ENJIN CARIAN BAHAN

Isnin, 25 Julai 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 – AGAMA DAN KEPERCAYAAN TAMADUN INDUS

    Huraikan tentang agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa ( Lembah Indus ).

    Pendahuluan (3 markah)

  • Istilah agama dikenali sebagai religion dalam bahasa Inggeris yang berasal daripada perkataan Latin religare. Istilah agama dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit agama yang bermaksud jalan untuk memperolehi keredaan Tuhan dan kepercayaan pula adalah bermaksud sesuatu yang dianggap sebagai benar.

  • Agama merujuk kepada segala kepercayaan terhadap Tuhan, dewa dan roh nenek moyang serta kebaktian dan kewajipan yang berkaitan dengannya. Ahli-ahli sosiologi mentakrifkan agama sebagai satu sistem kepercayaan dan amalan di mana satu kelompok manusia mempunyai tafsiran dan gerak balas yang tersendiri terhadap apa yang dianggap suci atau kudus.

  • Masyarakat di Mohenjo-Daro dan Harappa atau Lembah Indus ini mempunyai tradisi keagamaan dan kepercayaan yang tersendiri. Penemuan mohor-mohor, patung dan bahan-bahan tembikar menunjukkan masyarakat di Lembah Indus ini telah mencapai kemajuan dalam aspek kerohanian. Kebanyakan daripada unsur-unsur kepercayaan dan agama masyarakat Mohenjo-Daro dan Harappa ini telah diwarisi dan diamalkan oleh masyarakat Hindu pada masa kini dan ini menunjukkan bahawa bahawa masyarakat tamadun ini telah meninggalkan satu impak yang mendalam dalam aspek agama dan kepercayaan

  • Latar belakang tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa ( Lembah Indus )

    Isi-isi ( 5 isi x 4 markah = 20 markah )

  • Kepercayaan Politeisme

    Masyarakat tamadun ini mengamalkan kepercayaan politeisme iaitu percaya kepada banyak tuhan. Sebagai contohnya, mereka menyembah banyak dewa-dewi dan dewa-dewi ini mempunyai kedudukan yang berlainan serta mewakili pelbagai fenomena alam seperti langit, bumi, air, api, bintang dan tumbuh-tumbuhan.

  • Penyembahan Dewi Ibu

    Menurut Sir John Marshal, kepercayaan masyarakat yang paling popular dalam tamadun ini ialah penyembahan Dewi Ibu dan hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan-penemuan patung-patung wanita di kawasan ini dan juga di selatan Baluchistan dan Lembah Zhob. Patung-patung wanita ini juga turut ditemui di Elam, Mesopotamia, Transcopia, Asia Kecil, Syria dan Palestin dan ini menunjukkan bahawa amalan ini turut tersebar luas di banyak kawasan. Amalan penyembahan Dewi Ibu ini mempunyai pengaruh yang amat mendalam di kalangan masyarakat India.

    Dewi Ibu dianggap proto prakriti ( tenaga kosmik ) dan sebahagian daripada jiwa kosmik ( Purusha ). Kepercayaan ini juga terdapat dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan amalan nasab ibu ( matriarchal ). Amalan penyembahan Dewi Ibu ini juga telah meletakkan asas bagi penyembahan saktisme.

  • Penyembahan Dewa Siva

    Penemuan sebuah mohor oleh Dr. E. Mackay pada tahun 1930 membuktikan bahawa terdapat amalan penyembahan Dewa Shiva dalam masyarakat tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa atau Tamadun Lembah Indus ini. Gambar dalam mohor ini menunjukkan seorang sedang duduk bersila dalam keadaan membuat yoga dan dia mempunyai tiga tanduk dan kepala. Tangannya dipenuhi gelang dan disekelilingnya terdapat beberapa ekor binatang seperti gajah, harimau, kerbau dan dua ekor rusa.

    Sir John Marshall mentafsirkan dewa berkepala tiga dalam gambar dalam mohor ini sebagai lambang Proto Shiva. Tiga kepala atau muka itu adalah mewakili konsep Trimurthi dan ianya melambangkan tiga fungsi utama Dewa Shiva iaitu penciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan.

    Mohor ini juga melambangkan konsep Mahayogi dan Mahatapah yakni Dewa Shiva ialah ketua bagi para yogi. Hal ini menunjukkan bahawa yoga adalah berasal daripada masayarakat di Lembah Indus. Mohor ini juga dikaitkan dengan konsep Pasupati yang merupakan asas kepada falsafah Saivisme dan menurut falsafah ini, Tuhan adalah ketua bagi semua jiwa. Manusia yang terdapat dalam lambang ini ditafsirkan sebagai Pati manakala binatang-binatang yang terdapat disekelilingnya dilambangkan sebagai Pasu.

  • Penyembahan Lingam dan Yoni

    Penyembahan Lingam dan Yoni merupakan satu lagi bentuk kepercayaan di Lembah Indus. Lingam ialah simbol Dewa Shiva dan Yoni adalah simbol Dewi Ibu. Penemuan batu-batu yang berbentuk kon di Mohenjo-Daro dan Harappa membuktikan kewujudan penyembahan Lingam. Para sarjana mengaitkan objek-objek berbentuk Lingam ini dengan mohor yang mempunyai lambang proto Shiva. Sementara itu, penemuan batu-batu yang berbentuk gelang yang besar melambangkan Yoni yang merupakan simbol Dewi Ibu.

  • Penyembahan Pokok

    Terdapat juga amalan penyembahan pokok dalam masyarakat di Lembah Indus di mana hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan mohor-mohor yang mempunyai lambang pokok Pipal dan Acacia di Mohenjo-Daro dan Harappa. Pokok Pipal Dan Acacia ini diatakan sebagai tempat tinggal dewa-dewi. Selain daripada pokok-pokok itu, pokok Udumbura, Bilva, Nimba dan Thulasi juga dianggap suci.

    Menurut Sastri, pokok Pipal adalah merupakan pokok yang paling suci dan ia melambangkan ilmu pengetahuan manakala pokok Acacia pula melambangkan jiwa. Dipercayai seseorang yang meletakkan atau mengikat daun pokok tersebut di kepala akan memperolehi ilmu. Sebilangan besar mohor-mohor yang ditemui di Mohenjo-Daro dan Harappa menunjukkan Dewa Pipal berdiri di bawah pokok tersebut. Dewa Pipal dikatakan sebagai ketua bagi semua dewa orang Indus dan penyembahan Dewa Pipal amat popular dan meluas di kalangan masyarakat di Lembah Indus.

  • Upacara Mandi Ritual

    Upacara mandi ritual diamalkan di Mohenjo-Daro di bawah pengawasan golongan pendeta. Kepentingan upacara mandi ritual ini dapat dibuktikan dengan kewujudan kolam mandi Great Bath yang dilengkapi dengan bilik-bilik kecil dan dewan bertiang. Kewujudan bilik air dengan salur keluar di kebanyakan kediaman merupakan satu lagi bukti amalan mandi ritual telah dipraktikkan di Lembah Indus. Upacara mandi ritual diadakan untuk menjaga kebersihan dan kesucian dan menghalau roh-roh jahat.

  • Tarian Ritual

    Di Lembah Indus juga terdapat amalan tarian ritual. Penemuan patung gangsa yang menunjukkan seorang perempuan sedang menari membuktikan kewujudan amalan tarian ritual ini.

  • Upacara Pengebumian

Masyarakat Lembah Indus terutamanya di Mohenjo-Daro dan Harappa juga percaya kepada kehidupan selepas mati. Dalam hal  ini, masyarakat ini mengebumikan mayat dengan berhati-hati di mana kepala dihalakan ke timur dan kaki menghala ke arah selatan. Upacara ini juga disertakan dengan barang-barang pengebumian seperti makanan dan senjata. Kajian oleh ahli sejarawan juga menunjukkan amalan membakar mayat dan membuang abu ke sungai sepertimana yang berlaku dalam masyarakat di Harappa.

Kesimpulan ( 2 Markah )

Masyarakat di Lembah Indus terutamanya di Mohenjo-Daro dan Harappa mempunyai kepercayaan dan agama yang unuk dan tersendiri. Dalam hal ini banyak kepercayaan masyarakat ini seperti penyembahan Dewi Ibu dan Dewa Shiva telah diwarisi dan diamalkan oleh orang India sehingga sekarang. Kewujudan pelbagai agama dan kepercayaan menunjukkan masyarakat di Lembah Indus ini telah mencapai kemajuan dalam aspek kerohanian dan idea keagamaan masyarakat ini telah tersebar ke kawasan lain seperti ke Mesopotamia.

* Apa sahaja kesimpulan yang sesuai

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Isnin, 4 Julai 2011

TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – AGAMA DAN KEPERCAYAAN ZAMAN JAHILIYAH

Huraikan tentang bentuk-bentuk agama dan kepercayaan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.

Pendahuluan

Zaman sebelum kedatangan Islam dipanggil zaman Jahiliah.

  • Jahiliah berasal dari perkataan "jahil" yang bermaksud bodoh. Menurut Philip K. Hitti dalam bukunya "History of the Arab's", jahiliah bermaksud bodoh atau jahil dari segi agama kerana pada ketika itu, tidak ada nabi dan tidak ada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai petunjuk. Mereka tidak boleh dianggap jahil atau bodoh dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka telah mempunyai tamadun yang tinggi.
  • Al-Quran tidak memberi batas tertentu bagi zaman jahiliah. Kamus Bahasa Arab menyebutkan zaman jahiliah sebagai zaman sebelum Islam, iaitu sebelum turunnya al-Quran.
  • Menurut Doktor Mahyuddin, zaman jahiliah ialah kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., iaitu selepas kejatuhan Kerajaan Sabak.
  • Masyarakat Arab Jahiliah mempunyai agama dan kepercayaan mereka sendiri.

Isi Jawapan ( 5 x 4 markah =20 markah)

( Jawapan boleh dimurnikan lagi ………)

Bentuk-bentuk agama dan kepercayaan masyarakat Arab sebelum Islam.

1) Agama Berhala

Agama berhala merupakan agama yang mempunyai pengikut terbesar di Semenanjung Tanah Arab. Berhala tersebut diperbuat daripada batu, kayu dan kadang-kala dari buah tamar (kurma). Tiap-tiap kabilah mempunyai patung berhala masing-masing. Antara berhala yang terkenal termasuklah al-Latta, al-Uzza, al-Manat dan al-Hubal. Sebahagian penduduk Tanah Arab tidak menganggap berhala Tuhan tetapi hanya sebagai perantaraan. Kepercayaan mereka bercampur-aduk antara percaya kepada Allah dan percaya berhala. Mereka ini dikenali sebagai golongan musyirikin, iaitu orang yang menyekutu Allah.

2) Agama Majusi

Agama ini tidak diamalkan secara meluas oleh orang-orang Arab Jahiliah. Ia dibawa masuk selepas Parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir abad ke-6 Masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek ketuhanan mereka. Di antara penganut agama ini yang terkenal ialah Zararah dan anaknya Hajib. Mereka berasal dari Bani Tamin yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Parsi. Agama ini terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah.

3) Agama Yahudi

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. berpandukan kepada kitab Taurat . Agama ini tersebar luas terutamanya di kawasan-kawasan Oasis di Barat Laut Semenanjung Tanah Arab, iaitu Tai'ma Khaiba, Padak dan Yathrib. Orang-orang Yahudi berasal dari Palestin. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Arab sejak abad pertama Masihi. Mereka telah menjadi kaya-raya dan berjaya menarik perhatian orang-orang Arab untuk menganut agama Yahudi. Orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan dan mereka menganggap al-Uzar sebagai anak tuhan. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

3) Agama Nasrani

Agama Nasrani adalah agama yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. berpandukan kitab Injil pada tahun 1 Masihi. Ia dibawa ke Semenanjung Tanah Arab oleh golongan pendakwah, pedagang-pedagang atau paksaan oleh tentera Rom atau Habsyah atas tanah jajahan mereka. Agama ini dapat sambutan dari penduduk Mekah dan Yathrib. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini termasuklah Warraqah Bin Naufal dan Uthman Bin Huwairith. Agama ini mempunyai 2 mazhab iaitu Mazhab Nestorian yang berkembang di kawasan Hirah dan Mazhab Jacobite yang dianuti oleh penduduk Ghassan dan kabilah-kabilah lain di sempadan Syria / Syam. Pusat agama Kristian yang utama di Semenanjung Tanah Arab ialah Najran. Bandar Najran terus menjadi bandar Nasrani hingga ke zaman Khalifah Umar. Malah terdapat pusat latihan paderi Nasrani di Wadi al-Qura, iaitu kawasan pedalaman Timur Hijaz.

4) Agama Hanif

Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Penganut agama ini mempercayai konsep keesaan Allah ataupun monoteisme. Di antara mereka yang menganut agama ini termasuklah Zaid b'Amr, Umaiyah Bin Abi Salt, juga kedua-dua ibu bapa nabi sendiri. Walau bagaimanapun, agama ini telah diselewengkan oleh golongan-golongan tertentu seperti juga agama Yahudi dan Nasrani, misalnya mereka menyembelih binatang korban dan darahnya dipercikkan di sekeliling kaabah.

5) Kepercayaan Animisme

Kepercayaan ini wujud bersama dengan kewujudan manusia. Ia berpunca dari sifat kagum manusia terhadap sesuatu objek yang ditemuinya. Mereka percaya wujudnya satu kuasa yang boleh menolong atau memberi mudarat kepada mereka. Oleh itu, mereka menyembah apa sahaja yang dianggap ganjil termasuklah bulan, matahari, pokok, batu, gua dan sebagainya.

6) Kepercayaan Adat

Kepercayaan adat dianggap sebagai unsur-unsur karut dan tahyul. Antara kepercayaan yang diamalkan ialah menilik nasib. Apabila memulakan sesuatu kerja baru, mereka akan melihat keadaan sekeliling bagi menjangka nasib. Biasanya, mereka akan melihat arah burung terbang. Jika burung terbang ke kiri bermaksud tidak selamat dan sebaliknya.

Kesimpulan

Terdapat banyak agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat arab sebelum Islam. Semua agama itu bertentangan dengan agama Islam kecuali agama Hanif yang ada sedikit persamaan.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Ahad, 3 Julai 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PEMERINTAHAN BERAJA

Huraikan perkembangan sistem pemerintahan beraja di China pada zaman Dinasti Han.

A) Pengenalan

1. Latar belakang Dinasti Han

2. Sistem pemerintahan di China.

3. Dinasti Han muncul setelah jatuhnya kerajaan dinasti Chin pada tahun 206 SM. Dinasti ini kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah China. Ibu negaranya terletak di Chang-an. Pencapaian terpenting dinasti Han ialah dari segi pembentukan sistem pemerintahan yang stabil. Sistem ini menjadi model kepada dinasti-dinasti China yang berikutnya.

B) Isi ( 20 markah: 5 isi x 4 markah )

1. Pemerintah tunggal (Maharaja) – pemusatan kuasa oleh maharaja.

Maharaja menduduki puncak kekuasaan tertinggi, berkuasa penuh untuk menggubal undang-undang, menguasai kerajaan dan mentafsir ideologi negara. Apabila mahu mengubah undang-undang, Maharaja hanya mengeluarkan perintah. Perintah Maharaja itu adalah undang-undang.

2. Sistem Pentadbiran

Maharaja dibantu oleh sebuah birokrasi, yang diuruskan oleh pegawai kerajaan. Mereka dilantik berasaskan kepada sistem peperiksaan awam. Dalam peperiksaan ini, mereka diuji pengetahuannya dari segi kesusasteraan, falsafah dan hal-ehwal pemerintahan. Para pegawai bertanggungjawab secara langsung kepada Maharaja. Untuk mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, Maharaja biasanya tidak membenarkan seseorang pegawai itu berkhidmat terlalu lama di satu-satu tempat atau di tempat kelahirannya dan juga terlalu lama memegang sesuatu jawatan. Sebab itu, seseorang pegawai kadang kala diserahkan beberapa tugas sekaligus, bagi mengelak pegawai berkenaan memperolehi kemahiran dalam satu bidang tertentu sahaja. Malah, pada ketika tertentu, satu-satu tugas diserahkan kepada beberapa pegawai untuk dikongsi tanggungjawab pelaksanaannya. Birokrasi disusun kepada beberapa kementerian seperti perkhidmatan awam, percukaian, keraian, hukuman, dan pengadilan, dan kerja-kerja awam.

3. Sistem Undang-Undang.

Undang-undang terhadap petani dan golongan bawahan lainnya tidak boleh dipersoalkan, tetapi bagi golongan atasan/bangsawan, bentuk dan kuat kuasanya lebih fleksibel. Kadangkala apabila kesalahan membabitkan orang atasan, undang-undang boleh dipinda atau dihapuskan. Dikuatkuasakan dengan mengenakan hukuman yang berat, tetapi kadangkala dilaksanakan dengan lebih bertimbang rasa oleh pegawai yang berperikemanusiaan.

4. Ideologi rasmi

Pegawai kerajaan merupakan mereka yang taat kepada falsafah Confucius, mereka menganut fahaman ini dengan patuh. Mereka menjadi obor kepada penyebaran dan kelangsungan Confucianisme dalam tamadun China. Berbeza dengan Dinasti Chin, Pemerintahan Han berdasarkan prinsip intelektual, kesarjanaan Confucius dan bukan lagi berasaskan prinsip keperwiraan tentera.

5. Kerajaan imperial

Pentadbiran empayar-empayar yang ditakluki Empayar Han berdasarkan sistem ufti sebagai tanda kepatuhan kepada kerajaan Han dan membentuk kerajaan imperial. Sistem ini bermula dengan Maharaja Han Wu Ti.

6. Hubungan diplomatik

Menjalin hubungan diplomatik dengan Tibet, Hsiung Nu, dan Bactria untuk menjamin kestabilan sempadan wilayah Han di China. Dasar ini adalah sebahagian dasar pembendungan musuh-musuh.

C) Kesimpulan

Melalui sistem pemerintahan yang diwujudkan itu, China memperolehi tatacara pemerintahan yang mantap. Meskipun Dinasti Han jatuh pada tahun 220M, dan selepas itu China beberapa ketika berada dalam huru-hara, tetapi setelah munculnya dinasti Sui, Tang, dan Sung kemudiannya, sistem pemerintahan di negara itu terus bergerak di atas landasan yang terbina pada zaman dinasti Han. Sistem tersebut menjadi amalan berterusan di negara China sehingga runtuhnya kerajaan dinasti Ching pada tahun 1911.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Sabtu, 2 Julai 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 –PETEMPATAN AWAL MANUSIA

Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun-tamadun awal manusia.

Pendahuluan

a. Perkembangan pembinaan petempatan pada tamadun-tamadun awal bermula kira-kira 5000 SM. Antara petempatan-petempatan terawal ialah bahagian utara di Zawi Chemi Shanidar dan Shanidar di timur laut Rawanduz, Karim Shahir, Qalat Jarmo, Hassuna dan Tell Arpachiya di Mesopotamia, Mesir utara dan Mesir Selatan, dan kawasan Indo-Iran di Indus.

b. Pembinaan petempatan di sekitar kawasan pertanian dan lembah-lembah sungai seperti Sg. Tigris dan Sg Eupharates di Mesopotamia, Sg. Nil di Mesir, Sg. Indus di India dan Sg. Hwang Ho di China.

Isi-Isi Jawapan (7 isi X 3 m = 21 m )

Faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun awal.

a. Pengaruh sungai dan sumber air:

Kebanyakan pembinaan petempatan-petempatan tamadun awal dipengaruhi oleh kedudukan sungai. Kawasan-kawasan yang berhampiran sungai menjadi pilihan pembinaan petempatan. Ini disebabkan sungai memberi sumber air minuman, makanan dan kegunaan dalam kehidupan. Contoh pembinaan petempatan di Mesopotamia berhampiran Sg. Tigris dan Sg. Eupharates, di Mesir lembah Sg. Nil menjadi pilihan petempatan manusia dan juga di India Lembah Sg Indus menjadi petempatan manusia.Sumber air telah mendorong manusia untuk hidup menetap dan membuka petempatan kekal kerana aktiviti ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perikanan. Sungai dan laut juga memainkan peranan penting dalam perhubungan dan pengangkutan.

b. Keadaan fizikal muka bumi:

Faktor fizikal muka bumi mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun awal manusia. Kebanyakan kawasan petempatan tamadun awal manusia terdapat di dataran-dataran lanar, tanah pamah dan lembah-lembah sungai. Mempunyai kecerunan tanah yang rendah. Tanah rendah dan bentuk muka bumi yang rata sesuai untuk pembinaan rumah sebaliknya kawasan yang tidak rata dan bergunung-ganang tidak sesuai untuk petempatan.

c. Kesuburan tanah :

Kesuburan tanah amat mempengaruhi pembinaan petempatan-petempatan tamadun awal manusia. Kawasan yang mempunyai kesuburan tanah menjadi tarikan manusia menetap di sesebuah kawasan. Tanah yang subur dan kemudahan sumber air mewujudkan kegiatan pertanian dan penternakan. Lembah sungai seperti Tigris dan Euphrates merupakan tanah lanar yang sangat subur dan sesuai untuk pertanian. Di China Lembah Hwang Ho terdiri daripada tanah loes yang subur.

d. Kegiatan pertanian :

Kegiatan pertanian sebagai kegiatan ekonomi utama manusia dalam tamadun awal. Kegiatan pertanian dijalankan untuk menampung keperluan makanan seperti tanaman padi, gandum, barli dan lain-lain lagi. Disamping itu kegiatan penternakan dan menangkap ikan turut dijalankan. Kedudukan sungai yang berhampiran menyediakan sumber air dan sistem pengairan kepada kegiatan pertanian.

e. Migrasi dan Pertambahan penduduk :

Berlakunya proses migrasi ke kawasan-kawasan petempatan-petempatan baru kerana kesesuaian iklim , bentuk muka bumi dan kesuburan tanah. Faktor tarikan dari petempatan-petempatan ini menyebabkan pertambahan penduduk dari masa ke semasa. Perkembangan petempatan kekal membawa kepada pembentukan perkampungan dan perbandaran dalam tamadun awal.

f. Kewujudan organisasi sosial :

Kesan dari pertambahan penduduk telah membawa kepada perkembangan petempatan – petempatan kekal. Perkembangan perkampungan dan perbandaran telah membawa kewujudan organisasi sosial masyarakat. Pembahagian struktur sosial masyarakat berlaku kerana pengkhususan kerja untuk meningkatkan produktiviti.

g. Kewujudan organisasi politik :

Perkembangan dalam institusi sosial seperti institusi agama dan keluarga. Kewujudan institusi masyarakat ini melahirkan institusi negara. Kemunculan golongan pemerintah dalam petempatan tamadun awal seperti raja dan golongan pendeta.

h. Keagamaan dan Kepercayaan terhadap kuasa ghaib :

Masyarakat tamadun awal percaya bahawa kuasa-kuasa ghaib mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka mengambil kira kepercayaan-kepercayaan ini dalam membina petempatan. Dalam membangunkan petempatan-petempatan mereka membina rumah-rumah ibadat di kawasan yang lebih selamat. Mereka mengharapkan petempatan-petempatan mereka dirahmati oleh kuasa-kuasa ghaib.

i. Perkembangan perdagangan dan pertembungan budaya:

Kesan dari perkembangan kegiatan pertanian berlaku lebihan pengeluaran hasil pertanian. Hasil-hasil pertanian mula di perdagangkan ke tempat-tempat lain. Perkembangan aktiviti perdagangan membawa kepada perkembangan petempatan-petempatan tamadun awal.

j. Penguasaaan kemahiran dan teknologi :

Perkembangan kemahiran dalam menenun kain, membuat tembikar, membina rumah, pembuatan alat-alat logam dan penciptaan baru membawa kewujudan petempatan-petempatan dalam tamadun awal.

Kesimpulan

Perkembangan petempatan-petempatan tamadun awal manusia membawa pertumbuhan bandar-bandar. Kemunculan bandar Mohenjo Daro dan Harappa di lembah Indus, Anyang, Loyang dan Cheng Chow di Lembah Sungai Kuning serta Bandar Thebes dan Memphis di Mesir adalah merupakan bandar yang muncul dari petempatan awal yang berkembang maju.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.