Pakar Memori Amerika Syarikat
I didn’t have learning disability, I just had an untrained memory
-Mr. Kevin Trudeau
Teknik 1
Teknik pertama untuk memindahkan fakta daripada memori jangka masa pendek ke memori jangka masa panjang yang ingin saya kongsikan dengan anda ialah teknik pengulangan (Repetition). Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang mengatakan ‘Repetition is the mother of all skills’ yang bermaksud bahawa pengulangan adalah ibu kepada segala kemahiran.
Masalah daripada kajian yang mengatakan anda akan lupa 90% daripada apa yang anda pelajari tadi dapat diatasi dengan membuat pengulangan. Begini, setelah guru anda mengajar di dalam kelas dan setelah anda memahaminya, anda perlu membacanya semula sebelum 48 jam berakhir. Contohnya, katakan guru anda mengajar subjek sejarah pada pagi hari Selasa, anda perlu membaca semula nota-nota yang anda tulis dalam kelas itu sebelum pagi hari Khamis.
Jika anda tidak baca semula, anda akan lupa lebih 90% daripada apa yang anda telah pelajari itu. Jika anda menunggu hingga guru anda masuk ke kelas dan mengajar semula pada minggu hadapan, anda mungkin sudah lupa kesemuanya dan terpaksa bekerja keras untuk memahaminya semula dari peringkat awal. Bukankah itu merugikan?
Jadi, untuk memudahkan anda mengingat apa yang guru anda ajarkan, ikuti 4 langkah ini.
1. Fokus kepada guru anda ketika beliau mengajar di dalam kelas. Tumpukan perhatian anda kepada apa yang diajarkan. Salin nota yang guru anda berikan dan buat catatan anda sendiri tentang apa yang anda telah faham. Ini bermaksud, anda perlu berfikir tentang apa yang guru anda ajarkan.
2. Sebaik-baiknya, pada waktu malam hari yang sama, anda buka semula buku nota yang anda salin tadi dan baca dari awal hingga akhir. Jika anda tidak sempat membuka nota itu semula pada hari yang sama, selewat-lewatnya lakukan pada keesokan harinya. Lebih lewat daripada itu anda akan lupa lebih banyak lagi.
3. Semasa anda membaca nota tersebut, bayangkan semula bagaimana cara guru anda mengajar di dalam kelas tadi. Bayangkan apa yang terjadi di dalam kelas tadi. Semasa anda baca semula nota yang anda salin, anda seolah-olah dapat melihat semula keadaan di dalam kelas anda siang tadi. Ini menguatkan lagi ingatan anda kepada apa yang anda baru pelajari.
4. Jika boleh, baca nota itu berulang-ulang kali. Kali pertama mungkin anda baca dengan perlahan tetapi setelah dibaca berulang-ulang kali, anda akan baca dengan lebih laju lagi. Ini akan menjimatkan masa anda.
Teknik 2
Memori anda sukar untuk mengingat sesuatu dalam bentuk tulisan. Nota sejarah contohnya selalu penuh dengan tulisan berwarna-warni. Walaupun warna boleh membantu daya ingatan, memori anda masih hadapi kesukaran kerana tulisan yang berwarna-warni kadangkala boleh membuatnya berserabut dan tidak teratur.
Jadi, mulai hari ini, anda perlu fikirkan bagaimana caranya untuk menukarkan nota-nota anda dalam bentuk gambar. Bayangkan, jika anda baca buku sejarah, selalunya anda mudah lupa apa yang anda baca. Namun, jika anda baca komik (yang dipenuhi dengan gambar-gambar), anda boleh ingat apa yang anda baca. Malah, anda boleh ceritakan semula kepada kawan-kawan apa yang telah anda baca itu.
Gunakan langkah-langkah ini untuk menukarkan nota anda kepada bentuk gambar.
1. Pertama, katakan nota anda di tulis dalam satu muka surat penuh, cari kata kunci di dalam nota tersebut. Kata kunci adalah perkataan atau ayat yang boleh menggambarkan keseluruhan nota tersebut. Contohnya, katakan nota anda adalah berkenaan simbol-simbol yang boleh ditemui di dalam makmal Sains sekolah. Jika ia dibaca dalam bentuk ayat, penjelasan untuk satu simbol mungkin agak panjang. Jadi ia sukar untuk diingat. Apa yang anda boleh buat ialah mencari hanya satu kata kunci bagi simbol tersebut.
Contohnya, jika anda lihat simbol bahan berasid, anda boleh guna kata kunci ‘menghakis’. Lihat simbol, terus ingat kata kunci ‘menghakis’. Anda tidak perlu hafal kesemua penjelasan mengenai simbol tersebut kerana setelah anda faham kata kuncinya, anda boleh jelaskan maksudnya dengan ayat anda sendiri.
2. Kedua, lukiskan kata kunci anda itu. Nota anda sekarang patut dipenuhi dengan gambar-gambar kata kunci anda. Jika anda ada 5 kata kunci dalam satu nota, jadi anda ada 5 gambar. Kadangkala, 1 gambar boleh menerangkan lebih daripada 1 kata kunci. Contohnya, kata kunci anda ialah mangsa dan pemangsa. Mungkin anda boleh lukiskan gambar seekor helang sedang menyambar seekor tikus. Apabila anda ingat gambar tersebut, anda boleh ingat bahawa helang adalah pemangsa dan tikus adalah mangsa. Anda akan sedar bahawa gambar dan kata kunci ini jauh lebih mudah untuk anda ingati.
Ada masanya, anda mempunyai banyak kata kunci yang perlu diingat dan kata kunci itu semua langsung tidak berkait. Sukar juga kalau terlalu banyak gambar yang anda perlu ingat.
Teknik 3
Saya akan ceritakan bagaimana anda boleh menghafal atau mengingat semua kata kunci yang telah anda tukarkan kepada bentuk gambar tadi.
Katakan anda ada lima kata kunci dalam nota anda. Setelah anda tukarkan kepada gambar, apakah cara terbaik untuk anda mengingatinya? Cuba teknik yang saya namakan ‘cerita kreatif’ ini.
Katakan, 5 kata kunci saya ialah
1. Kucing
2. Karipap
3. Selipar Jepun
4. Besi buruk
5. Masjid
Setelah anda tukarkan kepada bentuk gambar, anda patut membuat satu cerita ringkas supaya anda mudah untuk mengingatnya. Ada 3 syarat utama semasa anda membuat cerita tersebut.
1. Cerita itu mesti ringkas dan pendek.
2. Cerita itu mesti menggunakan kata kunci nota anda mengikut turutan.
3. Cerita itu mesti mengaitkan semua kata kunci tadi.
Contohnya, anda boleh tulis cerita ringkas itu begini:
“Kucing saya sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Tiba-tiba sebatang besi buruk jatuh di depannya dan ia terus berlari sampai ke masjid di belakang rumah saya.”
Apabila anda tulis cerita ini, anda patut bayangkan bagaimana agaknya kalau kucing anda makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Imaginasi anda atau apa yang anda bayangkan ini akan membantu daya kekuatan memori anda.
Dalam masa yang sama, saya cadangkan anda lukiskan cerita anda itu. Maksudnya, seperti contoh cerita saya tadi, saya akan lukiskan seekor kucing sedang makan karipap sambil memakai selipar Jepun. Gunakan imaginasi anda untuk melukis gambar tersebut. Gambar anda tidak semestinya gambar yang cantik seperti lukisan pelukis kartun professional. Cukup sekadar gambar itu dapat menggambarkan cerita anda tadi. Tetapi, harapnya, jangan anda lukis gambar kucing tapi jadi gambar lembu sudahlah.
Untuk membuat cerita anda lebih mudah diingati, ada 3 lagi tips tambahan.
1. Cerita anda tidak semestinya logik atau munasabah – Anda tidak perlu risau tentang tatabahasa, jalan cerita mengarut, tidak masuk akal dan sebagainya. Cerita yang menarik selalunya pelik daripada biasa. Lebih pelik cerita itu, lebih mudah anda ingat.
2. Masukkan aksi dalam cerita anda – Jika cerita anda cuma “Saya ada kucing. Saya pergi beli karipap di pasar. Saya pakai selipar Jepun semasa ke pasar. Kemudian saya nampak sebatang besi buruk di depan masjid di hadapan pasar tersebut.” Cerita yang begini agak membosankan dan anda akan mudah lupa pada cerita ini. Letakkan aksi yang menarik dan yang boleh membuat anda rasa berminat pada cerita tersebut.
3. Masukkan unsur-unsur komedi dalam cerita anda – Anda akan lebih mudah ingat cerita yang kelakar berbanding cerita yang serius. Cerita yang kelakar juga boleh meningkatkan tahap kreativiti anda. Jadi, buat cerita yang kelakar dan mencuit hati anda.
Gunakan teknik ini untuk menghafal nota-nota anda. Saya cadangkan anda bekerjasama dengan beberapa orang kawan anda untuk menghasilkan nota yang kreatif begini. Mungkin ada kawan anda yang pandai melukis dan mungkin kawan anda yang pandai membuat cerita-cerita kelakar menggunakan kata kunci dalam nota anda.
7 ulasan:
assalam cgu..mohon dihalalkan apa yg dibaca dan dikongsikan bsama anak2 murid sya jgak...
smga pkongsian ini dpt mberi manfaat kepada anak didik kita..
insyaAllah..
salam.. saya pelajar tingkatan 6 atas ingin manambah subjek sejarah sebagai matapelajaran tambahan....adakah saya sudah terlewat utk berbuat demikian..mohon pendapat cikgu
terima kasih cikgu.
Apo
Trima ksih, ckgu.
tahun ni saya akan masuk form 6 .saya akan gunakan tips cikgu ni dgn baik
Catat Ulasan