Mohd Yusof Hadhari,
25 Jun 2012
Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.
“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.
Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “ Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."
Sumber Asal : Di Sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan