ENJIN CARIAN BAHAN

Isnin, 9 Disember 2013

Perang Jawa

BINCANGKAN FAKTOR-FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG JAWA DI INDONESIA ANTARA TAHUN-TAHUN 1825 – 1830

PENDAHULUAN

1. Perang yang berlaku di Jawa Tengah ini juga dikenali sebagai Perang Dipo Negoro kerana ia dilancarkan oleh seorang putera diraja Jogjakarta bernama Dipo Negoro.

2. Sebelum berlakunya Perang Jawa, Pulau Jawa pernah satu ketika dahulu dijajah oleh Inggeris apabila meletusnya Perang Napoleon (melalui Perjanjian Surat-surat Kew antara Inggeris dengan Belanda)

3. Raffles telah dilantik sebagai Laftenan Gabenor Inggeris di Pulau Jawa. Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Raffles sama ada dari segi politik mahupun dari segi ekonomi dan sosial.

5. Apabila Perang Napoleon tamat, seperti yang terdapat dalam surat-surat Kew, semua tanah jajahan Belanda di Timur termasuk Pulau Jawa dikembalikan kepada Belanda.

6. Raja William iaitu raja Belanda ketika itu telah melantik Baron Van der Capellan sebagai Gebenor Jeneral Belanda di Indonesia

7. Untuk memulihkan imej Belanda dan mengatasi masalah hutang Belanda, Capellan telah mengadakan pelbagai pembaharuan tetapi malangnya usaha beliau mendapat tentangan penduduk tempatan dan akhirnya mencetuskan peperangan yang dikenali sebagai Perang Jawa atau Perang Dipo Negoro.

8. Perang ini melibatkan golongan bangsawan dan petani yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Belanda di Pulau Jawa.

9. Perang Jawa meletus akibat daripada beberapa faktor ekonomi, politik, dan social / agama.

ISI JAWAPAN

A. FAKTOR EKONOMI

1. Pembatalan Kontrak Sewa Tanah

- Sistem kontrak sewa tanah telah lama dipraktikkan antara tuan tanah Indonesia dengan orang-orang Eropah dan Cina. Menurut sistem ini, penyewa akan membayar wang pendahuluan kepada tuan tanah dan mereka ini diberikan hak bukan sahaja menggunakan tanah tetapi juga diberi hak menguasai petani-petani. Keadaan ini menyebabkan petani diperas sementara tuan-tuan tanah mendapat banyak faedah daripada sistem ini.Apabila Van Der Capellan menjadi gabenor, beliau telah membatalkan kontrak sewa tanah ini berkuatkuasa mulai 1.1.1820 kerana berpendapat sistem ini merupakan satu bentuk penindasan ke atas masyarakat tempatan. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan bangsawan dan para petani terutamanya di daerah Jogjakarta dan Surakarta. Pembatalan sistem ini sebenarnya telah menyebabkan kehilangan sumber pendapatan di kalangan bangsawan sementara para penyewa pula telah menuntut balik bayaran pendahuluan yang diberikan kepada tuan-tuan tanah, sedangkan tuan-tuan tanah membelanjakan kesemua wang tersebut dan menghadapi masalah membayar balik. Sebagai langkah terakhir, tuan tanah terpaksa mengerah para petani bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang lebih untuk menjelaskan hutang kepada penyewa tanah. Langkah ini menyebabkan para petani tidak mempunyai masa untuk mengusahakan tanaman mereka sendiri.Keadaan ini menyebabkan petani tidak puas hati dengan dasar baru Belanda ini. Oleh yang demikian, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar tempatan dan petani lalu bangkit melancarkan Perang Jawa pada 1825

2. Pengenaan Pelbagai Jenis Cukai Yang Membebankan

Para petani juga tidak puas hati kerana dikenakan pelbagai jenis cukai yang tinggi.Contohnya di Kediri terdapat 35 jenis cukai yang dikenakan ke atas penduduk tempatan.Antaranya; cukai tanah, cukai sempadan, cukai garam serta cukai membawa bayi.Orang Jawa yang melalui tanah kerajaan untuk ke ladang mereka dikenakan bayaran tol dan dikenakan cukai sempadan apabila mereka membawa hasil dari kawasan mereka ke kawasan kerajaan. Kemarahan meningkat apabila kuasa mengutip cukai diserahkan kepada orang Cina yang mengenakan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

3. Kegiatan Peminjam Wang dan Orang Tengah Cina

Perasaan anti Cina semakin memuncak apabila orang Cina yang menjadi peminjam wang dan orang tengah dalam urusan perniagaan mengenakan kadar faedah yang tinggi ke atas pinjaman-pinjaman yang diberi kepada para petani dan penduduk tempatan


B. FAKTOR POLITIK

1. Keengganan Belanda Melantik Dipo Negoro Sebagai Pemerintah Jogjakarta

Dipo Negoro atau Pangeran Anta Wiria adalah putera sulung Sultan Hamengkubuwono III yg memerintah Jogjakarta (1810-1814).Setelah kemangkatan ayahandanya, beliau tidak dilantik sebagai sultan sebaliknya adiknya Djarot yang berketurunan gahara ditabalkan menjadi raja oleh Raffles yang memerintah Jawa pada masa itu.Tindakan ini telah ditentang oleh Dipo Negoro tetapi Raffles berjaya mententeramkan keadaan dengan memujuk dan menjanjikan takhta selepas kemangkatan Djarot kelak.Apabila Djarot mangkat pada tahun 1822, Jawa pada masa itu diperintah oleh Belanda di bawah Gabenor Baron Van der Cappelan. Baron Van der Cappelen tidak menunaikan janji yang dibuat oleh Raffles, sebaliknya beliau telah melantik anak Djarot yang baru berusia dua tahun sebagai raja. Dipo Negoro menjadi sangat marah kerana sudah dua kali beliau diketepikan daripada takhta, lalu melancarkan Perang Jawa menentang Belanda

C. FAKTOR SOSIAL

1. Keengganan Belanda Mengiktiraf Depo Negoro Sebagai Pemimpin Orang / Agama Islam

Dipo Negoro adalah seorang Islam yang alim.Ketokohannya sebagai pemimpin agama disanjung tinggi oleh masyarakat tempatan. Menurut kepercayaan tradisional orang Jawa, Dipo Negoro dianggap sebagai Ratu Adil yang akan membela nasib dan menyelamatkan mereka daripada segala penindasan dan cengkaman penjajah. Tetapi malangnya kedudukian Dipo Negoro sebagai pemimpin agama Islam tidak diiktiraf oleh Belanda. Keengganan Belanda ini telah sekali lagi menaikkan kemarahan Dipo Negoro, lalu melancarkan Perang Jawa menentang Belanda

2. Tindakan Belanda Membina Jalan Raya Melaui Tanah Perkuburan Islam

Kemarahan Dipo Negoro sampai ke kemuncak apabila Dipo Negoro berasa terhina apabila kerajaan Belanda berkeras ingin membina jalan raya di Jogjakarta melalui perkuburan orang Islam yang di dalamnya terdapat makam moyangnya.Beliau bukan sahaja berasa terhina malah berpendapat tindakan Belanda sebagai penghinaan terhadap keluarga dan juga mencabul kesucian agama Islam.Pada tahun 1825, apabila Belanda membuat keputusan membina jalan raya tersebut, Dipo Negoro lalu mengistiharkan perang Jihad terhadap Belanda.Masyarakat tempatan di Jogjakarta telah memberi sokongan kepada Dipo Negoro.Beliau disertai Sentot dan Mangku Bumi.

KESIMPULAN

Tindakan Belanda mengenepikan kepentingan pemerintah dan masyarakat tempatan di Indonesia telah mengundang kemarahan dan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.Ketidakpuasan hati ini bertambah ekoran sikap orang Cina yang menindas masyarakat setempat dari segi kutipan cukai.Kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap Belanda dan orang Cina bergabung sehingga mencetuskan Perang Jawa selama 5 tahun (1825 – 1823). Walaupun memngalami kegagalan tetapi ia telah berjaya melahirkan gerakan nasionalisme pada jangka masa panjang.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.