ENJIN CARIAN BAHAN

Memaparkan catatan dengan label NOTA TAMADUN ISLAM TEMA 2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NOTA TAMADUN ISLAM TEMA 2. Papar semua catatan

Selasa, 30 Oktober 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 2/3 – LANGKAH MEMPERTAHANKAN MADINAH

Bincangkan langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. bagi mempertahankan kedaulatan negara Islam Madinah.

Pengenalan ( sehingga 5 markah)

1. Maksud ketahanan dan pertahanan- ketahanan ertinya ketabahan, kecekalan dan kesabaran. Ketahanan dari segi fizikal merangkumi aspek pembinaan jasmani dan ketenteraan. Ketahanan dari segi kerohanian meliputi aspek agama dan moral. Pertahanan bermaksud mempertahankan diri, agama dan negara dari serangan musuh. Termasuk membela golongan yang lemah dan teraniaya.

2. Latar belakang masyarakat Madinah. Penduduk Madinah terdiri daripada beberapa suku kaum Arab dan bukan Arab. Orang Arab Islam terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj (Ansar). Manakala orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah digelar Muhajirin. Golongan bukan Islam terdiri daripada Yahudi yang terbahagi kepada beberapa kumpulan, seperti Bani Qainuqa’, Bani Quraizah, dan Bani Nadir. Terdapat juga golongan bukan Islam minoriti yang terdiri daripada golongan munafik dan Nasrani.

3. Latar belakang pemerintahan Madinah. Selepas termeterainya perjanjian Aqabah dan selepas nabi berhijrah ke Madinah, Baginda telah meletakkan asas bagi membentuk sebuah negara Islam. Baginda telah merangka struktur masyarakat untuk menjamin kewujudan dan kelangsungan sebuah negara Islam di Madinah. Baginda telah meletakkan asas peraturan bertulis bagi kehidupan seluruh ahli masyarakat Madinah melalui pembentukan Piagam Madinah.

4. Wacana isi / penegasan isi.

Isi (5 isi x 4 m = 20 markah)

Langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. bagi mempertahankan kedaulatan negara Islam Madinah.

1. Menggubal Piagam Madinah. Nabi Muhammad s.a.w telah membuat beberapa langkah yang boleh menjamin keamanan di negara kota itu untuk menghindar tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w telah memperuntukkan dalam Piagam Madinah hak-hak golongan Yahudi seperti memberikan kebebasan mengamalkan upacara dan ibadat agama mereka , kebebasan dalam kegiatan ekonomi, sosial, adat – istiadat, dan mereka pula diminta supaya bersedia untuk mempertahankan keselamatan Madinah daripada ancaman musuh. Sebaliknya , mereka pula meminta jasa baik Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka . Dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama. Golongan-golongan Yahudi ini hanya mematuhi Piagam Madinah pada peringkat permulaan sahaja. Selepas itu , mereka mengingkarinya seperti telah di rancang terlebih dahulu kerana tindakan mereka berdasarkan komposisi dalam golongan Yahudi yang terdiri daripada Bani Qainuqa’ , Bani Nadhir , dan Bani Quraizah.

2. Mempertahankan diri dalam Perang Badar. Selepas kaum muslimin keluar dari Makkah, orang kafir Quraisy Makkah cuba pula menghapuskan kehidupan orang Islam di Madinah. Mereka bimbang apabila orang Islam menguasai Madinah, akan menganggu laluan perdagangan mereka antara Makkah dan Syam. Nabi Muhammad bersama kira-kira 313 orang Islam telah bergerak ke luar dari kota Madinah dan berkampung di Badar (sempena nama sebuah perigi) antara Makkah dn Madinah. Pertempuran yang berlaku di situ telah memberi kemenangan kepada orang Islam.

3. Penyingkiran Yahudi Bani Qaynuqa’. Penyingkiran Yahudi Bani Qaynuqa’ ini berpunca daripada sikap mereka yang suka memperkecilkan kemenangan kaum Muslimin dalam Perang Badar pada tahun kedua hijrah (624M). Bani Qainuqa’ telah menghina Piagam Madinah dan mempersendakan kemenangan Rasulullah s.a.w dan pengikutnya dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 Hijrah . Mereka tidak mematuhi amaran Rasulullah s.a.w supaya menjaga kedamaian dan keharmonian di Madinah. Seterusnya mereka bertindak mengganggu maruah wanita secara terang-terangan. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w telah menghalau mereka keluar dari kota Madinah ke suatu kawasan yang berhampiran dengan negeri Syria antara Semenanjung tanah Arab.Mereka dibenarkan membawa bersama harta benda mereka yang ada di Madinah.

4. Mempertahankan diri dalam Perang Uhud. Perang Uhud berlaku ekoran rasa kecewa musyirikin Makkah kerana tewas dalam Perang Badar. Nabi telah mengambil tindakan untuk berperang di luar kota Madinah di sebuah bukit bernama Bukit Uhud. Di sana tentera Islam seramai kira-kira 700 orang telah berjaya menguasai Bukit Uhud dan hampir memenangi perang tersebut. Namun kerana kealpaan mereka dengan pesan Rasulullah agar tidak meninggalkan puncak bukit tersebut, menyebabkan mereka turun ke kaki bukit bagi mengambil harta peninggalan musuh. Ini menyebabkan tentera Islam diserang balas dari belakang oleh tentera musyrikin Quraisy dan tewas dalam perang tersebut.

5. Penyingkiran Yahudi Bani Nadir. Bani Nadhir telah melakukan dua kesalahan besar . Pertama, mereka mengadakan komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w semasa baginda mengadakan rundingan dengan salah seorang daripada ketua mereka. Yahudi Bani Nadir telah menuntut bayaran ganti rugi yang tinggi di atas dua orang lelaki Yahudi yang telah dibunuh secara tidak sengaja oleh seorang Arab yang bernama ‘Amru b. Umayyah. Bagi menyelesaikan perkara ini, Nabi telah mengadakan perbincangan dengan ketua Bani Nadir. Dalam perjumpaan ini, Bani Nadir mengambil kesempatan untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Baginda terselamat dengan turunnya wahyu daripada Allah s.w.t apabila dimaklumkan perkara tersebut oleh malaikat Jibril. Kedua, mereka menyokong Quraisy Makkah dalam Perang Uhud . Kesalahan ini merupakan pengingkaran terhadap Perlembagaan Madinah. Dengan arahan Rasulullah s.a.w kemudiannya, mereka dikepung oleh tentera Islam selama 6 hari . Setelah mereka menyerah kalah , mereka bersetuju untuk meninggalkan kota Madinah.

6. Mempertahankan diri dalam Perang Khandak. Peristiwa ini berlaku adalah ekoran usaha Quraisy Makkah bersama Yahudi bani Nadir ingin menawan kota Madinah dan menghalau keluar orang Islam dari situ. Orang Yahuni Bani Nadir juga ingin membalas dendam kepada orang Islam apabila mereka telah dihalau keluar dari Madinah. Awalnya kaum Muslimin hanya ingin bertahan di dalam kota Madinah kerana memikirkan keselamatan orang tua, wanita dan kanak-kanak. Tetapi Salman al-Farisi telah mencadangkan untuk menggali parit di luar kota Madinah sebagai benteng dan kubu. Dengan itu kaum musyrikin Makkah dan orang Yahudi tidak dapat masuk ke dalam kota Madinah. Peperangan ini dimenangi oleh orang Islam walaupun jumlah mereka hanya 3000 orang berbanding tentera Ahzab seramai 10 000 orang.

7. Penyingkiran Yahudi Bani Quraizah. Bani Quraizah juga mengingkari Piagam Madinah dengan menimbulkan masalah besar ketika Perang Khandak (Azhab). Huyai bin Ahtab , pemimpin Bani Nadhir yang di halau dari Madinah telah menghasut pemimpin Bani Quraizah, iaitu Ka’ab bin Asd sehingga akhirnya bersetuju membatalkan perjanjiannya dengan Rasulullah s.a.w dan seterusnya memihak kepada tentera Quraisy yang sedang mengepung Madinah. Bani Nadhir tidak mengendahkan amaran Rasulullah s.a.w tentang bahayanya tentang pengkhianatan mereka itu. Setelah Perang Khandak (Azhab) dimenangi oleh tentera Islam , umat Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah selama 25 hari. Akhirnya mereka menyerah kalah dan bersetuju melantik Sa’ad bin Muaz , pemimpin suku kaum Aus membuat pengadilan terhadap mereka . Sa’ad telah membuat keputusan bahawa harta mereka di rampas , kanak-kanak, orang-orang tua, dan wanita ditawan , dan orang-orang lelaki pula di pancung. Hukuman ini setimpal dengan pengingkaran mereka terhadap perjanjian sebelum ini bersama orang-orang Islam. Masalah yang ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi ini akhirnya telah dapat diselesaikan oleh Rasulullah s.a.w dengan adil .

8. Memulau golongan munafik. Nabi telah memberitahu kepada para sahabat baginda agar memulau golongan Munafik. Ini kerana mereka telah memalingkan diri daripada menyertai Perang Uhud dan bersahabat dengan golongan Yahudi yang sering berusaha memecahbelahkan umat Islam Madinah.

Kesimpulan ( 1/ 2 markah)

Apa saja yang berkaitan dengan soalan dan isi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 16 Oktober 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – LANGKAH PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM MADINAH

Jelaskan langkah-langkah yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. ke arah pembentukan negara Islam di Madinah.

A. Pengenalan [ 3 markah ]

1. Demografi Madinah :

Negara kota Madinah terletak kira-kira 320 km ke utara Mekah. Masyarakatnya terdiri daripada suku-suku Arab terutamanya Aus dan Khazraj serta orang-orang Yahudi. Sebelum agama Islam tersebar ke Madinah suku-suku Arab sentiasa berselisih faham sesama mereka. Golongan Yahudi memandang rendah orang-orang Arab, memonopolikan kegiatan ekonomi, hidup mewah dan menguasai pentadbiran. Dari segi agama dan kepercayaan kaum Yahudi memelihara kesucian agama Yahudi dan orang­orang Arab menyembah berhala seperti orang Quraisy di Mekah. Namun begitu orang Arab Madinah lebih mengerti tentang ketuhanan dan kenabian berbanding dengan orang Arab Mekah oleh kerana mereka lebih terdedah kepada agama Yahudi. Jadi, pemikiran mereka lebih terbuka kepada usaha dakwah Nabi Muhammad saw dan lebih bersedia memeluk agama Islam yang dibawanya.

Hijrah dari Mekah ke Madinah oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan titik permulaan negara Islam di Madinah. Walaupun sebelum ketibaan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah agama Islam tersebar di Madinah menerusi orang-orang Muslim (kaum Ansar) yang menyertai dalam Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II.

2. Latarbelakang Nabi Muhammad Sebelum Hijrah.

3. Konsep negara

Isi – 7 x 3 markah = 21 markah

1 Pembinaan Masjid.

Peristiwa hijrah telah menyebabkan penyebaran agama Islam semakin meluas terutamanya dengan terbinanya Masjid Quba dan Masjid Madinah yang menjadi tempat ibadat dan penyebaran agama Islam. Kaum Ansar di Madinah menyambut Muhajirin dari Mekah dan buat pertama kali, kegiatan dakwah dapat dilakukan secara terbuka. Kaum Ansar banyak berkorban untuk mengembangkan agama Islam. Setelah tiba ke Madinah Nabi Muhammad s.a.w. telah membina masjid-masjid yang bukan sahaja menjadi tempat ibadat dan penyebaran agama Islam tetapi juga digunakan untuk menyebarkan pendidikan dan ilmu pengetahuan Islam

2 Pembentukan Ummah

· Nabi Muhammad adalah seorang negarawan. Sebagai langkah pertama terhadap penyatuan masyarakat Islam di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. mempersaudarakan kaum Ansar dengan kaum Muhajirin.

· Muhajirin dengan Muhajirin.

· Ansar dengan Ansar.

· Muhajirin dengan Ansar

· Semangat asabiyah telah digantikan dengan semangat ummah mengikut akidah Islam. Hubungan persaudaraan mengatasi masalah perbezaan dari segi sosial dan ekonomi. Kedua-dua golongan bergaul dan bekerjasama untuk kebaikan agama Islam dan negara.

3 Mewujudkan Piagam Madinah

Baginda seterusnya mewujudkan sebuah piagam untuk dijadikan panduan untuk membentuk sebuah negara Islam yang berdaulat. Piagam Madinah bukan sahaja membentuk persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin tetapi juga perpaduan antara orang Islam dengan orang bukan Islam terutamanya orang Yahudi. Kaum Yahudi diberikan kebebasan mengamalkan ibadat mengikut agama mereka selama mereka mematuhi undang-undang Islam dan peraturan yang diterima umum. Orang Islam dan bukan Islam dapat hidup secara aman damai dan bebas menjalankan aktiviti masing-masing. Keselamatan penduduk Madinah terjamin dan mereka bertanggungjawab mempertahankan negara Madinah daripada serangan musuh. Penduduk Madinah juga mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin agama dan ketua negara. Dengan pengiktirafan itu Nabi telah menjadi pemimpin yang berwibawa dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara Islam Madinah.

4 Mengasaskan Pentadbiran Negara Melalui Cara Musyawarah

Baginda berjaya mengasaskan sistem musyawarah dalam segala hal-hal politik. Dalam hubungan dengan kaum Yahudi semasa Perang Badar, Nabi Muhammad s.a.w. tidak menunjukkan permusuhannya terhadap kaum Yahudi tetapi terus mengadakan perundingannya dengan mereka. Hanya setelah perundingan gagal barulah mereka disingkirkan secara terhormat dari Madinah. Baginda juga menjalankan musyawarah semasa mewujudkan persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin serta antara Aus dan Khazraj. Konsep musyawarah terbayang dalam hubungan politik antarabangsa.

5 Mewujudkan Tentera Islam di Madinah

Baginda juga adalah seorang pemimpin tentera Islam yang menyertai beberapa ekspedisi ketenteraan untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada ancaman dan serangan musuh. Dalam mempertahankan kedaulatan negara Islam Madinah. Baginda merupakan seorang panglima tentera dan ahli strategi dalam bidang ketenteraan.

6 Mengadakan hubungan luar.

Baginda adalah seorang diplomat yang mengambil inisiatif untuk menghantar perwakilan ke luar seperti Mesir, Byzantine, dan Parsi.

7. Menyusun semula struktur ekonomi Madinah.

Penyatuan masyarakat yang berlaku telah mewujudkan semangat saling membantu
sehingga meliputi segenap bidang. Golongan Muhajirin bergiat dalam bidang pertanian. Nabi menggalakkan umat Islam bergiat dalam bidang perniagaan.

Kesimpulan [ 1 markah ]

Apa sahaja yang berkaitan

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Rabu, 11 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ (NOTA)

 

  1. "Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu.
  2. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula berputik kembali.
  3. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan mengutamakan saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa itu.
  4. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara.
  5. Pemimpin-pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan dan bermegah diri.Sehinggakan Baitul Mal, dijadikan sebagai harta peribadi mereka.
  6. Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan.
  7. Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam, terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul Aziz, salah seorang Khalifah zaman Bani Umaiyah muncul menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam seolah-olah ke zaman permulaannya.
  8. Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.
  9. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu.
  10. Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderungan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah.
  11. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu.
  12. Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun.
  13. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”
  14. Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan Islam Bani Umaiyah dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil.
  15. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan.
  16. Semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan Khalifah telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal.
  17. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II.
  18. Hidup beliau telah berubah sama sekali. Kemewahan dan kemegahan telah ‘ditanggalkan’ dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.
  19. Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang.
  20. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”
  21. Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar pada zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu oleh khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga Umar Abdul Aziz datang lewat untuk menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.
  22. Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
  23. Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama.
  24. Sebelum pemerintahan Umar Abdul Aziz, perhatian utama negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan yang lebih utama kepada pembangunan rohani dan keagamaan.
  25. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat.
  26. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika. Setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.
  27. Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.
  28. Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mengubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata.
  29. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid. Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya.
  30. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.
  31. Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam.
  32. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.
  33. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Wallahu’ aklam.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 24 April 2011

Fitnah dan Hasutan Dalam Sejarah Pemerintahan Empayar Islam : Satu Tinjauan Ringkas

image SEJARAH kejatuhan dan keruntuhan negara atau empayar Islam sepanjang zaman di mana-mana sahaja adalah berpunca daripada faktor fitnah, hasutan dan adu domba sesama sendiri.

Penghasutnya adalah bijak pandai daripada kalangan mereka, termasuk golongan yang mendakwa dirinya sebagai ahli agama. Hukum-hakam agama adalah alat yang paling berkesan bagi maksud tersebut.

Perkataan hasut membawa erti cocoh, acum, batu api, agitasi dan sebagainya. Dalam bahasa agama disebut fitnah. Semuanya memberi maksud tuduhan jahat yang diada-adakan atau memanjangkan berita buruk yang tidak benar bertujuan kecelakaan dan kemusnahan.

Hasutan fitnah ini sudah wujud sejak zaman Nabi lagi yang dikepalai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab. Pada zaman Khulafa Rasyidin pula hanya Khalifah Abu Bakar as-Siddiq sahaja yang mati dalam keadaan biasa. Tiga khalifah yang lain, Umar, Uthman dan Ali semuanya syahid dibunuh oleh penjahat-penjahat yang menerima hasutan.

Peristiwa Majlis Tahkim yang berslogankan tidak ada hukum melainkan daripada hukum Allah adalah peristiwa pembohongan dan penyalahgunaan agama yang paling ketara. Amru Ibnul As mewakili pihak Muawiyah bin Abu Sufian berjaya menggunakan helah politik bagi memperdaya Abu Musa al-Asyaari yang mewakili pihak Khalifah Ali.

Khalifah Ali amat kecewa dan kesal dengan perundingan itu dan merasai dirinya dan orang ramai tertipu dengan slogan tersebut. Beliau memberi komentar dengan ucapannya yang masyhur: `Kata-kata itu benar, tetapi maksudnya adalah batil'.

Berikutan daripada peristiwa Tahkim itulah akhirnya Khalifah Ali dibunuh, runtuhnya kerajaan Khulafa Rasyidin, lahirnya kelompok politik (firqah) dalam masyarakat Islam dan lahirnya kerajaan Umayyah, iaitu kerajaan Islam yang sah yang diterima oleh majoriti umat Islam pada waktu itu.

Perang Jamal (36H/656M) merupakan perang saudara pertama dalam masyarakat Islam yang dicetuskan oleh segelintir penghasut yang tidak senang dengan pemerintahan Khalifah Ali. Peperangan ini yang berlaku di sekitar bandar Basrah telah mengorbankan kira-kira 10,000 umat Islam. Antaranya ialah Talhah bin Ubaidullah dan az-Zubir bin al-Awwam, dua sahabat termulia dan terkemuka di sisi Nabi dan antara sepuluh sahabat yang dijanji mendapat syurga.

Sayyidatina Aisyah, isteri Nabi, juga terlibat dalam peperangan ini yang berakhir dengan kekalahan dan ditawan oleh Khalifah Ali. Dia dilayan baik oleh Khalifah Ali dan kemudiannya dihantar balik ke Madinah.

Setahun kemudian, berlaku pula Perang Siffin antara Khalifah Ali bin Abi Talib dengan Muawiyah bin Abi Sufian. Muawiyah kalah dalam peperangan ini, tetapi menang di meja perundingan.

Amru Ibn al'As bagi pihak Muawiyah telah membuat helah politik mengajak pengikut-pengikutnya menjulang al-Quran di hujung pedang menyeru gencatan senjata dan kembali berhukum dengan hukum Allah. Orang ramai tertipu dengan helah tersebut.

Banyak tragedi yang menyayat hati berlaku selepas itu. Antaranya yang paling sedih ialah peristiwa pembunuhan ramai sahabat Nabi terkemuka, termasuk dua cucunya Hasan dan Husein, putera-putera Siti Fatimah binti Rasulullah. Kesan buruknya berlarutan sehingga hari ini.

Semua permusuhan dan pembunuhan adalah atas nama Islam. Masing-masing dilemparkan tuduhan kononnya tidak melaksanakan keputusan dan pentadbiran menurut ajaran Islam sebenar. Khalifah Uthman dituduh mengamalkan kronisme dan nepotisme serta menyalahgunakan wang negara (Baitulmal). Khalifah Ali yang merupakan sepupu dan menantu Nabi sendiri pun terpalit dengan tuduhan seumpama itu seperti kononnya Khalifah Ali terlibat dengan pembunuhan Khalifah Uthman dan menyokong pemberontak. Kesannya Khalifah Ali kemudiannya syahid dibunuh oleh pembunuh upahan Khawarij.

Muawiyah kemudiannya berjaya mendirikan kerajaan Islam yang baru di atas keruntuhan kerajaan Khulafa Rasyidin. Pusat pentadbirannya berpindah dari Madinah ke Damsyik (Syria).

Kerajaan Umayyah juga tidak terlepas daripada gerakan penghasutan dan agitasi daripada musuh-musuh politiknya sesama Islam. Musuh paling utama ialah Khawarij dan Syiah. Gerakan perseteruannya paling keras dan amat sengit. Orang ramai keliru dengan propaganda mereka, kerana pemimpin mereka adalah terdiri daripada sahabat-sahabat yang hafaz al-Quran dan banyak menyimpan hadis.

Akhirnya, setelah kira-kira 90 tahun memimpin negara Islam, kerajaan dari keluarga Umayyah pula menerima nasib yang sama seperti kerajaan Khulafa Rasyidin. Kerajaan ini digulingkan oleh keluarga Bani Abbas dan golongan Syiah secara paksa hasil daripada gerakan mereka yang sangat lama.

Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad (Iraq) ditubuhkan selepas keruntuhan kerajaan Umaiyyah dan kerajaan-kerajaan Islam lain yang didirikan kemudian juga tidak terlepas daripada kejadian-kejadian yang sadis dan kejam. Ramai khalifah, gabenor dan ulama dibunuh dengan zalim dan menyayat perasaan.

Ajaran Islam adalah jelas. Islam tiada caacat celanya. Yang cela adalah penganutnya yang terpesong. Allah memerintahkan umat Islam supaya menyatukan barisan dan menghindar diri daripada perpecahan. Ditegah sama sekali benci-membenci, cerca-mencerca, pulau-memulau dan menumpahkan darah. Malangnya perintah seumpama itu tidak dipatuhi. Umat Islam terus-menerus berkelompok dan bercerai-berai. Paling malang apabila hukum-hukum agama dijadikan senjata bagi maksud tersebut.

Berlakunya demikian adalah kerana kesilapan mereka yang terlibat terutama para penyokong yang fanatik dan ketidakfahaman ajaran Islam sebenar, atau kerana kedegilan sebilangan mereka dan keingkaran terhadap ajaran agama, atau kerana desakan politik dan kumpulan, atau menjaga kepentingan keduniaan melebihi segala-galanya.

Walaubagaimanpun, kita wajar berlapang dada dan menghormati ‘ijtihad’ yang dilakukan oleh para Khalifah Rasyidin dan para sahabat dalam menangani permasalahan pada ketika itu. Cuma penerimaan masyarakat, rakyat serta penyokong terhadap keputusan ketua menyebabkan tindakan dan fahaman yang berbeza-beza telah diambil.

Wallahu’aklam.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 23 April 2011

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Khalifah Umar bin Abdul Aziz Yang Agung

Biodata Ringkas

Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam

Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab

Tahun Lahir : 61H

Umur : 39 tahun

Tarikh Wafat : 101H

Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah

Tarikh Lantikan : Safar 99H @ 717M

Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan

Pendidikan

Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sifat-Sifat Peribadi

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah seperti berikut :

"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."

"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian di tengah-tengahnya"

"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."

"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".

"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahkan tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."

"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"

Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :

1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"

2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"

3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".

4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"

5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"

6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"

7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka."

Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah

Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :

1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran

2) Merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal

3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah

4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan

2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan....

Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat........kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..

Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini....hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang yang benar-benar ikhlas.....!!!

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 9 April 2011

TAMADUN ISLAM :TEMA 2-KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Abu Bakar as-Siddiq (Arab: أبو بكر الصديق‎ AbÅ« Bakr al-SiddÄ«q) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah[1]

KEHIDUPAN AWAL

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.

Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

 

MENJADI KHALIFAH PERTAMA

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

 

PEPERANGAN ISLAM-RIDDAH

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailamah dalam suatu pertempuran.[2]

 

EKSPEDISI  KE UTARA

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

 

PENGUMPULAN AL-QURAN

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran[3]. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

 

KEWAFATAN SAIDINA ABU BAKAR

Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.

Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

 

SUMBANGAN SAIDINA ABU BAKAR

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam[4].


Rujukan :

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Saidina_Abu_Bakar

Sabtu, 2 April 2011

TAMADUN ISLAM: TEMA 2- PERLEMBAGAAN MADINAH : Asas-Asas Pemerintahan Moden Dalam Piagam Madinah.

Asas-Asas Pemerintahan Moden Dalam Piagam Madinah.

Piagam Madinah merupakan perlembagaan kerajaan Islam yang pertama yang ditulis sebagai asas pemerintahan yang menjadi sandaran pemerintahan Rasululullah saw dan hubungannya dengan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Ianya merupakan implimentasi kepada asas-asas siyasah yang bersesuaian dengan keperluan semasa dan syarak.  Penulisan perlembagaan ini menggambarkan hakikat ketelusan pemerintahan Islam dan keadilannya.

Mewujudkan perlembagaan yang bertulis yang sesuai dengan keperluan semasa walaupun al-Quran telah wujud menunjukkan kepada keperluannya bagi mentadbir sesebuah negara.

Berikut ialah beberapa asas kerajaan moden yang terdapat di dalam Piagam Madinah:

  • Penyataan Mengenai Ummah dan Kerakyatan

Piagam Madinah telah menaskan mengenai pembentukan ummah, dan mentakrifkannya dengan menjadikan Islam sebagai asas kerakyatan dalam Daulah Islamiah yang baru disamping menjelaskan hak-hak dan tanggungjawab rakyat sebagaimana berikut:

Fasal 1. Ini adalah tulisan daripada Muhammad seorang nabi dan utusan Allah, diantara orang-orang beriman daripada Quraisy dan penduduk Yathrib dan sesiapa yang mengikuti mereka, yang bertemu mereka dan berjihad dengan mereka.

Fasal 2. Mereka adalah satu ummah tanpa manusia lain.

Fasal 3. Muhajirin daripada Quraisy di atas keadaan mereka, saling menjadi `aqilah antara mereka, mereka melepaskan tawanan mereka dengan makruf dan adil sesama mukminin.

Begitu juga Piagam Madinah menyentuh mengenai kerakyatan bukan Islam daripada Yahudi dan musyrikin Mekah yang datang ke Madinah, dengan menentukan hak-hak dan tanggungjawab mereka, sebagimana dalam fasal berikut:

Fasal 24 Orang-orang Yahudi perlu mengeluarkan perbelanjaan peperangan bersama orang-orang yang beriman apabila mereka berperang.

Fasal 25. Sesungguhnya Yahudi bani `Auf satu ummat bersama orang-orang yang beriman, bagi Yahudi agama mereka dan bagi muslimin agama mereka, hamba-hamba mereka dan diri mereka, melainkan sesiapa yang berlaku zalim sesungguhnya dia tidak membinasakan melainkan dirinya dan ahli keluarganya.

Fasal 26. Dan bagi Yahudi bani al-Najjar seperti apa yang menjadi hak dan tanggungjawab bani `Auf.

  • Pernyataan Mengenai Peribadi Ketua Negara.

Nas-nas Piagam Madinah menyatakan bahawa ketua kerajaan baru itu ialah Rasulullah (s.a.w.). Kepadanyalah dirujuk dalam menyelesaikan segala  perselisihan dan bagindalah yang akan memelihara nas-nas perlembagaan dan melaksanakan segala ketetapannya.

Sebagaimana dalam fasal 23; Apabila kamu berselisih dalam apa perkara sekalipun maka rujukannya ialah kepada Allah dan Muhammad. Begitu juga dalam fasal 42.

  • Mengakui Dasar Keadilan dan Persamaan.

Sebagaimana dalam fasal 13; Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan bertakwa, maka tangan mereka ke atas sesiapa yang melampaui batas di antara mereka, atau menuntut pemberian dengan cara yang zalim, dosa,  permusuhan dan kemusnahan antara mukminin, maka tangan-tangan mereka diatas mereka semua walaupun keatas anak-anak salah seorang daripada mereka.

Fasal 16; Sesungguhnya sesiapa dikalangan Yahudi yang mengikuti kami maka bagi mereka hak pertolongan dan persamaan tidak dizalimi dan tidak akan bertolong-menolong menentang mereka.

  • Pernyataan Dasar  Perjanjian Perdamaian.

Fasal 45:  Apabila orang-orang beriman di ajak berdamai bercampur dan bersekutu, mereka ( Yahudi) akan berdamai dan bersatu begitu juga sekiranya mereka ( Yahudi) diajak berdamai dan bersatu maka menjadi tanggungjawab orang-orang beriman menerimanya melainkan ke atas mereka yang berperang kerana agama.

  • Pernyataan Mengenai Sempadan Kerajaan .

Fasal 39 : Yathrib merupakan bumi selamat di dalamnya kepada ahli perjanjian ini.

Rasulullah saw telah menghantar beberapa orang sahabat untuk membina tanda sempadan Madinah.

  • Pernyataan Dasar Larangan Melakukan Perjanjian Secara Sendiri.

Fasal 17 : Bahawa perdamaian orang-orang yang beriman adalah satu. Seorang beriman tidak boleh membuat perdamaian tanpa mukmin yang lain dalam peperangan di jalan Allah, melainkan hendaklah diatas sama rata dan keadilan sesama mereka.

  • Penyataan Menganai Dasar Dan Hak-hak Kejiranan.

Fasal 40: Sesungguhnya jiran seperti diri sendiri tidak dimudarati dan tidak diinaya.

  • Dasar Takaful Dalam Melunaskan Hutang.

Fasal 12, 25 :  Tidak dibiarkan orang-orang yang beriman terbeban dengan hutang, melainkan tunaikanlah untuknya dan bantulah dia begitu juga Yahudi dengan Yahudi.

  • Dasar Berkaitan Keamanan Negara.

Fasal 24, 36. Mempertahankan Madinah merupakan tanggungjawab semua penduduk dan mereka yang tinggal dibuminya.

Jelas di sini bahawa piagam Madinah telah meletakkan asas yang penting kepada sesebuah kerajaan dengan menentukan kuasa perundangan, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman di samping menyatakan hak-hak dan tanggungjawab rakyat dan kerajaan.

Piagam Madinah merupakan asas sistem pemerintahan yang moden sebagaimana yang dilaksanakan pada hari ini. Walau bagaimanapun isi piagam Madinah adalah berasaskan keperluan semasa kerajaan Islam ketika itu tetrutamanya nas-nas perlembagaan yang berkaitan dengan umat Yahudi dan qabilah-qabilah yang lain. Namun begitu ianya tidak terkeluar daripada memperuntukan tiga kuasa penting sebagaimana yang dinyatakan tadi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Rabu, 1 Disember 2010

Syiah Dan Khawarij - Isu Politik - Isu Aqidah

Sedikit maklumat berkaitan kemunculan Syiah dan Khawarij daripada Video Pidato Perdana DR ASRI, Bertajuk : Ketegasan Aqidah Keluasan Feqah, Masjid Wilayah 9 Jun 2009. Semoga bermanfaat.

 

 

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 17 Julai 2010

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – DASAR PEMERINTAHAN MUAWIYAH

    Huraikan dasar pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah pada Zaman Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian.

    A. Pengenalan

  • Seorang sahabat Nabi Muhammad dan penulis wahyu.

  • Seorang muslimin yang taat dan patuh kepada ajaran agama.Tokoh politik dan negarawan yang pintar.Beliau merupakan seorang pemidato Arab yang terkemuka.

  • Muawiyah bin Abu Suffian menjadi Khalifah Bani Umaiyyah selama kira-kira 40 tahun iaitu 41 H - 60H.Beliau merupakan pengasas kerajaan Bani Umaiyyah yang wujud 41 H - 132 H.

  • Beliau berpengalaman dalam politik selama 40 tahun. Menjadi gabenor di Syam selama 20 tahun dan 20 tahun lagi sebagai Khalifah di Bani Umaiyyah.

  • Sebelum pemerintahan beliau telah berlaku peperangan antara beliau dengan Saidina Ali antara tahun 37 H - 38H.Peperangan ini dikenali sebagai peperangan Siffin .Majlis Tahkim telah diadakan untuk mendamaikan mereka tetapi gagal.Selepas kewafatan Saidina Ali Muawiyah telah dilantik menjadi khalifah apabila Saidina Hassan menolak jawatan Khalifah.

B.  Isi

  • Beliau menggubal beberapa dasar penting yang berbeza dalam negara bagi mentadbir wilayah-wilayah yang luas itu. Setiap wilayah mempunyai masalah dan cara tersendiri untuk ditadbir.

  • Di Iraq ,beliau telah menjalankan dasar berbaik-baik dengan pemimpin Arab yang menjadi penyokong kuat kepada khalifah Ali. Selain itu beliau mengekalkan sistem pentadbiran yang sedia ada bagi mengelakkan penentangan dan perpecahan.

  • Di Mesir, beliau berusaha memulihkan keadaan ekonomi yang buruk pada zaman sebelumnya dengan melantik rakan setianya Amru al As sebagai gabenor di Mesir.

  • Di Syam, memberi layanan yang baik kepada kepada penduduk di sana yang merupakan penyokong kuatnya.

  • Di Jazirah (Mesopotamia),menjalankan dasar muafakat dan kompromi antara penduduk yang terdiri daripada Qais dan Yaman.

  • Tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing sama ada Parsi,India mahupun Byzantine

  • Memindahkan pusat pemerintahan Islam dari Madinah ke Kufah dan ke Damsyik. Ini kerana di Damsyik ramai penyokong setia Muawiyah.

  • Mengubah sistem pemilihan Khalifah secara Syura kepada warisan. Ini telah mengubah tradisi sebelumnya iaitu pada zaman Khulafa Rasyidin. Beliau telah melantik Putera Mahkota untuk mewarisi jawatan khalifah.

  • Meluaskan kuasa politik Khalifah dan pemusatan kuasa kerajaan Bani Umaiyyah. Khalifah mempunyai kuasa mutlak dan berpusatkan khalifah dalam membuat keputusan. Jawatan gabenor dimonopoli oleh keluarga Bani Umaiyyah.

  • Mengadakan pasukan tentera yang kuat yang terdiri dari orang-orang Syam dan mereka diberi gaji tetap. Orang Syam setia kepada Muawiyah.

  • Memperkenal atau meniru sistem pentadbiran kerajaan Byzantine dengan mengambil pegawai-pegawai yang beragama kristian untuk berkidmat.

  • Menubuhkan pejabat pendaftaran, pejabat pos dan jabatan perisik bagi mengetahui rahsia-rahsia pihak musuh.

  • Mengutamakan keturunan Arab, khususnya keturunan bani Umaiyyah dalam pelantikan pegawai-pegawai kerajaan. Golongan bukan Arab (mawali ) kurang diberi peluang sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada mereka.

C.Kesimpulan

  • Meninggal dunia di Damsyik pada Rejab 60H ketika berusia 74 tahun. Beliau berjaya mengasaskan dinasti pemerintahan Bani Umayyah dan merupakan pengasas pertama sebelum era keruntuhan.

  • Berjaya menjadikan empayar Islam kuat dan disegani.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 29 Jun 2010

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 -DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA AR-RASYIDIN VS BANI UMAYYAH

BANDINGKAN DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA AR – RASHIDIN DENGAN PEMERINTAHAN BANI UMAIYYAH.

A. PENGENALAN 

1. LATARBELAKANG KHULAFA AR – RASHIDIN.
Terdiri daripada empat orang Khalifah selepas kewafatan Rasulullah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

2. LATAR BELAKANG KERAJAAN BANI UMAIYYAH.
Kerajaan Bani Umaiyyah diasaskan oleh Muawiyyah bin Abu Sufyan pada tahun 41 Hijrah. Nama Umaiyyah diambil sempena dengan nama pembesar Quraisy iaitu Umaiyyah bin Abd. Manaf. Kerajaan Umaiyyah memerintah selama 91 tahun oleh dua keturunan, iaitu keturunan Harb Bin Umaiyyah dan keturunan Abu al – As.

B. ISI – ISI PENTING ( 5 ISI x 4 MARKAH = 20 MARKAH ).

1. PERLANTIKAN KHALIFAH.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Adalah hak untuk semua kaum muslimin. Jawatan tidak diwarisi sebaliknya dilantik dan mendapat persetujuan masyarakat Islam. Khalifah Umar dilantik melalui wasiat Abu Bakar dan Khalifah Uthman dilantik melalui penubuhan Majlis Syura.

b. Bani Umaiyyah.
Diwarisi secara keturunan, pemerintah mereka terdiri daripada kalangan keluarga Bani Umaiyyah. Khalifah melantik Putera Mahkota untuk mewarisi jawatan ketua Negara. Contohnya Muawiyyah telah melantik Yazid sebagai penggantinya dan Abdul Malik melantik al – Walid dan Sulaiman sebagai Putera Mahkota. Pelantikan dua orang putera mahkota menyebabkan berlakunya pergaduhan merebut kuasa.

2. DASAR PEMERINTAHAN.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Al – Quraan dan sunnah menjadi asas corak pemerintahan Khalifah mengutamakan kebajikan dan keadilan semua rakyat. Majlis Syura memainkan peranan penting dalam melaksanakan pentadbiran negara.
b. Bani Umaiyyah.
Mengamalkan pemerintahan bercorak monarki yang mengutamakan dan menjaga kepentingan serta kedudukan pemerintah sehingga kepentingan rakyat diabaikan. Sebahagian khalifah menjalankan dasar pilih kasih dengan mengutamakan keluarga Bani Umaiyyah. Kelemahan Khalifah menyebabkan gabenor di beberapa wilayah menyalah gunakan kuasa, mengumpul kekayaan dan mengamalkan rasuah.

3. POLISI TERHADAP RAKYAT.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Semua rakyat dipandang sama tanpa mengira kaum dan kedudukan. Bagi mereka mendapat layanan yang sama dari segi keadilan, sosial dan ekonomi. Bagi mengelakkan berlaku penindasan ke atas penduduk di wilayah seperti Iraq dan Mesir, Umar menyusun semula dasar pemilikan tanah. Orang bukan Islam yang mendapat perlindungan politik pemerintah Islam dikenakan cukai jizyah yang tidak membebankan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Kebanyakkan Khalifah menjalankan polisi baru iaitu membezakan orang Arab dengan bukan Arab. Orang bukan Arab terutamanya Bani Umaiyyah mendapat keistimewaan. Golongan Islam bukan Arab ( Mawali ) seperti orang Parsi tidak dibenarkan memegang jawatan penting dan masih dikenakan cukai jizyah. Ini menyebabkan mereka bekerjasama dengan bani Abbasiyyah mengadakan gerakan sulit menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

4. POLISI PROTOKOL KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Khalifah tidak mempunyai hak istimewa dari sudut undang – undang. Hubungan khalifah dengan rakyat terjalin dengan baik. Rakyat boleh bertemu dengan khalifah dan mengadu tentang masalah mereka dan penyelewengan pegawai – pegawai.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pentadbiran Kerajaan bani Umaiyyah banyak dipengaruhi oleh kerajaan Rom, Khalifah mengutamakan kepentingan dan kedudukan pemerintah. Khalifah mewujudkan protokol yang menyebabkan rakyat terpisah. Khalifah dikawal rapi oleh pengawal peribadi. Khalifah tinggal di istana dan kekayaan negara digunakan untuk kemewahan pemerintah dan keluarganya.

5. PERLANTIKAN DAN/ ATAU KEDUDUKAN PEGAWAI KERAJAAN.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Pegawai kerajaan seperti gabenor dan panglima tentera dilantik daripada mereka yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di zaman Khalifah Umar baginda telah memeriksa semua harta benda kakitangan kerajaan sebelum dan setelah dilantik bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah. Rakyat boleh mengadu tentang penyelewengan pegawai kerajaan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pegawai tinggi kerajaan dan tentera dilantik di kalangan keluarga Bani Umaiyyah dan golongan yang menyokong mereka. Pegawai yang dicurigai dipecat atau dihukum bunuh. Contohnya panglima Muhammad Ibnu Qassim dibunuh oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

6. DASAR PERLUASAN KUASA.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Dasar perluasan kuasa wilayah di zaman ini adalah bertujuan untuk melemahkan kedudukan politik Rom dan Parsi yang menjajah dan menceroboh wilayah tanah Arab. Contohnya perluasan kuasa Khalifah Umar ke atas Mesir ialah untuk menamatkan kekuasaan Rom yang kejam dan membebaskan rakyat tempatan (Qibti). Kedatangan tentera Islam mendapat sokongan rakyat tempatan.

b. Zaman Kerajaan bani Umaiyyah.
Dasar perluasan wilayah di zaman bani Umaiyyah terutama di zaman Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dan al – Walid merupakan usaha untuk bersaing menunjukkan kehandalan dan kekayaan mereka. Contohnya Abdul Malik bin Marwan melancarkan gerakan tentera ke Kabul pada tahun 691H kerana Raja Kabul enggan membayar ufti tahunan. Dasar perluasan wilayah di zaman Bani Umaiyyah diperluaskan hingga ke sempadan China, India dan Sepanyol.

7. TINDAKAN KEPADA GOLONGAN YANG MENENTANG KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Bagi menghadapi golongan ar – Riddah, iaitu golongan yang tidak mahu membayar zakat dan kemunculan nabi palsu, khalifah ar – Rashidin menghantar utusan memberi penerangan dan meminta mereka kembali kepada ajaran Islam. Tindakan ketenteraan diambil setelah golongan ini masih enggan menghentikan gerakan mereka. Abu Bakar dan khalifah yang lain memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada golongan yang telah bertaubat dan kembali semula kepada ajaran Islam.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Khalifah Bani Umaiyyah mengambil tindakan untuk menghapuskan gerakan yang menentang kerajaan Bani Umaiyyah terutama ke atas golongan Khawarij dan Syiah. Peristiwa Karbala telah memperlihatkan kekejaman Yazid yang membawa kepada pembunuhan Saidina Hussien. Penindasan dilakukan secara berterusan keatas golongan Khawarij dan Syiah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz sahaja yang berusaha untuk mengadakan perundingan dengan pihak musuh.

8. PERSAMAAN DASAR PEMERINTAHAN.
Persamaan dasar pemerintahan antara Khulafa Ar – Rashidin dan Khalifah bani Umaiyyah seperti berlandaskan dasar pemerintahan Umar Abd. Aziz. Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan Khalifah dari kerajaan Bani Umaiyyah yang berusaha menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam. Ini menyebabkan beliau dikenali oleh ahli sejarah sebagai Khulafa Ar – Rashidin yang ke lima.

9. KEDUDUKAN KHALIFAH SEBAGAI KETUA AGAMA.
Khulafa Ar –Rashidin mempunyai autoriti bidang keagamaan. Di zaman Bani Umaiyyah autoriti itu telah terhakis.

C. KESIMPULAN 

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 8 Jun 2010

Mengingati Umar Ketika Melihat Runtuhnya Keadilan

PARA PELAJAR SEMUA : MARI KITA BERFIKIR SEJENAK TENTANG APA YANG KITA PELAJARI DALAM TAMADUN ISLAM KHUSUSNYA DALAM TEMA 2 BERKAITAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB.
Apakah kekuatan Khalifah Umar Al-Khattab yang menyebabkan keadilan Islam dapat ditegakkan sepenuhnya pada zaman pemerintahannya. Malah para pengkaji beranggapan bahawa pada zaman pemerintahan Umarlah kecemerlangan Islam sangat terserlah sehinggakan dapat membebaskan Baitulmaqdis, kota-kota di Timur Eropah dan menumbangkan empayar Rom dan Parsi.

Menurut ulama dan para pengkaji sejarah Islam  bahawa kejayaan Umar ini disebabkan,

  • Pertama, kepimpinannya takutkan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada yang yang lain.
  • Kedua,  kerana beliau merasakan kepimpinannya bertanggungjawab langsung di depan Allah s.w.t.
  • Ketiga, merasakan setiap langkah dan tindakan yang dilakukannya benar-benar mengikut apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran, hadis dan Sunnah,
  • Keempat,  mempunyai rasa kemanusiaan yang sangat tinggi. Justeru, sebelum bertindak dia bertanya lebih dulu kepada dhamirnya (bisikan hatinya) sama ada tindakannya itu adil atau tidak.

Ini yang menjadi pendorong utama Umar dalam melakukan pelbagai arahan dan tindakan - bukan saja tindakan yang berhubung dengan perkara yang melibatkan sekitar hukum fiqah tetapi juga tindakan politik dan ketenteraan serta diplomasi, di mana ijtihadnya menepati kehendak Al-Quran dan hadis. Ini menyebabkan Nabi s.a.w. sering bersetuju dengan pandangan dan tindakan Umar.

Justeru Nabi s.a.w. pernah berkata: “Pada diri Umar sering memancar kebenaran dan kecemerlangan Islam.” Kini, dalam keadaan kalut sekarang, masyarakat merindukan seorang tokoh atau beberapa tokoh yang diharapkan mampu menegakkan keadilan, sama ada sebagai pemimpin politik yang memerintah, pemimpin masyarakat atau pemimpin dalam kelompok bangsa masing-masing serta keluarga. Namun tokoh yang dicari tidak juga ditemui.

Yang ada di depan mereka @ kita ialah pemimpin yang gelojoh kuasa, mengamalkan rasuah, pilih kasih, salah guna kuasa dan pelbagai perbuatan mungkar lagi. Justru rakyat semakin kecewa dan merasa lemas dengan keadaan yang ada. Mereka seperti berada di sebuah terowong gelap yang tidak ada sebarang cahaya di hujungnya untuk menunjuk jalan menghala keluar.

Memang ramai para pemimpin dari kalangan terpelajar, berkedudukan tinggi, popular, berpengaruh, memiliki harta dan kuasa yang luas, namun kepimpinan mereka sering ditandai dengan pelbagai perlakuan buruk - selain tidak adil juga pilih kasih, salahguna kuasa, tiada ketelusan, rasuah dan pelbagai lagi. Apakah kuasa itu membolehkan segala-galanya ?

Semua ini berlaku kerana kebanyakan pemimpin ini jauh dari ciri-ciri yang ada pada Umar Al-Khattab, iaitu mereka tidak merasa takutkan Allah s.w.t. Mereka tidak merasakan kepimpinannya bertanggungjawab langsung di depan Allah s.w.t. Sebab itu tindakan yang dilakukan oleh mereka sama sekali bertentangan dengan Al-Quran, hadis dan Sunnah.

Mereka juga tidak memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi.Justru sebelum bertindak, mereka tidak pernah bertanya kepada bisikan hati mereka sendiri sama ada tindakannya itu adil atau tidak. Inilah masalah yang melatari kepimpinan yang ada.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, untuk mencari kepimpinan seperti Umar Al-Khattab samalah seperti ‘memerah batu untuk mencari walau setitis air’. Anehnya, di tengah-tengah keadaan begini ada pemimpin yang walaupun zalim tetapi bercakap pula dengan lunaknya mengenai keadilan dan kata-kata yang muluk-muluk, malah konon bercita-cita pula untuk menegakkan kesamarataan rakyat. Ini benar-benar mengelirukan, sama seperti pencuri yang meneriakkan konon di sana ada pencuri, pada hal dialah sebenarnya sang pencuri.

Umar Al-Khattab menjalani kehidupan sangat sederhana – rumah sederhana, pakaian sederhana, kenderaan sederhana, makan minumnya sederhana, bahkah beliau mengenakan peraturan supaya keluarganya tidak memiliki harta, jauh dari membolot harta negara. Kisah Umar dan keluarganya yang hidup sederhana ini sudah diketahui umum sejak zaman berzaman, namun kisah ini jauh dari diteladani.

Ketika membebaskan Baitulmaqdis, Umar memakai pakaian lusuh sehingga orang menyangkakannya sebagai ‘penjaga kuda Umar’, sehinggalah pasukan Muslimin memberitahu penduduk Islam dan Kristian di Baitulmaqdis bahawa itulah Amirul Mukminin, bukan penjaga kudanya, menyebabkan mereka terperanjat dan mengkagumi Umar dan pasukannya.

Umar melarang rakyat menyambutnya secara besaran-besaran, melarang orang mengawalnya dengan rapi, jangan berdiri dan mencium tangan untuk menghormatinya ketika tiba di sesuatu majlis. Malah beliau tidak mahu duduk di bahagian depan di dalam sesuatu majlis, serta melarang khatib yang menyampaikan khutbah berdiri di tempat yang lebih tinggi dari jamaah supaya antara khatib dan jamaah tidak terpisah.

“Kedudukanku tidak lebih mulia dari kamu semua,” kata Umar, “Yang membezakan ialah kerana aku diamanahkan memimpin kamu semua. Ini tanggungjawab berat,” kata-kata ini diucapkan oleh Umar di suatu perhimpunan di Madinah ketika kaum Muslimin mendengar amanatnya.

Dari sudut lain, Umar Al-Khattab melarang sama sekali anak isteri dan saudara maranya dari mengumpul harta semata-mata kerana ada hubungan dengan kekuasaan khalifah. Hal ini sesuatu yang sangat sukar di contohi oleh pemimpin pemerintah pada zaman kini dan mungkin pada masa akan datang juga kiranya mereka bukan jenis pemimpin yang takutkan perintah Allah dan tidak peduli dengan persoalan dosa pahala.

Sementara itu, ulama dan pengkaji sejarah Islam di seluruh dunia bersependapat bahawa pemerintahan Umarlah yang berjaya menterjemahkan syariat Islam yang berpaksikan keadilan dan kasih sayang. Beliau mengingatkan tentera Islam supaya tidak menyalahgunakan kuasa, tidak berlaku kejam kepada rakyat meskipun berlainan agama dan suku kaum, bahkan berkewajipan melindungi mereka semua.

Umarlah orangnya yang memperjuangkan hak-hak rakyat tanpa mengira batas agama, warna kulit, suku kaum dan sebagainya. Justeru ketika Umar terbunuh di tangan Abu Lu’luah, seorang keturunan Parsi, rakyat menangis bukan semata-mata kerana kehilangan pemimpin yang disayangi, tetapi lebih jauh dari itu merasakan kepergian Umar seperti berakhirnya suatu zaman kegemilangan Islam dengan segala keadilannya. Mereka merasakan selepas kepergian Umar, maka keadilan mengucapkan ‘selamat tinggal’.

Umar telah pergi meninggalkan kita lebih seribu tahun lalu, namun legasinya, keadilan dan kesaksamaannya masih kekal dalam ingatan umat ketika umat sendiri – masa kini - sedang menyaksikan kepimpinan tirani yang tidak adil, tidak merasa berdosa kerana berdusta, menyeleweng, salahguna kuasa, rasuah dan segalanya. Namun kepimpinan ini tanpa malu-malu sering pula bercakap mengenai keadilan Umar. Inilah sebuah kepura-puraan di tahap paling tinggi.

Di depan kita sekarang hutan belantara kezaliman, ketidakadilan dalam pelbagai bentuk dan jauh dari petunjuk Ilahi, namun itulah wajah kepimpinan yang dipaksakan kita menerimanya. Justeru,  tugas umat ialah berjuang mengembalikan semula kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri seperti Umar Al-Khattab.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.