ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 11 Mac 2014

Boleh Ke Kita Berdoa Untuk Orang Bukan Islam? Pray For MH370

Sekadar pencerahan kepada yang musykil ……………..

 


Jawapan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman :

Ada yang bertanya kepada saya, bolehkah berdoa untuk orang bukan Islam dalam pesawat MH370?. Solat hajat untuk mereka sekaligus?.

Jawabnya, BOLEH berdoa kepada semua, muslim dan non Muslim agar SELAMAT, SIHAT, termasuklah selamat pulang dan pergi atau mendapat hidayah.

Imam Nawawi juga menyebut HARUS doa belas atau rahmat Allah kepada non Muslim yang masih hidup & keampunan atas kesalahannya & bukan redha atas kekufurannya. Nabi pernah berdoa antaranya

( اللهُمَّ اِغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ)

Namun bagi non-Muslim yang telah mati dalam keadaan tidak Islam, telah disepakati ulama, TIDAK BOLEH berdoa KEAMPUNAN & RAHMAT Allah ke atas mereka berdasarkan larangan Allah Surah At-Tawbah 113.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 10 Mac 2014

Doa Mohon Allah permudahkan penemuan semula MH370

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah! Sesungguhnya apa yang di langit dan bumi ini adalah milikMu. Semua yang berlaku adalah di bawah ketetapan dan ilmuMu. Ya Rahman Ya Rahim! Kami memohon limpahan kasih sayang dan rahmatMu agar memberi ketenangan, kekuatan dan ketabahan kepada semua ahli keluarga anak kapal dan penumpang MH370 dalam menghadapi suasana yang cemas dan kesedihan  ini. Berikanlah petanda dengan segera dan permudahkan segala urusan untuk menemui semula pesawat yang hilang ini Ya Allah!

حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلىٰ وَنِعْمَ النَّصِيْرُ

Hanya kepadaMu kami berserah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 4 Mac 2014

Memperingati kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 1924

    Memperingati kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 1924

    Penulis : DR RIDUAN MOHAMAD NOR

    Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.

    Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.

    Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin.

    Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.

    Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.

    Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998):

    1. Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.

    2. Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.

    3. Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95% adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5% sahaja.

    4. Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.

    5. Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.

    6. Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.

    7. Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan.

    8. Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja.

    9. Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.

    10. Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.

    11. Di satu bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.

    12. Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.

    13. Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.

    Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.

    Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al-Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, Masyumi di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an-Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain.

    3 Mac 1924 adalah sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah.

    Sumber Asal : Sini

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 25 Februari 2014

TEMA 1 : SUMBANGAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Bincangkan sumbangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada kerajaan Bani Umaiyah.

PENDAHULUAN:

1. Latar belakang Khalifah Umar b Abdul Aziz

  • Nama – Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz b Marwan b Hakam
  • Tarikh Lahir – 61 Hijrah
  • Khalifah ke-6 Bani Umaiyah
  • Tarikh dilantik menjadi khalifah – 771 Masihi
  • Tarikh meninggal dunia – 101 Hijrah
  • Lama berkhidmat – 2 tahun 5 bulan.

2. Sifat peribadi

  • Penghafaz al-Quran sejak kecil.
  • Seorang yang warak – diwarisi daripada sifat datuknya Sayyidina Umar b al-Khattab.
  • Zuhud - menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.
  • Mengamalkan konsep berjimat-cermat – berhati-hati dengan perbelanjaan yang menggunakan wang rakyat.
  • Memecat pegawai yang boros.

ISI:

Sumbangan Khalifah Umar b Abdul Aziz

1. Menghentikan gerakan peluasan wilayah

  • Setelah Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah, beliau telah mengarahkan supaya semua kegiatan penaklukan ke atas golongan bukan Islam terutama di Afrika, Asia dan Eropah Timur
  • Tujuannya untuk menjalin hubungan baik antara semua pihak dan juga memberi peluang rehat untuk para tentera serta mewujudkan keamanan.

2. Perlantikan gabenor

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat berhati-hati dalam pemilihan gabenornya.
  • Gabenor-gabenor yang cuai, zalim dan mementingkan diri sendiri akan dipecat. Contohnya, Muhammad bin Yusuf (Yaman) dan Yazid bin Abu Muslim (Afrika Utara).
  • Hanya pegawai yang layak sahaja akan dilantik.
  • Gabenor-gabenor yang dilantik perlulah mengisytiharkan harta masing-masing.
  • Sekiranya ada kurniaan yang tidak sewajarnya, harus dikembalikan kepada Baitulmal.

3. Menggalakkan asimilasi perkahwinan

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz menggalakkan perkahwinan antara Arab dan bukan Arab yang bertujuan untuk menghapuskan permusuhan antara kedua-dua pihak.
  • Di samping itu, langkah seterusnya ialah memujuk orang-orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam.
  • Secara tidak langsung, keadaan ini dapat mewujudkan persamaan hak kepada kedua-dua pihak terhadap agama dan negara.

4. Mementingkan keadilan.

  • Khalifah Umar Abdul Aziz mementingkan keadilan.
  • Oleh itu, hukuman berat seperti hukuman mati akan diadili dengan lebih teliti untuk untuk mengelakkan penganiayaan.
  • Segala harta rampasan perang perlu dibahagikan secara adil kepada pihak-pihak yang sepatutnya.

5. Memelihara keadilan sosial

  • Beliau juga menghapuskan rasuah di jabatan-jabatan kerajaan demi menjamin keadilan sosial dalam kalangan rakyat.
  • Tindakan yang sewajarnya diambil ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang zalim terhadap rakyatnya,
  • Masalah perkauman dalam kalangan pembesar Bani Umaiyah juga dititikberatkan dan beliau cuba mengatasi masalah tersebut dengan segera.

6. Menghapuskan adat mencaci Ali bin Abi Talib

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menghapuskan adat pencacian Ali bin Abi Talib dari atas mimbar pada hari Jumaat.
  • Keluarga Sayyidina Ali bin Abi Talib dan orang-orang yang bersimpati terhadap mereka tidak lagi memusuhi mereka.

7. Menyusun semula sistem cukai

  • Cukai tanah (kharaj) atau tanah-tanah yang diperoleh melalui penjelajahan
  • Tanah-tanah tersebut menjadi hak milik bersama orang Islam dan kerajaan.
  • Cukai dikenakan ke atas hasil tanaman,
  • Tanah kharaj tidak boleh dijual atau diagihkan.
  • Perbezaan cukai jizyah dan cukai kharaj.
  • Cukai jizyah dikenakan ke atas orang bukan Islam.
  • Cukai kharaj dikenakan ke atas sesiapa yang memiliki tanah tidak kira Islam atau bukan Islam.
  • Zakat dikenakan ke atas orang Islam sahaja.
  • Beliau menghapuskan cukai-cukai yang membebankan seperti cukai jizyah ke atas orang bukan Islam yang telah memeluk Islam.
  • Cukai jizyah yang dikenakan ke atas orang Yahudi sebanyak 2000 dirham dikurangkan kepada 200 dirham.
  • Cukai-cukai seperti cukai perniagaan, cukai tanah dan zakat tetap ke atas orang-orang Islam bukan Arab.

8. Membangunkan ekonomi

  • Beberapa projek ekonomi juga dilaksanakan seperti membina saluran air, membuka kebun-kebun baru, dan membina jalan-jalan untuk pengangkutan dan perdagangan.
  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga memperkenal peraturan sukatan dan timbangan bagi mengatasi masalah kemiskinan rakyat.

9. Langkah penjimatan

  • Beliau telah menetapkan supaya wang Baitulmal tidak digunakan untuk majlis keramaian.
  • Khalifah menyerahkan barang kemas isteri untuk menampung sumber Baitulmal
  • Menghapuskan segala perayaan (mahrajan), upacara perasmian kerajaan dan semua perbelanjaan yang membazirkan.

10. Menggalakkan aktiviti keilmuan

  • Kegiatan keilmuan amat digalakkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
  • Para ulama diarahkan agar mengembangkan ilmu masing-masing dan diberi perhatian oleh kerajaan.
  • Antara ilmu yang dimajukan ialah bidang kajian hadis, ilmu tatabahasa dan ilmu perubahan.

11. Dakwah

  • Menggantikan gerakan penaklukan
  • Pendakwah dihantar untuk penyebaran Islam ke India, Cina dan Asia Tenggara
  • Islam tersebar di Alam Melayu

12. Mengadakan rundingan dan perbincangan dengan golongan pemberontak

  • Rundingan dan perbincangan diadakan dengan puak Khawarij dan Syiah
  • Kesannya kedua-dua golongan ini memberhentikan pemberontakan menentang kerajaan Bani Umayyah.

KESIMPULAN

Sikap toleransi dan adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan menyebabkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dihormati ramai termasuklah penganut-penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi.

Rabu, 19 Februari 2014

TEMA 1 – KEPEMIMPINAN SALAHUDDIN AL-AYUBI

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gabenor yang memiliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)

Peperangan Salib di Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.

Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dan dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelamatkan kamu". Ketika dia(Salahuddin) mendengar berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah SAW naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin Yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.

Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.

Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.

Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Kematian Salahuddin Al-Ayubi

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara'

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.

Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Al-Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?"

Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini"

Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi"

Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.

Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin Al-Ayubi

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam".

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.

Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.

Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.

Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir Qur'an.

Sumber Asal : Klik Sini 

[ http://www.jomlayan.com/mybb/salahuddin-al-ayubi-sebagai-tokoh-katalis-kebangkitan-islam-t-2388.html ]

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

TEMA 1 – KEPEMIMPINAN NABI MUHAMMAD S.A.W SEBAGAI NEGARAWAN ULUNG

KEPIMPINAN NABI MUHAMMAD
Pengenalan
Nabi ialah seorang lelaki yang terpilih yang disampaikan kepadanya wahyu Allah untuk amalan dirinya sahaja. Seorang Rasul pula ialah seorang lelaki yang terpilih yang disampaikan wahyu Allah kepadanya untuk dirinya sendiri dan juga untuk disampaikan kepada orang lain.
Seorang negarawan atau pimpinan pulah dapat diertikan sebagai seorang ketua, ahli politik dan pentadbir yang cekap, yang berjaya membuat polisi pemerintahan dan pentadbiran yang baik, dan dapat pula membuat kejayaan yang banyak kepada negaranya di samping memberikan kemakmuran dan kesenangan kepada rakyatnya.
 
Benarkah Nabi Muhammad Bin Abdullah itu adalah seorang Nabi, Rasul dan negarawan yang agung. Terdapat banyak bukti yang dikutip daripada catatan ahli sejarah yang menunjukkan bahawa memang benar Muhammad Bin Abdullah itu ialah seorang Nabi, Rasul dan negarawan Tanah Arab yang ulung.
 
1.   Sebagai Nabi dan Rasul
Sebagai Nabi dan Rasul, baginda berakhlak mengikut ajaran dalam al-Quran. Sebagai seorang pendakwah, Nabi menunjukkan sifat-sifat sabar, lemah lembut, toleransi tetapi tegas dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawanya, terutamanya tentang aspek akidah. Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi, tidak pernah cuba menunjukkan kuasa-kuasa luar biasa walaupun beliau dianugerahkan pelbagai mukjizat oleh Allah. Sebagai pemimpin, baginda telah menentukan beberapa bidang bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Antaranya ibadat, nikah-kahwin, jenayah dan ketatanegaraan dan sebagainya.
 
Bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad: -
 
  • Pengalaman Kenabian
Bukti-bukti sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah mengalami proses pengalaman kenabian dan kerasulan seperti yang juga pernah dialami oleh nabi-nabi sebelumnya. Misalnya, pengakuan yang diberikan oleh Waraqah bin Naufal bahawa apa yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah petanda-petanda bahawa baginda bakal menjadi seorang Nabi. Pengakuan ini diberikan setelah isteri Nabi Muhammad s.a.w iaitu Saidatina Khadijah menceritakan kepada Waraqah bin Naufal tentang pengalaman baginda bertemu Malaikat di dalam Gua Hirak.
 
  • Kedatangan Nabi adalah Dinanti-nantikan
Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sendiri memang telah dinati-nantikan oleh sebahagian daripada masyarakat Arab. Misalnya ketika Abdul Mutalib mengunjungi Yaman untuk menyatakan tahniah kepada Saif Zu Yazin yang berjaya menguasai semuala Yaman daripada orang-orang Habsyah. Saif Zu Yazin telah memberitahu kepada Abdul Mutalib tentang bakal kelahiran seorang bayi dari Mekah yang mempunyai "tanda tertentu" pada badannya yang akan menjadi pemimpin manusia sehingga ke Hari Kiamat.
 
  • Keterangan dari Kitab-kitab Terdahulu
Kitab-kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Musa a.s (Taurat) dan Isa a.s (Injil) dengan jelas ada menyatakan tentang bakal kelahiran seorang Nabi dari arah Mekah dan dari keturunan keluarga atau saudara-mara Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s itu sendiri, walaupun bukan dari keturunan Yahudi atau Nasrani. Malah kaum Yahudi di Yastrib (Madinah) sering pula menakut-nakutkan masyarakat Arab kota itu tentang kelahiran "Nabi" tersebut yang diceritakan dalam kitab mereka (Taurat). Mereka mendakwa "Nabi" tersebut akan menganut agama Yahudi dan mengalahkan orang-orang Arab.
 
  • Keterangan dari al-Quran
Ayat-ayat dari kitab suci al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan tegas menjelaskan bahawa Muhammad bin Abdullah itu ada menerima wahyu dari Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s dan seterusnya baginda diarahkan agar menyampaikannya kepada umat manusia yang lain.
 
  • Mukjizat-mukjizat Nabi
Seperti juga nabi-nabi terdahulu, Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai berbagai mukjizat. Di antaranya ialah baginda sering menerima berita-berita ghaib atau ramalan-ramalan masa depan dengan tepat. Misalnya setelah tiga tahun umat Islam dipulaukan oleh kaum Quraisy, Nabi Muhammad s.a.w menyatakan kepada Abu Talin bahawa piagam pemulauan tersebut yang disimpan di dalam Kaabah telah hancur dimakan oleh anai-anai. Apabila disiasat oleh kaum Quraisy didapati bahawa apa yang dinyatakan oleh baginda itu benar-benar berlaku.
 
  • Bukti Sejarah Tugas-tugas Nabi
Sumber-sumber sejarah lain termasuk yang dikaji oleh para orientalis ada menunjukkan bahawa baginda ada menerima wahyu dari Allah dan menyampaikannya kepada manusia yang lain. Kajian-kajian sejarah tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa baginda telah menjalankan tugasnya sebagai seorang Nabi dan Rasul yang cuba memimpin umatnya ke jalan yang benar.
 
2.   Sebagai Pemimpin Masyarakat
Setelah sampai di Madinah, baginda berjaya menamatkan permusuhan tradisi di antara Suku Aus dan Suku Khazraj. Kedua suku ini digabungkan menjadi golongan Ansar. Setelah itu, golongan Ansar ini digabungkan pula dengan golongan Muhajirin iaitu orang-orang Quraisy yang datang dari Mekah. Dengan kejayaan ini, baginda merupakan tokoh yang pertama yang menyatukan bangsa Arab yang berlainan keturunan sehingga menjadi satu umat yang padu dan kukuh.
 
3.   Sebagai Pemimpin Politik Keunggulan Nabi dari segi politik dapat dikesan dalam: -
 
  • Menyelesaikan Masalah Perpindahan Hajar al-Aswad ke Tempat Asal
Baginda jga mempamerkan ciri-ciri kepimpinannya dengan berjaya menyelesaikan masalah yang timbul di kalangan pemimpin bani-bani dalam kabilah Quraisy yang merebutkan hak untuk meletakkan hajarul-aswad di tempatnya yang asal di penjuru dinding Kaabah. Peristiwa tersebut berlaku setelah kota Mekah dilanda banjir dan sebahagian daripada bangunan Kaabah telah runtuh. Semasa hendak meletakkan semula batu hajarul-aswad di sudut dinding Kaabah, bani-bani di Mekah bertelagah sesama sendiri. Hal ini kerana batu tersebut dianggap sangat suci dan mulia dan hanya tangan yang mulia dari bani atau suku yang mulia sahaja yang layak meletakkan semula batu tersebut ke tempat asalnya. Akhirnya mereka memilih Nabi Muhammad s.a.w sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah tersebut. Baginda telah meletakkan batu tersebut di atas sehelai kain. Setelah itu setiap wakil bani memegang bahagian hujung kain tersebut dan beramai-ramai mengangkatnya. Nabi Muhammad s.a.w sendiri meletakkan batu tersebut ke tempat asalnya di sudut Kaabah. Cara itu menyebabkan seluruh pihak yang bertelagah itu merasa puas hati.
 
  • Membentuk Piagam Madinah
Pada tahun 1 Hijrah baginda berjaya menggubal sebuah perlembagaan yang dinamakan Perlembagaan Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Hal ini seterusnya berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang pertama di dunia yang menampung rakyat berbilang kaum dan agama. Sesungguhnya perlembagaan ini lebih bersifat satu alat untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk yang ingin hidup aman damai dalam sebuah negara yang sama.
 
  • Mengadakan Perjanjian Hudaibiah
Perjanjian Hudaibiah yang diadakan di antara umat Islam Madinah dengan kaum Quraisy Mekah merupakan satu lagi bukti yang menunjukkan kebijaksanaan baginda. Tiada siapa dapat menyangka (termasuk Saidina Umar sendiri) bahawa perjanjian yang dianggap kontroversi itu telah memberikan penangan maut kepada kaum Quraisy dalam semua bidang. Sebagai buktinya, selepas Perjanjian Hudaibiah, tiga pahlawan unggul Quraisy iaitu Khalid al-Walid, Amru Bin al-As dan Osman Bin Talba memeluk Islam, umat Islam bertambah sebanyak lebih lima kali ganda dalam masa dua tahun sahaja, serta tewasnya Mekah tanpa pertumpahan darah dua tahun kemudian. Jelas bahawa baginda membuktikan kebijaksanaannya dalam selok-belok percaturan politik Tanah Arab.
 
  • Mengadakan Hubungan Diplomatik
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w buta huruf, namun baginda membuktikan kualitinya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan. Baginda mengadakan hubungan diplomatik dan menghantar utusan-utusan ke beberapa daerah di dalam dan di luar Tanah Arab seperti Habsyah, Farsi, Byzantine, Ghassan, Hirah dan sebagainya.
 
4.    Sebagai Perancang Ekonomi
Nabi Muhammad telah memperkenalkan ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman Jahiliah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja teras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian. Baginda telah membangunkan ekonomi orang Islam: tanah tergadai kepada kaum Yahudi ditebus balik dan dikerjakan; tanah terbiar diusahakan semula.
 
5.    Sebagai Pemimpin Ketenteraan
Asas kepimpinan baginda ialah berdasarkan akidah, syariat dan akhlak yang mulia.
Baginda dan sahabatnya menetapkan dasar tertentu semasa perang seperti:
(a) Tidak memerangi orang lemah, orang tua dan kanak-kanak serta wanita;
(b) Tidak memusnahkan harta benda.
(c) Baginda turut mengamalkan sifat amanah - melaksanakan amanah Allah dan juga amanah umat Islam seluruhnya bagi memimpin tentera untuk  mencapai kegemilangan.
(d) Baginda bersifat adil - harta rampasan dibahagi sama rata kepada tentera yang menyertai peperangan dan
(e) Tidak menceroboh pihak lawan seperti mengejar musuh yang sudah lari dari medan peperangan.
 
Baginda dianggap sebagai panglima tentera dan ahli strategi. Dengan ilmu dan pengalaman yang luas, baginda berjaya merangka takrif peperangan yang berkesan yang membawa kejayaan kepada tentera Islam.
 
-------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SOALAN
Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul tetapi juga seorang negarawan”. Bincangkan.
 
A. Pendahuluan
  1. Nabi Muhammad SAW diputerakan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun Gajah. Baginda diputerakan di kalangan keluarga ternama dalam masyarakat Quraisy.
  2. Baginda dilantik secara rasmi sebagai nabi ketika berusia 40 tahun. Baginda telah menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadhan bersamaan 16 Ogos 610 Masihi, iaitu melalui surah Al Alaq ayat 1-5. Setelah itu diikuti pula dengan surah Al Mudatthir ayat 1-7 yang menandakan kerasulan baginda SAW.
  3. Baginda mula menjalankan dakwah secara sulit selama tiga tahun dan kemudian secara terbuka. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga pemimpin negara dan masyarakat, panglima tentera serta perancang ekonomi yang disegani .
B. Isi-isi penting:
1.    Baginda diakui sebagai nabi dan rasul melalui tiga cara iaitu menerusi kitab suci al-Quran,Taurat, Injil dan Zabur, kedua melalui sifat-sifat kenabian seperti menerima wahyu dan memiliki sifat mulia seperti Siddiq, amanah, tabliqh, dan fatanah serta melalui bukti-bukti sejarah.  Selain kitab suci, tanda-tanda kenabian baginda sudah diperlihatkan sewaktu baginda masih kanak-kanak lagi. Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail untuk dibersihkan. Selama 13 tahun baginda di Mekah, baginda lebih dikenali sebagai seorang nabi dan rasul yang membawa agama Islam.  Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang dakwah baginda. Semasa menyebarkan agama Islam, nabi telah menunjukkan sifat sabar, lemah lembut, toleransi tetapi tegas.Teras ajaran adalah berpaksikan aspek aqidah, syariat dan akhlak. Baginda berakhlak menurut akhlak al-Quran sehingga menjadi insan yang paling sempurna dan menjadi ikutan seluruh umat manusia. Sebagai pemimpin agama, baginda telah menentukan beberapa bidang bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Bidang-bidang tersebut adalah seperti ibadat (solat,puasa,zakat dan lain-lain),nikah-kahwin, jenayah dan ketatanegaraan serta hubungan antarabangsa
 
2.    Baginda terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan negarawan. Semasa di Madinah, sifat-sifat kepemimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali. Baginda melakukan pelbagai langkah seperti:-
i.   Berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah perpecahan begitu lama .
ii. Mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri menerusi usaha gigih mempersaudarakan orang Ansar dan Muhajirin. Madinah menjadi kuat,aman,stabil dari segi politik dan ekonomi.
iii. Mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah dengan menyeru mereka bekerjasama dan bantu- membantu mempertahankan Kota Madinah dengan penggubalan Piagam Madinah.
iv. Menegakkan agama Islam dan tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya bukan Islam. Tidak memaksa menganut ajaran Islam.
v. Ketua-ketua suku diberi peranan mengendalikan urusan dan masalah anggota suku masing-masing selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
vi. Membentuk konsep ummah yang berteraskan kepada kesatuan aqidah dan menolak semangat assabiyah zaman jahiliyah.
 
3.    Kepimpinan politik nabi terserlah sejak baginda di kota Mekah lagi seperti dalam menyelesaikan masalah meletakkan semula Hajar Aswad ke tempat asal di Kaabah akibat banjir yang melanda Makkah ketika itu.
Dalam perjanjian Aqabah, baginda menunjukkan kepimpinan politik yang matang sehingga mendapat sokongan yang baik dari orang Aus dan Khazraj. Sebagai pemimpin politik yang berkaliber, nabi tidak pernah menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain terutamanya Yahudi, malah terus mengadakan perundingan dengan mereka.
Berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar dan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar di  Madinah.
Membentuk Piagam Madinah sebagai panduan pentadbiran Madinah yang berteraskan wahyu.
Dalam politik di peringkat antarabangsa baginda dianggap diplomat yang berjaya kerana baginda menghantar perwakilan ke Habsyah, Mesir, Byzantine, dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam. Tidak sampai setengah abad,semua negara tersebut tunduk di bawah pemerintahan Islam.
Sistem syura diperkenalkan dalam semua bidang termasuk politik dan ekonomi.
 
4.    Nabi sebagai perancang ekonomi, baginda memperkenalkan dasar ekonomi baru menggantikan dasar ekonomi jahiliyah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras, dan aktif dalam urusan perniagaan dan pertanian.
Masyarakat diminta mengelakkan riba, dan diwajib menunaikan zakat serta jujur dalama urusniaga.
Nabi berusaha membangunkan ekonomi Islam dengan menggalakkan tanah-tanah terbiar diusaha semula, tanah tergadai ditebus semula dan dikerjakan. Telaga-telaga air milik orang Yahudi yang asalnya milik orang Islam telah dibeli dan dikuasai semula orang Islam.
 
5.    Dalam bidang ketenteraan,baginda menjadi pemimpin tentera bagi setiap ekspedisi ketenteraan yang disertainya. Asas ketenteraan baginda adalah berdasarkan aqidah, syariah, dan akhlak mulia.
Baginda mempunyai keyakinan ketika menghadapi musuh. Dalam peperangan,baginda bertindak mengikut batas-batas dan etika yang ditetapkan seperti tidak memerangi golongan lemah,dan golongan tidak bersenjata, serta tidak memusnahkan harta benda dan tanaman.
Baginda menunjukkan akhlak baik dengan perasaan kemanusiaan seperti pernah memulangkan harta benda musuh yang ditawan (Perang Hunain dan Perang Taif). Kaedah ini menarik minat musuh untuk memeluk agama Islam.
Rasulullah SAW ialah seorang pemimpin perang yang cekap dan berpengetahuan luas dalam bidang taktik dan strategi perang. Contohnya dalam perang Badar , baginda menggunakan sistem saf, dalam perang Khandak menggunakan sistem pertahanan parit, serta teknik mengepung dalam perang Taif.
 
Kesimpulan:
Jelaslah bahawa nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang disegani malah baginda merupakan seorang pemimpin masyarakat, negarawan, perancang ekonomi, dan pemimpin tentera yang berjaya. Baginda cuba menonjolkan Islam yang tidak hanya mementingkan aspek akidah, tetapi juga menitikberatkan hal ehwal kehidupan seharian. Baginda berjaya membina tamadun Islam dan diwarisi pula oleh khulafa’ al Rasyidin.
 

Ahad, 16 Februari 2014

INSTITUSI KHALIFAH

Khalifah (bahasa Arab: خليفة)(bahasa Inggeris: Caliph) secara harfiyah bermakna "pengganti" atau "wakil" yakni pemimpin umat Islam setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Mereka digelar sebagai khalifah Allah (perwakilan Allah) dan khalifah Rasulullah (pengganti utusan Allah).

Gelaran khalifah ini juga dikenali sebagai Amīr al-Mu'minīn (أمير المؤمنين) yang bermakna "pemimpin orang yang beriman". Sejak tumbangnya Empayar Turki Uthmaniyyah, gelaran ini tidak lagi digunakan.

Syarat-Syarat In’iqâd Seorang Khalifah

Syekh Taqiyuddin An Nabhani dalam Kitab Nizamul Hukm Fil Islam menyebutkan tujuh syarat sehingga seseorang layak menjadi Khalifah, dimana syarat tersebut menjadi syarat sah untuk diangkat menjadi Khalifah atau disebut sebagai syarat in’iqâd. Jika ada satu saja kekurangan, maka akad pengangkatan Khalifah menjadi tidak sah. Adapun syarat tersebut adalah :

  1. Berakal (Bukan Gila)
  2. Adil
  3. Merdeka (Bukan Hamba)
  4. Mempunyai Kemampuan Memimpin Negara (Daulah Islamiyah)

Syarat Perlantikan Khalifah

Jika sekelompok kaum Muslim di suatu wilayah Islam membaiat seseorang, ia sah sebagai Khalifah asal memenuhi syarat berikut:

  1. Memenuhi syarat in‘iqâd seorang Khilafah.
  2. Ada wilayah yang jelas dan rakyatnya.
  3. Keamanan dan kekuasaan di wilayah itu berada di tangan kaum Muslim, bukan diuruskan oleh orang asing.
  4. Khalifah itu harus langsung menerapkan syariat Islam secara menyeluruh dan sekaligus, tidak ditunda ataupun bertahap-tahap.

Khalifah Menerapkan Sistem Islam

Sistem yang benar. Ketika di Makkah, Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditawarkan kekuasaan dan menjadi pemimpin di kalangan orang Arab. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w. menolaknya kerana sebenarnya mereka mahukan Nabi Muhammad s.a.w. meninggalkan dakwahnya. Apabila kita teliti secara jernih, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan manusia terbaik di kalangan orang Arab sehingga digelar Al-Amin. Sudah tentu beliau lebih dari layak untuk menyandang jawatan ketua kaum Quraish ini.

Namun begitu, beliau tetap menolaknya. Ini berbeza di zaman Madinah iaitu selepas Hijrah Rasulullah, beliau tanpa berlengah-lengah terus melaksanakan Islam secara keseluruhan dan memimpin kaum Muslimin. Semua permasalahan dan perselisihan diselesaikan menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Di Madinah, karisma Rasulullah benar-benar telah menyatu dengan sistem yang digunakan untuk memerintah, yakni Sistem Islam. [1]

Di dalam Sistem Islam ada empat asas perlu diperhatikan iaitu;

  1. Kedaulatan di tangan syara’. Hanya syara’ yang berhak menentukan apa yang halal dan haram serta apa yang terpuji atau tercela. Manusia hanya memahami ayat-ayat Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
  2. Kekuasan di tangan umat. Maksudnya umatlah yang memilih pemimpin dengan rela untuk menerapkan Syariat Islam.
  3. Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
  4. Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak mengadopsi hukum syara’.

Kewajiban Hanya Satu Khalifah Bagi Dunia Islam

Keharaman mengangkat dua orang pemimpin (Khalifah) sebagai ketua negara ditegaskan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. :

«إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا اْلآخِرَ مِنْهُمَا»

Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya. (HR Muslim)

Makna Hadis dan Faedahnya

Hadis ini mengandung pengertian, jika dibaiat dua orang khalifah, maka orang yang dibaiat lebih akhir harus dibunuh. Baiat atas orang yang pertama haruslah baiat yang sah secara syar‘ie. Orang kedua, baik ia mengetahui adanya baiat pertama yang sah itu ataupun tidak, disuruh menanggalkan baiatnya dan segera membaiat Khalifah yang sah itu. Jika ia menolak, kata as-Suyuthi, ia harus diperangi meski sampai ia harus dibunuh; kecuali jika ia mengumumkan pembatalan baiat atas dirinya, berhenti dari merobek kesatuan kaum Muslim dan memecah jamaah mereka, berhenti menentang khalifah yang sah, dan segera memberikan baiat taat kepadanya.

Hadis ini memerintahkan Daulah Khilafah. Kaum Muslim hanya boleh memiliki seorang khalifah dan satu Khilafah. Haram diakadkan baiat kepada dua orang, apalagi lebih. Ibn Hazm menuturkan, kaum Muslim di seluruh dunia tidak boleh memiliki dua orang imam/khalifah, baik keduanya saling sepakat ataupun berselisih, di dua tempat berbeza atau di tempat yang sama. Imam an-Nawawi berkata, “Para ulama telah bersepakat bahwa tidak boleh diakadkan baiat kepada dua orang khalifah pada satu masa, baik wilayah Negara Islam itu luas ataupun tidak.”.

Tanggungjawab Khalifah terhadap Umat

Pertama : Memelihara Keturunan.

Antara langkah-langkah praktiknya:

  1. Mensyariahkan nikah dan mengharamkan penzinaan;
  2. Tidak memberikan kebebasan dalam tingkah laku, berhubungan bebas, seks bebas dan sebagainya;
  3. Menetapkan berbagai hukuman terhadap mereka yang berzina.

Dalam sistem kehidupan sekular, tentunya perkara-perkara tersebut tidak dapat dilakukan kerana melanggar hak asasi manusia yang merupakan tunjang kepada sistem demokrasi.

Kedua : Memelihara Akal.

Islam telah menetapkan beberapa perkara antaranya;

  1. Mewajibkan seluruh warganegara menuntut ilmu dengan pembiayaan sepenuhnya oleh negara. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para khalifah;
  2. Mencegah dan melarang dengan tegas segala perkara yang merosakkan akal seperti minuman keras dan dadah;
  3. Menetapkan hukuman terhadap semua yang terlibat dengan barangan larangan tersebut.

Dalam sistem sekarang, minuman keras dianggap barang yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerana cukai importnya. Maka, ianya hanya ‘diharamkan’ sekiranya tidak membayar cukai atau diseludup secara haram. Itu pun, hukumannya langsung tidak meninggalkan kesan terhadap pelakunya.

Ketiga : Memelihara Kehormatan.

Hal ini diatur dengan;

  1. Memberikan kebebasan untuk melakukan apa pun yang mubah(harus) selagi tidak keluar dari sempadan syariah;
  2. Melarang orang menuduh zina, jika tiada bukti, hukuman had al-qazaf iaitu disebat 80 kali akan dilaksanakan;
  3. Wanita dijadikan sebagai “kehormatan” yang mesti dipelihara, dan bukannya sebagai barangan murahan.

Era dunia sekular sekarang tidak menjamin kehormatan seseorang. Acara-acara hiburan, ekploitasi ke atas wanita, malah aksi-aksi pornografi (lucah) dibiarkan berleluasa.

Keempat : Memelihara Jiwa (Nyawa) Manusia.

Dengan syariah Islam setiap warga daulah Islam walau apa pun bangsa dan agamanya, akan terpelihara dan dijamin keselamatan jiwanya. Sebaliknya, tanpa syariah Islam, realiti hari ini menunjukkan bahawa setiap hari media ada melaporkan kes pembunuhan. Keluarga mangsa korban selalunya tak dilayan seadilnya. Berbeza dengan Islam yang menetapkan hukum qisas dan diyat.

Kelima : Memelihara Harta.

Dalam Islam, bukan hanya harta peribadi yang dilindungi, tetapi keperluan asas setiap individu juga terjamin. Harta milik umum seperti hasil galian, petroleum dan sebagainya hanya akan dikelolakan oleh negara dan dikembalikan bagi kesejahteraan rakyat. Sebaliknya, dalam sistem sekular keperluan asas pun tidak dijamin, apatah lagi harta milik umum hanya dirasai segelintir orang kaya termasuklah rakyat asing.

Keenam : Memelihara Agama.

Islam mempunyai hukuman bunuh bagi orang yang murtad. Dalam sistem sekular, agama ini sering diperlecehkan, aqidah umat juga tidak terpelihara untuk disesuaikan dengan prisip kebebasan beragama.

Ketujuh : Memelihara Keamanan.

Khalifah yang telah dibaiat, sudah tentu tidak akan membiarkan pihak asing menguasai kemanan daulah. Bahkan mereka yang merompak, merusuh dan membuat jenayah akan dibunuh, disalib dan diasingkan dari daulah (salah satu atau ketiga-tiganya). Bandingkan dengan situasi kini, penjenayah bebas keluar masuk penjara tanpa rasa kesal dan rakyat sentiasa rasa tidak aman dan selamat.

Kelapan : Memelihara Negara.

Dalam Islam, keutuhan daulah sentiasa dijaga. Pemberontak negara akan dihukum. Sebarang usaha untuk memecahbelahkan daulah akan dilumpuhkan. Bezanya kini, sistem sekular membiarkan negeri umat Islam berpecah menjadi serpihan kecil dan lemah.

Khalifah-Khalifah

Khulafa al-Rasyidin Di Madinah

Khilafah Bani Umayyah Di Damsyik

Khilafah Bani Abbasiyah di Baghdad

Khilafah Turki Uthmaniyyah

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Khalifah

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.