
d. Auxiliaries – diambil daripada bukan warganegara dan akan diberi taraf kewarganegaraan selepas 25 tahun
e. Ada tentera infantri (pejalan kaki) dengan jumlah yang besar
f. Contoh: pada abad ke 4M kekuatan satu legion askar adalah antara 4000 hingga 6000 orang dan dibahagikan kepada 10 kohort.
g. Ketua digelar Legatus diikuti kolonel, Tribuni dan barisan penunggang kuda
h. Hanya mereka yang dipilih sahaja boleh menjadi tentera Legion dan menerima gaji
yang lebih tinggi

4. Taktik peperangan

Islam

a. Menggunakan taktik dan strategi yang berbeza mengikut kesesuaian dalam perang dan jumlah tentera. Contoh: taktik menunggu musuh dan taktik al-Saf(barisan) yang digunakan dalam perang Badar kerana jumlah tentera Islam adalah sangat sedikit berbanding pihak musuh – taktik ini sangat sesuai kerana tentera Islam beroleh kemenangan walaupun menentang pihak musuh yang ramai
b. Dalam perang Khandak, tentera Islam di Madinah menggunakan teknik menggali parit dan bertahan, taktik mengepung dan serangan bertubi-tubi dalam perang Taif
c. Taktik tidak mengejar musuh yang telah lari

Rom

a. Menggunakan kekejaman mengikut cara orang Monggol ( membunuh dengan kejam)
b. Tujuan: untuk menanamkan sifat bimbang dan menimbulkan perasaan gerun di kalangan musuh serta melemahkan kekuatan mental musuhnya
c. Contoh: sewaktu menyerang New Carthage panglima Rom, Acipio Atrimus telah mengarahkan tentera-tenteranya membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui dan tidak membenarkan sesiapa pun hidup.

5. Peralatan peperangan

Islam

a. Menggunakan senjata seperti pedang, tombak dan panah, manjaniq dan dababah pada zaman Nabi Muhammad
b. Menggunakan kenderaan-kenderaan seperti kuda, unta dan keldai
c. Pada zaman Khalifah Umar dan Uthman – menggunakan kapal untuk melalui jalan laut (berperang di laut)

Rom

a. Kekuatan tentera dikatakan berkaitan dengan kecanggihan peralatan yang digunakan
b. Peralatan tentera dipinjam daripada musuh-musuh yang dikalahkan; Contoh : baju besi & helmet besi daripada orang Etruscan, dan lembing daripada orang Semites.
c. Menggunakan kenderaan seperti kuda, kereta berkuda

Kesimpulan

Peperangan dalam Islam adalah untuk mempertahankan diri, negara dan agama daripada diceroboh dan kebanyakannya adalah untuk bertahan bukan untuk menyerang. Manakala ketahanan dan pertahanan Rom adalah lebih bertujuan untuk meluaskan kuasa dan pengaruh yang menekankan kepada kepentingan keduniaan semata-mata.

Ahad, 24 Ogos 2008

MU'AWIYAH BIN ABU SUFYAN

Mu'awiyah bin Abu Sufyan (602-680) ialah pengasas Kerajaan Bani Ummaiyyah. Dia menentang pemerintahan khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Ali Abi Talib (menantu dan sepupu Nabi Muhammad s.a.w.).

Beliau menawan Mesir dan menjadi Gabenor Syria dan Mesir sehinggalah peristiwa pembunuhan Saidina Ali pada tahun 661. Beliau memerintah dari tahun 661 masihi sehingga tahun 680 masihi. Beliau juga dikenali sebagai Mu'awiyah I.

BACA SELANJUTNYA : KLIK LINK

___________________________________________________________________________

PEMURNIAN SEJARAH AWAL ISLAM :

SAYYIDINA MU’AWIYAH: KHALIFAH RASHID YANG TERANIAYA

Mu’awaiyah digambarkan sebagai seorang pemutar belit, ahli politik yang licik, pemberontak dan pengasas sistem beraja dalam Islam. Suatu gambaran buruk yang jarang dilabelkan kepada seorang Islam biasa apatah lagi kepada seorang sahabat r.a.

Sumbangan beliau dalam menyatupadukan ummah, meluaskan syiar Islam merentasi lautan, dan tugasnya sebagai jurutulis wahyu tidak pernah diingati.


BACA SELANJUTNYA : KLIK LINK

Sabtu, 23 Ogos 2008

MERDEKA 2008

Apa yang tersirat dalam iklan merdeka petronas 2008 ?

Cuba fikir-fikirkan.Idea

Sila tonton iklan Merdeka 2008.Flag

FOKUS STPM 2008 - TEMA 2 - EMPAYAR (TAMADUN DUNIA)

Bincangkan cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan pemerintahan empayar di Alam Melayu.

Pengenalan

1. Pemerintahan bermaksud satu badan atau organisasi yang dianggotai sebilangan individu yang dilantik atau dipilih mengikut prosedur perundangan bagi menjawat jawatan tertentu untuk mentadbir dan menguruskan sesebuah negara.

2. Maksud empayar - Jelaskan empayar di Alam Melayu.

Cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan

1. Kekuatan Ketenteraan

Mempunyai bilangan tentera yang ramai merupakan satu kelebihan kepada sesebuah empayar.

Berjaya menguasai negeri-negeri yang kecil dan meluaskan empayar dengan meluas.

Melaka-mempunyai tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera.

Majapahit-mempunyai tentera yang ramai terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Daha, Wengker, Matahun, Lasem,Pajang dan Kabalan.

Srivijaya-mempunyai 20,000 tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Kedah Tua, dan negeri-negeri sekitar Segenting Kera.

2. Agama

Pemerintah menggunakan ajaran-ajaran agama untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka.

Pemerintah menjadi penaung kepada ajaran agama yang disebarkan di empayar masing-masing.

Pemerintah mengaitkan konsep pemerintahan dengan konsep ketuhanan.

Melaka- pemerintah mengaitkan jurai keturunan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain dan Nabi-Nabi. Raja juga dianggap sebagai bayangan tuhan.

Majapahit-menggunakan undang-undang agama hindu dan kitab-kitab agama untuk mengaitkan mereka dengan dewa-dewa agama hindu.

Srivijaya- Raja-raja menggunakan kekayaan yang diperoleh untuk membiayai pengajian agama, membina kuil dan yayasan agama. 'Tuhan Vatakturah' memainkan peranan untuk memastikan taat setia rakyat kepada raja.

3. Pentadbiran yang teratur

Sistem pentadbiran yang tersusun dan teratur memastikan pemerintah dapat menjalankan pemerintahan yang aman.

Pentadbiran yang teratur memastikan empayar dapat berkembang dengan meluas.

Melaka- Sultan dibantu oleh jemaah penasihat(Majlis Tertinggi) yang dianggotai oleh golongan bangsawan.Empat pembesar iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Syahbandar.

Majapahit-Kitab Negarakertagama mengandungi maklumat yang menunjukkan Majapahit mempunyai sistem pentadbiran yang teratur.

Srivijaya-Inkripsi Telaga Batu menunjukkan Srivijaya mempunyai pentadbiran yang lengkap.

4. Konsep Daulat dan Kesaktian

Raja dipercayai mempunyai daulat dan kesaktian. Konsep ini dikukuhkan melalui mitos tentang asal usul, jurai keturunan, serta kebolehan fizikal dan kerohaniannya.

Rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia kepada raja dan sesiapa yang menentangnya akan dianggap penderhaka.

Penderhaka akan ditimpa mudarat atau tulah dalam bentuk sumpahan atau balasan fizikal.

Melaka-raja-raja digambarkan mempunyai daulat yang menyebabkan berlaku kesan fizikal kepada penderhaka.

Majapahit- raja-raja dianggap penjelmaan sebagai Dewa Shiva dan Vishnu.

Srivijaya-raja dianggap sebagai penjelmaan dewa Amoghapasha Avalokitesvara.

5. Peraturan-peraturan khusus

Kedudukan dan kebesaran seorang raja dikukuhkan melalui cara-cara berikut.

Warna, rumah,penggunaan nobat diraja, penggunaan bahasa istana serta alat-alat kebesaran seperti ketur, kendi,kipas dan cogan.

Melaka- pengunaan kata-kata seperti patik, beta dan lain. Warna kuning hanya untuk raja.

Majapahit-raja-raja diagungkan melalui syair-syair yang dihasilkan oleh Sri Mudali dan Sudahrma.

Srivijaya-raja digambarkan jelmaan dewa-dewa

Kesimpulan

Kejayaan pemerintah di Melaka, Majapahit dan Srivijaya mengekalkan pengaruh dan kekuasaan menyebabkan empayar jajahan yang dikuasai begitu meluas. Hal ini menyebabkan keagungan dan kegemilangan empayar-empayar berkekalan untuk satu tempoh yang agak lama.

Jumaat, 22 Ogos 2008

SOALAN RAMALAN 2008

Set soalan ramalan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2008 telah pun berada di pasaran. Penerbit-penerbit buku mula mempromosikan buku keluaran mereka seperti Penerbitan Adabi.

Adakah soalan ramalan membantu ? Ada guru yang menyarankan jangan percaya soalan ramalan. Tetapi pada saya, soalan ramalan boleh digunakan untuk persediaan STPM. Cuma, jangan bergantung 100 % dengan bahan tersebut. Namanya pun ramalan, belum tentu tepat. Namun saya percaya, soalan ramalan dikeluarkan dengan analisa tertentu walaupun ada unsur untuk mendapatkan keuntungan kerana itu adalah bisnes.

Oleh yang demikian, gunakan soalan ramalan sebagai salah satu daripada usaha anda dengan bijaksana. Bukan hanya menunggu dan membaca soalan ramalan semata-mata ! Itu menempah 'maut' namanya. Usaha mesti bersepadu dan berterusan.

Selamat berusaha.

Khamis, 21 Ogos 2008

PERLEMBAGAAN / PIAGAM / SAHIFAH MADINAH - TEMA 2 (TAMADUN ISLAM)


PERLEMBAGAAN MADINAH

Pengenalan


Perlembagaan Madinah juga dikenali sebagai Sahifah Madinah. Ia adalah perjanjian politik yang dibuat di antara Nabi dengan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuklah orang Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Ia dirangka oleh Nabi dengan petunjuk wahyu. Ia mengandungi 10 bab yang terdiri daripada 47 fasal. 23 daripada fasal tersebut adalah mengenai orang-orang Islam dan 24 lagi mengenai orang-orang Yahudi. Perlembagaan Madinah dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Sebab-sebab Penggubalan

Penduduk Madinah merupakan satu kelompok masyarakat majmuk dengan nilai-nilai yang tersendiri. Di antara mereka sering berlaku pertelingkahan, khususnya antara Aus dan Khazraj, antara Arab dan Yahudi serta antara Yahudi dan Yahudi.

Nabi sedar kehormatan dan keamanan tidak akan terjamin jika tiada persefahaman dan kesetiaan dari setiap golongan yang menduduki Madinah.

Nabi juga sedar bahawa orang-orang Yahudi akan melakukan penghinaan terhadap orang-orang Islam dan pada masa yang sama, orang Musyirikin Mekah pula berusaha untuk memusnahkan orang Islam. Dengan adanya perlembagaan ini, mudah bagi Nabi untuk bertindak sekiranya berlaku pengkhianatan oleh orang Yahudi.

Permusuhan antara Aus dan Khazraj merupakan masalah besar sekiranya ia tidak diselesaikan terlebih dahulu. Maka, cita-cita Nabi untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang kukuh tidak akan tercapai. Melalui perlembagaan ini, kedua-dua puak tersebut telah berjaya disatukan oleh Nabi dan mereka kemudiannya digelar orang Ansar.

Kandungan Perlembagaan

Wahyu adalah undang-undang tertinggi bagi negara Islam Madinah.
Nabi Muhammad diakui sebagai ketua negara yang mesti dipatuhi dan dihormati.
Tidak boleh bermusuhan di antara sesama Islam dan tidak boleh membantu orang bukan Islam membunuh orang Islam. Orang-orang Islam mestilah menganggap orang Islam yang lain sebagai saudara meraka.
Kebebasan beragama diberi kepada orang bukan Islam. Orang Yahudi boleh meneruskan amalan agama dan adat resam mereka. Mereka akan menerima layanan yang saksama tetapi mereka bertanggungjawab ke atas keselamatan Madinah.
Keadilan adalah diberi kepada semua pihak. Dalam sesetengah kes, ketua suku diberi hak untuk menyelesaikan masalah suku mereka. Tetapi beberapa kes jenayah perlu dirujuk kepada Nabi.
Semua penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa adalah bertanggungjawab mempertahankan Madinah walaupun ia diancam oleh kaum sendiri.

Kepentingan Perlembagaan Madinah

Perlembagaan ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama dan politik. Dengan adanya perlembagaan ini dan tertubuhnya negara Islam Madinah, maka lengkaplah Islam sebagai ad-Din. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Nabi bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul, tetapi seorang pemimpin yang unggul. Negara Islam yang ditegakkan oleh Nabi merupakan negara contoh dan usaha ini kemudiannya diperkukuhkan oleh sahabat Nabi sehingga Madinah muncul sebagai kuasa terulung di dunia.

Perlembagaan ini telah berjaya menyatukan Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kam. Ia telah mengatur hubungan antara mereka supaya mereka hidup dalam keadaan hormat-menghormati dan bertanggungjawab. Oleh itu, mereka dapat hidup dalam suasana aman dan semua gejala buruk dapat dihapuskan.

Melalui perlembagaan ini, setiap pengkhianatan akan menerima hukuman yang setimpal tanpa mengira kaum. Dengan hal ini, Nabi adalah orang yang berhak menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan. Beliau adalah hakim yang baik dan adil. Dengan keadilan ini, semua pihak akan berpuas hati dan keadaan aman di Madinah dapat dikekalkan.

Perlembagaan ini juga menyelesaikan krisis kepimpinan yang wujud di Madinah sejak sekian lama. Melalui perlembagaan ini, Nabi telah diterima sebagai pemimpin bagi negara Islam. Kesemua masyarakat Madinah termasuk Yahudi yang terdiri daripada pelbagai puak suku bersetuju dengan perlantikan tersebut.

Perlembagaan Madinah juga menjamin keselamatan Masinah. Ia dengan jelas menyebutkan bahawa semua penduduk Madinah bertanggungjawab untuk mempertahankan keamanan dan melindungi Madinah dari serangan musuh. Secara tidak langsung, ia akan melahirkan semangat bersatu-padu, tolong-menolong serta sayangkan Madinah.

Dengan adanya perlembagaan ini, aktiviti penyebaran Islam dapat dijalankan dengan berkesan. Suasana aman dan harmoni di Madinah membolehkan Nabi dan sahabat menumpu dalam usaha-usaha dakwah. Peluang ini digunakan untuk menghantar utusan ke luar, termasuklah menemui pemerintah Rom dan Parsi.

Perlembagaan ini tidak menetapkan konsep persamaan antara semua orang sama ada orang perseorangan atau berkumpulan. Tidak ada perbezaan antara pemerintah dengan yang diperintah. Dengan ini, penindasan dapat dielakkan.

Kebebasan dan hak asasi individu adalah terjamin. Hal ini bermakna tidak ada sesiapa yang boleh dihina atau ditindas. Keadaan ini akan mewujudkan suasana yang aman dan harmoni di Madinah.
Bacaan Tambahan : Klik Link

Rabu, 20 Ogos 2008

KERANA SIFAT "JAHILIAH" GADIS MELAMPAU MENERIMA PADAH.....

Menurut majalah MANAR ISLAM, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.

Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya. 'Wahai orang muda! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki....'nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertepatan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. 'Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?'

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat. 'Ambil hanphone aku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku,' katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis itu. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang sangat buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam. Ada yang menggelengkan kepala kehairanan. Semua yang ada di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda itu yang tidak menghormati hukum-hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri... Tiba-tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis.

Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba-tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan.

Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslimah sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya denganmempersendakan atau ejekan.

Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam. Ingatlah , kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh.

Janganlah menjadi orang yang bodoh. Siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin. Apabila kita enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah kita tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan kita tertakluk dengan undang-undang yang di buat oleh majikan kita, dan di dalam negara, kita tertakluk di bawah undang-undang negara .

Begitu taksub sekali kita terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin, takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila kita berpijak di bumi ini, kita juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini. Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini.

Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita.

(Dipetik dari majalah Iskandariah Mesir - Majalah Manar Islam)

Fokus STPM 2008 - Peranan Asoka -Tema 2 (Tamadun Dunia)

Bincangkan peranan Asoka sebagai pemerintah empayar Dinasti Maurya di India.

Pengenalan:

· Empayar pertama di India yang diasaskan oleh Chandra Gupta Maurya kira-kira 321 SM dengan menjadikan Pataliputra sebagai pusat pemerintahannya.
· Kemasyhuran empayar ini terserlah semasa Asoka menaiki takhta pada 273 SM dengan gelaran Devanampiya Plyadasi yang menggantikan bapanya, Bindusara.
· Banyak sumbangannya terutama dalam perluasan kuasa, keagamaan Buddha dan pembaharuan sistem sosial.


Isi-isi:

1. Melancarkan Perang Kalinga.

· Berlaku perebutan kuasa selepas kematian ayahnya dengan membunuh 98 orang anggota keluarganya
· Melancarkan serangan terhadap negeri Kalinga pada tahun 292 M yang mengorbankan 100 ribu orang.
· Perang Kalinga banyak memberikan kesedaran yang mendalam dalam jiwanya kerana banyak nyawa tidak berdosa terkorban, keganasan , kekejaman dan merugikan rakyat.
· Asoka insaf dan berubah serta memeluk agama Buddha.

2. Menyebar dan membudayakan agama Buddha

· Mengadakan siri lawatan ke seluruh negara.
· Melawat tempat-tempat suci dan mengadakan perbincangan.
· Melantik pegawai khas Dharma Mahamatra untuk menyebarkan Dharma.
· Mengadakan majlis agama Buddha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat.
· Menghantar misi-misi keagamaan ke negara-negara luar.
· Mengukir doktrin-doktrin Buddha di atas batu, tiang-tiang, dan gua-gua.
· Mempraktikkan ajaran Buddha dalam kehidupan; tidak lagi makan daging dan
menghentikan amalan berburu.

3. Membuat perubahan dalam aspek pentadbiran

· Memelihara kebajikan material dan moral rakyat.
· Mengutamakan keselamatan rakyat, negara, harta benda, iaitu kemakmuran rakyat.
· Segala perancangan Asoka dalam penyebaran Buddha menyebabkan berlaku Buddhisme
di dunia.
· Beliau berjaya mengekalkan keamanan dan kemakmuran di seluruh empayarnya.

4. Membuat perubahan dalam aspek Sosial

· Menjaga kepentingan rakyatnya seperti membina hospital.
· Membina kemudahan awam seperti rumah rehat, menanam pokok di sepanjang jalan, mencantikkan bandar, dan lain-lain.
· Usaha ini mencerminkan cara hidup Buddha yang suka mengembara dalam mencari kebenaran.
· Mempunyai sifat toleransi terhadap penganut agama lain seperti menghulurkan bantuan kepada Brahmin dan penganut agama lain.


5. Peluasan kuasa

· Menghentikan dasar perluasan kuasa seperti bapa dan datuknya.
· Mengamalkan dasar perluasan kuasa melalui Dharma (Buddha).
· Menghantar misi-misi keagamaan ke negara-negara luar.
· Menghantar mubaligh-mubaligh Buddha ke Sri Lanka, Asia Barat, Mesir, Eropah Timur, Tibet, dan lain-lain.
· Antara mubaligh yang diutus ialah anaknya, Mahendra dan Sanghamitra yang dihantar ke Sri Lanka.
· Menjalinkan hubungan erat dengan empayar besar sezaman dengannya seperti Yunani, China, Parsi, dan Rom.
· Menjalinkan hubungan dengan negara jiran seperti Chola, Pandya, Satiyaputra, Keralaputra, dan Tambapamni.
· Hasil hubungan membuka ruang ekonomi dan menggalakkan banyak peniaga datang ke negerinya.
· Perkongsian media banyak mempercepat kemajuan bangsa masing-masing, terutama Empayar Maurya.

6. Pembinaan Empayar

· Empayarnya meliputi seluruh bahagian India termasuk Afghanistan dan Baluchistan kecuali India Selatan.
· Asoka berjaya membentuk satu unit pentadbiran yang kukuh.


Kesimpulan:

· Asoka meninggal dunia pada 232 S.M. Pemerintahan Asoka diteruskan oleh tujuh orang raja yang tidak cekap kerana wujudnya pemberontakan dalaman oleh kerajaan-kerajaan kecil seperti Andhra yang telah membebaskan Deccan. Demertius pula berjaya merampas sebahagian besar wilayah Maurya.
· Terdapat penentangan daripada golongan Brahmin yang tidak puas hati dengan undang-undang pengharaman makan daging binatang. Empayar Maurya mengalami keruntuhan pada 190 S.M. Pemerintahan terakhir, Brihadratha dibunuh oleh golongan Brahmin dan digantikan oleh Empayar Gupta.

Selasa, 19 Ogos 2008

Guru, pelajar jangan terbabit dalam pilihan raya

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom hari ini mengingatkan guru dan murid jangan terbabit dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Dalam kenyataannya di sini, beliau berkata Sub Peraturan 21(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)(Pindaan) 2002, mereka dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik, serta tidak boleh membuat sebarang penyata awam yang berat sebelah atas apa-apa isu antara parti politik.

Mereka juga dilarang menerbit dan mengedar buku atau risalah parti politik, terbabit dalam merayu undi dan menjadi ejen pilihan raya bagi mana-mana parti politik.

Katanya murid sekolah turut dilarang terbabit dalam proses itu seperti yang tertakluk dalam Sub Peraturan 7(1), Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, Ordinan Pelajaran 1957.

Sementara itu, mengenai isu seorang guru Sekolah Menengah (SM) Telok Panglima Garang yang dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pelajarnya, Alimuddin berkata, guru berkenaan akan dipindahkan ke sekolah lain dalam masa terdekat.

Katanya kes yang berlaku pada 18 Julai itu juga dianggap telah selesai selepas Jawatankuasa Tatatertib Jabatan Pelajaran Selangor menjalankan siasatan ke atas kes itu. — Bernama

SKANDAL SEKS PEMIMPIN ??????????

Fikir sejenak tentang tamadun manusia sekarang ..........apa sudah jadi dengan politik Malaysia ? Skandal melibatkan seks menjadi antara percaturan penting untuk menjatuhkan lawan masing-masing, tak kira dari pihak pemerintah atau pembangkang. Saya fikir ramai yang pening kepala dan keliru dengan hal ini.

Bagi saya, anda semua perlu ambil tahu senario politik yang berlaku dalam negara kita. Bukan soal minat politik atau tidak, tetapi sebagai warganegara Malaysia kita perlu peka hal sebegini supaya dapat membuat pertimbangan masing-masing.

Memang bagi pelajar Tingkatan 6, anda belum layak berpolitik. Cuma bagi saya anda perlu ada ilmu tentang keadaan semasa supaya tidak hanya dengar cakap orang, atau lebih teruk lagi diperkudakan orang. Lagipun dalam masa beberapa tahun akan datang, anda telah layak mengundi.

Sayangilah negara kita.............

Berita tentang politik Malaysia di Indonesia..........

SOLAT HAJAT UNTUK HAJAT...

Cita-cita dan harapan merupakan fitrah manusia dalam memenuhi hasrat kehidupan. Ketika keinginan terhadap sesuatu dapat memenuhi keperluan hati, maka senyuman kedamaian menghiasi jiwa dan raga. Seandainya kegagalan merambah cita-cita, maka bagaikan kabus tebal menyelubungi seluruh cakerawala minda yang menjanjikan kemurungan dan kehampaan.

Solat Hajat dikerjakan ketika menyatakan keinginan, kehendak atau keperluan kepada Allah. Sesiapa yang merasa terdesak dalam suatu urusan mahupun merasa perlu dalam kemaslahatan dunia atau agamanya, maka hanya dengan menyerahkan segalanya kepada Ilahi akan membuahkan nikmat terhadap segala yang dihajati.

Semoga info ini dapat memberikan panduan bagi pelajar dan guru Muslim dalam mencapai hajatnya dengan cara mendekatkan diri kepada Ilahi, Insya Allah.

Target "A" mesti diselaraskan dengan usaha kuat dan doa kepada Allah s.w.t. Amin.

TEKAD....... ( HAZAMI )


Tekad

Perjalanan kehidupan
Di kiri kanan Dugaan Cabaran
Keseorangan menempuh ujian
Meneruskan perjuangan

( korus )

Takdir Maha Esa
Restu ayah bonda
Mencapai cita-cita
Usah putus asa
Kelak kau berjaya
Membela nasibmu

Masamu kan tiba
Keimanan keyakinan
Sinar cahaya penunjuk haluan
Walaupun payah kau harus tabah
Demi mencapai segala impian

( ulang korus )

Jika satu ketika
Langkah tidak terdaya
Berkat doa usaha
Tuhan Maha Esa

Menggapai cita-cita
( ulang korus )

DUA CARA MENGEJAR CITA-CITA.....

Terdapat dua cara sahaja dalam mengejar cita-cita. Cara berjalan & cara berlari…

1) BERJALAN...…

Sekiranya anda taking your own sweet time. Anda berusaha pada kadar yang perlahan, sedikit demi sedikit. Hari ini mungkin bersemangat… esok lusa kurang semangat. Setiap pagi bangun tidur, anda rasa it will be the same day as yesterday. Untuk menyiap kan sesuatu kerja, ia mengambil masa yang lama. Semangat anda adalah rendah walaupun sememangnya mempunyai matlamat dan cita-cita. Dalam mencapai sesuatu yang membanggakan, ia mengambil anda berminggu-minggu atau berbulan-bulan walaupun anda merasa diri anda cukup bermotivasi. Anda sering rasakan kejayaan adalah jauh lagi…

Berjalan mengejar cita-cita mengurangkan momentum anda. Ia juga mengambil masa yang amat lama dan kadangkala, ia membosankan apabila tiada apa yang tercapai dalam masa terdekat…


2) BERLARI!!!!!

Sekiranya anda bersemangat setiap hari. Bangun pagi dan rasa teruja bahawa hari ini anda akan mencapai matlamat anda tetapkan pada hari ini! Setiap masa adalah amat berharga dan anda menyiapkan segala kerja anda dengan pantas dan cekap! Anda mempunyai semangat dan momentum yang tinggi. Selang beberapa hari, anda mencapai sesuatu yang membanggakan diri anda sendiri… Anda rasa puas dan ketagih dengan kejayaan dan setiap jam sentiasa membuat anda lakukan sesuatu kearah mencapai cita-cita anda!

Berlari mengejar cita-cita akan meninggalkan orang lain jauh ke belakang!

Berjalan adalah mudah dan dilakukan oleh semua orang. Berlari adalah lebih sukar dan memenatkan- oleh itu, ramai tidak melakukannya cuma apabila terpaksa!

Pilihannya adalah pilihan anda! Fikir-fikirkan...

MALAS....MUSUH NO. 1

Malas… bagaimana hendak membanterasnya? Untuk mengetahui cara membenteras penyakit malas, kita perlu faham, dari mana datangnya sifat “malas” ini.

Malas berpunca dari kita terlalu selesa dengan keadaan semasa kita (zon selesa/comfort zone). Untuk keluar dari zon selesa kita, kita akan rasa berat dan susah. Ini adalah normal bagi semua orang- setiap kali kita nak keluar dari zon selesa kita, secara psikologi akan menarikkan kita kembali ke zon selesa.

Berita baiknya adalah, zon selesa manusia berubah-ubah. Apa yang anda perlu lakukan adalah keluar dari zon selesa tersebut secara sedikit-demi sedikit dan pegang pada keadaan semasa yang baru. Lama kelamaan, zon selesa anda akan diubah mengikut keadaan semasa anda.

Sebagai contoh, sekiranya anda rajin membaca buku 30 minit sehari sahaja. Lebih dari itu, terasa malas (luar dari zon selesa anda). Anda perlu paksa diri anda keluar dari zon selesa itu secara perlahan… mungkin baca selama 45 minit. Sehingga suatu masa nanti, zon selesa anda akan berada pada tahap 45 minit. Apabila ingin membaca lebih dari itu, terasa malas (luar dari zon selesa baru). Apa yang anda perlu lakukan adalah ulangi langkah tersebut sehingga anda mencipta zon selesa baru.

Untuk membanteras sikap malas, anda perlu fahami “zon selesa” anda. Semua orang mempunyai zon selesa tersendiri dan ianya boleh diperbaiki. Fikirkan !

Isnin, 18 Ogos 2008

SENI UKIR ISLAM - TEMA 8 (TAMADUN ISLAM)

Zaman keemasan kesenian Islam bermula pada 750 apabila seni tembikar, kaca, seni logam, tekstil, manuskrip berhias dan pertukangan kayu berkembang maju. Sepuh berkilat merupakan sumbangan Islam yang terunggul kepada seni tembikar. Manuskrip berhias menjadi suatu seni yang penting dan amat dihormati dan lukisan potret kenik berkembang maju di Parsi. Secara umumnya para ulama membahagikan seni rupa kepada dua iaitu seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan seni rupa yang yang tidak mempunyai imej dan bentuk. Seni rupa yang mempunyai bentuk ialah apa yang diperbuat daripada tembaga, batu, besi dan sebagainya. Manakala seni rupa yang tidak mempunyai imej dan bentuk pula sesuatu yang dilukis diatas kertas, dinding-dinding, lantai-lantai,bantal-bantal dan sebagainya.

Seni ukir Islam terdiri dari pelbagai cabang seperti seni bina, seni khat dan seni lukis. Seni ukir berkembang seiring dengan seni-seni yang lain sehingga kini. Ada pendapat mengatakan seni khat dan seni ukir tidak berbeza kerana kemasyuran seni khat atau kaligrafi juga merupakan hasil kemajuan seni ukirnya. Perkembangan seni ukirnya berjalan seiring dengan perkembangan seni-seni lain terutama seni bina Islam. Ini kerana bangunan dan binaan-binaan tersebut biasanya dihiasi dengan ukiran yang bertujuan untuk mengindahkan dan menampakkan keunggulan.


BACA SELANJUTNYA : SILA KLIK

KERAJAAN BANI UMAIYYAH TAHAP 2 DI ANDALUSIA

1.0 PENUBUHAN DAN PEMBINAAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH

Terdapat empat orang ‘Amir yang memerintah kerajaan Bani Umaiyyah iaitu:
Abdul Rahman I al-Dakhil ( 756M – 788M)
Hisham I ( 788M – 796M)
Al-Hakam I ( 796M – 822M)
Abdul Rahman II ( 822M – 852M)
Keempat-empat ‘Amir ini bertanggungjawab menubuh dan membina asas-asas penting kerajaan Bani Umaiyyah. Mereka ini merupakan pemimpin-pemimpin yang berkaliber khususnya Abdul Rahman I dan Abdul Rahman II.

1.1 Sejarah penubuhan Kerajaan Bani Umaiyyah

Kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik telah jatuh pada tahun 750M. Abdul Rahman al-Dakhil dan kaum keluarga Bani Umaiyyah ditangkap, disiksa dan dibunuh oleh pemerintah Abasiyyah yang baru[1]. Beliau dan khadamnya, Badr, berjaya melarikan diri dari cengkaman kejam pemerintah yang baru. Mereka berdua telah melarikan diri ke Palestin, kemudian ke Mesir dan seterusnya ke kawasan pantai Maghribi pada 755M. Sesampainya di sana, mereka telah menetap bersama keluarga berbangsa Badar. Pada awal cadangannya, mereka ingin ke Sepanyol untuk mencari pengaruh dan lari dari ancaman yang mereka hadapi. Oleh itu beliau mengutus khadamnya, Badr, ke Sepanyol untuk mendapatkan sokongan. Badr telah berjumpa dengan ketua kumpulan tentera Syria ( Syamiyyin ) dan Badr berjaya meyakinkan pemimpin-pemimpin tentera tersebut. Mereka bersedia menyambut kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil. Badr dan wakil dari Sepanyol iaitu Abdul Ghalib Tamman pulang ke Maghribi untuk memberitahu Abdul Rahman al-Dakhil. Selepas itu mereka berangkat ke Sepanyol pada bulan September 755M. Pada bulan Mei 756M, Abdul Rahman al-Dakhil dan tentera Syria bertempur dengan tentera suku Qais yang memerintah pada masa itu. Mereka berjaya menewaskan tentera Qais. Selepas itu Andalusia jatuh ke tangan Abdul Rahman al-Dakhil dan diisytiharkan menjadi Amir di Andalus.

Kerajaan Bani Umaiyyah memerintah sendiri dan bebas dari kuasa luar kerana dahulunya kerajaan Islam di Andalus diletakkan di bawah kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik yang mewakilkan kepada gabenornya di Afrika Utara untuk melantik pemimpin atau gabenor di Andalus[2]. Akan tetapi setelah berlaku perubahan itu, maka kerajaan Bani Umaiyyah di Andalus berada di bawah pimpinan seorang Amir yang akan mencari identitinya sendiri.

1.2 Sistem Pentadbiran

Kerajaan Bani Umaiyyah diperintah mengikut system autokrasi iaitu pemerintah mempunyai kuasa penuh[3]. Amir ini bertindak sebagai ketua tentera dan kehakiman. Sejak institusi Khalifah ditubuhkan pada tahun 929M, kuasa dan imej pemerintah lebih ditonjolkan. Di bawah Amir terdapat seorang Perdana Menteri ( Hajib ) sama fungsinya dengan wazir di kawasan di kawasan timur Empayar Islam. Bawah Hajib pula terdapat menteri-menteri yang tugasnya mengendalikan kerja-kerja pentadbiran yang berpusat di Istana Cordova. Di bawah menteri terdapat gabenor ( wali ) yang bertugas sebagai pentadbir wilayah ( kura ). Orang bukan Islam mempunyai kuasa autonomi di mana mereka mempunyai ketua sendiri tetapi mereka terpaksa membayar jizyah ( cukai perlindungan ) dan setelah itu diserahkan kepada kerajaan. Mereka juga mempunyai mahkamah dan hakim mereka sendiri. Ulama pula menjadi penasihat kepada Khalifah yang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Amir, khususnya dalam bidang agama. Oleh itu system pemerintahan Bani Umaiyyah adalah berlandaskan undang-undang Syariah.

1.3 Ketenteraan

Kerajaan Bani Umaiyyah mempunyai barisan tentera yang kuat iaitu sebanyak tiga markas di utara, tengah dan selatan. Al-Hakami ( 796M- 822M ) telah membentuk satu pasukan tentera upahan ( murtaziqah ) yang kuat gabungan tentera Saqalibah ( Slavs ), Frank dan lain-lain ( termasuklah Negro dan Barbar )[4]. Kerajaan ini juga mempunyai tentera sukarelawan yang berperang untuk menegakkan agama Islam. Selain itu terdapat golongan yang ketiga iaitu tentera biasa yang dianggotai oleh semua kaum.

2.0 MASALAH YANG DIHADAPI DAN JALAN PENYELESAIANNYA

Sebaik sahaja Muawiyah dilantik manjadi Khalifah pada 41 H/661 M oleh hampir seluruh umat Islam, pelbagai masalah timbul dan terpaksa dihadapi oleh beliau. Di ketika itu perang saudara baru sahaja berakhir iaitu perang Jamal dan perang Siffin. Kesan daripada perang ini, umat Islam telah berpecah kepada beberapa puak. Di antara puak-puak ini, puak Syiah adalah yang paling berbahaya kerana mereka mempunyai penyokong yang ramai di Iraq dan Madinah [5]. Di samping itu terdapat juga tokoh-tokoh lain yang berpengaruh daripada keturunan Quraisy seperti Abdullah bin al-Zubair dan al-Husain bin Ali. Satu lagi puak yang merbahaya adalah puak Khawarij yang sudah menunjukkan penentangan terhadap Muawiyah dalam perang Siffin.
Matlamat politik yang sangat kompleks dan berbeza-beza merupakan penghalang kepada satu jalan penyelesaian yang menyeluruh. Berdasarkan pengalaman para khalifah yang terdahulu ianya adalah terbukti benar. Sungguhpun begitu, ia bukanlah penghalang untuk Muawiyah menyelesaikan masalah tersebut. Dengan kesabaran dan kepintaran yang dimiliki oleh beliau, segala masalah tersebut dapat diselesaikan.

Muawiyah telah mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dan usaha damai secara meluas bagi mencapai satu kata sepakat menerusi kompromi tanpa menunjukkan kuasanya sebagai pemerintah. Langkah bijak Muawiyah ialah dengan menunjukkan penghormatan terhadap tokoh-tokoh Quraisy dan tokoh-tokoh lain yang sudah berpengaruh dengan mengekalkan atau mengimbangkan kuasa-kuasa mereka yang sedia ada tanpa menunjukkan permusuhan terhadap mereka. Setiap rancangan kerajaan akan dilaksanakan hanya jika terdapat tentangan atau bantahan.

Langkah beliau yang seterusnya adalah dengan menjauhkan diri daripada kumpulan pemberontak Quraisy di bawah pimpinan Abdullah bin al-Zubair. Hasil daripada tindakan ini beliau telah berjaya melaksanakan rancangannya untuk mendamaikan masyarakat dan sekaligus mengukuhkan lagi pemerintahan Bani Umaiyyah. Seterusnya Muawiyah terpaksa memindahkan pusat pemerintahan Islam dari Madinah dan Kufah ke Damsyik. Perpindahan ini dianggap penting kerana terdapat sokongan yang kuat terhadap kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik[6]. Dengan ini pengawalan terhadap urusan pentadbiran pusat mudah dilakukan. Satu angkatan tentera juga telah ditubuhkan oleh Muawiyah yang dianggotai oleh penduduk Syam yang digelar jund. Mereka inilah yang memainkan peranan penting bagi mengawal keselamatan dan keamanan pemerintahan Bani Umaiyyah daripada sebarang ancaman dari dalam atau luar negara.

3.0 LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL UNTUK SELESAIKAN MASALAH PERKAUMAN.

Selepas zaman kebangkitan dan keunggulan yang dialami oleh Kerajaan Bani Umayyah di Andalusia pada tahun 912M - 976M. Berlakunya pelbagai masalah yang dialami oleh kerajaan Bani Umayyah. Antaranya adalah kerajaan Abbasiyyah yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan Bani Umayyah dan juga masalah perkauman di mana penganut-penganut agama Kristian cuba untuk menyelewengkan akidah orang-orang Islam di Andalusia.

Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil dan Amir-amir selepas beliau, bagi menyelesaikan masalah puak dan perkauman. Antara langkah-langkahnya adalah menubuhkan satu pasukan tentera yang bertaraf profesional [7]. Pasukan tentera ini kebanyakannya terdiri daripada kaum-kaum hamba yang diperoleh dari utara Pyrenees. Dengan cara ini, kedudukan beliau sebagai Amir adalah lebih selamat kerana tenteranya itu bukan dari rakyatnya. Namun begitu, perkara ini juga telah menimbulkan masalah yang serius kepada Amir mereka kelak.

Selain itu, Abdul Rahman al-Dakhil juga cuba untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama menerusi Islam. Ini adalah merupakan langkah jangka panjang yang tidak dapat dilihat kesannya dalam jangka masa yang singkat. Abdul Rahman al-Dakhil juga telah menjalankan dasar pemerintahan yang tegas dan mengambil tindakan serta-merta terhadap sesiapa yang cuba mengugat kestabilan negara [8]. Sebagai contoh yang jelas ialah dalam peristiwa tahun 797M di mana pada zaman Amir al-Hakam I apabila sekumpulan muwalladun yang cuba untuk menentang kerajaan telah dihukum bunuh di Istana Amir di Taledo dan mayat-mayat mereka telah dibuang ke dalam parit. Peristiwa ini dikenali sebagai “Hari Parit”.
Abdul Rahman al-Dakhil juga mendirikan markas-markas tentera yang kuat bagi tujuan mempertahankan negara dari serangan dalam dan luar negeri. Di Saragossa, dibina sebuah sebuah markas tentera bagi menyekat kemaraan tentera Kristian dari arah Pyrenees, terutama dari Perancis. Markas ini telah menjalankan fungsinya dengan berkesan ketika menewaskan tentera Charlemagne pada tahun 778M. Di bahagian tengah, markas tentera Islam berpusat di Taledo. Di bahagian selatan bertempat Merida. Kedua-dua markas tentera ini beroperasi bagi menyekat sebarang ancaman dari dalam dan juga luar negeri.

Mengadakan pembangunan dari segi fizikal dan intelektual serta meninggikan taraf ekonomi negara menerusi projek-projek pertanian dan perdagangan adalah salah satu daripada langkah-langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil. Abdul Rahman al-Dakhil misalnya telah mendirikan sebuah masjid besar di Cordova sebagai pusat ibadat dan ilmu pengetahuan agama. Di samping itu, Beliau juga membangunkan kota-kota besar dan mengindahkannya. Abdul Rahman al-Dakhil telah melakukan pelbagai kemudahan bagi kemudahan rakyatnya. Selepas itu, hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan ini kemudiannya diperluaskan oleh anaknya Hisyam, al-Hakam bin Hasyim dan Abdul Rahman II. Hisyam telah mengindahkan lagi Bandar Cordova dengan bangunan-bangunan yang besar, serta taman-taman yang indah. Di samping itu, beliau memperbaiki sistem perparitan dan tali air bagi memajukan pertanian.
Langkah yang seterusnya adalah dengan melantik pemimpin yang berkaliber. Abdul Rahman al-Dakhil telah melantik anaknya Hisyam sebagai penggantinya, walaupun Hisyam bukan anaknya yang paling tua, Hisyam terkenal sebagai pemimpin yang bijak dari segi siyasah dan peperangan[9]. Di samping itu, Hisyam juga terkenal sebagai seorang yang kuat berpegang kepada agama. Pada zaman beliau, penyebaran agama dan ilmu pengetahuan Islam tersebar dengan meluasnya. Beliau turut mengambil berat terhadap orang bukan Islam iaitu kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka ini dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan bebas turut serta dalam pentadbiran negara. Sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Hisyam ini dapat mengurangkan polarisasi kaum yang berbilang agama dan keturunan. Bagi menyatupadukan orang-orang Islam yang berbagai keturunan Hisyam mengamalkan lambang jihad dalam peperangan. Jihad ialah peperangan suci dengan nama Islam, tidak kira bangsa atau keturunan, bagi menentang orang-orang kafir.

Selain itu, Hisyam turut mengadakan beberapa ekspedisi ke bahagian utara Sepanyol. Pertama kali dilakukan pada tahun 793M pada zaman Hisyam bin Abdul Rahman al-Dakhil iaitu ke arah Narbonne. Kali kedua pula adalah pada tahun 841M iaitu pada zaman Abdul Rahman II (822M – 852M). Tujuan ekspedisi ini dilakukan ialah untuk mengukuhkan negara serta mempertahankan kedaulatannya dari diancam pihak musuh dari bahagian utara yang menganut agama Kristian. Walaupun kedua-dua ekspedisi ini dikatakan tidak banyak mencapai kejayaan, tetapi kedudukan pemerintahan Bani Umayyah di Sepanyol pada ketika itu sudah cukup kuat, khususnya selepas kenaikkan Abdul Rahman II pada tahun 822M. Pada waktu ini terdapat kerjasama yang erat antara orang Islam dan Kristian yang hidup di bawah naungan Kerajaan Bani Umayyah. Walaupun masih terdapat pemberontakan kecil yang dilakukan oleh individu tertentu, tetapi ini tidak sedikit pun menjejaskan pentadbiran kerajaan pusat di Cordova. Pemberontakan-pemberontakan itu dapat dipatahkan dengan mudah oleh tentera kerajaan, masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara aman damai ini sudah tentu memudahkan usaha Abdul Rahman II untuk meneruskan projek-projek pembangunan yang dimulakan sejak Abdul Rahman al-Dakhil dulu. Antara projek terbesar yang dilaksanakan oleh Abdul Rahman II ialah projek pembinaan menara-menara lampu di pelabuhan-pelabuhan untuk memudahkan kapal-kapal perdagangan datang berlabuh di pantai-pantai Andalus. Hasil daripada tindakan-tindakan yang progresif lagi adil ini menyebabkan orang-orang bukan Islam turut berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Dalam tempoh ini dan sebelumnya tidak ada satu pun pemberontakan yang bercorak agama terhadap kerajaan.

4.0 ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH DI DAMSYIK

Pada zaman kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah inilah telah berlaku pertukaran kuasa dari keluarga Muawiyyah kepada keluarga Marwan b. Hakam pada 683M(64H). Abdul malik ialah khalifah Bani Umaiyyah yang penting dan dianggap sebagai pengasas kedua Bani Umaiyyah . Pemberontakan dan kekacauan yang berlaku sebelum pemerintahan Abdul Malik hampir-hampir menghancurkan kerajaan Bani Umaiyyah tetapi dengan kebijaksanaan Abdul Malik semua musuhnya dapat dihapuskan dan keadaan politik kembali stabil, selepas itu Abdul Malik diganti oleh anaknya al-walid yang telah mengikut jejak langkah ayahnya bergerak memajukan negara dan mengembangkan jajahan takluk hingga ke negara-negara Asia, Afrika dan Eropah. Kekuasaan negara Islam di bawah Bani Umaiyyah amat cemerlang dalam tempoh pemerintahan khalifah-khalifah al-Walid b. Abdul Malik hingga kepada Umar b. Abdul Aziz.
Abdul Malik telah menyusun semula pentadbiran negara .

Sistem pemerintahan Rom dan Parsi yang masih kekal di beberapa wilayah telah dihapuskan dan diganti dengan sistem Arab. Gerakan melaksanakan pembukaan Islam adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan dari ancaman luar negeri . Khalifah al-Walid telah banyak melakukan kebajikan dan pembangunan dengan mendirikan hospital untuk orang-orang buta ,penyakit kusta , penyakit bodoh sejak dilahirkan dan lain-lain. Dari sudut keagamaan beliau telah membangunkan masjid dan sekolah-sekolah tinggi di serata wilayah. Dalam bidang pertanian dan perdagangan , beberapa buah terusan dibina dan pedagang Islam juga telah pun membuat perdagangan hingga ke negeri China. Begitu juga bidang pelajaran dan pendidikan di mana kesusasteraan dan kebudayaan telah mencapai kemajuan dalam zaman al-Walid ini [10].

5.0 ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH DI SEPANYOL

Zaman kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol bermula dari tahun 912M hingga ke tahun 976M iaitu kira-kira 64 tahun dan telah melibatkan dua orang Amir(khalifah) iaitu Abdul Rahman III Al-Nasir(912-961M) dan anaknya, al-Hakam II al-Mustansir(961-976M). Kerajaan Bani Umaiyyah mencapai kegemilangan dalam pelbagai aspek politik , ekonomi , sosial dan intelektual. Semasa pemerintahan Abdul Rahman III keadaan dan suasana negara agak tegang kerana pemberontakan dan penderhakaan berlaku . Tugas utama Abdul Rahman III selepas dilantik ialah mententeramkan keadaan negara bagi menyatupadukan semua masyrakat akibat daripada pemberontakan Ibn Hafsun [11]. Tahun-tahun berikutnya Abdul Rahman mengalihkan pandangannya kepada markas-markas tentera yang mengawal di kawasan yang menjadi rebutan di kawasan sempadan bagi tujuan meletakkan pengawalan sepenuhnya di bawah kerajaan pusat.

5.1 Tentangan Dari Raja Leon

Setelah memerintah dengan gagah selama kira-kira 27 tahun , tiba-tiba pada tahun 939M , Romiro II raja Leon bangun semula menentang Abdul Rahman III . Romiro II di bantu oleh rakannya , Theuda, puteri pemangku raja Navarre telah melancarkan serangan ke atas tentera Abdul Rahman III pimpinan Najdah di Simancas pada 5 Ogos 939M [12]. .Dalam pertempuran itu Najdah terbunuh. Namun begitu , selepas Romiro mati pada 950M telah berlaku perpecahan dikalangan pemimpin-pemimpin Kristian yang menyebabkan mereka lemah dan tidak berdaya lagi untuk menghadapi tentera Abdul Rahman III yang sudah dipulihkan berikutan kegagalan dalam peperangan di Simancas.

Kira-kira selama 27 tahun Abdul Rahman III menghadapi serangan dan peperangan di bumi Sepanyol bagi memulihkan semula kestabilan dan keamanan negara, dan tidak satu pun beliau mengalami kegagalan. Rahsia kejayaan Abdul Rahman III dalam bidang ketenteraan ialah bergantung pada kecekapan dan kelicinannya mengendalikan tenteranya [13]. Dari tahun 961 hingga akhir abad ke-10M kawasan takluk Islam di Sepanyol boleh dikatakan yang terluas yang pernah di capai oleh mana-mana pemimpin Islam di Sepanyol. Pada waktu itu seluruh Semenanjung Iberia terletak di bawah kerajaan Islam Sepanyol , termasuk kawasan barat laut di mana terletaknya kerajaan Kristian Leon.

5.2 Cabaran Dari Kerajaan Fatimiyyah

Setelah setelah musuh-musuh dari dalam dapat ditewaskan , maka lahir pula musuh dari luar yang cuba menggugat kedudukan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol iaitu kerajaan Fatimiyyah. Kerajaan Fatimiyyah diasaskan oleh ‘Ubaidullah al-Mahdi dari keturunan Muhammad b. Ismail b. Ja’far al-Sadiq yang mengamalkan ajaran syi’ah di Tunisia pada tahun 904M. Kewujudan kerajaan Syi’ah di Afrika Utara menjadi ancaman besar kepada krajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol yang mengamalkan ajaran Sunni. Kaum Syi’ah mengisytiharkan bahawa komuniti Islam harus diperintah oleh seorang pemimpin atau iman yang dilantik dari kalangan Imam Syi’ah (keluarga Nabi Muhammad s.a.w) dan pemimpin kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol bukan dari kalangan Imam Syi’ah dan harus disingkirkan.

Di Sepanyol ejen Syi’ah telah mempengaruhi puak-puak pemberontak , tidak terkecuali pemimpin-pemimpin kaum pemberontak yang terkenal seperti Ibn Hafsun yang memberi laluan kepada kerajaan Syi’ah di Tunisia untuk berkuasa di Sepanyol. Dengan sebab itu Abdul Rahman III cepat-cepat bertindak untuk memadamkan api pamberontakan yang sebahagiannya mempunyai unsur-unsur ajaran Syi’ah. Dalam pada itu beliau cuba mengapi-apikan pemberontakan terhadap kerajaan Fatimiyyah di Afrika Utara , supaya dengan itu kerajaan Syi’ah terpaksa menyelesaikan masalah mereka sendiri sebelum meluaskan kuasa ke Sepanyol.

Kelahiran kerajaan Fatimiyyah di Afrika Utara telah membawa perubahan kepada pemerintahan Bani Umaiyyah iaitu ke atas diri Abdul Rahman sendiri. Buat pertama kalinya beliau mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah atau Amir al-Mu’minin setelah memerintah dengan nama Amir selama kira-kira 17 tahun iaitu pada 317H(929M). Beliau adalah pemimpin pertama Islam di Andalus yang memakai gelaran ‘ khalifah’. Antara sebab-sebab penting ialah untuk mengikut jejak langkah pemimpin kerajaan Fatimiyyah yang menggelarkan diri mereka khalifah.. Sebab kedua ialah status dan dan kedudukan beliau akan menjadi lebih tinggi dan lebih dihormati . Untuk memperkukuhkan kedudukannya sama ada dari segi kebendaan dan kerohanian dengan mewujudkan gelaran baru sebagai tambahan kepada gelaran khalifah iaitu ‘al-Nasr li dinillah’ (pembela agama Allah). Ia diwujudkan bagi melengkapkan kuasa khalifah dalam bentuk duniawi dan ukhrawi. Ia juga bertujuan untuk menyekat pengaruh kerajaan Fatimiyyah yang mendakwa sebagai pemimpin masyarakat Islam di seluruh dunia. Beliau mahu kerajaan Fatimiyyah mengikhtiraf beliau sebagai khalifah kerajaan Islam di Sepanyol. Keadaan ini dirasakan beliau setelah beliau mencapai kejayaan besar di sana.
Abdul Rahman III adalah orang yang yang bertanggungjawab memulih serta memakmurkan bumi Islam di Sepanyol serta menjadi pembela maruah keturunan Bani Umaiyyah dan boleh dianggap sebagai pengasas kedua kerajaan Bani Umaiyyah Sepanyol selepas pengasas pertamanya iaitu Abdul Rahman al-Dakhil. Beliau meninggal dunia pada 16 Oktober 961 ketika berumur 71 tahun. Beliau meniggalkan jasa dan bakti yamg begitu besar terhadap pembangunan agama, masyarakat dan negara di Sepanyol.

Selepas kematian Abdul Rahman III, beliau digantikan oleh anaknya al-Hakam II al-Mustansirbillah. Beliau memerintah selama lebih kurang 15 tahun (961-976M). Beliau adalah seorang yang pemimpin yang sederhana kerana keadaan masyarakat dan negara sudah makmur dan stabil serta membangun dengan pesat membolehkan beliau malaksanakan tugasnya dengan mudah. Oleh itu beliau banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan. Tiada perubahan dalam dasar pemerintahan. Malah kedudukan pentadbiran awam dan ketenteraan juga kukuh. Beliau yang sangat berminat membaca dan menyelidik banyak mengumpulkan buku atau kitab sama ada dari Sepanyol atau luar Sepanyol dan dikumpulkan di perpustakaan di Cardova. Oleh kerana itu ramai yang datang mengunjungi Cardova termasuk para ulama’ bagi mendalami ilmu pengetahuan.

Al-hakam II meninggal dunia pada 22 Safar 366 (1 Oktober 976M) setelah memerintah selama kira-kira 15 tahun [14]. Selepas itu keadaan pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol terus maju dan makmur sehingga berlaku perubahan mengejut selepas tahun 1000M di mana kerajaan Bani Umaiyyah mengalami kelemahan dan kejatuhan. [15]

6.0 SUMBANGAN KERAJAAN BANI UMAIYAH

Selepas mengukuhkan kedudukannya di Andalusia, kerajaan Bani Umaiyyah telah berjaya memperlihatkan sumbangan peradabannya sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial dan lain–lain lagi. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuan atau sarjana dan sumbangan yang diberikan mereka secara tidak langsung ia mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Sebagai contoh Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd; masing–masing telah memperlihatkan zaman kegemilangan mereka walaupun selepas kerajaan Bani Umaiyyah, namun nama–nama ini telah menjadi suatu yang sinonim kepada para sarjana barat yang mengagung–agungkan ilmu yang mereka miliki.

Pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah, sistem ekonomi yang membangun dan sistematik telah pun diperkenalkan untuk memudahkan lagi rutin harian penduduk di kawasan itu. Selain itu, sistem ekonomi yang diwujudkan adalah lebih kepada kemudahan tanaman untuk diperdagangkan di negara–negara asing. Selain mendatangkan keuntungan ia juga telah menyebabkan berlakunya pengkhususan kerja bagi para penduduk setempat. Ini menyumbangkan peluang pekerjaan yang banyak dan secara tidak langsung kitaran ekonomi akan sentiasa berjalan dengan lancar, seimbang dan stabil. Hubungan dagangan dengan negara luar juga dipertingkatkan agar dapat mewujudkan satu lingkaran persahabatan antara negara lain. Ini amat penting kerana tanpa usahasama daripada pelbagai pihak maka kestabilan dalam bidang ekonomi tidak akan tercapai.

Antara kegiatan ekonomi yang termasyhur sekali ialah kegiatan dari segi pertanian iaitu kerajaan Bani Umaiyyah telah memperkenalkan sistem pengairan yang teratur dan sistematik[16]. Dengan kewujudan sistem ini maka, ia telah menyebabkan hasil tahunan pertanian semakin bertambah dari setahun ke setahun. Pada masa itu, kualiti hasil yang dikeluarkan amat bermutu tinggi dan turut menghasilkan sayur–sayuran yang segar. Dengan ini secara tidak langsung hasil dalam negara akan lebih banyak dan ianya dapatlah digunakan untuk tujuan yang sama iaitu mengemaskinikan sistem ekonomi yang sedia ada. Antara jenis tanaman yang terkenal pada ketika itu ialah limau, tebu, padi dan kapas. Lazimnya benih–benih tanaman ini dibawa masuk dari negara–negara jiran.

Kerajaan Bani Umaiyyah merupakan kawasan yang paling maju dan membangun dari sektor pertaniannya. Selain itu, kerajaan ini juga turut kaya dengan hasil logamnya. Apabila sektor ini dimajukan dengan jayanya maka ia juga turut menyumbang kepada kemasukkan modal kepada negara itu sendiri. Dengan sistem yang terkini dan maju maka kerajaan Bani Umaiyyah dapat bersaing dengan negara lain dengan mudahnya. Maka dengan adanya sistem yang teratur boleh dikatakan negara Islam adalah pemangkin ke arah kemajuan berikutan dengan beberapa penemuan dari segi ekonomi itu sendiri. Kemajuan ini menandakan bahawa kerajaan Islam pada ketika itu sudah mampu untuk membangun dan berjaya seperti negara–negara yang wujud ketika itu.

6.1 Kebudayaan Dan Intelektual

Sesunggguhnya Kerajaan Bani Umaiyyah amat terkenal dengan pengembangan pengaruh kebudayaan dan turut menjadi tumpuan para intelektual serta telah melahirkan para cerdik pandai yang cukup disegani hingga ke hari ini. Bidang kebudayaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu intelektual, sastera dan seni yang pada masa yang sama telah pun berkembang maju mengikut aliran masing–masing. Berikutan daripada itu kesannya dapat kita lihat hingga ke hari ini dan telah menjadi ikutan para sarjana barat hasil daripada kajian yang mereka buat ke atas buku–buku yang di keluarkan oleh para intelektual Islam. Malah mereka turut mengakui bahawa hasil karya mereka bermutu tinggi hasil dari kajian para sarjana Islam ke atas Al–Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya untuk dikaji dan dinilai isinya .
Jika di kaji dari segi intelektual, bidang yang maju berkembang ialah bidang syariah di mana hukum–hukum agama islam adalah bersandarkan kepada Al–Quran dan Hadith. Ia juga adalah berdasarkan kepada Qiyas dan Ijma’ ulama yang pada ketika itu terdapat pelbagai aliran atau mazhab yang popular di dalam Islam iaitu Mazhab Sunni, Syiah , Khawarij’, Mu’tazilah, Zahari dan Awza’I tetapi mazhab yang selalunya diikuti ialah dari Mazhab Sunni dan Awza’I [17]. Antara tokoh–tokoh ulama Mazhab Sunni ialah Isa bin Dinor dan Yahya bin Yahya al–Laith; dan selepas itu muncul pula Al–‘utbi. Pada ketika itu, juga ada yang mengikut mazhab iaitu sebagai contoh tokoh Ibnu Hazm mengikut aliran Syafi’ dan Al–Jazis menganut aliran Muta’zilah. Namun bilangan mereka hanyalah sedikit sahaja dan kumpulan ini dan telah pun menjadi penasihat kerajaan dan mahkamah. Aktiviti mereka dianggap penting dalam bidang intelektual dan keagamaan pada zaman Bani Umaiyyah yang kebanyakkanya membuat kajian Islam mengenai Fikah Mazhab Maliki. Ilmu–ilmu agama lain seperti hadis, tafsir dan ilmu kalam turut diperkembangkan dan diajar. Kajian dalam bidang duniawi juga tidak ketinggalan di mana para ilmuan telah pun mengkaji ilmu falsafah, perubatan, astronomi dan matematik iaitu pada zaman Al–Hakam II.

Bidang sejarah dan biografi masih lagi di tempat setempat. Tokoh yang pertama mengaku bahawa beliau adalah seorang ahli Sejarah ialah Ahmad al-Razi. Karya beliau adalah berkisarkan kepada dokumen– dokumen Sepanyol yang berjudul “cronica demoro Rusis”. Sebuah buku para kadi (hakim) di Cordova berjudul “History of the Judges of Cordova” iaitu terjemahan dari bahasa Sepanyol oleh Al-Khuzani . Dalam kesusasteraan pula, Bani Umaiyyah telah banyak melahirkan ramai para saterawan dan penyair. Pelbagai bentuk sajak dan syair dapat diilhamkan terutamanya penyair dari kawasan Timur iaitu Abu Nawas, Abu Al–Atahiyah dan lain–lain lagi. Antara penyair yang terbilang ialah Ibnu Abd al–Rabbih dengan karyanya yang berjudul “Al–iqd al- Farid” (Rantai yang Tiada Taranya ). Beliau dilahirkan di kalangan golongan bukan Arab (Mawla). Manakala puisi Ibnu Hani banyak berkisar kepada politik yang memihak pada kerajaan Fatimmiyah serta menghasilkan sebuah antologi (diwan). Pada zaman akhir pemerintahan Bani Umaiyyah bidang syair telah berkembang dengan lebih pesat lagi. Antara tokoh yang terkenal hingga ke hari ini ialah Ibnu Sina atau Avincenna (Panggilan Barat) yang telah berjaya memaparkan sejarah cendiakawan pada zaman pertengahan. Penghormatan yang diberikan kepadanya amat tinggi kerana telah berjaya mewujudkan sistem sains yang telah bertahan selama beberapa kurun.

Pengaruh Plato dan Aristotle telah banyak mempengaruhi Ibnu Sina dalam banyak perkara dan beliau turut telah membetulkan Aristotle dengan membuat peraturan. Contoh hasil karyanya ialah kitab al-Shifa (kaedah penyembuhan penyakit). Falsafah Islam telah mencapai kepada kemuncaknya dalam zaman Ibnu Rusyd, Ibnu Bajjah dan lain–lain lagi dan pada ketika itu Abd. Rahman telah pun mengambil tampuk pimpinan malah beliau adalah seorang penyair. Kisah–kisah yang berunsurkan binatang dan tauladan telah mula menular dikebanyakan kawasan Eropah dan melahirkan kisah seperti Renard , Bocaccacio dan Chauser .

6.2 Kesenian

Pada zaman perkembangan kesenian Islam di Sepanyol sejak pembukaannya, ianya bolehlah dianggap sebagi tahap pembinaan tamadun Islam di Sepanyol. Dalam jangka masa itu terbinalah masjid besar di Cordova yang mula dibina oleh Abd al– Rahman Al–Dakhil, yang diperluas dan diperindahkan oleh Abd. Al–Rahman II, al Hakam dan al Mansur. Ianya dibina sebegitu rupa sehingga dikagumi seluruh dunia. Kehalusan seni binanya amat menakjubkan sehingga pernah disifatkan sebagai “keajaiban seni bina dunia”. Kos pembinaan adalah sebanyak 80,000 dinar yang berukuran 360 kali 270 kaki [18]. Mimbarnya diperbuat daripada gading dan kayu yang berharga seerta dilekatkan dengan paku–paku emas. Disamping itu juga, ia mempunyai 1000 buah lampu yang di tengah–tengahnya mempunyai air pancut. Selain itu, terdapat juga benteng–benteng pertahanan yang dibina pada zaman Bani Umaiyyah yang menarik seninya, begitu juga dengan alat perhiasan rumah yang diperbuat dari emas, perak, gading kristal dan marmar yang ditemui di Cordova.

6.3 Pendidikan

Islam memandang tinggi terhadap ilmu pemgetahuan sebagai suatu yang amat penting. Hal ini dibuktikan kepada ajaran–ajaran Islam yang berlandaskan kepada Al–Quran dan Sunnah. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu agar mudah mentadbir alam. Maka, bagi Kerajaan Bani Umaiyyah ilmu pengetahuan merupakan bidang yang terpenting walaupun tiada sistem pendidikan yang percuma namun amatlah digalakkan oleh Kerajaan Bani Umaiyyah. Salah satu komitmen Bani Umaiyyah terhadap penduduknya ialah dengan mendirikan masjid–masjid sebagai tempat menimba ilmu. Penyebaran Islam juga digalakkan yang pada ketika itu ditadbir oleh Abd. Al-Rahman al dakhil. Sistem pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan Bani Umaiyyah terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap rendah yang diajar membaca Al–Quran dan tatabahasa Arab yang di tempatkan di masjid–masjid. Murid–murid juga diajar menggunakan pena dakwat malah guru–guru tidak dibayar gaji tetapi menerima elaun daripada murid–muridnya. Peringkat menengah pula diajar secara persendirian dan tiada sukatan pelajaran yang tertentu. Mereka diajar ilmu Matematik, astronomi dan lain–lain. Mereka yang layak akan diberi diploma atau ijazah manakala di peringkat yang lebih tinggi pula diwujudka secara informal yang dikendalikan oleh Profesor dan berpusat di Cordova serta Toledo, di mana ia merupakan pusat menuntut ilmu terutamanya di kalangan masyarakat barat dan Eropah. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan dan ini termasuklah buku–buku, alat tulis dan lain–lain lagi. Berhampiran dengan Cordova terletaknya sebuah kilang kertas dan ada yang diimport dari negara China.

Namun wujud juga pesaing-pesaing kepada kerajaan Abasiyyah seperti kerajaan Kristian di barat yang telah menyebabkan pendidikan bertambah pesat di Andalusia.


NOTA KAKI :

[1] Sejarah Umat Islam,Prof. Dr. Hamka
[2] Sejarah Umat Islam, Prof. Dr. Hamka
[3] Sejarah Umat Islam, Prof. Dr. Hamka
[4] Islam di Sepanyol & Sicily, Mahayudin Hj. Yahaya
[5] Sejarah Umat Islam, Prof. Dr. Hamka
[6] Sejarah Umat Islam, Prof. Dr. Hamka
[7] Islam di Sepanyol & Sicily, Mahayudin Hj. Yahaya
[8] Islam di Sepanyol & Sicily, Mahayudin Hj. Yahaya
[9] Islam di Sepanyol & Sicily, Mahayudin Hj. Yahaya
[10] Sejarah Keagungan Kerajaan Islam ,jilid 1 , Prof.Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafie
[11] Sejarah Keagungan Kerajaan Islam, Prof.Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafie
[12] Sejarah Keagungan Kerajaan Islam, Prof.Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafie
[13] Islam di Sepanyol & Sicily, Mahayudin Hj. Yahaya
[14] Islam di sepanyol dan Sicily,Mahayudin Hj Yahaya
[15] Islam di sepanyol dan Sicily,Mahayudin Hj Yahaya
[16] Islam di sepanyol dan Sicily, Mahayudin Hj Yahaya
[17] Sejarah Keagungan Kerajaan Islam,Prof. Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafie
[18] Sejarah Keagungan Kerajaan Islam,Prof. Madya Dato’ Mohd Mokhtar Shafie

SUKAN OLIMPIK....

Sukan Olimpik ialah sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun. Sukan ini bermula dari Yunani Purba, dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di Athens, Greece.

Selain itu, Sukan Olimpik Musim Sejuk dimulakan pada tahun 1924. Namun begitu, sukan ini tidak lagi diadakan serentak dengan Sukan Olimpik Musim Panas pada 1994, sebaliknya dua tahun selepas.

KLIK LINK : http://ms.wikipedia.org/wiki/Sukan_Olimpik

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"Stupid Olympic"


Ahad, 17 Ogos 2008

CINTA.....HALAQAH TV9

Malam ni tengok Halaqah kat TV 9, tajuk " CINTA ". Ikuti apa yang sempat saya catat.....

Kata ustaz Badlishah, Sayang lebih tinggi dari cinta. Agama memberi panduan bagaimana nak letak sayang dan cinta tu.

Kata Ustaz Roslan Che Ros, cinta anugerah Allah sangat berharga. Ahli sufi letak kecintaan pada Allah melebihi segala-galanya . Itulah cinta abadi. Jika cinta pada manusia akan menjadikan murka Allah, ia merupakan dosa kepadaNya.

Adakah cinta perlu dipupuk ? Kata Ustaz Badlishah, Cinta tak datang kalau tak dicari dan kalau tak diberi. Ada rasa untuk menyayangi dan disayangi. Cinta perlu dipupuk tapi perlu tengok kesesuaian, e.g. macam suami dengan isteri. Tak sesuai untuk budak sekolah sebab bukan masanya. Lebih ke arah maksiat. Lebih kepada dosa. Perlu utama cita-cita daripada cinta. Cinta adalah kurniaan Allah sebab tu perlu pelihara dari maksiat kepada Allah.

Kata ustaz Roslan, Jika cinta sesama manusia lupa kepada arahan Allah, HARAM. Remaja gagal dalam mengurus cinta kerana gagal menghalang hasutan Iblis. Semasa bercinta iblis akan memberi perhiasan cinta yang menjadikan yang bercinta 'buta' kerana buta agama. Ada yang kerana cinta menderhakai Ibu bapa. Ada sanggup bunuh diri kerana cinta.

Ustaz Badlishah mengatakan , cinta pada makhluk ada expired tapi cinta Allah tiada penghujung. Maka carilah cinta Allah. Jika cinta kepada makhluk hendaklah kerana Allah.

Wallahuaklam.
Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.