ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 30 Oktober 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 2/3 – LANGKAH MEMPERTAHANKAN MADINAH

Bincangkan langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. bagi mempertahankan kedaulatan negara Islam Madinah.

Pengenalan ( sehingga 5 markah)

1. Maksud ketahanan dan pertahanan- ketahanan ertinya ketabahan, kecekalan dan kesabaran. Ketahanan dari segi fizikal merangkumi aspek pembinaan jasmani dan ketenteraan. Ketahanan dari segi kerohanian meliputi aspek agama dan moral. Pertahanan bermaksud mempertahankan diri, agama dan negara dari serangan musuh. Termasuk membela golongan yang lemah dan teraniaya.

2. Latar belakang masyarakat Madinah. Penduduk Madinah terdiri daripada beberapa suku kaum Arab dan bukan Arab. Orang Arab Islam terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj (Ansar). Manakala orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah digelar Muhajirin. Golongan bukan Islam terdiri daripada Yahudi yang terbahagi kepada beberapa kumpulan, seperti Bani Qainuqa’, Bani Quraizah, dan Bani Nadir. Terdapat juga golongan bukan Islam minoriti yang terdiri daripada golongan munafik dan Nasrani.

3. Latar belakang pemerintahan Madinah. Selepas termeterainya perjanjian Aqabah dan selepas nabi berhijrah ke Madinah, Baginda telah meletakkan asas bagi membentuk sebuah negara Islam. Baginda telah merangka struktur masyarakat untuk menjamin kewujudan dan kelangsungan sebuah negara Islam di Madinah. Baginda telah meletakkan asas peraturan bertulis bagi kehidupan seluruh ahli masyarakat Madinah melalui pembentukan Piagam Madinah.

4. Wacana isi / penegasan isi.

Isi (5 isi x 4 m = 20 markah)

Langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Nabi Muhammad s.a.w. bagi mempertahankan kedaulatan negara Islam Madinah.

1. Menggubal Piagam Madinah. Nabi Muhammad s.a.w telah membuat beberapa langkah yang boleh menjamin keamanan di negara kota itu untuk menghindar tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w telah memperuntukkan dalam Piagam Madinah hak-hak golongan Yahudi seperti memberikan kebebasan mengamalkan upacara dan ibadat agama mereka , kebebasan dalam kegiatan ekonomi, sosial, adat – istiadat, dan mereka pula diminta supaya bersedia untuk mempertahankan keselamatan Madinah daripada ancaman musuh. Sebaliknya , mereka pula meminta jasa baik Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka . Dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama. Golongan-golongan Yahudi ini hanya mematuhi Piagam Madinah pada peringkat permulaan sahaja. Selepas itu , mereka mengingkarinya seperti telah di rancang terlebih dahulu kerana tindakan mereka berdasarkan komposisi dalam golongan Yahudi yang terdiri daripada Bani Qainuqa’ , Bani Nadhir , dan Bani Quraizah.

2. Mempertahankan diri dalam Perang Badar. Selepas kaum muslimin keluar dari Makkah, orang kafir Quraisy Makkah cuba pula menghapuskan kehidupan orang Islam di Madinah. Mereka bimbang apabila orang Islam menguasai Madinah, akan menganggu laluan perdagangan mereka antara Makkah dan Syam. Nabi Muhammad bersama kira-kira 313 orang Islam telah bergerak ke luar dari kota Madinah dan berkampung di Badar (sempena nama sebuah perigi) antara Makkah dn Madinah. Pertempuran yang berlaku di situ telah memberi kemenangan kepada orang Islam.

3. Penyingkiran Yahudi Bani Qaynuqa’. Penyingkiran Yahudi Bani Qaynuqa’ ini berpunca daripada sikap mereka yang suka memperkecilkan kemenangan kaum Muslimin dalam Perang Badar pada tahun kedua hijrah (624M). Bani Qainuqa’ telah menghina Piagam Madinah dan mempersendakan kemenangan Rasulullah s.a.w dan pengikutnya dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 Hijrah . Mereka tidak mematuhi amaran Rasulullah s.a.w supaya menjaga kedamaian dan keharmonian di Madinah. Seterusnya mereka bertindak mengganggu maruah wanita secara terang-terangan. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w telah menghalau mereka keluar dari kota Madinah ke suatu kawasan yang berhampiran dengan negeri Syria antara Semenanjung tanah Arab.Mereka dibenarkan membawa bersama harta benda mereka yang ada di Madinah.

4. Mempertahankan diri dalam Perang Uhud. Perang Uhud berlaku ekoran rasa kecewa musyirikin Makkah kerana tewas dalam Perang Badar. Nabi telah mengambil tindakan untuk berperang di luar kota Madinah di sebuah bukit bernama Bukit Uhud. Di sana tentera Islam seramai kira-kira 700 orang telah berjaya menguasai Bukit Uhud dan hampir memenangi perang tersebut. Namun kerana kealpaan mereka dengan pesan Rasulullah agar tidak meninggalkan puncak bukit tersebut, menyebabkan mereka turun ke kaki bukit bagi mengambil harta peninggalan musuh. Ini menyebabkan tentera Islam diserang balas dari belakang oleh tentera musyrikin Quraisy dan tewas dalam perang tersebut.

5. Penyingkiran Yahudi Bani Nadir. Bani Nadhir telah melakukan dua kesalahan besar . Pertama, mereka mengadakan komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w semasa baginda mengadakan rundingan dengan salah seorang daripada ketua mereka. Yahudi Bani Nadir telah menuntut bayaran ganti rugi yang tinggi di atas dua orang lelaki Yahudi yang telah dibunuh secara tidak sengaja oleh seorang Arab yang bernama ‘Amru b. Umayyah. Bagi menyelesaikan perkara ini, Nabi telah mengadakan perbincangan dengan ketua Bani Nadir. Dalam perjumpaan ini, Bani Nadir mengambil kesempatan untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Baginda terselamat dengan turunnya wahyu daripada Allah s.w.t apabila dimaklumkan perkara tersebut oleh malaikat Jibril. Kedua, mereka menyokong Quraisy Makkah dalam Perang Uhud . Kesalahan ini merupakan pengingkaran terhadap Perlembagaan Madinah. Dengan arahan Rasulullah s.a.w kemudiannya, mereka dikepung oleh tentera Islam selama 6 hari . Setelah mereka menyerah kalah , mereka bersetuju untuk meninggalkan kota Madinah.

6. Mempertahankan diri dalam Perang Khandak. Peristiwa ini berlaku adalah ekoran usaha Quraisy Makkah bersama Yahudi bani Nadir ingin menawan kota Madinah dan menghalau keluar orang Islam dari situ. Orang Yahuni Bani Nadir juga ingin membalas dendam kepada orang Islam apabila mereka telah dihalau keluar dari Madinah. Awalnya kaum Muslimin hanya ingin bertahan di dalam kota Madinah kerana memikirkan keselamatan orang tua, wanita dan kanak-kanak. Tetapi Salman al-Farisi telah mencadangkan untuk menggali parit di luar kota Madinah sebagai benteng dan kubu. Dengan itu kaum musyrikin Makkah dan orang Yahudi tidak dapat masuk ke dalam kota Madinah. Peperangan ini dimenangi oleh orang Islam walaupun jumlah mereka hanya 3000 orang berbanding tentera Ahzab seramai 10 000 orang.

7. Penyingkiran Yahudi Bani Quraizah. Bani Quraizah juga mengingkari Piagam Madinah dengan menimbulkan masalah besar ketika Perang Khandak (Azhab). Huyai bin Ahtab , pemimpin Bani Nadhir yang di halau dari Madinah telah menghasut pemimpin Bani Quraizah, iaitu Ka’ab bin Asd sehingga akhirnya bersetuju membatalkan perjanjiannya dengan Rasulullah s.a.w dan seterusnya memihak kepada tentera Quraisy yang sedang mengepung Madinah. Bani Nadhir tidak mengendahkan amaran Rasulullah s.a.w tentang bahayanya tentang pengkhianatan mereka itu. Setelah Perang Khandak (Azhab) dimenangi oleh tentera Islam , umat Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah selama 25 hari. Akhirnya mereka menyerah kalah dan bersetuju melantik Sa’ad bin Muaz , pemimpin suku kaum Aus membuat pengadilan terhadap mereka . Sa’ad telah membuat keputusan bahawa harta mereka di rampas , kanak-kanak, orang-orang tua, dan wanita ditawan , dan orang-orang lelaki pula di pancung. Hukuman ini setimpal dengan pengingkaran mereka terhadap perjanjian sebelum ini bersama orang-orang Islam. Masalah yang ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi ini akhirnya telah dapat diselesaikan oleh Rasulullah s.a.w dengan adil .

8. Memulau golongan munafik. Nabi telah memberitahu kepada para sahabat baginda agar memulau golongan Munafik. Ini kerana mereka telah memalingkan diri daripada menyertai Perang Uhud dan bersahabat dengan golongan Yahudi yang sering berusaha memecahbelahkan umat Islam Madinah.

Kesimpulan ( 1/ 2 markah)

Apa saja yang berkaitan dengan soalan dan isi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.