ENJIN CARIAN BAHAN

Rabu, 28 Julai 2021

CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL DI ENGLAND ( ABAD 16-17 M)

SOALAN : HURAIKAN CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL DI ENGLAND PADA ABAD KE-16 DAN 17 MASIHI.

             

Pendahuluan

Masyarakat feudal merupakan masyarakat berhierarki yang mempunyai susun lapis tersendiri.  

Dalam masyarakat feudal, kedudukan, kuasa dan status setiap lapisan ditentukan melalui penguasaan terhadap tanah. 

Kemunculan masyarakat feudal di England bermula semasa pemerintahan William Si Penakluk yang meletakkan asas feudalisme yang lebih sistematik.

Menjelang abad ke-16 dan 17, berlaku perubahan dalam ciri masyarakat feudal di England.  

  

Isi- isi utama 

1.  Kedudukan raja 

Abad ke-16 dan 17, muncul sistem pemerintahan monarki mutlak di England 

Raja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang pentadbiran, perundangan dan kehakiman.

Raja-raja dinasti Tudor dan Stuarts mengambil pelbagai langkah bagi mempertahankan kedudukan dan kuasa mutlak raja.

Contohnya, Raja Henry VII bertindak mengurangkan kuasa parlimen dan menyekat pengaruh serta kekuasaan golongan bangsawan.

Semasa pemerintahan dinasti Stuarts berlaku perselisihan antara raja dengan Parlimen dalam usaha mengukuhkan kuasa raja.

Parlimen telah menyekat pengaruh raja dengan memaksa Raja Charles I menandatangani Pengisytiharan Hak.

Perkembangan ini menyebabkan pemerintahan raja berperlembagaan di perkenalkan di England semasa pemerintahan Raja Charles II.

Tuntasnya, kekuasaan raja mengalami perubahan apabila pemerintahan beraja mutlak digantikan dengan raja berperlembagaan.

  

2. Pengaruh bangsawan  

Menjelang abad ke-16 dan 17, pengaruh golongan bangsawan mengalami kemerosotan disebabkan kedudukan raja yang semakin kukuh ekoran perkembangan kapitalisme.

Perkembangan ini menyebabkan raja di England dapat mengawal golongan bangsawan.

Kemerosotan pengaruh bangsawan ini membawa kepada kemunculan golongan baru iaitu pegawai-pegawai pentadbir yang berkebolehan dan berwibawa dalam pentadbiran. 

Perlantikan pegawai-pegawai ini adalah berasaskan merit dan bukan keturunan.

Pegawai-pegawai menerima gaji daripada raja bagi membantu mengendalikan pemerintahan dan pentadbiran.

Jelaslah bahawa golongan bangsawan mulai hilang pengaruh apabila kedudukan mereka diambil alih oleh pegawai-pegawai pentadbir.

 

3. Kedudukan Knight 

Menjelang abad ke-16 dan 17, peranan golongan knight telah berubah apabila kedudukan raja menjadi semakin kukuh.

Raja tidak lagi bergantung kepada golongan knight untuk mempertahankan negara.

Raja menubuhkan pasukan tentera tetap dan tentera upahan yang berada di bawah kawalan dan penguasaan raja.

Pasukan tentera tidak lagi didominasi oleh golongan knight sahaja.

Golongan petani dan rakyat biasa juga direkrut untuk berkhidmat dalam pasukan tentera.

Tegasnya, peranan golongan knight turut mengalami perubahan ekoran                perkembangan dalam politik dan ekonomi di England.

 

4.  Pemilikan tanah   

Pada abad ke-16 dan 17, perubahan dalam sistem ekonomi menyebabkan masyarakat feudal tidak bergantung kepada tanah untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Masyarakat feudal juga tidak lagi terikat dengan tuan-tuan tanah.

Mereka melibatkan diri dalam aktiviti pertanian komersial dengan menjadi buruh upahan kepada tuan tanah

Kemunculan bandar menyebabkan golongan petani mula berhijrah ke bandar bandar dan terlibat dalam sektor perindustrian.

Perkembangan ekonomi komersial juga menyebabkan raja berjaya mengukuhkan kedudukan dengan menguasai ekonomi kapitalisme.

Jelaslah bahawa penguasaan ekonomi oleh raja dan perkembangan ekonomi kapitalisme telah mengubah bentuk pemilikan tanah yang mengikat masyarakat feudal di England.  


5. Kewajipan peribadi     

Menjelang abad ke-16 dan 17, berlaku perubahan dalam hubungan antara raja dan golongan bangsawan.

Kedudukan raja menjadi semakin kukuh dan tidak lagi bergantung kepada golongan bangsawan bagi mendapatkan bantuan ketenteraan.

Hubungan antara tuan tanah dan petani turut berubah apabila tuan tanah membebasan petani.

Jelaslah, hubungan peribadi yang wujud berasaskan kontrak perjanjian mula berubah apabila kedua-dua pihak sudah tidak saling bergantung antara satu sama lain.


6.  Mobiliti sosial    

Perubahan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku pada abad ke-16 dan 17 telah menyebabkan wujud mobilti sosial dalam masyarakat di England yang sebelumnya jarang berlaku. 

 Perkembangan ini menyebabkan struktur susun lapis masyarakat turut mengalami perubahan.

Jawatan-jawatan penting dalam kerajaan yang dimonopoli oleh golongan bangsawan mula disandang oleh rakyat biasa. 

Hal ini membawa kepada kemunculan golongan pertengahan dan kelas menengah dalam struktur masyarakat di England.

Jelaslah, bahawa kedudukan sosial dan status masyarakat feudal di England mengalami perubahan.

 

Kesimpulan 

 Abad ke-16 dan 17 mencorakkan perubahan yang ketara dalam ciri masyarakat feudal     yang diamalkan sejak zaman pertengahan.

Perkembangan pesat dalam bidang ekonomi dan kemunculan negara bangsa turut        membawa perubahan dalam hierarki dan peranan masyarakat feudal di England.   

Hal ini membawa kepada munculnya masyarakat industri pada abad ke-18.  

 


Sabtu, 9 Mei 2020

Etika Peperangan Dalam Islam

Etika Peperangan Dalam Islam

Islam amat mengutamakan keamanan dan keselamatan sejagat. Oleh itu, misi peperangan dalam Islam tidak sewenang-wenangnya menghancurkan dan memusnahkan pihak musuh, malah kehidupan lain dan persekitarannya juga diambil kira. Antara etika-etika peperangan dalam Islam ialah:
  1. Mesti mengajak manusia kepada Islam sebelum memeranginya. Contohnya pada zaman Abu Bakar al-Siddiq, sewaktu menyerang wilayah Hirah, baginda telah memberikan 3 pilihan kepada musuh Islam iaitu mengajak menganut agama Islam, berdamai dan membayar jizyah atau berperang.
  2. Islam hanya membenarkan umatnya berperang seandainya mereka diperangi terlebih dahulu. Contohnya, dalam Perang Badar peperangan berlaku setelah umat Islam diserang oleh musyrikin Quraisy Makkah.
  3. Dalam ekspedisi peperangan,  tentera Islam tidak boleh memerangi orang kafir yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, orang cacat, lumpuh, paderi atau pendeta. Golongan ini tidak boleh dibunuh malah dilindungi.
  4. Tentera Islam dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat. Ini membuktikan Islam mementingkan keamanan dan kesejahteraan.
  5. Islam menetapkan etika peperangan tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah atau kafir zimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.
  6. Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh, antaranya ialah seperti tentera Islam tidak boleh mencincang mayat atau musuh yang sudah terbunuh.
  7. Sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib ditaati. Contohnya, ketika Perjanjian Hudaibiyah meskipun syarat-syarat dalam perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada musuh Islam dan berat sebelah, namun Rasulullah menerimanya kerana mempunyai misi tersendiri dan berpandangan jauh.
  8. Etika terakhir ialah tawanan perang akan dilayan dengan baik. Ia merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh Rasulullah. Dalam Perang Badar, Baginda menggunakan kaedah diplomasi, iaitu tawanan perang harus menebus diri dengan ilmu pengetahuan serta sejumlah wang tertentu. Mana-mana tawanan perang kafir Quraisy yang dapat mengajarkan 10 orang kanak-kanak Islam membaca dan menulis akan dibebaskan tanpa syarat.
  9. Cara pengagihan harta rampasan perang. Harta-harta yang diperolehi melalui perang bukan dibolot oleh Rasulullah sebaliknya diagihkan secara sama rata di kalangan para pejuang. Selepas kewujudan Baitulmal, harta-harta berkenaan diuruskan dengan lebih baik dan digunakan untuk pembangunan negara khususnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.
Sudah tentu, etika-etika ini kelihatan amat banyak yang bertentangan dengan yang diamalkan oleh masyarakat antarabangsa sekarang. Semuanya dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa tanggungjawab dan belas kesihan. Mari kita doakan untuk keselamatan dan keamanan sejagat, amin.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Ahad, 8 November 2015

CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND


Bincangkan ciri-ciri masyarakat industri yang wujud di England pada abad ke-18 hingga ke-19 Masihi.                                                                                                            


 A.PENGENALAN

1.Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang bergantung kepada sektor  perindustrian. Mereka terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan menggunakan mesin.

2.Revolusi Perindustrian bermula di England selepas tahun 1750.Revolusi ini bermula di England selepas berlaku perubahan yang pesat dalam bidang pertanian dan dikaitkan dengan penemuan mesin wap di Eropah.

3.Ciri-ciri masyarakat industri di England dilihat dari sudut perkembangan sains dan teknologi , kegiatan ekonomi, pengkhususan pekerjaan, mobiliti sosial, kemunculan kelas baharu, dan urbanisasi.

B.ISI-ISI : Ciri-ciri masyarakat industri di England

1.Kemajuan sains dan teknologi

i.Masyarakat industri di England mempunyai pengetahuan dan kelengkapan yang mencukupi untuk mendahului negara-negara lain dalam perindustrian. Beberapa rekaan dan ciptaan  ditemui. Para pencipta diberikan hak paten untuk hasil ciptaan mereka.

ii.Selain itu, antara pencapaian teknologi terawal ialah penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Thomas New Comen mencipta enjin berkuasa wap pada tahun 1702.Enjin ini digunakan dalam perusahaan melombong arang batu.

iii.James Watt juga telah memperbaiki enjin rekaan Thomas Newcomen.Enjin ciptaan beliau digunakan di England dan juga dieksport.

2.Kegiatan Ekonomi

i.Masyarakat industri di England menjalankan kegiatan ekonomi yang member tumpuan  kepada pengeluaran barangan secara besar-besaran. Kegiatan ekonomi mereka bergantung kepada sektor perindustrian dan perlombongan.

ii.Mereka memberi tumpuan kepada perusahaan tekstil yang merupakan perusahaan  tertua di England.Kilang kapas pertama didirikan pada tahun 1790.

iii.Selain itu, masyarakat industri juga menjalankan aktiviti ekonomi dalam sektor perlombongan. England menjadi pengeluar bekalan bahan mentah yang banyak seperti  arang batu dan bijih besi.Bekalan ini dari wilayah New Castle dan Wales. England  muncul sebagai pengeluar keluli terbesar dunia. Pada tahun 1860 England  mengeluarkan 80 juta tan metric arang batu dan 225000 tan metrik keluli.

3. Pengkhususan Pekerjaan

i.Masyarakat industri England juga mempunyai pengkhususan pekerjaan yang tersendiri. Masyarakat tertumpu dalam sektor pekerjaan perkilangan dan  mempunyai pekerjaan yang tetap.Penggunaan mesin juga telah digunakan secara meluas.

ii.Oleh yang demikian, pekerja yang mempunyai kemahiran khusus dalam  menghasilkan sesuatu barangan amat diperlukan dalam kelompok masyarakat ini. Pekerja hanya perlu melakukan sebahagian kerja khusus bagi menghasilkan  sesuatu barangan.

iii.Secara tidak langsung, pembahagian  kerja  dan  pengeluaran  secara besar-besaran  telah mengurangkan  kos operasi serta meningkatkan pengeluaran.Penggunaan mesin menyemai benih oleh Jethro tull dalam pertanian telah membolehkan proses pembajakan berjalan lancar dan telah menambahkan hasil pengeluaran bahan mentah untuk perindustrian.

4. Mobiliti Sosial

i.Mobiliti sosial juga telah  berlaku  dalam  masyarakat industri. Kumpulan  masyarakat  ini  telah  berubah  dengan   wujudnya   kelas  pekerja baru yang ramai serta mempunyai kepentingan masing-masing.

ii.Ini kerana taraf  hidup  golongan  pekerja  telah  meningkat.Peningkatan  dalam  pengeluaran menyebabkan  mereka  menerima  pendapatan  yang tinggi.Ini meletakkan asas bagi kemunculan  golongan  kelas  menengah  dalam  masyarakat.

iii.Golongan kelas menengah terdiri  daripada golongan yang memiliki kilang,para       peniaga,peguam dan jurutera.Golongan ini berkeinginan dan bersedia menerima risiko untuk mendapatkan kekayaan.

5.Kemunculan kelas

i.Ciri masyarakat industri seterusnya ialah kemunculan dua kelas utama iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis  terdiri daripada  pemilik kilang,tuan tanah dan pengusaha lombong.Kelas pekerja pula ialah buruh dan pekerja kilang di kilang tekstil,kilang kimia dan kejuruteraan elektrik.

ii.Golongan pekerja ini amat bergantung kepada golongan kapitalis.Pada peringkat awal,proses perindustrian membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang.

iii.Namun, selepas berlaku peningkatan dalam pengeluaran muncul golongan professional. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja meningkat.

6. Masyarakat Urban @ Berlaku Urbanisasi

i.Ciri seterusnya ialah perkembangan dalam bidang perindustrian telah membawa kepada perpindahan penduduk dari kawasan luar bandar  ke kawasan bandar.Masyarakat industri merupakan  masyarakat urban yang tinggal di bandar-bandar perindustrian.

ii.Ini kerana, proses migrasi telah berlaku ke kawasan bandar secara pesat. Para imigran ini bekerja di kilang atau sebagai pengusaha industri.Misalnya berlaku penghijrahan penduduk Ireland ke bandar-bandar besar di England.

iii.Menjelang tahun 1851 bandar-bandar seperti Lancashire,Yorkshire dan Nottinghamshire menjadi tumpuan penduduk.Perkembangan ini membawa kepada proses  urbanisasi.

7.Masyarakat Literasi

i.Ciri masyarakat industri seterusnya  ialah sebuah masyarakat literasi. Mereka terdiri daripada kelompok masyarakat yang memiliki ilmu dalam bidang pendidikan.

ii. Ini kerana, kemajuan dalam industri telah menyebabkan perubahan kehidupan masyarakat kepada gaya hidup yang mewah,pertambahan sistem komunikasi dan pengangkutan, kehidupan yang lebih sihat dan mementingkan pendidikan.

iii.Oleh itu, masyarakat ini mula terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dan memperjuangkan  kepentingan mereka melalui politik.Perjuangan mereka adalah melalui parlimen dan sebanyak 61 wakil kelas  menengah berada di Parlimen pada pertengahan abad 18.

C.KESIMPULAN

1.Masyarakat industri di England mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan Revolusi Perindustrian di England.  

2.Perkembangan masyarakat industri di England ini telah membawa kepada kemunculan  England sebagai kuasa imperialis yang baru pada akhir abad ke 19.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 11 Mac 2014

Boleh Ke Kita Berdoa Untuk Orang Bukan Islam? Pray For MH370

Sekadar pencerahan kepada yang musykil ……………..

 


Jawapan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman :

Ada yang bertanya kepada saya, bolehkah berdoa untuk orang bukan Islam dalam pesawat MH370?. Solat hajat untuk mereka sekaligus?.

Jawabnya, BOLEH berdoa kepada semua, muslim dan non Muslim agar SELAMAT, SIHAT, termasuklah selamat pulang dan pergi atau mendapat hidayah.

Imam Nawawi juga menyebut HARUS doa belas atau rahmat Allah kepada non Muslim yang masih hidup & keampunan atas kesalahannya & bukan redha atas kekufurannya. Nabi pernah berdoa antaranya

( اللهُمَّ اِغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ)

Namun bagi non-Muslim yang telah mati dalam keadaan tidak Islam, telah disepakati ulama, TIDAK BOLEH berdoa KEAMPUNAN & RAHMAT Allah ke atas mereka berdasarkan larangan Allah Surah At-Tawbah 113.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 10 Mac 2014

Doa Mohon Allah permudahkan penemuan semula MH370

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah! Sesungguhnya apa yang di langit dan bumi ini adalah milikMu. Semua yang berlaku adalah di bawah ketetapan dan ilmuMu. Ya Rahman Ya Rahim! Kami memohon limpahan kasih sayang dan rahmatMu agar memberi ketenangan, kekuatan dan ketabahan kepada semua ahli keluarga anak kapal dan penumpang MH370 dalam menghadapi suasana yang cemas dan kesedihan  ini. Berikanlah petanda dengan segera dan permudahkan segala urusan untuk menemui semula pesawat yang hilang ini Ya Allah!

حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلىٰ وَنِعْمَ النَّصِيْرُ

Hanya kepadaMu kami berserah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 4 Mac 2014

Memperingati kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 1924

    Memperingati kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 1924

    Penulis : DR RIDUAN MOHAMAD NOR

    Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.

    Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.

    Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin.

    Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.

    Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.

    Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998):

    1. Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.

    2. Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.

    3. Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95% adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5% sahaja.

    4. Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.

    5. Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.

    6. Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.

    7. Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan.

    8. Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja.

    9. Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.

    10. Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.

    11. Di satu bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.

    12. Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.

    13. Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.

    Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.

    Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al-Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, Masyumi di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an-Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain.

    3 Mac 1924 adalah sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah.

    Sumber Asal : Sini

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 25 Februari 2014

TEMA 1 : SUMBANGAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Bincangkan sumbangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada kerajaan Bani Umaiyah.

PENDAHULUAN:

1. Latar belakang Khalifah Umar b Abdul Aziz

  • Nama – Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz b Marwan b Hakam
  • Tarikh Lahir – 61 Hijrah
  • Khalifah ke-6 Bani Umaiyah
  • Tarikh dilantik menjadi khalifah – 771 Masihi
  • Tarikh meninggal dunia – 101 Hijrah
  • Lama berkhidmat – 2 tahun 5 bulan.

2. Sifat peribadi

  • Penghafaz al-Quran sejak kecil.
  • Seorang yang warak – diwarisi daripada sifat datuknya Sayyidina Umar b al-Khattab.
  • Zuhud - menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.
  • Mengamalkan konsep berjimat-cermat – berhati-hati dengan perbelanjaan yang menggunakan wang rakyat.
  • Memecat pegawai yang boros.

ISI:

Sumbangan Khalifah Umar b Abdul Aziz

1. Menghentikan gerakan peluasan wilayah

  • Setelah Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah, beliau telah mengarahkan supaya semua kegiatan penaklukan ke atas golongan bukan Islam terutama di Afrika, Asia dan Eropah Timur
  • Tujuannya untuk menjalin hubungan baik antara semua pihak dan juga memberi peluang rehat untuk para tentera serta mewujudkan keamanan.

2. Perlantikan gabenor

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat berhati-hati dalam pemilihan gabenornya.
  • Gabenor-gabenor yang cuai, zalim dan mementingkan diri sendiri akan dipecat. Contohnya, Muhammad bin Yusuf (Yaman) dan Yazid bin Abu Muslim (Afrika Utara).
  • Hanya pegawai yang layak sahaja akan dilantik.
  • Gabenor-gabenor yang dilantik perlulah mengisytiharkan harta masing-masing.
  • Sekiranya ada kurniaan yang tidak sewajarnya, harus dikembalikan kepada Baitulmal.

3. Menggalakkan asimilasi perkahwinan

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz menggalakkan perkahwinan antara Arab dan bukan Arab yang bertujuan untuk menghapuskan permusuhan antara kedua-dua pihak.
  • Di samping itu, langkah seterusnya ialah memujuk orang-orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam.
  • Secara tidak langsung, keadaan ini dapat mewujudkan persamaan hak kepada kedua-dua pihak terhadap agama dan negara.

4. Mementingkan keadilan.

  • Khalifah Umar Abdul Aziz mementingkan keadilan.
  • Oleh itu, hukuman berat seperti hukuman mati akan diadili dengan lebih teliti untuk untuk mengelakkan penganiayaan.
  • Segala harta rampasan perang perlu dibahagikan secara adil kepada pihak-pihak yang sepatutnya.

5. Memelihara keadilan sosial

  • Beliau juga menghapuskan rasuah di jabatan-jabatan kerajaan demi menjamin keadilan sosial dalam kalangan rakyat.
  • Tindakan yang sewajarnya diambil ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang zalim terhadap rakyatnya,
  • Masalah perkauman dalam kalangan pembesar Bani Umaiyah juga dititikberatkan dan beliau cuba mengatasi masalah tersebut dengan segera.

6. Menghapuskan adat mencaci Ali bin Abi Talib

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menghapuskan adat pencacian Ali bin Abi Talib dari atas mimbar pada hari Jumaat.
  • Keluarga Sayyidina Ali bin Abi Talib dan orang-orang yang bersimpati terhadap mereka tidak lagi memusuhi mereka.

7. Menyusun semula sistem cukai

  • Cukai tanah (kharaj) atau tanah-tanah yang diperoleh melalui penjelajahan
  • Tanah-tanah tersebut menjadi hak milik bersama orang Islam dan kerajaan.
  • Cukai dikenakan ke atas hasil tanaman,
  • Tanah kharaj tidak boleh dijual atau diagihkan.
  • Perbezaan cukai jizyah dan cukai kharaj.
  • Cukai jizyah dikenakan ke atas orang bukan Islam.
  • Cukai kharaj dikenakan ke atas sesiapa yang memiliki tanah tidak kira Islam atau bukan Islam.
  • Zakat dikenakan ke atas orang Islam sahaja.
  • Beliau menghapuskan cukai-cukai yang membebankan seperti cukai jizyah ke atas orang bukan Islam yang telah memeluk Islam.
  • Cukai jizyah yang dikenakan ke atas orang Yahudi sebanyak 2000 dirham dikurangkan kepada 200 dirham.
  • Cukai-cukai seperti cukai perniagaan, cukai tanah dan zakat tetap ke atas orang-orang Islam bukan Arab.

8. Membangunkan ekonomi

  • Beberapa projek ekonomi juga dilaksanakan seperti membina saluran air, membuka kebun-kebun baru, dan membina jalan-jalan untuk pengangkutan dan perdagangan.
  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga memperkenal peraturan sukatan dan timbangan bagi mengatasi masalah kemiskinan rakyat.

9. Langkah penjimatan

  • Beliau telah menetapkan supaya wang Baitulmal tidak digunakan untuk majlis keramaian.
  • Khalifah menyerahkan barang kemas isteri untuk menampung sumber Baitulmal
  • Menghapuskan segala perayaan (mahrajan), upacara perasmian kerajaan dan semua perbelanjaan yang membazirkan.

10. Menggalakkan aktiviti keilmuan

  • Kegiatan keilmuan amat digalakkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
  • Para ulama diarahkan agar mengembangkan ilmu masing-masing dan diberi perhatian oleh kerajaan.
  • Antara ilmu yang dimajukan ialah bidang kajian hadis, ilmu tatabahasa dan ilmu perubahan.

11. Dakwah

  • Menggantikan gerakan penaklukan
  • Pendakwah dihantar untuk penyebaran Islam ke India, Cina dan Asia Tenggara
  • Islam tersebar di Alam Melayu

12. Mengadakan rundingan dan perbincangan dengan golongan pemberontak

  • Rundingan dan perbincangan diadakan dengan puak Khawarij dan Syiah
  • Kesannya kedua-dua golongan ini memberhentikan pemberontakan menentang kerajaan Bani Umayyah.

KESIMPULAN

Sikap toleransi dan adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan menyebabkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dihormati ramai termasuklah penganut-penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi.

Rabu, 19 Februari 2014

TEMA 1 – KEPEMIMPINAN SALAHUDDIN AL-AYUBI

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gabenor yang memiliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)

Peperangan Salib di Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.

Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dan dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelamatkan kamu". Ketika dia(Salahuddin) mendengar berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah SAW naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin Yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.

Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.

Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.

Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Kematian Salahuddin Al-Ayubi

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara'

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.

Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Al-Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?"

Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini"

Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi"

Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.

Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin Al-Ayubi

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam".

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.

Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.

Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.

Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir Qur'an.

Sumber Asal : Klik Sini 

[ http://www.jomlayan.com/mybb/salahuddin-al-ayubi-sebagai-tokoh-katalis-kebangkitan-islam-t-2388.html ]

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.