ENJIN CARIAN BAHAN

Rabu, 4 Julai 2012

TAMADUN ISLAM: TEMA 3 - PERANAN WANITA DALAM PEPERANGAN

 

Salah satu unit yang penting dalam organisasi ketenteraan Islam ialah peranan kaum wanita. Nabi Muhammad memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita. Ada banyak bukti yang menunjukkan peranan wanita dalam medan perang, hal ini digambarkan dalam kitab-kitab hadits yang menggambarkan tentang tugas wanita dalam medan perang, diceritakan bagaimana keberanian muslimah dalam medan perang selama masa Rasulullah saw., diantaranya, :

  • Merawat Orang-Orang Yang Terluka

    Diriwayatkan oleh Abu Hazim, Sahl bin Sa’ad bertanya tentang luka Rasulullah saw., Beliau bersabda, “Fathimah, anak perempuan Rasul (pada ketika perang), melakukan tugas untuk membersihkan luka dan Ali bin Abi Thalib menuangkan airnya. Ketika Fathimah melihat bahawa luka tersebut ada gangguan perdarahan, maka dia mengambil potongan kain lalu membakarnya, kemudian memasukkan abu tersebut ke dalam luka sehingga darah (pada luka) boleh membeku (dan perdarahan berhenti). Suatu hari gigi taringnya (Ali) patah dan mukanya terluka , topi bajanya patah tepat pada kepalanya.” (Al-Bukhari)

  • Menyediakan Air Bagi Yang Haus

    Diriwayatkan oleh Anas r.a., “Suatu hari dalam perang Uhud ketika sebahagian orang berundur dan meninggalkan Rasulullah, saya melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim dengan menyinsing baju mereka, terdengar letusan di sekitar mereka, mereka tampak terburu-buru dengan membawa air (dalam riwayat lain disebutkan mereka membawa air di punggung mereka). Kemudian menuangkan air tersebut dan meminumkannya kepada orang-orang yang haus dan mereka kembali memenuhi air lagi serta datang kembali untuk menuangkan air dan meminumkannya kepada orang-orang lagi.” (Al-Bukhari)
  • Menyiapkan Makanan Bagi Para Mujahidin

    Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a., “Ketika terjadi penggalian parit, saya melihat Rasulullah berada dalam keadaan lapar. Saya pulang untuk menemui isteriku dan berkata kepadanya, “Apakah kamu memiliki sesuatu (untuk dimakan) kerana saya melihat Rasulullah berada dalam keadaan lapar.” Dia membawakan kepadaku sebuah bekas yang berisi dari sejenis gandum dan kita memiliki binatang yang aku sembelih kemudian isteriku memasak sejenis gandum tadi dan dia menyelesaikannya tepat waktu, aku pun menyelesaikan pekerjaanku. Kemudian aku memotong daging menjadi potongan-potongan dan menaruhnya ke dalam kuali yang terbuat dari tanah (memasaknya) dan kembali menemui Rasulullah. Isteriku berkata, ”Jangan memalukan aku di depan Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya”. Jadi aku pergi menemuinya dan mengatakan kepada beliau secara diam-diam, “Ya Rasulullah! Saya telah menyembelih haiwan betina milik kita dan kami memiliki satu Sha’ Gerts (sejenis gandum). Jadi datanglah bersama beberapa orang teman Anda. Rasulullah mengeraskan suaranya dan mengatakan, “Wahai saudaraku yang sedang menggali parit! Jabir telah menyiapkan makanan, mari kita pergi” Rasulullah berpesan kepadaku, “Jangan angkat daging yang ada di dalam kuali (dari tempat pembakarannya) atau adunan mu sampai aku datang”. Kemudian saya datang (ke rumahku) dan Rasulullah datang juga mendahului yang lainnya datang. Ketika aku datang kepada isteriku, dia berkata, “Apakah yang akan Allah tetapkan terhadap kamu?” Saya berkata, “Saya menyampaikan kepada Rasulullah apa yang kamu katakan.” Kemudian dia (isterinya) menyajikan adunan itu kepada Rasulullah dan dia (Rasul) memanggangnya dan memohon keberkatan Allah di dalamnya. Kemudian baginda (Rasul) maju ke depan di hadapan potongan-potongan daging yang ada di kuali dan pemanggangan dan berdo’a untuk keberkatan di dalamnya. Lalu baginda berkata (kepada isteriku), “Panggillah seorang wanita tukang roti untuk membuat roti bersamamu dan memasak potongan daging yang ada di kuali tersebut dan jangan angkat dari tempat pembakaran.” Mereka satu persatu hingga ribuan orang (mengambil dan memakan daging tersebut) dan demi Allah mereka semua telah makan dan ketika mereka selesai makan dan pergi, potongan daging yang berada di kuali masih penuh dengan daging seperti tidak berkurang dan adunan rotinya pun seperti tidak ada yang mengambil.
  • Membekalkan Senjata Untuk Para Mujahidin

    Diriwayatkan oleh Ummu Ziyaad r.a., “Dalam perang Khaibar saya sendiri dan 5 orang lainnya adalah wanita berada pada perang tersebut. Rasulullah Muhammad saw. mempelajari (keadaan ini) dan mengirimkan mereka untuk kita. Beliau (saw) berkata dengan marah, “Siapa yang mengizinkan kamu untuk keluar dari sini? Siapa yang membawa kamu ke tempat ini?” Kami berkata, “Ya Nabiullah! Kami sekarang bersatu dan kami memiliki pengubatan yang bersama kami, kami mampu membantu para mujahidin dengan membekalkan mereka dengan anak panah, dengan mengubati mereka ketika mereka sakit dan menyiapkan makanan bagi mereka.” Rasulullah kemudian mengizinkan kami untuk tinggal” . (HR. Abu Dawud) .
  • Memberikan Semangat Kepada Para Mujahidin Untuk Tetap Bertahan
    Selama perang Uhud, Saffiyah binti Abdul Mutholib r.a., ibu saudara Rasulullah saw. berdiri dan mengayunkan tombak ke depan sambil berkata, “Apakah kamu mencuba mengalahkan Rasul?” Semoga Allah memberkatinya dan memberikan kedamaian kepadanya.
    Juga, selama perang Uhud, ketika Nusaibah binti Ka’ab, anak laki-lakinya Abdullah sedang terluka berat, dia (Nusaibah) membalut lukanya dan memerintahkan padanya,”Pergi dan perangilah orang-orang kafir itu wahai anakku!” Mendengar hal ini Rasulullah saw. tersenyum dan berkata, “Siapakah yang dapat memikul apa yang kamu pikul wahai Ummu Umarah!”.

 

Para kaum wanita pada zaman keemasan Islam banyak yang ikut berjuang , menyerbu di medan perang dan melawan musuh di bahagian depan atau dalam pertempuran .
Para kaum wanita pada zaman keemasan Islam banyak yang ikut berjuang , menyerbu di medan perang dan melawan musuh di bahagian depan atau dalam pertempuran .

Di antara mereka yang terdapat dalam riwayat dan buku sejarah antara lain : Sitti Aisyah , Sitti Fatimah , Sitti Shafiyah dan Sitti Ummu Sulaiman serta masih banyak lagi yang lainnya. Mereka ikut berjuang di medan perang untuk :

  • Mengangkat atau menyediakan air minum untuk para perajurit .
  • Memasakkan / menyediakan makanan sewaktu –waktu untuk perajurit.
  • Menjaga dan merawat para perajurit yang sakit .
  • Mengubati yang luka/cedera .
  • Menjaga dan memelihara kenderaan mereka.
  • Menjahitkan pakaian yang robek / rosak .
  • Mengangkut dan mengurus mereka yang gugur.
  • Mengamati gerak-geri musuh .
  • Menyediakan segala sesuatu yang diperlukan .
  • Bahkan bila perlu dapat juga ikut bertempur melawan musuh .
    Dan tentunya masih banyak lagi peranan kaum wanita dalam bidang perjuangan . Ini menunjukkan bahawa bukan kaum lelaki saja yang mampu ikut berjuang tetapi juga kaum wanitanya. Sejarah telah banyak membuktikan.
 

Sri Kandi Islam :Sofiyyah binti Abdul Mutalib


Seorang muslimah Islam Terbilang. Sofiyyah binti Abdul Mutalib adalah muslimah yang hebat. Terlibat dengan beberapa siri peperangan dalam Islam seperti Perang Uhud, Khandak, dan Khaibar. Pengorbanannya adalah merupakan contoh peranan wanita dalam Islam dari sudut peperangan. Sila baca.

Beliau merupakan seorang wanita yang berkeperibadian hebat. Sejarah telah merakamkan keunggulannya agar beliau dapat menjadi suri teladan kepada umat sepanjang zaman sebagai seorang wanita muslimah yang wajar dicontohi. Beliau merupakan contoh yang ‘hidup’ sebagai seorang muslimah yang berani, sabar, bertanggungjawab dan berjuang mempertahankan agama Allah.

Beliau yang dimaksudkan ialah srikandi wanita sejati iaitu Sofiyyah Binti Abdul Muttalib.Bapa Sofiyyah ialah Abdul Muttalib Bin Hashim iaitu datuk kepada Rasulullah s.a.w., Jadi, Sofiyyah merupakan emak saudara nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman Jahiliyyah, Sofiyyah berkahwin dengan al-Harith Bin Harb Bin Umayyah. Selepas itu, beliau berkahwin dengan al-'Awwam Bin Khuwailid Bin Asad Bin Abdul Uzza. Anak Sofiyyah yang paling masyhur ialah Zubayr Bin 'Awwam yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga.Sofiyyah memeluk Islam bersama suaminya al-Awwam dan anak-anaknya. Beliau telah beriman pada peringkat awal dakwah Rasulullah.

Peristiwa bukit Sofa adalah sebuah titik tolak untuk membuktikan komitmennya kepada Islam. Beliau merupakan salah seorang muslimah yang menyokong seruan Rasulullah ketika baginda menyeru kaum kerabatnya di bukit Sofa untuk memeluk Islam.Sofiyyah juga merupakan salah seorang wanita yang amat gigih menyokong perjuangan Rasulullah. Beliau juga amat gigih berdakwah kepada keluarga dan kaum kerabat yang terdekat. Ketika turunnya perintah untuk berhijrah ke Madinah, Sofiyyah pun tidak melepaskan peluang hijrah ini, lantas beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama anaknya Zubayr Bin Awwam dalam keadaan keimanan yang tinggi kepada Allah dan RasulNya.

Peristiwa Di Uhud

Dalam peperangan Uhud, umat Islam berhadapan dengan tentera-tentera musyrikin Makkah yang mencecah 10,000 orang, sedangkan tentera Islam berjumlah hampir tiga ribu orang sahaja. Sofiyyah tidak ketinggalan untuk turut serta membantu tentera-tentera Islam dalam peperangan ini. Beliau bersama-sama wanita Islam yang lain bertugas memberi minuman kepada para tentera serta merawat tentera yang cedera.Suatu ketika, apabila Sofiyyah melihat adanya senjata-senjata yang ditinggalkan seperti lembing, beliau mengambil kesempatan untuk menggunakannya melawan musuh. Dalam satu riwayat menyatakan bahawa Sofiyyah telah berjaya membunuh beberapa orang lelaki dari pihak musyrikin. Begitulah keberanian Sofiyyah yang tidak takut kepada kematian, sebaliknya berusaha untuk mempertahankan agama Allah.Ketika tentera Islam berada dalam keadaan kucar-kacir dan lari meninggalkan medan pertempuran, Sofiyyah sambil memegang lembing berkata dan berteriak dengan penuh semangat: 'Apakah kamu semua akan meninggalkan Rasulullah ?' Apabila mendengan teriakan itu, semangat juang kaum muslimin kembali bergelora. Mereka lantas berlawan dengan musuh dan akhirnya berhasil menyelamatkan Rasulullah.

Dalam peperangan Uhud ini, ramai tentera Islam gugur syahid iaitu berjumlah seramai tujuh puluh orang. Antara yang syahid ialah Sayyidina Hamzah Bin Abdul Muttalib iaitu saudara lelaki Sofiyyah seibu sebapa. Mayat Sayyidina Hamzah yang syahid itu telah dirobek-robek dengan amat teruk tanpa belas kasihan. Apabila Sofiyyah mengetahui perkara ini, beliau pun ingin melihat jasad saudaranya itu. Pada mulanya Rasulullah s.aw. ingin menghalang Sofiyyah daripada melihat tubuh badan Sayyidina Hamzah, bimbangkan dia akan berasa gerun apabila melihatnya nanti.Namun, apabila melihatkan kesabaran yang begitu jelas terpancar dari dalam diri Sofiyyah, beliau pun dibenarkan untuk melihat jenazah saudaranya itu. Tatkala melihat jasad Hamzah, Sofiyyah segera beristighfar dan ber'istirja', seraya berkata: (Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un) (sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-Nya). Lalu Sofiyyah pun berdoa untuk jenazah Sayyidina Hamzah.

Peristiwa di Khandak

Ketika Rasulullah s.a.w keluar ke Khandak bersama tentera Islam, Baginda telah menempatkan para wanita di sebuah kubu yang dibina daripada batu. Rasulullah menugaskan Hassan Bin Thabit untuk menjaga keselamatan mereka daripada musuh. Ini kerana pada ketika itu, Yahudi Bani Qainuqa' melakukan pengkhianatan terhadap Islam.Pasukan musuh mengelilingi kubu dari segala penjuru. Pada suatu hari, seorang 'perisik' Yahudi telah datang ke kubu tersebut untuk mengintai sama ada terdapat dalam kubu itu orang lelaki atau wanita sahaja. Ini kerana, sekiranya ditinggalkan wanita sahaja dalam kubu tersebut tanpa sebarang pengawasan, Yahudi itu akan menyerang, membunuh dan menawan mereka dengan begitu mudah.Sofiyyah menyedari tentang kedatangan perisik Yahudi tersebut. Lantas, beliau cuba mencari jalan untuk menentang Yahudi itu. Ini kerana, sekiranya maklumat berguna didapati oleh Yahudi , nescaya dia akan mengajak rakan-rakannya ke situ untuk menyerang mereka. Lalu, dengan keberanian yang ada pada diri Sofiyyah, beliau telah mencari sesuatu untuk dijadikan senjata, dan terjumpalah dengan sebatang kayu.Dengan perlahan-lahan, Sofiyyah dengan membawa sebatang kayu berjalan menuju kepada Yahudi tersebut yang sedang melekapkan telinganya di dinding kubu. Kemudian, Sofiyyah pun membuka pintu kubu dengan perlahan-lahan agar tidak disedari oleh pengintip Yahudi itu. Setelah membuka pintu, Sofiyyah dengan beraninya terus meluru ke arah Yahudi tersebut dan memukul kepalanya dengan kayu, menyebabkan Yahudi itu jatuh. Kemudian, dengan bantuan beberapa wanita yang lain, mereka terus memukul Yahudi tersebut sehingga dia menemui ajal. Kejadian ini menyebabkan orang Yahudi yang lain terus menjauhkan diri mereka daripada kubu tersebut serta membatalkan rancangan untuk menyerang dan menawan kubu itu.

Sofiyyah di Khaibar

Sofiyyah sentiasa ingin turut serta dalam peperangan menentang musuh Islam. Walaupun beliau tidak membawa senjata untuk berperang, tetapi beliau berpuas hati apabila dapat membawa air untuk minuman para pejuang, merawat luka dan kecederaan mereka, serta memberi perangsang dan semangat untuk menentang musuh.Di Khaibar, Sofiyyah juga terlibat dalam memberi semangat kepada anaknya Zubayr untuk menentang musuh. Kehebatan Sofiyyah bukan sahaja terserlah dalam mempertahankan Islam, bahkan beliau juga amat mengambil berat dan bertanggungjawab dalam soal mendidik anak-anak ke arah mempunyai sifat juang yang tinggi demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.Selepas kewafatan Rasulullah s.aw., Sofiyyah meneruskan perjuangan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Pendirian beliau dalam mempertahankan Islam tidak pernah berubah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.Di samping keberanian Sofiyyah, beliau juga mempunyai hati yang mudah tersentuh. Beliau banyak menghasilkan puisi. Antara puisi yang dihasilkan olehnya ialah puisi yang menangisi pemergian ayahnya Abdul Muttalib, saudaranya Hamzah dan Rasulullah s.a.w. Di samping puisi sedih, beliau juga menghasilkan puisi yang berbentuk semangat dan kata-kata perangsang.Sofiyyah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, ketika berusia 73 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan Baqi', Madinah.

Rujukan:

1. Ibn Hajar al-'Asqalani. (t.th) al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah , Dar Ihya' al-Turath al-'Arabiy, Beirut.

2. 'Iffat Wisal Hamzah (1994), Nisa' Ra'idat, Dar Ibn Hazm, Lubnan.

3. Sirah Ibnu Hisham (1955), Beirut, Lubnan.

Sumber daripada : Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

3 ulasan:

Tze berkata...

Salam Sejahtera kpd Cikgu Rashman :)
Sy pelajar Tingkatan 6 dari Cheras, Selangor.
Sy nk tnya, adakah jawapan yg di bhg atas tu jwpn yg harus pelajar tulis apabila tulis esei tajuk ini?
Sy tnya sbegini krn adakah kita wajib tulis mengikut riwayat?

Cikgu Rashman berkata...

Itu hanya sebuah artikel berdasarkan hadis-hadis yg berkaitan. Jawapan untuk peperiksaan tidak perlu begitu. Nyatakan faktanya apa, huraian dan contoh. Tidak mesti tulis ikut riwayat.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih cikgu atas kesudian membalas comment sy..
Blog ini sgt berguna dlm pnp sejarah..

Cikgu, Salam Ramadhan Almubarak~♪
Selamat Berpuasa.. o∩_∩o

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.