ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 21 Oktober 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PENGUKUHAN EMPAYAR

HURAIKAN LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH PEMERINTAH DALAM MENGUKUHKAN EMPAYAR TAMADUN INDIA, CHINA, DAN ROM.

A. PENGENALAN (3 Markah)

Imperalisme dan pembentukan empayar bermula dengan proses penaklukan, penguasaan dan pengawalan. Biasanya, berkait rapat dengan sistem pemerintahan monarki yang kedaulatan dan kuasa politik terletak di tangan maharaja atau raja. Menurut Farmer dalam buku, Comparative History of Civilizations, empayar merujuk kepada entiti politik yang menyatukan zon budaya yang luas. Proses perluasan kuasa menyebabkan muncul beberapa empayar seperti empayar Maurya dan Gupta di India, empayar Chin dan Han di China dan empayar Rom di Eropah. Saiz wilayah yang luas ini memerlukan kebijaksanaan pemerintah untuk mengekal dan mengukuhkan empayarnya.

B. ISI-ISI PENTING (7 Isi X 3 Markah = 21 Markah)

Langkah Pemerintah Mengukuhkan Empayar

1. Perlaksanaan konsep hegemoni, iaitu penduduk-penduduk yang hidup di dalam empayar itu mengalu-alukan pemerintahannya. Rakyat empayar bersedia menerima sistem pemerintahan itu oleh kerana mereka menghormati kuasanya, undang-undang yang adil, keadaan yang aman dan faedah-faedah yang berpunca daripada itu, sistem kebudayaan yang tinggi serta peluang-peluang ekonomi yang boleh memajukan mutu kehidupan dan kemakmuran mereka. Perlaksanaan hegemoni bermaksud juga memerintah dengan persetujuan daripada rakyat yang taat setia kepada kerajaan mereka. Objektif kerajaan empayar ialah menggalakkan asimilasi dan integrasi rakyat empayar. Contoh yang nyata sekali ialah empayar Rom di mana bangsa­-bangsa asing yang dikuasai diberikan kewarganegaraan Rom dan dibenarkan berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam pentadbiran Rom clan wilayah-wilayahnya.

2. Menggunakan kekuasaan ketenteraan.

Sekiranya hegemoni tidak berjaya mengekalkan perpaduan, para pemerintah biasanya mentadbirkan empayarnya dengan kekuasaan tentera. Tentera digerakkan untuk menjamin keamanan empayar dan mengelakkan pemberontakan berlaku. Kuasa tentera sering kali disokong dengan pembinaan pelbagai kemudahan seperti kubu-kubu di Eropah Barat pada zaman feudal dan pembinaan Tembok Besar di negara China. Sistem jalan raya dan pengangkutan juga dimajukan untuk memudahkan pergerakan tentera. Pembinaan jalan raya di Rom telah memudahkan pergerakan tentera Rom ke wilayah-wilayah untuk mematahkan sesuatu pemberontakan di dalam empayar dan juga mempertahankan empayarnya daripada serangan orang-orang Germanic.

3. Pemusatan kuasa kerajaan

Walaupun sesebuah empayar dibahagikan kepada wilayah-wilayah tetapi kuasa kerajaan biasanya terletak di ibu kota empayar. Pemusatan politik adalah selaras dengan pembahagian masyarakat empayar kepada dua kategori, iaitu golongan yang berkuasa dan golongan yang ditakluki. Di pusat pemerintahan jawatan­jawatan yang penting dikuasai oleh golongan atasan yang taat setia kepada maharaja manakala di peringkat wilayah ketua pemerintah adalah wakil dari ibu kota yang dibantu oleh pemimpin-pemimpin tempatan. Semasa pemerintahan Asoka, kestabilan empayar adalah berasaskan penubuhan suatu sistem pentadbiran yang tertakluk kepada pengawalan pusat di Pataliputra. Untuk mendapatkan sokongan yang penuh daripada rakyat, golongan – golongan tertentu diserapkan ke dalam pentadbiran empayar terutamanya di peringkat wilayah dan daerah.

4. Wujudnya sistem birokrasi.

Apabila hal ehwal pentadbiran menjadi lebih kompleks akibat daripada perluasan empayar lagi, maka sebuah birokrasi yang terdiri daripada pelbagai jabatan diwujudkan untuk melicinkan pentadbiran empayar. Penubuhan birokrasi adalah nyata sekali di empayar Rom dan empayar China. Sistem pentadbiran amat penting bagi mengukuhkan cengkaman kuasa kerajaan di seluruh wilayah jajahan takluk. Untuk tujuan tersebut, biasanya sesebuah kerajaan membahagikan empayar kepada wilayah-wilayah yang diperintah oleh gabenor. Kerajaan pusat melantik pemerintah di peringkat wilayah dan sentiasa mengawasi pegawai-pegawai di wilayah. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti telah membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah dan wilayah-wilayah ini ditadbir oleh gabenor tentera.

5. Konsep Kehomogenan Empayar

Hampir kesemua rejim empayar berhasrat menyatukan empayarnya dengan dasar-­dasar untuk memupuk kehomogenan kebudayaan, masyarakat, agama, bahasa, dan ekonominya. Dinasti Han di China, ideologi Confucianisme dijadikan asas untuk menyatukan masyarakat China. DI tamadun Rom, budaya Greco-Roman dianggap sebagai budaya rasmi di seluruh empayar.

6. Wujudnya sistem naungan ekonomi. Contoh : negeri-negeri naungan biasanya membayar ufti atau sebahagian daripada hasil diserahkan kepada pemerintah pusat. Pengukuhan suatu empayar adalah berasaskan pengawalan dan penghasilan pertanian berlebihan oleh kerana kekuatan empayar bergantung kepada ekonomi pertanian secara besar – besar. Kekayaan dan kemakmuran empayar berpunca daripada pendapatan cukai tanah dan hasil tanaman. Hal ini memainkan peranan yang penting.

7. Kewibawaan pemimpin

Kewibawaan sesebuah empayar bergantung kepada pemimpin yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa dapat mewujudkan kestabilan politik. Ini dapat diwujudkan dengan menggunakan kekuatan tentera. Di samping itu, pemimpin-pemimpin juga memberikan naungan politik kepada pertumbuhan tamadun. Contohnya, Maharaja Shih Huang Ti memberi peluang kepada golongan sarjana yang berminat dengan falsafah Konfucius menjalankan penyelidikan sejarah. Manakal, kerajaan Maurya memberikan naungan politik kepada golongan karyawan untuk bergiat dalam lapangan kesenian dan kesusasteraan.

8. Penyebaran agama

Pemimpin sesebuah empayar juga bertindak menyebarkan fahaman agama ke wilayah-wilayah jajahan takluk khususnya kepada pemimpin yang terikat dengan sesuatu fahaman agama dan ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Contohnya,Maharaja Asoka telah mengambil beberapa langkah untuk menyebarkan agama Buddha dalam empayarnya. Selain, mengadakan siri lawatan ke seluruh empayar untuk menyebarkan agama Buddha, baginda juga melantik pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Dharma Mahamatra untuk menyebarkan agama Buddha. Selain itu, Asoka telah mempraktikkan dan mengamalkan ajaran-ajaran Buddha dalam kehidupannya dengan menghentikan amalan membunuh binatang dan memakan daging. Hasil usaha dan langkah-langkah tersebut, agama Buddha telah menjadi agama dunia.

9.Kemajuan komunikasi

Kejayaan sesebuah empayar juga bergantung kepada sistem pengangkutan dan komunikasi. Rangkaian jalanraya diperlukan untuk menggerakkan pasukan tentera untuk melicinkan pentadbiran. Hal ini dapat dilihat dalam kerajaan Rom zaman Augustus Caesar. Beliau telah membina jalanraya-jalanraya yang menghubungkan Rom dengan kebanyakan kawasan jajahannya. Ini telah memudahkan pergerakan tentera ke kawasan jajahan untuk mematahkan sebarang kebangkitan untuk mencabar kepimpinan maharaja.

10. Konsep dewaraja / Legitimasi Pemerintah

Para pemerintah cuba menegakkan legitemasi mereka dengan tujuan mendapatkan ketaatsetiaan dan kepatuhan rakyat empayar. Kewibawaan dan kedaulatan raja kian dipertingkatkan melalui upacara agama. Jadi raja adalah bersifat kekudusan dan ia dianggap dewa – dewi, wakil atau bayang tuhan di muka bumi. Misalnya Chandaragupta menergaskan kepentingan agama Hinduisme manakala Asoka menggunakan agama Buddha untuk mencipta suatu sistem etika yang dapat menyatukan empayar. Kebesaran dan kemuliaan raja dan pemerintahnya diperkuatkan lagi dengan terlaksana upacara Istana yang kompleks dan juga pembinaan bangunan – bangunan dan monumen – monumen yang besar dan indah. Ini terbukti dengan pembinaan rumah berhala di India Maurya, dan tembok besar China.

12.Dasar diplomasi – perkahwinan politik.

Para pemerintah juga mengukuhkan sesebuah empayar melalui proses perkahwinan. Umpamanya, ketika Chandragupta II memerintah empayar Gupta, beliau menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara jiran melalui perkahwinan. Beliau mengahwini puteri keluarga diraja Naga yang bernama Kuveranaga. Beliau mengahwinkan puterinya Prabavatigupta diraja ini mengkuhkan kedudukan politik kerajaan Gupta kerana kedua-dua kerajaan ini penting untuk kesempatan empayar Gupta.

C. KESIMPULAN (1 Markah)

Empayar merupakan entiti politik yang lahir daripada kegiatan ketenteraan yang menyebabkan proses perluasan wilayah. Sebagai unit politik yang merangkumi kawasan yang luas, empayar mempunyai beberapa ciri seperti sistem birokrasi kerajaan pusat yang mantap , kehomogenian budaya, agama dan budaya, kekuatan militer, perlaksanaan hegemoni dan sistem naungan ekonomi. Ciri-ciri ini amat penting dalam memantapkan serta mengukuhkan kedudukan sesebuah empayar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Empayar akan mengalami kemerosotan apabila pemerintah gagal mengawal struktur empayar, mengukuhkan pentadbiran pusat, kemerosotan ekonomi dan sistem pertahanan lemah

- Apa-apa yang berkaitan

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.