ENJIN CARIAN BAHAN

Sabtu, 9 Mei 2020

Etika Peperangan Dalam Islam

Etika Peperangan Dalam Islam

Islam amat mengutamakan keamanan dan keselamatan sejagat. Oleh itu, misi peperangan dalam Islam tidak sewenang-wenangnya menghancurkan dan memusnahkan pihak musuh, malah kehidupan lain dan persekitarannya juga diambil kira. Antara etika-etika peperangan dalam Islam ialah:
  1. Mesti mengajak manusia kepada Islam sebelum memeranginya. Contohnya pada zaman Abu Bakar al-Siddiq, sewaktu menyerang wilayah Hirah, baginda telah memberikan 3 pilihan kepada musuh Islam iaitu mengajak menganut agama Islam, berdamai dan membayar jizyah atau berperang.
  2. Islam hanya membenarkan umatnya berperang seandainya mereka diperangi terlebih dahulu. Contohnya, dalam Perang Badar peperangan berlaku setelah umat Islam diserang oleh musyrikin Quraisy Makkah.
  3. Dalam ekspedisi peperangan,  tentera Islam tidak boleh memerangi orang kafir yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, orang cacat, lumpuh, paderi atau pendeta. Golongan ini tidak boleh dibunuh malah dilindungi.
  4. Tentera Islam dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaan darurat. Ini membuktikan Islam mementingkan keamanan dan kesejahteraan.
  5. Islam menetapkan etika peperangan tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah atau kafir zimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam.
  6. Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh, antaranya ialah seperti tentera Islam tidak boleh mencincang mayat atau musuh yang sudah terbunuh.
  7. Sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib ditaati. Contohnya, ketika Perjanjian Hudaibiyah meskipun syarat-syarat dalam perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada musuh Islam dan berat sebelah, namun Rasulullah menerimanya kerana mempunyai misi tersendiri dan berpandangan jauh.
  8. Etika terakhir ialah tawanan perang akan dilayan dengan baik. Ia merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh Rasulullah. Dalam Perang Badar, Baginda menggunakan kaedah diplomasi, iaitu tawanan perang harus menebus diri dengan ilmu pengetahuan serta sejumlah wang tertentu. Mana-mana tawanan perang kafir Quraisy yang dapat mengajarkan 10 orang kanak-kanak Islam membaca dan menulis akan dibebaskan tanpa syarat.
  9. Cara pengagihan harta rampasan perang. Harta-harta yang diperolehi melalui perang bukan dibolot oleh Rasulullah sebaliknya diagihkan secara sama rata di kalangan para pejuang. Selepas kewujudan Baitulmal, harta-harta berkenaan diuruskan dengan lebih baik dan digunakan untuk pembangunan negara khususnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.
Sudah tentu, etika-etika ini kelihatan amat banyak yang bertentangan dengan yang diamalkan oleh masyarakat antarabangsa sekarang. Semuanya dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa tanggungjawab dan belas kesihan. Mari kita doakan untuk keselamatan dan keamanan sejagat, amin.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sesat woii

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.