ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 10 Disember 2013

TEMA 1 –KEPEMIMPINAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH

Osmanli-nisani.svg    Muhammad al-Fatih

Zaman     :   Kebangkitan Empayar Uthmaniyyah

Nama penuh    :  Sultan Muhammad Al-Fatih
سلطان محمد الفات 

Tarikh lahir     :  29 Mac 1432

Tempat lahir    :   Edirne

Tarikh mangkat    :   3 Mei 1481 (usia 49)

Tempat mangkat    :   Hünkârçayırı, berdekatan Gebze

Wangsa    :   Dinasti Uthmaniyyah

Bonda    :   Hüma Hatun

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH

Sultan Muhammad Al Fatih merupakan seorang pemimpin yang begitu istimewa. Hinggakan perihal tentang baginda pernah disebut Rasulullah SAW di dalam satu Hadisnya.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menyebut bahawa Constantinople akan dibuka oleh raja dan tentera terbaik, kerajaan Islam sepanjang zaman telah berusaha menjadikannya kenyataan.

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam Hadis Rasulullah tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Diantaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.

KISAH SAHABAT NABI

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam Hadis tersebut.

PENGENALAN

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang puteri raja berketurunan Nasrani.

Sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Sultan Muhammad al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di masjid.

Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

PERSIAPAN MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Mengkaji Strategi

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Pembinaan Angkatan Tentera

Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan Costantinople itu nanti.

Pembinaan Peralatan Perang Moden

Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.

Pembinaan Benteng Rumeli Hissari

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople dimana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.

Perjanjian Bersekutu

Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Pakar Motivasi

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.

Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Taktik Terhebat

Tentera Laut Othmaniyyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople.

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan!

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah AllahuAkbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahawa “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)... Sebaik-Baik Tentera - tidak ada seorang pun tentera Islam yang terpilih ketika itu pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sejak akhil baligh... Sebaik-baik Raja - Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh...

SUMBANGAN

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque. Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.

MANGKAT

Baginda mangkat pada 3 Mei 1481. Banyak pendapat tentang sebab beliau meninggal dunia tetapi pendapat yang masyhur menyatakan beliau telah diracuni oleh tabib beliau Maesto Jakopa yang merupakan seorang yahudi. KetIka itu umurnya 46 tahun dan telah memerintah selama 26 tahun.

KONKLUSI

Marilah kita lihat faktor kecemerlangan dan kejayaan kepimpinan baginda:-

1. Keperibadian dan akhlak baginda mirip apa yang digambarkan sebagai keperibadian Islam yang unggul.

2. Baginda merupakan seorang yang begitu warak dan sempurna dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim serta cintakan Islam.

3. Memiliki Ilmu dan pengetahuan yang tinggi serta pelbagai yang melengkapkan baginda sebagai seorang pemimpin yang agung.

4. Mempunyai perancangan rapi dan strategi yang tersusun serta bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan bagi merealisasikan dan mencapai matlamat akhir yang diingini.

5. Memiliki ketokohan dan ciri-ciri sebagai seorang pemimpin yang sempurna dari pelbagai aspek yang diperlukan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Masyarakat Zaman Khulafa ar-rasyidin

HURAIKAN PELBAGAI GOLONGAN MASYARAKAT YANG TERDAPAT PADA ZAMAN KHULAFA AR – RASHIDIN .

A. PENDAHULUAN

1. PERLUASAN WILAYAH ISLAM.

Wilayah Islam telah berkembang hingga ke Iraq, Syria dan Mesir. Ini mempengaruhi corak masyarakat.

2. KOMPOSISI MASYARAKAT.

Terdiri daripada masyarakat Arab dan bukan Arab, Orang Arab termasuk golongan Muhajirin, Ansar dan Ahl – al – Ayyam. Golongan bukan Arab terdiri daripada kaum Parsi dan Qibti.

3. LATARBELAKANG MASYARAKAT.

Mereka menganut pelbagai kepercayaan dan menampilkan adat resam serta budaya masing – masing.

4. PENGENALAN KEPADA ZAMAN KHULAFA AR – RASHIDIN.

B. ISI – ISI PENTING ( Buat Rujukan Lanjut )

1. ORANG ARAB.

· Terdiri daripada orang Arab Utara dan Arab Selatan.

· Rasulullah telah berjaya menyatukan padukan masyarakat Arab seperti kaum Muhajirin dengan Ansar. Pembukaan kota Makkah telah menyebabkan Arab Quraisy menerima Islam dan memberi sumbangan yang besar kepada negara Islam.

· Di zaman Khalifah Ar – Rashidin orang Arab Madinah dan Arab Quraisy merupakan golongan yang penting membantu pentadbiran negara contohnya:

a. Khalifah Abu Bakar :

Khalid Al- Walid dan Amru Al – As merupakan panglima perang yang berjaya mengatasi golongan Ar – Riddah.

b. Khalifah Umar al – Khattab.

Melantik enam orang para sahabat seperti Ali bin Abu Talib, Uthman bin Affan dan Zubir bin Al – Awwam sebagai ahli Majlis Syura.

c. Uthman bin Affan :

Keluarga Bani Umaiyyah diberikan jawatan penting seperti Marwan al – Hakkam dan Muawiyyah bin Abu Sufyan sebagai Gabenor.

2. GOLONGAN AR – RIDDAH.

· Ia wujud di zaman Khalifah Abu Bakar al – Siddiq.

· Mereka terdiri daripada tiga golongan, iaitu :

a. Golongan Yang Enggan membayar zakat.

Mereka berpendapat zakat merupakan cukai yang hanya dibayar kepada nabi Muhammad. Mereka terdiri daripada penduduk Bahrain, Yamamah dan Hirah. Di Yamamah golongan ini diketuai oleh Abdul Malik bin Al – Mughirah.

b. Golongan Nabi palsu dan Pengikutnya.

Nabi – nabi palsu ini seperti Sajah dan Musailammah al – Kazab merupakan nabi palsu yang berpengaruh. Mereka mendakwa menerima wahyu. Tujuannya untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan peribadi. Musailammah mempunyai pengikutnya seramai 40, 000 orang yang berpusat di Yamamah.

c. Golongan Murtad.

Mereka terdiri daripada kabilah – kabilah Arab yang menerima Islam dengan tujuan mendapatkan perlindungan politik daripada negara Islam. Setelah nabi wafat mereka kembali semula kepada amalan jahiliah.

Abu Bakar mengambil tindakan dengan menghantar pendakwah supaya mereka kembali kepada ajaran Islam. Pasukan tentera Islam telah berjaya mengalahkan golongan ini dan mereka kembali semula kepada ajaran Islam.

3. GOLONGAN AHL – AL – AYYAM.

· Golongan ini wujud pada zaman pemerintahan Umar al- Khattab. Khalifah Umar telah membuka tanah di wilayah Iraq, Syria dan Mesir. Orang – orang Arab yang menyertai pasukan tentera membuka dan menetap di wilayah tersebut dikenali sebagai golongan ahl – al – Ayyam yang lain terutamanya bekas golongan Murtad.

· Golongan ini terdiri daripada suku Arab yang kecil seperti suku Syaiban dan bekas golongan Murtad. Mereka diberi kuasa mentadbir ladang dan tanah di wilayah Iraq dan memungut cukai sebagai mengenang jasa mereka dalam pentadbiran.

· Zaman Khalifah Umar al – Khattab terdapat lebih kurang 12000 orang. Pemimpin mereka ialah Al – Ashtar, Malik al – Harith dan Hujr al – Kindi.

4. GOLONGAN AL – QURRA.

· Berasal daripada golongan ahl – al – Ayyam yang diberikan amanah untuk menguruskan tanah di Iraq. Mereka menggelar diri mereka sebagai al – Qurra bagi menjaga status dan membezakan daripada golongan ahl – al – Ayyam yang lain terutama bekas golongan murtad.

· Di zaman Khalifah Uthman, sebahagian besar mereka memberontak kerana pengambilan kuasa pentadbiran tanah dan cukai di wilayah Iraq oleh Bani Umaiyyah. Golongan ini bertanggungjawab menyebabkan pembunuhan Khalifah Uthman.

· Mereka memberikan sokongan yang kuat kepada Khalifah Ali terutamanya Perang Jamal dan Perang Siffin.

5. GOLONGAN KHAWARIJ.

· Mereka terdiri daripada bekas penyokong Khalifah Ali yang terlibat dalam Perang Jamal dan Perang Siffin. Mereka tidak bersetuju dengan tindakan Khalifah Ali menerima perdamaian dengan tentera Muawiyyah dalam Perang Siffin dan rundingan Majlis Tahkim.

· Kegagalan Majlis Tahkim menyebabkan golongan ini menggelar diri mereka sebagai golongan Khawarij. Mereka berpendapat perpecahan sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas Khalifah Ali, Muawiyyah bin Abu Sufyan dan Amru Al – As. Mereka melancarkan gerakan untuk membunuh ketiga – tiga pemimpin tersebut. Mereka membunuh Khalifah Ali dan melancarkan gerakan menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

6. GOLONGAN BERKECUALI.

· Terdiri daripada golongan yang tidak mahu terlibat dalam konflik antara Ali dan Muawiyyah. Mereka tinggal di Hijjaz.

7. GOLONGAN BUKAN ARAB ( ‘AJAM )

· Golongan Mawali.

Terdiri daripada orang bukan Arab, iaitu kaum Parsi yang telah memeluk agama Islam. Kebanyakan mereka tinggal di Iraq. Di zaman ini mereka tidak dikenakan bayaran cukai jizyah.

8. ORANG BUKAN ISLAM.

· Terdiri daripada orang Arab dan bukan Arab seperti kaum Yahudi, Qibti, Parsi. Mereka tinggal di luar Semenanjung Tanah Arab.

· Mereka menganuti agama Kristian, Yahudi dan Majusi.

· Mereka mendapat perlindungan politik dan layanan yang adil daripada kerajaan Islam dengan membayar cukai jizyah.

C. KESIMPULAN

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

PBS Sejarah 2014

Panduan PBS Sejarah 940/4 Penggal 2 2014.

Download Sini : DOWNLOAD

Kredit : Cikgu Norliza Lau Abdullah

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 9 Disember 2013

Perang Jawa

BINCANGKAN FAKTOR-FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG JAWA DI INDONESIA ANTARA TAHUN-TAHUN 1825 – 1830

PENDAHULUAN

1. Perang yang berlaku di Jawa Tengah ini juga dikenali sebagai Perang Dipo Negoro kerana ia dilancarkan oleh seorang putera diraja Jogjakarta bernama Dipo Negoro.

2. Sebelum berlakunya Perang Jawa, Pulau Jawa pernah satu ketika dahulu dijajah oleh Inggeris apabila meletusnya Perang Napoleon (melalui Perjanjian Surat-surat Kew antara Inggeris dengan Belanda)

3. Raffles telah dilantik sebagai Laftenan Gabenor Inggeris di Pulau Jawa. Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Raffles sama ada dari segi politik mahupun dari segi ekonomi dan sosial.

5. Apabila Perang Napoleon tamat, seperti yang terdapat dalam surat-surat Kew, semua tanah jajahan Belanda di Timur termasuk Pulau Jawa dikembalikan kepada Belanda.

6. Raja William iaitu raja Belanda ketika itu telah melantik Baron Van der Capellan sebagai Gebenor Jeneral Belanda di Indonesia

7. Untuk memulihkan imej Belanda dan mengatasi masalah hutang Belanda, Capellan telah mengadakan pelbagai pembaharuan tetapi malangnya usaha beliau mendapat tentangan penduduk tempatan dan akhirnya mencetuskan peperangan yang dikenali sebagai Perang Jawa atau Perang Dipo Negoro.

8. Perang ini melibatkan golongan bangsawan dan petani yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Belanda di Pulau Jawa.

9. Perang Jawa meletus akibat daripada beberapa faktor ekonomi, politik, dan social / agama.

ISI JAWAPAN

A. FAKTOR EKONOMI

1. Pembatalan Kontrak Sewa Tanah

- Sistem kontrak sewa tanah telah lama dipraktikkan antara tuan tanah Indonesia dengan orang-orang Eropah dan Cina. Menurut sistem ini, penyewa akan membayar wang pendahuluan kepada tuan tanah dan mereka ini diberikan hak bukan sahaja menggunakan tanah tetapi juga diberi hak menguasai petani-petani. Keadaan ini menyebabkan petani diperas sementara tuan-tuan tanah mendapat banyak faedah daripada sistem ini.Apabila Van Der Capellan menjadi gabenor, beliau telah membatalkan kontrak sewa tanah ini berkuatkuasa mulai 1.1.1820 kerana berpendapat sistem ini merupakan satu bentuk penindasan ke atas masyarakat tempatan. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan bangsawan dan para petani terutamanya di daerah Jogjakarta dan Surakarta. Pembatalan sistem ini sebenarnya telah menyebabkan kehilangan sumber pendapatan di kalangan bangsawan sementara para penyewa pula telah menuntut balik bayaran pendahuluan yang diberikan kepada tuan-tuan tanah, sedangkan tuan-tuan tanah membelanjakan kesemua wang tersebut dan menghadapi masalah membayar balik. Sebagai langkah terakhir, tuan tanah terpaksa mengerah para petani bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang lebih untuk menjelaskan hutang kepada penyewa tanah. Langkah ini menyebabkan para petani tidak mempunyai masa untuk mengusahakan tanaman mereka sendiri.Keadaan ini menyebabkan petani tidak puas hati dengan dasar baru Belanda ini. Oleh yang demikian, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar tempatan dan petani lalu bangkit melancarkan Perang Jawa pada 1825

2. Pengenaan Pelbagai Jenis Cukai Yang Membebankan

Para petani juga tidak puas hati kerana dikenakan pelbagai jenis cukai yang tinggi.Contohnya di Kediri terdapat 35 jenis cukai yang dikenakan ke atas penduduk tempatan.Antaranya; cukai tanah, cukai sempadan, cukai garam serta cukai membawa bayi.Orang Jawa yang melalui tanah kerajaan untuk ke ladang mereka dikenakan bayaran tol dan dikenakan cukai sempadan apabila mereka membawa hasil dari kawasan mereka ke kawasan kerajaan. Kemarahan meningkat apabila kuasa mengutip cukai diserahkan kepada orang Cina yang mengenakan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

3. Kegiatan Peminjam Wang dan Orang Tengah Cina

Perasaan anti Cina semakin memuncak apabila orang Cina yang menjadi peminjam wang dan orang tengah dalam urusan perniagaan mengenakan kadar faedah yang tinggi ke atas pinjaman-pinjaman yang diberi kepada para petani dan penduduk tempatan


B. FAKTOR POLITIK

1. Keengganan Belanda Melantik Dipo Negoro Sebagai Pemerintah Jogjakarta

Dipo Negoro atau Pangeran Anta Wiria adalah putera sulung Sultan Hamengkubuwono III yg memerintah Jogjakarta (1810-1814).Setelah kemangkatan ayahandanya, beliau tidak dilantik sebagai sultan sebaliknya adiknya Djarot yang berketurunan gahara ditabalkan menjadi raja oleh Raffles yang memerintah Jawa pada masa itu.Tindakan ini telah ditentang oleh Dipo Negoro tetapi Raffles berjaya mententeramkan keadaan dengan memujuk dan menjanjikan takhta selepas kemangkatan Djarot kelak.Apabila Djarot mangkat pada tahun 1822, Jawa pada masa itu diperintah oleh Belanda di bawah Gabenor Baron Van der Cappelan. Baron Van der Cappelen tidak menunaikan janji yang dibuat oleh Raffles, sebaliknya beliau telah melantik anak Djarot yang baru berusia dua tahun sebagai raja. Dipo Negoro menjadi sangat marah kerana sudah dua kali beliau diketepikan daripada takhta, lalu melancarkan Perang Jawa menentang Belanda

C. FAKTOR SOSIAL

1. Keengganan Belanda Mengiktiraf Depo Negoro Sebagai Pemimpin Orang / Agama Islam

Dipo Negoro adalah seorang Islam yang alim.Ketokohannya sebagai pemimpin agama disanjung tinggi oleh masyarakat tempatan. Menurut kepercayaan tradisional orang Jawa, Dipo Negoro dianggap sebagai Ratu Adil yang akan membela nasib dan menyelamatkan mereka daripada segala penindasan dan cengkaman penjajah. Tetapi malangnya kedudukian Dipo Negoro sebagai pemimpin agama Islam tidak diiktiraf oleh Belanda. Keengganan Belanda ini telah sekali lagi menaikkan kemarahan Dipo Negoro, lalu melancarkan Perang Jawa menentang Belanda

2. Tindakan Belanda Membina Jalan Raya Melaui Tanah Perkuburan Islam

Kemarahan Dipo Negoro sampai ke kemuncak apabila Dipo Negoro berasa terhina apabila kerajaan Belanda berkeras ingin membina jalan raya di Jogjakarta melalui perkuburan orang Islam yang di dalamnya terdapat makam moyangnya.Beliau bukan sahaja berasa terhina malah berpendapat tindakan Belanda sebagai penghinaan terhadap keluarga dan juga mencabul kesucian agama Islam.Pada tahun 1825, apabila Belanda membuat keputusan membina jalan raya tersebut, Dipo Negoro lalu mengistiharkan perang Jihad terhadap Belanda.Masyarakat tempatan di Jogjakarta telah memberi sokongan kepada Dipo Negoro.Beliau disertai Sentot dan Mangku Bumi.

KESIMPULAN

Tindakan Belanda mengenepikan kepentingan pemerintah dan masyarakat tempatan di Indonesia telah mengundang kemarahan dan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.Ketidakpuasan hati ini bertambah ekoran sikap orang Cina yang menindas masyarakat setempat dari segi kutipan cukai.Kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap Belanda dan orang Cina bergabung sehingga mencetuskan Perang Jawa selama 5 tahun (1825 – 1823). Walaupun memngalami kegagalan tetapi ia telah berjaya melahirkan gerakan nasionalisme pada jangka masa panjang.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 8 Disember 2013

Sistem Manor

Huraikan  ciri-ciri sistem manor pada zaman feudal yang diamalkan di England.

Pendahuluan

Sistem manor merupakan asas kepada kegiatan ekonomi pada zaman feudal. Masyarakat disatukan dalam satu komuniti yang dikenali sebagai manor. Dalam sistem ini, sebahagian besar daripada penduduk amat bergantung kepada tanah.

Isi-isi Penting

(a) Ekonomi manor

· Aktiviti perdagangan tidak dijalankan antara manor.

· Manor menghasilkan barangan untuk keperluan sendiri.

· Besi dan garam diperoleh dari kawasan luar.

(b) Manorial tenant

· Lord akan bertindak sebagai raja, bishop, abbot, bangsawan besar atau sub-tenant di setiap institusi manor.

· Hal ehwal Lord akan diuruskan oleh steward atau baliff apabila Lord tiada dalam daerah berkenaan.

· Terdapat pelbagai kumpulan tenant, iaitu freemen, villain, cottar dan hamba.

(c) Aktiviti pertanian

· Kaedah pertanian yang dikenali sebagai sistem tanah lapang diamalkan.

· Mengikut sistem ini tanah dibahagikan kepada tiga bahagian untuk pusingan dalam penanaman.

· Sistem ini menjamin hak bagi setiap petani untuk mengusahakan hanya satu bidang tanah.

(d) Tugas dan tanggungjawab Lord

· Lord mempunyai tanggungjawab ke atas tenant.

· Lord harus melindungi tenant daripada sebarang ancaman dan memastikan peraturan dalam manor berjalan dengan lancar.

· Lord juga menyelesaikan perbalahan tentang tanah dan hasil pengeluaran.

· Tenant dikehendaki menyerahkan sebahagian daripada hasil kepada tuan tanah.

(e) Tanggungjawab petani

· Petani dikehendaki mengusahakan tanah milik tuan tanah.

· Selain membayar sewa, petani dikehendaki memberi khidmat buruh kepada tuan tanah.

· Petani juga tertakluk kepada undang-undang kehakiman yang ditetapkan oleh tuan tanah.

(f) Kehidupan petani

· Rumah petani dibina daripada kayu dan tanah.

· Terdapat keselesaan yang amat minimum di dalam rumah petani

· Makanan kurang dan tidak terdapat banyak pilihan.

· Waktu bekerja amat panjang dan rutin kehidupan mereka hampir sama setiap hari.

Kesimpulan

Institusi manor diumpamakan sebagai suatu dunia kecil yang terangkum di dalamnya sistem ekonomi dan politik. Petani hanya mempunyai hubungan yang amat sedikit dengan dunia luar.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Peranan institusi beraja

Bincangkan peranan yang dimainkan oleh institusi beraja dalam pentadbiran di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah British 1874

PENGENALAN

1. Dalam hieraki masyarakat Melayu, Raja berada pada kedudukan yang paling tinggi dan memainkan peranan yang penting untuk melaksanakan dan melicinkan pentadbiran.

2. Kedudukan Raja yang tinggi juga dianggap sebagai simbol keagungan serta kewibawaan sebagai pemerintah tunggal yang dikatakan berkuasa mutlak dalam pemerintahannya.

3. Raja juga dikatakan wakil Allah di bumi dan mempunyai kedaulatan dan keistimewaan dan sebagai balasannya, rakyat hendaklah menyerahkan taat setia sepenuhnya. Raja berkuasa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu sebelum kedatangan British.

ISI-ISI

Politik

1. Raja menjadi ketua kerajaan dan bertanggungjawab melaksanakan semua aspek pentadbiran negeri.

2. Baginda berperanan sebagai ketua dalam hal ehwal luar negeri dan berkuasa mengesahkan sesuatu persetiaan dengan kuasa-kuasa asing melalui cop mohor yang merupakan lambang kuasa raja yang memerintah. Raja bertindak melantik pembesar bagi membantu menguruskan pentadbiran negara.

3. Dalam bidang perundangan dan kehakiman, Raja berperanan sebagai penggubal undang-undang dan berperanan sebagai ketua hakim. Segala perintah dan arahan Raja serta perakuan Raja, dianggap sebagai undang-undang dan baginda juga bertanggungjawab mengendali dan memutuskan hukuman daripada sekecil-kecil hukuman sehinggalah hukuman mati. Baginda memelihara undang-undang dalam negeri untuk mengawal kesejahteraan rakyat.

4. Sebelum kedatangan penjajah British di Tanah Melayu, raja melaksanakan kuasa kerajaan pusat yang terhad dalam menguruskan hubungan luar.

5. Raja juga bertindak sebagai ketua angkatan tentera dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengawal keselamatan bagi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat jelata. Baginda bertanggungjawab menyediakan pasukan tentera melatih dan membekalkan peralatan senjata untuk memastikan negara mempunyai yang secukupnya.

Ekonomi

1. Raja bertindak menguruskan sumber ekonomi negara seperti memajukan sistem pertanian secara komersil, menguruskan kegiatan perlombongan dan menguruskan kegiatan perhutanan. Sumber-sumber ekonomi ini sangat penting kepada pendapatan negara.

2. Raja juga berkuasa mutlak dalam hal cukai dan percukaian. Baginda bertindak memperkenalkan pelbagai jenis cukai seperti cukai tanah, cukai hasil, cukai pelabuhan dan sebagainya.

3. Berperanan sebagai pemodal dalam perdagangan dan eksport barang-barang dagangan tempatan dan bergiat cergas dalam aktiviti ekonomi perdagangan.

4. Berkuasa mengeluarkan surat kebenaran membeli, menjual, dan memajak cukai kepada pedagang.

5. Baginda juga membenarkan pelabur-pelabur yang berpengalaman dan memiliki modal yang besar untuk menguruskan kegiatan ekonomi berpotensi.

Sosial

1. Berperanan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu.

2. Mengurniakan anugerah kepada rakyat yang berjasa kepada Sultan dan negeri.

3. Berperanan mengesahkan sesuatu keputusan dalam Majlis Penasihat Raja.

4. Raja juga bertindak menyediakan kemudahan dan kebajikan kepada rakyat bagi memastikan kehidupan rakyat yang selesa.

5. Raja juga mempunyai adat istiadat yang perlu dipertahankan.

KESIMPULAN

1. Raja memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kestabilan dan kekuatan negara sebelum kedatangan penjajah.

2. Baginda mempunyai kuasa tertinggi dan dibantu oleh pembesar bagi menguruskan pemerintahan negara berjalan lancar.

3. Peranan Raja di Tanah Melayu semakin hilang apabila bermulanya campur tangan British ke atas Tanah Melayu pada tahun 1874.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 6 Disember 2013

Lawatan ke blog...........

Lamanya saya tak kemaskini blog nih.......

Moga saya tak sibuk lagi dan ada masa untuk blog nih...

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.