ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 8 Februari 2009

POLITIK MACHIAVELLI !!!!!

Tokoh Falsafah Niccolo Machiavelli

Pengenalan

Niccolo Machiavelli dilahirkan pada 3 Mei 1469 di Florence, Itali. Ayah beliau adalah seorang ahli hukum dan beliau dibesarkan dalam keluarga yang ternama tetapi tidak begitu berada. Ketika Machiavelli berumur 29 tahun, beliau memperolehi kedudukan tinggi dalam kerajaan Florence. Beliau berkhidmat dalam kerajaan Florence selama 14 tahun sebagai setiausaha kerajaan dan terlibat dalam pelbagai misi diplomatik ke Perancis, German dan di dalam negeri Itali.

Pada tahun 1512, kerajaan Florence telah digulingkan oleh golongan Medici dan kerajaan berbentuk republik telah bertukar menjadi kerajaan zalim. Machiavelli pula telah disingkirkan daripada jawatannya. Oleh kerana terdesak untuk kembali ke alam politik, beliau cuba menarik perhatian pemerintah Medici dengan menulis sebuah buku politik yang pada pandangannya merupakan matlamat Medici dan berharap ianya dapat diterima oleh mereka sebagai panduan dalam pemerintahan. Maka lahirlah karyanya, The Prince semata-mata untuk memuaskan dan memikat hati pemerintah. The Prince dipenuhi dengan idea Machiavelli tentang keperluan pemerintahan yang zalim dengan ideologi yang keji dalam sesebuah negara.

Malangnya, usahanya ditolak oleh pemerintah Medici dan beliau tidak dapat sebarang jawatan yang diinginkan. Beberapa tahun kemudian, setelah pemerintahan Medici dijatuhkan dan kerajaan republik dikembalikan, Machiavelli sekali lagi cuba untuk menyertai semula kerajaan yang pernah disertai sebelum itu. Tetapi oleh kerana tulisannya, The Prince, karya itu telah mempengaruhi orang ramai untuk tidak menerimanya kembali kerana mereka memikirkan falsafahnya menyerupai pemerintah Medici. Keadaan itu telah menyebabkan Machiavelli jatuh sakit lalu meninggal dunia pada tahun 1527 ketika beliau berumur 58 tahun.

Antara karya-karya beliau ialah The Discourse upon the First Ten Books of Titus Livius, The Art of War dan A History of Florence and La Mandragola. The Prince adalah sebuah karya beliau yang termasyhur dan memang paling mudah untuk dibaca dari semua tulisan ahli falsafah.

Falsafah Politik Machiavelli

Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal yang berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan, beliau telah menemui ramai ahli politik yang terkemuka dan salah seorang daripada mereka ialah putera Alexander VI, Cesara Borgia, yang telah memberi kesan mendalam kepadanya. Machiavelli kagum dengan cara pemerintahan Borgia yang bijak mengatur perancangan bagi memenuhi cita-cita walaupun bertindak dengan zalim sebagaimana digambarkan dalam karya beliau, The Prince.

Fikiran pokok buku ini ialah, untuk mengekalkan kuasa, para pemerintah harus mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu. Dalam tulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kepada kuasa sebagai tunggak pemerintahan. Beliau juga mengatakan pemerintah perlu bijak mengaburi mata rakyat dengan menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan mereka dan agar terus mendapat sokongan daripada rakyat. Jika ada yang menentang, perlaksanaan undang-undang secara tegas walaupun dalam bentuk kezaliman perlu dikenakan sebagai hukuman tetapi pada masa yang sama dalam bentuk yang kelihatan saksama.

Politik Tanpa Moral

Machiavelli bersikap kritikal terhadap suasana politik semasa yang ketika itu zaman Kecerahan yang penuh dengan korupsi dan berlaku penindasan yang mengongkong kehidupan oleh pihak kerajaan yang dikuasai oleh golongan paderi. Maka, persoalan yang ditimbulkan Machiavelli ialah bagaimana kuasa politik digunakan untuk menstabilkan keadaan. Beliau bersikap prejudis terhadap agama dengan menafikan peranan agama dalam politik. Menurutnya, politik tidak sewajarnya cuba dikaitkan dengan persoalan moral atau agama kerana ia boleh mendedahkan seseorang kepada golongan musuh yang cerdik dan licik. Melalui fahaman sekularisme ini, beliau berpendapat bahawa nilai kemahiran dalam pentadbiran adalah lebih tinggi daripada nilai moral. Berdasarkan pemerhatian Machiavelli terhadap pemerintah Borgia, beliau memuji-muji pemerintahan Borgia yang mencintai kemahiran pemerintahan.

Menurut teori politik Machiavelli, kuasa politik boleh didapati dengan dua cara iaitu pertama, jika bernasib baik melalui warisan daripada keturunan atau yang kedua, melalui penaklukan. Bagi menguasai negara baru, pihak pemerintah hendaklah menghapuskan seluruh pencabarnya dari kerajaan terdahulu walau dengan apa cara pun. Kemudian, pemerintah harus bijak menggunakan propaganda untuk mendapatkan sokongan dari masyarakat. Dari aspek ini, Machiavelli menyatakan kecemerlangan sesebuah pemerintah hanya memerlukan seorang pemerintah yang mempunyai metod pemerintahan yang licik dan dapat menyelesaikan segala masalah.

Ciri Pemerintahan Yang Baik

Machiavelli menggariskan beberapa ciri yang dianggapnya sebagai asas utama dalam mengekalkan kuasa walaupun persepsi dari sudut moralnya buruk sekali. Menurut beliau, keperibadian seorang pemimpin adalah asas bagi kemantapan sebuah kerajaan. Beliau menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kutukan rakyat. Malahan menurutnya, seorang pemimpin seharusnya mengutamakan sifat kedekut lebih daripada pemurah. Sifat pemurah hanya ditunjukkan ketika memerlukan sokongan dan pujian rakyat. Jika mahu menunjukkan sifat pemurah, pemimpin seharusnya menggunakan harta orang lain untuk diberikan kepada rakyat tetapi bagaimanapun, bukan dengan cara merampas harta mereka.

Dalam bab 17 buku The Prince, Machiavelli membincangkan apakah seorang pemimpin itu lebih baik ditakuti atau dicintai. Beliau menjelaskan lebih baik pemimpin itu ditakuti dari dicintai dengan bertindak kejam dalam menjalankan hukuman terhadap rakyat. Hukuman yang kejam akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana ia dapat menakutkan ramai orang dan mengurangkan jenayah. Walau bagaimanapun, pemimpin perlu menghindari dibenci rakyat dengan tidak merampas harta mereka. Beliau menambah, perasaan dicintai itu boleh hilang mengikut kehendak bebas manusia tetapi apabila ditakuti dan diperkuatkan lagi dengan kengerian akan hukuman, ianya selalu berkesan. Kalau pun pemimpin itu tidak dicintai, sekurang-kurangnya dia tidak dibenci rakyat.

Dalam bab 18 yang berjudul “Cara bagaimana seorang pemimpin memegang kesetiaan(janji)”. Di sini Machiavelli berkata seorang pemimpin yang cermat tidak harus memegang kesetiaannya(janjinya) jika sesuatu yang dilakukan itu berlawanan dengan kepentingannya. Beliau memberi dua kaedah perjuangan politik. Pertama, melalui undang-undang tetapi ini selalunya menemui kegagalan. Kedua, melalui kekerasan dan penipuan ataupun yang diistilahkan sebagai ‘cara binatang’. Pemimpin perlu memiliki sifat kedua-dua binatang singa dan kancil. Singa kerana ganas dan lambang dahagakan kuasa dan kancil yang sangat licik bijak menipu.

Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik budi dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa. Perubahan karakter pemimpin mestilah mengikut keadaan. Rasa sayang dan moral dapat diabaikan jika diperlukan.

Seterusnya, Machiavelli menyatakan seorang pemimpin harus mengelakkan diri daripada dibenci dan melakukan perkara yang mengaibkan mereka di mata rakyat. Ini boleh dilakukan dengan tidak merampas harta rakyat, tidak merampas isteri orang bawahan dan tidak menonjolkan sifat tamak dan berkeinginan. Di samping itu seorang pemimpin mestilah ada sikap yang konsisten dengan tidak berubah sikap dalam tindakannya, tidak bersikap melulu, lemah, pengecut dan tidak tegas. Dia juga perlu pandai mengambil hati golongan pembesar negara dan membahagiakan rakyat bawahannya. Pemerintah perlu membimbing para pembesar cara bergaul dengan rakyat dan memberi penghargaan kepada rakyat.

Bagaimanapun, dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk diutamakan. Demi kepentingan kuasa politik, bagi beliau pemerintah diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya dengan doktrin, the end justifies the means. Pada pandangan Machiavelli, dalam politik adalah sesuatu yang bodoh jika seseorang pemimpin itu menggunakan cara yang boleh membawa kegagalan kepadanya sehingga hilang kekuasaan.

Penutup

Tiada siapa yang lebih memahami tentang pentingnya kuasa dalam politik melainkan Niccolo Machiavelli. Beliau dinobatkan sebagai ahli falsafah politik moden dengan teori politik yang dipaparkan dalam bukunya The Prince. Bagi Machiavelli, apa yang diusulkan bukan bagaimana rakyat harus bertingkah laku atau siapa yang mesti berkuasa tetapi bagaimana sesungguhnya seseorang itu boleh memperolehi kekuasaan. Golongan penentang teori ini pula, menganggap Machiavelli sebagai simbol kediktatoran dan kekejaman. Teori kepemimpinan Machiavelli dikatakan cenderung menghalalkan segala cara untuk mempertahankan suatu kekuasaan. Karya Machiavelli, The Prince, dianggap orang sebagai ‘buku petunjuk untuk para diktator’. Tidak dapat diragukan lagi, ramai pemimpin di dunia pernah membaca buku The Prince. Dikhabarkan Benito Mussolini, Hitler dan Stalin juga ada membacanya. Bahkan dikatakan kononnya, Napoleon sentiasa tidur di bantal yang terselit buku The Prince.

Bibliografi

Ahmad Sunawari Long.(2006).Sejarah Falsafah.Bangi:Universiti Kebangsaan

Malaysia.

Hart. M. H.(1978).100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh dalam Sejarah.Jakarta Pusat:P.T.Dunia Pustaka Jaya

http://media.isnet.org/iptek/100/machiavelli.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Si_Putera

1 ulasan:

stenote berkata...

Blog yang menarik, semoga terus maju.... Saya mengutip Niccolo Machiavelli: " Pangeran adalah seorang warga yang menjadi pemimpin negaranya bukan dengan kelicikan atau kekejaman yang tak dapat ditolelir, namun melalui dukunganvsesama warganya. Kita namakan hal ini ‘kerajaan masyarakat’. Jadi, kerajaan seperti ini (negara pangeran) – cara bagaimana menjadi seorang pangeran – didapat dengan dukungan masyarakat umum atau dukungan para bangsawan."

Saya mencoba menulis blog, semoga anda suka: http://stenote-berkata.blogspot.com/2018/02/wawancara-dengan-niccolo.html

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.