Mengembalikan sistem khilafah Islam adalah ibarat kita mahu mengubah dunia; kita tidak tahu hendak mulakan dari titik mana dan bagaimana. Mahu tumbangkan pemimpin Islam dan orang bawahannya yang korup, tamak dan bacul dahulukah? Mahu mengubah sistem kapitalis yang tidak berpihak kepada negara-negara Islam yang miskin dahulukah? Mahu hancurkan Amerika, Israel dan konco-konconya dahulukah? Untuk mengubah perkara-perkara ini dan sebagainya, ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor.
'Kita' juga adalah agen kepada perubahan tersebut. Setakat yang saya tahu, 'kita' adalah faktor yang paling senang untuk diubah memandangkan kita belum tentu lagi mampu mengubah korupsi dan kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita. Jika kita gagal mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik dari semalam, maka impian si Mat Jenin adalah lebih mudah untuk dilaksanakan kalaulah dia tidak mati terjatuh dari pokok kelapa di kala dirinya sedang leka dan asyik tersenyum menganyam angan-angannya. Jika begitu adanya, simpan sahaja hasrat untuk mengubah sebarang sistem yang gagal di sekeliling kita.
Proses mengubah diri ini memerlukan 'kita' memiliki satu kemahiran yang bernama kesedaran. Kesedaran adalah sesuatu yang tidak dipunyai oleh seorang anak kecil berumur 2 tahun yang mana ia menyebabkannya berfikir menutup muka dengan tangannya bermaksud dia sudah berjaya menyembunyikan diri dari ibunya. Kesedaran adalah sesuatu yang mengingatkan monyet di hutan untuk menyorokkan pisang di belakang badannya dan hanya akan memakannya apabila monyet-monyet yang lain tidak melihatnya.
Kesedaran adalah sebutir permata yang dimiliki oleh generasi Salafus Soleh yang hidup di sekitar 3 kurun pertama Islam dan ia lenyap dalam majoriti Muslim hari ini. Dalam tulisan ini, kesedaran untuk memperindahkan akhlak adalah isunya.
MUKJIZAT BAHASA AL-QURAN
Allah bijak menyusun pencaturannya. Nabi Musa memiliki mukjizat untuk menukar tongkatnya menjadi ular kerana di zamannya manusia senang teruja dalam hal-hal sihir dan mistik. Nabi Isa pula dianugerahkan mukjizat untuk menghidupkan orang yang sudah mati kerana di waktunya ilmu perubatan adalah sesuatu yang menjadi kegilaan. Maka Nabi Muhammad dianugerahkan Al-Quran selaku mukjizat paling besar yang dimiliki oleh Baginda.
Pada waktu itu walaupun bangsa Arab sedang berada dalam keadaan jahiliah, tetapi mereka adalah jaguh dari segi sastera dan linguistik. Kehebatan mereka bukan di tahap jaguh kampung kerana mereka dengan beraninya memberikan gelaran 'ajam, yang bermaksud 'buta bahasa' kepada bangsa Parsi dan Greek. Istilah 'ajam masih kekal digunakan sehingga sekarang, cuma kini ia lazimnya merujuk kepada sesiapa yang tidak tahu bertutur dalam lidah Arab.
Jadi apabila Al-Quran turun, mereka begitu terpana dan terkesima dengan keajaiban bahasa yang terdapat di dalamnya. Hatta golongan Musyrikin yang masih lagi tidak mahu memeluk Islam, kadang-kala akan mencuri-curi dengar bacaan Al-Quran yang Nabi baca ketika Baginda bersolat.
Namun pada zaman ini, mukjizat keindahan linguistik Al-Quran tidak boleh lagi dijadikan senjata utama untuk mengajak manusia kepada Islam. Walaupun keindahan bahasa Al-Quran telah terbukti berjaya menarik ramai musuh-musuh besar Islam di zaman Nabi seperti Umar al-Khattab, namun di hari ini saya ragu-ragu bahawa George W. Bush akan lembut hatinya kepada Islam apabila dia mendengar bacaan Surah Taha[1] oleh Sheikh Sa'ad al-Ghamidi di dalam iPodnya[2].
Jadi, apa yang indahnya bahasa Arab sehingga ia berjaya menarik Umar kepada Islam tetapi berkemungkinan besar gagal mempengaruhi Bush?
Di dalam setiap hasil sastera sesebuah bahasa, sama ada novel, puisi, pantun, syair, prosa, gurindam dan sebagainya, pasti akan ada kecacatan bahasa di sana-sini. Kecacatan ini orang-orang sastera menggelarkannya sebagai baris lemah. Baris lemah wujud apabila sesuatu ayat dalam sesebuah hasil sastera masih belum cukup sempurna yang mana sebenarnya ia masih boleh diperbaiki lagi.
Dalam karya-karya sastera terbaik yang dikarang oleh William Shakespeare sekali pun, baris lemah tetap wujud, cuma ia tidaklah sebanyak yang terdapat dalam karya-karya yang digarap oleh penulis setahun jagung. Untuk memahami apakah baris lemah ini, kita lihat contoh ayat yang tidak memiliki kecacatan tersebut, iaitu To be or not to be; that is the question yang terdapat di dalam Hamlet. Kita tidak mungkin dapat mengungkapkan To be or not to be; that is the question dalam cara yang lebih indah dan maha sempurna.
Apa pula contoh ayat yang mengandungi baris lemah? Ia banyak terdapat di dalam tulisan saya di blog ini. Pakar bahasa Melayu yang hakiki akan mampu untuk mengolah semula ayat-ayat saya untuk mengurangkan bilangan baris-baris lemah.
Al-Quran mengandungi 6236 ayat dan tiada satu pun yang mengandungi baris lemah. Ini menjadi salah satu punca mengapa tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sesuatu yang lebih baik dari Al-Quran. Maka sebab itu apabila Musailamah al-Kadzaab yang mengaku dirinya sebagai Nabi, cuba membawa surah yang sama seperti Al-Quran, dia gagal melakukannya, padahal dia adalah antara bangsa Arab yang sangat fasih dan petah dalam berbahasa.
Hanya dengan keindahan ayat-ayat Allah itu sahaja, dan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang lebar tentang apa itu Islam, cahaya iman berjaya menembusi hati-hati golongan Musyrikin waktu itu. Sebab itu seorang sahabat Nabi bernama Uthman bin Mad'ud pernah berkata:
Rasulullah sallahu alayhi wassalam begitu bersungguh-sungguh dan tidak jemu mengajak aku masuk kepada Islam. Akhirnya aku pun mengalah dan memeluk Islam. Namun iman tidak pernah langsung memasuki hatiku sehinggalah aku mendengar ayat[3]:
Harus diingat bahawa iman memasuki hati sahabat Nabi ini bukan kerana tertarik dengan keindahan akhlak Rasulullah, sebaliknya keindahan bahasa Arab itulah yang benar-benar membuka hatinya kepada iman walaupun dia sudah pun Islam di kala itu.
Namun bagaimana pulakah caranya pada zaman dahulu, golongan 'ajam yang tinggal di luar jazirah Arab boleh tertarik kepada Islam?
Apabila Islam mula tersebar di luar Tanah Arab, keindahan bahasa Al-Quran sudah tidak begitu lagi relevan untuk memancing manusia kepada Islam. Bagaimana kita mampu untuk menghargai sebuah keindahan yang tidak kita ketahui hujung dan pangkalnya? Keindahan potret Mona Lisa hanya dapat dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seorang pencinta seni yang sejati. Keindahan kalkulus hanya dapat dinikmati oleh seorang pencinta matematik yang hakiki.
Demikian jugalah dengan keindahan al-Quran. Ia hanya dapat dirasai oleh mereka yang sungguh-sungguh arif dalam bahasa Arab (menjadi orang Arab tidak bermakna seseorang itu sudah mahir dalam bahasa Arab dan majoriti Arab hari ini juga sebenarnya perlu belajar bahasa Arab).
Maka, akhlak para pendakwah yang merantau di tanah 'ajam memainkan fungsi yang lebih kritikal dalam proses penyebaran Islam di seluruh dunia. Kita ambil contoh bagaimana Islam dibawa masuk ke dalam wilayah Nusantara oleh para pedagang Arab[4]. Apabila pedagang Arab ini melakukan urus niaga dengan penduduk tempatan, mereka tidak melakukannya semata-mata untuk tujuan duniawi. Mereka tidak menipu dalam urusan jual beli. Mereka lebih mengutamakan harga yang berpatutan daripada membuat keuntungan. Apabila ada pelanggan yang tidak mampu untuk membayar hutang kepada pedagang Arab ini, mereka dimaafkan dengan mudah kerana kemaafan dari Allah adalah jauh lebih berharga[5].
Dengan kata lain, para pedagang yang sekaligus menjadi pendakwah ini telah menterjemahkan al-Quran dalam bentuk yang mudah difahami oleh penduduk tempatan yang tidak tahu sama sekali berbahasa Arab. Akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran.
SEBUAH KESEDARAN
Mengkritik seorang pemimpin sebagai tidak berakhlak, rendah moral, firaun dan sebagainya, bukanlah sesuatu yang dikeji jika ia terbukti benar. Malah, begitulah sebenarnya interaksi dua hala yang patut berlaku dalam sesebuah kerajaan. Jangan jadi rakyat yang memejamkan mata apabila kecurangan berlaku dalam pemerintahan. Pemimpin pula perlu mencontohi sifat Saidina Umar yang bersyukur apabila ada rakyat yang mahu membetulkan kesilapannya dengan mata pedang[6].
Fitnah dan kecelaruan timbul apabila kita sentiasa mencari kesalahan orang lain tetapi melupakan kekurangan diri sendiri. Kita menuduh kerajaan sebagai zalim dan tidak bertimbang rasa kepada rakyat, tetapi saya pernah juga berhadapan beberapa kali dengan segelintir manusia yang tidak jauh bezanya dengan sifat kerajaan yang didakwanya itu. Kita bersemangat mahu menegakkan negara Islam, tetapi perintah Nabi yang menyuruh kita berbuat baik, berlemah-lembut dan bertimbang-rasa sesama manusia kita abaikan. Di mana hilangnya akhlak kita?
Apabila saya membaca buku The Islamist dan menonton filem Rendition, saya menjadi semakin sukar untuk menolak kata-kata Sheikh Muhammad al-Ya'qoubi dalam Advice To Seekers. Katanya:
"...we need to change [the] direction of Islam in the West. And the way to change it is to bring it from a level of activism to a level of intellectualism. That is to say we need to bring the ummah to [the] higher intellectual level, where the concern of the ummah is the study of the deen and the deliberation on knowledge. Knowledge that belongs to Islamic civilization, knowledge that stems from the Book of Allah, the sunnah of the Prophet sallahu alayhi wassalam and the way of the ulama'.
Not the level of activism because activism is now stemming from a void, from nothing. Just from anger. The level of Islamic activities now is based on anger, frustration, complaints. It should stem from [the] understanding of our legacy. And no ummah, no nations in the world would succeed if it abandons its history, its legacy..."
Secara ringkasnya, perjuangan Islam kini kadang-kala lebih bersifat aktivisme yang lahir dari rasa kecewa, meluat dan sakit hati kepada sistem-sistem yang gagal di sekeliling kita. Tutup mata seketika dan cuba renungkan berapa ramai agaknya pejuang Islam hari ini yang benar-benar sudah khatam sekurang-kurangnya perkara-perkara asas dalam ilmu tauhid, fiqh, tasawwuf dan sirah?
Di samping menambah dan mengamalkan lagi ilmu tentang deen, maka mari juga kita lahirkan kesedaran untuk memperbaiki akhlak kerana ia adalah alat paling penting untuk menjernihkan banyak salah faham tentang Islam dewasa ini.
Bukankah saya sudah nyatakan tadi bahawa "akhlak adalah satu-satunya terjemahan universal bagi Al-Quran". Terjemahan ini dengan mudahnya dapat difahami dengan baik oleh bangsa British mahu pun bangsa Masai.
Rasulullah bersabda, "Aku diutus hanyalah demi menyempurnakan akhlak yang baik"[7].
Kurangkan sifat berkira sesama manusia, tanamkan sifat ihsan, dan semaikan akhlak yang murni, baik di dunia online[8] mahu pun offline.
Anda mahu mengubah dunia? Anda mahu Islam kembali gemilang? Silakan. Namun sedarkan diri anda bahawa yang paling penting, yang paling mudah, tetapi sering diabaikan adalah mengubah diri sendiri.
Kemudian sepanjang kita mencari penyelesaian ke atas masalah kemurungan ummah hari ini, kita akan mendapat satu lagi kesedaran bahawa kita tidak mampu aktif untuk berjuang dalam semua perkara. Maka di sinilah pentingnya pengkhususan dalam perjuangan kita sebagai khalifah Allah. Cari satu sahaja benda yang boleh kita perjuangkan untuk Islam, tidak perlu banyak-banyak. Namun dalam masa yang sama itu tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu dalam perkara-perkara yang tidak kita pilih.
Apa pun jenis perjuangan Islam yang dipelopori, ia mestilah dilandasi dengan ilmu dan jangan pula kita sempitkan konotasi 'perjuangan Islam' itu semata-mata dengan memperjuangkan sebuah negara Islam. Tidak semua orang mampu mendukung aspirasi tersebut. Jadi realistik. Bahkan, Islam sendiri memerlukan perjuangan dalam pelbagai lapangan. Berbakti kepada kedua ibu bapa adalah berjuang di jalan Allah juga.
Biar pun perjuangan kita itu kecil dan tidak setanding dengan perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam, tetapi saya kira semua orang ada peranannya yang tersendiri untuk memastikan bumi ini menjadi tempat yang lebih selesa dan selamat untuk didiami oleh manusia; tanpa mengira agama, bangsa dan jantina. Kepada yang masih mencari-cari apa yang ingin diperjuangkannya:
Do one thing and do it well because we don't want to become jack of all trades and master of none!
NOTA KAKI:
[1]^Saidina Umar al-Khattab terus memeluk Islam setelah adiknya, iaitu Fatimah, membacakan Surah Taha kepadanya.
[2]^Ya, Bush adalah pengguna iPod:
http://www.youtube.com/watch?v=Gb7iOvS7Akc
[3]^Surah an-Nahl, 90.
[4]^Ketika di sekolah menengah, mungkin kita ada belajar tentang teori kemasukan Islam ke Alam Melayu Nusantara. Ia melalui 3 cara; dari Arab, China dan India. Ketiga-tiga teori ini masing-masing ada bukti yang menyokongnya. Namun saya berpendapat bahawa Islam di Nusantara lebih kuat dipengaruhi oleh para pedagang dari Tanah Arab yang tinggal di kawasan Hadhramaut, Yaman. Sebabnya?
Pertama, kawasan Hadhramaut memiliki ramai keturunan Nabi sallahu alayhi wassalam. Keturunan Nabi yang ada di Nusantara ini juga sebenarnya adalah cucu-cicit kepada pedagang-pedagang Arab dari Hadhramaut yang datang ke tanah air kita beratus-ratus tahun yang lampau dan ia boleh disahkan melalui salasilah keluarga mereka. Malah seperti di Nusantara juga, penduduk Arab di Hadhramaut ini turut memegang mazhab Shafi'i dalam urusan fiqh seharian.
Klik gambar untuk paparan peta taburan mazhab yang lengkap.
Kedua, walaupun terdapat sub-teori yang mengatakan bahawa pedagang Arab itu sebenarnya adalah dari Mesir, dan bukan dari Hadhramaut, namun saya mengemukakan pula Teori Kain Pelikat. Kain pelikat yang selalu digunakan oleh lelaki Muslim di Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang sering dipakai oleh penduduk Arab di Hadhramaut. Jarang-jarang sebenarnya kita melihat orang Arab memakai kain pelikat. Walaupun lelaki Arab Mesir juga kadang-kala dilihat memakainya, namun menurut ustaz saya yang pernah belajar di Hadhramaut dan tinggal pula di Mesir, orang Arab Mesir biasanya memakai kain pelikat selepas mereka selesai berjimak dan bukannya untuk mendirikan solat.
[5]^Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, maka pada Hari Kiamat nanti Allah akan menaunginya di bawah naungan Arasy, yang mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali adalah naungan-Nya.
(Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
[6]^Sewaktu Saidina Umar al-Khattab baru diangkat menjadi Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, seorang sahabat berkata, yang lebih kurang, "Wahai Umar, jika engkau tidak betul, akan aku betulkan engkau dengan pedangku!" Lalu Umar pula menjawab, "Alhamdulillah kerana ada di kalangan umat Muhammad yang mahu membetulkan kesalahan aku dengan pedangnya".
(Jika ada sebarang sumber yang mengandungi perbualan ini, sila beritahu saya. Saya tidak ingat tajuk dan pengarang bukunya kerana ia tiada pada saya)
[7]^Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah.
[8]^Walaupun internet menyediakan ruang anonymity, namun itu tidak bermakna kita boleh memaki-hamun, mengeluarkan kata-kata kesat, malah lebih teruk lagi melakukan fitnah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan