ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 31 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 – PERJANJIAN HUDAIBIYAH

 

Huraikan sebab-sebab termeterainya perjanjian Hudaibiyah dan implikasinya terhadap perkembangan Islam di Semenanjung Tanah Arab.

A. Pengenalan : (3m)

1. Perjanjian damai yang pertama dimeterai antara kaum Quraisy Makkah dengan umat Islam Madinah.

2. Berlaku pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah (627 Masihi) – di sebuah kampung bernama Hudaibiyah,

3. Ditandatangani oleh Nabi Muhammad s.a.w bagi pihak umat Islam dan Suhail bin Amru mewakili musyrikin Quraisy.

4. Dalam jangka panjang, perjanjian ini memberi impak positif terhadap perkembangan Islam di seluruh Semenanjung Tanah Arab

(B) Isi-isi : (21 markah)

Sebab-sebab: (3x3m=9m)

1. Keinginan umat Islam untuk menziarahi Makkah dan menunaikan Umrah:

  • Umat Islam telah berhijrah ke Madinah selama 6 tahun . Mereka rindukan kampung halaman.
  • Kaabah telah dijadikan kiblat baru bagi umat Islam, menggantikan kiblat yang lama – Masjidil al-Aqsa (di Baitul Maqdis).
  • Nabi Muhammad s.a.w telah bermimpi melakukan tawaf di Kaabah. Ini menambahkan tekad umat Islam untuk mengerjakannya.

2. Halangan dan ancaman daripada Musyrikin Quraisy:

  • Rombongan umat Islam (1500 orang) cuba dihalang memasuki kota Makkah oleh 200 tentera berkuda pimpinan Khalid bin al-Walid.
  • Umat Islam melencong ke jalan lain untuk elakkan pertumpahan darah. Berhenti di Hudaibiyah .

3. Tindakan menghalau umat Islam secara diplomasi:

  • Musyrikin Quraisy berkeras menghalang kedatangan umat Islam. Mereka bimbang maruah dan kewibawaan sebagai penguasa di kota Makkah tercabar.
  • Menghantar utusan-utusan sebanyak 4 kali untuk menghalau umat Islam secara diplomasi.
  • Nabi Muhammad s.a.w telah menghantar Sayidina Uthman bin Affan ke Makkah menemui pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menjelaskan sebab kedatangan kaum Muslimin.

4. Bai ‘ah al-Ridwan:

  • Tercetus khabar angin mengatakan Sayidina Uthman telah ditangkap dan dibunuh.
  • Umat Islam mengadakan ikatan sumpah setia . Dikenali sebagai “Bai’ ah al-Ridwan’ untuk menebus maruah umat Islam yang datang secara aman dan tujuan yang suci.
  • Peristiwa ini menggemparkan Quraisy - Uthman dibebaskan.
  • Mereka menghantar Suhail bin Amru untuk mengadakan rundingan dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Implikasi terhadap perkembangan Islam :(4x3m=12m)

1. Negara Islam Madinah diiktiraf:

  • Persetujuan musyrikin Quraisy mengikat perjanjian damai bermakna mereka mengiktiraf kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin Negara Islam Madinah.
  • Ia juga bererti mereka terpaksa mengiktiraf kewujudan Negara Islam Madinah kerana perundingan politik hanya akan berlaku antara dua negara yang setaraf.

2. Umat Islam bebas berdakwah:

  • Gencatan senjata selama 10 tahun memberi peluang kepada umat Islam menyebarkan Islam dengan bebas dan meluas tanpa takut ancaman Quraisy dan sekutu-sekutu mereka.
  • Utusan dakwah dihantar ke Ghassan, Habsyah, Bahrain, Mesir, Parsi dan Oman.

3. Pengislaman pahlawan-pahlawan Quraisy:

  • Perjanjian ini memberi kesempatan kepada umat Islam dan Quraisy berhubungan dengan lebih bebas.
  • Ramai tokoh ternama Quraisy mendapat hidayah dan memeluk Islam – contohnya Khalid al-Walid, Amru al-As dan Uthman bin Talhah.
  • Memantapkan lagi kekuatan tentera Islam dalam misi jihad dan dakwah ke seluruh Jazirah Arab.

4. Pertambahan bilangan umat Islam:

  • Kebebasan kepada kabilah Arab untuk menyebelahi mana-mana pihak menyebabkan banyak kabilah menyatakan sokongan secara terang-terangan kepada umat Islam.
  • Sebelum ini mereka takutkan ancaman Quraisy. Contohnya – Bani Khuzaah dan suku Daus dari Yaman.
  • Sebelum hijrah ke Yathrib, umat Islam dianggarkan sekitar 1500 orang sahaja. Jumlah ini meningkat kepada 10 000 orang ketika berlakunya pembukaan kota Makkah.

5. Kebebasan menunaikan ibadah haji:

  • Pada tahun-tahun berikutnya, umat Islam mendapat jaminan keselamatan dan kebebasan menunaikan ibadat di Makkah.
  • Ramai penduduk Makkah yang tertarik hati melihat cara mereka beribadat dengan penuh disiplin dan mempamerkan akhlak mulia.
  • Kesannya semakin ramai penduduk Makkah menganut Islam .

6. Penyebaran Islam di kota Makkah:

  • Mengikut syarat perjanjian, orang Quraisy yang lari ke Madinah tanpa kebenaran walinya mesti dipulangkan semula ke Makkah.
  • Tetapi, kekuatan akidah Islam yang tertanam dalam jiwa mereka dapat memberi kekuatan untuk mereka bertahan dan menyebarkan Islam secara sulit di Makkah.
  • Ini memberi kelebihan kepada umat Islam untuk meneruskan dakwah di sana.

7. Merintis penaklukan kota Makkah:

  • Kota Makkah berjaya dikuasai oleh umat Islam pada tahun 630 Masihi.
  • Berlaku kerana sekutu Quraisy (Bani Bakar) telah memerangi sekutu Islam (Bani Khuzaah). Bermakna gencatan senjata 10 tahun telah dicabul.
  • Nabi Muhammad memimpin 10 000 umat Islam memasuki kota Makkah dan berjaya menguasainya.
  • Makkah dibersihkan daripada unsur-unsur jahiliah dan menjadi kota suci umat Islam sedunia.

Kesimpulan: (1m)

  • Perjanjian ini meninggalkan impak besar kepada perkembangan dan pengukuhan agama Islam di seluruh Semenanjung Arab.
  • Menggambarkan kebijaksanaan siasah Nabi Muhammad s.a.w dalam misi dakwah baginda.
  • Kejayaan terbesar dilihat apabila pencabulan gencatan senjata menjadi perintis kepada pembukaan semula kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah.

BACAAN LANJUTSINI,   SINI,   SINI, 

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Jumaat, 27 Julai 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – NEGARA KOTA

HURAIKAN KONSEP NEGARA KOTA DAN BINCANGKAN CIRI-CIRI NEGARA KOTA MESOPOTAMIA.

 

A) Pendahuluan [2 Markah]

Tamadun Mesopotamia diasaskan oleh orang Sumeria sekitar tahun 3500 SM hingga 2000 SM di lembah Sungai Tigris dan Euphrates (di negara Iraq sekarang). Orang Sumeria dipercayai berasal dari Dataran Tinggi Asia Tengah. Nama Mesopotamia diberi oleh orang Greek yang bermakna lembah antara dua sungai. Penduduk negara kota Mesopotamia mempunyai semangat patrotisme yang tinggi terhadap kota masing-masing. Mereka sering berperang untuk meluaskan wilayah dan kekuasaan masing-masing.

B) Isi

Konsep Negara Kota [5 Markah]

Negara kota berasal daripada perkataan Greek iaitu acropolis yang membawa erti sebidang tanah. Aristotle berpendapat bahawa negara kota muncul dan berkembang secara evolusi iaitu petempatan yang diasaskan oleh sesuatu keluarga berkembang menjadi kampung, bandar dan akhirnya negara kota. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa negara kota merupakan manifestasi awal kepada kemunculan sesebuah negara. Walaupun cuma sebuah kota, namun pemerintahan adalah berdaulat dan merdeka. Negara kota mempunyai raja, masyarakat, undang-undang dan sempadan politiknya yang tersendiri. Selain ini, negara kota dikelilingi tembok untuk melindungi kota daripada serangan musuh.

Ciri-ciri negara kota Mesopotamia [5 isi x 3markah]

1. Ciri-ciri fizikal

Pada Zaman Dinasti Awal terdapat 13 buah negara kota dalam Tamadun Mesopotamia. Negara kota yang terpenting dan sering mempengaruhi perkembangan politik Mesopotamia ialah Lagash, Ur, Uruk dan Eridu. Setiap negara kota mempunyai jumlah penduduk sehingga 30 000 orang dengan keluasan lebih kurang 1000 batu persegi. Ciri fizikal yang lain seperti mempunyai kubu pertahanan, jalan raya, pelabuhan dan pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan sebuah kota.

2. Negara kota dinaungi oleh dewa atau tuhan

Menurut kepercayaan masyarakat Sumeria, dewa-dewa itu bukan sahaja menaungi tetapi juga menguasai dan memiliki kota-kota itu. Oleh itu setiap negara kota harus dilengkapi dengan rumah-rumah berhala besar untuk melindungi negara kota tersebut. Negara kota Nippur dilindungi oleh Tuhan Enlil, negara kota Lagash dilindungi oleh Tuhan Ningirsu dan negara kota Ur dilindungi oleh Tuhan Nanna (Tuhan Bulan).

3. Peranan rumah berhala

Setiap negara kota di Mesopotamia telah didominasi oleh rumah-rumah berhala dan istana. Di negara kota Nippur dan Uruk, rumah-rumah berhala diwarnakan cerah. Rumah-rumah berhala memiliki kawasan tanah dan padang rumput yang tersendiri. Tanah-tanah tersebut diusahakan oleh penduduk sesebuah negara kota. Para pendeta bertindak membantu raja menguruskan segala pengagihan hasil-hasil pertanian.

4. Negara kota bersifat teokrasi

Setiap negara kota Mesopotamia diketuai oleh Penaung Kota (City God). Mereka ialah makhluk ghaib yang dipercayai oleh penduduk Mesopotamia sebagai kuasa suci yang menjaga kota mereka. Di bawah Penaung Kota terdapat Ketua Pendeta. Kedudukannya sangat penting kerana masyarakat Mesopotamia mempunyai kepercayaan kuat terhadap dewa kota masing-masing. Pendeta merupakan orang yang akan berkomunikasi dengan dewa-dewa tersebut. Pendek kata pemerintahan negara kota Mesopotamia lebih bersifat teokrasi.

5. Organisasi pentadbiran

Pentadbiran negara kota diketuai oleh Ketua Paderi. Ketua Paderi dibantu oleh pesuruhjaya. Di bawah pesuruhjaya terdapat seorang ketua penyelia yang mengawasi pegawai-pegawai peringkat bawahan yang terdiri daripada jurutulis, penyelia-penyelia inspektor. Kelompok pekerja adalah lapisan yang paling bawah dalam struktur organisasi pentadbiran. Kota-kota mempunyai sistem birokrasi yang amat tersusun. Seluruh tenaga kerja didaftarkan dan dibahagi-bahagikan kepada beberapa jabatan atau badan. Contohnya, nelayan-nelayan dibahagikan kepada kumpulan yang berlainan mengikut tempat mereka menangkap ikan. Begitu juga artisan. Mereka juga memiliki organisasi yang tersendiri.

6. Kegiatan ekonomi

Kegiatan ekonomi utama negara kota ialah pertanian. Golongan petani meliputi 90% penduduk Mesopotamia. Mereka mendapat benih, peralatan, dan pakaian daripada bengkel-bengkel yang terletak di rumah-rumah berhala. Sebagai balasannya, mereka mengusahakan tanah Tanah-tanah pertanian pula dimiliki oleh raja, golongan bangsawan dan pegawai tentera.Tanah-tanah yang dimiliki oleh rumah berhala dan istana disewakan kepada petani ataupun diusahakan oleh golongan serf. Tanah-tanah yang diusahakan terbahagi kepada tiga golongan iaitu tanah milik tuan tanah. Tanah ini diusahakan oleh semua penduduk untuk kepentingan rumah berhala. Tanah makanan pula hasilnya diagihkan kepada kakitangan rumah berhala. Tanah yang disewakan. Tanah jenis ini disewakan oleh rumah berhala dan hasil cukai digunakan oleh kakitangan rumah berhala atau diagihkan kepada rakyat. Golongan pedagang pula memperdagangkan tanaman, arak, minyak serta buah kurma dan kain/tekstil yang diperoleh daripada rumah berhala.

Kesimpulan[ 2 markah ]

Kemunculan negara kota melambangkan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Mesopotamia dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Perkembangan ini menyebabkan lahir kehidupan yang sistematik dan terancang serta meletakkan asas bagi peningkatan tamadun.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Jumaat, 20 Julai 2012

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK

Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga usaha mengulangkaji dan persediaan STPM menjadi lebih berkat.

Khamis, 19 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : MASALAH YANG DIHADAPI SELEPAS KEWAFATAN NABI MUHAMMAD

 

Pengenalan

  1. Nabi Muhammad wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11 Hijrah di Madinah.
  2. Baginda tidak pernah mengatakan secara lisan siapakah yang baginda pilih sebagai pemimpin umat Islam yang seterusnya.
  3. Namun perundingan yang dijalankan di kalangan masyarakat Islam di Madinah telah memutuskan untuk melantik Abu Bakar al-Siddiq sebagai Khalifah yang pertama.

Masalah yang Dihadapi

Terdapat Perselisihan Pendapat Mengenai Kewafatan Nabi

  1. Terdapat perselisihan tentang berita kewafatan Nabi Muhammad. Terdapat sebahagian daripada umat Islam termasuk Saidina Umar sendiri yang tidak dapat menerima berita tersebut.
  2. Umat Islam berada dalam keadaan yang penuh kekeliruan dan emosi.
  3. Penyelesaian dilakukan oleh Saidina Abu Bakar apabila beliau membacakan ayat al-Quran yang antara lain bermakna bahawa Nabi Muhammad hanya seorang pesuruh Allah seperti rasul yang terdahulu yang pernah hidup dan kemudiannya akan mati. Namun, Islam tetap kekal dan tidak akan mati.

Perselisihan Tentang Tempat Pengebumian Nabi

  1. Umat Islam kemudiannya berselisih pendapat tentang tempat untuk mengebumikan jenazah baginda.
  2. Sebahagian pihak mahukan agar baginda dimakamkan di Mekah manakala pihak lain mahu baginda dimakamkan di Madinah.
  3. Ada juga yang mahukan Nabi dimakamkan di Baitul Muqaddis.
  4. Perselisihan tersebut diselesaikan oleh Abu Bakar apabila dibacakan kepada mereka sepotong hadith di mana Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud "para nabi dikebumikan di mana mereka meninggal dunia". Oleh itu, Nabi Muhammad dikebumikan di Madinah.

Menyelesaikan Masalah Perlantikan Khalifah

  1. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, sebahagian besar golongan Ansar telah berkumpul di sebuah dewan bernama Saqifah Bani Saidah, untuk melantik Saad Bin Ubadah sebagai pengganti Nabi.
  2. Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah telah mendengar berita tersebut lalu menuju ke Saqifah Bani Saidah.
  3. Masalah pemilihan pengganti Nabi menjadi kusut apabila golongan Ansar bersungguh-sungguh mahukan jawatan tersebut dengan alasan mereka adalah pembela Allah dan Islam.
  4. Perjuangan mereka terhadap Nabi dan agama Islam adalah tidak ternilai dan golongan Muhajirin adalah sebilangan kecil dari mereka dan mereka berada di Madinah dalam keadaan merantau atau menumpang.
  5. Abu Bakar telah memberikan hujah dan alasan yang sebaik-baiknya mengapa pemilihan bakal pengganti Nabi mestilah dari golongan Muhajirin. Beliau juga membacakan hadis Nabi yang bermaksud "Para imam adalah daripada golongan Quraisy".
  6. Hujahnya ini dapat menyedarkan golongan Ansar tentang kepentingan memilih golongan Muhajirin sebagai pengganti Nabi Muhammad.
  7. Akhirnya, Abu Bakar dipilih sebagai pemimpin umat Islam. Melalui cara ini, krisis perlantikan Khalifah yang amat kritikal itu dapat diatasi dan diselesaikan dengan cara sebaik-baiknya. Ia berjaya menghindari umat Islam dari kemungkinan bahaya perpecahan politik yang amat membimbangkan.

Meneruskan Gerakan Ketenteraan Usamah Bin Zaid

  1. Sebelum Nabi Muhammad wafat, baginda telah membentuk sebuah angkatan tentera yang diketuai oleh Usamah Bin Zaid Bin Harithah untuk menentang penduduk Daerah Ghassan yang telah membunuh beberapa orang utusan Nabi.
  2. Apabila Abu Bakar menjadi Khalifah beliau menghadapi masalah yang kritikal sama ada untuk meneruskan atau membatalkan sahaja gerakan ketenteraan tersebut.
  3. Ada yang berpendapat ia perlu dibatalkan kerana Mekah dan Madinah sendiri menghadapi ancaman dan pemberontakan dari kaum Absy dan Zubyan. Tambahan pula, Usamah Bin Zaid masih dalam usia belasan tahun. Namun, Khalifah Abu Bakar menunjukkan ketegasannya dengan meneruskan gerakan tersebut.
  4. Tentera Usamah mencapai kejayaan gemilang dalam tempoh 40 hari. Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom ini memberikan kesan politik yang penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum-kaum yang ingin menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau digugat.
  5. Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat Islam kerana tentera Usamah Bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan Madinah.

Menentang Gerakan al-Riddah

  1. Al-Riddah ialah gerakan anti kerajaan Islam atau gerakan mengingkari ajaran-ajaran Islam. Ia terdiri dari gerakan 3 golongan iaitu golongan-golongan nabi palsu, golongan yang murtad dan golongan yang enggan membayar zakat.
  2. Kesemua golongan ini merupakan anasir yang membahayakan kerana boleh menghancurkan keutuhan Islam jika tidak dihadapi dan ditentang bersungguh-sungguh.
  3. Langkah awal Khalifah Abu Bakar ialah menghantar utusan-utusannya kepada ketua golongan tersebut dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Hanya segelintir dari mereka menyahut seruan Khalifah Abu Bakar seperti Bani Abdul Qais di Bahrain. Namun kebanyakannya masih degil.
  4. Oleh itu, Khalifah Abu Bakar telah membentuk sebanyak 11 pasukan tentera yang diketuai oleh panglima-panglima Islam yang terkenal dan dihantarkan ke seluruh Tanah Arab untuk memerangi gerakan al-Riddah.
  5. Akhirnya, semua gerakan al-Riddah dapat dilenyapkan dan Islam kembali menjadi agama yang suci dan tunggal di Tanah Arab. Golongan penentang Islam berjaya ditundukkan supaya mematuhi ajaran-ajaran Islam.

Rumusan

Pelbagai masalah sosial, politik dan kepimpinan telah dihadapi oleh umat Islam sebaik sahaja wafatnya Nabi Muhammad. Namun, umat Islam menunjukkan ciri-ciri perpaduan dan persefahaman dengan menyelesaikan setiap masalah secara kolektif dan perbincangan sehingga akhirnya semua masalah dapat diatasi demi untuk kebaikan ummah dan negara Islam itu sendiri.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Rabu, 11 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 – PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ (NOTA)

 

  1. "Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu.
  2. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula berputik kembali.
  3. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan mengutamakan saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa itu.
  4. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara.
  5. Pemimpin-pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan dan bermegah diri.Sehinggakan Baitul Mal, dijadikan sebagai harta peribadi mereka.
  6. Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan.
  7. Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam, terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul Aziz, salah seorang Khalifah zaman Bani Umaiyah muncul menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam seolah-olah ke zaman permulaannya.
  8. Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.
  9. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu.
  10. Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderungan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah.
  11. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu.
  12. Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun.
  13. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”
  14. Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan Islam Bani Umaiyah dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil.
  15. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan.
  16. Semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan Khalifah telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal.
  17. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II.
  18. Hidup beliau telah berubah sama sekali. Kemewahan dan kemegahan telah ‘ditanggalkan’ dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.
  19. Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang.
  20. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”
  21. Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar pada zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu oleh khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga Umar Abdul Aziz datang lewat untuk menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.
  22. Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
  23. Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama.
  24. Sebelum pemerintahan Umar Abdul Aziz, perhatian utama negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan yang lebih utama kepada pembangunan rohani dan keagamaan.
  25. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat.
  26. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika. Setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.
  27. Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.
  28. Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mengubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata.
  29. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid. Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya.
  30. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.
  31. Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam.
  32. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.
  33. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Wallahu’ aklam.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 10 Julai 2012

TAMADUN ISLAM:TEMA 1 – MASYARAKAT ARAB SEBELUM DAN SELEPAS ISLAM

 

Bincangkan perubahan yang berlaku dalam masyarakat Arab Quraisy selepas kedatangan Islam.

A. Pengenalan

1. Latar belakang masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam

  • Masyarakat Arab terdiri daripada dua kelompok masyarakat iaitu masyarakat Hadari dan masyarakat Badwi.
  • Terdiri daripada pelbagai suku seperti Bani Hasyim, Bani ‘Adi, Bani Ta’im, Bani Umayyah.

2. Masyarakat Arab selepas Islam

  • Terdiri daripada golongan Muhajirin iaitu masyarakat Islam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan golongan Ansar iaitu penduduk asal Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj yang telah dipersaudarakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

3. Latar belakang kemunculan Islam

  • Islam muncul setelah turunnya wahyu pertama pada tahun 610 Masihi.

4. Asas kehidupan masyarakat Arab Jahiliah bersandarkan kepada semangat assabiyah yang melampau, manakala kehidupan masyarakat Islam bersandarkan kepada aqidah, syariat dan akhlak.

B. Isi penting -

Perubahan-perubahan dalam masyarakat Arab selepas Islam

ASPEK

SEBELUM ISLAM / ZAMAN JAHILIAH

ZAMAN ISLAM

1.Agama dan Kepercayaan

· Moral dan akhlak orang Arab sangat buruk.

· Tiada batas kesopanan dan kemanusiaan.

· Agama dan kepercayaan mereka dipenuhi dengan tahyul.

· Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa

· Rukun Islam : 5 perkara

· Rukun Iman : 6 perkara

2. Akhlak

· Berzina, minum arak, bunuh anak perempuan

· Merupakan perkara biasa kepada masyarakat Jahiliah.

· Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara terkutuk itu.

· Islam menganjurkan nilai-nilai seperti hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dan lain-lain.

3. Politik

· Tidak terdapat sebuah kerajaan yang bersatu, teratur dan bersistematik.

· Wilayah-wilayah Arab sering dijajah dan diganggu gugat oleh kuasa asing seperti Rom dan Parsi di wilayah di sebelah utara.

· Wilayah di sebelah selatan dijajah oleh kerajaan Habsyah, Rom dan Parsi.

· Mengamalkan sistem berkabilah dan taksub kepada assabiyah.

· Diketuai oleh syeikh kabilah.

· Islam menekankan konsep ummah, masyarakat tanpa kelas.

· Ada sistem pemerintahan yang teratur.

· Pemerintahan berlandaskan Al-Quran dan Hadith.

· Kerajaan Islam Madinah wujud berasaskan Piagam Madinah.

4. Ekonomi

· Puak Quraisy Makkah cuba mengeksploitasi perdagangan satu hala dengan mengenakan tekanan terhadap kaum Badwi.

· Menjalankan aktiviti perdagangan dengan menjual berhala, amalan riba, menipu dan sebagai.

· Menghapuskan riba, menggalakkan perdagangan tanpa penipuan dan penindasan.

· Memperkenal dasar ekonomi Islam.

5.Ilmu Pengetahuan

· Mewarisi pengetahuan tentang ilmu bintang, ilmu tilik dan ilmu keturunan

· Walaupun begitu majoriti mereka buta huruf.

· Hanya 17 orang sahaja yang celik huruf.

· Terdapat ilmu pengetahuan berkaitan dengan Islam.

· Terdapat pembahagian ilmu seperti Al-Quran dan ilmu tafsir

6. Kesusasteraan

· Arab Jahiliyah pandai bersyair dan berkhutbah.

· Tetapi hasil-hasil karya mereka berbentuk sastera kreatif yang berbeza dengan zaman Islam.

· Oleh itu, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w dan kitab al-Quran untuk dijadikan pedoman kepada manusia supaya dapat menandingi sastera Arab Jahiliah.

· Kesusasteraan Jahiliah membawa kepada pemujaan berlebihan dan membawa kepada pergaduhan.

· Al-Quran sebagai pedoman kepada kesusasteraan Islam.

7. Kelas masyarakat

· Mengamalkan sistem perhambaan, semangat assabiyah.

· Mementingkan kedudukan dalam masyarakat.

· Wanita dan hamba dianggap paling hina.

· Mengamalkan perpaduan ummah.

· Menganjurkan persamaan taraf

· Semua manusia dianggap sama taraf di sisi Allah kecuali ketakwaan mereka.

8. Maruah wanita

· Kedudukan wanita sangat rendah dalam masyarakat.

· Fungsi wanita hanyalah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki dan kegemaran mereka hanyalah menghiasi diri agar dikehendaki oleh lelaki.

· Dianggap sebagai barang dagangan.

· Wanita yang kematian suami menjadi rebutan anak-anak lelakinya sendiri.

· Oleh itu, Bani Tamim menganggap amalan membunuh bayi perempuan sebagai amalan yang mulia supaya bayi tersebut tidak menjadi sampah masyarakat dan memalukan nama baik keluarga apabila mereka dewasa.

· Kaum wanita sering dibawa bersama-sama untuk berperang dan memberi perangsang kepada tentera lelaki.

· Memuliakan kedudukan wanita.

· Maruah dan kebajikan wanita perlu dipelihara.

9. Peperangan

· Bersifat balas dendam

· Berperang kerana perkara-perkara yang kecil

· Berbentuk jihad

· Berperang kerana mempertahankan agama, maruah diri, bangsa dan negara

· Persaudaraan Islam telah berjaya menamatkan permusuhan di kalangan golongan Ansar iaitu suku Aus dan Khazraj.

10. Hubungan Masyarakat

· Masyarakat Jahiliah hidup terpisah dalam kabilah dan bani masing-masing.

· Masyarakat Islam Madinah berjaya membentuk sebuah masyarakat ummah Islamiyah tanpa mengira kaum dan suku berdasarkan ikatan persaudaraan Islam.

 

C.  KESIMPULAN

1. Islam telah menukar cara hidup masyarkat Jahiliah daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah, daripada berakhlak buruk kepada akhlak yang mulia dan berperikemanusiaan.

2. Islam telah membawa masyarakat Jahiliah kepada sebuah masyarakat yang bertamadun.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Sabtu, 7 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – FAKTOR DAN KESAN HIJRAH

  

Nyatakan faktor-faktor dan kesan-kesan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah.

Pendahuluan (3 markah)

a) Konsep Hijrah

1. Hijrah ertinya ‘perpindahan’, iaitu perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah bermula pada 1 Muharram dan tarikh ini merupakan bermulanya tahun hijrah dalam kalendar Islam.

2. Orang Islam telah merangka strategi yang cukup teliti untuk berhijrah bagi memastikan kejayaannya dari segi agama, moral, sosioekonomi dan politik. Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya dari segi agama, moral dan sosioekonomi.

3. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah ( 16 Julai 622 M ). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah ialah seramai 70 orang dan mereka berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah .

Isi Jawapan ( 20 markah )

Faktor-faktor penghijrahan ( 5x 2 markah = 10 markah)

1. Kesan daripada Bai'atul Aqabah / Perjanjian Aqabah

Termeterainya Bai'atul Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'atul Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'atul Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.

2. Tekanan Musyirikin Mekah

Tekanan / Ancaman daripada musyirikin Mekah telah mendorong Nabi Muhammad dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.

3. Kegagalan Dakwah di Taif

Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.

4. Kematian Abu Talib dan Khadijah

Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.

5. Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah

Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.

6. Kesediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi

Kesediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

7. Faktor kedudukan Madinah yang Strategik

Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.

8.Penduduk Madinah Lebih Hampir dan memahami tentang Agama Samawi

Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

9. Turun Wahyu Daripada Allah tentang Hijrah

Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.

Kesan-kesan penghijrahan.( 5 x 2markah = 10 markah)

1. Kesan Secara Umum

Dapat mempergiatkan penyebaran agama Islam. Hijrah merupakan suatu proses jangka panjang dalam perjuangan umat Islam dan dilakukan secara terancang dan teratur dari segi kerohanian dan kebendaan. Nabi Muhammad (SAW ) mendapat teman yang setia, jujur dan ikhlas dalam mengharungi perjuangan iaitu Ali dan Abu Bakar. Keredaan dan restu daripada Allah perlu sentiasa dipohon terutama di waktu-waktu kesusahan.

2) Perubahan Pusat Gerakan Islam Perkembangan politik

Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah. Bidang politik mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan ketenteraan di mana kegiatan ketenteraan Islam berkembang dengan pesat dan berjaya menundukkan dua buah empayar besar iaitu Parsi dan Rom.

3) Penyebaran Islam Semakin Meluas

Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.

4) Perubahan Kedudukan dan Peranan Nabi Muhammad

Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.

5) Pertambahan Umat Islam

Hijrah umat Islam adalah atas arahan Allah dan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan agama. Tujuan utama hijrah adalah untuk menuntut keredaan Allah. Madinah dipilih adalah kerana kesesuaiannya untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam. Peristiwa hijrah ke Madinah juga terdapat banyak unsur-unsur mukjizat yang berkaitan dengan aspek keagamaan secara langsung dan dapat mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam.Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari dua golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.

6) Penubuhan Negara Islam

Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.

7) Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah

Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.

8) Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar

Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

9) Permulaan Kiraan Tarikh Kalendar Hijrah

Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan pada masa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.

10) Perubahan Dasar Politik

Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang penentangan Quraisy secara kekerasannya bila cara perdamaian tidak dapat dielakkan. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar kerana orang Islam tiada sebarang kekuatan untuk menentang.

11) Pertumbuhan Ekonomi

Kedudukan ekonomi orang Islam sewaktu di Madinah semakin kukuh. Orang-orang Muhajirin telah diberi bantuan oleh orang Ansar. Selain itu, Madinah merupakan kawasan yang sesuai untuk pertanian dan kedudukannya yang strategik untuk perdagangan. Setelah hijrah, sistem ekonomi Islam yang bertepatan dengan syariat Islam telah diperkenalkan dan ekonomi masyarakat Islam bertambah kukuh dan negara Islam menjadi lebih makmur dan stabil.

12) Perubahan Sistem Sosial ( Pembentukan Ummah )

Semasa di Makkah, masyarakat Jahiliah mengamalkan cara hidup berkabilah sementara para peniaga pula bersifat individualistik. Penghijrahan telah menghapuskan nilai-nilai masyarakat Jahiliyah dan digantikan dengan nilai-nilai murni berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial Islam, setiap orang diberi kebebasan tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di mana hidup berkabilah telah digantikan dengan sistem sosial dalam bentuk Ummah.

Kesimpulan ( 2 markah )

Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad ( SAW ) merupakan perjuangan Baginda untuk menegakkan ajaran agama Islam. Baginda didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagiaan dan kesejahteraan umat Islam. Umat Islam harus mengambil iktibar daripada penghijrahan Rasullulah ( SAW ) untuk meneruskan perjuangan hidup demi kebaikan umat Islam.

Penghijrahan ini juga telah membuka satu lembaran baru dalam episod penyebaran dan perkembangan agama Islam.Terlalu banyak kebaikan yang dinikmati oleh umat Islam dan umat manusia rentetan dari penghijrahan tersebut.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 6 Julai 2012

Tingkatan 6 Distruktur Semula

Sumber : Berita Harian : 6 Julai 2012

MUHYIDDIN bertemu Menteri Pendidikan Tertiari Australia, Christopher Evans sebelum menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama, di Yogyakarta, Indonesia, semalam.

MUHYIDDIN bertemu Menteri Pendidikan Tertiari Australia, Christopher Evans sebelum menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama, di Yogyakarta, Indonesia, semalam.

Pelajar dipisah dari sekolah, ditempat di pusat pengajian khas

SISTEM pendidikan tingkatan enam dicadang distruktur semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan pendidikan pra-universiti seperti kolej matrikulasi dan pusat asasi sains. Antara langkah yang akan diambil ialah memisahkan pelajar tingkatan enam daripada sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas.

Mereka juga akan menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemisahan pelajar tingkatan enam dengan sekolah biasa ialah untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tingkatan enam.

Faktor lain ialah jumlahnya yang ketika ini bertaburan di seluruh negara, selain ada sekolah tertentu hanya mempunyai satu atau dua kelas.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ia masih di peringkat kajian dan perbincangan sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan juga bersedia mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama.

Muhyiddin berkata, untuk menjayakan penstrukturan tingkatan enam, sistem sokongan yang lebih kukuh diperlukan, termasuk faktor logistik yang diperluaskan.

“Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang. Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf kolej matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik berbanding tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing ke universiti awam adalah sama.

Justeru, masyarakat tidak harus melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

“Jadi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra-universiti,” katanya.

Rabu, 4 Julai 2012

TAMADUN ISLAM: TEMA 3 - PERANAN WANITA DALAM PEPERANGAN

 

Salah satu unit yang penting dalam organisasi ketenteraan Islam ialah peranan kaum wanita. Nabi Muhammad memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita. Ada banyak bukti yang menunjukkan peranan wanita dalam medan perang, hal ini digambarkan dalam kitab-kitab hadits yang menggambarkan tentang tugas wanita dalam medan perang, diceritakan bagaimana keberanian muslimah dalam medan perang selama masa Rasulullah saw., diantaranya, :

  • Merawat Orang-Orang Yang Terluka

    Diriwayatkan oleh Abu Hazim, Sahl bin Sa’ad bertanya tentang luka Rasulullah saw., Beliau bersabda, “Fathimah, anak perempuan Rasul (pada ketika perang), melakukan tugas untuk membersihkan luka dan Ali bin Abi Thalib menuangkan airnya. Ketika Fathimah melihat bahawa luka tersebut ada gangguan perdarahan, maka dia mengambil potongan kain lalu membakarnya, kemudian memasukkan abu tersebut ke dalam luka sehingga darah (pada luka) boleh membeku (dan perdarahan berhenti). Suatu hari gigi taringnya (Ali) patah dan mukanya terluka , topi bajanya patah tepat pada kepalanya.” (Al-Bukhari)

  • Menyediakan Air Bagi Yang Haus

    Diriwayatkan oleh Anas r.a., “Suatu hari dalam perang Uhud ketika sebahagian orang berundur dan meninggalkan Rasulullah, saya melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim dengan menyinsing baju mereka, terdengar letusan di sekitar mereka, mereka tampak terburu-buru dengan membawa air (dalam riwayat lain disebutkan mereka membawa air di punggung mereka). Kemudian menuangkan air tersebut dan meminumkannya kepada orang-orang yang haus dan mereka kembali memenuhi air lagi serta datang kembali untuk menuangkan air dan meminumkannya kepada orang-orang lagi.” (Al-Bukhari)
  • Menyiapkan Makanan Bagi Para Mujahidin

    Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a., “Ketika terjadi penggalian parit, saya melihat Rasulullah berada dalam keadaan lapar. Saya pulang untuk menemui isteriku dan berkata kepadanya, “Apakah kamu memiliki sesuatu (untuk dimakan) kerana saya melihat Rasulullah berada dalam keadaan lapar.” Dia membawakan kepadaku sebuah bekas yang berisi dari sejenis gandum dan kita memiliki binatang yang aku sembelih kemudian isteriku memasak sejenis gandum tadi dan dia menyelesaikannya tepat waktu, aku pun menyelesaikan pekerjaanku. Kemudian aku memotong daging menjadi potongan-potongan dan menaruhnya ke dalam kuali yang terbuat dari tanah (memasaknya) dan kembali menemui Rasulullah. Isteriku berkata, ”Jangan memalukan aku di depan Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya”. Jadi aku pergi menemuinya dan mengatakan kepada beliau secara diam-diam, “Ya Rasulullah! Saya telah menyembelih haiwan betina milik kita dan kami memiliki satu Sha’ Gerts (sejenis gandum). Jadi datanglah bersama beberapa orang teman Anda. Rasulullah mengeraskan suaranya dan mengatakan, “Wahai saudaraku yang sedang menggali parit! Jabir telah menyiapkan makanan, mari kita pergi” Rasulullah berpesan kepadaku, “Jangan angkat daging yang ada di dalam kuali (dari tempat pembakarannya) atau adunan mu sampai aku datang”. Kemudian saya datang (ke rumahku) dan Rasulullah datang juga mendahului yang lainnya datang. Ketika aku datang kepada isteriku, dia berkata, “Apakah yang akan Allah tetapkan terhadap kamu?” Saya berkata, “Saya menyampaikan kepada Rasulullah apa yang kamu katakan.” Kemudian dia (isterinya) menyajikan adunan itu kepada Rasulullah dan dia (Rasul) memanggangnya dan memohon keberkatan Allah di dalamnya. Kemudian baginda (Rasul) maju ke depan di hadapan potongan-potongan daging yang ada di kuali dan pemanggangan dan berdo’a untuk keberkatan di dalamnya. Lalu baginda berkata (kepada isteriku), “Panggillah seorang wanita tukang roti untuk membuat roti bersamamu dan memasak potongan daging yang ada di kuali tersebut dan jangan angkat dari tempat pembakaran.” Mereka satu persatu hingga ribuan orang (mengambil dan memakan daging tersebut) dan demi Allah mereka semua telah makan dan ketika mereka selesai makan dan pergi, potongan daging yang berada di kuali masih penuh dengan daging seperti tidak berkurang dan adunan rotinya pun seperti tidak ada yang mengambil.
  • Membekalkan Senjata Untuk Para Mujahidin

    Diriwayatkan oleh Ummu Ziyaad r.a., “Dalam perang Khaibar saya sendiri dan 5 orang lainnya adalah wanita berada pada perang tersebut. Rasulullah Muhammad saw. mempelajari (keadaan ini) dan mengirimkan mereka untuk kita. Beliau (saw) berkata dengan marah, “Siapa yang mengizinkan kamu untuk keluar dari sini? Siapa yang membawa kamu ke tempat ini?” Kami berkata, “Ya Nabiullah! Kami sekarang bersatu dan kami memiliki pengubatan yang bersama kami, kami mampu membantu para mujahidin dengan membekalkan mereka dengan anak panah, dengan mengubati mereka ketika mereka sakit dan menyiapkan makanan bagi mereka.” Rasulullah kemudian mengizinkan kami untuk tinggal” . (HR. Abu Dawud) .
  • Memberikan Semangat Kepada Para Mujahidin Untuk Tetap Bertahan
    Selama perang Uhud, Saffiyah binti Abdul Mutholib r.a., ibu saudara Rasulullah saw. berdiri dan mengayunkan tombak ke depan sambil berkata, “Apakah kamu mencuba mengalahkan Rasul?” Semoga Allah memberkatinya dan memberikan kedamaian kepadanya.
    Juga, selama perang Uhud, ketika Nusaibah binti Ka’ab, anak laki-lakinya Abdullah sedang terluka berat, dia (Nusaibah) membalut lukanya dan memerintahkan padanya,”Pergi dan perangilah orang-orang kafir itu wahai anakku!” Mendengar hal ini Rasulullah saw. tersenyum dan berkata, “Siapakah yang dapat memikul apa yang kamu pikul wahai Ummu Umarah!”.

 

Para kaum wanita pada zaman keemasan Islam banyak yang ikut berjuang , menyerbu di medan perang dan melawan musuh di bahagian depan atau dalam pertempuran .
Para kaum wanita pada zaman keemasan Islam banyak yang ikut berjuang , menyerbu di medan perang dan melawan musuh di bahagian depan atau dalam pertempuran .

Di antara mereka yang terdapat dalam riwayat dan buku sejarah antara lain : Sitti Aisyah , Sitti Fatimah , Sitti Shafiyah dan Sitti Ummu Sulaiman serta masih banyak lagi yang lainnya. Mereka ikut berjuang di medan perang untuk :

  • Mengangkat atau menyediakan air minum untuk para perajurit .
  • Memasakkan / menyediakan makanan sewaktu –waktu untuk perajurit.
  • Menjaga dan merawat para perajurit yang sakit .
  • Mengubati yang luka/cedera .
  • Menjaga dan memelihara kenderaan mereka.
  • Menjahitkan pakaian yang robek / rosak .
  • Mengangkut dan mengurus mereka yang gugur.
  • Mengamati gerak-geri musuh .
  • Menyediakan segala sesuatu yang diperlukan .
  • Bahkan bila perlu dapat juga ikut bertempur melawan musuh .
    Dan tentunya masih banyak lagi peranan kaum wanita dalam bidang perjuangan . Ini menunjukkan bahawa bukan kaum lelaki saja yang mampu ikut berjuang tetapi juga kaum wanitanya. Sejarah telah banyak membuktikan.
 

Sri Kandi Islam :Sofiyyah binti Abdul Mutalib


Seorang muslimah Islam Terbilang. Sofiyyah binti Abdul Mutalib adalah muslimah yang hebat. Terlibat dengan beberapa siri peperangan dalam Islam seperti Perang Uhud, Khandak, dan Khaibar. Pengorbanannya adalah merupakan contoh peranan wanita dalam Islam dari sudut peperangan. Sila baca.

Beliau merupakan seorang wanita yang berkeperibadian hebat. Sejarah telah merakamkan keunggulannya agar beliau dapat menjadi suri teladan kepada umat sepanjang zaman sebagai seorang wanita muslimah yang wajar dicontohi. Beliau merupakan contoh yang ‘hidup’ sebagai seorang muslimah yang berani, sabar, bertanggungjawab dan berjuang mempertahankan agama Allah.

Beliau yang dimaksudkan ialah srikandi wanita sejati iaitu Sofiyyah Binti Abdul Muttalib.Bapa Sofiyyah ialah Abdul Muttalib Bin Hashim iaitu datuk kepada Rasulullah s.a.w., Jadi, Sofiyyah merupakan emak saudara nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman Jahiliyyah, Sofiyyah berkahwin dengan al-Harith Bin Harb Bin Umayyah. Selepas itu, beliau berkahwin dengan al-'Awwam Bin Khuwailid Bin Asad Bin Abdul Uzza. Anak Sofiyyah yang paling masyhur ialah Zubayr Bin 'Awwam yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga.Sofiyyah memeluk Islam bersama suaminya al-Awwam dan anak-anaknya. Beliau telah beriman pada peringkat awal dakwah Rasulullah.

Peristiwa bukit Sofa adalah sebuah titik tolak untuk membuktikan komitmennya kepada Islam. Beliau merupakan salah seorang muslimah yang menyokong seruan Rasulullah ketika baginda menyeru kaum kerabatnya di bukit Sofa untuk memeluk Islam.Sofiyyah juga merupakan salah seorang wanita yang amat gigih menyokong perjuangan Rasulullah. Beliau juga amat gigih berdakwah kepada keluarga dan kaum kerabat yang terdekat. Ketika turunnya perintah untuk berhijrah ke Madinah, Sofiyyah pun tidak melepaskan peluang hijrah ini, lantas beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama anaknya Zubayr Bin Awwam dalam keadaan keimanan yang tinggi kepada Allah dan RasulNya.

Peristiwa Di Uhud

Dalam peperangan Uhud, umat Islam berhadapan dengan tentera-tentera musyrikin Makkah yang mencecah 10,000 orang, sedangkan tentera Islam berjumlah hampir tiga ribu orang sahaja. Sofiyyah tidak ketinggalan untuk turut serta membantu tentera-tentera Islam dalam peperangan ini. Beliau bersama-sama wanita Islam yang lain bertugas memberi minuman kepada para tentera serta merawat tentera yang cedera.Suatu ketika, apabila Sofiyyah melihat adanya senjata-senjata yang ditinggalkan seperti lembing, beliau mengambil kesempatan untuk menggunakannya melawan musuh. Dalam satu riwayat menyatakan bahawa Sofiyyah telah berjaya membunuh beberapa orang lelaki dari pihak musyrikin. Begitulah keberanian Sofiyyah yang tidak takut kepada kematian, sebaliknya berusaha untuk mempertahankan agama Allah.Ketika tentera Islam berada dalam keadaan kucar-kacir dan lari meninggalkan medan pertempuran, Sofiyyah sambil memegang lembing berkata dan berteriak dengan penuh semangat: 'Apakah kamu semua akan meninggalkan Rasulullah ?' Apabila mendengan teriakan itu, semangat juang kaum muslimin kembali bergelora. Mereka lantas berlawan dengan musuh dan akhirnya berhasil menyelamatkan Rasulullah.

Dalam peperangan Uhud ini, ramai tentera Islam gugur syahid iaitu berjumlah seramai tujuh puluh orang. Antara yang syahid ialah Sayyidina Hamzah Bin Abdul Muttalib iaitu saudara lelaki Sofiyyah seibu sebapa. Mayat Sayyidina Hamzah yang syahid itu telah dirobek-robek dengan amat teruk tanpa belas kasihan. Apabila Sofiyyah mengetahui perkara ini, beliau pun ingin melihat jasad saudaranya itu. Pada mulanya Rasulullah s.aw. ingin menghalang Sofiyyah daripada melihat tubuh badan Sayyidina Hamzah, bimbangkan dia akan berasa gerun apabila melihatnya nanti.Namun, apabila melihatkan kesabaran yang begitu jelas terpancar dari dalam diri Sofiyyah, beliau pun dibenarkan untuk melihat jenazah saudaranya itu. Tatkala melihat jasad Hamzah, Sofiyyah segera beristighfar dan ber'istirja', seraya berkata: (Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un) (sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-Nya). Lalu Sofiyyah pun berdoa untuk jenazah Sayyidina Hamzah.

Peristiwa di Khandak

Ketika Rasulullah s.a.w keluar ke Khandak bersama tentera Islam, Baginda telah menempatkan para wanita di sebuah kubu yang dibina daripada batu. Rasulullah menugaskan Hassan Bin Thabit untuk menjaga keselamatan mereka daripada musuh. Ini kerana pada ketika itu, Yahudi Bani Qainuqa' melakukan pengkhianatan terhadap Islam.Pasukan musuh mengelilingi kubu dari segala penjuru. Pada suatu hari, seorang 'perisik' Yahudi telah datang ke kubu tersebut untuk mengintai sama ada terdapat dalam kubu itu orang lelaki atau wanita sahaja. Ini kerana, sekiranya ditinggalkan wanita sahaja dalam kubu tersebut tanpa sebarang pengawasan, Yahudi itu akan menyerang, membunuh dan menawan mereka dengan begitu mudah.Sofiyyah menyedari tentang kedatangan perisik Yahudi tersebut. Lantas, beliau cuba mencari jalan untuk menentang Yahudi itu. Ini kerana, sekiranya maklumat berguna didapati oleh Yahudi , nescaya dia akan mengajak rakan-rakannya ke situ untuk menyerang mereka. Lalu, dengan keberanian yang ada pada diri Sofiyyah, beliau telah mencari sesuatu untuk dijadikan senjata, dan terjumpalah dengan sebatang kayu.Dengan perlahan-lahan, Sofiyyah dengan membawa sebatang kayu berjalan menuju kepada Yahudi tersebut yang sedang melekapkan telinganya di dinding kubu. Kemudian, Sofiyyah pun membuka pintu kubu dengan perlahan-lahan agar tidak disedari oleh pengintip Yahudi itu. Setelah membuka pintu, Sofiyyah dengan beraninya terus meluru ke arah Yahudi tersebut dan memukul kepalanya dengan kayu, menyebabkan Yahudi itu jatuh. Kemudian, dengan bantuan beberapa wanita yang lain, mereka terus memukul Yahudi tersebut sehingga dia menemui ajal. Kejadian ini menyebabkan orang Yahudi yang lain terus menjauhkan diri mereka daripada kubu tersebut serta membatalkan rancangan untuk menyerang dan menawan kubu itu.

Sofiyyah di Khaibar

Sofiyyah sentiasa ingin turut serta dalam peperangan menentang musuh Islam. Walaupun beliau tidak membawa senjata untuk berperang, tetapi beliau berpuas hati apabila dapat membawa air untuk minuman para pejuang, merawat luka dan kecederaan mereka, serta memberi perangsang dan semangat untuk menentang musuh.Di Khaibar, Sofiyyah juga terlibat dalam memberi semangat kepada anaknya Zubayr untuk menentang musuh. Kehebatan Sofiyyah bukan sahaja terserlah dalam mempertahankan Islam, bahkan beliau juga amat mengambil berat dan bertanggungjawab dalam soal mendidik anak-anak ke arah mempunyai sifat juang yang tinggi demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.Selepas kewafatan Rasulullah s.aw., Sofiyyah meneruskan perjuangan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Pendirian beliau dalam mempertahankan Islam tidak pernah berubah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.Di samping keberanian Sofiyyah, beliau juga mempunyai hati yang mudah tersentuh. Beliau banyak menghasilkan puisi. Antara puisi yang dihasilkan olehnya ialah puisi yang menangisi pemergian ayahnya Abdul Muttalib, saudaranya Hamzah dan Rasulullah s.a.w. Di samping puisi sedih, beliau juga menghasilkan puisi yang berbentuk semangat dan kata-kata perangsang.Sofiyyah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, ketika berusia 73 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan Baqi', Madinah.

Rujukan:

1. Ibn Hajar al-'Asqalani. (t.th) al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah , Dar Ihya' al-Turath al-'Arabiy, Beirut.

2. 'Iffat Wisal Hamzah (1994), Nisa' Ra'idat, Dar Ibn Hazm, Lubnan.

3. Sirah Ibnu Hisham (1955), Beirut, Lubnan.

Sumber daripada : Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 1 Julai 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – FAKTOR PENENTANGAN KAUM QURAISY TERHADAP ISLAM

     

    Huraikan sebab-sebab penentangan terhadap ajaran Islam oleh kaum Quraisy pada zaman Nabi Muhammad di Makkah.

    CONTOH JAWAPAN :

    PENGENALAN:

    1. Latar Belakang Nabi Muhammad s.a.w

    • Dilahirkan di kota Makkah pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun Gajah.
    • Dari keturunan Bani Hasyim; dari puak Quraisy.
    • Baginda menerima wahyu pertama; Surah al-Alaq melalui malaikat Jibril pada 17 Ramadhan 610M di Gua Hira’.

2. Latar Belakang Masyarakat Kota Makkah

  • Nama asal Makkah ialah Makaroba, kemudian diubah kepada Bakkah dan Makkah.
  • Makkah merupakan tempat permulaan rumah ibadat, Baitullah Kaabah, yang diberkati Allah swt.
  • Penduduk terawal dikenali sebagai Amaliqah, dikuti oleh puak Jurhum
  • Pada zaman puak Jurhum, Nabi Ismail dilahirkan .
  • Nabi Ibrahim (as) dan anaknya Nabi Ismail (as) telah membina Kaabah.
  • Setelah itu tiba puak Khuzaah. Mereka memerintah Makkah selama 3 kurun sebelum ketibaan kaum Quraisy pimpinan Qusay bin Kilab pada permulaan kurun ke-5.
  • Dengan adanya Kaabah, ramai pengunjung datang ke Makkah untuk melakukan ibadat haji dan perdagangan.
  • Makkah merupakan kota yang bebas daripada kuasa dan pengaruh Byzantine dan Parsi.
  • Makkah kekal sebagai suatu kawasan yang neutral hingga zaman Islam.

3. Bentuk-bentuk Tentangan Orang-Orang Quraisy Makkah Terhadap Ajaran Nabi Muhammad Saw.

    • Bertemu dengan Abu Talib supaya menasihatkan Nabi Muhammad menghentikan dakwah baginda.
    • Menghina, memperolok-olok dan mengganggu dengan perkataan dan perbuatan
    • Menyiksa
    • Tawaran Harta & Pangkat
    • Berkompromi Agama
    • Pemulauan Ekonomi Dan Sosial
    • Rancangan Membunuh Nabi

4. Aktiviti Dakwah Nabi Muhammad S.A.W. Sewaktu Di Kota Mekah

  • Dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui 2 peringkat:

         (a) dakwah secara sulit

         (b) dakwah secara terang-terangan

ISI:

Faktor-faktor penentangan ajaran Islam oleh kaum Quraisy Makkah [ 5 isi X 4 markah = 20 markah ]

1. Faktor Agama

    • Ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.aw. itu bertentangan dengan agama berhala yang telah sebati menajadi darah daging orang-orang Makkah.
    • Dari sudut akidah, Islam menekankan Tauhid, percayakan Allah yang Maha Esa dan menentang amalan syirik.
    • Agama berhala dianggap sebagai agama tradisi nenek moyang mereka yang mesti dipertahankan
    • Oleh itu menentang Nabi Muhammad s.a.w yang dianggap sebagai orang yang mahu meruntuhkan tradisi itu.

2. Ingin Mengekalkan Kuasa Dan Pengaruh

  • Sebelum ini kepimpinan kota Makkah terletak di tangan Hasyim, moyang Nabi Muhammad s.a.w dan Abd Mutalib.
  • Setelah itu berpindah ke tangan Abu Talib, bapa saudara Baginda.
  • Besar kemungkinan kepimpinan itu akan diwarisi oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana keupayaannya yang luar biasa.
  • Jika mereka memeluk Islam dan mengikut Baginda bermakna kepimpinan itu akan terus berada di tangan Bani Hasyim.

3. Persamaan Taraf

    • Agama Islam yang disampaikan Nabi Muhammad s.aw. ialah agama tauhid yang menyeru kepada keadilan sosial dan persamaan taraf manusia.
    • Hal ini amat bertentangan dengan sistem sosial Jahiliyah yang masih dikuasai oleh kaum bangsawan kaum Quraisy.
    • Mereka masih berpegang dengan taraf dan kedudukan sosial yang berbeza.
    • Dengan terlaksananya ajaran Islam, bermakna tidak ada lagi perbezaan antara ketua dan pengikut; antara yang kaya dengan miskin dan antara tuan dengan hamba
    • Pada pandangan Islam, semua manusia adalah sama sahaja kecuali bagi orang yang bertakwa.

4. Faktor Ekonomi/Mempertahankan Pusaka Nenek Moyang.

  • Orang-orang Quraisy mengamalkan penjualan atau berhala.
  • Seandainya mereka memeluk Islam, maka sudah tentu punca rezeki mereka akan hilang kerana Islam tidak membenarkan pembuatan patung berhala dan menjualnya.
  • Amalan membuat dan menjual patung pula merupakan warisan nenek moyang mereka,
  • Oleh itu mereka begitu sensitif apabila Nabi Muhammad s.a.w. mencela agama berhala mereka.

5. Takut Akan Hari Pembalasan

    • Islam mengajar manusia tentang hari pembalasan atau hari kiamat
    • Wajib percaya kepadanya dan merupakan satu daripada Rukun Iman
    • Segala amalan di dunia sama ada baik atau jahat akan dikira pada hari pembalasan denganm saksama.
    • Berita hari kiamat telah menakutkan kaum Quraisy Mekah kerana mereka sedar bahawa mereka telah banyak melakukan perkara keji yang ditegah oleh Islam seperti mencuri, merompak, berzina, minum arak dan mengamalkan riba
    • Perbuatan ini akan dibalas dengan seksaan api neraka
    • Tetapi mengikut agama berhala, segala dosa itu dapat dihapuskan di dunia juga tanpa menerima apa-apa balasan pada hari kiamat.

6. Perasaan Iri hati

  • Mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. dan Islam kerana perasaan iri hati kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul.
  • Antara mereka ialah ialah Umayyah bin Abi al-Salt pernah menyatakan keinginan menjadi seorang nabi.
  • Al-Walid bin al-Mughirah berasa terlalu kecewa apabila mendengar Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu

KESIMPULAN:

1. Nabi Muhammad saw dan umat Islam Makkah tabah dan sabar menghadapi tentangan daripada orang-orang Quraisy Makkah.

2. Terdapat pelbagai bentuk tentangan daripada orang-orang Quraisy Makkah seperti penghinaan,penyiksaan, pemulauan,memujuk Nabi Muhammad dan bapa saudaranya Abu Talib sehingga rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad saw.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.