ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Thursday, July 24, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN (PEMBENTUKAN EMPAYAR)

TAKRIF EMPAYAR

Empayar boleh ditakrifkan sebagai satu sempadan politik yang terletak di bawah pemerintahan seorang pemerintah atau sebuah negara yang berdaulat. Ia juga diertikan sebagai kumpulan negara atau gagasan tanah jajahan yang diperintah oleh sebuah kerajaan yang berdaulat atau diketuai oleh seorang Maharaja atau Emperor. Mengikut Encyclopedia Britanica, empayar diaplikasikan kepada kawasan politik yang luas dan ada pengaruh dominan terhadap yang lain sama ada dengan kerelaan atau tidak. Biasanya, empayar tersebut pemusatan kuasa dan dikuasai oleh emperor. Sebagai contoh, di India terdapat Empayar Maurya, di China terdapat Empayar Han, di Alam Melayu terdapat Empayar Melaka dan sebagainya.

CIRI-CIRI EMPAYAR

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa Wilayah

Empayar Maurya di bawah pemerintahan Chandra Gupta telah meluaskan kuasanya sehingga merangkumi seluruh India Utara hingga ke Dataran Deccan dan di Baratnya hingga ke Saurashtra dan di Timurnya ke Mysore Utara. Empayar Han di China meluaskan empayarnya hingga ke Kansu, Asia Tengah, Manchuria, Korea Utara, Annam dan Pulau Hainan. Empayar Yunani pula telah meluaskan jajahannya hingga ke Mesir, Syria, Palestin dan Phoenicia. Empayar Rom berjaya meluaskan kawasannya hingga meliputi 3 buah benua, iaitu benua Asia, Eropah, dan Afrika. Empayar Melaka berjaya meluaskan kawasannya hingga ke beberapa negeri di tanah Melayu dan Sumatera.

Pemerintah yang Cekap

Di India, terdapat Chandra Gupta, Bindusara dan Asoka. Di China, terdapat Shih Huang Ti dan Wu Ti. Di Yunani, terdapat Iskandar Zulkarnain. Di Rom pula, Augustus dan Julius Caesar merupakan pemerintah yang cekap. Sultan Iskandar Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan pemerintah bagi Empayar Melaka, makala Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam merupakan pemerintah yang cekap bagi Acheh.

Kedudukan Ekonomi yang Kukuh

India menggalakkan kegiatan pertanian dan perdagangan. Perdagangan dijalankan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sistem percukaian yang teratur diwujudkan bagi mengatasi bencana alam seperti banjir dan kemarau. Di Rom pula, perdagangan bebas antara Laut Hitam dan Sepanyol amat menggalakkan. Perdagangan luar juga diadakan dengan Afrika, Rusia, Jerman, Asia Kecil dan lain-lain. Infrastruktur telah dibina di Rom termasuk jalan raya bagi meningkatkan kegiatan perdagangan. Bidang industri dan pertanian juga digalakkan. Melaka pula menjadi pelabuhan entreport yang terkenal pada abad ke-15 M. Begitu juga dengan Acheh, pada abad ke-16 dan ke-17 M.

Angkatan Tentera yang Kuat

Empayar Rom di bawah pemerintahan Augustus telah mengambil beribu-ribu tentera untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh. Tenteranya dianggarkan berjumlah kira-kira 400 ribu orang. Mereka diletakkan di kawasan yang strategik. Empayar Srivijaya pula mempunyai pasukan tentera yang kuat sehingga berjaya menguasai 3 laluan laut kegugusan pulau-pulau Melayu iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda. Pasukan tenteranya berjumlah kira-kira 20,000 orang.

Undang-undang yang Teratur

Rom membahagikan undang-undangnya kepada 3, iaitu undang-undang sivil untuk semua warganegaranya, undang-undang rakyat untuk rakyat tanpa mengira kewarganegaraan dan "natural law" (undang-undang yang menegaskan bahawa semua adalah sama dari segi undang-undang dan kerajaan tidak berkuasa untuk menindas). Di Melaka, terdapat undang-undang adat Kesultanan Melaka yang terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Di India pula, Asoka mengenakan hukuman yang keras seperti hukuman mati ke atas orang yang melakukan kesalahan tertentu. Acheh pula memiliki Kanun Mahkota Alam.

Pentadbiran yang Kemas/Sistematik

Di India, sistem pentadbirannya begitu cekap dan teratur. Kerajaannya mempunyai 2 komponen yang penting iaitu raja dan menteri. Raja menjadi pemerintah yang berkuasa mutlak manakala menteri akan membantu raja dalam pemerintahan. Empayarnya dibahagikan kepada beberapa provinsi dan ditadbir oleh Wizurai. Beberapa jabatan diwujudkan seperti kewangan, percukaian, pertanian, polis dan kehakiman. Majapahit pula memperkenalkan sistem pentadbiran yang cekap dan teratur di bawah pemerintahan Hayam Wuruk. Majapahit juga memperkenalkan sistem pungutan cukai yang teratur dan adil.

Penduduk Pelbagai Ras

Di bawah Empayar Rom, Eropah telah disatukan di bawah satu pemerintahan walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Di Alam Melayu, di bawah Empayar Melaka dan Acheh, penduduk di negeri-negeri di Tanah Melayu dan negeri-negeri di Sumatera telah diletakkan di bawah satu pentadbiran. Walaupun mereka terdiri daripada satu rumpun bangsa, tetapi mereka mengamalkan kebudayaan yang berbeza.

Wujudnya Hubungan di antara Jajahan Takluk

Biasanya, hubungan baik akan wujud di kalangan negeri-negeri yang ditakluk sama ada hubungan politik atau ekonomi. Melalui perhubungan ini, kegiatan perdagangan di antara negeri-negeri tersebut telah wujud. Contohnya, hubungan perdagangan antara negeri-negeri Melayu dan Sumatera telah wujud dengan adanya hubungan politik. Mereka akan saling bantu-membantu, misalnya Empayar Acheh turut membantu Melaka bagi menghadapi ancaman Kristian.

5 comments:

Anonymous said...

putera:terima kasih cikgu!

Anonymous said...

soalan : apakah empayar dan bagaimana ianya terbentuk?

Anonymous said...

asslmualaikm..sy nak tahu tentang pengaruh lembangan sungai kepada tamadun awal manusia..boleh x tlg cgu..

Anonymous said...

salam...saya nak tahu apakah langkah-langkah pengekalan empayar pada tamadun awal?

Anonymous said...

assalamualaikum...apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kewujudan empayar rom?

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.