ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 7 Jun 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 -PERANG UHUD

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Penduduk musyrikin Makkah (Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan perang Badar. Saudagar saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis ekonomi. Oleh kerana itu, maka berundinglah semua pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua keuntungan perdagangan di tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.

Kerana Abu Jahal sudah meninggal, maka Abu Sufianlah yang diangkat menjadi Panglima Perang, yang akan memimpin tentera 3 000 orang jumlahnya. Di antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan, anak dari Umaiyah bin Khalaf yang telah menyeksa Bilal, dan 'Ikrimah anak Abu Jahal. Selain itu, ikut serta pula memimpin tentera, seorang yang gagah berani, iaitu Khalid Ibnul-Walid. Kaum perempuan dengan dikepalai oleh Hindun (isteri Abu Sufian), dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi tentera yang ramai itu, mereka turut ke medan perang memukul genderang.

Kerana musuh terlalu ramai, maka Nabi berniat akan bertahan dan menanti musuh dalam kota Madinah. Tetapi suara ramai, berdasarkan siasat perang menghendaki agar musuh diserang di medan perang. Nabi tunduk kepada keputusan orang ramai ini, sekalipun dalam hatinya terasa kurang tepat. Dalam hal yang tiada turun wahyu, Nabi selalu berbincang dengan orang ramai, dan keputusan mereka pasti dijalankan dengan tawakkal, ertinya berserah kepada Tuhan.

Nabi lalu masuk ke dalam rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Baru Nabi keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk menyerang tadi, mencabut usul mereka kembali, kerana ternyata kepada mereka pendirian Nabi semulalah yang benar. Tetapi keputusan itu rupanya tidak dapat diubah lagi, kerana Nabi berkata: "Tidak, Kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali sebelum perang selesai."

Tentera Islam hanya berjumlah seribu orang. Semuanya berjalan kaki, hanya dua orang saja berkuda. Ramai pula di antara mereka itu orang tua dan anak anak yang di bawah umur.

Sebelum matahari terbenam, mereka bertolak menuju ke bukit Uhud. Sesampainya di pinggir kota Madinah, tiba-tiba 600 orang Yahudi, pengikut-pengikut Abdullah bin Ubay, menyatakan hendak turut bertempur bersama sama dengan Nabi. Tapi Nabi sudah tahu akan maksud mereka yang tidak jujur, maka ditolaknya tawaran itu dengan berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."

Kerana penolakan ini, Abdullah bin Ubay malu, marah, lalu berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang; 300 orang kaum Muslimin dapat dihasut, sehingga kembali pulang ke Madinah; mereka inilah yang dinamakan kaum Munafik. Maka tinggallah Nabi dengan 700 orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu.

Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum Muslimin di bukit Uhud di waktu dinihari. Segera Nabi mengatur strategi perang. Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh bukit Ainain. Lima puluh orang diserahkan Nabi menjaga di celah bukit dari belakang dikepalai oleh Ibnuz-Zubair, dengan perintah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.

Tiba-tiba kedengaranlah sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Segera mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap kirinya.

Seorang musuh menaiki unta mara kehadapan sampai tiga kali menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair sebagai harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dijatuhkannya ke tanah, lalu dibedah dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat berlaku dengan dahsyat.

Arta pemegang panji-panji/bendera musuh, mati dibunuh oleh Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dan bertempur dengan Zubair. Setelah Sibak tewas muncul pula Jubair bin Mut'im menghadapi Hamzah, untuk membalas dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan bapa saudaranya di medan perang Badar dulu. Jubair takut berhadapan dengan Hamzah. Hanya diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak ini dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.

Dengan menyeludup di balik belukar dari belakang Hamzah, dengan menggunakan tombak, Hamzah dapat ditikamnya sehingga syahid di saat itu juga.

Hamzah adalah pemegang panji-panji Islam di kala syahidnya itu. Panji panji itu segera diambil oleh Mus'ab bin 'Umair. Beliau pun tewas dan syahid di hadapan Nabi sendiri. Ali tampil menggantikannya. Sepantas kilat Ali dapat menetak leher musuhnya yang memegang panji-panji itu. Pertempuran hebat berkisar di sekitar panji-panji musuh yang sudah rebah ke tanah. Berpuluh-puluh musuh tewas di sekitar panji-panji itu, bersama dengan panji-panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.

Melihat musuh lari tunggang-langgang, tentera yang seramai lima puluh orang yang diarah menjaga di atas bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak, kepunyaan musuh yang lari itu. Dengan suara yang keras sampai serak, Ibnuz-Zubair menyuruh mereka kembali, tapi tidak dipedulikan sama-sekali.

Melihat tempat pertahanan yang strategik itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan yang kosong itu. Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Ibnuz-Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas diinjak oleh kuda kenderaan Khalid sendiri. Panji-panji Quraisy yang sudah jatuh ke bumi itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah, 'Umarah binti 'Alkamah namanya.

Tentera Islam menjadi kacau bilau. Sebahagian telah lari pulang ke Madinah, Usman bin 'Affan sendiri terikut juga. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar Nabi; tiba-tiba Nabi dilontar oleh batu, sehingga luka parah dan patah giginya. Baju besi yang kena batu, pecah dan pecahannya menembus ke pipi Nabi. Abu Usman mencabut besi itu dari daging Nabi sehingga giginya pun patah pula.

Nabi terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah tewas. Ali dan Talhah segera menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh seperti singa yang lapar . Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja. Badan Abu Dujanah penuh luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke medan peperangan dan menikam setiap musuh yang menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu 'Umarah namanya.

Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan Nabi sudah tewas itu, segera menjalar di medan pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat pertempurannya menjadi lemah kerananya. Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada mereka:

"Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"

Sebagai teladan, dia segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari-jarinya putus kena pedang musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati-matian menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.

Tiba tiba terdengar Ka'ab bin Malik berteriak mengatakan Nabi masih hidup , malah beliau pun sedang berjuang bermati-matian. Dari segala penjuru, tentera Islam segera menyerbu pergi ke tempat di mana Nabi berada. Nabi yang sedang terkepung dari segala penjuru, dapat mereka bela, sehingga terlepas dari bahaya besar. Mereka lalu merebut kembali celah bukit yang strategik dikuasai musuh itu. Dengan dapat merebut tempat itu, musuh dikepung di tengah-tengah. Tentangan pihak musuh dapat dipatahkan dan akhirnya mereka lari menyusup di lereng bukit Uhud, di mana terjadi pertempuran beberapa hari lamanya. Kerana sudah keletihan dan banyak terkorban, mereka lalu pulang kembali ke Makkah.

Dalam pertempuran itu, ummat Islam mengalami kekalahan, di mana tujuh puluh orang tewas. Sedang di pihak musuh hanya dua puluh tiga orang saja yang tewas. Sungguh mahal harganya strategi yang ditetapkan oleh Nabi kerana tentera Islam mengikari arahan Nabi Muhammad dan terpaksa membayar dengan tujuh puluh orang korban dan Nabi sendiri pun mendapat luka dan hampir saja menjadi korban.

Kekalahan besar itu menimbulkan keinsafan yang lebih dalam kepada tentera Islam. Keinsafan bahawa perintah Nabi jangan sampai dilanggar dan diabaikan. Dengan keinsafan inilah mereka meneruskan perang di hari-hari yang berikutnya, sehingga mendapat kemenangan yang gilang-gemilang.

Di pihak musyrikin Makkah pula, sehabis perang Uhud itu kekejaman mereka semakin bertambah juga. Jenazah-jenazah tentera Islam yang bergelimpangan di medan perang, mereka koyak-koyak dan hinakan. Dengan ramainya korban di kalangan orang-orang Islam dan sedikitnya korban di pihak mereka, mereka berasa bangga dan menyombongkan diri kerana menganggap tentera Islam akan dapat dikalahkan semuanya. Kesannya juga, orang Yahudi Madinah mula ingin bersahabat dan berbaik-baik dengan bangsa Quraisy untuk menyerang orang Islam. Ini sebenarnya telah melanggar janji yang sudah mereka tandatangani di hadapan Nabi sendiri dalam Piagam Madinah. Kaum munafik (yang bergabung dengan orang Islam, kerana takut dan lain alasan, bukan kerana keinsafan), makin terang-terang mengkhianati kaum Islam.

Guru guru Islam yang dikirim Nabi ke desa desa di pedalaman Arab tujuh puluh orang jumlahnya, hampir seluruhnya dibunuh oleh golongan Yahudi dan kaum munafik itu. Hal ini sangat menyedihkan Nabi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.