Kisah Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal yang tinggal di pondok usang dalam sebuah keluarga nelayan miskin namun masih mampu mencatat keputusan cemerlang 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi perbualan hangat.
Setelah berita kejayaan Nik Nur Madihah disiarkan melalui media massa, dia dijemput menerima sumbangan dari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapa Mohamed dalam satu majlis baru-baru. Sehari selepas itu, Menteri Besar Kelantan Dato Nik Aziz Nik Mat pula mengunjungi beliau di rumah.
Mengenali politik Malaysia, saya fikir kita semua tidak terkejut sekiranya selepas ini ramai lagi ahli-ahli politik yang akan memberikan sumbangan kepada beliau dan keluarganya. Saya tidak mahu bersikap negatif dalam hal ini, maka marilah kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada ahli-ahli politik yang memberikan sumbangan itu.
Sementara bantuan yang bersifat ad-hoc ini perlu, namun saya mengharapkan agar kisah Nik Nur Madihah itu dapat menjadikan kita semua melakukan muhasabah dan melihat kembali jaringan keselamatan sosial (social safety net) dalam negara ini.
Anak kampung, dibesarkan dalam keluarga yang cukup miskin, saya tahu sangat erti kemiskinan. Lantaran itulah saya amat mengharapkan kemiskinan menjadi "things of the past" dalam negara ini. Selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ramai lagi rakyat yang dihimpit dengan kemiskinan.
Untuk bersikap positif, saya fikir langkah kerajaan menyediakan pendidikan percuma telah mengeluarkan sejumlah yang cukup ramai dari lingkaran kemiskinan. Di kampung saya sendiri, anak-anak dari keluarga miskin hari ini menjadi Timbalan Naib Canselor, Ketua Pengarah jabatan kerajaan, pensyarah universiti, jurutera, doktor, akauntan dan pelbagai jawatan kanan dalam sektor swasta dan kerajaan.
Sekiranya kita tidak memberikan pendidikan percuma dan menawarkan biasiswa, saya fikir mereka (dan termasuk saya sendiri!) mungkin meneruskan kemiskinan yang diwarisi dari keluarga; sama seperti rakyat di sesetengah negara Asia dan Afika.
Begitu juga dengan pelbagai program dan inisiatif yang dilakukan oleh ketiga-tiga peringkat kerajaan iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Ramai yang telah mendapat manfaat daripadanya.
Itu kita hargai.
Bagaimanapun, di celah-celah pencapaian cemerlang ini, masih ada lagi kelompok yang tersisih. Mereka masih hidup miskin, sama seperti apa yang saya lalui 40 tahun dulu.
Adalah dicadangkan agar kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri bekerjasama bagi melaksanakan jihad membasmi kemiskinan. Cukuplah menuding jari dan menyalahkan satu sama lain. Usaha ini memerlukan satu pendekatan yang bersepadu dan berterusan.
Untuk permulaan, elok kalau kerajaan melihat semula sumber-sumber yang ada (sama ada dalam bentuk agensi atau peruntukan) yang boleh dimanfaatkan bagi menangani masalah kemiskinan. Dengan sumber ini, kerajaan hendaklah mengisytiharkan peperangan bagi membanteras kemiskinan.
Kalau orang politik boleh bersengkang mata dan tak pulang ke rumah berhari-hari sewaktu pilihanraya (kalau tak percaya, tunggu pilihanraya Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air), tentulah elok sekiranya mereka berbuat demikian bagi membantu golongan miskin. Masuk kampung siang-malam, cari orang miskin dan uruskan bantuan -- sama ada yang bersifat jangka pendek (berbentuk makanan atau kewangan) atau jangka panjang (pendidikan, keusahawanan, atau latihan) kepada golongan sasar itu.
Pegawai-pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan membasmi kemiskinan pula jangan asyik bermesyuarat di bilik berhawa dingin. Ketepikan karenah birokrasi, sentimen politik kepartian dan turun padang bagi membantu rakyat. Susah sangatkah nak buat begitu?
Peperangan ini akan berjaya kalau kita mampu mengenepikan sentimen politik dan bekerja bersama-sama. Biarlah kita ada perbezaan pandangan politik, namun dalam soal-soal yang menyentuh kepentingan ummah, pemimpin politik (dan kerajaan) harus boleh duduk bersama.
Percayalah, kalau kita masih bersikap keakuan dalam soal politik kepartian, sampai bila pun masalah kemiskinan ini tidak dapat diatasi. Cukuplah retorik politik yang memualkan.
Nah, PAS dan UMNO, boleh bekerjasama untuk tolong orang miskin.........