ENJIN CARIAN BAHAN

Isnin, 27 Ogos 2012

TAMADUN ISLAM/DUNIA : TEMA 1 – PEMBINAAN TAMADUN MENURUT ISLAM DAN BARAT

 

Huraikan asas-asas pembinaan tamadun menurut Islam dan Barat.

Pendahuluan (3 markah)

a. Masyarakat bertamadun merupakan masyarakat yang mengalami suatu peningkatan cara kehidupan daripada peringkat perkampungan kepada peringkat bandar.

b. Sebelum wujudnya tamadun, manusia melalui satu proses kehidupan primitif yang panjang. Tahap-tahap ini dibahagikan masanya kepada tiga peringkat iaitu masyarakat paleolitik, mesolitik dan neolitik.

c. Kebangkitan tamadun manusia bermula apabila berlakunya revolusi pertanian pada zaman neolitik. Ekoran itu berlakulah juga beberapa perubahan lain seperti perubahan petempatan, wujudnya inovasi sains dan teknologi, pengkhususan kerja dan sebagainya.

d. Pengertian tamadun mengikut perspektif Barat:

e. Pengertian tamadun mengikut perspektif Islam:

Isi-isi Jawapan:

Asas-asas pembinaan tamadun mengikut perspektif Barat: ( 5 isi x 2 m =10 m)

a. Wujud sistem pentadbiran atau institusi politik (terutamanya wujud negara kota). Kewujudan sistem pemerintahan bermula apabila petempatan masyarakt neolitik berkembang menjadi bandar yang seterusnya mewujudkan pula negara kota. Pada peringkat ini keperluan organisasi pemerintahan semakin kompleks.

b. Kemajuan ekonomi: Kemajuan ekonomi masyarakat berkembang dari berorientasikan sumber alam sahaja kepada penghasilan sumber makanan sendiri. Sistem ekonomi yang teratur, penggunaan sistem barter dalam perdagangan, jalinan perdagangan antarabangsa telah membantu perkembangan ekonomi.

c. Kemajuan struktur sosial: Perkembangan bandar melahirkan masyarakat yang mempunyai organisasi tersusun. Setiap individu menjadi anggota dalam satu masyarakat yang tersusun dan memainkan peranan tertentu mengikut kedudukannya dalam lapisan masyarakat.

d. Wujudnya keparcayaan kepada kuasa ghaib: Agama dan kepercayaan mempengaruhi perkembangan kesenian, kesusasteraan, politik, ekonomi dan sosial manusia. Pembinaan piramid di Mesir dan Ziggurat di Mesopotamia jelas menunjukkan kewujudan kepercayaan dan agama tamadun awal manusia.

e. Ciptaan sistem tulisan : Sistem tulisan diwujudkan untuk menjadi alat menyampaikan idea dan pengalaman, merekodkan aktiviti perdagangan, menjalin hubungan serantau, mencatat rekod-rekod pentadbiran, merekod upacara-upacara keagamaan dan harta yang ada di kuil.

f. Kemajuan sains dan teknologi – Ciptaan-ciptaan baru telah dihasilkan seperti roda, kapal, peralatan pertanian, penemuan-penemuan sains seperti astronomi dan matematik dan sebagainya. Kemajuan-kemajuan ini telah meninggikan pengetahuan manusia dan menghasilkan lebih banyak ciptaan yang berasaskan sains dan teknologi.

g. Pengkhususan pekerjaan : Kemajuan dalam pelbagai teknik baru dan perkembangan kegiatan ekonomi membawa kepada pengkhususan kerja dalam masyarakat yang mengalami urbanisasi. Pengkhususan telah melahirkan orang yang pakar dalam bidang-bidang-bidang tertentu lalu membawa pembentukan masyarakat bertamadun.

h. Petempatan kekal : Petempatan tertumpu di kawasan berhampiran dengan sungai atau lembah-lembah yang subur dan sesuai untuk pelbagai kegiatan ekonomi. Petempatan ini menjadi asas kepada pembentukan tamadun-tamadun terawal di dunia iaitu Tamadun Mesopotamia di Lembah sungai Tigris-Eupharates, Tamadun Mesir di lembah sungai Nil, tamadun Indus di Lembah sungai Indus dan Tamadun Hwang Ho di Lembah Sungai Hwang Ho.

i. Perkembangan bandar dan perbandaran: Proses perbandaran yang berlaku di sesebuah petempatan kekal telah membawa kepada kemunculan bandar dan negara kota. Bandar-bandar memainkan peranan sebagai pusat pentadbiran, pusat kegiatan ekonomi, pusat ibadat dan lain-lain lagi. Bandar-bandar tamadun awal seperti Ur, Erech, Kish di lembah Tigris- Eupharates serta Mohenjo-Daro dan Harappa di Lembah Indus.

j. Sistem perhubungan – perkembangan ini banyak didorong oleh kejayaan mencipta roda untuk memudahkan pengangkutan di samping kejayaan mencipta layar bagi pengangkutan air. Dengan kejayaan ciptaan perhubungan ini membolehkan masyarakat berhubung dengan dunia luar.

k. Pemakaian undang-undang – Undang-undang yang menekankan perikemanusiaan dan hak individu telah menjadi asas bagi perkembangan sesebuah tamadun. Kod Hamurabi yang menjadi undang-undang Mesopotamia telah diteladani oleh tamadun-tamadun lain. Dengan adanya sistem perundangan ini, jaminan keadilan sosial manusia dan keamanan dapat diwujudkan.

l. Seni bina - Kejayaan seni bina juga merupakan asas dan ciri-ciri sesebuah tamadun. Kejayaan dalam bidang ini memperlihatkan tahap ketinggian intelektual sesebuah tamadun. Binaan piramid, Ziggurat dan monumen-monumen lain memperlihatkan ketinggian teknologi tamdun berkenaan.

Asas pembentukan tamadun menurut Islam( 5 isi x 2m =10 m)

a. Aqidah : Islam dianggap berjaya membina tamadun yang tinggi berasaskan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekitar termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Aqidah adalah nilai kepercayaan yang membentuk dan mengawal masyarakat Islam dalam pembinaan tamadun sejak zaman Nabi Adam a.s lagi.

b. Akhlak : Islam sangat mementingkan akhlak kerana merupaka suatu nilai yang membawa kemajuan ummah. Nilai akhlak sudah ditanamkan oleh Allah s.w.t dalam jiwa manusia sejak zaman Nabi Adam a.s lagi dan begitu juga dalam pembinaan tamadun Islam pada zaman Nabi Muhammad saw. Ahmad Syauqi berkata sesungguhnya sesuatu umat akan kekal sekiranya akhlaknya kekal. Sebaliknya sekiranya hancur akhlak sesuatu umat itu, maka umat itu sendiri akan hancur binasa. Dalam pembinaan tamadun Islam mereka mahu melahirkan golongan tenaga kerja yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi mempunyai nilai-nilai akhlak yang mulia.

c. Ilmu pengetahuan : Merupakan asas pembinaan tamadun Islam. Al Quran amat menekankan asas ilmu pengetahuan iaitu membaca dan menulis. Daripada ilmu pengetahuan akan melahirkan masyarakat bertamadun.

d. Keadilan : Dalam Islam konsep keadilan ditekankan dalam pembinaan tamadun kepada seluruh manusia dalam semua keadaan. Al Quran dengan tegas telah menggesa para pemerintah melakukan keadilan seperti dalam Surah An Nisa.

e. Semangat kejiranan : Hubungan sesama manusia meliputi semua bidang termasuk politik, ekonomi,dan sosial. Dalam menjalin hubungan sesama manusia, setiap individu diwajibkan mematuhi segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangannNya untuk membentuk keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Justeru itu perlunya kerjasama, perpaduan dan tolong-menolong sesama manusia demi mencapai matlamat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat..

f. Kebebasan : Islam memberi kebebasan kepada manusia agar dapat melaksanakan segala urusan kehidupan yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Kebebasan yang dimaksudkan ialah kebebasan bergerak, kebebasan bersuara dan mengeluarkan buah fikiran dan kebebasan beragama.

g. Perkara-perkara yang menjadi asas tamadun barat juga ada ditekankan dalam tamadun Islam tetapi ia tidak menjadi perkara pokok atau utama dalam membina tamadun.

Penutup:(2 markah)

Perkembangan tamadun berlaku secara berperingkat-peringkat. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh masyarakat tamadun awal terus diwarisi oleh masyarakat.

Pembinaan tamadun barat berasaskan kemajuan fizikal dan kebendaan manakala pembinaan tamadun Islam berasaskan pembangunan manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Ahad, 12 Ogos 2012

TAMADUN DUNIA :TEMA 1 – PERANAN BANDAR

  

Sejauh manakah bandar-bandar yang terdapat dalam tamadun awal manusia berperanan sebagai pusat kegiatan ekonomi dan keagamaan.

Pengenalan (3 / 4 m)

1. Maksud Bandar: Detwyler & Marcus menyatakan Bandar adalah satu unit politik, satu penempatan yang didiami oleh sejumlah penduduk atau satu kelompok rumah kediaman atau lain – lain struktur.

Bagi MAJ Berg dalam bukunya “Historic Cities of Asia” menjelaskan bahawa bandar sebagai suatu kawasan yang dihuni oleh penduduk yang ramai dan sebahagian besarnya boleh membaca dan menulis dan mereka terlibat dalam aktiviti ekonomi bukan pertanian.

2. Perbandaran pula merujuk kepada proses pertumbuhan dan pembinaan Bandar. Ia berlaku disebabkan oleh pertumbuhan penduduk di Bandar ekoran daripada migrasi dan perkembangan yang berlaku dalam Bandar.

3. Latar belakang tamadun awal.

Mesopotamia - Tamadun paling awal. Bermaksud 'tanah antara dua sungai.' Terletak antara Sg. Tigris dan Euphrates. Muncul sekitar 3500 SM. Diasaskan oleh orang Sumer.

Mesir - Tamadun terawal. Lahir di lembah Sg. Nil. Terdiri daripada Mesir Utara dan Mesir Selatan. Mesir utara wujud pemerintahan beraja, Mesir selatan dikuasai golongan bangsawan. Mesir disatukan oleh Raja Menes.

India - Tamadun Indus (Harappa) bermula 2350 SM. Dua bandar utama- Mohenjodaro dan Harappa. Tamadun ini berkembang selama 600 th. Mengalami keruntuhan sekitar tahun 1750 SM.

China - Muncul di Lembah Sg. Kuning (Hwang Ho)sekitar 2000 SM. Dinasti pemerintah terawal - Dinasti Chia/ Dinasti Shang. Mengamalkan sistem pemerintahan feudal dan ekonomi pertanian.

4. Wacana isi/ penegasan isi.

Isi ( 7 isi x 3m = 21m)

Peranan bandar sebagai pusat kegiatan ekonomi dan keagamaan

1. Di Mesir terdapatnya bandar yang berfungsi sebagai bandar perdagangan dan pelabuhan - Bandar ini muncul dan berkembang di kawasan tepi sungai utama dan pinggir pantai. Terdapatnya gudang, stor, pasar dan pelabuhan. Thinis (di Mesir) sebuah bandar pelabuhan entrepot yang terkenal di kawasan timur Mediterranean zaman akhir pemerintahan Kerajaan Baru.

2. Di Mesopotamia terdapat kewujudan pasar-pasar di bandarnya. Inskripsi yang ditemui di Sussa menyebut tentang kewujudan pasar dan terdapat catatan yang menyatakan senarai harga barang yang dijual dipamerkan di pasar tersebut. Terdapat juga kedai-kedai yang menjual barang-barang mewah untuk kegunaan golongan atasan.

3. Pelabuhan yang terdapat di China juga merupakan pusat kegiatan perdagangan / pasar. Contohnya seperti bandar pelabuhan Loyang dan Cantón yang berada di bawah kawalan langsung kerajaan yang juga sebagai bandar utama bagi provinsi/wilayah tersebut. Terdapat kemudahan yang disediakan bagi penginapan pedagang dan gudang menyimpan barang. Kebanyakan bandar pelabuhan utama di China terletak di bahagian selatan negara tersebut.

4. Aktiviti pertanian. Tapak pembandaran Harappa ekonominya adalah berasaskan kepada kegiatan pertanian dan penternakan. Penanaman padi, tebu dan kapas dijalankan secara ekstensif. Jelapang yang luas terdapat di Harappa membayangkan betapa pesatnya pengeluaran hasil pertanian. Terdapat lebihan makanan yang banyak sehingga turut memperkembangkan ekonomi perdagangan di Harappa.

5. Bandar di Mesopotamia juga merupakan kawasan perindustrian dan pengeluaran tekstil. Pengeluaran tekstil dilakukan secara besar-besaran dikendalikan oleh organisasi besar seperti rumah berhala dan Istana. Terdapat juga bandar di Mesopotamia sebagai pusat pembinaan kapal, membuat tembikar, dan pertukangan kayu. Di Mesir terdapatnya bandar perindustrian- kilang tekstil, pembinaan kapal, kuari, pembuatan barang tembikar dan logam. Kilang ini dibina di kawasan bandar utama atau pelabuhan. Kilang-kilang ini mempunyai antara 20 hingga 27 orang pekerja dan melakukan amalan pengkhususan dalam pekerjaan.

6. Pusat Keagamaan - bandar ritual, bandar pemujaan. Terdapatnya candi-candi, rumah berhala dan jalan suci. Bandar Akhetaton di Mesir dibina khusus bagi memperingati tuhan Aton pada zaman pemerintahan Akhenaton. Di bandar Karnak dan Luxor terdapatnya rumah berhala dan lorong yang mempunyai sphinx di kedua- dua belah lorongnya. Bandar Abydos dianggap sebagai tempat pengebumian tuhan Osiris. Di Thebes terdapat banyak monumen dan candi yang dibina yang dipenuhi dengan ukiran.

7. Jalan-jalan suci terdapat di Mesopotamia yang dibina selebar antara 5-7 meter. Di bandar Babylon jalan ini digunakan bagi menyambut perayaan Tahun Baru dan digunakan sebagai laluan perarakan utama. Jalan ini menuju ke pintu gerbang utama di pusat bandar dan mereka akan berhimpun di dalam pintu gerbang bagi mendengar ucapan dato bandar.

8. Di Sumeria dan Akkad rumah berhala dibina di kawasan pusat bandar utama yang dikelilingi oleh rumah-rumah kediaman. Di Mesopotamia, rumah berhala yang terkenal adalah zigurat.

Peranan bandar dari aspek lain

9. Pusat Pentadbiran - Sebagai pusat pentadbiran dan kediaman raja. Terdapatnya istana raja dan bangunan kerajaan/pentadbiran, pejabat rumah ibadat / candi dan pusat sivik (dewan orang ramai). Menjadi tempat tumpuan masyarakat sekitar. Cth. Mesir - bandar Memphis dan Thebes, Avaris.

10. Pusat Politik - Kedudukan petempatan yang strategik dan terdapatnya kubu / tembok pertahanan.

11. Pengangkutan dan perhubungan- jalan yang luas dan lurus dibina dari utara ke selatan. Terdapat juga jalan yang merentasi sesebuah bandar. Jalan-jalan juga dibina bagi keperluan pergerakan tentera. Di masa aman digunakan untuk perdagangann dan pengangkutan. Contoh, Bandar Ur, Assur, Hattusa di Mesopotamia.

12. Pendidikan - di Mesopotamia, rumah ibadat adalah sebagai pusat pendidikan. Begitu juga istana, turut dijadikan pusat pendidikan. Paderi/ rahib sebagai tenaga pengajar. Wujudnya perpustakaan di bandar Tello dan Nippur di Mesopotamia yang menyimpan sehingga 30 000 manuskrip. Sekolah terdapat di bandar bagi memberikan pendidikan kepada anak golongan bangsawan.

13. Bandar tentera - Contoh Bandar Avaris di Mesir, didirikan berek tentera, Ditempatkan kereta kuda kegunaan tentera dan tentera berjalan kaki. Kapal Perang juga turut singgah bagi membayar ufti.

Kesimpulan ( 1 / 2 m)

Apa saja yang berkaitan dengan soalan dan isi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Selasa, 7 Ogos 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENGUKUHAN EMPAYAR DI ALAM MELAYU

Sejauhmanakah faktor agama memainkan peranan dalam mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan pemerintah di Alam Melayu.         

ATAU

Bincangkan cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan pemerintahan empayar di Alam Melayu.

A.  Pengenalan

1. Pemerintahan bermaksud satu badan atau organisasi yang dianggotai sebilangan individu yang dilantik atau dipilih mengikut prosedur perundangan bagi menjawat jawatan tertentu untuk mentadbir dan menguruskan sesebuah negara.

2. Maksud empayar

  • Jelaskan empayar di Alam Melayu.

B.  Isi : Cara-cara pemerintah mengukuhkan kedudukan . Agama memainkan peranan penting tetapi terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi.

1. Agama

  • Pemerintah menggunakan ajaran-ajaran agama untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka.

  • Pemerintah menjadi penaung kepada ajaran agama yang disebarkan di empayar masing-masing.

  • Pemerintah mengaitkan konsep pemerintahan dengan konsep ketuhanan.

  • Melaka- pemerintah mengaitkan jurai keturunan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain dan Nabi-Nabi. Raja juga dianggap sebagai bayangan tuhan.

  • Majapahit-menggunakan undang-undang agama hindu dan kitab-kitab agama untuk mengaitkan mereka dengan dewa-dewa agama hindu.

  • Srivijaya- Raja-raja menggunakan kekayaan yang diperoleh untuk membiayai pengajian agama, membina kuil dan yayasan agama. 'Tuhan Vatakvurah' memainkan peranan untuk memastikan taat setia rakyat kepada raja.

2. Kekuatan Ketenteraan

  • Mempunyai bilangan tentera yang ramai merupakan satu kelebihan kepada sesebuah empayar.

  • Berjaya menguasai negeri-negeri yang kecil dan meluaskan empayar dengan meluas.

  • Melaka-mempunyai tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera.

  • Majapahit-mempunyai tentera yang ramai terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Daha, Wengker, Matahun, Lasem,Pajang dan Kabalan.

  • Srivijaya-mempunyai 20,000 tentera terdiri daripada orang laut hingga mampu menguasai Kedah Tua, dan negeri-negeri sekitar Segenting Kera.

3. Pentadbiran yang teratur

  • Sistem pentadbiran yang tersusun dan teratur memastikan pemerintah dapat menjalankan pemerintahan yang aman.

  • Pentadbiran yang teratur memastikan empayar dapat berkembang dengan meluas.

  • Melaka- Sultan dibantu oleh jemaah penasihat(Majlis Tertinggi) yang dianggotai oleh golongan bangsawan.Empat pembesar iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Syahbandar.

  • Majapahit- Kitab Negarakertagama mengandungi maklumat yang menunjukkan Majapahit mempunyai sistem pentadbiran yang teratur.

  • Srivijaya-Inkripsi Telaga Batu menunjukkan Srivijaya mempunyai pentadbiran yang lengkap.

4. Konsep Daulat dan Kesaktian

  • Raja dipercayai mempunyai daulat dan kesaktian. Konsep ini dikukuhkan melalui mitos tentang asal usul, jurai keturunan, serta kebolehan fizikal dan kerohaniannya.

  • Rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia kepada raja dan sesiapa yang menentangnya akan dianggap penderhaka.

  • Penderhaka akan ditimpa mudarat atau tulah dalam bentuk sumpahan atau balasan fizikal.

  • Melaka-raja-raja digambarkan mempunyai daulat yang menyebabkan berlaku kesan fizikal kepada penderhaka.

  • Majapahit- raja-raja dianggap penjelmaan sebagai Dewa Shiva dan Vishnu.

  • Srivijaya-raja dianggap sebagai penjelmaan dewa Amoghapasha Avalokitesvara.

5. Peraturan-peraturan khusus

  • Kedudukan dan kebesaran seorang raja dikukuhkan melalui cara-cara berikut.

  • Warna, rumah,penggunaan nobat diraja, penggunaan bahasa istana serta alat-alat kebesaran seperti ketur, kendi,kipas dan cogan.

  • Melaka- pengunaan kata-kata seperti patik, beta dan lain. Warna kuning hanya untuk raja.

  • Majapahit-raja-raja diagungkan melalui syair-syair yang dihasilkan oleh Sri Mudali dan Sudahrma.

  • Srivijaya-raja digambarkan jelmaan dewa-dewa

C.  Kesimpulan

Kejayaan pemerintah di Melaka, Majapahit dan Srivijaya mengekalkan pengaruh dan kekuasaan menyebabkan empayar jajahan yang dikuasai begitu meluas. Hal ini menyebabkan keagungan dan kegemilangan empayar-empayar berkekalan untuk satu tempoh yang agak lama.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Ahad, 5 Ogos 2012

Perang Badar AlKubro 17 Ramadhan

  

PEPERANGAN BADAR.

Firman Allah swt di dalam Al-Quran:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya”. (Ali Imran:123)

Perang Badar merupakan “purnama” dalam sejarah kemanusiaan yang menerangi jalan para penempuh jalan.

Perang Badar merupakan “purnama” yang bersinar dilangit dan diraikan oleh para malaikat. Para malikat yang ikut serta dalam peperangan ini menjadi para malaikat yang palin utama.

Perang Badar juga merupakan “purnama” dibumi dan dikalangan penduduknya. Orang-orang yang ikut serta benar-benar menjadi purnama yang cahayanya menerangi seluruh isi kehidupan mereka.

Perang Badar merupakan “purnama” yang menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Juga menjadi mahkota kebanggaan diatas setiap pahlawan yang ikut serta berjuang didalamnya, dan didalam masyarakat Islam tidak ada seorang pun yang dapat mengungguli keutamaan para mujahidin Badar.

PERANG BADAR KUBRA : 17 RAMADHAN TAHUN KEDUA HIJRAH.

Sebab Terjadinya Peperangan dan sasarannya

Sesungguhnya antara Rasulullah saw dan puak Quraisy sedang dalam keadaan perang sejak hari pertama Nabi saw melakukan hijrah ke Madinah. Dalam keadaan perang harta dan darah musuh adalah dihalalkan. Apalagi jika kita ketahui bahawa sebahagian harta yang ada didalam kafilah-kafilah dagang Quraisy itu milik kaum Muhajirin dari kalangan kaum Muslimin Mekah. Harta itu dikuasai kaum Musyrikin Mekah secara aniaya dan tidak sah. Sejak lama pemusuhan antara kaum Muslimin dan Musyrikin berlangsung, kaum Musyrikin sentiasa berusaha untuk memusuhi dan menghalangi tersebarnya Islam dengan pelbagai cara. Mereka menghamburkan harta yang banyak demi untuk memenuhi hasrat mereka dan untuk tujuan melemahkan potensi kaum Muslimin. Mereka juga tidak putus-putus menyeksa dan mengadakan gangguan serangan di perbatasan kota Madinah

Pada hari ke 12 bulan Ramadhan tahun ke2 hijrah Rasulullah saw mengetahui bahawa kafilah dagang Quraisy datang dari Syam, lalu Rasulullah saw bersabda kepada kaum Muslimin yang ada disisinya.

“Ini adalah kafilah dagang Quraisy yang membawa harta kekayaan mereka. Keluarlah kepadanya, mudah-mudahan Allah menjadikannya sebagai pampasan bagi kalian.”

Perlu disebutkan bahawa kafilah ini tidak seperti kafilah-kafilah yang lain. Bila menguasainya maka akan mematikan bagi perekonomian Quraisy. Kerana di dalam kafilah dagang ini terdapat 1000 ekor unta dan 50,000 dinar emas.

Kaum Musyrikin mengungkapkan tentang bahaya penguasaan terhadap kafilah ini dengan perkataan mereka: “Jika Muhammad berhasil menguasainya maka kalian tidak akan berjaya selamanya”.

Perang Badar merupakan peperangan bersenjata yang pertama kali berlaku di antara pembela kebenaran dan pendukung kebatilan. Kerana di dalam pertempuran inilah ditentukan nasib kaum Mu’minin dan Musyrikin. Sehingga Nabi saw bermunajat dengan doa agar Allah memberikan kemenangan yang besar kepada kaum Muslimin.

Orang yang pernah membaca sirah Nabi saw di dalam perang Badar dan semua perang yang pernah dilakukannya, pasti akan mengetahui betapa besar perhatian Nabi saw terhadap langkah dan pelbagai taktik peperangan dan analisis terhadap pergerakan musuh. Oleh sebab inilah Rasulullah menghantar sebilangan kecil pasukannya untuk mengintai pasukan musuh. Pada kebiasaannya sebelum keberangkatan pasukan perang, Rasulullah saw akan mengutus satu pasukan kecil untuk menjelajah wilayah di hadapannya, sebagai langkah terhadap serangan hendap dan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketika Nabi saw mendengar berita mengenai kemaraan tentera Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufian, Nabi berbincang dengan para sahabatnya, baginda ingin mengetahui bagaimanakah sambutan kaum Ansar terhadap gagasan baginda untuk membela Nabi di negeri mereka.

Sewaktu hendak berangkat dari kota Madinah baginda mengajukan adakah kaum Muhajirin berkesanggupan untuk berperang. Baginda mengulanginya sehingga 3 kali untuk mengetahui pendapat mereka. Kaum Muhajirin bersetuju dan sanggup bersama-sama Nabi menghadapi musuh Islam di dalam peperangan ini, setelah melihat persetujuan kaum Muhajirin, kaum Ansar baru mengerti bahawa pertanyaan Nabi ini sebenarnya ditujukan kepada kaum Ansar.

Lantas Saad bin Muaz bangkit dan berkata: “Ya Rasulullah, seolah-olah engkau mengkehendaki kami. Mungkin engkau takut jika kaum Ansar tidak akan membelamu kecuali di negeri mereka sahaja. Aku berbicara atas nama kaum Ansar dan aku menjawab atas nama mereka. Pergilah ke mana saja sesukamu, sambunglah tali persahabatan yang engkau senangi dan putuskan tali yang engkau senangi. Ambillah dari harta kami sesukamu dan berikan kepada sesiapa sesuka hatimu. Apa yang engkau ambil dari harta kami itu lebuh kami senangi daripada engkau sisakan. Segala perintahmu akan kami laksanakan. Demi Allah jika engkau berjalan sampai Brakal Ghamad (Yaman) pasti kami akan berjalan bersamamu dan jika engkau mengajak kami untuk mengharungi lautan ini pasti kami akan mengharunginya bersamamu pula”.

Berkata pula Miqdad ibnul Aswad sebagai sokongan selepas Saad bin Muaz:

“Kami tidak akan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh kaum Musa kepada Musa: “Pergilah engkau beserta Tuhanmu dan berperanglah engkau berdua dan kami akan duduk disini”. Tetapi kami…..akan berperang disisimu kanan, kiri, depan dan belakangmu.”

Ketika Nabi saw mendengar penyataan para sahabatnya baginda bergembira dan baginda berkata sambil muka yang berseri-seri: “Berangkatlah kalian dan bergembiralah kalian”.

Semasa kaum Muslimin berangkat ke medan peperangan Badar, seorang pemuda yang berumur 16 tahun, namanya Umair bin Abi Waqas, takut kalau kalau dia tidak dibenarkan menyertai peperangan kerana disebabkan faktor umurnya yang masih muda. Kerana itulah beliau keluar dengan cara sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh sesiapa pun. Abangnya (Saad bin Abi Waqas) yang melihat hal itu bertanya apakah sebab beliau bersembunyi-sembunyi begini? Jawab Umair: “Aku takut kalau Nabi menyuruhku kembali sedangkan aku ingin mati syahid di medan petempuran”.

Apabila Nabi mengetahui kejadian itu beliau hampir sahaja menyuruhnya kembali ke Madinah kerana Umair bin Abi Waqas masih belum cukup umurnya untuk berperang. Namun kerana Umair menangis minta diizinkan oleh Nabi untuk ikut berperang, Nabi kasihan melihatnya dan terharu di atas semangat jihad dan kesungguhan Umair, akhirnya Nabi membenarkannya. Maka terkabullah cita-cita Umair dan beliau adalah salah seorang yang gugur di medan peperangan Badar sebagai syahid.

PERBEZAAN JUMLAH DAN PELENGKAPAN PEPERANGAN ANTARA KAUM MUSLIMIN DAN KAUM MUSYRIKIN

Setelah lengkap segala persiapan, Nabi saw beserta kaum Muslimin hanya berjumlah 313 orang. Dan dari jumlah yang sebesar itu, yang berkenderaan kuda hanya 2 orang sahaja, dan yang berkenderaan unta hanya 70 orang, dan yang selebihnya tidak berkenderaan. Mereka bergilir-gilir dengan orang yang menaiki kenderaan. Satu-satu kenderaan adakalanya dinaiki sehingga 2-3 orang secara bergantian. Tidak ada perbezaan antara tentera dan pemimpinnya. Bahkan Rasulullah saw pun bergantian dengan Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat besar lainnya.

Nabi memberikan panji-panji Islam kepada Musa’ib dan Umair. Dan bendera Muhajirin diserahkan kepada Ali bin Abi Thalib dan bendera kaum Ansar diberikan kepada Saad bin Muaz.

Apabila Abu Sufian mendengar khabar berita keluarnya pasukan Islam, ia memilih jalan pesisiran pantai sehingga ia selamat. Setelah kafilah dagang yang dipimpinnya merasa selamat dari kejaran kaum Muslimin, ia menulis surat kepada kaum Quraisy yang tengah dalam perjalanan ke Badar. Dalam surat itu ia menasihatkan sebaiknya tentera Quraisy balik ke Mekah, kerana kafilah dagang mereka telah selamat. Dan pasukan Quraisy hampir-hampir sahaja berpatah balik ke Mekah jika tidak dihalangi oleh Abu Jahal. Jumlah pasukan Quraisy waktu itu lebih dari 1000 orang. Bergabung di dalamnya sejumlah pemuka-pemuka Quraisy dan pahlawan-pahlawan mereka. Sepertimana yang disyaratkan oleh Nabi saw dalam pesanannya kepada kaum Muslimin sebelum peperangan: “Inilah kota Mekah telah mengerahkan kepadamu seluruh inti-inti pasukan”.

Kaum Quraisy tetap meneruskan perjalannya sehingga sampai di lembah Badar. Sedangkan kaum Muslimin berhenti di lembah Badar yang lain. Ketika kaum Muslimin berhenti di sana Khubab ibnul Munzir berkata kepada Rasulullah saw:

“Ya Rasulullah, adakah tempat yang kami berada ini suatu tempat yang ditunjukkan oleh Allah yang kami tidak dapat melanggarnya sedikit pun ataukah hanya tempat yang engkau pilih mengikut pendapatmu sendiri dan taktikmu? Jawab Nabi saw: “Tempat ini ku pilih menurut fikiranku”. Jawab Khubab: “Tempat ini tidak strategik untuk berperang”.

Kemudian dia menunjukkan tempat yang lebih strategik. Anjuran Khubab itu disambut oleh Rasulullah dengan gembira sekali dan segera baginda bangkit menuju ketempat yang ditunjukkan oleh Khubab yang mana merupakan tempat yang lebih dekat dari sumber air dari kaum Quraisy.

Ini menunjukkkan sifat Rasullulah yang menerima cadangan dari para sahabatnya dan tidak mementingkan diri baginda tanpa mengira siapa, jika syor itu pada pendapatnya boleh mendatangkan kebaikan, maka syor itu diterima dengan hati terbuka dan gembira.

Akhirnya Rasulullah beserta pasukannya sampai lebih dahulu ke tempat mata air di tengah malam. Kemudian kaum Muslimin membuat kolam-kolam air. Pada malam harinya Allah menurunkan hujan di sekitar daerah itu. Hujan itu menjadikan tempat kaum Musyrikin banjir sehingga mereka sukar untuk bergerak. Sebaliknya pula bagi kaum Muslimin, hujan tersebut merupakan satu rahmat dan dapat memadatkan pasir tempat mereka berpijak, sehingga mereka mudah bergerak maju dan hati mereka bertambah yakin dan kuat. Sehubungan dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat:

Yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) menurunkan kepada kamu air (hujan) dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan untuk menghilangkan dari kamu bisikan-bisikan syaitan dan untuk memperteguhkan hati kamu dan memperteguh tempat berpijak kaki-kaki kamu dengannya.” (Al-Anfal:11)

Rasulullah sebagai panglima perang

Rasulullah saw selain sebagai seorang Nabi yang bertugas menyampaikan risalah Allah kepada umat manusia. Baginda juga dapat menjadi panglima perang yang bijak mengenai selok-belok dan taktik peperangan. Baginda juga mampu menangkis serangan musuh dan dapat mengagak taktik musuh beserta kelengkapannya.

Antara persiapan peperangan ini ialah para sahabat membangunkan satu tempat yang tinggi yang mana darinya Rasulullah dapat melihat dan menyaksikan peperangan dan memberikan segala arahannya. Kemudian Rasulullah saw menunjukkan tempat-tempat terbunuhnya musuh-musuh Islam. Dengan kekuasaan Allah mereka yang telah disebutkan namanya oleh Nabi itu mati dan terbunuh ditempat yang diisyaratkan oleh Nabi tanpa ada yang tertinggal walau seorang pun.

Ketika barisan kaum Musyrikin mulai datang dan kedua pasukan saling berhadapan, baginda bermunajat dan seraya berdoa:

“Ya Allah, inilah kaum Quraisy yang datang dengan segala kecongkakan dan kesombongannya untuk memerangi Engkau dan mendustakan Rasulmu”.

Rasulullah melihat perbezaan yang amat jauh di antara kedua-dua belah pasukan. Baginda merasakan tiada jalan yang terbaik melainkan memohon agar Allah menghantarkan pertolongannya. Baginda benar-benar bertadharu’ dihadapan Allah memohon bantuan bagi tentera Islam yang jumlahnya serta kelengkapannya serba kekurangan.

Dalam doanya baginda berkata: “Ya Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini (Islam), tak akan disembah lagi Engkau di muka bumi ini. Ya Allah penuhilah janjimu kepadaku. Ya Allah, berikanlah pertolonganmu”.

Baginda berdoa sambil mengangkat tangannya ke atas sehingga kain serbannya terjatuh dari bahu baginda. Melihatkan akan hal ini Abu Bakar sering menenangkan hati Nabi kerana merasa kasihan melihat Nabi memperbanyakkan bermunajat kepada Allah untuk memohon pertolongan.

Sewaktu kedua pasukan mulai hendak berperang, Nabi berseru untuk membakar semangat jihad kepada kaum Muslimin:

“Bangkitlah kalian menuju syurga yang seluas langit dan bumi”

Orang Islam yang pertama gugur syahid

Setelah selesai Nabi berseru yang sedemikian tadi.Umair bin Humam al-Ashari bangkit dan bertanya kepada Nabi: “Ya Rasulullah apakah syurga itu seluas langit dan bumi?’’

Jawab Nabi: “Ya”

Kata Umair selanjutnya: “Sungguh untung,sungguh untung”

Tanya Nabi: “Apakah yang menyebabkan kamu berkata demikian?’’

Jawab Umair: “Aku berharap semoga aku termasuk orang yang memperolehi syurga”

Jawab Nabi: “Kamu adalah salah seorang yang mendapat syurga”.

Kemudian Umair mengeluarkan bekalannya iaitu beberapa biji kumar dan dimakannya. Kemudian ia berkata: “Kalau aku tunggu habisnya buah kurma ini beerti amat lama hidupku”.

Buah kurma itu segera dilemparkan ke tanah dan ia mara ke medan peperangan sehingga ia gugur sebagai syahid. Umair adalah orang pertama yang gugur sebagai syahid di medan peperangan Badar.

Semua pasukan tetap di dalam barisan masing sambil berzikir dan tetap bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt. Nabi sendiri mara ke hadapan memerangi musuh dengan kesungguhan.

Pada hari itu juga Allah menurunkan rahmatnya dan pertolongannya kepada kaum Muslimin. Allah menurunkan sejumlah malaikat yang ikut berperang di samping kaum Muslimin. Kejadian ini dicatat oleh Allah dalam Al-Quran:

Ertinya: ‘Ingatlah, ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para Malikat: Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah pendirian orang-orang yang beriman, kelak akan aku jatuhkan rasa ketakutan kedalam hati orang-orang kafir. Kerana itu penggallah mereka dan putuskanlah tiap hujung jari mereka”. (Al-Anfal:12)

Di dalam peperangan ini juga membaranya semangat jihad yang meluap-luap disetiap hati kaum muslimin begitu juga dengan 2 orang anak remaja yang masing-masing berlumba-lumba untuk mencapai cita-cita mereka iaitu mati syahid.

Sehubungan dengan ini Abdurrahman bin Auf menceritakan:

“Di hari peperangan Badar ketika aku di tengah barisan, setiap kali aku menoleh ke kanan dan ke kiriku aku dapati 2 orang pemuda yang masih muda sekali usianya. Aku khuatir akan keselamatan keduanya. Tiba-tiba salah seorang dari mereka membisikkan sesuatu ke telingaku: “Hai pak cik, tunjukkan kepadaku yang manakah Abu Jahal itu? Jawabku: “Apa maksudmu dengannya?” jawab pemuda itu: “Aku telah bersumpah jika aku bertemu dengannya akan kubunuh atau aku mati syahid kerananya”. Kemudian kata seorang lagi seperti yang dikatakan oleh pemuda yang pertama tadi. Setelah dekat aku tunjukkan kepada kedua pemuda si Abu Jahal itu. Keduanya segera menyerang Abu Jahal dengan pedangnya seolah-olah dua ekor rajawali. Kedua pemuda itu adalah dua bersaudara ibnu Afra”.

Setelah Abu Jahal terbunuh, Rasulullah saw menyambutnya dengan sabdanya:

“Abu Jahal ini adalah Fir’aun umat ini”.

Akhirnya kemenangan di medan pertempuran Badar berpihak kepada kaum Muslimin. Maha besar Allah, dia menunjukkan kekuasaannya, yang mana kaum Musyrikin sudah berkira-kira bahawa kemenangan akan menjadi milik mereka, mereka mempersiapkan segalanya demi menyambut kemenangan itu, tetapi akhirnya kebenaran tetap berada di  atas kebatilan.

Rasulullah saw berseru: Ertinya: “Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janjiNya dan menolong hambaNya serta mengalahkan musuhNya.”

Di dalam peperangan ini kaum musyrikin Quraisy terbunuh sebanyak 70 orang dan tertawan 70 orang. (Sahih Bukhari dari Barra’bin Azib)

Kaum Muslimin yang gugur syahid pula hanya seramai 14 orang sahaja. Enam orang dari kaum Muhajirin dan 8 orang dari kaum Ansar.

Pengaruh Perang Badar

Setelah kaum Muslimin memperolehi kemenangan di Badar, Rasulullah dan pasukannya kembali semula ke Madinah. Semua yang memusuhi baginda mula merasa gentar dan takut untuk memusuhi kaum Muslimin. Dengan sebab ini juga jumlah orang yang memeluk Islam semakin bertambah.

Sebelum Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda mengutus 2 orang utusan untuk menyampaikan khabar gembira mengenai peperangan ini. Salah seorang dari utusan itu ialah Abdullah bin Rawahah. Abdullah berseru kepada orang-orang Madinah:

Ertinya: “Hai kaum Ansar, bergembiralah kalian dengan kemenangan Nabi Muhammad saw. Dan terbunuh, dan tertawannya kaum Musyrikin”

Kemudian Abdullah menyebutkan nama beberapa pemuka Quraisy yang terbunuh di Badar. Berita tersebut dikhabar ke setiap rumah orang Ansar. Berita itu disambut dengan nyanyian pantun oleh anak-anak kecil bagi menunjukkan kegembiraan dan kesyukuran. Sebahagian dari mereka masih ada yang ragu-ragu dan sebilangan mereka pula yakin dengan berita yang disampaikan oleh Abdullah itu. Sehinggalah tibanya kedatangan Nabi saw dengan sejumlah tawanan yang diawasi oleh Syarqam. Baginda disambut dengan gembira oleh kaum Muslimin apabila baginda dan pasukannya tiba di suatu tempat yang bernama Rauha’.

Semua hati orang yang memusuhi kaum Muslimin diselubungi oleh perasaan takut. Abu Sufian sendiri bernazar tidak akan mencuci kepalanya dengan air sebelum dapat memerangi Rasulullah dan kaum Muslimin. Perasaan kaum Muslimin yang bersembunyi di Mekah dipenuhi dengan kegembiraan serta bertambah teguhnya iman dan keyakinan mereka terhadap Islam.

Sikap Kaum Muslimin Terhadap Musuh

Nabi saw berwasiat kepada para sahabatnya agar tetap berlaku baik terhadap tawanan seperti yang tercantum dalam sabda baginda:

“Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu berbuat baik terhadap mereka”.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Aziz bin Umair tentang sikap kaum Muslimin terhadap tawanan adalah seperti berikut: “Aku ditawan di tengah keluarga Ansar, sekembalinya dari Badar. Jika tiba waktu makan siang ataupun makan malam mereka selalu memberikan aku sepotong roti sedangkan mereka sendiri terpaksa makan kurma, kerana mereka dipesan oleh Nabi untuk berlaku baik terhadap tawanan. Setiap kali mereka memperolehi sepotong roti, mereka akan memberikannya kepadaku, sehingga aku malu atas perlakuan baik yang mereka lakukan. Maka aku kembalikan roti itu kepada mereka. Namun roti itu tetap diberikan kembali kepadaku.”

Seluruh tawanan perang dalam pandangan Islam harus diperlakukan sama tiada beza diantara keluarga terdekat atau orang lain.

Nabi memaafkan semua tawanan perang Badar. Mereka diminta untuk membayar tebusan untuk diri mereka bagi mampu. Harga tebusan itu ditentukan menurut keadaan ekonomi mereka. Seseorang yang tidak mampu membayar tebusan mereka dimaafkan oleh Nabi, dan dibebaskan begitu sahaja. Dengan adanya ketetapan ini, maka kaum Quraisy mulai mengirim wang tebusan mereka kepada kaum Muslimin agar para tawanan itu segera dibebaskan.

Sebahagian para tawanan yang tidak mampu membayar tebusan, Nabi memerintahkan mereka untuk mengajar sepuluh orang anak kaum Muslimin membaca dan menulis. Setiap orang diminta untuk mengajar 10 orang anak kaum Muslimin. Zaid bin Thabit termasuk salah seorang yang belajar dengan cara ini. Kebijaksanaan semacam ini sudah tentu adalah satu usaha memajukan bidang pendidikan dan memberikan semangat kepada orang untuk belajar membaca dan menulis.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]setstats 1

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.