BANK DAN PEMBOHONG
1. Semua yang wujud dalam alam bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil dari Letupan Besar.
2. Seperti besi berani yang akan terus menghala ke Utara begitu juga hukum-hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akaliah akan mencari dan menemui hukum-hukum ini. Penemuan hukum hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum hakam ini neutral tidak memiliki nilai. Nilai baik atau jahat lahir dari akaliah manusia.
3. Madam Marie Curie menemui radium dan menemui Cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah. Apabila ditemui ciri dan hukum hakam uranium, maka akaliah manusia jugalah yang cuba mengubah hukum hakam ini hingga melahirkan bom atom.
4. Kajian hukum hakam aljibra dan ilmu bintang oleh al-Khwārizmī's di Baitul Hikmah Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini. Hukum ilmu bintang ini neutral – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum hakam ini untuk kebejatan dengan meletakan senjata di atas langit.
5. Kapitalisma juga bergerak mengikut hukum hakam. Hukum pertama kapitalisma ialah untuk mendapatkan keuntungan maksima. Hukum ini tidak akan beralih-alih. Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis adalah sama.
6. Kapitalisma juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisma akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank. Justeru kita wajib memahami begaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksima.
7. Sebelum kemunculan bank – di zaman Kapitalisma Mecantile - emas adalah tukaran. Justeru jika kita menyemak Sejarah Melayu kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas. Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat muzium kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak. Para saudagar yang berniaga akan mengupah Tukang Emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli. Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi Tuan Kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya Tuan Kedai akan menuliskan diatas kertas jumlah emas yang tersimpan. Kertas ini cukup berharga. Sesekali si Saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan.
8. Tuan Kedai Emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana Tuan Kedai bukan hanya menyimpan untuk saorang saudagar tetapi bebelas-belas. Jika ada si Saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya Tuan Kedai akan memperlihat emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah.
9. Dari sini mulalah hukum kapitalisma bergerak lagi. Contohnya Tuan Kedai ada menyimpan 100 keping emas yang dimiliki Saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan maka nilainya tidak bertambah. Justeru Tuan Kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Saudagar Buluh Kasap ini. Ertinya ada seratus keping kertas lebih dari 100 keping emas. Ini menjadikan modal Saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.
10. Kertas yang ditulis oleh Tuan Kedai ini diwar-warkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi Tuan Kedai. Inilah asal usul duit kertas atau bank note. Dari pengalaman, Tuan Kedai tahu bahawa para-para saudagar ini tidak semuanya akan datang dalam satu masa yang sama untuk melihat emas simpanan. Justeru dia boleh memutar belitkan jumlah kepingan emas yang disimpan.
11. Hukum keuntungan maksima sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini Tuan Kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si Penyimpan Emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal. Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi dari jumlah emas yang ada tersimpan. Perkara ini tidak di ketahui umum kerana Tuan Kedai menyimpan emasnya secara rashia. Konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan.
12. Tuan Kedai Emas menjadi kaya menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal usul bank dalam sistem kapitalisma. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan. Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan dari orang ramai. Orang ramai yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan Tuan Kedai. Tuan Kedai Emas ini juga dilihat hebat dikalangan masyarakat kerana di memiliki rumah besar, isteri gemuk, makan sedap, ada babu dan ada pengawal peribadi.
13. Tuan Kedai Emas ini akhirnya menjadi banker. Ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock, tuan peminjam wang di kota Venice. Shylock ini adalah watak banker 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum hakam dan ciri ciri seorang banker tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar jika tidak daging seketul wajib diagihkan.
14. Hari ini 500 tahun kemudian – asas hukum bank – tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun. Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya dari Tuan Kedai Emas dahulu.
Contoh : Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang. Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata! Dari 100 ringgit modal asal kini menjadi 2100 ringgit.
15. Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi – kredit. Tidak ada duit bertukar tangan. Ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti Tuan Kedai Emas - tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.
16. Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir dari hutang dan bunga. Inilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini.
17. Dalam masa yang sama si peminjam diminta memberi cagaran – ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang maka cagaran akan terlupus. Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan. Katakan pada hari Rabu minggu hadapan semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka terbonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap. Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing pusing hanya kertas. Terbongeng dan terkangkang. Inilah yang sedang kita hadapi semenjak bulan September tahun 2008.
18. Bank Northern Rock di Scotland terbonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka. Ini permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank. Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka. Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap. Inilah yang sedang berlaku sekarang.
19. Selama 30 tahun yang lalu pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Banker banker ini telah mempengaruhi para politikus untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan. Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil dari makan riba, para banker telah memberi sumbangan kepada politikus. Persekongkolan ini cukup intim. Para banker ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka.
20. Pada tahun 2009 ini banyak bank telah bangkrap. Lalu persoalan timbul. Kemana perginya duit duit ini? Harta kekayaan tidak hilang tetapi ianya hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan dibank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung. Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh bankrap, bank boleh di istihar bangkrap tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrap. Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi Syarikat Lim Go Tong sampai kiamat tidak akan bankrap. Ini juga adalah hukum sistem kapitalis.
Sumber : Tukar TIub
Tiada ulasan:
Catat Ulasan