ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 8 November 2015

CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND


Bincangkan ciri-ciri masyarakat industri yang wujud di England pada abad ke-18 hingga ke-19 Masihi.                                                                                                            


 A.PENGENALAN

1.Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang bergantung kepada sektor  perindustrian. Mereka terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan menggunakan mesin.

2.Revolusi Perindustrian bermula di England selepas tahun 1750.Revolusi ini bermula di England selepas berlaku perubahan yang pesat dalam bidang pertanian dan dikaitkan dengan penemuan mesin wap di Eropah.

3.Ciri-ciri masyarakat industri di England dilihat dari sudut perkembangan sains dan teknologi , kegiatan ekonomi, pengkhususan pekerjaan, mobiliti sosial, kemunculan kelas baharu, dan urbanisasi.

B.ISI-ISI : Ciri-ciri masyarakat industri di England

1.Kemajuan sains dan teknologi

i.Masyarakat industri di England mempunyai pengetahuan dan kelengkapan yang mencukupi untuk mendahului negara-negara lain dalam perindustrian. Beberapa rekaan dan ciptaan  ditemui. Para pencipta diberikan hak paten untuk hasil ciptaan mereka.

ii.Selain itu, antara pencapaian teknologi terawal ialah penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Thomas New Comen mencipta enjin berkuasa wap pada tahun 1702.Enjin ini digunakan dalam perusahaan melombong arang batu.

iii.James Watt juga telah memperbaiki enjin rekaan Thomas Newcomen.Enjin ciptaan beliau digunakan di England dan juga dieksport.

2.Kegiatan Ekonomi

i.Masyarakat industri di England menjalankan kegiatan ekonomi yang member tumpuan  kepada pengeluaran barangan secara besar-besaran. Kegiatan ekonomi mereka bergantung kepada sektor perindustrian dan perlombongan.

ii.Mereka memberi tumpuan kepada perusahaan tekstil yang merupakan perusahaan  tertua di England.Kilang kapas pertama didirikan pada tahun 1790.

iii.Selain itu, masyarakat industri juga menjalankan aktiviti ekonomi dalam sektor perlombongan. England menjadi pengeluar bekalan bahan mentah yang banyak seperti  arang batu dan bijih besi.Bekalan ini dari wilayah New Castle dan Wales. England  muncul sebagai pengeluar keluli terbesar dunia. Pada tahun 1860 England  mengeluarkan 80 juta tan metric arang batu dan 225000 tan metrik keluli.

3. Pengkhususan Pekerjaan

i.Masyarakat industri England juga mempunyai pengkhususan pekerjaan yang tersendiri. Masyarakat tertumpu dalam sektor pekerjaan perkilangan dan  mempunyai pekerjaan yang tetap.Penggunaan mesin juga telah digunakan secara meluas.

ii.Oleh yang demikian, pekerja yang mempunyai kemahiran khusus dalam  menghasilkan sesuatu barangan amat diperlukan dalam kelompok masyarakat ini. Pekerja hanya perlu melakukan sebahagian kerja khusus bagi menghasilkan  sesuatu barangan.

iii.Secara tidak langsung, pembahagian  kerja  dan  pengeluaran  secara besar-besaran  telah mengurangkan  kos operasi serta meningkatkan pengeluaran.Penggunaan mesin menyemai benih oleh Jethro tull dalam pertanian telah membolehkan proses pembajakan berjalan lancar dan telah menambahkan hasil pengeluaran bahan mentah untuk perindustrian.

4. Mobiliti Sosial

i.Mobiliti sosial juga telah  berlaku  dalam  masyarakat industri. Kumpulan  masyarakat  ini  telah  berubah  dengan   wujudnya   kelas  pekerja baru yang ramai serta mempunyai kepentingan masing-masing.

ii.Ini kerana taraf  hidup  golongan  pekerja  telah  meningkat.Peningkatan  dalam  pengeluaran menyebabkan  mereka  menerima  pendapatan  yang tinggi.Ini meletakkan asas bagi kemunculan  golongan  kelas  menengah  dalam  masyarakat.

iii.Golongan kelas menengah terdiri  daripada golongan yang memiliki kilang,para       peniaga,peguam dan jurutera.Golongan ini berkeinginan dan bersedia menerima risiko untuk mendapatkan kekayaan.

5.Kemunculan kelas

i.Ciri masyarakat industri seterusnya ialah kemunculan dua kelas utama iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis  terdiri daripada  pemilik kilang,tuan tanah dan pengusaha lombong.Kelas pekerja pula ialah buruh dan pekerja kilang di kilang tekstil,kilang kimia dan kejuruteraan elektrik.

ii.Golongan pekerja ini amat bergantung kepada golongan kapitalis.Pada peringkat awal,proses perindustrian membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang.

iii.Namun, selepas berlaku peningkatan dalam pengeluaran muncul golongan professional. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja meningkat.

6. Masyarakat Urban @ Berlaku Urbanisasi

i.Ciri seterusnya ialah perkembangan dalam bidang perindustrian telah membawa kepada perpindahan penduduk dari kawasan luar bandar  ke kawasan bandar.Masyarakat industri merupakan  masyarakat urban yang tinggal di bandar-bandar perindustrian.

ii.Ini kerana, proses migrasi telah berlaku ke kawasan bandar secara pesat. Para imigran ini bekerja di kilang atau sebagai pengusaha industri.Misalnya berlaku penghijrahan penduduk Ireland ke bandar-bandar besar di England.

iii.Menjelang tahun 1851 bandar-bandar seperti Lancashire,Yorkshire dan Nottinghamshire menjadi tumpuan penduduk.Perkembangan ini membawa kepada proses  urbanisasi.

7.Masyarakat Literasi

i.Ciri masyarakat industri seterusnya  ialah sebuah masyarakat literasi. Mereka terdiri daripada kelompok masyarakat yang memiliki ilmu dalam bidang pendidikan.

ii. Ini kerana, kemajuan dalam industri telah menyebabkan perubahan kehidupan masyarakat kepada gaya hidup yang mewah,pertambahan sistem komunikasi dan pengangkutan, kehidupan yang lebih sihat dan mementingkan pendidikan.

iii.Oleh itu, masyarakat ini mula terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dan memperjuangkan  kepentingan mereka melalui politik.Perjuangan mereka adalah melalui parlimen dan sebanyak 61 wakil kelas  menengah berada di Parlimen pada pertengahan abad 18.

C.KESIMPULAN

1.Masyarakat industri di England mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan Revolusi Perindustrian di England.  

2.Perkembangan masyarakat industri di England ini telah membawa kepada kemunculan  England sebagai kuasa imperialis yang baru pada akhir abad ke 19.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.