ENJIN CARIAN BAHAN

Memaparkan catatan dengan label NOTA TAMADUN DUNIA TEMA 2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NOTA TAMADUN DUNIA TEMA 2. Papar semua catatan

Ahad, 21 Oktober 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENGUKUHAN EMPAYAR

HURAIKAN LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH PEMERINTAH DALAM MENGUKUHKAN EMPAYAR TAMADUN INDIA, CHINA, DAN ROM.

A. PENGENALAN (3 Markah)

Imperalisme dan pembentukan empayar bermula dengan proses penaklukan, penguasaan dan pengawalan. Biasanya, berkait rapat dengan sistem pemerintahan monarki yang kedaulatan dan kuasa politik terletak di tangan maharaja atau raja. Menurut Farmer dalam buku, Comparative History of Civilizations, empayar merujuk kepada entiti politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Proses perluasan kuasa menyebabkan muncul beberapa empayar seperti empayar Maurya dan Gupta di India, empayar Chin dan Han di China dan empayar Rom di Eropah. Saiz wilayah yang luas ini memerlukan kebijaksanaan pemerintah untuk mengekal dan mengukuhkan empayarnya.

B. ISI-ISI PENTING (7 Isi X 3 Markah = 21 Markah)

Langkah Pemerintah Mengukuhkan Empayar

1. Perlaksanaan konsep hegemoni, iaitu penduduk-penduduk yang hidup di dalam empayar itu mengalu-alukan pemerintahannya. Rakyat empayar bersedia menerima sistem pemerintahan itu oleh kerana mereka menghormati kuasanya, undang-undang yang adil, keadaan yang aman dan faedah-faedah yang berpunca daripada itu, sistem kebudayaan yang tinggi serta peluang-peluang ekonomi yang boleh memajukan mutu kehidupan dan kemakmuran mereka. Perlaksanaan hegemoni bermaksud juga memerintah dengan persetujuan daripada rakyat yang taat setia kepada kerajaan mereka. Objektif kerajaan empayar ialah menggalakkan asimilasi dan integrasi rakyat empayar. Contoh yang nyata sekali ialah empayar Rom di mana bangsa­-bangsa asing yang dikuasai diberikan kewarganegaraan Rom dan dibenarkan berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam pentadbiran Rom clan wilayah-wilayahnya.

2. Menggunakan kekuasaan ketenteraan.

Sekiranya hegemoni tidak berjaya mengekalkan perpaduan, para pemerintah biasanya mentadbirkan empayarnya dengan kekuasaan tentera. Tentera digerakkan untuk menjamin keamanan empayar dan mengelakkan pemberontakan berlaku. Kuasa tentera sering kali disokong dengan pembinaan pelbagai kemudahan seperti kubu-kubu di Eropah Barat pada zaman feudal dan pembinaan Tembok Besar di negara China. Sistem jalan raya dan pengangkutan juga dimajukan untuk memudahkan pergerakan tentera. Pembinaan jalan raya di Rom telah memudahkan pergerakan tentera Rom ke wilayah-wilayah untuk mematahkan sesuatu pemberontakan di dalam empayar dan juga mempertahankan empayarnya daripada serangan orang-orang Germanic.

3. Pemusatan kuasa kerajaan

Walaupun sesebuah empayar dibahagikan kepada wilayah-wilayah tetapi kuasa kerajaan biasanya terletak di ibu kota empayar. Pemusatan politik adalah selaras dengan pembahagian masyarakat empayar kepada dua kategori, iaitu golongan yang berkuasa dan golongan yang ditakluki. Di pusat pemerintahan jawatan­jawatan yang penting dikuasai oleh golongan atasan yang taat setia kepada maharaja manakala di peringkat wilayah ketua pemerintah adalah wakil dari ibu kota yang dibantu oleh pemimpin-pemimpin tempatan. Semasa pemerintahan Asoka, kestabilan empayar adalah berasaskan penubuhan suatu sistem pentadbiran yang tertakluk kepada pengawalan pusat di Pataliputra. Untuk mendapatkan sokongan yang penuh daripada rakyat, golongan – golongan tertentu diserapkan ke dalam pentadbiran empayar terutamanya di peringkat wilayah dan daerah.

4. Wujudnya sistem birokrasi.

Apabila hal ehwal pentadbiran menjadi lebih kompleks akibat daripada perluasan empayar lagi, maka sebuah birokrasi yang terdiri daripada pelbagai jabatan diwujudkan untuk melicinkan pentadbiran empayar. Penubuhan birokrasi adalah nyata sekali di empayar Rom dan empayar China. Sistem pentadbiran amat penting bagi mengukuhkan cengkaman kuasa kerajaan di seluruh wilayah jajahan takluk. Untuk tujuan tersebut, biasanya sesebuah kerajaan membahagikan empayar kepada wilayah-wilayah yang diperintah oleh gabenor. Kerajaan pusat melantik pemerintah di peringkat wilayah dan sentiasa mengawasi pegawai-pegawai di wilayah. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti telah membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah dan wilayah-wilayah ini ditadbir oleh gabenor tentera.

5. Konsep Kehomogenan Empayar

Hampir kesemua rejim empayar berhasrat menyatukan empayarnya dengan dasar-­dasar untuk memupuk kehomogenan kebudayaan, masyarakat, agama, bahasa, dan ekonominya. Dinasti Han di China, ideologi Confucianisme dijadikan asas untuk menyatukan masyarakat China. DI tamadun Rom, budaya Greco-Roman dianggap sebagai budaya rasmi di seluruh empayar.

6. Wujudnya sistem naungan ekonomi. Contoh : negeri-negeri naungan biasanya membayar ufti atau sebahagian daripada hasil diserahkan kepada pemerintah pusat. Pengukuhan suatu empayar adalah berasaskan pengawalan dan penghasilan pertanian berlebihan oleh kerana kekuatan empayar bergantung kepada ekonomi pertanian secara besar – besar. Kekayaan dan kemakmuran empayar berpunca daripada pendapatan cukai tanah dan hasil tanaman. Hal ini memainkan peranan yang penting.

7. Kewibawaan pemimpin

Kewibawaan sesebuah empayar bergantung kepada pemimpin yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan kestabilan politik. Ini dapat diwujudkan dengan menggunakan kekuatan tentera. Di samping itu, pemimpin-pemimpin juga memberikan naungan politik kepada pertumbuhan tamadun. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti memberi peluang kepada golongan sarjana yang berminat dengan falsafah Konfucius menjalankan penyelidikan sejarah. Manakal, kerajaan Maurya memberikan naungan politik kepada golongan karyawan untuk bergiat dalam lapangan kesenian dan kesusasteraan.

8. Penyebaran agama

Pemimpin sesebuah empayar juga bertindak menyebarkan fahaman agama ke wilayah-wilayah jajahan takluk khususnya kepada pemimpin yang terikat dengan sesuatu fahaman agama dan ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Contohnya,Maharaja Asoka telah mengambil beberapa langkah untuk menyebarkan agama Buddha dalam empayarnya. Selain, mengadakan siri lawatan ke seluruh empayar untuk menyebarkan agama Buddha, baginda juga melantik pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Dharma Mahamatra untuk menyebarkan agama Buddha. Selain itu, Asoka telah mempraktikkan dan mengamalkan ajaran-ajaran Buddha dalam kehidupannya dengan menghentikan amalan membunuh binatang dan memakan daging. Hasil usaha dan langkah-langkah tersebut, agama Buddha telah menjadi agama dunia.

9.Kemajuan komunikasi

Kejayaan sesebuah empayar juga bergantung kepada sistem pengangkutan dan komunikasi. Rangkaian jalanraya diperlukan untuk menggerakkan pasukan tentera untuk melicinkan pentadbiran. Hal ini dapat dilihat dalam kerajaan Rom zaman Augustus Caesar. Beliau telah membina jalanraya-jalanraya yang menghubungkan Rom dengan kebanyakan kawasan jajahannya. Ini telah memudahkan pergerakan tentera ke kawasan jajahan untuk mematahkan sebarang kebangkitan untuk mencabar kepimpinan maharaja.

10. Konsep dewaraja / Legitimasi Pemerintah

Para pemerintah cuba menegakkan legitemasi mereka dengan tujuan mendapatkan ketaatsetiaan dan kepatuhan rakyat empayar. Kewibawaan dan kedaulatan raja kian dipertingkatkan melalui upacara agama. Jadi raja adalah bersifat kekudusan dan ia dianggap dewa – dewi, wakil atau bayang tuhan di muka bumi. Misalnya Chandaragupta menergaskan kepentingan agama Hinduisme manakala Asoka menggunakan agama Buddha untuk mencipta suatu sistem etika yang dapat menyatukan empayar. Kebesaran dan kemuliaan raja dan pemerintahnya diperkuatkan lagi dengan terlaksana upacara Istana yang kompleks dan juga pembinaan bangunan – bangunan dan monumen – monumen yang besar dan indah. Ini terbukti dengan pembinaan rumah berhala di India Maurya, dan tembok besar China.

12.Dasar diplomasi – perkahwinan politik.

Para pemerintah juga mengukuhkan sesebuah empayar melalui proses perkahwinan. Umpamanya, ketika Chandragupta II memerintah empayar Gupta, beliau menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara jiran melalui perkahwinan. Beliau mengahwini puteri keluarga diraja Naga yang bernama Kuveranaga. Beliau mengahwinkan puterinya Prabavatigupta diraja ini mengkuhkan kedudukan politik kerajaan Gupta kerana kedua-dua kerajaan ini penting untuk kesempatan empayar Gupta.

C. KESIMPULAN (1 Markah)

Empayar merupakan entiti politik yang lahir daripada kegiatan ketenteraan yang menyebabkan proses perluasan wilayah. Sebagai unit politik yang merangkumi kawasan yang luas, empayar mempunyai beberapa ciri seperti sistem birokrasi kerajaan pusat yang mantap , kehomogenian budaya, agama dan budaya, kekuatan militer, perlaksanaan hegemoni dan sistem naungan ekonomi. Ciri-ciri ini amat penting dalam memantapkan serta mengukuhkan kedudukan sesebuah empayar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Empayar akan mengalami kemerosotan apabila pemerintah gagal mengawal struktur empayar, mengukuhkan pentadbiran pusat, kemerosotan ekonomi dan sistem pertahanan lemah

- Apa-apa yang berkaitan

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 7 Ogos 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENGUKUHAN EMPAYAR DI ALAM MELAYU

Sejauhmanakah faktor agama memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan pemerintah di Alam Melayu.         

ATAU

Bincangkan cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan pemerintahan empayar di Alam Melayu.

A.  Pengenalan

1. Pemerintahan bermaksud satu badan atau organisasi yang dianggotai sebilangan individu yang dilantik atau dipilih mengikut prosedur perundangan bagi menjawat jawatan tertentu untuk mentadbir dan menguruskan sesebuah negara.

2. Maksud empayar

  • Jelaskan empayar di Alam Melayu.

B.  Isi : Cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan . Agama memainkan peranan penting tetapi terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi.

1. Agama

  • Pemerintah menggunakan ajaran-ajaran agama untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka.

  • Pemerintah menjadi penaung kepada ajaran agama yang disebarkan di empayar masing-masing.

  • Pemerintah mengaitkan konsep pemerintahan dengan konsep ketuhanan.

  • Melaka- pemerintah mengaitkan jurai keturunan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain dan Nabi-Nabi. Raja juga dianggap sebagai bayangan tuhan.

  • Majapahit-menggunakan undang-undang agama hindu dan kitab-kitab agama untuk mengaitkan mereka dengan dewa-dewa agama hindu.

  • Srivijaya- Raja-raja menggunakan kekayaan yang diperoleh untuk membiayai pengajian agama, membina kuil dan yayasan agama. 'Tuhan Vatakvurah' memainkan peranan untuk memastikan taat setia rakyat kepada raja.

2. Kekuatan Ketenteraan

  • Mempunyai bilangan tentera yang ramai merupakan satu kelebihan kepada sesebuah empayar.

  • Berjaya menguasai negeri-negeri yang kecil dan meluaskan empayar dengan meluas.

  • Melaka-mempunyai tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera.

  • Majapahit-mempunyai tentera yang ramai terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Daha, Wengker, Matahun, Lasem,Pajang dan Kabalan.

  • Srivijaya-mempunyai 20,000 tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Kedah Tua, dan negeri-negeri sekitar Segenting Kera.

3. Pentadbiran yang teratur

  • Sistem pentadbiran yang tersusun dan teratur memastikan pemerintah dapat menjalankan pemerintahan yang aman.

  • Pentadbiran yang teratur memastikan empayar dapat berkembang dengan meluas.

  • Melaka- Sultan dibantu oleh jemaah penasihat(Majlis Tertinggi) yang dianggotai oleh golongan bangsawan.Empat pembesar iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Syahbandar.

  • Majapahit- Kitab Negarakertagama mengandungi maklumat yang menunjukkan Majapahit mempunyai sistem pentadbiran yang teratur.

  • Srivijaya-Inkripsi Telaga Batu menunjukkan Srivijaya mempunyai pentadbiran yang lengkap.

4. Konsep Daulat dan Kesaktian

  • Raja dipercayai mempunyai daulat dan kesaktian. Konsep ini dikukuhkan melalui mitos tentang asal usul, jurai keturunan, serta kebolehan fizikal dan kerohaniannya.

  • Rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia kepada raja dan sesiapa yang menentangnya akan dianggap penderhaka.

  • Penderhaka akan ditimpa mudarat atau tulah dalam bentuk sumpahan atau balasan fizikal.

  • Melaka-raja-raja digambarkan mempunyai daulat yang menyebabkan berlaku kesan fizikal kepada penderhaka.

  • Majapahit- raja-raja dianggap penjelmaan sebagai Dewa Shiva dan Vishnu.

  • Srivijaya-raja dianggap sebagai penjelmaan dewa Amoghapasha Avalokitesvara.

5. Peraturan-peraturan khusus

  • Kedudukan dan kebesaran seorang raja dikukuhkan melalui cara-cara berikut.

  • Warna, rumah,penggunaan nobat diraja, penggunaan bahasa istana serta alat-alat kebesaran seperti ketur, kendi,kipas dan cogan.

  • Melaka- pengunaan kata-kata seperti patik, beta dan lain. Warna kuning hanya untuk raja.

  • Majapahit-raja-raja diagungkan melalui syair-syair yang dihasilkan oleh Sri Mudali dan Sudahrma.

  • Srivijaya-raja digambarkan jelmaan dewa-dewa

C.  Kesimpulan

Kejayaan pemerintah di Melaka, Majapahit dan Srivijaya mengekalkan pengaruh dan kekuasaan menyebabkan empayar jajahan yang dikuasai begitu meluas. Hal ini menyebabkan keagungan dan kegemilangan empayar-empayar berkekalan untuk satu tempoh yang agak lama.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Jumaat, 27 Julai 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – NEGARA KOTA

HURAIKAN KONSEP NEGARA KOTA DAN BINCANGKAN CIRI-CIRI NEGARA KOTA MESOPOTAMIA.

 

A) Pendahuluan [2 Markah]

Tamadun Mesopotamia diasaskan oleh orang Sumeria sekitar tahun 3500 SM hingga 2000 SM di lembah Sungai Tigris dan Euphrates (di negara Iraq sekarang). Orang Sumeria dipercayai berasal dari Dataran Tinggi Asia Tengah. Nama Mesopotamia diberi oleh orang Greek yang bermakna lembah antara dua sungai. Penduduk negara kota Mesopotamia mempunyai semangat patrotisme yang tinggi terhadap kota masing-masing. Mereka sering berperang untuk meluaskan wilayah dan kekuasaan masing-masing.

B) Isi

Konsep Negara Kota [5 Markah]

Negara kota berasal daripada perkataan Greek iaitu acropolis yang membawa erti sebidang tanah. Aristotle berpendapat bahawa negara kota muncul dan berkembang secara evolusi iaitu petempatan yang diasaskan oleh sesuatu keluarga berkembang menjadi kampung, bandar dan akhirnya negara kota. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa negara kota merupakan manifestasi awal kepada kemunculan sesebuah negara. Walaupun cuma sebuah kota, namun pemerintahan adalah berdaulat dan merdeka. Negara kota mempunyai raja, masyarakat, undang-undang dan sempadan politiknya yang tersendiri. Selain ini, negara kota dikelilingi tembok untuk melindungi kota daripada serangan musuh.

Ciri-ciri negara kota Mesopotamia [5 isi x 3markah]

1. Ciri-ciri fizikal

Pada Zaman Dinasti Awal terdapat 13 buah negara kota dalam Tamadun Mesopotamia. Negara kota yang terpenting dan sering mempengaruhi perkembangan politik Mesopotamia ialah Lagash, Ur, Uruk dan Eridu. Setiap negara kota mempunyai jumlah penduduk sehingga 30 000 orang dengan keluasan lebih kurang 1000 batu persegi. Ciri fizikal yang lain seperti mempunyai kubu pertahanan, jalan raya, pelabuhan dan pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan sebuah kota.

2. Negara kota dinaungi oleh dewa atau tuhan

Menurut kepercayaan masyarakat Sumeria, dewa-dewa itu bukan sahaja menaungi tetapi juga menguasai dan memiliki kota-kota itu. Oleh itu setiap negara kota harus dilengkapi dengan rumah-rumah berhala besar untuk melindungi negara kota tersebut. Negara kota Nippur dilindungi oleh Tuhan Enlil, negara kota Lagash dilindungi oleh Tuhan Ningirsu dan negara kota Ur dilindungi oleh Tuhan Nanna (Tuhan Bulan).

3. Peranan rumah berhala

Setiap negara kota di Mesopotamia telah didominasi oleh rumah-rumah berhala dan istana. Di negara kota Nippur dan Uruk, rumah-rumah berhala diwarnakan cerah. Rumah-rumah berhala memiliki kawasan tanah dan padang rumput yang tersendiri. Tanah-tanah tersebut diusahakan oleh penduduk sesebuah negara kota. Para pendeta bertindak membantu raja menguruskan segala pengagihan hasil-hasil pertanian.

4. Negara kota bersifat teokrasi

Setiap negara kota Mesopotamia diketuai oleh Penaung Kota (City God). Mereka ialah makhluk ghaib yang dipercayai oleh penduduk Mesopotamia sebagai kuasa suci yang menjaga kota mereka. Di bawah Penaung Kota terdapat Ketua Pendeta. Kedudukannya sangat penting kerana masyarakat Mesopotamia mempunyai kepercayaan kuat terhadap dewa kota masing-masing. Pendeta merupakan orang yang akan berkomunikasi dengan dewa-dewa tersebut. Pendek kata pemerintahan negara kota Mesopotamia lebih bersifat teokrasi.

5. Organisasi pentadbiran

Pentadbiran negara kota diketuai oleh Ketua Paderi. Ketua Paderi dibantu oleh pesuruhjaya. Di bawah pesuruhjaya terdapat seorang ketua penyelia yang mengawasi pegawai-pegawai peringkat bawahan yang terdiri daripada jurutulis, penyelia-penyelia inspektor. Kelompok pekerja adalah lapisan yang paling bawah dalam struktur organisasi pentadbiran. Kota-kota mempunyai sistem birokrasi yang amat tersusun. Seluruh tenaga kerja didaftarkan dan dibahagi-bahagikan kepada beberapa jabatan atau badan. Contohnya, nelayan-nelayan dibahagikan kepada kumpulan yang berlainan mengikut tempat mereka menangkap ikan. Begitu juga artisan. Mereka juga memiliki organisasi yang tersendiri.

6. Kegiatan ekonomi

Kegiatan ekonomi utama negara kota ialah pertanian. Golongan petani meliputi 90% penduduk Mesopotamia. Mereka mendapat benih, peralatan, dan pakaian daripada bengkel-bengkel yang terletak di rumah-rumah berhala. Sebagai balasannya, mereka mengusahakan tanah Tanah-tanah pertanian pula dimiliki oleh raja, golongan bangsawan dan pegawai tentera.Tanah-tanah yang dimiliki oleh rumah berhala dan istana disewakan kepada petani ataupun diusahakan oleh golongan serf. Tanah-tanah yang diusahakan terbahagi kepada tiga golongan iaitu tanah milik tuan tanah. Tanah ini diusahakan oleh semua penduduk untuk kepentingan rumah berhala. Tanah makanan pula hasilnya diagihkan kepada kakitangan rumah berhala. Tanah yang disewakan. Tanah jenis ini disewakan oleh rumah berhala dan hasil cukai digunakan oleh kakitangan rumah berhala atau diagihkan kepada rakyat. Golongan pedagang pula memperdagangkan tanaman, arak, minyak serta buah kurma dan kain/tekstil yang diperoleh daripada rumah berhala.

Kesimpulan[ 2 markah ]

Kemunculan negara kota melambangkan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Mesopotamia dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Perkembangan ini menyebabkan lahir kehidupan yang sistematik dan terancang serta meletakkan asas bagi peningkatan tamadun.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Ahad, 6 Mei 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – MAHARAJA SHIH HUANG TI

Huraikan langkah-langkah yang diambil oleh Shih Huang Ti untuk mengukuhkan sistem pemerintahan beraja dalam tamadun China.

Pengenalan: [ 3 markah ]

1. Latar belakang Shih Huang Ti

· Maharaja Shih Huang Ti adalah pengasas Dinasti Chin pada tahun 221 S.M .

· Beliau telah mengasaskan empayar yang luas sehingga Sungai Merah di Vietnam.

· Berjaya menyatukan seluruh empayar China ke bawah satu pemerintahan pusat.

2. Sistem pemerintahan beraja China

· Ketua kerajaan pusat ialah maharaja atau Huang Ti.

· Gelaran Huang Ti digunakan oleh maharaja pertama Dinasti Chin.

· Gelaran ini menunjukkan kuasa dan karisma seseorang raja yang dianggap sebagai The Great King dan The King of Kings.

· Maharaja mempunyai kuasa tertinggi, sumber undang-undang, ketua kerajaan, ketua hakim, dan ketua agama.

Isi : [ 7 isi X 3 markah = 21 markah ]

Langkah-langkah pengukuhan sistem pemerintahan beraja:

1. Menjalankan sistem pemerintahan berpusat

· Menubuhkan ibu kota di Hsein Yang sebagai pusat pemerintahan.

· Semua kuasa kerajaan adalah di bawah kuasa maharaja yang memerintah terus dari ibu kota.

· Menjalankan pemerintahan bersifat autokratik

2. Menghapuskan sistem feudal

· Menghapuskan sistem feudal dengan menyekat kuasa dan pengaruh golongan aristokrat/bangsawan serta pegawai-pegawai feudal di peringkat wilayah dan daerah.

· Merampas tanah golongan aristokrat/bangsawan dan mengarahkan mereka tinggal di sekitar kawasan istananya.

· Lebih 120 000 orang aristokrat telah diarahkan ke ibu negeri iaitu Hsien Yang, pusat kerajaan Dinasti Chin.

3. Memperkenalkan ‘scholar system’

· Melatih sekumpulan kakitangan awam yang mempunyai pendidikan untuk menjadi gabenor dan pegawai-pegawai yang berkhidmat dengannya.

· Dilatih selama 15 tahun untuk menjadi kakitangan awam yang akan berkhidmat kepada maharaja.

· Melalui sistem ini tiada lagi golongan bangsawan dilantik secara warisan melalui sistem feudal tetapi mesti berdasarkan kelulusan dalam peperiksaan awam yang dijalankan dengan ketat. Ini dapat mengukuhkan kuasa maharaja.

4. Mewujudkan tiga pentadbiran utama

· Maharaja bertanggungjawab kepada tiga pentadbiran utama iaitu Canselor, Setiausaha Imperial dan Grand Commandant.

· Bertanggungjawab menasihati raja dan menguruskan istana.

· Masing-masing mempunyai tugas khas. Contoh : Canselor mengawal keputusan dasar-dasar kerajaan dan lebih tinggi daripada jawatan lain. Setiausaha Imperial bertanggungjawab dalam membuat arahan , merekrut, dan menyelia ahli-ahli perkhidmatan raja. Grand Commandant mengawal tentera-tentera raja.

· Tanggungjawab ketiga-tiga jawatan tersebut diagihkan sesama mereka hinggakan tiada seorang pun berada dalam kedudukan yang mampu menggulingkan kuasa maharaja. Dengan demikian dapat mengukuhkan kuasa maharaja.

5. Membuat perubahan dalam pentadbiran wilayah/provinsi

· Membahagikan empayar kepada 36 wilayah (kemudiannya 42 wilayah)

· Menghapuskan kuasa golongan bangsawan memerintah wilayah.

· Shih Huang Ti melantik gabenor dan panglima tentera untuk mentadbir wilayah yang terdiri daripada ahli keluarganya atau pegawai tentera yang banyak berjasa kepadanya.

· Pemerintahan wilayah dikawal oleh pusat pemerintahan maharaja.

· Ia bertujuan untuk mengelakkan wilayah membentuk kerajaan dan mencabar kerajaan pusat sebagaimana dalam sistem feudal.

6. Melantik pemerhati/perisik wilayah

· Untuk mengawal pentadbiran wilayah, seorang pemerhati dilantik bagi mengawasi tindak-tanduk gabenor-gabenor di wilayah.

· Pegawai-pegawai pemerhati ini akan melaporkan kepada maharaja di kerajaan pusat dan dengan cara ini maharaja boleh mengawal semua wilayah dalam empayarnya.

7. Penguatkuasaan undang-undang

· Penduduk di China diatur dalam kumpulan-kumpulan keluarga yang mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyediakan guna tenaga dalam kerja-kerja pembinaan dan ketenteraan.

· Sistem ini dikuatkuasakan melalui kanun keseksaan yang kejam.

· Kaedah pemerintahan seperti ini dikuatkuasakan oleh Shih Huang Ti di seluruh negara China untuk menyatukan Negara China dan mengukuhkan pemerintahannya.

8. Dasar pengawalan ke atas rakyat

· Mengamalkan sistem undang-undang yang ketat berasaskan fahaman legalisme yang bertujuan mengawal tingkah laku rakyat melalui undang-undang dan tindakan yang keras. Oleh itu, buku-buku ajaran Confucius telah dibakar kerana bertentangan dengan dasar yang diamalkannya.

· Sarjana-sarjana yang ingkar dihukum bunuh.

· Untuk mengelakkan pemberontakan, rakyat yang memiliki lembing, tombak, anak panah, dan kereta kuda dipaksa menyerahkan senjata-senjata tersebut kepada kerajaan.

8. Memperkukuh sistem pertahanan daripada serangan luar

· Mempertahankan negara daripada serangan orang gasar khususnya orang Hsiung Nu dengan membina Tembok Besar Negeri China.

· Menyambung pembinaan Tembok Besar Negeri China yang dilengkapi dengan menara kawalan untuk memerhati gerakan musuh.

· Memperbesar dan memperkuat pasukan tentera.

Kesimpulan:[ 1 markah ]

1. Shih Huang Ti berjaya mengukuhkan pemerintahannya.

2. Sikap beliau yang autokratik dan zalim menyebabkan rakyat cuba memberontak tetapi gagal.

3. Sistem beraja Dinasti Chin mengalami keruntuhan selepas kematian Shih Huang Ti pada tahun 210 S.M kerana penggantinya lemah dan tidak dapat mengawal seluruh empayar yang luas.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Rabu, 2 Mei 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – FAKTOR PENGUKUHAN KUASA EMPAYAR

Sejauhmanakah kekuatan ketenteraan penting dalam pengukuhan kuasa empayar tamadun-tamadun awal.

CONTOH JAWAPAN :

A. Pendahuluan

· Menurut Farmer dalam buku, Comparative History of Civilizations, empayar merujuk kepada entiti politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Kemunculan empayar disebabkan oleh dasar imperialisme yang menyebabkan berlaku proses penaklukan dan perluasan kuasa terhadap negara-negara lain. Proses perluasan kuasa menyebabkan muncul beberapa empayar seperti empayar Maurya dan Gupta di India, empayar Chin dan Han di China dan empayar Rom di Eropah. Terdapat dua jenis empayar yang utama iaitu empayar daratan dan empayar maritim. Empayar daratan menguasai tanah yang luas seperti empayar Maurya, Gupta, Rom dan Chin. Empayar maritim pula bergantung kepada penguasaan laut seperti empayar Srivijaya dan Majapahit .

· Konsep ketahanan dan pertahanan. ( Buat rujukan )

B. Isi-isi

(Huraikan isi kekuatan ketenteraan pada perenggan pertama. Mesti ! )

1. Kekuatan ketenteraan

Kekuatan ketenteraan amatlah penting dalam pengukuhan empayar dan bagi mewujudkan keamanan dalam empayar. Para pemerintah menggunakan tentera untuk mengatasi rampasan kuasa, pemberontakan dan keadaan kacau bilau. Bagi memudahkan tentera mengawal keadaan dalam negara, kota-kota pertahanan, jalanraya dan tembok didirikan. Contohnya pada zaman pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti, tembok besar yang dikenali sebagai Tembok Besar China didirikan bagi mengelakkan serangan orang-orang gasar.

Dalam Tamadun India pula, kekuatan ketenteraan begitu dominan dalam pengukuhan dan perluasan empayarnya. Dalam hal ini,terdapat empat jenis tentera yang digunakan iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera berkereta kuda dan tentera berjalan kaki ( infantri ).Terdapat juga unit – unit seperti tentera laut, pengintip, kumpulan perintis dan komisariat. Keunikan ketenteraan India ialah penggunaan gajah dan ianya berperanan memecahkan barisan tentera musuh, meruntuhkan kubu, pintu kota dan benteng pertahanan. Kereta kuda pula digunakan secara meluas pada zaman Maurya dan kebiasaannya Raja – raja India mempunyai angkatan tentera yang besar. Misalnya, Candragupta Maurya mempunyai 600, 000 orang tentera, Rajaraja I mempunyai 900, 000 orang tentera dan Mahendrapala boleh menggerakkan 800,000 orang tentera pada bila-bila masa.

(Huraikan dan tegaskan terdapat faktor lain yang turut mengukuhkan kuasa empayar)

2. Perluasan wilayah

Salah satu ciri lain dalam pengukuhan empayar ialah perluasan kuasa. Apabila sesebuah empayar menjadi stabil, langkah-langkah diambil untuk memperkembangkan pengaruh di wilayah-wilayah berhampiran. Usaha perluasan kuasa merupakan langkah untuk menundukkan kuasa-kuasa besar di pinggiran yang menggugat kestabilan politik sesebuah empayar. Contohnya, empayar Maurya diasaskan oleh Chandragupta Maurya dengan menyatukan negara-negara kecil di utara India. Pembentukan empayar ini bertujuan untuk menundukkan ancaman Yunani.

3. Sistem birokrasi yang teratur

Kekuatan sesebuah empayar dapat dipertahankan dengan wujudnya sistem pentadbiran yang sistematik dan teratur. Sistem pentadbiran amat penting bagi mengukuhkan cengkaman kuasa kerajaan di seluruh wilayah jajahan takluk. Untuk tujuan tersebut, biasanya sesebuah kerajaan membahagikan empayar kepada wilayah-wilayah yang diperintah oleh gabenor. Kerajaan pusat melantik pemerintah di peringkat wilayah dan sentiasa mengawasi pegawai-pegawai di wilayah. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti telah membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah dan wilayah-wilayah ini ditadbir oleh gabenor tentera.

4. Keseragaman budaya

Pembentukan keseragaman budaya bertujuan untuk melahirkan kesatuan dan perpaduan di seluruh empayar. Dalam konteks ini, lazimnya budaya negara induk akan dijadikan budaya rasmi di seluruh jajahan takluk empayar. Contohnya, Iskandar Zulkarnain menyebarkan kebudayaan Hellenistik yang merupakan paduan antara budaya Yunani dan Parsi ke seluruh empayar. Beberapa bandar baru ditubuhkan sebagai pusat penyebaran kebudayaan Hellenistik seperti Iskandariah dan Antioch.

5. Keseragaman sosial dan ekonomi

Para pemerintah sesebuah empayar lazimnya akan bertindak menyeragamkan sistem tulisan, ukuran timbangan dan penggunaan matawang. Tindakan ini diambil untuk melicinkan urusan pentadbiran dan juga untuk memupuk semangat nasionalisme di kalangan penduduk. Contohnya, Sargon Agung telah memperkenalkan bahasa Akkadia sebagai bahasa rasmi empayarnya. Manakala, Asoka yang merupakan pemerintah agung empayar Maurya telah menjadikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa rasmi empayarnya bertujuan mewujudkan penyatuan politik dan budaya. Dalam bidang ekonomi pula para pemerintah memperkenalkan sistem timbangan, ukuran dan matawang yang seragam. Contohnya, di Melaka, sistem timbangan berdasarkan ukuran kati dan tahil digunakan.

6. Kewibawaan pemimpin

Kekuatan dan keutuhan sesebuah empayar bergantung kepada pemimpin yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan kestabilan politik. Ini dapat diwujudkan dengan menggunakan kekuatan tentera. Di samping itu, pemimpin-pemimpin juga memberikan naungan politik kepada pertumbuhan tamadun. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti memperkenalkan sistem legalisme dalam pemerintahannya dalam usaha mengukuhkan kekuasaan dan keamanan pemerintahannya. Manakala, kerajaan Maurya memberikan naungan politik kepada golongan karyawan untuk bergiat dalam lapangan kesenian dan kesusasteraan.

7. Penyebaran agama

Pemimpin sesebuah empayar juga bertindak menyebarkan fahaman agama ke wilayah-wilayah jajahan takluk khususnya kepada pemimpin yang terikat dengan sesuatu fahaman agama dan ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Contohnya, Maharaja Asoka selepas Perang Kalinga telah mengambil beberapa langkah untuk menyebarkan agama Buddha dalam empayarnya. Selain, mengadakan siri lawatan ke seluruh empayar untuk menyebarkan agama Buddha, baginda juga melantik pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Dharma Mahamatra untuk menyebarkan agama Buddha. Selain itu, Asoka telah mempraktikkan dan mengamalkan ajaran-ajaran Buddha dalam kehidupannya dengan menghentikan amalan membunuh binatang dan memakan daging. Hasil usaha dan langkah-langkah tersebut, agama Buddha telah menjadi agama dunia.

8. Kemajuan komunikasi

Kejayaan sesebuah empayar juga bergantung kepada sistem pengangkutan dan komunikasi. Rangkaian jalanraya diperlukan untuk menggerakkan pasukan tentera untuk melicinkan pentadbiran. Hal ini dapat dilihat dalam kerajaan Rom pada zaman Augustus Caesar. Beliau telah membina jalanraya-jalanraya yang menghubungkan Rom dengan kebanyakan kawasan jajahannya. Ini telah memudahkan pergerakan tentera ke kawasan jajahan untuk mematahkan sebarang kebangkitan untuk mencabar kepimpinan maharaja.

C. Kesimpulan

Empayar merupakan entiti politik yang lahir daripada kegiatan ketenteraan yang menyebabkan proses perluasan wilayah. Sebagai unit politik yang merangkumi kawasan yang luas, empayar mempunyai beberapa ciri seperti sistem birokrasi kerajaan pusat yang mantap , kehomogenian budaya, agama dan budaya, kekuatan militer, perlaksanaan hegemoni dan sistem naungan ekonomi. Ciri-ciri ini amat penting dalam memantapkan serta mengukuhkan kedudukan sesebuah empayar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Empayar akan mengalami kemerosotan apabila pemerintah gagal mengawal struktur empayar, mengukuhkan pentadbiran pusat, kemerosotan ekonomi dan sistem pertahanan lemah.

* Apa-apa sahaja yang berkaitan

 

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Ahad, 22 April 2012

TAMADUN DUNIA :TEMA 1/2/3 – PERANAN ORANG LAUT

image LATIHAN  ESEI !!!     new.aspx
PELAJAR TINGKATAN 6 ATAS SMKDARY: ESEIKAN SOALAN INI. BACA DAN KAJI DENGAN TELITI .
SILA CETAK CONTOH SKEMA UNTUK RUJUKAN.
Jelaskan peranan orang laut dalam kerajaan di Alam Melayu sehingga abad ke 17 Masihi.

CONTOH JAWAPAN:
Pengenalan

- Tom Pires menggelarkan orang laut sebagai Celates/Selatter, Prof. O.W. Wolters menggunakan istilah Gipsi Laut.
- Tempat asal kelompok ini ialah gugusan Riau-Lingga, di selatan Selat Melaka.

Isi-isi Penting

1. Membantu meningkatkan ekonomi melalui pengumpulan hasil-hasil laut.

i. Orang laut menjalankan kehidupan mereka dengan melakukan rondaan keselamatan di laut dan mengumpul hasil-hasil laut seperti mengutip kulit penyu,mengumpul tumbuhan laut seperti agar-agar dan sagu yang sangat diperlukan oleh para pedagang pada masa itu.
ii. Mempunyai banyak pengetahuan tentang angin monsun dan pulau-pulau di pesisir pantai barat dan timur Semenanjung Tanah Melayu.

2. Membantu mengukuhkan kerajaan Srivijaya, Melaka dan Johor-Riau

i. Hubungan erat orang laut dan Kerajaan Srivijaya banyak membantu kerajaan Srivijaya mengekalkan keunggulan ekonomi dan politiknya pada kurun ke-7 hingga kurun ke-13.
ii. Kajian awal membuktikan bahawa peranan Orang Laut ini amat penting dalam membina kegemilangan kerajan Srivijaya,Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan terus berkesinambungan pada zaman kerajaan Johor-Riau.
iii. Menjadi tulang belakang dalam angkatan laut serta mendapat kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial.

3. Sebagai pentadbir dalam istana

i. Anak raja Srivijaya iaitu Parameswara telah dibantu oleh orang laut untuk menubuhkan kerajaan Melayu Melaka.
ii. Upacara pertabalan telah dilakukan ke atas Parameswara iaitu upacara “abhiseka” memberikan kedaulatan kepadanya dan keturunannya.
iii. Ada orang Laut menjadi pendayung, hulubalang, panglima dan Bentara malahan ke jawatan tinggi seperti Bendahara, Laksamana dan Temenggung.

4. Sebagai tentera laut dan pahlawan

i. Orang Laut merupakan pasukan perang yang gagah, berani dan setia. Kesetiaan pernah ditunjukkan kepada kerajaan Sri Vijaya , Melaka dan Johor-Riau.
ii. Kemahiran mereka mendayung telah menjadikan mereka pilihan utama sebagai tentera angkatan laut.Sangat mahir tentang angin monsun dan pulau-pulau di pesisir pantai barat dan timur Semenanjung Tanah Melayu.
iii. Kekuatan Orang Laut juga tergambar kerana jumlah mereka yang menjadi hulubalang lebih ramai daripada orang Melayu pada abad ke-17.
iv. Mereka dianggarkan menganggotai kira-kira satu suku tentera Melayu dalam Kerajaan Johor-Riau.

5. Sebagai pekerja untuk istana raja

i. Orang Laut juga berperanan sebagai pembawa utusan dan surat-surat kepada pemerintah luar negeri, menyediakan agar-agar dan sagu kepada raja, berkhidmat di dapur istana, mengangkut kayu api serta menjaga anjing perburuan Sultan.
ii. Pemerintah Johor memahami peranan dan bakat semula jadi Orang Laut untuk menarik kapal asing berdagang ke Johor dan mengurangkan persaingan asing terutama dari pihak Belanda di Selat Melaka.

Kesimpulan :
Orang Laut memainkan peranan yang amat penting dalam mengukuhkan kekuatan dan kegemilangan Sri Vijaya, Melaka dan Johor-Riau.
Pada suatu masa mereka amat gemilang dan berada di mercu yang tinggi dalam hieraki sosial dan kuasa politik Melayu dari abad ke-7 hingga abad ke-17 Masihi.
 
Bacaan Tambahan : Klik Sini

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Selasa, 7 Februari 2012

SIRAH NABAWIYAH - PERANAN & PERLUNYA RIWAYAT HIDUP RASULULLAH DALAM MEMAHAMI ISLAM

image

PERANAN & PERLUNYA RIWAYAT HIDUP RASULULLAH DALAM MEMAHAMI ISLAM

Tujuan mengkaji riwayat hidup RasuluLlah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita menganggap kajian sejarah hidup Rasulullah ini sama dengan membaca dan menala'ah sejarah para pemerintah (khalifah) di zaman purbakala.

Tujuan pokok dari kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu.

Tegasnya kajian riwayat hidup Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam ini adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad Sallallahu 'alahi Wasallam.

BACAAN LANJUT : RUJUK E-BOOK INI = http://muzir.files.wordpress.com/2009/11/49725895-ar-raheeq-al-makhtum-melayu.pdf

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Ahad, 3 Julai 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PEMERINTAHAN BERAJA

Huraikan perkembangan sistem pemerintahan beraja di China pada zaman Dinasti Han.

A) Pengenalan

1. Latar belakang Dinasti Han

2. Sistem pemerintahan di China.

3. Dinasti Han muncul setelah jatuhnya kerajaan dinasti Chin pada tahun 206 SM. Dinasti ini kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah China. Ibu negaranya terletak di Chang-an. Pencapaian terpenting dinasti Han ialah dari segi pembentukan sistem pemerintahan yang stabil. Sistem ini menjadi model kepada dinasti-dinasti China yang berikutnya.

B) Isi ( 20 markah: 5 isi x 4 markah )

1. Pemerintah tunggal (Maharaja) – pemusatan kuasa oleh maharaja.

Maharaja menduduki puncak kekuasaan tertinggi, berkuasa penuh untuk menggubal undang-undang, menguasai kerajaan dan mentafsir ideologi negara. Apabila mahu mengubah undang-undang, Maharaja hanya mengeluarkan perintah. Perintah Maharaja itu adalah undang-undang.

2. Sistem Pentadbiran

Maharaja dibantu oleh sebuah birokrasi, yang diuruskan oleh pegawai kerajaan. Mereka dilantik berasaskan kepada sistem peperiksaan awam. Dalam peperiksaan ini, mereka diuji pengetahuannya dari segi kesusasteraan, falsafah dan hal-ehwal pemerintahan. Para pegawai bertanggungjawab secara langsung kepada Maharaja. Untuk mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, Maharaja biasanya tidak membenarkan seseorang pegawai itu berkhidmat terlalu lama di satu-satu tempat atau di tempat kelahirannya dan juga terlalu lama memegang sesuatu jawatan. Sebab itu, seseorang pegawai kadang kala diserahkan beberapa tugas sekaligus, bagi mengelak pegawai berkenaan memperolehi kemahiran dalam satu bidang tertentu sahaja. Malah, pada ketika tertentu, satu-satu tugas diserahkan kepada beberapa pegawai untuk dikongsi tanggungjawab pelaksanaannya. Birokrasi disusun kepada beberapa kementerian seperti perkhidmatan awam, percukaian, keraian, hukuman, dan pengadilan, dan kerja-kerja awam.

3. Sistem Undang-Undang.

Undang-undang terhadap petani dan golongan bawahan lainnya tidak boleh dipersoalkan, tetapi bagi golongan atasan/bangsawan, bentuk dan kuat kuasanya lebih fleksibel. Kadangkala apabila kesalahan membabitkan orang atasan, undang-undang boleh dipinda atau dihapuskan. Dikuatkuasakan dengan mengenakan hukuman yang berat, tetapi kadangkala dilaksanakan dengan lebih bertimbang rasa oleh pegawai yang berperikemanusiaan.

4. Ideologi rasmi

Pegawai kerajaan merupakan mereka yang taat kepada falsafah Confucius, mereka menganut fahaman ini dengan patuh. Mereka menjadi obor kepada penyebaran dan kelangsungan Confucianisme dalam tamadun China. Berbeza dengan Dinasti Chin, Pemerintahan Han berdasarkan prinsip intelektual, kesarjanaan Confucius dan bukan lagi berasaskan prinsip keperwiraan tentera.

5. Kerajaan imperial

Pentadbiran empayar-empayar yang ditakluki Empayar Han berdasarkan sistem ufti sebagai tanda kepatuhan kepada kerajaan Han dan membentuk kerajaan imperial. Sistem ini bermula dengan Maharaja Han Wu Ti.

6. Hubungan diplomatik

Menjalin hubungan diplomatik dengan Tibet, Hsiung Nu, dan Bactria untuk menjamin kestabilan sempadan wilayah Han di China. Dasar ini adalah sebahagian dasar pembendungan musuh-musuh.

C) Kesimpulan

Melalui sistem pemerintahan yang diwujudkan itu, China memperolehi tatacara pemerintahan yang mantap. Meskipun Dinasti Han jatuh pada tahun 220M, dan selepas itu China beberapa ketika berada dalam huru-hara, tetapi setelah munculnya dinasti Sui, Tang, dan Sung kemudiannya, sistem pemerintahan di negara itu terus bergerak di atas landasan yang terbina pada zaman dinasti Han. Sistem tersebut menjadi amalan berterusan di negara China sehingga runtuhnya kerajaan dinasti Ching pada tahun 1911.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Jumaat, 6 Mei 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – CIRI-CIRI PEMERINTAHAN BERAJA DI ALAM MELAYU

Bincangkan ciri-ciri sistem pemerintahan beraja di Alam Melayu.

A) PENGENALAN

Pemerintahan dapat didefinisikan sebagai institusi yang menggubal dasar dan peraturan serta melaksanakan keputusan-keputusan yang berkaitan dengan kepentingan awam.Terdapat pelbagai bentuk sistem pemerintahan dalam tamadun awal dunia yang bertujuan mengurus serta mentadbir sesebuah negara,menegakkan undang-undang negara,menegakkan undang-undang dan perpaduan rakyat. Sistem pemerintahan beraja merupakan sistem pemerintahan yang terawal dalam tamadun dunia. Pemerintahan beraja boleh dibahagikan kepada pemerintahan berpusat dan wilayah. Antara kerajaan awal di Alam Melayu yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja adalah seperti kerajaan Angkor, Srivijaya, Melaka, dan Majapahit.Terdapat pelbagai ciri sistem pemerintahan beraja di Alam Melayu sebelum abad ke15M.

B) ISI-ISI PENTING: ( 5 x 4M)

1. Raja sebagai simbol kosmos.

Raja di alam Melayu sebelum abad ke 15M, adalah berasaskan konsep kosmologis.Raja merupakan simbol kosmos manakala rakyat berada di bawah penguasaannya.Lahir konsep dewaraja. Raja adalah jelmaan dewa Shiva,Vishnu,dan Buddha.Raja mempunyai kuasa suci dan berdaulat. Pemujaan dewa berkembang secara meluas di Alam Melayu pada zaman Hindu Buddha.Cth: Raja Air Langga dan Ken Arok dianggap sebagai penjelmaan dewa Vishnu.

Di Srivijaya pula, raja dianggap sebagai penjelmaan Dewa Amoghapasha Avalokitesvara.Amalan pemujaan raja berkembang di Srivijaya dari abad ke 7 hingga abad ke 14 M.Rakyat dikehendaki mencurahkan taat setia yang tidak berbelahbagi .Rakyat yang menentang raja akan menerima hukuman seperti ditimpa tulah.

2. Raja berkuasa mutlak.

Raja merupakan autoriti tertinggi dalam pemerintahan negara. Raja memerintah dengan kuasa mutlak.Kekuasaan baginda dikukuhkan dengan cara mengaitkannya dengan asal-usul keturunannya dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Iskandar Zulkarnain. Raja melebihi undang-undang dan hukuman ditangannya. Raja boleh mengampun kesalahan walaupun yang melakukan kesalahan adalah dirinya sendiri. Raja kekal daripada sebarang hukuman.

3. Raja sebagai ketua dalam semua bidang.

Raja bertindak sebagai panglima tentera,ketua hakim,ketua agama dan sebagainya. Dalam bidang ketenteraan, raja bertindak sebagai perancang, dan mengetuai pasukan tentera. Dalam hal-hal keagamaan, raja bertanggungjawab dalam pengurusan rumah ibadat, melantik ketua agama, serta upacara keagamaan. Raja berkuasa penuh dalam bidang kewangan, dan ekonomi seperti pungutan cukai, hasil pertanian, perniagaan dan semua perkhidmatan. Raja dianggap tuan punya tanah.

4. Raja sebagai ketua eksekutif .

Dalam pentadbiran beraja di Alam Melayu sebelum abad ke 15M, raja merupakan ketua tertinggi dengan dibantu oleh golongan bangsawan. Raja dibantu oleh golongan kerabat diraja yang dilantik seperti bendahara, laksamana, temenggung, syahbandar dan lain-lain di Melaka. Di Srivijaya pula, terdapat jemaah menteri yang menasihati raja dalam perkara yang berkaitan dengan masalah rakyat jelata.

5. Raja mempunyai daulat dan kesaktian.

Raja dianggap mempunyai daulat dan kesaktian. Pada zaman Srivijaya,konsep daulat berkembang apabila raja dikaitkan dengan pelbagai mitos tentang asal-usul , jurai keturunan, salasilah serta kelebihan fizikal dan kerohaniannya. Dari segi keturunan, raja-raja dikaitkan dengan dewa-dewa yang dianggap suci. Daulat juga dihubungkan dengan tuah yang dimiliki oleh raja. Apabila keadaan dalam Negara aman dan makmur, maka raja dianggap berdaulat. Rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia yang tidak berbelahbagi terhadapnya. Sesiapa yang menentang raja dianggap menderhaka. Penderhaka akan ditimpa tulah dan sumpahan.

C) Kesimpulan

Jelaslah bahawa kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu mengamalkan pemerintahan beraja. Sistem beraja di Alam Melayu sebelum abad ke 15M merupakan gabungan sistem tempatan dan pengaruh agama Hindu serta Buddha. Raja berkuasa menggubal undang-undang untuk mengukuhkan kedudukannya, menjatuhi hukuman mati, memegang jawatan penting dan bertindak menurut keperluannya.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 22 Januari 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 - DINASTI HAN

Dinasti Han bermula pada tahun 206 sebelum Masihi hingga tahun 8 itu dimulakan oleh Raja Liubang dengan menetapkan Chang’an sebagai ibu kotanya.

Dalam tempoh selama 7 tahun Liubang berkuasa, pelbagai dasar pentadbiran telah dilaksanakan untuk meningkatkan pemerintahan kerajaan pusat. Selepas Raja Liubang mangkat pada tahun 159 sebelum Masihi, kekuasaan pemerintah mulai dimiliki oleh isterinya, Permansuri Luzhi selama 16 tahun. Raja Wen yang bertakhta pada tahun 183 sebelum Masihi serta anaknya Raja Jing yang bertakhta pada tahun 156 sebelum Masihi telah mengekalkan dasar pentadbiran yang dikemukakan oleh Liubang dan giat mengembangkan ekonomi di negerinya.

Selepas itu, Raja Wu yang bertakhta pada tahun 141 sebelum Masihi menghantar pasukan tentera yang dipimpin oleh jederal Pai Weiqing dan Huo Qubing mengalahkan gangguan kaum Xiongnu dan meluaskan wilayah negeri Han. Pada tempoh akhir pemerintahannya, Raja Wu giat mengembangan industri pertanian dan mengembangkan ekonomi.

Selepas itu, Wang Mang merampas kuasa dari raja Dinasti Han pada Tahun 8 dan memulakan Dinasti Xin.

Dinasti Han merupakan salah satu zaman yang agak makmur dalam sejarah China. Pelbagai dasar keutamaan kepada rakyat jelata telah mewujudukan kestabilan dan kemakmuran masyarakat. Ilmu Ru juga diperkenalkan dalam usaha pentadbiran negara mulai Dinasti Han.

Berkat kestabilan politik dan ekonomi, kemajuan yang besar telah dicapai dalam bidang perdagangan, kebudayaan, kesenian dan sains pada Dinasti itu. Seiring kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, teknik peleburan logam dan tekstil pun telah berkembang maju. Jalan sutera yang dibuka pada zaman itu telah meningkatkan pertukaran antara China dengan negara-negara di Asia Barat dalam bidang diplomasi dan perdagangan.

Dinasti Han Timur yang dimulakan oleh Raja Liuxiu bermula pada tahun 25 hingga tahun 220.

Liu Xiu telah berjaya mengalahkan tentera Wang Mang dengan bantuan pasukan Lulin pada tahun 25 dan bertakhta di Luo Yang. Liu Xiu mengadakan pembaharuan terhadap dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh Wang Mang sebelum itu dan berusaha menyediakan syarat hidup yang baik kepada rakyat jelata.

Pada permulaan zaman Han Timur, kestabilan negara telah diwujudkan dengan pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan. Di samping itu, kejayaan yang besar dicapai dalam bidang ekonomi, kebudayaan, sains dan teknologi. Cara mengeluarkan kertas yang ditemui oleh Cai Lun pada tahun 105 merupakan salah satu daripada 4 penemuan penting dalam sejarah China. Seismograf yang ditemukan oleh ahli sains China zaman kuno Zhang Heng juga sangat bererti penting dalam sains alam di China.

Selain itu, Hua Tuo doktor terkenal pada akhir zaman Han Timur merupakan doktor yang pertama menjalankan rawatan dengan teknik bius.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 23 November 2009

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PERANAN ASOKA

Bincangkan peranan Asoka sebagai pemerintah empayar Dinasti Maurya di India.

Pengenalan:

· Empayar pertama di India yang diasaskan oleh Chandra Gupta Maurya kira-kira 321 SM dengan menjadikan Pataliputra sebagai pusat pemerintahannya.
· Kemasyhuran empayar ini terserlah semasa Asoka menaiki takhta pada 273 SM dengan gelaran Devanampiya Plyadasi yang menggantikan bapanya, Bindusara.
· Banyak sumbangannya terutama dalam perluasan kuasa, keagamaan Buddha dan pembaharuan sistem sosial.

Isi-isi:

1. Melancarkan Perang Kalinga.

· Berlaku perebutan kuasa selepas kematian ayahnya dengan membunuh 98 orang anggota keluarganya
· Melancarkan serangan terhadap negeri Kalinga pada tahun 292 M yang mengorbankan 100 ribu orang.
· Perang Kalinga banyak memberikan kesedaran yang mendalam dalam jiwanya kerana banyak nyawa tidak berdosa terkorban, keganasan , kekejaman dan merugikan rakyat.
· Asoka insaf dan berubah serta memeluk agama Buddha.

2. Menyebar dan membudayakan agama Buddha

· Mengadakan siri lawatan ke seluruh negara.
· Melawat tempat-tempat suci dan mengadakan perbincangan.
· Melantik pegawai khas Dharma Mahamatra untuk menyebarkan Dharma.
· Mengadakan majlis agama Buddha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat.
· Menghantar misi-misi keagamaan ke negara-negara luar.
· Mengukir doktrin-doktrin Buddha di atas batu, tiang-tiang, dan gua-gua.
· Mempraktikkan ajaran Buddha dalam kehidupan; tidak lagi makan daging dan
menghentikan amalan berburu.

3. Membuat perubahan dalam aspek pentadbiran

· Memelihara kebajikan material dan moral rakyat.
· Mengutamakan keselamatan rakyat, negara, harta benda, iaitu kemakmuran rakyat.
· Segala perancangan Asoka dalam penyebaran Buddha menyebabkan berlaku Buddhisme
di dunia.
· Beliau berjaya mengekalkan keamanan dan kemakmuran di seluruh empayarnya.

4. Membuat perubahan dalam aspek Sosial

· Menjaga kepentingan rakyatnya seperti membina hospital.
· Membina kemudahan awam seperti rumah rehat, menanam pokok di sepanjang jalan, mencantikkan bandar, dan lain-lain.
· Usaha ini mencerminkan cara hidup Buddha yang suka mengembara dalam mencari kebenaran.
· Mempunyai sifat toleransi terhadap penganut agama lain seperti menghulurkan bantuan kepada Brahmin dan penganut agama lain.

5. Peluasan kuasa

· Menghentikan dasar perluasan kuasa seperti bapa dan datuknya.
· Mengamalkan dasar perluasan kuasa melalui Dharma (Buddha).
· Menghantar misi-misi keagamaan ke negara-negara luar.
· Menghantar mubaligh-mubaligh Buddha ke Sri Lanka, Asia Barat, Mesir, Eropah Timur, Tibet, dan lain-lain.
· Antara mubaligh yang diutus ialah anaknya, Mahendra dan Sanghamitra yang dihantar ke Sri Lanka.
· Menjalinkan hubungan erat dengan empayar besar sezaman dengannya seperti Yunani, China, Parsi, dan Rom.
· Menjalinkan hubungan dengan negara jiran seperti Chola, Pandya, Satiyaputra, Keralaputra, dan Tambapamni.
· Hasil hubungan membuka ruang ekonomi dan menggalakkan banyak peniaga datang ke negerinya.
· Perkongsian media banyak mempercepat kemajuan bangsa masing-masing, terutama Empayar Maurya.

6. Pembinaan Empayar

· Empayarnya meliputi seluruh bahagian India termasuk Afghanistan dan Baluchistan kecuali India Selatan.
· Asoka berjaya membentuk satu unit pentadbiran yang kukuh.

Kesimpulan:

· Asoka meninggal dunia pada 232 S.M. Pemerintahan Asoka diteruskan oleh tujuh orang raja yang tidak cekap kerana wujudnya pemberontakan dalaman oleh kerajaan-kerajaan kecil seperti Andhra yang telah membebaskan Deccan. Demertius pula berjaya merampas sebahagian besar wilayah Maurya.
· Terdapat penentangan daripada golongan Brahmin yang tidak puas hati dengan undang-undang pengharaman makan daging binatang. Empayar Maurya mengalami keruntuhan pada 190 S.M. Pemerintahan terakhir, Brihadratha dibunuh oleh golongan Brahmin dan digantikan oleh Empayar Gupta.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Rabu, 18 November 2009

TAMADUN DUNIA/ISLAM : TEMA 2 – KEPIMPINAN NABI MUHAMMAD VS ASOKA

Bandingkan Kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W dengan Asoka dalam bidang ketenteraan.

Pengenalan. (3m)

1. Sejarah ketamadunan manusia telah memperlihatkan kepada kita bahawa kepimpinan yang berwibawa berkait rapat dengan keamanan dan kestabilan politik sesebuah ketamadunan atau Negara. Kepimpinan yang berwibawa mempunyai wawasan jangka panjang mampu mengorak kecemerlangan Negara. Pemimpin tentera yan hebat dan bijaksana berupaya menjadikan sesebuah Negara yang hebat dan disegani.

2. Latar belakang Rasulullah s.a.w - Nabi Muhammad s.a.w berketurunan bangsa Quraisy yang sangat dihormati di kalangan kabilah Arab. Memiliki sifat-sifat terpuji dan menjadi contoh kepada seluruh umat di dunia. Nabi Muhammad s.a.w berperanan sebagai Rasulullah s.a.w dan juga sebagai ketua Negara sebagaimana termaktub di dalam Piagam Madinah. Rasulullah adalah juga merupakan seorang negarawan ulung melalui kepimpinan politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan yang berjaya.

3. Latar belakang Asoka – Merupakan pemerintah agong dalam sejarah India. Beliau mewarisi pemerintahan empayar Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada kurun ke -4 sm. Beliau menggantikan Bindusara pada tahun 273 sm. Asoka adalah cucu kepada Candragupta Maurya. Memerintah selama 40 tahun. Sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan pusat. Dinasti Maurya mencapai kemuncak kegemilangan di bawah pemerintahan Asoka. Asoka tidak terus menaiki takhta kerana terpaksa bersaing dengan saudara-saudaranya yang lain untuk merebut kuasan yang ditinggalkan oleh bapa mereka. Ada ahli sejarah mengatakan Asoka telah membunuh 100 orang anggota keluarganya dalam perebutan kuasa tersebut.

Isi.

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w dan Asoka. (20 M- 10/10)

1. Kepimpinan ketenteraan

· Rasulullah s.a.w merupakan ketua angkatan tentera. Peperangan pada zaman Rasulullah s.a.w dibahagi kepada dua. Iaitu yang disertai oleh Rasulullah s.a.w (ghazwah) dan tidak disertai oleh Rasulullah (Sariyah). Setiap ekspedisi tentera yang disertainya Bagindalah yang mengetuainya. Antara peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w ialah Badar al-Kubra(2H), Uhud(3H), al-Ahzab (5 H), Perang Hunain (8 H), Perang Taif (8 H) dan lain lain lagi.

· Asoka merupakan panglima tentera yang disegani dan hebat. Asoka telah melakukan serangan secara kejam dan keras terhadap negeri Kalinga pada 292 M bagi mengukuhkan kedudukan dan kuasa Maurya. Asoka turut menyerang daerah Orissa di Pantai Timur India. Banyak korban dan orang tawanan. Kesengsaraan dan penderitaan perang ini telah mengubah jiwanya seperti keadaan Siddharta Gautama (Buddha) yang berubah hati setelah melihat kesengsaraan.Akhirnya menukarkan keganasan dengan kemanusiaan dan perdamaian.

2. Jenis tentera

· Zaman awal Islam, bilangan tentera Islam amatlah kecil berbanding tentera musuh. Misalnya dalam Perang Badar tentera Islam hanyalah lebih kurang 324 orang. Tentera Islam terdiri daripada tentera pejalan kaki, tentera berkuda dan pasukan pemanah. Bilangan tentera sentiasa bertambah dari semasa ke semasa sehiungga menjadi 30 ribu orang dalam perang Tabuk. Bilangan ini meningkat kepada 300 ribu orang pada awal pemerintahan Abbasiah.

· Angkatan tentera India dibahagiakan kepada empat kategori iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera kereta kuda, dan tentera infantri . Terdapat juga beberapa kategori tentera lain seperti tentera laut, pengintip anggota kumpulan perintis dan komisariat. Arthasastra menyebut satu unit tentera India terdiri dari 45 gajah, 225 kuda, dan 657 tentera. Semasa pemerintahan Chandragupta Maurya dipercayai tenteranya terdiri daripada 600,000 anggota inffanteri. Tentera Laut diperkenalkan pada zaman Asoka.

3. Gaji Tentera

· Zaman Rasulullah s.a.w tentera Islam terdiri daripada sahabat Baginda yang berperang hanya kerana agama dan menuntut keredaan Allah S.A.W. Mereka tidak menerima gaji atau bayaran yang tetap daripada kerajaan Islam Madinah. Elaun atau gaji hanya dibayar pada zaman Khalifah Umar al-Khattab yang dikuatkuasa mulai 20 H. Tentera Islam hanya memperolehi harta rampasan perang yang dibahagi secara adil dan setelah diberi sebahagiannya kepada perbendaharaan Negara.

· Pada Zaman Pemerintahan Maharaja Asoka, tentera-tentera tidak diberi gaji tetap. Harta rampasan perang adalah merupakan ganjaran kepada para tentera. Gaji tentera secara tetap hanya dibayar pada zaman pemerintahan Alauddin Khilji (1296 -1316 M)

4. Peralatan Peperangan

· Peralatan peperangan pada Zaman Rasulullah s.a.w seperti tombak, panah, manjaniq , pedang, dan juga menggunakan kuasa tabii dengan cara meninjau keadaan cuaca dan angin.

· Pedang adalah senjata utama askar India. Terdapat pelbagai jenis pedang untuk tujuan yang berbeza. Selain itu lembing, busur panah, kapak, perisai, tombak yang bercabang dan lain-lain

5. Taktik strategi peperangan

· Pelbagai taktik dan strategi peperangan dalam Islam. Taktik ini disesuaikan dengan situasi dan lokasi tempat peperangan itu berlaku. Contohnya taktik menunggu, taktik bertahan dengan mengadakan benteng pertahanan seperti menggali parit, taktik mengepung dan seterusnya menyerang bertubi-tubi, menubuhkan jabatan perisikan, wujudkan Bandar tentera dan lain lain.

· Pada Zaman pemerintahan Asoka juga terdapat pelbagai taktik untuk memenangi peperangan. Antaranya menyerang, membina kubu pertahan, kem-kem tentera, serangan hendap dan sebagaiya. Bentuk binaan di kota Harappa dan Mohenjo Daro menunjukkan tamadun India sangat menitik beratkan pembinaan kubu-kubu pertahanan bagi mengawal musuh.

6. Peperangan sebagai satu ibadat

· Tentera Islam bejuang dalam peperangan kerana menuntut keredaan Allah S.W.T. Perjuangan kerana jalan Allah ini akan dijanjikan syurga. Oleh itu peperangan adalah satu ibadat kepada umat Islam dalam usaha menyebarkan dakwahg dan perkembangan Islam

· Masyarakat India juga menganggap peperangan sebagai satu ibadat agama. Oleh itu unsur agama banyak mempengaruhi selok belok peperangan India. Sebelum peperangan, akan dimulakan dengan ucapan suci dan pendita akan memberi ucapan semangat. Kepatuhan Asoka kepada agama Buddha menyebabkan perubahan sikap keras dan kejam kepada berperikemanusiaan .Asoka berusaha menyebarkan agama Buddha ke Negara-negara luar. Asoka memerintahkan pembinaan tiang-tiang batu yang mengandungi ukiran doktrin agama Buddha.

7. Hubungan Diplomatik

· Dalam usaha mengukuhkan kekuasaan Islam, Rasulullah s.a.w telah menjalin hubungan diplomatik dengan luar. Baginda telah menghantar perwakilan ke luar seperti Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi.Kesan misi diplomatic ini, semua Negara berkenaan telah tunduk di bawah pemerintahan Islam

· Untuk menghindari peperangan dan mengekalkan keamanan, Asoka telah menjalinkan hubungan diplomatic dengan Negara-negara jirannya. Antaranya ialah dengan Ptolemy II, Philadelphos, Mesir, Megas, Cyrene dan Antiogomus Gonatas. Asoka tidak mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap kerajaan di sempadannya seperti kerajaan Chola, Pandya, Satiyaputra, Keralaputra dan wilayah kerajaan Yunani di Barat Daya India.

Kesimpulan (2m)

Kepimpinan yang berwibawa dan bijaksana akan dapat memastikan pengukukuhan kerajaan dan Negara. Kejayaan Islam dan kerajaan India mempertahankan kerajaannya dari diserang oleh musuh adalah dibantu oleh organisasi ketenteraan yang utuh.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 10 November 2009

TAMADUN DUNIA/ISLAM : TEMA 2 –BANDING ASPEK PEMERINTAHAN ATHENS VS MADINAH

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Bandingkan aspek pemerintahan dan pentadbiran negara kota Athens bermula pada tahun 495 S.M dengan negara Kota Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Pengenalan [ 3 markah ]

1. Definisi negara kota.

2. Latar belakang dan lokasi negara kota Athens

· Athens merupakan salah sebuah negara kota yang terkenal di Yunani.

· Muncul antara tahun 800 – 500 S.M.

· Athens berkembang maju hasil daripada sektor perdagangan.

· Mengalami kepesatan dalam pelbagai bidang khususnya bidang politik dan falsafah antara abad ke 5 S.M dan ke 4 S.M.

3. Latar belakang dan lokasi negara kota Madinah

· Nama asalnya ialah Yathrib yang terletak kira-kira 400 km dari Makkah dan 70 km dari Laut Merah.

· Kawasan kota Madinah merupakan kawasan wadi (lembah) seluas kira-kira 32 kilometer persegi dan mempunyai kawasan pertanian yang subur.

· Terletak di tengah-tengah Tanah Arab dan merupakan jalan perdagangan antara Syam ( di bahagian utara ) dan Makkah ( di bahagian selatan ) Tanah Arab.

· Penduduk asal negara kota Madinah ialah kaum Aus, Khazraj, dan kaum pendatang Yahudi.

Isi [ 5 isi X 4 markah = 20 markah ]

Perbandingan pelbagai aspek pemerintahan dan pentadbiran negara kota Athens dan Madinah :

1. Sistem pemerintahan

Athens:

Terkenal sebagai negara kota pertama yang melaksanakan sistem pemerintahan demokrasi melalui tiga buah institusi pemerintahan dalam membuat dasar dan undang-undang.

Madinah:

Sistem pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. bersifat negara Kota dan mengamalkan sistem pemerintahan Islam iaitu agama dan politik tidak dipisahkan. Dalam pentadbiran, baginda melaksanakan konsep musyawarah dalam membuat keputusan.

2. Institusi pemerintahan

Athens:

Mempunyai tiga institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis serta Majistret dan Juri.

· Dewan Perhimpunan diwakili oleh semua lelaki dewasa Athens. Tempoh perkhidmatan mereka ialah antara enam bulan hingga setahun. Dewan Perhimpunan bersidang lebih kurang tiga kali sebulan.

· Majlis dibentuk untuk melaksanakan keputusan-keputusan Dewan Perhimpunan. Majlis dianggotai oleh 500 orang ahli yang dipilih melalui undian dan 50 orang mewakili setiap suku.

· Majistret terdiri daripada para pegawai kerajaan. Mereka melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang diputuskan oleh Majlis.

· Juri menjadi pemutus bagi sesuatu kes dan tidak ada peluang bagi tertuduh untuk merayu.

Madinah:

Nabi Muhammad s.a.w telah menubuhkan Majlis Syura yang bertanggungjawab menggubal dasar- dasar pemerintahan negara yang berteraskan Al-Quran dan Hadis. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengetuai majlis syura tersebut. Masjid telah berperanan sebagai pusat pentadbiran.

3. Ketua Negara

Athens:

Ø Zaman pemerintahan beraja, Raja sebagai pemerintah tertinggi.

Ø Sewaktu zaman pemerintahan golongan bangsawan berkuasa (archon) majlis melantik golongan kaya menganggotai Dewan Perhimpunan untuk mengetuai pemerintahan. Contoh : Solon

Madinah:

Ø Negara Kota Madinah diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemerintah tertinggi yang juga merupakan seorang Nabi lagi Rasul.

Ø Baginda tidak mengamalkan pemerintahan secara autokrasi atau berkuasa mutlak.

4. Pentadbiran undang-undang

Athens:

Ø Dewan Perhimpunan merupakan badan perundangan yang mempunyai kawalan penuh ke atas pentadbiran dan kehakiman.

Ø Ia juga menggubal undang-undang dan dasar negara kota.

Ø Pesalah dihukum berdasarkan undang-undang yang terdapat dalam kanun hukuman Yunani.

Ø Jika kesalahan tidak dinyatakan dalam kanun tersebut, pendakwa raya akan mengemukakan hukuman dan pesalah akan memilih hukumannya sendiri.

Madinah:

Ø Undang-undang negara Kota Madinah berteraskan syariah Islam.

Ø Sumber utama undang-undang Islam ialah al – Quran dan Hadis.

Ø Terdapat perlembagaan yang dikenali sebagai Piagam Madinah digubal dan mengandungi 47 fasal yang berkait dengan orang Islam dan bukan Islam.

5. Pentadbiran Agama dan Kepercayaan

Athens:

Ø Tidak ada priesthood (paderi) atau ketua agama untuk membuat undang-undang agama atau doktrin.

Ø Paderi yang ada hanya semata-mata untuk menjaga kuil, harta dan menjalankan upacara-upacara agama.

Ø Menyembah pelbagai dewa-dewi seperti Tuhan Zeus, Apollo, Athena, dan lain-lain. Tidak mempunyai kitab suci.

Ø Lebih berupa ritual ( upacara ) daripada kepercayaan.

Ø Tidak perlu mengamalkan satu peraturan hidup tertentu , tetapi hanya perlu mengamalkan beberapa sifat suci.

Madinah:

Ø Agama yang diamalkan ialah agama Islam yang diajar melalui Rasulullah s.a.w dan kitab suci Al-Quran sebagai panduan.

Ø Menolak sama sekali kepercayaan kepada banyak tuhan.

Ø Mempercayai Tuhan adalah esa iaitu Allah s.w.t. Segala aktiviti keagamaan berpusatkan di masjid.

6. Pentadbiran sosial

Athens:

Ø Hanya warganegara lelaki dewasa yang terlibat dalam politik, bermesyuarat dan bertindak di Dewan Perhimpunan.

Ø Walaupun Majlis memberi peluang kepada setiap warganegara menganggotainya, rata-rata mereka yang menguasai Dewan Perhimpunan ialah orang kaya yang dikenali sebagai Archon.

Ø Golongan tidak bertanah dan hamba tidak dibenarkan menghadiri Dewan Perhimpunan kecuali semasa pemerintahan Solon, apabila beliau meminda perlembagaan.

Madinah:

Negara kota Madinah memperkenalkan konsep ukhwah dan persamaan taraf menggantikan amalan assabiyah yang telah diamalkan pada zaman jahiliah. Rakyat lelaki dan wanita mempunyai hak bersuara dan memberikan pendapat.

7. Pentadbiran Ekonomi

Athens:

Mengadakan hubungan perdagangan dan perindustrian dengan negara lain . Mengabaikan sektor pertanian kerana bentuk muka bumi yang sempit. Antara barangan yang diimport ialah seperti gandum, ikan, daging, garam, buah-buahan dan bahan mentah. Barang-barang eksport termasuklah minyak zaitun, perak, dan batu marmar.

Madinah:

Ø Dalam negara Kota Madinah, Nabi Muhammad s.a.w mengadakan hubungan perdagangan antarabangsa dengan memperkenalkan sistem muamalat Islam.

Ø Amalan riba dan penipuan diharamkan.

Ø Nabi Muhammad s.a.w menyuruh mencari kekayaan dengan cara yang halal lagi baik dan diredhai Allah s.w.t.

Ø Nabi Muhammad melaksanakan keadilan ekonomi dengan merapatkan jurang kekayaan.

Ø Menebus semula tanah-tanah yang tergadai di tangan orang Yahudi.

8. Pentadbiran Hubungan Luar

Athens:

Ø Hubungan dengan negara kota lain tidak baik.

Ø Sentiasa bersaing antara satu sama lain dan sering berlaku peperangan yang melibatkan soal politik dan sempadan.

Madinah:

Ø Nabi Muhammad s.a.w telah membentuk satu dasar diplomasi dan menjalinkan hubungan yang baik dengan negara luar .

Ø Nabi Muhammad menghantar surat kepada pemerintah-pemerintah Mesir, Habsyah, Yaman dan Rom dengan tujuan pemerintah-pemerintah negara tersebut dapat menerima dakwah Islam.

9. Pentadbiran Ketenteraan.

Athens:

Ø Tentera dibentuk untuk menghadapi peperangan yang dalam skala kecil-kecilan, bersifat tempatan dan untuk menyelesaikan perbalahan politik sempadan.

Ø Athens seperti negara kota Yunani lain mempunyai tentera untuk mempertahankan negara kota mereka daripada serangan musuh dan berusaha agar dapat memberi saingan kepada negara-negara kota lain untuk menjadi negara kota yang paling agung.

Madinah:

Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ketua tentera telah membentuk dan mengasaskan sistem ketenteraan Islam yang berlandaskan konsep jihad. Tentera yang berperang tidak bergaji tetap tetapi mendapat ganjaran hasil dari harta ghanimah ( rampasan perang ).

10. Pentadbiran Sistem Kehakiman

Athens:

Ø Kuasa pengadilan terletak di tangan warganegara dalam Dewan Perhimpunan .

Ø Hal-hal kecil diselesaikan dalam mahkamah tempatan tetapi kes besar, jenayah dan sivil akan diselesaikan di mahkamah Athens.

Ø Juri menjadi pemutus bagi sesuatu kes dan pihak yang tertuduh tidak berpeluang untuk merayu.

Ø Pesalah dihukum berdasarkan kanun hukuman Yunani.

Ø Jika kesalahan tidak dinyatakan dalam kanun tersebut, pendakwa raya akan mengemukakan hukuman dan pesalah akan memilih hukumannya sendiri.

Madinah:

Ø Nabi Muhammad s.a.w. menjadi hakim berdasarkan panduan al-Quran dan Hadis.

Ø Terdapat juga hakim yang dilantik di peringkat suku kaum untuk menyelesaikan masalah dalaman kaum tersebut.

Ø Penyelesaian antara kaum akan dirujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. merangkumi semua aspek dari segi sivil mahupun jenayah.

Kesimpulan [ 2 markah ]

Terdapat perbezaan dalam sistem pemerintahan yang diamalkan antara negara kota Athens dan Madinah di bawah Nabi Muhammad s.a.w. Perbezaan itu jelas dapat dilihat dalam aspek sistem pemerintahan, pentadbiran, perundangan, ekonomi dan sebagainya. Negara kota Athens diperintah hasil pemikiran dan usaha manusia manakala negara kota Madinah diperintah atas konsep tauhid berteraskan al-Quran dan Hadis.

Nota :

· Markah diberikan hanya ada unsur perbandingan.

· Sekiranya pelajar menjawab tentang Athens dan Madinah tanpa ada perbandingan maka tiada markah isi.

· Sekiranya pelajar menyebutkan satu penanda wacana bandingan dalam keseluruhan jawapan markah maksimum bagi isi 8 markah sahaja.

· Calon dikehendaki membuat perbandingan setiap isi.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 6 September 2009

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENTADBIRAN PUSAT DAN WILAYAH EMPAYAR MAURYA

Bincangkan ciri-ciri pentadbiran pusat dan wilayah pada zaman empayar Maurya di India.

Pengenalan (3 markah)

Latar belakang Empayar Maurya

- Diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada tahun 321SM -297SM .

- Diambil nama dari perkataan ‘ Moriyus’ satu suku yang terdapat di Utara India.

- Pemerintahan Empayar Maurya diteruskan oleh anaknya iaitu Bindusara dari tahun 297SM - 272SM, kemudian diikuti oleh Asoka dari tahun 273 -323 SM yang dianggap sebagai zaman keagungan dan kegemilangan Dinasti Maurya.

- Terdapat 10 orang Maharaja yang menjadi pemerintah dalam Dinasti Maurya dan yang- terakhir ialah Maharaja Brhadratha.

Isi (7 isi X 3 markah)

Ciri-ciri pentadbiran pusat dan wilayah empayar Maurya di India

1. Pentadbiran pusat diketuai oleh Maharaja.

- bertindak sebagai ketua dalam bidang eksekutif, kehakiman dan ketenteraan.

- Raja dianggap suci, dan menikmati banyak hak keistimewaan dan gelaran-gelaran khas seperti ‘Devaraja’.

2. Raja dibantu oleh menteri-menteri dalam sebuah Majlis Menteri (council)

- Tugas utama menteri ialah memberi nasihat kepada raja berhubung dengan hal ehwal penting dalam Negara.

- Menteri-menteri biasanya dilantik oleh raja berdasarkan kelayakan dan kebolehan mereka, dan tidak berdasarkan pengaruh dan latar belakang keluarga mereka.

- Bilangan anggota menteri berubah mengikut keadaan iaitu 3 hingga 12 orang.

- Contoh: Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Peperangan dan Menteri Pedamaian.

3. Pembentukan ‘Menteri Parishad’ yang terdiri daripada dua buah Majlis iaitu ‘Majlis Negeri’ dan ‘Majlis Eksekutif’.

- Berfungsi sebagai membantu raja dalam kerja-kerja pentadbiran.

- Raja biasanya mendapatkan pandangan dari ‘Majlis Negeri’ sebelum sesuatu keputusan dilakukan.

4. Mewujudkan sistem birokrasi yang diketuai oleh beberapa orang pegawai tinggi kerajaan.

- Fungsi sistem birokrasi membantu kerja-kerja pentadbiran yang diketuai oleh menteri-menteri.

- Contoh: Ketua paderi, ketua komander, ketua hakim dan ketua bendahari.

5. Mewujudkan jabatan-jabatan peringkat rendah yang terdiri daripada penguasa jabatan kerajaan dan kakitangan sokongan iaitu terdapat 28 jabatan.

- Setiap jabatan diketuai oleh seorang penguasa dan penguasa-penguasa tersebut akan diawasi oleh Komisioner.

- Contoh jabatan rendah: Jabatan perlombongan , Jabatan akaun, Jabatan emas, Jabatan gudang, Jabatan pertanian.

6. Mewujudkan jawatan pengintip atau ejen rahsia yang berkhidmat untuk raja dan pegawai penting.

- Pengintip dibahagikan kepada beberapa kelas dan mempunyai fungsi atau tugas yang berlainan.

- Pengintip –pengintip diwujudkan untuk mengawasi tindak tanduk pegawai tinggi, seperti menteri-menteri, putera mahkota dan sebagainya.

7. Pentadbiran wilayah dibahagikan kepada peringkat daerah, dan kampung.

- Peringkat daerah diketuai oleh ‘Sthanika’ dan di peringkat kampung diketuai oleh ketua kampung yang dilantik oleh raja atau dipilih oleh penduduk kampung.

- Diperingkat kampung juga dilantik juru akaun atau ‘Gopa’ yang bertanggungjawab menyimpan akaun dan akan dipantau oleh ‘Sthanika’.

- Ketua kampung biasanya dibantu oleh ‘assembly’ yang terdiri daripada beberapa penduduk kampung.

8. Mewujudkan pentadbiran di peringkat bandar-bandar yang dibahagikan kepada unit pentadbiran kecil, yang dikenali sebagai ‘wad’ yang dianggotai oleh beberapa keluarga .

- Setiap bandar diketuai oleh ‘Nagaraka’ atau penguasa bandar dan diperingkat ‘wad’ terdapat pegawai-pegawai kecil dilantik.

Kesimpulan:

Pentadbiran pusat dan wilayah di India yang sistematik telah banyak membantu perkembangan tamadun India terutama dari segi perluasan empayar.

Kedua-dua pentadbiran ini juga telah menjadikan Empayar Maurya sebagai empayar yang kuat pada zaman kegemilangan mereka.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Khamis, 27 Ogos 2009

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – SUMBANGAN ASOKA

Jelaskan sumbangan Asoka dalam mencipta keagungan Empayar Maurya di India.

A. Pengenalan : ( 3 M )

1. Latar belakang Empayar Maurya :

a. Merupakan empayar yang pertama di India bermula pada tahun 321 SM.

b. Diasaskan oleh Chandragupta Maurya.

c. Pentadbiran empayar ini begitu menyerlah semasa pemerintahan rajanya yang ketiga iaitu Asoka.

2. Latar belakang Asoka :

a. Asoka telah menaiki takhta pada tahun 273 SM dengan gelaran Devanampiya Plyadasi.

b. Beliau telah menjadikan Empayar Maurya sebagai sebuah empayar yang agung melalui perluasan kuasa, keagamaan dan pembaharuan sistem politik.

B. Isi : ( 7x3M=21M ) ( Buat rujukan untuk huraian lanjut )

1. Mengadakan siri lawatan ke seluruh negara pada tahun ke 11 pemerintahannya.

2. Melawat tempat suci dan menganjurkan perbincangan keagamaan.

3. Melantik pegawai khas iaitu Dharma Mahamatra untuk menyebarkan nilai-nilai murni di dalam ajaran Buddha.

4. Menganjurkan Majlis Buddha yang ke tiga untuk menyelesaikan perbezaan Mazhab yang berlainan.

5. Mubaligh Buddha dihantar ke Sri Lanka, Asia Barat , Mesir dan Eropah Timur untuk menyebarkan agama Buddha.

6. Mengukir doktrin Buddha di atas batu, tiang dan gua di seluruh jajahan takluk supaya rakyat dapat mengamalkan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu.

7. Mengamalkan sikap toleransi terhadap agama .

8. Empayar yang diasaskan meliputi seluruh bahagian utara India termasuk Afghanistan dan Baluchistan kecuali India selatan.

9. Sesetengah tanah jajahan diberi kuasa autonomi dan sesetengahnya pula ditadbir oleh wizurai.

10. Berjaya menyatukan seluruh empayarnya menerusi penggunaan bahasa Prakrit.

11. Hubungan diplomatik dengan beberapa orang raja seperti Ptolemy II , Raja Mesir menerusi penubuhan organisasi Philanthropik.

12. Menubuhkan hospital untuk manusia dan haiwan di seluruh empayar serta menghulurkan bantuan dan derma kepada golongan Brahman dan pengikut agama lain.

13. Membina rumah rehat untuk kemudahan pelancong.

C. Kesimpulan. ( 1 M )

Asoka telah berjaya membentuk satu unit pentadbiran yang kukuh dan ini terbukti dengan keluasan empayar Maurya. Namun selepas Asoka meninggal dunia pada tahun 232 SM empayar tersebut mula mengalami keruntuhan kerana kelemahan kepimpinan selepasnya.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.