Strategi Barat, yang diketuai AS, dalam merencana pelbagai helah politik demi melanjutkan hegemoninya ke atas Islam dan kaum Muslimin mula terdedah apabila satu persatu rancangannya ditelanjangkan oleh para intelektual Islam yang ikhlas. Selain kegiatan imperialis melalui peperangan dan pembulian, Barat juga menaja beberapa agenda ‘halus’ berbentuk serangan ideologi, menyerang pemikiran umat Islam. Misalnya, pluralisme – fahaman meyeragamkan semua agama. Fahaman ini amat berleluasa sekarang khususnya di wilayah kaum Muslimin dan di Malaysia, ia diterjemahkan dalam bentuk kebangkitan gerakan seperti Inter-Faith Commission (IFC) yang dulunya dikenali sebagai Inter-Religion Council (IRC). Biarpun masih di peringkat proses penubuhan, IFC mampu mencetus suatu paradigma ‘religious-modernization’ di mana setiap agama bersekutu dalam sebuah institusi tunggal.
Reaksi terhadap usul penubuhan IFC disambut dengan pelbagai warna emosi masyarakat setempat - ada yang menyokong dan ada yang membantah. Majoriti masyarakat Islam di Malaysia membantah usul penubuhan tersebut kerana ianya membawa implikasi negatif bahkan dilihat sebagai mampu menghancurkan Islam serta ajaran sucinya. (Lawat http://www.geocities.com/bantah_ifc/ Perhatian - pihak mykhilafah.com tidak terlibat dalam isi kandungan yang luar dari laman web kami).
Pihak yang membantah melakukan pelbagai aktiviti dan kempen menerusi ceramah, kuliah, seminar dan lain-lain. Manakala yang menyokong pula cuba menyemarakkan usulnya melalui pendekatan yang lebih formal sebagaimana yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN Kelana Jaya, Loh Seng Kok, yang mengusulkan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama-Agama di Malaysia (Jakam) dalam ucapannya di Dewan Rakyat ketika menyokong usul terima kasih terhadap titah Yang di- Pertuan Agong baru-baru ini. Secara tersiratnya, idea penubuhan Jakam dilihat sebagai ‘harm reduction’ kepada bantahan penubuhan IFC sehingga dapat mengalihkan fokus pembantah kepada Jakam pula. Sementara itu, kerajaan melalui kenyataan PM menegaskan pendirian harmoninya. Kerajaan menyarankan agar Dialog Antara Agama perlu digalakkan [Utusan Malaysia 16 Mac 2006] di kalangan rakyat Malaysia amnya. Persoalannya kini, apakah pandangan Islam terhadap interaksi keagamaan seperti IFC, Jakam dan sesuatu yang seumpamanya ? Dan bagaimana pula Islam mengatur permasalahan ini ? Sautun Nahdhah kali ini cuba menghuraikan permasalahan ini dengan seberapa ringkas yang mungkin agar pembaca budiman memahami kedudukan sebenar perkara ini.
Pluralisme : Modal Kufur Menghancurkan Islam
Pluralisme agama merujuk kepada suatu fahaman yang menyamakan semua agama dalam ertikata:
a. Kebenaran ada dalam semua agama, dan
b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.
Fahaman yang disebut dengan istilah transcendent unity of religions ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Rene Guenon, Titus Burckhardt, Fritjhof Schuon, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr dan lainlain lagi. Fahaman ini mulai muncul secara meluas pada tahun 1932. Ketika itu, Perancis mengutuskan delegasinya untuk berunding dengan tokoh-tokoh ulama al-Azhar, Kaherah, dalam rangka membahas idea penyatuan tiga agama: Islam, Kristian dan Yahudi. Kegiatan ini kemudian diteruskan dalam Persidangan Paris tahun 1933. Persidangan ini dihadiri oleh para orientalis dan misionaris dari pelbagai universiti yang ada di Britain, Switzerland, Amerika, Itali, Poland, Sepanyol, Turki dan lain-lain. Persidangan Agama-agama Sedunia tahun 1936 merupakan persidangan agama terakhir sebelum Perang Dunia II.
Sepanjang dekad 70-an dan 80-an telah diadakan lebih dari 13 pertemuan dan persidangan Dialog Antara Agama dan Antara Peradaban. Yang paling menonjol adalah Persidangan Dunia II untuk Islam di Belgium. Persidangan ini dihadiri oleh 400 delegasi dari beraneka agama yang berbeza-beza. Selanjutnya adalah Persidangan Cordova di Sepanyol yang dihadiri oleh delegasi-delegasi Muslim dan Kristian dari 23 negara. Kedua persidangan ini diselenggara dalam tahun 1974. Setelah itu, Pertemuan Islam-Kristian pula diselenggarakan di Carthage, Tunisia, pada tahun 1979. Di akhir dekad abad yang lepas, pendokong propaganda Dialog Antara Agama mengadakan Persidangan Dialog Eropah-Arab tahun 1993 di Jordan. Persidangan ini kemudian disusuli dengan Persidangan Khartoum untuk Dialog Antara Agama tahun 1994. Pada tahun 1995, diadakan pula dua Persidangan tentang Dialog Antara Agama, yakni di Stockholm dan di Amman (Jordan). Kedua persidangan ini disusuli dengan Persidangan Islam dan Eropah di Universiti Ahlul Bait, Jordan pada tahun 1996. Kini di Malaysia, momentum pluralisme agama muncul selepas sebuah memorandum yang memuatkan usul penubuhan IFC dari Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh bertarikh 21 Ogos 2001 diketengahkan. Reaksinya, timbul kempen dari dua pihak yang bertentangan antara satu sama lain, penyokong dan pembangkang. Kemuncak pergelutan politik penubuhan IFC adalah selepas keputusan Pak Lah menangguhkan tempoh penubuhan organisasi tersebut. Isu ini tenggelam timbul rentetan kemelut kes kematian Abdullah Moorthy (alias S.Moorthy) dan isu memorandum tuntutan 9 Menteri bukan Islam terhadap pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Antara fasal yang terdapat dalam misi penubuhan IFC adalah berkaitan dengan hak menganut (aqidah) suatu agama selaras dengan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, bagi umat Islam yang berniat untuk murtad, maka IFC merupakan satu saluran yang sah disisi undang-undang Malaysia untuk merealisasikannya.
Kritikan Ke atas Pluralisme
Kemajmukan (plurality) adalah satu kewajaran yang tidak dapat dinafikan. Pengertiannya boleh menjurus kepada dua konteks, fizikal dan non-fizikal (pemikiran). Kemajmukan dalam konteks fizikal menyentuh tentang kemajmukan manusia ciptaan Allah sebagaimana yang ditinta dalam firmanNya; Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian terdiri dari lelaki dan wanita, serta telah menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling mengenali (satu sama lain). Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kalian adalah yang paling bertaqwa. [TMQ al-Hujurat (49): 13]
Akan tetapi, menyamakan kemajmukan dengan ‘pluralisme’ adalah suatu kesalahan yang besar.
Memang benar, pluralisme adalah fahaman yang lahir dari konteks kemajmukan. Akan tetapi, sebagai satu fahaman, pluralisme jelas berbeza dari kemajmukan itu sendiri. Kepelbagaian pemikiran, pandangan, aliran, fahaman, agama dan ideologi, misalnya, jelas merupakan kenyataan yang tidak dapat dilepaskan dari fenomena kemajmukan. Namun, apabila muncul persoalan mengenai tuntutan kebenaran, yang sering diketengahkan oleh kelompok liberal dan orientalis akibat dari kedangkalan dan kejahilan mereka mengenai kebenaran Islam, maka wujudlah suara-suara yang cuba meletakkan konotasi pluralisme itu setara dengan kemajmukan sesebuah mayarakat. Di dalam fikiran mereka, sekiranya penganut fahaman tertentu (dalam kes ini Islam) mengaku dirinya benar, dan yang lain salah, pasti akan terjadi pemaksaan kebenaran yang dianutnya kepada orang lain; sesuatu yang menurut fikiran mereka akan menyebabkan hilangnya kemajmukan dan kebebasan. Oleh itu, kebenaran, bagi mereka ini, harus direlatifkan. Tidak ada sesiapapun yang boleh mengatakan bahawa fahamannyalah satusatunya fahaman yang benar. Situasi ini, pada pandangan mereka akan mewujudkan keamanan dan keadilan biarpun pada hakikatnya wujud perbezaan, perselisihan mahupun pertentangan terhadap idea/ pemikiran asas yang berkaitan dengan aqidah mereka. Inilah pekung yang sebenarnya membakar dada-dada penganut fahaman pluralisme.
Peristiwa Mubahalah Buat Muhasabah Kaum Muslimin
Dalam konteks mencari titik persilangan atau titik toleransi aqidah, pernah berlaku satu peristiwa yang dilalui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengenai isu ini ketika turunnya ayat 61 Surah Ali-’Imran;
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: ‘Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.[TMQ Ali-’Imran (3):61]
Menurut periwayatan sahih yang tercatat di dalam kitab-kitab sahih, antaranya di dalam Sahih al-Bukhari daripada Huzaifah radhiallahu ‘anhu, dia berkata: Al-Aqib dan Al-Sayyid, ketua delegasi Najran datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk saling melaknat (Mubahalah). (Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.” Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.” Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [HR Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah]
Nota : Perkataan Mubahalah berasal daripada kata bahlah atau buhlah yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran. [Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.] Jelas di dalam peristiwa ini, ternyata Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak melakukan Dialog Antara Agama agar masing-masing bersepakat mencari titik persilangan yang mengharmonikan kemajmukan dalam beragama. Tidak akan berlaku tawar menawar dalam menetapkan kebenaran Islam. Dalam kes lain pula, menurut suatu riwayat At-Tabrani, Abdurrazaq, Ibnu Abi Hatim, turunnya surah Al- Kaafirun mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menolak tawaran toleransi kaum kafir
Quraisy untuk menyembah Allah serta berhala-berhala mereka secara berkala (sistem penggiliran). Di samping itu turun pula ayat 64 Surah Az-Zumar sebagai mengecam tindakan kafir Quraisy tersebut; “Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orangorang musyrik itu: ‘Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian’), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”
Islam : Ideologi Penyebar Rahmat
Kebenaran Islam adalah sesuatu yang pasti. Tidak ada tawar menawar, jual beli ataupun dialog dalam memastikan kebenaran Islam. Hanya Islamlah satusatunya ad-Deen yang benar yang diturunkan Allah, mengatasi seluruh cara hidup dan isme-isme yang lain. Dan Islam di turunkan bukan hanya untuk umat Islam, bahkan untuk seluruh makhluk Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Tiadalah Kami mengutusmu (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.
[TMQ Al-Anbiya’(21): 107]
Ayat ini merupakan jaminan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa Islam yang dibawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, jika diterapkan secara menyeluruh dan benar, pasti akan membawa rahmat bagi manusia dan seluruh alam. Penerapan secara menyeluruh membawa erti bahawa hukum-hukum Islam wajib diterapkan secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan. Sementara secara benar pula bererti penerapan ini haruslah sesuai dengan mekanisme yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan RasulNya, yakni melalui institusi negara (Daulah Khilafah Islamiyyah). Bagaimanakah caranya agar Islam dapat menjadi rahmat bagi seluruh alam (rahmat[an] li al-’âlamîn)? Secara umumnya, ini akan terealisasi melalui:
1. Menerapkan syariat Islam secara kâffah dalam wadah Khilafah Islamiyyah
Para ulama dan cendekiawan Islam yang soleh memahami bahawa Khilafah adalah kewajiban mendasar di antara kewajiban-kewajiban utama dalam agama Islam. Kewajiban ini bahkan merupakan kewajiban terbesar (al-fardh al-akbar) kerana merupakan titik tolak bagi pelaksanaan seluruh kewajiban lain. Banyak hukum tidak akan dapat didirikan tanpa adanya Khilafah seperti hukum-hukum yang terkait dengan sistem ekonomi, pendidikan, sosial, pengadilan, keamanan, politik dan ketenteraan (termasuk di dalamnya jihad dan perjanjian dengan negara-negara asing). Oleh kerana itu, kelalaian kaum Muslimin dalam melaksanakan kewajiban menegakkan Khilafah ini termasuk dalam salah satu dosa besar. Berkaitan dengan hal ini, Imam Ahmad, melalui riwayat dari Muhammad bin Auf bin Safyan al-Hamashi, mengatakan,
“Fitnah akan terjadi manakala tidak ada Imam/Khalifah yang melaksanakan urusan orang banyak.” [Abu Ya’la al-Farra’, Al-Ahkâm as- Sulthâniyah, hlm. 19]
Ibn Taimiyah, juga menyatakan, “Usaha menjadikan kepemimpinan (Khilafah) sebagai bahagian dari agama dan sarana untuk bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah sebuah kewajiban.” [Ibn Taimiyah, As-Siyâsah asy-Syar’iyyah, hlm. 161]
Hal senada juga diungkapkan oleh Ibn Khaldun, yang menyatakan, “Sesungguhnya mengangkat Imam/ Khalifah adalah wajib. Kewajibannya dalam syariat telah diketahui berdasarkan Ijma’ Sahabat dan Tâbi’în (generasi pasca sahabat). Ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam wafat, para sahabat beliau segera membai’at Abu Bakar radiallahu ‘anhu dan menyerahkan pertimbangan tentang berbagai urusan mereka kepadanya. Demikian pula yang dilakukan oleh kaum Muslim pada setiap masa yang ada; tidak pernah terjadi kekacauan di tengah-tengah umat manusia. Realiti seperti ini sekaligus merupakan ijma’ yang menunjukkan pada adanya kewajiban mengangkat Imam/Khalifah.” [Ibn Khaldun, Al-Muqaddimah, hlm. 167]
2. Menyebarluaskan Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad
Dakwah adalah seruan kepada orang lain untuk memeluk Islam atau agar melakukan kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai usaha untuk mengubah keadaan yang rosak dan tidak Islami menjadi baik sesuai dengan Islam. Oleh itu, dakwah bukanlah sekadar seruan kepada orang lain agar melakukan kebaikan, bahkan perlu disertai dengan usaha untuk melakukan perubahan. Perubahan yang dimaksud adalah mengarahkan ‘segala hal’ yang tidak sesuai dengan Islam menjadi sesuai dengan syariat Islam. Ini meliputi seluruh aspek; sosial, pemerintahan, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya; baik yang dilakukan oleh individu, kelompok, sekalipun negara. Dengan dakwah, orang-orang kafir diseru untuk memeluk Islam; orang-orang Islam diseru untuk menerapkan Islam secara sepenuhnya serta menegakkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Dengan demikian, dakwah pada hakikatnya bukan hanya ‘menguntungkan’ kaum Muslimin semata, namun juga menguntungkan seluruh umat manusia. Ini adalah kerana dakwah mengajak seluruh umat manusia untuk melaksanakan kebaikan yang diserukan Allah dalam firman-firmanNya dan memperoleh kemaslahatan hidup atas hikmah syariatNya. Demikian juga dengan jihad. Jihad dalam pandangan Islam bertujuan untuk menghilangkan kekufuran di muka bumi dan menundukkan negara-negara kafir demi menyebarkan Islam. Dengan jihad, keagungan, ketinggian, dan kemuliaan Islam akan nampak dan dengannya juga, kezaliman dan kekufuran akan ditundukkan. Jihad bahkan merupakan ketetapan yang efektif dalam menyebarkan Islam sebagai rahmat ke seluruh dunia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Perangilah mereka (orang-orang kafir) hingga tidak ada lagi fitnah (kekufuran) dan (kemenangan) agama ini hanyalah milik Allah. [TMQ al-Baqarah (2): 193]
Agenda Kita
Dengan menyedari jalan-jalan yang ditempuh oleh kaum kafir untuk menghancurkan Islam, maka kita mampu untuk lebih hati-hati ketika memahami sesuatu kejadian di hadapan kita. Kita haruslah melihat setiap peristiwa dari konteks apakah peristiwa tersebut terkait atau tidak dengan usaha menghancurkan Islam. Bagi menghadapi usaha-usaha busuk kaum kafir ini, beberapa agenda umum boleh dijalankan oleh para pencinta dan pengembang dakwah Islam:
1. Melakukan tatsqîf di tengah-tengah umat
Semua usaha untuk menghancurkan Islam akan lebih mudah dihadapi sekiranya umat Islam secara umumnya kebal dari pengaruh yang rosak. Pembinaan (tatsqîf) di tengah umat adalah dalam rangka memberikan ‘imunisasi’ pemikiran mereka dengan tsaqâfah (ilmu dan budaya) Islam, dan melatih ketahanan jiwa mereka secara berterusan supaya tetap berada di dalam suasana taqarrub ilallâh (mendekatkan diri kepada Allah). Tatsqîf ini boleh dilakukan secara individu mahupun secara kolektif. Kaedah tatsqif ini boleh dikembangkan dengan pelbagai cara sesuai dengan sumberdaya dakwah yang ada dan sasaran dakwah yang dihadapi.
2. Melakukan Kasyf al-Khuththath dan as-Sirâ’ al-Fikrî
Tindakan menghancurkan Islam ada kalanya dilakukan secara tidak sengaja oleh tokoh-tokoh Islam yang tidak sedar dirinya diperalatkan oleh penjajah. Oleh itu, membongkar agenda tersembunyi penjajah (kasyf alkhuthath) wajib dilakukan. Para pejuang Islam wajib menganalisa peristiwa-perisitiwa di dunia untuk melihat kaitan-kaitan politik yang selalunya tidak disedari oleh orang awam. Mereka juga wajib untuk terus melakukan pertembungan pemikiran agar kepalsuan pemikiran kufur terserlah dan cahaya pemikiran Islam menerangi kegelapan. Jika pemikiran-pemikiran ini tidak ditunjukkan kekeliruannya, maka umat akan menyangka itulah piawai kebenaran yang ada.
3. Membangun kesedaran politik dan memberi gambaran Islam sebagai penyelesaian yang pasti
Kesedaran politik yang benar wajib dijelaskan di tengah umat. Yang dimaksudkan dengan politik di sini bukanlah politik pragmatik dalam meraih pengaruh atau kekuasaan, tetapi adalah politik Islam yang akan membebaskan manusia dari penindasan dalam segala aspek, menuju pada keredhaan Allah semata-mata. Untuk itu, mahu tidak mahu, para aktivis dakwah wajib mempunyai kemampuan untuk memberikan gambaran Islam sebagai penyelesaian atas segala masalah manusia. Penerapan syariat Islam tidak akan menimbulkan masalah baru. Para pengembang dakwah wajib mengkaji Islam beserta ilmu-ilmunya secara mendalam serta menyeluruh supaya mampu memberikan gambaran seperti ini. Untuk itu, diperlukan para da’i yang terbina syakhsiyyahnya.
4. Membangun pendukung politik Islam, Khilafah
Dengan tumbuhnya kesedaran politik di tengah-tengah masyarakat bererti telah tersedia ‘perkakasan’ (iaitu sumber manusia) dan ‘perisian’ (iaitu konsep penyelesaian) yang diperlukan untuk membangun institusi politik Islam, iaitu Khilafah. Yang perlu dilakukan selepas itu adalah bagaimana perkakasan dan perisian ini dapat diperbesarkan dan diperkuatkan sehingga institusi politik ini benar-benar dapat ditegakkan dan dipertahankan. Menegakkan dan mempertahankan institusi politik ini bukan perkara mudah. Namun, dengan adanya institusi ini, usaha untuk menghentikan proses menghancurkan Islam akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan cekap. Khilafah boleh melakukan kempen syariat yang berkesan secara politik, menyusun semula sistem pendidikan dan menghentikan semua bentuk celaan ke atas Islam. Khilafah, dengan segenap mekanismanya juga akan memulihkan kedangkalan aqidah yang telah sekian lama menimpa umat Islam.
Khatimah
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membongkar sikap kufur Barat terhadap Islam di dalam kalamNya;
Mereka (musuh Allah) hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). [TMQ At-Taubah (9): 32]
Perencanaan mereka melalui segala bentuk serangan, baik fizikal mahupun pemikiran dapat dikesan melalui kesedaran umat yang berfikir. Dengan kesedaran ini, umat pasti akan bangkit bersama menyerang balas, berjuang mengembalikan hak Islam dan umatnya. Pluralisme adalah satu agenda ‘halus’, dan merupakan salah satu alat serangan mereka yang membenci Islam ke atas pemikiran umat Islam. Hakikatnya, fahaman dangkal ini hanya akan menikam diri mereka sendiri. Biar apapun bentuk pertubuhan yang dibina atas kepalsuan yang mengkhayalkan, kebenaran yang dijelaskan Islam melalui pemikirannya yang unggul tidak akan goyah atau dapat dirempuh oleh mana-mana pemikiran lain kerana sumber utama pemikiran Islam adalah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, Sang Pencipta.
Wahai saudaraku, serangan pemikiran ke atas Islam secara massa, seperti yang wujud hari ini, tidak akan dapat dilakukan oleh kaum kuffar sekiranya Daulah Khilafah wujud untuk mempertahankan kesucian Islam. Kemuliaan Islam dan umatnya pasti akan terserlah dengan berdirinya Khilafah – yang bertugas mempertahankan Islam dan umatnya serta mencurahkan kerahmatan kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, usaha yang serius dan bertali-arus haruslah dimulakan dari sekarang – usaha oleh setiap individu Muslim yang cintakan Islam - agar Khilafah menjadi realiti. Hanya dengannyalah kemuliaan dan keunggulan Islam akan kembali menerangi kegelapan yang sudah terlalu lama merangkumi bumi Allah ini.
Islamu ya’lu walaa yu’la ‘alaih !
Source: mykhilafah.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan