ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Wednesday, July 23, 2008

TEMA 1:MANUSIA DAN MASYARAKAT (PERBANDARAN)

CIRI-CIRI PERBANDARAN TAMADUN MOHENJO-DARO DAN HARAPPA

Pengenalan
Menurut Kamus Dewan, tamadun ditakrifkan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bersopan-santun dan berkemajuan. Merujuk perspektif Barat, tamadun ialah kemajuan seimbang dari aspek kerohanian dan kebendaan ke atas individu dan masyarakat. Manakala, menurut sarjana Islam, 'Umar 'Audah al-Khatib, tamadun ialah himpunan ilmu pengetahuan, peraturan tradisi dan moral yang menunjukkan keadaan pemikiran, ekonomi, akhlak, politik, kesenian dan seluruh kehidupan dalam sesuatu sejarah.

Secara umum, tamadun ditakrifkan sebagai sesuatu masyarakat peringkat kemajuan dalam kehidupan manusia (merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial) melalui pembentukan organisasi sosial, bahasa dan tulisan, agama dan kepercayaan, pengkhususan kerja, pertumbuhan bandar serta sistem pentadbiran yang sistematik. Tamadun manusia merupakan satu proses yang berlaku secara beransur-ansur. Perkataan "tamadun" berasal daripada perkataan Latin "citivas" yang bermaksud kota.

Ciri-ciri
Penempatan Tetap
Penempatan tetap mula berkembang apabila perkampungan-perkampungan dengan bilangan penduduk yang kecil mula menjalankan kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan. Proses perubahan dan kemajuan ini dikenali sebagai proses perbandaran atau urbanisasi. Misalnya, pertanian dan perdagangan merupakan kegiatan ekonomi Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa yang utama. Bekalan air yang mencukupi dan kekayaan tanaman menyebabkan pelbagai jenis tanaman dapat dihasilkan seperti gandum dan barli disamping betik, tembikai, dan kacang. Kejayaan paling memberangsangkan ialah penanaman kapas. Dengan penanaman kapas, mereka telah menjalankan perusahaan ekonomi yang melibatkan kain kapas. Selain itu, penternakan turut dijalankan. Orang Harappa juga membela anjing, lembu dan kerbau. Unta, gajah, kuda dan keldai digunakan sebagai alat pengangkutan terutama bagi kafilah.

Perdagangan
Perdagangan yang dijalankan juga merupakan salah satu ciri perbandaran. Apabila penduduk menjalankan aktiviti perdagangan, penempatan tetap akan mula mengalami perkembangan. Sebagai contoh, perdagangan merupakan ekonomi Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa yang penting. Barangan utama yang diperdagangkan ialah kapas yang merupakan salah satu bahan eksport utama bagi Tamadun Indus. Selain itu, terdapat bukti-bukti yang menunjukkan barang-barang keluaran Indus telah sampai ke Mesopotamia kira-kira antara tahun 2300 dan 2000 SM. Di samping itu, orang Barat dikatakan pernah tiba di Harappa. Kapak yang diperbuat daripada tembaga atau gangsa dijumpai di kawasan Indus menunjukkan adanya hubungan dengan Asia Barat. Dengan kehadiran benda-benda di kawasan Indus seperti lapis lazuli, jed, turquoise dan sebagainya membuktikan perdagangan yang dilakukan antara Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa dengan Iran, Iraq, Afghanistan Pertengahan Asia. Selain itu, Tamadun Indus juga mengamalkan industri kecil-kecilan seperti menenun kain serta pertukangan tangan.

Perancangan Bandar
Salah satu ciri perbandaran lagi ialah perancangan bandar. Bandar dirancang supaya menjadi lebih sistematik. Misalnya, bandar Harappa dan Mohenjo-Daro merupakan perancangan bandar (town planning). Bandar Mohenjo-Daro dan Harappa boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bandar Benar (city proper) dan pusat benteng atau kubu (citadel) di Timur yang lebih kecil dan tinggi. Terdapat juga sebuah citadel yang didiami oleh golongan pemerintah. Kesimpulannya, Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa memperlihatkan perancangan bandar yang sempurna.

Pembinaan Jalanraya
Pembinaan jalanraya yang sistematik dan lurus juga merupakan satu ciri perbandaran. Jalanraya dibina untuk menghubungkan satu kawasan dengan satu kawasan yang lain. Di kota Mohenjo-Daro dan Harappa, jalan utama dibina berturut-turut dari Utara ke Selatan dan ke arah Timur serta Barat. Di Kalibangan antara jalan Utara-Selatan mempunyai 7.2 meter lebar, sedangkan jalan Utara-Selatan yang lain adalah tiga suku daripada lebarnya. Jadi, boleh dikatakan pembinaan sistem jalanraya yang lurus dan sistematik adalah ciri perbandaran yang amat penting.

Kemudahan Maju
Bandar raya yang dilengkapi kemudahan maju adalah ciri perbandaran yang ketara. Kemudahan yang sempurna memperlihatkan taraf hidup rakyat yang tinggi. Contohnya, Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa yang memiliki kemudahan yang maju. Di pusat bandar, mereka membina rumah kedai dan rumah tinggal. Rumah-rumah diperbuat daripada batu-bata dan beratan serta mempunyai bilik mandi, dapur, tandas dan longkang. Bandar raya terbahagi kepada petak-petak perumabahn berdasarkan corak checker board. Terdapat juga jelapang-jelapang, dewan orang ramai dan kedai-kedai. Bandar raya tersebut mempunyai sistem saluran najis di bawah tanah. Dengan itu, kemudahan yang ada pada Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa adalah agak maju.

Tumpuan Pelbagai Kegiatan
Setelah perkampungan-perkampungan berkembang menjadi sebuah bandar utama, maka bandar tersebut akan menjadi tumpuan kegiatan ekonomi, tempat pembinaan kota, istana dan tempat ibadat. Dari segi penduduk, Mohenjo-Daro dan Harappa mempunyai 40,000 orang penduduk. Dewan orang ramai dibina supaya para penduduk dapat berhimpun bersama. Jelapang-jelapang dan kedai-kedai dibina di pusat bandar Mohenjo-Daro dan Harappa menjadikan bandar setelah tumpuan kegiatan ekonomi. Kubu-kubu Harappa menjadikan bandar sebuah tumpuan kegiatan ekonomi. Kubu-kubu dan menara-menara turut dibina untuk melindungi bandar-bandar itu daripada serangan musuh. Citadel di bandar pula merupakan tempat kediaman golongan paderi atau pendeta. Kesimpulannya, Kota Mohenjo-Daro dan Harappa menjadi tempat pertemuan rakyat dan tempat mereka untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian.

Penutup
Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa merupakan bandar terancang yang terawal dalam sejarah manusia. Pembentukan bandar Mohenjo-Daro dan Harappa jelas memperlihatkan corak kehidupan manusia yang berorganisasi dan kebijaksanaan penduduk dalam proses perbandaran.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.