ENJIN CARIAN BAHAN

Isnin, 27 Julai 2009

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 - PENCAPAIAN SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM TAMADUN AWAL

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Bincangkan pencapaian sains dan teknologi dalam perkembangan tamadun awal manusia.


Pengenalan (3 m)


1. Konsep tamadun secara umum.

  • Definisi - Prof. M.A.J Beg:
  • Tamadun merupakan pencapaian manusia dalam bentuk kota, skrip, kesenian, seni bina, undang2 dan politik
  • Tamadun yg tertua di dunia ; Tamadun Mesopotamia (lahir 5000 tahun yang lampau)
  • Antara ciri utama tamadun Mesopotamia;

§ kewujudan negara kota

§ tugu-tugu peringatan

§ agama

§ sistem agama


Ciri-ciri tamadun :

· Petempatan kekal

· Pembandaran

· Organisasi sosial

· Kepercayaan dan agama

· Sains dan teknologi

· Bahasa dan sistem tulisan


2. Tamadun-tamadun awal

· Tamadun Mesopotamia di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates

· Tamadun Mesir di Lembah Sungai Nil.

· Tamadun Indus di Lembah Sungai Indus.

· Tamadun Hwang Ho di Lembah Sungai Hwang Ho


Isi Penting (7 isi X 3 markah = 21 markah)


Pencapaian Sains dan Teknologi dalam perkembangan tamadun manusia


1. Aktiviti pertanian

  • Dengan terciptanya peralatan, aktiviti pertanian dapat dijalankan dalam bentuk skala yang lebih besar.Contohnya, terusan dibina untuk mengairi sawah.
  • Dalam bidang pertanian, orang Sumeria mencipta bajak dan alat menabur mempercepat kerja pertanian.Teknologi pengairan dalam Tamadun Mesopotamia menghasilkan surplus dalam hasil pertanian dan penternakan yang mendorong kepada pembinaan bandar.
  • Kincir air – mengairi kawasan tandus, kawal banjir dan tingkatkan hasil pertanian.


2. Sistem ketahanan dan pertahanan

  • Pembinaan kubu-kubu pertahanan dan tembok berfungsi sebagai pertahanan semasa peperangan.
  • Contoh, dalam Tamadun Mesopotamia tembok-tembok pertahanan menjadi sempadan antara kawasan bandar dan luar bandar.
  • Pada zaman Dinasti Shang, gangsa digunakan untuk membuat alat senjata
  • Bahan letupan telah dihasilkan oleh ahli kimia cina pada kurun ke-7 apabila ahli-ahli kimia Daois berjaya mencampurkan saltpetre dengan sulfur dan karbon
  • Pada zaman dinasti Tang, pihak militari telah menggunakannya dalam peperangan.


3. Kemudahan asas

  • Dalam Tamadun Indus, terdapat kemajuan dalam pembinaan infrastruktur seperti longkang dan sistem pembuangan air.
  • Longkang-longkang yang dibina di sepanjang jalan-jalan utama bertutup dan dilengkapi dengan lubang pemeriksaan yang memudahkan kerja-kerja pembersihan jika longkang tersumbat.
  • Tempat mandi awam didirikan berhampiran dengan jalan-jalan utama dalam Tamadun Indus.
  • Binaan yang paling unik ialah kolam mandi great bath.Terdapat tangga di kedua-dua belah kolam tersebut.
  • Tangga tersebut menuju ke bahagian dasar kolam yang dibina dengan menggunakan batu dan disadur dengan bitumen.
  • Air kolam ini diperoleh daripada sebuah perigi yang terletak berhampiran kolam tersebut.
  • Salah satu keistimewaan kolam ini ialah kolam ini boleh dikosongkan dan diisi semula.
  • Pembinaan jalan raya juga menjadi satu kemudahan asas kepada pendudukan pada zaman tamadun awal.
  • Contoh, dalam Tamadun Mesopotamia jalan raya dibina untuk menghubungkan pintu masuk utama dengan tempat-tempat lain di dalam bandar.
  • Dalam Tamadun Indus, jalan-jalan utama dibina secara lurus dan berukuran 30 kaki lebar.Jalan dari utara ke selatan disilangkan oleh jalan-jalan lain pada sudut tepat dan membentuk blok-blok yang berukuran 130 kaki X 65 kaki.Dalam blok-blok tersebut terdapat lorong-lorong kecil yang dibina selari dengan jalan-jalan utama.


4. Petempatan

  • Petempatan-petempatan berkembang dengan pesat disebabkan kemahiran dalam pembinaan dan kemudahan asas.
  • Contoh, dalam Tamadun Mesir iaitu pada zaman pradinasti awal (abad 4 S.M), kampung-kampung yang mengandungi rumah ketua kampung yang lebih besar dan mempunyai pelan berbentuk segi empat tepat.
  • Terdapat pondok-pondok yang berbentuk bulatan dan rumah ibadat bagi Tuhan tempatan turut dibina.
  • Dalam Tamadun Indus pula rumah-rumah dibina menggunakan batu yang bermutu tinggi yang terdiri daripada rumah setingkat, dua tingkat atau lebih.
  • Rumah-rumah dibina mengikut pelan yang sama tetapi saiznya berbeza serta mempunyai beberapa buah bilik dan serambi yang berbentuk empat segi.
  • Ciri yang menarik ialah setiap rumah mempunyai bilik mandi dan perigi.
  • Rumah-rumah dibina dalam satu deretan di sepanjang jalan-jalan utama.
  • Terdapat ruang yang lapang antara rumah supaya menjamin peredaran udara yang baik.


5. Aktiviti keagamaan

  • Kehidupan masyarakat India sangat erat hubungannya dengan agama, maka bidang seni bina turut berkembang berdasarkan keagamaan.
  • Oleh itu, terlihat binaan yang berteraskan agama Buddha dan Hindu.
  • Antara binaan yang mengagumkan termasuklah binaan kompleks kuil di Gua Ajanta. Kompleks ini mempunyai 20 buah kuil.
  • Sementara itu kompleks kuil di Gua Ellora pula mempunyai 28 buah kuil-gua dan dibina antara abad kelima hingga abad kelapan Masihi.
  • Orang Sumeria menganggap raja sebagai wakil Tuhan di dunia dan bukannya sebagai Tuhan.
  • Sebuah kuil telah dibina di atas menara yang berbentuk piramid setinggi 6-7 tingkat yang dipanggil Ziggurat. Ziggurat yang termasyhur ialah The Towel of Babel. Mereka mempercayai Tuhan yang mereka sembah menetap di sini.
  • Ziggurat pertama yang dibina ialah Nippur (untuk Tuhan Enlil/angin).


6. Aktiviti pengangkutan dan pelayara

  • Kapal layar dihasilkan oleh orang Sumeria akibat hubungan perdagangan mereka dengan dunia luar.
  • Kapal layar dan pengangkutan beroda menguasai jalan laut dan darat.
  • Orang-orang Sumeria dipercayai mula-mula mencipta roda. Pengetahuan membuat roda membolehkan orang Sumeria menggunakan kereta kuda dan lembu, menggunakan pedati dalam peperangan.
  • Dalam Tamadun China, Penemuan tentang gejala magnet aruhan (induced magnetism) dalam kurun ke-6, pengherotan (declination) dan juga kekutuban magnet (polarity) pada kurun ke-8 dan ke-9, telah membuahkan penghasilan kompas oleh orang cina dan digunakan semasa pelayaran.


7. Sistem perbandaran

  • Kemajuan dalam teknologi pengairan, penternakan dan pertukangan mendorong kepada kemunculan bandar.
  • Sumbangan orang Sumeria yang paling penting ialah dalam bidang seni bina.
  • Mereka merupakan orang pertama membina arca dan tiang-tiang batu dengan menggunakan batu-bata yang diperbuat daripada lumpur.
  • Ziggurat dibina dengan menggunakan batu-bata.
  • Bandar-bandar di Mesopotamia mempunyai pintu gerbang yang melambangkan kekayaan sesebuah badar.
  • Terdapat monumen yang diukir dan dihiasi pada pintu gerbang.
  • Di Babylon, terdapat lapan pintu gerbang yang dinamakan dengan nama Tuhan.


8. Intelektual

  • Sumbangan orang Mesir yang amat penting ialah dalam bidang astronomi, takwim (kalendar) dan Matematik.
  • Bidang astronomi maju kerana para pendeta dapat mengkaji bumi, langit, peredaran bulan, bintang dan planet-planet lain.
  • Ahli kaji bintang melahirkan takwim yang mempunyai 12 bulan dengan setiap bulan mengandungi 30 hari dan 5 hari lagi ditambah kepada bulan terakhir atau 365 hari setahun. 12 bulan ini kemudian dibahagikan kepada 3 musim iaitu musim banjir, menanam dan menuai.
  • Mereka juga mencipta jam yang menggunakan bayangan matahari dan air. Dalam bidang matematik, orang Mesir mengetahui cara mengukur keluasan empat segi tepat, bulatan, menghitung isipadu dan silinder. Pengetahuan ini membolehkan mereka mengukur blok batu yang digunakan untuk membina piramid.
  • Dalam bidang perubatan, mereka mempelajari teknik-teknik mengawet mayat dan fungsi tubuh manusia. Mereka juga menghasilkan sebuah buku perubatan mengenai pembedahan.
  • Orang Sumeria telah mencipta sistem-sistem nombor yang berdasarkan unit-unit 10 dan 60. Mereka juga telah mencipta kalendar yang terdiri daripada 12 bulan dan setiap bulan mengandungi 30 hari. Orang Sumeria telah mencipta sistem-sistem nombor yang berdasarkan unit-unit 10 dan 60. Mereka juga telah mencipta kalendar yang terdiri daripada 12 bulan dan setiap bulan mengandungi 30 hari.
  • Pada zaman Dinasti Chou pula, wang yang dibuat daripada logam digunakan. Buku mulai dicetak dan alat tulisan mula dihasilkan.
  • Terdapat empat ciptaan agung dalam tamadun cina iaitu teknik membuat kertas, pencetakan, bahan letupan dan kompas.
  • Cai Lun telah berjaya membuat kertas dengan menggunakan fiber tumbuh-tumbuhan pada tahun 105.
  • Teknologi pencetakkan telah mula diperkenalkan semasa pemerintahan dinasti Tang (618 –906) di mana buku jingang jing dipercayai buku yang terawal dicetak iaitu pada 11 Mei 868.
  • Pada zaman pemerintahan dinasti Han (206 –220 SM) sifat-sifat magnet telah ditemui di cina.


9. Peralatan

  • Dengan kemajuan teknologi, pelbagai peralatan dan aksesori telah dicipta.
  • Dalam Tamadun Hwang Ho, tanah liat digunakan untuk membuat tembikar, jed digunakan sebagai alat perhiasan, dan sutera dihasilkan.
  • Petani-petani Yangshao merupakan tukang-tukang kraf yang mahir.
  • Mereka telah membuat jarum, mata kail dan alat penebuk.


Kesimpulan (1 markah)

  • Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan tamadun-tamadun awal seperti Tamadun Mesir, Tamadun Mesopotamia, Tamadun China dan Tamadun Indus semakin berkembang pesat.



[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]



Kredit : Team Guru Sumber Sejarah 1 JPN Negeri Perak.

Khamis, 16 Julai 2009

CABAR DIRI UNTUK BERJAYA


Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.


1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.


Sumber : Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D ( Laman-MAP MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.)

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]


Ahad, 12 Julai 2009

KEM SEJARAH STPM NEGERI PERAK 2009


1. Arahan perlaksanaan Kem Sejarah 2009

2. Soalan Kem Sejarah 1

3. Skema Kem Sejarah 1

4. Soalan Kem Sejarah 2

5. Skema Kem Sejarah 2



Update 18 Julai 2009 - ( Terdapat pelajar komen, soalan tak leh nak download. Saya dah check link, tak de masalah. Mungkin masalah talian internet, maslah pc/lap top, dan tah apa lagi. Cuba pc lain dan kenal pasti masalah )

Kredit :
Team Laman Web Sejarah dan Team Guru Sumber Sejarah 1 & 2 JPN Perak (Sahabat-sahabatku yang dikasihi). Semoga usaha kita diberkati oleh Allah.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]


Selasa, 7 Julai 2009

TAMADUN ISLAM:TEMA 4 – AKTIVITI EKONOMI MELAKA

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Huraikan aktiviti ekonomi penduduk Melaka pada zaman pemerintahan kerajaan Islam di Melaka.

Pendahuluan : (3 markah)

1. Masyarakat Melayu tradisional di Melaka melakukan pelbagai aktiviti ekonomi seperti bercucuk tanam, menangkap ikan, menternak dan memburu. Pada peringkat awal aktiviti ini dijalankan bagi keperluan sendiri atau ekonomi sara diri sahaja. Keadaan ini mengalami perubahan apabila aktiviti ekonomi perdagangan mula bertapak di Melaka maka bermula satu perubahan dalam aktiviti ekonomi penduduk di Melaka.

2. Latar belakang pemerintahan Melaka

3. Melaka mempunyai pelabuhan yang strategik serta mempunyai keistimewaan dan pelbagai kemudahan untuk menarik pedagang – pedagang dari luar khususnya dari China, Arab dan India.

Isi – Isi Penting : ( 7 isi x 3 markah = 21 markah )

1. Pertanian.

Kegiatan pertanian di Melaka dilihat menerusi aktiviti penanaman padi, Fasal 20 dalam Undang-undang Melaka yang menyatakan wujudnya tanah perhumaan, bendang, sawah dan ladang.

Kegiatan penanaman padi dikatakan mula wujud di Melaka dan Semenanjung Tanah bermula dengan kemunculan kerajaan Melaka dan kemasukan orang Minang kabau. Orang Melaka hanya mengeluarkan sedikit sahaja beras, bagi menampung keperluan penduduknya, Melaka telah mengimport dari Siam ,Palembang dan Jawa.

Di samping menjalankan aktiviti bersawah orang Melaka juga menjalankan aktiviti berdusun. Ini diperjelaskan lagi oleh Tom Pires, beliau mengatakan Sultan Iskandar serta seribu pengikutnya telah menebas hutan untuk menanam pokok dan membuat dusun, antara tanaman yang ditanam ialah tebu, pisang, nanas dan lain – lain.

2. Menangkap ikan dan hasil laut

Selain menjalankan aktiviti pertanian dan menjalankan aktiviti berdusun, orang – orang Melaka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan. Ikan merupakan sumber protein yang khusus bagi orang Melayu. Raja Iskandar Syah serta pengikutnya pernah dikatakan menjadi nelayan semasa berada di Muar bagi menampung keperluan seharian.

Kegiatan menangkap ikan ini dan memungut hasil laut juga dilakukan oleh orang Laut sebelum pemerintahan Parameswara lagi. Kebanyakan orang Melaka bergantung hidup dengan aktiviti penangkapan ikan. Mereka ke laut untuk menangkap ikan dengan menggunakan perahu yang diperbuat daripada kayu bulat yang ditebuk menjadi perahu.

3. Memburu.

Penduduk Melaka juga menjalankan kegiatan berburu untuk menampung kehidupan seharian. Kegiatan berburu merupakan aktiviti yang diwarisi malahan ianya merupakan aktiviti Raja – raja Melayu Melaka.

Kegiatan berburu juga dijalankan oleh rakyat biasa kerana mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti perdagangan mereka menumpukan perhatian terhadap aktiviti sara diri termasuklah aktiviti berburu. Selain itu ia juga dijalankan sebagai aktiviti sampingan untuk menambah pendapatan.

4. Menternak binatang.

Kegiatan ekonomi sara diri yang dijalankan oleh penduduk di Melaka termasuklah aktiviti penternakan binatang secara kecil – kecilan. Antara binatang ternakan yang diternak ketika itu ialah kambing, kerbau, lembu, ayam, itik dan sebagainya. Di Melaka, dikatakan Bendahara Seri Maharaja membela kerbau dan ada kemungkinan beliau juga membela binatang – binatang lain.

5. Memungut hasil hutan.

Aktiviti memungut hasil hutan juga merupakan salah satu aktiviti ekonomi sara diri yang dilakukan oleh penduduk di Melaka. Antara hasil hutan yang dikutip ialah rotan, damar dan getah jelutung. Kegiatan memungut hasil hutan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat di Melaka ketika itu ini kerana mereka banyak bergantung hidup dengan persekitaran seperti Sungai, hutan dan tanah pertanian. Hasil pertanian ini mendapat permintaan yang baik dari pedagang luar.

6. Kegiatan perdagangan.

Kegiatan perdagangan di Melaka merupakan warisan dan penerusan aktiviti ekonomi masyarakat peribumi yang dijalankan semasa zaman awal kerajaan Melayu Langkasuka dan Sri Vijaya.

Kegiatan perdagangan masyarakat Melaka dijalankan secara kecil-kecilan dan besar-besaran.Secara kecil-kecilan melibatkan rakyat biasa yang berjaja di pasar-pasar dan ada yang guna perahu kecil. Bagi golongan pembesar kegiatan perdagangan diwakilkan kepada kiwi untuk berurus niaga bagi pihaknya. Aktiviti perdagangan besar-besaran melibatkan urus niaga dengan perdagangan luar.

7. Pertukangan kayu dihasilkan seperti pembinaan perahu, rumah. dan istana. Ketukangan besi melibatkan penciptaan senjata.

8. Kraf tangan seperti bubu dan tikar mengkuang yang berasaskan rotan, buluh dan kayu.

Kesimpulan : (1 markah )

Apa – apa sahaja yang berkaitan dengan soalan.

Nota : Faktor-faktor yang mempengaruhi aktiviti perdagangan tidak diterima.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 5 Julai 2009

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 – CIRI-CIRI TAMADUN AWAL

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Huraikan ciri-ciri utama tamadun dengan merujuk kepada kemunculan tamadun-tamadun awal dunia.

PENGENALAN: ( 3 markah)

1. Konsep tamadun

  • Definisi :Tamadun merupakan satu konsep yang luas dan kompleks.Tamadun merujuk kepada pencapaian/kemajuan sesuatu masyarakat @ negara dalam bidang pengetahuan, pentadbiran, undang2, kepercayaan agama, kesenian, perbandaran, sistem tulisan, moral dan adat resam
  • Ciri-ciri:
      • Petempatan Kekal
      • Pembandaran
      • Organisasi Sosial
      • Kepercayaan Dan Agama
      • Sains Dan Teknologi
      • Bahasa Dan Sistem Tulisan

2. Latar belakang tamadun-tamadun awal:

  • Tamadun Mesopotamia
  • Tamadun Mesir
  • Tamadun Indus
  • Tamadun China

3. Faktor – faktor yang mendorong kemunculan tamadun

  • ­ Proses evolusi
  • Proses urbanisasi
  • Kemajuan sains dan teknologi
  • ­ Sungai
  • ­ Faktor angin
  • ­ Faktor bahasa dan tulisan
  • ­ Penciptaan roda
  • ­ Kewujudan organisasi sosial
  • ­ Pengkhususan kerja
  • Sistem agama dan kepercayaan

ISI: CIRI-CIRI TAMADUN ( 7 isi X 3 markah = 21 markah)

1. Urbanisasi

  • Manusia hidup tetap di sesuatu tempat
  • Mereka menetap di lembah2 sungai
  • Sebab; tanahnya subur dan bekalan air yang mencukupi untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perdagangan
  • Petempatan kekal bermula di Mesir sejak tahun 7000 S.M.
  • Berlakunya Revolusi Pertanian akhirnya membawa kepada kemunculan bandar2 Memphis , Dhilkah dan Thebes

2. Pengkhususan Kerja

  • Setiap anggota masyarakat mempunyai tugas dan peranan mereka masing2 seperti petani, penternak, artisan dan askar.
  • Pengkhususan kerja mempercepatkan lagi proses urbanisasi dan perkembangan tamadun.
  • Contoh; tamadun China

3. Organisasi sosial

  • Struktur dan organisasi masyarakat yang tersusun menggambarkan sesuatu masyarakat telah mencapai ketamadunan.
  • Wujud golongan pemerintah dan golongan yang diperintah telah membantu pentadbiran berjalan lancar dan teratur.
  • Biasanya raja menduduki kedudukan yang teratas.
  • Diikuti golongan bangsawan yang memainkan peranan sebagai pentadbir.
  • Seterusnya ahli agama dan golongan pendeta untuk melakukan upacara keagamaan
  • Rakyat biasa yang menjalankan aktiviti ekonomi masing2
  • Akhirnya golongan hamba yang menjalankan kerja2 yang berat.
  • Kewujudan organisasi sosial membawa kepada pengenalan sistem perundangan untuk mendisiplinkan masyarakat dan melindungi nyawa dan harta benda
  • Contoh ; kehidupan berstruktur seperti ini jelas dalam kehidupan masyarakat tamadun Mesopotamia semasa pemerintahan Raja Hammurabi

4. Bahasa dan Tulisan

  • Tulisan pada petempatan awal dalam bentuk gambar, simbol, @ berbentuk pepaku
  • Tulisan2 ini digunakan untuk merekodkan sesuatu perkara.
  • Lambang2 bertulis merupakan alat yang melahirkan idea2 perundangan, pengetahuan serta memudahkan pengendalian pentadbiran, percukaian dan perakaunan.
  • Contoh; tulisan hieroglif (Tamadun Mesir) digunakan untuk merekodkan upacara keagamaan dan harta kuil.
  • Contoh; tulisan Cuniform (Tamadun Mesopotamia) digunakan untuk merekodkan tentang kegiatan perdagangan dan pentadbiran.

5. Agama dan Kepercayaan

  • Terdapat amalan politeisme iaitu menyembah dewa-dewi.
  • Dewa/i juga dipercayai mempengaruhi kehidupan mereka.
  • Jika tidak disembah,dewa/i akan membawa malapetaka seperti banjir,dan kemarau.
  • Contoh; Tamadun Indus, mereka menyembah dewi bermuka tiga
  • Tamadun Mesopotamia terdapat penyembahan dewa/i yang banyak diadakan ketika upacara keagamaan di Ziggurat.

6. Kemajuan sains dan teknologi

  • Perkembangan tahap pemikiran melambangkan kemajuan sains dan teknologi dalam masyarakat tamadun awal.
  • Mereka sudah pandai mencipta roda, layar kapal, terusan, tembok dan benteng.
  • Kesemua ini meninggalkan kesan dari segi pertanian, perdagangan dan pengangkutan.
  • Kemajuan2 ini dapat dilihat dalam tamadun awal seperti Mesir dan Mesopotamia.

7. Estetika

  • Hal ini dapat dilihat dari segi seni bina, seni ukir dan sastera.
  • Contoh dalam tamadun Mesopotamia terdapat epik Gilgamesh yang menceritakan keperwiraan bangsanya.
  • Iliyad dan Odysey yang dihasilkan Homer juga banyak menceritakan tentang kejayaan dan pengembaraan orang Yunani.

KESIMPULAN: ( 1 markah)

Kemajuan dalam tamadun-tamadun awal menyebabkan masyarakat seterusnya mencapai ketamadunan yang lebih tinggi dalam semua aspek kehidupan.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 4 Julai 2009

TAMADUN ISLAM:TEMA 4-SUMBER DAN PERANAN BAITUL MAL

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Jelaskan sumber dan peranan Baitulmal pada zaman Khulafa al-Rasyidin.

Pendahuluan (3 markah)

1. Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang berfungsi untuk mengurus harta-harta umum atau menjadi tempat menyimpan barang-barang berharga seperti emas, perak, batu permata dan seumpamanya.

2. Baitulmal telah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w dan berterusan ke zaman Khulafa al-Rasyidin dan selepasnya dan diperkemaskan. perlaksanaannya sepanjang zaman Khulafa al-Rasyidin.

3. Sumber Baitulmal diperoleh daripada 3 sumber utama

    • Harta Masyarakat - Sumber yang diperoleh daripada golongan kaya dan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya.
    • Harta Negara-Sumber yang diperoleh daripada harta rampasan perang, cukai kharaj, jizyah dan harta tanpa waris.
    • Harta Umum-Terdiri daripada hasil perniagaan, pertanian dan sebagainya.

4. Tujuan penubuhan Baitulmal ialah untuk meningkatkan perkembangan ekonomi negara, menyediakan keperluan asas dan membasmi kemiskinan.

5. Pembahagian harta Baitulmal ditentukan mengikut keperluan secara adil dan saksama berdasarkan prinsip ekonomi Islam.

Isi-isi Penting.

1. Sumber Baitulmal (4 isi X 3 markah)

a. Zakat.

i. Sebahagian harta yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya.

ii. Terdapat beberapa jenis zakat iaitu zakat fitrah, zakat harta, zakat ternakan dan pertanian, zakat emas dan perak.

b. Kharaj.

i. Kharaj ialah cukai tanah yang perlu dibayar oleh semua pemilik di wilayah taklukan kerajaan Islam dengan kadar 10 peratus.

c. Jizyah.

i. Jizyah merupakan cukai perlindungan yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang berada di bawah naungan negara Islam atau mempunyai perjanjian damai dengan negara Islam iaitu orang kafir Zimmi.

ii. Jizyah dikenakan dengan beberapa syarat tertentu iaitu lelaki yang merdeka, baligh, masih hidup dan berupaya.

iii. Kadar cukai yang dikenakan ialah sebanyak 12 hingga 48 dirham.

d. Ghanimah dan Al-fay.

i. Ghanimah merupakan harta rampasan perang.

ii. Al-fay ialah harta rampasan tanpa perang, harta peninggalan orang mati yang tidak ada pewaris dan harta karun.

iii. Satu perlima daripada harta ghanimah dan al-fay diperuntukkan kepada perbelanjaan pusat di Madinah. Harta yang selebihnya dibahagikan kepada tentera yang terlibat dalam peperangan.

e. Usyur.

i. Usyur merupakan cukai perniagaan yang dikenakan kepada peniaga Islam dan bukan Islam.

ii. Bagi kafir Harbi, iaitu kafir yang tidak ada perjanjian damai dengan negara Islam dikenakan usyur sebanyak 10%.

iii. Bagi kafir Zimmi yang bernaung di bawah pemerintahan kerajaan Islam hanya dikenakan sebanyak 5 %.

iv. Cukai usyur yang dikenakan apabila cukup nisabnya iaitu sebanyak 200 dirham.

2. Peranan Baitulmal (4 isi X 2 markah)

a. Membantu perkembangan ekonomi Islam.

i. Membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

ii. Dapat mengurangkan jurang perbezaan antara golongan kaya dengan golongan miskin.

iii. Bentuk bantuan seperti makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

b. Sumber utama memperkukuhkan angkatan tentera.

i. Penting bagi menjamin negara Islam daripada ancaman musuh yang memiliki kekuatan tentera.

ii. Pada zaman pemerintahan khalifah Uthman, sumber baitulmal digunakan untuk memperkukuhkan angkatan tentera Islam yang menghadapi ancaman daripada tentera Byzantine.

c. Menyalurkan sumber kewangan bagi perbelanjaan kerajaan pusat.

i. Melibatkan kos pentadbiran dan memberi elaun kepada angkatan tentera.

ii. Pada zaman pemerintahan Saidina Umar, Baitulmal telah mengeluarkan elaun kepada angkatan tentera sebagai ganti kepada larangan memiliki tanah di negeri yang baru ditakluki.

iii. Ini dapat membantu memakmurkan negara daripada berlakunya perselisihan untuk memiliki tanah.

d. Menyelaraskan kutipan dan agihan harta berasaskan syariat Islam.

i. Harta Baitulmal tidak boleh digunakan sesuka hati.

ii. Pengagihannya mestilah adil dan saksama.

iii. Semasa pemerintahan Saidina Ali, beliau tidak pernah menggunakan harta Baitulmal ketika menghadapi tentangan daripada Muawiyah walaupun mendapat desakan daripada para sahabat.

e. Menyimpan harta negara.

Kesimpulan (2 markah)

Pelaksanaan Baitulmal pada zaman Khulafa al-Rasyidin adalah berlandaskan syariat Islam dan tidak berlaku penyelewengan. Baitul mal dapat meningkatkan ekonomi masyarakat Islam.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 3 Julai 2009

KEJAYAAN LUAR BIASA !







Ini adalah contoh kejayaan luar biasa bagi pelajar biasa yang belajar di sekolah biasa. Kemiskinan dan kekurangan hidup tidak menjadi penghalang bahkan menjadi pendorong yang amat kental. Di samping itu, apa yang juga sangat penting ialah hubungan baik dengan Allah, Ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan. Muhasabahlah......

(Klik Gambar Untuk Paparan Lebih Jelas)






Khamis, 2 Julai 2009

PRINSIP SISTEM EKONOMI ISLAM

1. Kebebasan individu; Individu mempunyai hak kebebasan sepenuhnya untuk membuat suatu keputusan yang dianggap perlu dalam sebuah negara Islam. Kerana tanpa kebebasan tersebut individu muslim tidak dapat melaksanakan kewajiban asas dan penting dalam menikmati kesejahteraan dan menghindari terjadinya kekacauan dalam masyarakat.

2. Hak terhadap harta; Islam mengakui hak individu untuk memiliki harta. Walaupun begitu ia memberikan batasan tertentu supaya kebebasan itu tidak merugikan kepentingan masyarakat umum.

3. Ketidaksamaan ekonomi dalam batas yang wajar; Islam mengakui adanya ketidaksamaan ekonomi antara orang perseorangan/individu tetapi tidak membiarkannya menjadi bertambah luas. Sistem ekonomi Islam cuba menjadikan perbezaan tersebut dalam batas-batas yang wajar, adil dan tidak terlampau berlebihan.

4. Kesamaan sosial; Islam tidak menganjurkan kesamaan ekonomi tetapi ia mendukung dan menggalakkan kesamaan sosial sehingga sampai tahap bahwa kekayaan negara yang dimiliki tidak hanya dinikmati oleh sekelompok tertentu masyarakat saja. Di samping itu amat penting setiap individu dalam sebuah negara mempunyai peluang yang sama untuk berusaha mendapatkan berbagai aktiviti dan peluang ekonomi.

5. Jaminan sosial; Setiap individu mempunyai hak untuk hidup dalam sebuah negara Islam; dan setiap warga negara dijamin untuk memperoleh keperluan asas masing-masing. Memang menjadi tugas dan tanggung jawab utama bagi sebuah negara Islam untuk menjamin setiap warga negara, sama ada muslim atau non muslim, dalam memenuhi keperluan sesuai dengan prinsip “hak untuk hidup”. Dan terdapat persamaan sepenuhnya di antara warga negara apabila keperluan asasnya telah dipenuhi.

6. Pengagihan kekayaan secara meluas; Islam mencegah pemilikan kekayaan hanya pada kelompok kecil tertentu dan menganjurkan pengagihan kekayaan kepada semua lapisan masyarakat.

7. Larangan mengumpulkan kekayaan secara berlebihan; Sistem ekonomi Islam melarang individu mengumpulkan harta kekayaan secara berlebihan dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah perbuatan yang tidak baik tersebut supaya tidak terjadi dalam negara.

8. Kesejahteraan individu dan masyarakat; Islam mengakui kesejahteraan individu dan kesejahteraan sosial masyarakat yang saling melengkapi satu dengan yang lain, bukannya saling bersaing dan bertentangan antara mereka. Maka sistem ekonomi Islam mencuba meredakan konflik ini sehingga terwujudnya kemanfaatan bersama.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.