ENJIN CARIAN BAHAN

Sabtu, 14 Februari 2009

Sistem Ekonomi Kapitalisme

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan. Takrif individu di sini juga boleh merujuk kepada sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis oleh itu berdasarkan kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, menetap harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Pengkritik sistem kapitalis selalu berhujah bahawa sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin. Sistem yang bertentangan dengan ideologi ini ialah komunisme dan sosialisme. Kapitalisme berasal dari perkataan kapital (bahasa Inggeris: capital) yang bermaksud "modal".

Amalan ekonomi kapitalis mengukuh di England di antara kurun ke-16 Masehi dan 19 Masehi. Walau bagaimanapun telah wujud ciri-ciri kapitalis sejak dulu lain terutamanya di kalangan saudagar Zaman Pertengahan[1]. Kapitalisme menjadi dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme.[1]. Dari England, kapitalisme merebak ke seluruh Eropah dan pada abad ke-19 dan 20, ia adalah sistem ekonomi utama di dunia yang memacu era perindustrian[2].

Isi kandungan

1) Membeli, menjual, bekerja dan menggaji

Adam Smith, pelapor sistem ekonomi kapitalisme atau pasaran bebas melalui bukunya The Wealth of Nations.

Dalam kapitalisme, kita berhak menjual atau meminjamkan barang atau perkhidmatan dan orang lain juga berhak membeli atau meminjam barang atau perkhidmatan tersebut. Masyarakat dalam ekonomi kapitalis yang tulen tidak perlu mendapat izin daripada raja atau kumpulan tertentu. Konsep ekonomi kapitalis diperkenalkan oleh Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations.

Perkataan modal (capital) merujuk kepada barang atau wang yang dipunyai oleh seseorang dan boleh digunakan untuk mengeluarkan lebih banyak barang atau mendapat lebih banyak wang. Sebagai contoh tanah, kilang, alatan, kedai dan mesin adalah modal. Jika seseorang mempunyai wang yang boleh dilabur, ini dipanggil modal juga. Mereka yang mempunyai modal ini dipanggil kapitalis (mereka yang menyokong dasar kapitalisme juga digelar kapitalis). Mereka boleh menggaji pekerja untuk bekerja di kedai, kilang atau tanah.

Dalam kapitalisme, kebanyakan orang adalah golongan pekerja (atau proletariat). Mereka tidak mempunyai modal dan mesti bekerja untuk menyara hidup. Seseorang boleh memilih untuk bekerja dengan sesiapa sahaja dalam pasaran bebas. Kerajaan tidak memberitahu individu kerja apa harus dibuat, juga tidak melarang individu dari melakukan sesuatu pekerjaan.

Konsep ini berbeza dengan sistem ekonomi lain seperti feudalisme, di mana seseorang bekerja untuk tuan tanah mereka.

2) Pelaburan

Dalam kapitalisme terdapat konsep pelaburan. Individu-individu boleh mengumpulkan duit bersama untuk membina sesuatu dan mereka ini adalah tuan punya benda yang dilaburkan. Dalam pasaran saham, mereka boleh membeli dan menjual saham.

Pelaburan adalah ciri penting kapitalisme. Perkataan kapitalis boleh merujuk kepada mereka yang melabur, contohnya mereka yang mencari risiko untuk melabur dalam perniagaan baru (venture capitalist).

Mereka yang memulakan perniagaan atau melabur dalam perniagaan boleh mendapat banyak wang atau dipanggil keuntungan. Mereka kemudiannya boleh melaburkan keuntungan dalam perniagaan lain atau membesarkan perniagaan sedia ada.

3) Kritikan terhadap kapitalisme

Golongan sosialis dan komunis adalah antara mereka yang menentang kapitalisme. Mereka mengatakan kapitalisme menjejaskan golongan pekerja kerana golongan kapitalis mendapat lebih banyak keuntungan sedangkan golongan pekerja mendapat gaji yang tidak setimpal. Wujudnya jurang yang luas kaya dan miskin serta mereka yang miskin dan bertambah miskin.

Karl Marx seorang pemikir komunis dari German dalam bukunya Das Kapital (The Capital) menulis bahawa kapitalisme hanya dapat disingkirkan apabila golongan pekerja mengambil alih kerajaan melalui revolusi.

4) Golongan kapitalis

Terdapat pelbagai label untuk penyokong sistem kapitalisme. Di beberapa bahagian di dunia, mereka dikenali sebagai liberal. Di Amerika Syarikat dan beberapa tempat, mereka yang menyokong kapitalisme dipanggil libertarian.

Mereka yang menyokong kapitalisme juga mempunyai perbezaan pendapat. Kebanyakan orang bersetuju bahawa kapitalisme akan berfungsi dengan baik dengan kawalan kerajaan. Di kebanyakan negara, kerajaan berusaha supaya urus niaga jual beli berjalan dengan adil dan tidak menindas pekerja. Apabila terdapat campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi pasaran, ini dipanggil "ekonomi campuran" dan bukannya sistem kapitalisme yang tulen.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.