ENJIN CARIAN BAHAN

Khamis, 19 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : MASALAH YANG DIHADAPI SELEPAS KEWAFATAN NABI MUHAMMAD

 

Pengenalan

  1. Nabi Muhammad wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11 Hijrah di Madinah.
  2. Baginda tidak pernah mengatakan secara lisan siapakah yang baginda pilih sebagai pemimpin umat Islam yang seterusnya.
  3. Namun perundingan yang dijalankan di kalangan masyarakat Islam di Madinah telah memutuskan untuk melantik Abu Bakar al-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama.

Masalah yang Dihadapi

Terdapat Perselisihan Pendapat Mengenai Kewafatan Nabi

  1. Terdapat perselisihan tentang berita kewafatan Nabi Muhammad. Terdapat sebahagian daripada umat Islam termasuk Saidina Umar sendiri yang tidak dapat menerima berita tersebut.
  2. Umat Islam berada dalam keadaan yang penuh kekeliruan dan emosi.
  3. Penyelesaian dilakukan oleh Saidina Abu Bakar apabila beliau membacakan ayat al-Quran yang antara lain bermakna bahawa Nabi Muhammad hanya seorang pesuruh Allah seperti rasul yang terdahulu yang pernah hidup dan kemudiannya akan mati. Namun, Islam tetap kekal dan tidak akan mati.

Perselisihan Tentang Tempat Pengebumian Nabi

  1. Umat Islam kemudiannya berselisih pendapat tentang tempat untuk mengebumikan jenazah baginda.
  2. Sebahagian pihak mahukan agar baginda dimakamkan di Mekah manakala pihak lain mahu baginda dimakamkan di Madinah.
  3. Ada juga yang mahukan Nabi dimakamkan di Baitul Muqaddis.
  4. Perselisihan tersebut diselesaikan oleh Abu Bakar apabila dibacakan kepada mereka sepotong hadith di mana Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud "para nabi dikebumikan di mana mereka meninggal dunia". Oleh itu, Nabi Muhammad dikebumikan di Madinah.

Menyelesaikan Masalah Perlantikan Khalifah

  1. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, sebahagian besar golongan Ansar telah berkumpul di sebuah dewan bernama Saqifah Bani Saidah, untuk melantik Saad Bin Ubadah sebagai pengganti Nabi.
  2. Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah telah mendengar berita tersebut lalu menuju ke Saqifah Bani Saidah.
  3. Masalah pemilihan pengganti Nabi menjadi kusut apabila golongan Ansar bersungguh-sungguh mahukan jawatan tersebut dengan alasan mereka adalah pembela Allah dan Islam.
  4. Perjuangan mereka terhadap Nabi dan agama Islam adalah tidak ternilai dan golongan Muhajirin adalah sebilangan kecil dari mereka dan mereka berada di Madinah dalam keadaan merantau atau menumpang.
  5. Abu Bakar telah memberikan hujah dan alasan yang sebaik-baiknya mengapa pemilihan bakal pengganti Nabi mestilah dari golongan Muhajirin. Beliau juga membacakan hadis Nabi yang bermaksud "Para imam adalah daripada golongan Quraisy".
  6. Hujahnya ini dapat menyedarkan golongan Ansar tentang kepentingan memilih golongan Muhajirin sebagai pengganti Nabi Muhammad.
  7. Akhirnya, Abu Bakar dipilih sebagai pemimpin umat Islam. Melalui cara ini, krisis perlantikan Khalifah yang amat kritikal itu dapat diatasi dan diselesaikan dengan cara sebaik-baiknya. Ia berjaya menghindari umat Islam dari kemungkinan bahaya perpecahan politik yang amat membimbangkan.

Meneruskan Gerakan Ketenteraan Usamah Bin Zaid

  1. Sebelum Nabi Muhammad wafat, baginda telah membentuk sebuah angkatan tentera yang diketuai oleh Usamah Bin Zaid Bin Harithah untuk menentang penduduk Daerah Ghassan yang telah membunuh beberapa orang utusan Nabi.
  2. Apabila Abu Bakar menjadi Khalifah beliau menghadapi masalah yang kritikal sama ada untuk meneruskan atau membatalkan sahaja gerakan ketenteraan tersebut.
  3. Ada yang berpendapat ia perlu dibatalkan kerana Mekah dan Madinah sendiri menghadapi ancaman dan pemberontakan dari kaum Absy dan Zubyan. Tambahan pula, Usamah Bin Zaid masih dalam usia belasan tahun. Namun, Khalifah Abu Bakar menunjukkan ketegasannya dengan meneruskan gerakan tersebut.
  4. Tentera Usamah mencapai kejayaan gemilang dalam tempoh 40 hari. Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom ini memberikan kesan politik yang penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum-kaum yang ingin menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau digugat.
  5. Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat Islam kerana tentera Usamah Bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan Madinah.

Menentang Gerakan al-Riddah

  1. Al-Riddah ialah gerakan anti kerajaan Islam atau gerakan mengingkari ajaran-ajaran Islam. Ia terdiri dari gerakan 3 golongan iaitu golongan-golongan nabi palsu, golongan yang murtad dan golongan yang enggan membayar zakat.
  2. Kesemua golongan ini merupakan anasir yang membahayakan kerana boleh menghancurkan keutuhan Islam jika tidak dihadapi dan ditentang bersungguh-sungguh.
  3. Langkah awal Khalifah Abu Bakar ialah menghantar utusan-utusannya kepada ketua golongan tersebut dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Hanya segelintir dari mereka menyahut seruan Khalifah Abu Bakar seperti Bani Abdul Qais di Bahrain. Namun kebanyakannya masih degil.
  4. Oleh itu, Khalifah Abu Bakar telah membentuk sebanyak 11 pasukan tentera yang diketuai oleh panglima-panglima Islam yang terkenal dan dihantarkan ke seluruh Tanah Arab untuk memerangi gerakan al-Riddah.
  5. Akhirnya, semua gerakan al-Riddah dapat dilenyapkan dan Islam kembali menjadi agama yang suci dan tunggal di Tanah Arab. Golongan penentang Islam berjaya ditundukkan supaya mematuhi ajaran-ajaran Islam.

Rumusan

Pelbagai masalah sosial, politik dan kepimpinan telah dihadapi oleh umat Islam sebaik sahaja wafatnya Nabi Muhammad. Namun, umat Islam menunjukkan ciri-ciri perpaduan dan persefahaman dengan menyelesaikan setiap masalah secara kolektif dan perbincangan sehingga akhirnya semua masalah dapat diatasi demi untuk kebaikan ummah dan negara Islam itu sendiri.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.