ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Friday, June 5, 2009

TAMADUN ISLAM : KEGEMILANGAN ISLAM ANDALUSIA (2)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - SILA AMBIL NOTA INI. BACA DAN FAHAMKAN

BAHAGIAN DUA

Ilmu dan ilmu dan ilmu!

Pada zaman Bani Umayyah, orang Islam terkenal sebagai pedagang. Merekalah yang mempelopori industri usahawan ke seluruh blok Timur dan Barat. Al-Andalus menjadi kota elit akibat kepesatan ekonomi eksport dan importnya dari pelbagai sektor termasuk pertanian dan perkapalan. Wujudnya industri perkapalan telah merancakkan lagi aktiviti perdagangan merentasi benua Afrika dan Asia. Barangan eksport tempatan berupa hasil pertanian, tenunan, pakaian bulu, periuk tembikar, tanah liat, logam, kraf tangan dan lain-lain. H. Heaton dalam buku Economic History of Europe menyimpulkan bahawa, “Jika orang utara ingin mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sains, perubatan, pertanian, perindustrian atau kehidupan bertamadun, dia mesti belajar dari orang Islam di Sepanyol.”

Dalam komuniti penduduk Sepanyol, majoritinya adalah Kristian. Manakala para pendatang Arab merupakan minoriti pemerintah dan dihormati. Ini bertitik daripada budaya keintelektualan serta peradaban orang-orang Islam yang lebih maju berbanding Eropah. Orang-orang Islam abad ke 8 dan 9 melalui pasca zaman yang masih hampir dengan zaman para sahabat Rasulullah SAW. Nuansa tarbiyah rasul dirasai dan terus dipraktikkan terutama selepas penjilidan al-Quran dan Hadis dalam bentuk bertulis. Orang Islam sangat akrab dengan lima konsep ini; ilmu, keadilan, ibadah, khalifah dan wakaf.

Menjadi orang Islam automatik anda menjadi orang berilmu. Ilmu yang pertama adalah apabila individu itu mengetahui bahawa hanya Allah SWT Tuhan dan Pentadbir alam ini lalu meyakininya. Menurut Ziauddin Sardar (1995), konsep ilmu bukanlah suatu gagasan yang bersifat elitis. Ia tidak dimonopoli individu mengikut hierarki tertentu atau jenis kelamin tertentu. Ilmu Islam adalah untuk dipelajari semua manusia mencakup segala dimensi ilmu pengetahuan kemudian menyebarkannya. Walau bagaimanapun, Islam tidak memisahkan ilmu dengan keadilan. Menuntut ilmu pengetahuan sama pentingnya dengan menuntut keadilan. Sayidina Uthman Affan R.A, meyakini bahawa umat Islam pada zamannya memiliki keupayaan menghafaz al-Quran serta memahaminya, namun atas rasa keadilan, baginda mengarahkan supaya al-Quran dan Hadis dijilidkan. Alasannya supaya bahasa al-Quran dan Hadith tidak dirasuk bahasa dialek masyarakat Islam yang mulai berkembang ke serata dunia. Langkah berikutnya, para cendekiawan Islam dalam bidang Hadis diminta untuk mencipta teori khusus mengklasifikasikan Hadis Rasulullah SAW agar tidak tercalar kesuciannya.

Awal abad Islam, ilmu terutama al-Quran dan Hadis berkembang melalui proses penghafalan. Tradisi lisan berkesinambungan daripada Rasulullah SAW kepada para sahabat seterusnya masyarakat awam. Namun, informasi tidak dapat bertahan dalam bentuk ingatan, sesetengahnya mulai mencatat dalam bentuk tulisan. Misalnya, Sa’ad bin Jubair menggunakan lembaran daun dan kulit kambing sebagai bahan catatan. Bahkan, terdapat para sahabat yang menulisnya di kulit kasut dan tangan. Mereka menggunakan bermacam teknik agar ilmu yang diperoleh tidak lesap . Oleh itu, apabila khalifah Islam mengadakan transformasi ilmu, catatan dan lembaran ini dikumpulkan lalu dicetak menjadi buku.

Orang-orang Islam belajar membuat kertas daripada peradaban China. Pada akhir abad ketujuh, jalinan antara orang Islam dan orang China kukuh. Industri kertas mula pesat di kota Islam pertama di Samarkand (704M) serta digiatkan oleh orang-orang China yang menjadi tawanan perang tentera Islam. Teknologi ini kemudiannya merebakkan ke kota Islam yang lain antaranya Baghdad, Damsyik, Kaherah, Fez dan Andalusia. Akhir abad ke-7, tidak ada lagi dokumen, surat dan ilmu pengetahuan yang ditulis menggunakan kulit kambing tetapi dengan kertas dan dakwat yang pelbagai warna. Naskhah-naskhah ini memiliki reka bentuk yang unik dan mempesonakan. Tepat 100 tahun kedatangan Islam, umatnya telah menjadi ‘ahl kitab’. Membaca menjadi budaya mereka bahkan al-Quran dan Hadis dapat dihuraikan dengan jelas dan terperinci. Peradaban Islam melahirkan tokoh ulama’, cendekiawan dan orang awam yang genius. Oleh itu, tidak peliklah jika para cendekiawan Islam dahulu lebih pantas melahirkan teori-teori ilmu yang menjangkaui masa. Misalnya, Ibnu Khaldun dengan karya al-Mukadimahnya telah menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Kemudian al-Kindi, ahli falsafah Islam yang menulis hampir 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang; kedoktoran, falsafah dan muzik. Beliau juga menterjemahkan seluruh karya Aristotle ke bahasa Arab.

Perpustakaan adalah pusat ‘hiburan’ kedua selepas masjid. Tokoh-tokoh ilmuwan berkumpul di perpustakaan, menjadi khadam ilmu kepada masyarakat. mereka tidak sahaja menghasilkan karya-karya agung, tetapi guru secara langsung kepada pemerintah dan rakyat. Perkataan sinonim yang menggambarkan perpustakaan Islam adalah bayt (kamar), khizanah (almari), dar (rumah), hikmah (kebijakan), ilm (pengetahuan) dan kutub (buku-buku). Kemudian konsep ini digabungkan menjadi Bayt al-Hikmah, Khizanah al-Hikmah, Dar al-Hikmah, Dar al-Ilm, Dar al-Kutub, Bayt al-Kutub dan Khizanah al-Kutub. Pada zaman Abbasiah ketika pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, Bayt al-Hikmah didirikan di Kota Baghdad (830M) bagi mengumpulkan buku-buku dan para pengarangnya. Sebahagian besar cendekiawan akan duduk bersama pengunjung, membimbing dan menerangkan falsafah dan teori yang telah dihasilkan oleh mereka. Aktiviti penterjemahan rancak dengan skala luar biasa. Masyarakat Islam ketika itu sangat tergila-gilakan ilmu dalam pelbagai bidang.

Apabila cendekiawan Islam meninggal dunia, sebahagian besarnya bermurah hati mewakafkan koleksi buku-buku mereka ke perpustakaan. Misalnya, Ibnu Battutah mencatatkan bahawa Mustanriah pernah menyumbangkan 80 000 buah buku untuk perpustakaan kerajaan Abbasiyah. Ketika Dinasti Fatimiah di Kaherah, Bayt al-Hikmahnya mempunyai lebih 105 juta buah buku yang disimpan dengan menggunakan sistem pengkatalogannya yang canggih. Bahkan, sejarah merakamkan bahawa setiap penelaah buku akan disediakan penginapan dan makanan oleh kerajaan.

Para pemerintah pada zaman Khalifah Islam, kebanyakannya berpandangan bahawa penyebaran ilmu adalah amanah Allah. Hadis yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap Muslimin disyiarkan, sebagaimana pentingnya menunaikan solat. Justeru, perpustakaan adalah penting seperti juga peranan masjid dan surau. Tiada sekatan bagi masyarakat mendekati gudang ilmu, baik yang berkasta paling rendah sekalipun. Mereka juga bebas membaca dan menyalin naskhah-naskhah yang disukai.

Sejarah kepustakaan Islam ini sangat luas dan lebar. Apabila anda menelaah salah sebuah karya Imam al-Ghazali misalnya, itu hanyalah secubit daripada nota-nota ilmu yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam lampau. Bayangkan, 105 juta buah buku dalam satu-satu perpustakaan, berapa ramaikah ahli ilmu yang telah dilahirkan oleh agama mulia ini, masya Allah!

Malangnya, apabila zaman beredar di tangan kita, ilmu tidak lagi wujud di dalam buku semata-mata. Ilmu sangat luas seluas langit yang panorama. Ilmu ada di dalam akhbar, majalah, radio, internet dan televisyen. Apakah yang malangnya? Malangnya adalah, buku tidak lagi memainkan peranan menjadi sumber ilmu yang asal. Masyarakat Islam sekarang lebih banyak menghabiskan masa di depan televisyen daripada menelaah Kitab Ihya Ulumuddin, salah satu daripada berbilion buku yang ada dalam khazanah Islam. Kalau satu pun tidak terbaca, bagaimana 105 juta buah buku yang lain?

Barangkali, belajar mencintai buku terlebih dahulu adalah aulwiyat daripada belajar mencintai bakal syarikah hayat.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Kredit : Ummu Hani Abu Hassan

2 comments:

Anonymous said...

Hanya ingin mengatakan apa blog besar Anda tiba di sini aku telah sekitar untuk cukup banyak waktu,! Tapi akhirnya memutuskan untuk menunjukkan apresiasi saya dari pekerjaan Anda! Thumbs up, dan tetap pergi!

PerisaiBungaMalam said...

boleh saya tau sumber/ rujukan keterangan di atas? :)
nak cari ilmu tambahan sebagai rujukan <3

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.