ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 2 November 2008

Bukan Tempat Mencari Jantan !!!!!!

“Hasrizal”, pensyarah menyebut nama saya.

“Ya, saya!”, saya menjawab.

“Munawwar!”, beliau terus mencatat kedatangan.

“Ya, saya”, balas teman saya di sebelah.

Sudah menjadi rutin, di awal kelas, Dr. Mustafa Abu Zaid akan mencatat kehadiran pelajar. Satu demi satu nama dipanggil. Inilah bagusnya sistem di Jordan, kehadiran ke kelas adalah wajib. Enam atau empat kali ponteng, akan di’haram’kan masuk ke kelas.

Malas macam mana sekali pun, sistem pengajian di Jordan akan memaksa pelajar supaya lebih berdisiplin. Mana mungkin boleh menjadi thalib al-ilm (penuntut ilmu/pelajar), jika proses pengajian di kelas jadi sampingan.

Semester ini kami mengambil subjek Aqidah III bersama Dr. Mustafa Abu Zaid.

GANGGUAN

Tiba-tiba, “PANGGGGG !”

Terperanjat kami sekelas dibuatnya. Dr Mustafa Abu Zaid menghempas failnya ke atas meja.

“Siapa yang pakai minyak wangi tadi???”, bentak beliau.

Rupa-rupanya ada dua orang pelajar perempuan yang baru masuk ke kelas. Mereka memakai minyak wangi yang agak kuat baunya hingga dikesan oleh Dr. Mustafa.

“Allah! Habis la kita hari ni”, saya berbisik kepada Munawwar di sebelah.

Memang menjadi suatu pantang yang amat sangat bagi Dr. Mustafa Abu Zaid jika ada pelajar perempuan yang bertabarruj ( berhias-hias/bersolek ) ke kelas. Apatah lagi minyak wangi, oleh pelajar Syariah.

Beliau memetik hadith Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:

“Apabila seorang perempuan memakai minyak wangi dan kemudian melintasi sekumpulan manusia dengan maksud untuk mereka itu menghidu wangiannya, maka perempuan itu adalah penzina. Dan setiap mata itu adalah penzina jua” [Hadith riwayat al-Nasaa'ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban]

“Universiti adalah tempat kamu mencari ilmu, bukan mencari jantan. Kalau mahu mencari jantan, berambus kamu ke pasar”, marah benar Dr. Mustafa Abu Zaid pagi itu.

Beliau amat sedih dengan gelagat pelajar di universiti. Jordan, terutamanya di kawasan pedalaman seperti di pekan Mu’tah, umumnya masih terjaga. Apatah lagi universiti kami ini terletak bersebelahan dengan Medan Mu’tah, tempat berlakunya pertempuran tentera Islam hingga menumpahkan darah syuhada’ seperti Jaafar ibn Abi Thalib, Zaid ibn Harithah dan Abdullah ibn Rawahah, radhiyallahu ‘anhum ajma’een.

Tetapi kerenah pelajar di universiti amat menyedihkan. Pergaulan bebas dengan pakaian yang menjolok mata, amat mengganggu pemandangan.

“Kuliah Syariah pula diletakkan jauh di belakang. Untuk ke kelas, terpaksa menempuh Fakulti Undang-undang, Sains dan Kejuruteraan. Di rumah hafal satu surah, sampai fakulti, lupa sepuluh surah!”, saya berbisik ke Munawwar di sebelah.

“Universiti ini amat buruk kelakuan pelajarnya. Tetapi saya tidak boleh terima jika pelajar Syariah pun sama. Tidak boleh memakai minyak wangi untuk menarik perhatian atau hingga menarik perhatian. Itu perlakuan zina. Kamu balik ke rumah dan mandi wajib…. kamu tahu Nabi Muhammad SAW pernah memberi amaran begitu?”, Dr. Mustafa meneruskan tegurannya.

Sok sek sok sek!

Kami mendengar bunyi tangisan seorang pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Tidak berani untuk menoleh ke belakang.

“Kalau takut busuk, jaga kebersihan. Bukan dengan berwangi-wangian. Sudah, hari ini tiada kelas. Kita ganti semula kemudian. Saya tidak boleh mengajar dalam keadaan seperti ini. Bersurai semua”, tegas Dr. Mustafa.

Aduh! Rugi satu kelas.

“Hah, apa lagi? Bangun!!!”, Dr. Mustafa menyergah kami, pelajar lelaki yang masih tercegat di bangku masing-masing.

Sebenarnya, kami terus duduk kerana mahu mengesan siapakah pelajar perempuan yang dimarahi tadi. Tetapi Dr. Mustafa lebih cepat mengecam ‘niat jahat’ kami lalu menghalau semua pelajar lelaki agar terlebih dahulu meninggalkan bilik kuliah. Kami segera bangun hingga ada yang tercicir pen di lantai.

KEBEBASAN

Universiti adalah ‘gelanggang merdeka’ untuk pelajar-pelajar bebas dari peraturan. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi pengawas yang menjadi ‘kaki retot’ di sekolah. Tiada lagi warden untuk menyergah asrama. Kebebasan itulah yang menjahanamkan jati diri kebanyakan pelajar.

Seperti layang-layang yang memutuskan tali. Alasannya mahu terbang tinggi, rupa-rupanya sesat dirempuh taufan sampai jatuh binasa ke bumi.

Hingga ramai yang terlupa bahawa universiti tempat mencari ilmu, bukan jantan bukan betina!

Al-Jaami’ah, wa maa adraaka maa al-Jaami’ah!

(Universiti, apa yang engkau tahu tentang Universiti!)

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.