ENJIN CARIAN BAHAN
Isnin, 30 Ogos 2010
SOALAN PERCUBAAN SEJARAH STPM 2010
Isnin, 16 Ogos 2010
TAMADUN DUNIA : TEMA 7 –FAKTOR PENJELAJAHAN DAN PENEROKAAN KUASA BARAT
Huraikan faktor-faktor yang mendorong kuasa-kuasa barat melancarkan penjelajahan dan penerokaan sebelum abad 16 masihi.
Pengenalan
- Konsep penjelajahan merujuk kepada mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat atau daerah.
- Penerokaan pula bermaksud menyelidiki, menjelajah, menjalani, menempuh dan mengharungi
- Bangsa Eropah mempunyai tradisi penerokaan sejak zaman Yunani iaitu sekitar abad ke-8 S.M lagi.Contohnya orang Crete, Mycenea dan Phonesia telah melakukan aktiviti penerokaan dan penjelajahan sekitar laut Mediteranean untuk tujuan ekonomi dan politik
- Kuasa-kuasa barat seperti Portugal dan Sepanyol mula menjelajah dan meneroka disebabkan beberapa faktor yang mendorong dan juga untuk mengatasi perubahan politik, ekonomi dan agama yang berlaku pada zaman tersebut.
Isi-isi penting ( Masih ada isi yang boleh ditambah )
1. Peranan pemerintah
- Pada zaman Yunani orang Phonesia melakukan ekspedisi mengelilingi Benua Afrika dengan bantuan raja Mesir iaitu Firaun Necho.
- Iskandar Zulkarnain telah memimpin ekspedisi ketenteraan dari Macedonia dan Mesir di barat hingga Hindu Kush dan Punjab di Timur. Beliau juga menaja ekspedisi-ekspedisi yang disertai oleh pakar dan penulis untuk merekod sumber-sumber asli di kawasan takluknya
- Dorongan daripada pemerintah seperti Putera Hendry dan Raja John III dari Portugal dan Sepanyol membawa kepada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi pelayaran serta penubuhan Akademi Laut.
- Raja-raja negara bangsa juga memberi galakan kepada masyarakatnya untuk menjelajah dan meneroka. Tujuannya adalah untuk mengumpul kekayaan.
- Para pemerintahan juga memberi hadiah yang lumayan dan gelaran sebagai insentif kepada para peneroka
2. Maklumat dan pengetahuan tentang dunia luar
- Orang Yunani melancarkan ekspedisi untuk meninjau keadaan persekitaran dan keadaan geografi sesuatu kawasan. Contohnya orang Phonesia telah melancarkan ekspedisi belayar mengelilingi pantai Afrika dengan tujuan mengetahui keluasan kerajaan Mesir.
- Sumber maklumat dan pengetahuan tentang dunia luar diperoleh daripada orang Islam Arab pada zaman pertengahan awal.
- Catatan Marco Polo mengembara ke China dalam buku “ The Travels of Marco Polo ” dan perkhidmatan rahib John Monte Carvino di India, Parsi dan China telah mendorong penjelajahan orang-orang Eropah
- Maklumat yang diperoleh tentang India dan China telah menarik minat para penjelajah seperti Chistopher Colombus.
3. Penyebaran agama Kristian
- Golongan paderi Kristian dan raja-raja Eropah bercita-cita untuk mengembangkan agama kristian di dunia luar.
- Para mubaligh kristian dengan para saudagar ingin meneroka ke tempat-tempat baru iaitu Amerika, Asia dan Afrika. Contohnya Portugal menakluki kerajaan Melayu Melaka dan salah satu faktornya ialah menyebarkan agama Kristian
- Selain dari itu orang-orang Sepanyol dan Portugal ingin merampas balik tanah mereka daripada penguasaan orang Islam.
4. Perkembangan Kapitalisme dan Merkantilisme
- Sistem ekonomi Kapitalisme mengalakkan kegiatan mengumpul modal, hak milik persendirian dan persaingan dalam perniagaan.
- Perkembangan ini telah mendorong kemunculan dasar ekonomi Merkantilisme di negara-negara bangsa yang menekankan dasar pengumpulan kekayaan menambah kekuasaan dan menjaga kebajikan penduduk tempatan
- Bagi mencapai matlamat tersebut raja-raja negara bangsa mengalakkan penjelajahan dan penerokaan.
5. Kemajuan Teknologi Pelayaran
- Pengetahuan teknikal tentang geografi dan pelayaran mengiatkan kegiatan penjelajahan dan penerokaan
- Alat-alat seperti kompas magnetik dan astrolab dicipta untuk memudahkan pelayaran. Kompas digunakan untuk menentukan arah dan astrolab digunakan untuk menentukan longitude.
- Masyarakat Eropah mempunyai peta yang lengkap tentang benua Eropah dan Laut Mediterranean pada abad ke-15 masihi yang memudahkan lagi aktiviti pelayaran mereka.
- Dengan bantuan alat-alat pelayaran, kapal-kapal yang kukuh dapat dibina untuk belajar ke lautan yang luas
6. Persaingan Negara-Negara Bangsa
- Negara-negara bangsa seperti Sepanyol, Perancis dan Portugal bersaing untuk meneroka kawasan-kawasan yang baru di benua Asia, Afrika dan Amerika
- Tujuan mereka adalah untuk memperoleh bahan-bahan mentah dan pasaran baru bagi barang-barang mereka.
- Semakin luas kawasan yang terokai semakin tinggi sanjungan yang diberi di kalangan negara-negara Eropah
7. Pengaruh Renaisance
- Pada zaman Renaisance, cita-cita dan pemikiran bangsa Eropah telah berubah. Mereka lebih mempraktikkan ciri-ciri Individualisme, Humanisme, Sekularisme, sifat kritikal dan rasioanalisme.
- Institusi gereja tidak lagi mengongkong pemikiran masyarakat Eropah pada zaman ini.
- Keadaan ini telah mendorong kebebasan pemikiran manusia dan mula mementingkan kemajuan sains dan teknologi yang mengalakkan masyarakat Eropah menjelajah dan meneroka kawasan-kawasan baru.
Penutup
- Jelaslah bahawa faktor-faktor yang dibincangkan telah mendorong penjelajahan dan penerokaan kuasa-kuasa besar di Eropah.
- Akibat daripada penerokaan kawasan-kawasan baru telah meninggalkan kesan kepada penduduk tempatan dari segi politik, ekonomi dan sosial.
PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM 2010
Tarikh yang ditunggu telah tiba. MInggu Peperiksaan Percubaan STPM akan anda harungi minggu ini hingga minggu hadapan. Tadi , 16/8/2010 peperiksaan Sejarah 2 telah pun selesai. Nampak bersemangat anda buat persediaan . Hingga saat nak masuk dewan periksa pun masih pegang nota. Huh !……. apa maknanya ?? Nampak Ajwad, Sharol, Fakhri, dll …. baca dengan penuh khusyuk. Bagus…… Harap anda semua boleh jawab soalan Sejarah 2 tadi.
Seterusnya, esok 17/08/2010 peperiksaan Kertas Sejarah 1 akan berlangsung. Saya harap semua hadir. Siapa tak hadir, tiada peperiksaan ulangan. Ada yang nak tips apa yang akan disoal nanti. Tak payah tips-tips lagi. Apa yang saya bagi dah cukup untuk anda jawab soalan yang saya buat. Baca semua bahan ……sepatutnya dah baca. Tahun ni soalan Sejarah tiada peperiksaan selaras Negeri Perak. JPN tiada bajet yang cukup. Soalan saya buat sendiri….. Ikut instinct saya.
Jawab baik-baik. Anggap ini adalah peperiksaan sebenar. Ikut segala panduan menjawab soalan yang saya telah berikan.
Jangan pening sangat. Jangan tersungkur dan menyerah kalah, sebelum anda berjuang di meja dewan peperiksaan. Buat sehabis baik. “ Goreng jawapan baik-baik tetapi jangan sampai hangus !!!! ”
Selamat berjaya.
Isnin, 9 Ogos 2010
KENA MASUK PENJARA TAIPING !!!!!
Hari ni penat. Saya kena masuk Penjara Taiping. Inilah pengalaman masuk penjara. Masa saya dibawa masuk ramai banduan sedang mandi. Mandi ramai-ramai. Ada yang sedang bertugas mencuci dan menyapu lantai. Ada yang berkawat. Kesian pun ada. Tak sanggup rasanya jadi macam tu.
Saya diiringi oleh bos penjara dengan seliaan ketat pegawai penjara. Dompet dan handfon saya diambil dan diletakkan ditempat khas. Nasib baik pakaian saya tak ditukar. Masih pakai kemeja , seluar panjang dan bertali leher.
Saya sebenarnya mengiringi pelajar bersama dengan tiga orang lagi guru sempena Program Masih Ada Yang Sayang. Ni program kaunselor sekolah. Saya dijemput atas kapasiti saya sebagai guru disiplin. Bawa budak-budak hardcore.
Banyak perkara yang diterangkan terutama aspek jenayah sivil dan hukumannya. Kebanyakan semuanya bermula dari tingkah laku negatif semasa di alam persekolahan. Mula-mula merokok, kemudian berjinak-jinak dengan dadah. Lepas tu mula mencuri dan mencopet. Kalau dah masuk sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, alamatnya gelaplah masa depan. Difahamkan kalau dah dicop ada rekod jenayah, kerja dengan kerajaan tak boleh dah. Swasta masih boleh. Rekod dah hitam. Susah juga .......kalau dah insaf betul-betul pun masih terpaksa terima hukuman sebab rekod dah hitam. Jadi nasihat saya kepada semua pelajar, jagalah diri masing-masing di samping nasihat menasihati sesama rakan. Jangan bazirkan masa muda dalam penjara.
Yang paling menakutkan adalah video hukuman sebat. Ada yang tak sanggup melihatnya. Hilang daging punggung dibuatnya. Dua puluh empat sebatan kalau maksimum. Ada pesalah yang menjerit panggil mak..... sakit sungguh !
Kesakitan ini akan ditanggung selama 3 bulan dan parutnya akan kekal seumur hidup.
Ni video hukuman sebat macam kami lihat tu. Insaf juga budak-budak tu. Jangan sekejap je sudahlah. Ingat, sanggup tak jadi macam banduan tu. Insaflah !
20 Kali Sebatan
Rupanya, dalam penjara pun ada yang sempat mencipta lagu dan siap nyanyi lagi. Dikatakan penciptanya tu banduan dari Singapura dan ada kat penjara Taiping. Di bawah ni lagunya.... Lagu jiwang akibat putus cinta dan kesalahan membunuh !!!!!
Nyanyian dari penjara : Permintaan Terakhir
Semoga lawatan ringkas ini menginsafkan para pelajar yang mengikuti rombongan ni. Jauhi rokok. Jauhi dadah. Jauhi jenayah. Ikutilah segala peraturan dan disiplin sekolah. Patuhi ajaran agama Islam. Jadilah anak yang soleh.
Uda, Wak, Farid, Fawad, Eddi, dan semuanya. Berubahlah kepada yang lebih baik dari semalam. Jadilah insan yang berguna kerana ramai yang masih menyayangi kamu semua. Saya doakan kamu semua akan berjaya dalam hidup masing-masing nanti.
Sabtu, 7 Ogos 2010
SEMINAR SEJARAH STPM KINTA UTARA
Seminar Sejarah STPM Kinta Utara di adakan seperti berikut.
Tarikh : 7 Ogos 2010 ( Sabtu )
Slot Ceramah : 11.30 – 1.00 Tengahari
Bengkel : 2.00 – 3.30 petang
Tempat : Dewan Bestari SMK Kampung Pasir Puteh
Semoga saya diberi keupayaan oleh Allah untuk mengendalikan slot Sejarah 1 dengan baik kerana suara masih serak lagi. Semoga bermanfaat untuk warga pelajar STPM Kinta Utara yang menghadiri seminar ini. Semoga berjaya nanti hendaknya.
PENYOKONG BLOG SEJARAH
PENAFIAN :
Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.