ENJIN CARIAN BAHAN

Jumaat, 27 Julai 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – NEGARA KOTA

HURAIKAN KONSEP NEGARA KOTA DAN BINCANGKAN CIRI-CIRI NEGARA KOTA MESOPOTAMIA.

 

A) Pendahuluan [2 Markah]

Tamadun Mesopotamia diasaskan oleh orang Sumeria sekitar tahun 3500 SM hingga 2000 SM di lembah Sungai Tigris dan Euphrates (di negara Iraq sekarang). Orang Sumeria dipercayai berasal dari Dataran Tinggi Asia Tengah. Nama Mesopotamia diberi oleh orang Greek yang bermakna lembah antara dua sungai. Penduduk negara kota Mesopotamia mempunyai semangat patrotisme yang tinggi terhadap kota masing-masing. Mereka sering berperang untuk meluaskan wilayah dan kekuasaan masing-masing.

B) Isi

Konsep Negara Kota [5 Markah]

Negara kota berasal daripada perkataan Greek iaitu acropolis yang membawa erti sebidang tanah. Aristotle berpendapat bahawa negara kota muncul dan berkembang secara evolusi iaitu petempatan yang diasaskan oleh sesuatu keluarga berkembang menjadi kampung, bandar dan akhirnya negara kota. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa negara kota merupakan manifestasi awal kepada kemunculan sesebuah negara. Walaupun cuma sebuah kota, namun pemerintahan adalah berdaulat dan merdeka. Negara kota mempunyai raja, masyarakat, undang-undang dan sempadan politiknya yang tersendiri. Selain ini, negara kota dikelilingi tembok untuk melindungi kota daripada serangan musuh.

Ciri-ciri negara kota Mesopotamia [5 isi x 3markah]

1. Ciri-ciri fizikal

Pada Zaman Dinasti Awal terdapat 13 buah negara kota dalam Tamadun Mesopotamia. Negara kota yang terpenting dan sering mempengaruhi perkembangan politik Mesopotamia ialah Lagash, Ur, Uruk dan Eridu. Setiap negara kota mempunyai jumlah penduduk sehingga 30 000 orang dengan keluasan lebih kurang 1000 batu persegi. Ciri fizikal yang lain seperti mempunyai kubu pertahanan, jalan raya, pelabuhan dan pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan sebuah kota.

2. Negara kota dinaungi oleh dewa atau tuhan

Menurut kepercayaan masyarakat Sumeria, dewa-dewa itu bukan sahaja menaungi tetapi juga menguasai dan memiliki kota-kota itu. Oleh itu setiap negara kota harus dilengkapi dengan rumah-rumah berhala besar untuk melindungi negara kota tersebut. Negara kota Nippur dilindungi oleh Tuhan Enlil, negara kota Lagash dilindungi oleh Tuhan Ningirsu dan negara kota Ur dilindungi oleh Tuhan Nanna (Tuhan Bulan).

3. Peranan rumah berhala

Setiap negara kota di Mesopotamia telah didominasi oleh rumah-rumah berhala dan istana. Di negara kota Nippur dan Uruk, rumah-rumah berhala diwarnakan cerah. Rumah-rumah berhala memiliki kawasan tanah dan padang rumput yang tersendiri. Tanah-tanah tersebut diusahakan oleh penduduk sesebuah negara kota. Para pendeta bertindak membantu raja menguruskan segala pengagihan hasil-hasil pertanian.

4. Negara kota bersifat teokrasi

Setiap negara kota Mesopotamia diketuai oleh Penaung Kota (City God). Mereka ialah makhluk ghaib yang dipercayai oleh penduduk Mesopotamia sebagai kuasa suci yang menjaga kota mereka. Di bawah Penaung Kota terdapat Ketua Pendeta. Kedudukannya sangat penting kerana masyarakat Mesopotamia mempunyai kepercayaan kuat terhadap dewa kota masing-masing. Pendeta merupakan orang yang akan berkomunikasi dengan dewa-dewa tersebut. Pendek kata pemerintahan negara kota Mesopotamia lebih bersifat teokrasi.

5. Organisasi pentadbiran

Pentadbiran negara kota diketuai oleh Ketua Paderi. Ketua Paderi dibantu oleh pesuruhjaya. Di bawah pesuruhjaya terdapat seorang ketua penyelia yang mengawasi pegawai-pegawai peringkat bawahan yang terdiri daripada jurutulis, penyelia-penyelia inspektor. Kelompok pekerja adalah lapisan yang paling bawah dalam struktur organisasi pentadbiran. Kota-kota mempunyai sistem birokrasi yang amat tersusun. Seluruh tenaga kerja didaftarkan dan dibahagi-bahagikan kepada beberapa jabatan atau badan. Contohnya, nelayan-nelayan dibahagikan kepada kumpulan yang berlainan mengikut tempat mereka menangkap ikan. Begitu juga artisan. Mereka juga memiliki organisasi yang tersendiri.

6. Kegiatan ekonomi

Kegiatan ekonomi utama negara kota ialah pertanian. Golongan petani meliputi 90% penduduk Mesopotamia. Mereka mendapat benih, peralatan, dan pakaian daripada bengkel-bengkel yang terletak di rumah-rumah berhala. Sebagai balasannya, mereka mengusahakan tanah Tanah-tanah pertanian pula dimiliki oleh raja, golongan bangsawan dan pegawai tentera.Tanah-tanah yang dimiliki oleh rumah berhala dan istana disewakan kepada petani ataupun diusahakan oleh golongan serf. Tanah-tanah yang diusahakan terbahagi kepada tiga golongan iaitu tanah milik tuan tanah. Tanah ini diusahakan oleh semua penduduk untuk kepentingan rumah berhala. Tanah makanan pula hasilnya diagihkan kepada kakitangan rumah berhala. Tanah yang disewakan. Tanah jenis ini disewakan oleh rumah berhala dan hasil cukai digunakan oleh kakitangan rumah berhala atau diagihkan kepada rakyat. Golongan pedagang pula memperdagangkan tanaman, arak, minyak serta buah kurma dan kain/tekstil yang diperoleh daripada rumah berhala.

Kesimpulan[ 2 markah ]

Kemunculan negara kota melambangkan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Mesopotamia dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Perkembangan ini menyebabkan lahir kehidupan yang sistematik dan terancang serta meletakkan asas bagi peningkatan tamadun.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

3 ulasan:

cik ribena berkata...

cikgu saya nak tanya tema mne yang perlu saya fokus kan?
banyak sangat tak tahu mane yang penting n kene fokus.

Cikgu Rashman berkata...

Fokus tema 1,2,3,4.....

cik ribena berkata...

tema 1,2,3 dan 4 untuk sejarah ape?tamadun dunia ke?
blh saya tahu soalan/tajuk ape yang popular?

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.