ENJIN CARIAN BAHAN

Rabu, 30 Jun 2010

SYIRIK DI DALAM PEMERINTAHAN NEGARA

Sedutan dari ceramah Sheikh Imran Hossein mengenai umat Islam yang hampir kesemuanya hidup didalam syirik kerana mengambil undang-undang sekular melebihi undang-undang Allah. Moga ianya dapat membuka mata kita agar kembali kepangkal jalan, Insyaallah.







Selasa, 29 Jun 2010

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 -DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA AR-RASYIDIN VS BANI UMAYYAH

BANDINGKAN DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA AR – RASHIDIN DENGAN PEMERINTAHAN BANI UMAIYYAH.

A. PENGENALAN 

1. LATARBELAKANG KHULAFA AR – RASHIDIN.
Terdiri daripada empat orang Khalifah selepas kewafatan Rasulullah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

2. LATAR BELAKANG KERAJAAN BANI UMAIYYAH.
Kerajaan Bani Umaiyyah diasaskan oleh Muawiyyah bin Abu Sufyan pada tahun 41 Hijrah. Nama Umaiyyah diambil sempena dengan nama pembesar Quraisy iaitu Umaiyyah bin Abd. Manaf. Kerajaan Umaiyyah memerintah selama 91 tahun oleh dua keturunan, iaitu keturunan Harb Bin Umaiyyah dan keturunan Abu al – As.

B. ISI – ISI PENTING ( 5 ISI x 4 MARKAH = 20 MARKAH ).

1. PERLANTIKAN KHALIFAH.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Adalah hak untuk semua kaum muslimin. Jawatan tidak diwarisi sebaliknya dilantik dan mendapat persetujuan masyarakat Islam. Khalifah Umar dilantik melalui wasiat Abu Bakar dan Khalifah Uthman dilantik melalui penubuhan Majlis Syura.

b. Bani Umaiyyah.
Diwarisi secara keturunan, pemerintah mereka terdiri daripada kalangan keluarga Bani Umaiyyah. Khalifah melantik Putera Mahkota untuk mewarisi jawatan ketua Negara. Contohnya Muawiyyah telah melantik Yazid sebagai penggantinya dan Abdul Malik melantik al – Walid dan Sulaiman sebagai Putera Mahkota. Pelantikan dua orang putera mahkota menyebabkan berlakunya pergaduhan merebut kuasa.

2. DASAR PEMERINTAHAN.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Al – Quraan dan sunnah menjadi asas corak pemerintahan Khalifah mengutamakan kebajikan dan keadilan semua rakyat. Majlis Syura memainkan peranan penting dalam melaksanakan pentadbiran negara.
b. Bani Umaiyyah.
Mengamalkan pemerintahan bercorak monarki yang mengutamakan dan menjaga kepentingan serta kedudukan pemerintah sehingga kepentingan rakyat diabaikan. Sebahagian khalifah menjalankan dasar pilih kasih dengan mengutamakan keluarga Bani Umaiyyah. Kelemahan Khalifah menyebabkan gabenor di beberapa wilayah menyalah gunakan kuasa, mengumpul kekayaan dan mengamalkan rasuah.

3. POLISI TERHADAP RAKYAT.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Semua rakyat dipandang sama tanpa mengira kaum dan kedudukan. Bagi mereka mendapat layanan yang sama dari segi keadilan, sosial dan ekonomi. Bagi mengelakkan berlaku penindasan ke atas penduduk di wilayah seperti Iraq dan Mesir, Umar menyusun semula dasar pemilikan tanah. Orang bukan Islam yang mendapat perlindungan politik pemerintah Islam dikenakan cukai jizyah yang tidak membebankan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Kebanyakkan Khalifah menjalankan polisi baru iaitu membezakan orang Arab dengan bukan Arab. Orang bukan Arab terutamanya Bani Umaiyyah mendapat keistimewaan. Golongan Islam bukan Arab ( Mawali ) seperti orang Parsi tidak dibenarkan memegang jawatan penting dan masih dikenakan cukai jizyah. Ini menyebabkan mereka bekerjasama dengan bani Abbasiyyah mengadakan gerakan sulit menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

4. POLISI PROTOKOL KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Khalifah tidak mempunyai hak istimewa dari sudut undang – undang. Hubungan khalifah dengan rakyat terjalin dengan baik. Rakyat boleh bertemu dengan khalifah dan mengadu tentang masalah mereka dan penyelewengan pegawai – pegawai.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pentadbiran Kerajaan bani Umaiyyah banyak dipengaruhi oleh kerajaan Rom, Khalifah mengutamakan kepentingan dan kedudukan pemerintah. Khalifah mewujudkan protokol yang menyebabkan rakyat terpisah. Khalifah dikawal rapi oleh pengawal peribadi. Khalifah tinggal di istana dan kekayaan negara digunakan untuk kemewahan pemerintah dan keluarganya.

5. PERLANTIKAN DAN/ ATAU KEDUDUKAN PEGAWAI KERAJAAN.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Pegawai kerajaan seperti gabenor dan panglima tentera dilantik daripada mereka yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di zaman Khalifah Umar baginda telah memeriksa semua harta benda kakitangan kerajaan sebelum dan setelah dilantik bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah. Rakyat boleh mengadu tentang penyelewengan pegawai kerajaan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pegawai tinggi kerajaan dan tentera dilantik di kalangan keluarga Bani Umaiyyah dan golongan yang menyokong mereka. Pegawai yang dicurigai dipecat atau dihukum bunuh. Contohnya panglima Muhammad Ibnu Qassim dibunuh oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

6. DASAR PERLUASAN KUASA.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Dasar perluasan kuasa wilayah di zaman ini adalah bertujuan untuk melemahkan kedudukan politik Rom dan Parsi yang menjajah dan menceroboh wilayah tanah Arab. Contohnya perluasan kuasa Khalifah Umar ke atas Mesir ialah untuk menamatkan kekuasaan Rom yang kejam dan membebaskan rakyat tempatan (Qibti). Kedatangan tentera Islam mendapat sokongan rakyat tempatan.

b. Zaman Kerajaan bani Umaiyyah.
Dasar perluasan wilayah di zaman bani Umaiyyah terutama di zaman Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dan al – Walid merupakan usaha untuk bersaing menunjukkan kehandalan dan kekayaan mereka. Contohnya Abdul Malik bin Marwan melancarkan gerakan tentera ke Kabul pada tahun 691H kerana Raja Kabul enggan membayar ufti tahunan. Dasar perluasan wilayah di zaman Bani Umaiyyah diperluaskan hingga ke sempadan China, India dan Sepanyol.

7. TINDAKAN KEPADA GOLONGAN YANG MENENTANG KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Bagi menghadapi golongan ar – Riddah, iaitu golongan yang tidak mahu membayar zakat dan kemunculan nabi palsu, khalifah ar – Rashidin menghantar utusan memberi penerangan dan meminta mereka kembali kepada ajaran Islam. Tindakan ketenteraan diambil setelah golongan ini masih enggan menghentikan gerakan mereka. Abu Bakar dan khalifah yang lain memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada golongan yang telah bertaubat dan kembali semula kepada ajaran Islam.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Khalifah Bani Umaiyyah mengambil tindakan untuk menghapuskan gerakan yang menentang kerajaan Bani Umaiyyah terutama ke atas golongan Khawarij dan Syiah. Peristiwa Karbala telah memperlihatkan kekejaman Yazid yang membawa kepada pembunuhan Saidina Hussien. Penindasan dilakukan secara berterusan keatas golongan Khawarij dan Syiah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz sahaja yang berusaha untuk mengadakan perundingan dengan pihak musuh.

8. PERSAMAAN DASAR PEMERINTAHAN.
Persamaan dasar pemerintahan antara Khulafa Ar – Rashidin dan Khalifah bani Umaiyyah seperti berlandaskan dasar pemerintahan Umar Abd. Aziz. Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan Khalifah dari kerajaan Bani Umaiyyah yang berusaha menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam. Ini menyebabkan beliau dikenali oleh ahli sejarah sebagai Khulafa Ar – Rashidin yang ke lima.

9. KEDUDUKAN KHALIFAH SEBAGAI KETUA AGAMA.
Khulafa Ar –Rashidin mempunyai autoriti bidang keagamaan. Di zaman Bani Umaiyyah autoriti itu telah terhakis.

C. KESIMPULAN 

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 18 Jun 2010

TAMADUN ISLAM – TEMA 5 : INSTITUSI PENDIDIKAN DI ACHEH ABAD KE 17

Bincangkan perkembangan institusi pendidikan Islam di Acheh pada abad ke-17 Masihi.

Pengenalan

  1. Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, Acheh mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat perdagangan di Alam Melayu.
  2. Acheh turut memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama Islam yang utama di Nusantara.
  3. Institusi pendidikan Islam di Acheh merupakan institusi yang tersusun dan terancang.
  4. Pendidikan asas bermula di Madrasah atau Meunasah, diikuti dengan pendidikan menengah di Rangkang dan seterusnya pendidikan tinggi dijalankan di Balee.
  5. Pengajian Islam berkembang dengan pesat merangkumi tugas bahasa, iaitu fiqh, usuluddin dan tasawuf.
  6. Pendidikan di Acheh terbahagi kepada lima peringkat:-

i. Pendidikan dasar – madrasah

ii. Pendidikan menengah – rangkang

iii. Pendidikan tinggi di Ballee

iv. Kumpulan beberapa Rangkang Ballee – melahirkan dayah

v. Pendidikan yang dijalankan di masjid seperti Masjid Baiturahman, Baiturahim dan Bait Mushadah.

Isi Penting (5 isi X 4 markah = 20 markah)

1. Madrasah atau Meunasah

  • Merupakan institusi pendidikan permulaan yang biasanya didirikan di setiap kampung.
  • Para pelajar diajar membaca al-Quran, membaca dan menulis huruf Arab dan belajar perkara-perkara asas dalam Islam.
  • Selain itu, pelajar turut mempelajari ilmu fardu ain seperti Rukun Iman, Rukun Islam, fekah, ibadat dan akhlak.
  • Para pelajar juga dilatih bernasyid yang berhubung dengan agama iaitu dinakan dike (zikir) atau seulaweut (salawat) pada setiap malam Jumaat.
  • Anak-anak yang khatam al-Quran diajar beberapa kitab agama yang ditulis dalam bahasa Jawa dan Acheh seperti Kitab Perukunan dan Risalah Masailal al-Muhtadin.
  • Sejarah Islam juga diajar dengan cara bercerita.

2. Masjid

  • Berfungsi sebagai pusat pendidikan dan juga pusat kegiatan umat Islam.
  • Merupakan pusat pendidikan yang bersangkutan dengan pendidikan menengah pertama.
  • Beberapa masjid dinaiktaraf menjadi pusat pendidikan tinggi seperti Masjid Baiturahman.

3. Rangkang

  • Untuk melanjutkan pelajaran agama yang lebih tinggi, pelajar akan belajar di rangkang atau disebut juga pondok, pasantren atau madrasah.
  • Para pelajar mendirikan pondok-pondok kecil mengelilingi masjid yang dijadikan asrama.
  • Terdapat beberapa tahap rangkang yang bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki oleh guru yang mengajar.
  • Murid yang pintar pada kebiasaannya berpindah dari satu rangkang ke rangkang yang lain untuk mengikuti pelajaran daripada guru yang lebih mahir.
  • Ada antara pelajarnya yang melanjutkan pelajaran ke Makkah, India dan Mesir.
  • Rangkang yang terkenal ialah yang terletak di Banda Acheh Barussalam.
  • Banyak ulama yang terkenal dari luar negara datang mengajar di situ dan pelajar-pelajarnya juga datang dari pelbagai daerah.
  • Mata pelajaran yang diajar ialah Fekah, Ibadat, Tauhid, Tasawuf, Sejarah Islam dan Sejarah Dunia dan juga Bahasa Arab.
  • Pelajar menggunakan buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu, selain daripada buku-buku bahasa Arab yang juga banyak digunakan.
  • Ilmu umum turut diajar seperti Geografi, Sejarah dan Matematik.

4. Dayah

  • Di Acheh, Dayah disamakan dengan Sekolah Menengah Atas di Indonesia atau Madrasah Aliyah.
  • Hampir setiap daerah nanggore (negeri) terdapat dayah.
  • Terdapat dayah yang berpusat di masjid bersama rangkang tetapi kebanyakan dayah berdiri sendiri di luar lingkungan masjid dengan menyediakan sebuah balai utama iaitu aula yang digunakan sebagai tempat belajar sembahyang.
  • Pusat Pengajian Tinggi Dayah Cot Kala merupakan pusat pendidikan Islam tinggi yang pertama yang di Asia yang telah melahirkan banyak ulamak yang menjadi pendakwah Islam di Nusantara.
  • Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Arab dengan menggunakan kitab-kitab dari Arab.
  • Dua jenis dayah iaitu dayah bersifat khusus dan dayah bersifat umum.
  • Dayah bersifat khusus seperti dayah untuk wanita sahaja, dayah yang khusus untuk mengajar dalam bidang pertanian, ilmu pertukangan, ilmu perniagaan dan sebagainya dengan menurut syariat Islam.
  • Antara dayah yang terkenal ialah Dayah Cot Kala,dan Dayah Teungku Chik.
  • Mata pelajaran yang diajar di Dayah Teungku Chik ialah bahasa Arab, Fiqh, Jinayat(hukum pidana), Fiqh Munakahat (hukum perkahwinan), Fiqh Duali (hukum tatanegara), Sejarah Islam, sejarah negara-negara, Ilmu Mantik, Tauhid/Filsafat, Tasawuf, Akhlak, Ilmu Falak, Tafsir, Hadis dan sebagainya.
  • Menurut Beaulieu (pengembara Perancis) yang pernah mengunjungi Acheh pada abad ke-17, menyatakan bahawa ajaran Islam yang berkembang sejak sekian lama telah dapat membasmi buta huruf dan buta ilmu.

5. Balai Setia Hukama dan Balai Setia Ulama

  • Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang terdiri daripada Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jamaah Himpunan Ulama.
  • Balai Setia Hukama - tempat para ulama dan ahli fikir untuk membahaskan perkara-perkara yang menyentuh tentang pendidikan.
  • Balai Setia Ulama – menguruskan maslah-masalah yang berkaitan dengn pendidikan.

6. Balai Jamaah Himpunan Ulama

  • Merupakan kelab perbincangan bagi para sarjana dan ulama bertukar-tukar pandangan, berseminar, membahaskan masalah pendidikan dan sebagai tempat pengembangan ilmu pengetahuan.

7. Jamiah/Universiti Baiturahman

  • Masjid Baiturahman dinaiktaraf menjadi Jamiah/Universiti Baiturahman.
  • Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sendiri telah mendirikan Masjid Baiturahman yang digunakan semata-mata untuk dijadikan tempat menuntut ilmu.
  • Terdapat 17 dar (fakulti) seperti FAkulti Ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Ilmu Kedoktoran, Fakulti Ilmu Kimia, Fakulti Pertanian, Fakulti Peperangan dan lain-lain lagi.
  • Tenaga pendidik terdiri daripada ulama atau sarjana dari Acheh dan juga negara-negara Islam yang lain seperti Arab, Turki, Parsi, India dan lain-lain lagi.
  • Pada zaman pemerintahan Sultan Alaidin Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah (1607 – 1636), terdapat sebanyak 44 orang guru besar di Jamiah Baiturahman (A.Hasjmy).

Kesimpulan

1. Kewujudan institusi ini telah melahirkan golongan ulama dan intelektual Islam seperti Syeikh Shamsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel, Hamzah Fansuri dll.

2. Kesannya – telah membantu menghebatkan perkembangan Islam di Nusantara.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 11 Jun 2010

‘Nawaitu’ Motivasiku

 

Kecemerlangan dan ketahanan motivasi yang berkekalan pada seorang pelajar terletak pada ‘nawaitu’ @ niatnya.

Sedar atau tidak, motivasi kita ketika belajar di dalam kelas sebenarnya dipengaruhi oleh niat kita di dalam hati.

Niat di hati adalah penggerak motivasi. Semua perkara bermula dengan niat yang terlintas di hati. Tanpa niat yang betul, ibadah tidak sah .

Tanya diri anda, apakah niat anda pergi ke sekolah? Macam-macam kan  ? Hanya anda yang tahu niat anda sebenarnya.

Untuk apa anda ke sekolah? Sebab apa anda masuk ke kelas? Sebab apa dulu anda rajin, sekarang dah malas sikit (ho ho ho).  Sebab apa dulu cikgu yakin kemampuan anda untuk berjaya tapi kini dah berubah ? Sebab apa ketekunan anda belajar  berubah menjadi suka mengelamun ? Soalan-soalan ini akan dapat merungkai apa nawaitu kita sebenarnya.

Apabila kita meletakkan niat ke sekolah kerana mahu mencari ilmu, mahu membina kecemerlangan atau mahu membina masa depan yang lebih baik untuk kita dan keluarga, ( kerana Allah ) niat itu akan mendorong kita untuk mahu mencapai kecemerlangan dalam apa saja subjek yang kita ambil sama ada subjek itu kita suka atau pun tidak. Dengan demikian daya motivasi diri anda ‘maintain’, dan sentiasa bersemangat . Juga anda kenal siapa anda dan apa tugas anda sekarang . Tak lah jadi macam tak sedar diri lagi ……..

Niat yang dianggap perkara ‘kecil’ sebenarnya memberi impak yang amat besar terhadap tindakan kita seterusnya.

Fikir-fikirkan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 8 Jun 2010

Mengingati Umar Ketika Melihat Runtuhnya Keadilan

PARA PELAJAR SEMUA : MARI KITA BERFIKIR SEJENAK TENTANG APA YANG KITA PELAJARI DALAM TAMADUN ISLAM KHUSUSNYA DALAM TEMA 2 BERKAITAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB.
Apakah kekuatan Khalifah Umar Al-Khattab yang menyebabkan keadilan Islam dapat ditegakkan sepenuhnya pada zaman pemerintahannya. Malah para pengkaji beranggapan bahawa pada zaman pemerintahan Umarlah kecemerlangan Islam sangat terserlah sehinggakan dapat membebaskan Baitulmaqdis, kota-kota di Timur Eropah dan menumbangkan empayar Rom dan Parsi.

Menurut ulama dan para pengkaji sejarah Islam  bahawa kejayaan Umar ini disebabkan,

  • Pertama, kepimpinannya takutkan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada yang yang lain.
  • Kedua,  kerana beliau merasakan kepimpinannya bertanggungjawab langsung di depan Allah s.w.t.
  • Ketiga, merasakan setiap langkah dan tindakan yang dilakukannya benar-benar mengikut apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran, hadis dan Sunnah,
  • Keempat,  mempunyai rasa kemanusiaan yang sangat tinggi. Justeru, sebelum bertindak dia bertanya lebih dulu kepada dhamirnya (bisikan hatinya) sama ada tindakannya itu adil atau tidak.

Ini yang menjadi pendorong utama Umar dalam melakukan pelbagai arahan dan tindakan - bukan saja tindakan yang berhubung dengan perkara yang melibatkan sekitar hukum fiqah tetapi juga tindakan politik dan ketenteraan serta diplomasi, di mana ijtihadnya menepati kehendak Al-Quran dan hadis. Ini menyebabkan Nabi s.a.w. sering bersetuju dengan pandangan dan tindakan Umar.

Justeru Nabi s.a.w. pernah berkata: “Pada diri Umar sering memancar kebenaran dan kecemerlangan Islam.” Kini, dalam keadaan kalut sekarang, masyarakat merindukan seorang tokoh atau beberapa tokoh yang diharapkan mampu menegakkan keadilan, sama ada sebagai pemimpin politik yang memerintah, pemimpin masyarakat atau pemimpin dalam kelompok bangsa masing-masing serta keluarga. Namun tokoh yang dicari tidak juga ditemui.

Yang ada di depan mereka @ kita ialah pemimpin yang gelojoh kuasa, mengamalkan rasuah, pilih kasih, salah guna kuasa dan pelbagai perbuatan mungkar lagi. Justru rakyat semakin kecewa dan merasa lemas dengan keadaan yang ada. Mereka seperti berada di sebuah terowong gelap yang tidak ada sebarang cahaya di hujungnya untuk menunjuk jalan menghala keluar.

Memang ramai para pemimpin dari kalangan terpelajar, berkedudukan tinggi, popular, berpengaruh, memiliki harta dan kuasa yang luas, namun kepimpinan mereka sering ditandai dengan pelbagai perlakuan buruk - selain tidak adil juga pilih kasih, salahguna kuasa, tiada ketelusan, rasuah dan pelbagai lagi. Apakah kuasa itu membolehkan segala-galanya ?

Semua ini berlaku kerana kebanyakan pemimpin ini jauh dari ciri-ciri yang ada pada Umar Al-Khattab, iaitu mereka tidak merasa takutkan Allah s.w.t. Mereka tidak merasakan kepimpinannya bertanggungjawab langsung di depan Allah s.w.t. Sebab itu tindakan yang dilakukan oleh mereka sama sekali bertentangan dengan Al-Quran, hadis dan Sunnah.

Mereka juga tidak memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi.Justru sebelum bertindak, mereka tidak pernah bertanya kepada bisikan hati mereka sendiri sama ada tindakannya itu adil atau tidak. Inilah masalah yang melatari kepimpinan yang ada.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, untuk mencari kepimpinan seperti Umar Al-Khattab samalah seperti ‘memerah batu untuk mencari walau setitis air’. Anehnya, di tengah-tengah keadaan begini ada pemimpin yang walaupun zalim tetapi bercakap pula dengan lunaknya mengenai keadilan dan kata-kata yang muluk-muluk, malah konon bercita-cita pula untuk menegakkan kesamarataan rakyat. Ini benar-benar mengelirukan, sama seperti pencuri yang meneriakkan konon di sana ada pencuri, pada hal dialah sebenarnya sang pencuri.

Umar Al-Khattab menjalani kehidupan sangat sederhana – rumah sederhana, pakaian sederhana, kenderaan sederhana, makan minumnya sederhana, bahkah beliau mengenakan peraturan supaya keluarganya tidak memiliki harta, jauh dari membolot harta negara. Kisah Umar dan keluarganya yang hidup sederhana ini sudah diketahui umum sejak zaman berzaman, namun kisah ini jauh dari diteladani.

Ketika membebaskan Baitulmaqdis, Umar memakai pakaian lusuh sehingga orang menyangkakannya sebagai ‘penjaga kuda Umar’, sehinggalah pasukan Muslimin memberitahu penduduk Islam dan Kristian di Baitulmaqdis bahawa itulah Amirul Mukminin, bukan penjaga kudanya, menyebabkan mereka terperanjat dan mengkagumi Umar dan pasukannya.

Umar melarang rakyat menyambutnya secara besaran-besaran, melarang orang mengawalnya dengan rapi, jangan berdiri dan mencium tangan untuk menghormatinya ketika tiba di sesuatu majlis. Malah beliau tidak mahu duduk di bahagian depan di dalam sesuatu majlis, serta melarang khatib yang menyampaikan khutbah berdiri di tempat yang lebih tinggi dari jamaah supaya antara khatib dan jamaah tidak terpisah.

“Kedudukanku tidak lebih mulia dari kamu semua,” kata Umar, “Yang membezakan ialah kerana aku diamanahkan memimpin kamu semua. Ini tanggungjawab berat,” kata-kata ini diucapkan oleh Umar di suatu perhimpunan di Madinah ketika kaum Muslimin mendengar amanatnya.

Dari sudut lain, Umar Al-Khattab melarang sama sekali anak isteri dan saudara maranya dari mengumpul harta semata-mata kerana ada hubungan dengan kekuasaan khalifah. Hal ini sesuatu yang sangat sukar di contohi oleh pemimpin pemerintah pada zaman kini dan mungkin pada masa akan datang juga kiranya mereka bukan jenis pemimpin yang takutkan perintah Allah dan tidak peduli dengan persoalan dosa pahala.

Sementara itu, ulama dan pengkaji sejarah Islam di seluruh dunia bersependapat bahawa pemerintahan Umarlah yang berjaya menterjemahkan syariat Islam yang berpaksikan keadilan dan kasih sayang. Beliau mengingatkan tentera Islam supaya tidak menyalahgunakan kuasa, tidak berlaku kejam kepada rakyat meskipun berlainan agama dan suku kaum, bahkan berkewajipan melindungi mereka semua.

Umarlah orangnya yang memperjuangkan hak-hak rakyat tanpa mengira batas agama, warna kulit, suku kaum dan sebagainya. Justeru ketika Umar terbunuh di tangan Abu Lu’luah, seorang keturunan Parsi, rakyat menangis bukan semata-mata kerana kehilangan pemimpin yang disayangi, tetapi lebih jauh dari itu merasakan kepergian Umar seperti berakhirnya suatu zaman kegemilangan Islam dengan segala keadilannya. Mereka merasakan selepas kepergian Umar, maka keadilan mengucapkan ‘selamat tinggal’.

Umar telah pergi meninggalkan kita lebih seribu tahun lalu, namun legasinya, keadilan dan kesaksamaannya masih kekal dalam ingatan umat ketika umat sendiri – masa kini - sedang menyaksikan kepimpinan tirani yang tidak adil, tidak merasa berdosa kerana berdusta, menyeleweng, salahguna kuasa, rasuah dan segalanya. Namun kepimpinan ini tanpa malu-malu sering pula bercakap mengenai keadilan Umar. Inilah sebuah kepura-puraan di tahap paling tinggi.

Di depan kita sekarang hutan belantara kezaliman, ketidakadilan dalam pelbagai bentuk dan jauh dari petunjuk Ilahi, namun itulah wajah kepimpinan yang dipaksakan kita menerimanya. Justeru,  tugas umat ialah berjuang mengembalikan semula kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri seperti Umar Al-Khattab.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 7 Jun 2010

Tragedi Mavi Marmara - Kerana 'raksasa' Islam sedang tidur !

TRAGEDI Marvi Marmara seakan menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam saat ini benar-benar di dalam keadaan yang sangat lemah.

Sekadar untuk mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan pun, orang Islam di Palestin tidak diperbolehkan. Kejadian brutal seperti ini sudah berulang kali terjadi. Mereka tidak takut lagi dengan kebesaran Islam, kerana Zionis sedar, 'raksasa' Islam masih lagi sedang tidur.

Zionis tahu, bahawa sistem 'nation state' yang diterapkan di negeri-negeri Islam khususnya cukup ampuh untuk menjadi penghalang umat Islam membantu saudaranya. Zionis juga tahu, meskipun mereka melakukan tindakan biadab dan durjana seperti halnya menghadang rombongan Freedom Flotilla ke Palestin, penguasa-penguasa kerajaan bermazhab Islam tidak akan berani mengirimkan tenteranya untuk menyerbu bantu.

Zionis juga faham, PBB tidak mungkin berani macam-macam, kerana mereka punya sahabat sejati, siapa lagi kalau bukan negara Santa Klaus yang terus siap siaga akan mem'veto' keputusan apapun dari PBB yang akan merugikan Israel. Apalagi PBB lah yang mengesahkan berdirinya negara Israel melalui resolusinya.

Wahai penguasaha negara Islam yang terus tidur,

Di sini dapat disimpulkan, bahawa 'penjara' besar yang saat ini cukup mengongkong dan memenjara umat Islam itu punca sebahagiannya adalah kerana:

1. Sistem jahiliyah yang termasuk sistem 'nation state'.

2. Penguasa yang lebih takut kepada Amerika melebihi takutnya kepada Allah.

3. Lembaga Internasional PBB. Lembaga ini dijadikan alat oleh AS untuk merangkul negara-negara lain guna menduduki negeri-negeri Islam. Di sisi lainnya, negeri-negeri Islam tidak mahu mengirimkan tentaranya guna membantu saudara mereka di negeri lain yang ditindas dan diperangi musuh, dengan alasan tidak ada arahan dari PBB.

Persoalan Palestin adalah salah satu persoalan yang sekarang menimpa saudara-saudara kita muslim lainnya di mukabumi bumi ini. Di Iraq, Amerika dengan halobanya menumpahkan darah ribuan kaum muslim di sana, dengan alasan mencari senjata pemusnah massal yang tidak terbukti kebenarannya.

Bergeser sedikit ke Afghanistan, sampai saat ini 'negara' yang mengaku 'robocop' dunia itu belum mahu menarik pasukannya, bahkan baru saja menambah sebanyak 30,000 anggota pasukan bersenjatanya.

Aneh..amat aneh ! Dunia memberikan Nobel perdamaian kepada sang komando perang, Mr. Obama. Anugerah 'bangsat' kepada pembangsat.

Maka kerana itu, kita wajar berusaha bagi merobohkan 'penjara' besar itu, dengan cara gerakan perjuangan yang berjuang untuk menggantikan sistem jahiliyah termasuk sistem nation state ini dengan sistem Islam.

Dengan itu maka, akan terangkatlah seorang khalifah yang tidak takut lagi kepada Amerika, begitu juga tidak peduli lagi dengan arahan maupun tekanan dari PBB. Kerana sang khalifah berkewajiban melindungi seluruh umat islam. Tugas dan fungsi Khalifah adalah sebagai pengatur atau pemelihara urusan umat, penjaga dan pelindung bagi umat sejagat.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Dan seorang Imam (Kepala Negara) adalah laksana penggembala, dan ia bertanggungjawab terhadap urusan rakyatnya” (HR. Bukhari).

"Sesungguhnya Imam itu adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung" (HR. Muslim).

Ambil saja contoh yang pernah dilakukan oleh Khalifah Al-Mu’tashim, tatkala seorang wanita di kota Ammuriah (letaknya antara Iraq dan wilayah Syam) berteriak minta tolong disebabkan kehormatannya mahu dinodai oleh seorang pembesar Romawi, kemudian ia berteriak: “Di mana engkau wahai Mu’tashim ?" Maka tak lama setelah berita teriakan wanita itu sampai ke telinga khalifah, lantas ia bersegera memberikan bantuan dengan mengerahkan bala tenteranya, pasukan kaum muslimin yang hujung barisannya berada di kota Ammuriah, sedangkan ekornya berada di kota Baghdad Iraq.

Bukan hanya itu sahaja, khalifah yang merupakan Imam/pemimpin dari Negara khilafah juga akan melindungi seluruh warga negaranya yang non-muslim (kafir dzimmi). Setiap warga negara yang memiliki kewarganegaraan Islam adalah rakyat, sehingga negara wajib memelihara mereka seluruhnya.

Kredit : Blog Albanjari

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]


TAMADUN DUNIA/ISLAM : TEMA 3 – KEPIMPINAN KETENTERAAN NABI MUHAMMMAD S.A.W VS ASOKA

Bandingkan kepimpinan pentadbiran ketenteraan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dengan Asoka.

Pengenalan.

1. Sejarah ketamadunan manusia telah memperlihatkan kepada kita bahawa kepimpinan yang berwibawa berkait rapat dengan keamanan dan kestabilan politik sesebuah ketamadunan atau Negara. Kepimpinan yaqng berwibawa mempunyai wawasan jangka panjang mampu mengorak kecemerlangan Negara. Pemimpin tentera yan hebat dan bijaksana berupaya menjadikan sesebuah Negara yang hebat dan disegani.

2. Latar belakang Rasulullah s.a.w - Nabi Muhammad s.a.w berketurunan bangsa Quraisy yang sangat dihormati di kalangan kabilah Arab. Memiliki sifat-sifat terpiji dan menjadi contoh kepada seluruh umat di dunia. Baginda dikagumi oleh kawan dan lawan. Nabi Muhammad s.a.w berperanan sebagai Rasulullah s.a.w dan juga sebagai ketua Negara sebagaimana termaktub di dalam Piagam Madinah. Rasulullah adalah juga merupakan seorang negarawan ulung melalui kepimpinan politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan yang sangat berjaya.

3. Latar belakang Asoka – Merupakan pemerintah agong dalam sejarah India. Beliau mewarisi pemerintahan empayar Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada kurun ke -4 sm. Beliau menggantikan Bindusara pada tahun 273 sm. Asoka adalah cucu kepada Candragupta Maurya. Memerintah selama 40 tahun. Sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan pusat. Dinasti Maurya mencapai kemuncak kegemilangan di bawah pemerintahan Asoka. Asoka tidak terus menaiki takhta kerana terpaksa bersaing dengan saudara-saudaranya yang lain untuk merebut kuasan yang ditinggalkan oleh bapa mereka. Ada ahli sejarah mengatakan Asoka telah membunuh 100 orang anggota keluarganya dalam perebutan kuasa tersebut.

Isi.

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w dan Asoka. ( 5 Isi x 2M x2M = 20 Markah )

1. Kepimpinan ketenteraan

  • Rasulullah s.a.w merupakan ketua angkatan tentera yang sangat hebat dan disegani oleh kawan dan lawan. Peperangan pada zaman Rasulullah s.a.w di bahagi kepada dua iaitu peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w (ghazwah) dan tidak disertai oleh Rasulullah (Sariyah). Setiap ekspedisi tentera yang disertainya, bagindalah yang mengetuainya. Antara peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w ialah Badar al-Kubra(2H), Uhud(3H), al-Ahzab (5 H), Perang Hunain (8 H), Perang Taif (8 H) dan lain lain lagi. Rasulullulah telah menunjukkan ciri kepimpinan yang cemerlang, adil dan tidak secara autokratik. Perbincangan (syura) diutamakan dalam membuat keputusan.
  • Asoka pula merupakan panglima tentera yang dianggap hebat dan menakutkan pihak lawan. Asoka telah melakukan serangan secara kejam dan keras terhadap negeri Kalinga pada 292 M bagi mengukuhkan kedudukan dan kuasa pemerintahan Dinasti Maurya. Asoka turut menyerang daerah Orissa di Pantai Timur India. Banyak korban dan orang tawanan. Kesengsaraan dan penderitaan perang ini telah mengubah jiwanya seperti keadaan Siddharta Gautama (Buddha) yang berubah hati setelah melihat kesengsaraan. Akhirnya menukarkan keganasan dengan kemanusiaan dan perdamaian.

2. Pengurusan Jenis tentera

  • Zaman awal Islam, bilangan tentera Islam amatlah kecil berbanding tentera musuh. Misalnya dalam Perang Badar tentera Islam hanyalah lebih kurang 324 orang (atau 313 orang). Tentera Islam terdiri daripada tentera pejalan kaki (infantri), tentera berkuda (kavalri) dan pasukan pemanah. Bilangan tentera sentiasa bertambah dari semasa ke semasa sehingga menjadi 30 ribu orang dalam perang Tabuk. Bilangan ini kemudiannya semakin meningkat kepada 300 ribu orang pada awal pemerintahan Abbasiah.
  • Angkatan tentera India dibahagiakan kepada empat kategori iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera kereta kuda, dan tentera infantri . Terdapat juga beberapa kategori tentera lain seperti tentera laut, pengintip anggota kumpulan perintis dan komisariat. Arthasastra menyebutkan satu unit tentera India terdiri dari 45 gajah, 225 kuda, dan 657 tentera. Semasa pemerintahan Chandragupta Maurya dipercayai tenteranya terdiri daripada 600,000 anggota infantri dan terus bertambah pada zaman Asoka. Tentera Laut diperkenalkan pada zaman Asoka.

3. Pengurusan Gaji Tentera

  • Zaman Rasulullah s.a.w tentera Islam terdiri daripada sahabat baginda yang berperang secara suka rela hanya kerana agama dan menuntut keredaan Allah S.A.W. Mereka tidak menerima gaji atau bayaran yang tetap daripada kerajaan Islam Madinah kerana tiada tentera bergaji tetap dibentuk pada ketika itu. ( Elaun atau gaji tetap hanya dibayar pada zaman Khalifah Umar al-Khattab yang dikuatkuasa mulai 20 H.) Tentera Islam pada zaman Nabi Muhammmad hanya memperolehi harta rampasan perang yang dibahagi secara adil dan setelah diberi sebahagiannya kepada perbendaharaan Negara.
  • Pada Zaman Pemerintahan Maharaja Asoka, tentera-tentera tidak diberi gaji tetap. Harta rampasan perang adalah merupakan ganjaran kepada para tentera. ( Gaji tentera secara tetap hanya dibayar pada zaman pemerintahan Alauddin Khilji (1296 -1316 M))

4. Pengurusan Peralatan Peperangan

  • Peralatan persenjataan peperangan pada Zaman Rasulullah s.a.w seperti tombak, panah, manjaniq , pedang, dan juga menggunakan kelebihan alam dengan cara meninjau keadaan cuaca dan angin. Penggunaan binatang seperti kuda dan unta juga dilakukan dengan meluas.
  • Pedang adalah senjata utama askar India. Terdapat pelbagai jenis pedang untuk tujuan yang berbeza. Selain itu lembing, busur panah, kapak, perisai, tombak yang bercabang dan lain-lain. Penggunaan binatang gajah dan kuda digunakan pada zaman ini.

5. Pengurusan taktik dan strategi peperangan

  • Pelbagai taktik dan strategi peperangan dalam Islam. Taktik ini disesuaikan dengan situasi dan lokasi tempat peperangan itu berlaku. Contohnya taktik menunggu dalam perang Badar, taktik bertahan dengan mengadakan benteng pertahanan seperti menggali parit dalam perang Khandak, taktik mengepung dan seterusnya menyerang bertubi-tubi, menubuhkan jabatan perisikan, dan lain lain.
  • Pada Zaman pemerintahan Asoka juga terdapat pelbagai taktik untuk memenangi peperangan. Antaranya menyerang, membina kubu pertahan, kem-kem tentera, serangan hendap dan sebagainya. Bentuk binaan di kota Harappa dan Mohenjo Daro menunjukkan tamadun India sangat menitik beratkan pembinaan kubu-kubu pertahanan bagi mengawal musuh.

6. Peperangan sebagai satu ibadat

  • Nabi Muhammmad telah mendidik tentera Islam bahawa peperangan adalah jihad sebagai jalan terakhir dalam usaha dakwah. Tentera Islam berjuang dalam peperangan kerana menuntut keredaan Allah S.W.T. Perjuangan kerana jalan Allah ini akan dijanjikan syurga. Oleh itu peperangan adalah satu ibadat kepada umat Islam dalam usaha menyebarkan dakwah dan perkembangan Islam
  • Masyarakat India juga menganggap peperangan sebagai satu ibadat agama. Oleh itu unsur agama banyak mempengaruhi selok belok peperangan India. Sebelum peperangan, akan dimulakan dengan ucapan suci dan pendeta akan memberi ucapan semangat. Kepatuhan Asoka kepada agama Buddha menyebabkan perubahan sikap keras dan kejam kepada berperikemanusiaan. Asoka berusaha menyebarkan agama Buddha ke Negara-negara luar. Asoka memerintahkan pembinaan tiang-tiang batu yang mengandungi ukiran doktrin agama Buddha.

7. Pengurusan Hubungan Diplomatik

  • Dalam usaha mengukuhkan keamanan dan kekuasaan Islam, Rasulullah s.a.w telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar. Baginda telah menghantar perwakilan ke luar seperti Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi. Kesan misi diplomatik ini, semua negara berkenaan telah tunduk di bawah pemerintahan Islam. Dengan demikian misi ketenteraan tidak perlu digerakkan dan peperangan dapat dielakkan.
  • Untuk menghindari peperangan dan mengekalkan keamanan, Asoka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara jirannya seperti Mesir, Megas, Cyrene. Antara tokoh luar yang dihubungi adalah seperti Ptolemy II, Philadelphos, dan Antiogomus Gonatas. Asoka tidak mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap kerajaan di sempadannya seperti kerajaan Chola, Pandya, Satiyaputra, Keralaputra dan wilayah kerajaan Yunani di Barat Daya India.

Kesimpulan

Kepimpinan yang berwibawa dan bijaksana akan dapat memastikan pengukuhan kerajaan dan negara. Kejayaan kerajaan Islam dan kerajaan India mempertahankan kerajaannya dari diserang oleh musuh adalah dibantu oleh organisasi ketenteraan yang utuh.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 6 Jun 2010

TAMADUN ISLAM : TEMA 5 – PERKEMBANGAN SISTEM MATA WANG

Bincangkan perkembangan sistem mata wang pada zaman Khulafa al-Rasyidin sehingga zaman kerajaan Bani Abbasiyah.

Pengenalan:

Konsep mata wang dalam ekonomi Islam

  • Secara umumnya wang merupakan benda yang dipersetujui oleh masyarakat sebagai alat perantaraan untuk menjalankan kegiatan pertukaran dan perdagangan.
  • Setiap wang mempunyai ciri-ciri seperti mudah dibawa, mudah disimpan tanpa mengurangkan nilainya, tahan lama, jumlahnya terhad dan bahan itu mempunyai mutu atau nilai yang sama.
  • Logam-logam seperti emas dan perak merupakan bahan penting dalam menentukan nilai setiap mata wang yang digunakan.
  • Wang emas dan perak telah digunakan oleh kebanyakan negara sejak 2500 tahun yang lalu iaitu sejak abad ke-7 SM kerana mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti tidak mudah rosak, nilai yang stabil dengan jumlah yang terhad.
  • Dalam tamadun Islam, penggunaan mata wang sudah bermula sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi, dengan mengambil model mata wang dinar emas Rom Timur (Byzantine) dan dirham perak Parsi sebagai mata wang yang sah.
  • Nabi Muhammad S.A.W. telah mengisytiharkan dinar dan dirham sebagai wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurus niaga pada ketika itu, kerana dapat memenuhi tuntutan syarak.
  • Selaras dengan perkembangan tamadun Islam, maka pada zaman Khulafa al-Rasyidin wujudlah mata wang Islam yang mempunyai identiti dan bebas dari kongkongan mata wang lain.

Isi : Perkembangan sistem mata wang dalam ekonomi Islam (5 isi X 4 markah)

1. Permulaan penggunaan mata wang Islam.

  • Pada zaman Khulafa al-Rasyidin ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, sistem mata wang Islam mula digunakan dengan peniruan daripada mata wang Rom dan Parsi.
  • Terdapat tiga jenis mata wang pada ketika itu, iaitu Dirham Balji dari Parsi, Dirham Rumi dari Rom dan Dirham Tabari dari Asia Tengah.

2. Penetapan piawaian untuk model mata wang Islam.

  • Khalifah Umar al-Khattab (634 644 M) telah menetapkan kadar piawaian khusus iaitu Piawaian Khalifah Umar al-Khattab sebagai model mata wang Islam yang masih berteraskan dinar emas dan dirham perak.
  • Piawaian mata wang ini diselaraskan kepada berat emas dan perak yang tertentu, iaitu menetapkan 10 dirham perak bersamaan dengan 7 dinar emas, dengan setiap 1 dinar seberat 4.25 gram emas, manakala 1 dirham seberat 3 gram perak.
  • Emas yang digunakan ialah 91.7 peratus iaitu 22 karat dengan berukuran garis pusat 23mm, manakala dirham pula ialah 25 mm.
  • Kedua-dua mata wang ini mempunyai gambar Kaabah dan dua kalimah syahadah di setiap muka depan dan belakangnya.

3. Pembaharuan dalam mata wang Islam.

  • Pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib (656-661M), mata wang Islam telah diperbaharui dengan memperkenalkan dirham Islam yang ditulis dengan khat Koufi.
  • Walaupun mata wang tersebut tidak dapat diedarkan secara rasmi kerana kualiti dan piawaian yang masih belum tetap.

4. Mata wang Islam mula dicetak ketika zaman kerajaan Islam Bani Umaiyyah.

  • Ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan (685 M-705 M) khalifah telah mengarahkan mata wang Islam dinar dan dirham dicetak buat pertama kalinya di Damsyik pada tahun 691M dan 692 M, dan diulang cetak di Mesir, Andalusia dan Wasit pada 693 M hingga 696 M.
  • Kilang-kilang mencetak wang telah didirikan di kota-kota utama seperti di Damsyik, Mesir, Andalusia (Eropah ) dan Wasit (Iraq).
  • Mata wang Islam yang dicetak mengambil model Arab-Islam, iaitu mencatatkan kalimah Allah dan mempunyai tanda mohor khalifah sebagai mengantikan figura haiwan dan wajah pemimpin yang menjadi tradisi mata wang dinar Rom Timur dan dirham Parsi.
  • Gabenor Iraq iaitu Hajjaj Yusuf al- Thaqafi dan Gabenor Mesir Abdul Aziz bin Marwan juga telah mengarahkan mata wang dinar dan dirham dicetak.

5. Penyelarasan percetakan mata wang Islam ketika zaman Kerajaan Bani Abbasiyyah.

  • Pada zaman Khalifah al-Ma’mun (813 M – 833 M), percetakan mata wang Islam telah dibuat penyelarasan di peringkat pusat iaitu di Baghdad, yang sebelum ini mata wang dicetak disemua bandar besar seperti di Kota Kufah, Kota Fustat dan lain-lain, untuk mengelakkan mata wang palsu dicetak.
  • Setiap mata wang dinar dan dirham yang dicetak itu mempunyai nama khalifah yang memerintah.

6. Pengedaran mata wang emas mula dilaksanakan.

  • Pada zaman akhir kerajaan Bani Abbasiyyah, pengedaran mata wang emas mula dilaksanakan.
  • Kerajaan Abbasiyyah menetapkan cukai taksiran menggunakan mata wang emas.
  • Bahkan sejak abad ke-10 M semua perbelanjaan dan perniagaan dibuat menerusi mata wang emas.
  • Ini bermakna pada zaman kerajaan Abbasiyyah sudah wujud penyelarasan dari segi penggunaan mata wang emas di seluruh pemerintahan Islam.

Kesimpulan:

1. Penggunaan mata wang dalam ekonomi Islam telah mendorong perkembangan ekonomi Islam dan telah memudahkan sistem perdagangan dilaksanakan secara berkesan.

2. Perkembangan mata wang Islam telah mengalami pelbagai proses evolusi , bermula dengan mengambil model mata wang Rom dan Parsi sehinggalah wujudnya mata wang Islam yang beridentitikan Islam dapat digunakan sepenuhnya.

3. Mata wang Islam amat berperanan dalam aktiviti perdagangan, pertukaran barangan, alat untuk membayar cukai dan zakat, pertukaran mas kahwin, dan pembayaran gaji.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Rabu, 2 Jun 2010

TEKANAN EMOSI

 

Tekanan (stress) yang kita rasa perlu disalurkan ke tempat lain. 

Jangan menyimpan rasa tertekan terlalu lama sebaliknya simpan sebentar kemudian alirkan keluar. Anda boleh luahkan tekanan melalui percakapan atau melalui perbuatan.  

Tekanan dalam hidup kita muncul tanpa di sangka. Oleh kita perlu bijak mengalirkannya ke tempat lain, bukannya memendam tekanan kerana kita tidak dapat menanggung banyak tekanan dalam masa yang lama.

Tekanan gunanya untuk menggesa dan memotivasikan  kita supaya berubah, bukan untuk membebankan kepala.

Kepada pelajar SMKDARY yang berkenaan , Egyptian

Jangan tempah masalah kerana STPM dah dekat !!!!!!  Udah-udah ler tu jiwangnya. Yang suka buang masa tu, sedar masa dah makin suntuk. Nanti stress pulakkkkkk !!!!

Selamat Belajar.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 1 Jun 2010

Melaka diasaskan pada 1262 ????

 
1 Jun 2010

Oleh NUZULSHAM SHAMSSUDDIN
zulsham@kosmo.com


MOHD. ALI bersalam dengan para peserta Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka di Melaka semalam.


MELAKA – Jika pada April lalu sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi rujukan selama ini.
Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka itu diputuskan hasil kesepakatan kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
keputusan itu dipersetujui pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan semalam.
“Keputusan ini muktamad ekoran hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.
“Sebelum ini, tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperoleh daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” katanya.

 

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.