SOALAN : HURAIKAN CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL DI ENGLAND PADA ABAD KE-16 DAN 17 MASIHI.
Pendahuluan
Masyarakat feudal merupakan masyarakat berhierarki yang mempunyai susun lapis tersendiri.
Dalam masyarakat feudal, kedudukan, kuasa dan status setiap lapisan ditentukan melalui penguasaan terhadap tanah.
Kemunculan masyarakat feudal di England bermula semasa pemerintahan William Si Penakluk yang meletakkan asas feudalisme yang lebih sistematik.
Menjelang abad ke-16 dan 17, berlaku perubahan dalam ciri masyarakat feudal di England.
Isi- isi utama
1. Kedudukan raja
Abad ke-16 dan 17, muncul sistem pemerintahan monarki mutlak di England
Raja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang pentadbiran, perundangan dan kehakiman.
Raja-raja dinasti Tudor dan Stuarts mengambil pelbagai langkah bagi mempertahankan kedudukan dan kuasa mutlak raja.
Contohnya, Raja Henry VII bertindak mengurangkan kuasa parlimen dan menyekat pengaruh serta kekuasaan golongan bangsawan.
Semasa pemerintahan dinasti Stuarts berlaku perselisihan antara raja dengan Parlimen dalam usaha mengukuhkan kuasa raja.
Parlimen telah menyekat pengaruh raja dengan memaksa Raja Charles I menandatangani Pengisytiharan Hak.
Perkembangan ini menyebabkan pemerintahan raja berperlembagaan di perkenalkan di England semasa pemerintahan Raja Charles II.
Tuntasnya, kekuasaan raja mengalami perubahan apabila pemerintahan beraja mutlak digantikan dengan raja berperlembagaan.
2. Pengaruh bangsawan
Menjelang abad ke-16 dan 17, pengaruh golongan bangsawan mengalami kemerosotan disebabkan kedudukan raja yang semakin kukuh ekoran perkembangan kapitalisme.
Perkembangan ini menyebabkan raja di England dapat mengawal golongan bangsawan.
Kemerosotan pengaruh bangsawan ini membawa kepada kemunculan golongan baru iaitu pegawai-pegawai pentadbir yang berkebolehan dan berwibawa dalam pentadbiran.
Perlantikan pegawai-pegawai ini adalah berasaskan merit dan bukan keturunan.
Pegawai-pegawai menerima gaji daripada raja bagi membantu mengendalikan pemerintahan dan pentadbiran.
Jelaslah bahawa golongan bangsawan mulai hilang pengaruh apabila kedudukan mereka diambil alih oleh pegawai-pegawai pentadbir.
3. Kedudukan Knight
Menjelang abad ke-16 dan 17, peranan golongan knight telah berubah apabila kedudukan raja menjadi semakin kukuh.
Raja tidak lagi bergantung kepada golongan knight untuk mempertahankan negara.
Raja menubuhkan pasukan tentera tetap dan tentera upahan yang berada di bawah kawalan dan penguasaan raja.
Pasukan tentera tidak lagi didominasi oleh golongan knight sahaja.
Golongan petani dan rakyat biasa juga direkrut untuk berkhidmat dalam pasukan tentera.
Tegasnya, peranan golongan knight turut mengalami perubahan ekoran perkembangan dalam politik dan ekonomi di England.
4. Pemilikan tanah
Pada abad ke-16 dan 17, perubahan dalam sistem ekonomi menyebabkan masyarakat feudal tidak bergantung kepada tanah untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Masyarakat feudal juga tidak lagi terikat dengan tuan-tuan tanah.
Mereka melibatkan diri dalam aktiviti pertanian komersial dengan menjadi buruh upahan kepada tuan tanah
Kemunculan bandar menyebabkan golongan petani mula berhijrah ke bandar bandar dan terlibat dalam sektor perindustrian.
Perkembangan ekonomi komersial juga menyebabkan raja berjaya mengukuhkan kedudukan dengan menguasai ekonomi kapitalisme.
Jelaslah bahawa penguasaan ekonomi oleh raja dan perkembangan ekonomi kapitalisme telah mengubah bentuk pemilikan tanah yang mengikat masyarakat feudal di England.
5. Kewajipan peribadi
Menjelang abad ke-16 dan 17, berlaku perubahan dalam hubungan antara raja dan golongan bangsawan.
Kedudukan raja menjadi semakin kukuh dan tidak lagi bergantung kepada golongan bangsawan bagi mendapatkan bantuan ketenteraan.
Hubungan antara tuan tanah dan petani turut berubah apabila tuan tanah membebasan petani.
Jelaslah, hubungan peribadi yang wujud berasaskan kontrak perjanjian mula berubah apabila kedua-dua pihak sudah tidak saling bergantung antara satu sama lain.
6. Mobiliti sosial
Perubahan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku pada abad ke-16 dan 17 telah menyebabkan wujud mobilti sosial dalam masyarakat di England yang sebelumnya jarang berlaku.
Perkembangan ini menyebabkan struktur susun lapis masyarakat turut mengalami perubahan.
Jawatan-jawatan penting dalam kerajaan yang dimonopoli oleh golongan bangsawan mula disandang oleh rakyat biasa.
Hal ini membawa kepada kemunculan golongan pertengahan dan kelas menengah dalam struktur masyarakat di England.
Jelaslah, bahawa kedudukan sosial dan status masyarakat feudal di England mengalami perubahan.
Kesimpulan
Abad ke-16 dan 17 mencorakkan perubahan yang ketara dalam ciri masyarakat feudal yang diamalkan sejak zaman pertengahan.
Perkembangan pesat dalam bidang ekonomi dan kemunculan negara bangsa turut membawa perubahan dalam hierarki dan peranan masyarakat feudal di England.
Hal ini membawa kepada munculnya masyarakat industri pada abad ke-18.