ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 22 April 2012

TAMADUN DUNIA :TEMA 1/2/3 – PERANAN ORANG LAUT

image LATIHAN  ESEI !!!     new.aspx
PELAJAR TINGKATAN 6 ATAS SMKDARY: ESEIKAN SOALAN INI. BACA DAN KAJI DENGAN TELITI .
SILA CETAK CONTOH SKEMA UNTUK RUJUKAN.
Jelaskan peranan orang laut dalam kerajaan di Alam Melayu sehingga abad ke 17 Masihi.

CONTOH JAWAPAN:
Pengenalan

- Tom Pires menggelarkan orang laut sebagai Celates/Selatter, Prof. O.W. Wolters menggunakan istilah Gipsi Laut.
- Tempat asal kelompok ini ialah gugusan Riau-Lingga, di selatan Selat Melaka.

Isi-isi Penting

1. Membantu meningkatkan ekonomi melalui pengumpulan hasil-hasil laut.

i. Orang laut menjalankan kehidupan mereka dengan melakukan rondaan keselamatan di laut dan mengumpul hasil-hasil laut seperti mengutip kulit penyu,mengumpul tumbuhan laut seperti agar-agar dan sagu yang sangat diperlukan oleh para pedagang pada masa itu.
ii. Mempunyai banyak pengetahuan tentang angin monsun dan pulau-pulau di pesisir pantai barat dan timur Semenanjung Tanah Melayu.

2. Membantu mengukuhkan kerajaan Srivijaya, Melaka dan Johor-Riau

i. Hubungan erat orang laut dan Kerajaan Srivijaya banyak membantu kerajaan Srivijaya mengekalkan keunggulan ekonomi dan politiknya pada kurun ke-7 hingga kurun ke-13.
ii. Kajian awal membuktikan bahawa peranan Orang Laut ini amat penting dalam membina kegemilangan kerajan Srivijaya,Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan terus berkesinambungan pada zaman kerajaan Johor-Riau.
iii. Menjadi tulang belakang dalam angkatan laut serta mendapat kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial.

3. Sebagai pentadbir dalam istana

i. Anak raja Srivijaya iaitu Parameswara telah dibantu oleh orang laut untuk menubuhkan kerajaan Melayu Melaka.
ii. Upacara pertabalan telah dilakukan ke atas Parameswara iaitu upacara “abhiseka” memberikan kedaulatan kepadanya dan keturunannya.
iii. Ada orang Laut menjadi pendayung, hulubalang, panglima dan Bentara malahan ke jawatan tinggi seperti Bendahara, Laksamana dan Temenggung.

4. Sebagai tentera laut dan pahlawan

i. Orang Laut merupakan pasukan perang yang gagah, berani dan setia. Kesetiaan pernah ditunjukkan kepada kerajaan Sri Vijaya , Melaka dan Johor-Riau.
ii. Kemahiran mereka mendayung telah menjadikan mereka pilihan utama sebagai tentera angkatan laut.Sangat mahir tentang angin monsun dan pulau-pulau di pesisir pantai barat dan timur Semenanjung Tanah Melayu.
iii. Kekuatan Orang Laut juga tergambar kerana jumlah mereka yang menjadi hulubalang lebih ramai daripada orang Melayu pada abad ke-17.
iv. Mereka dianggarkan menganggotai kira-kira satu suku tentera Melayu dalam Kerajaan Johor-Riau.

5. Sebagai pekerja untuk istana raja

i. Orang Laut juga berperanan sebagai pembawa utusan dan surat-surat kepada pemerintah luar negeri, menyediakan agar-agar dan sagu kepada raja, berkhidmat di dapur istana, mengangkut kayu api serta menjaga anjing perburuan Sultan.
ii. Pemerintah Johor memahami peranan dan bakat semula jadi Orang Laut untuk menarik kapal asing berdagang ke Johor dan mengurangkan persaingan asing terutama dari pihak Belanda di Selat Melaka.

Kesimpulan :
Orang Laut memainkan peranan yang amat penting dalam mengukuhkan kekuatan dan kegemilangan Sri Vijaya, Melaka dan Johor-Riau.
Pada suatu masa mereka amat gemilang dan berada di mercu yang tinggi dalam hieraki sosial dan kuasa politik Melayu dari abad ke-7 hingga abad ke-17 Masihi.
 
Bacaan Tambahan : Klik Sini

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Khamis, 5 April 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 6 – KEMUNCULAN MAZHAB

Huraikan sejarah kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam serta nyatakan faktor-faktor yang membawa kepada kemunculan mazhab-mazhab tersebut.

Pendahuluan

a. Rasulullah s.a.w. telah berjaya menyatukan umat Islam menerusi semangat persaudaraan Islam.

b. Kemunculan pelbagai mazhab pula berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ali B. Abu Talib.

c. Walaupun berbeza pemikiran, tetapi dari segi akidah pelbagai mazhab masih memperlihatkan persamaan.

d. Kesan positif kelahiran mazhab ialah timbulnya pelbagai idea dan intepretasi baru tentang isu-isu agama yang membolehkan umat Islam beramal dengan mudah dengan wujudnya ruang-ruang yang lebih luas menerusi ijtihad para ulamak.

e. Kesan negatifnya ialah apabila penganut mazhab terlalu taksub sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Isi-isi Jawapan

A) Sejarah Kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam (3 markah x 5 isi = 15 markah)

1. Aliran Khawarij

a. Mereka juga digelar sebagai al-Hururiyah, al-Muhakkimah dan al-Shirat. Aliran ini lahir pada 37H iaitu berikutan peristiwa Majlis Tahkim yang dibentuk untuk menyelesaikan Perang Siffin.

b. Pendokong aliran ini asalnya ialah pengikut Khalifah Ali yang kemudian bertindak beramai-ramai keluar dari menyokong Khalifah Ali berikutan tindakan Khalifah Ali menerima cadangan damai yang dianjurkan oleh pihak Muawiyah bin Abu Sufian sebagai langkah untuk menamatkan Perang Siffin. Mereka juga telah mengkafirkan Khalifah Ali. Pada 38H puak ini telah bertempur dengan tentera Khalifah Ali di Nahrawan.

c. Keanggotaannya terdiri daripada pelbagai suku kaum Arab Badwi.

d. Pegangan aliran ini dari segi politik ialah menyokong kepimpinan Khalifah Abu Bakar, Umar dan pada peringkat awal pemerintahan Khalifah Usman. Namun mereka tidak bersetuju dengan penerusan pemerintahan dari kalangan Quraisy sebaliknya menganjurkan supaya perlantikan Khalifah dilakukan secara bebas dan tidak terhad kepada kaum Quraisy.

e. Dari segi akidah mereka berpendapat iman bukan hanya merupakan pengakuan lisan dan hati tetapi mesti disertai dengan amal ibadat.

2. Aliran Syiah

a. Perkataan Syiah berasal dari bahasa Arab bermaksud ‘puak’ atau ‘sekumpulan manusia dari satu puak.

b. Aliran ini lahir berikutan kemunculan puak khawarij pada 37H. Aliran ini mendokong cita-cita ke arah pendewaan ke atas keluarga Ali Bin Abu Talib yang berketurunan Rasulullah s.a.w. atau Ahl al-Bait.

c. Pada peringkat awalnya aliran ini berbau politik dan mereka bercita-cita untuk mengekalkan status-quo mereka di Iraq. Justeru itu pada peringkat awalnya tidak ada seorang pun pemimpin mereka dari kalangan keluarga Saidina Ali. Disebabkan pusat gerakannya di Parsi maka gerakan ini dipengaruhi kebudayaan dan kepercayaan Parsi.

d. Apabila Mukhtar bin Ubaid al-Thaqafi yang menggunakan nama Muhamad al-Hanafiah dan mendakwa sebagai anak Syaidina Ali dari isterinya yang berasal dari suku Hanafiah dilantik sebagai pemimpin gerakan Syiah pada 64H, perubahan perjuangan Syiah mula berlaku iaitu apabila Mukhtar telah memasukkan pelbagai teori bidaah, fahaman dan penyelewengan dalam ajaran Syiah.

e. Puak Syiah kemudian berpecah kepada 3 aliran utama iaitu Ismailyiah, Imamiyah dan Zaidiya.

3. Aliran Murjiah

a. Murji’ah berasal dari kata irja’ yang bererti tangguh. Ia merupakan aliran yang lebih sederhana dan liberal. Kemunculannya adalah sebagai reaksi daripada kemunculan Khawarij dan Syiah. Mereka mengambil sikap tidak memihak kepada mana-mana sikap ekstrim Khawarij dan Syiah. Oleh itu mereka mengambil sikap berkecuali dalam apa juga pertelingkahan atau perang saudara Islam.

b. Aliran ini dikatakan muncul berikutan peristiwa pembunuhan Khalifah Usman Affan dan perlantikan Ali Bin Abu Talib.

c. Pengasas aliran ini ialah Yunus bin Awn al-Numairi.

d. Pegangan aliran ini ialah menyerahkan segala perbuatan di dunia kepada pengadilan Allah di hari akhirat. Mereka tidak berani menghukum sesuatu tetapi menangguhkannya di akhiat. Bagi mereka iman ialah mengenai Allah dan mengesakannya melalui lidah dan hati. Seseorang itu dianggap mukmin setelah mengenai Allah. Sebarang dosa yang dilakukan tidak akan memberi kesan kepada iman seseorang. Pengadilan bagi orang yang berdosa tidak dilakukan di dunia, sebaliknya akan dilakukan di akhirat kelak.

e. Perkembangan pemikiran akhirnya menyababkan aliran ini berpecah kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan Murjiah Qadariah (kebebasan manusia), Murjiah Jabariah (kekuasaan Allah ke atas manusia) dan golongan Murjiah ketiga tidak menyebelahi mana-mana Qadariah atau Jabariah, sebaliknya mengatakan bahawa iman adalah sesuatu yang unggul dan tetap sebelum manusia melakukan sesuatu.

4. Aliran Muktazillah

a. Pertentangan antara Murjiah Qadariah dan Murjiah Jabariah telah menyebabkan munculnya golongan Muktazillah. Muktazillah bererti orang yang mengasingkan diri iaitu sempenan tindakan pengasasnya (Wasil Bin ’Ata’ yang telah bertindak keluar dari menyetujui pendapat gurunya Hassan al-Basri.

b. Aliran ini wujud pada 120H iaitu pada zaman terakhir pemerintahan Bani Umaiyah.

c. Kaum Muktazillah sering dianggap sebagai golongan rasionalis kerana dasar pemikiran mereka yang lebih mengutamakan akal fikiran dari al-Quran dan Hadis, walaupun terhadap perkara-perkara yang berkaitan hukum dan akidah. Pada mereka apa sahaja yang difikirkan logik dan benar mengikut ukuran akal maka itulah yang benar. Justeru itu mereka tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj serta seksa kubur.

d. Keghairahan penggunaan akal sebagai nas adalah berpunca dari pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani berikutan kemasukan ilmu pengetahuan luar dalam kerajaan Islam.

e. Kemuncak pengaruh aliran ini ialah pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmum, al-Mu’tazim dan al-Wathiq (Kerajaan Bani Abbasiyah) (198-232H), kerana pada tempoh tersebut aktiviti penterjemahan buku-buku falsafah Yunani amat giat dilakukan. Kegiatan ini asalnya untuk tujuan perkembangan ilmu, namun akhirnya telah menpengaruhi pemikiran mereka. Ketiga-tiga orang khalifah tersebut dikatakan antara penyokong kuat aliran Muktazillah ini, bahkan telah dijadikan mazhab negara.

5. Aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah

a. Aliran ini lahir pada abadd ke-3H iaitu sebagai reaksi kepada ajaran Muktazillah yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Ia merupakan aliran pemikiran Islam yang terakhir muncul pada zaman tradisi Islam dan juga merupakan aliran pemikiran paling lengkap.

b. Aliran ini merupakan gabungan antara Ahl al-Ra’y (golongan yang menggunakan akal fikiran yang kebanyakannya berada di Iraq ) dan Ahl al-Hadith (golongan yang banyak menggunakan Hadith yang kebanyakannya berada di Madinah). Bagaimanapun kedua-dua golongan ini lebih banyak menggunakan Hadith dalam menentukan sesuatu hukum.Disebabkan itu mereka digelar Ahl al-Sunnah yang bererti pembela sunnah Rasulullah s.a.w.

c. Usaha membela Sunnah Rasulullah s.a.w. sebenarnya telah dilakukan oleh para sahabat yang kemudian diikuti oleh para pengikut mereka (tabi’in). Antara mereka ialah Abu Hanifah (pelopor ahl al-ra’y) dan Ahmad bin Hanbal (pelopor ahl al-hadith). Ketika itu masih belum disebut Ahl Sunnah wal-al-Jamaah. Tetapi setelah wujudnya pelbagai aliran seperti dinyatakan di atas, maka kumpulan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wal al-Jamaah.

d. Antara pemimpin aliran ini seperti Abu Hassan al-Asyaari, Abu Mansur al-Maturidi, Imam al-Ghazali dll.

B) Faktor-faktor kemunculan mazhab-mazhab dalam Islam (2m x 3 isi = 6m)

1.  Kefahaman dan tafsiran yang berbeza mengenai ayat-ayat al-Quran.

i. Ia disebabkan oleh perbezaan ilmu pengetahuan, kebolehan dan pengalaman mereka.

ii. Tidak semua umat Islam hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w. dan tidak semua mendengar hadis daripada baginda.

iii. Perbezaan pendapat lebih ketara apabila mereka semakin jauh dengan zaman Rasulullah s.a.w.

2.  Pengaruh politik semasa

i. Pada akhir pemerintahan Khalifah Usman bin Affan telah berlaku pergeseran politik antara penyokong Khalifah Usman dengan golongan penentang yang kemudian melantik Khalifah Ali setelah Khalifah Usman terbunuh.

ii. Sewaktu pemerintahan Khalifah Ali telah timbul gerakan-gerakan untuk menuntut bela di atas kematian Khalifah Usman. Sesetengah gerakan tersebut lebih berbau politik dan semangat assabiyah.

iii. Ekoran pergeseran politik inilah lahirnya golongan Khawarij dan Syiah.

3. Pengaruh kebudayaan dan pengaruh asing

i. Pengaruh Yunani, Rom dan Parsi telah melahirkan aliran Murji’ah dan Muktazillah.

ii. Reaksinya telah melahirkan golongan Ahl Sunnah wal-Jamaah.

Penutup

Ketaksuban umat Islam terhadap mazhab-mazhab pegangan mereka telah membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam. Ini dibuktikan sewaktu pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah yang telah memerangi mazhab-mazhab yang berbeza pegangannya dengan pihak pemerintah.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Selasa, 3 April 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 1 – CIRI-CIRI MASYARAKAT BERTAMADUN

HURAIKAN CIRI-CIRI MASYARAKAT BERTAMADUN BERDASARKAN CONTOH-CONTOH DARIPADA TAMADUN-TAMADUN AWAL.

A.   Pengenalan

  • Tamadun merujuk kepada pencapaian sesuatu bangsa dari segi lahiriah dan rohaniyah.
  • Tamadun mula berkembang selepas penciptaan sistem tulisan.
  • Tamadun awal bermula di Sumeria sekitar 3500 S.M dan diikuti oleh tamadun Mesir Purba, tamadun Indus dan tamadun Hwang Ho.
  • Perkembangan tamadun berlaku secara berperingkat-peringkat mengikut tahap kemajuan yang dicapai oleh sesuatu masyarakat.
  • Masyarakat bertamadun mempunyai ciri-ciri seperti perbandaran, pengkhususan pekerjaan, organisasi sosial, bahasa dan tulisan, agama dan kepercayaan, petempatan kekal dan sistem pemerintahan.

B.  Isi: (7 X 3M)

1.   Perbandaran

  • Pertambahan penduduk dan kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan kampung-kampung berkembang menjadi bandar.
  • Antara bandar yang penting dalam tamadun awal ialah Mohenjo-Daro dan Harappa di Lembah Indus; Anyang, Loyang dan Cheng Chow di Lembah Sungai Kuning serta Thinis, thebes dan Memphis Mesir.
  • Bandar-bandar ini memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ekonomi, pusat pentadbiran, pusat keagamaan, pusat pendidikan dan pusat perindustrian.
  • Bandar-bandar berkembang pesat dan muncul negara kota seperti Babylon, Kish, Nippur, Lagash, Uruk, Ur, Eridu, Assur dan Mari di Mesopotamia.

2.   Pengkhususan pekerjaan

  • Peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian menyebabkan berlaku pengkhususan pekerjaan.
  • Masyarakat mula menjalankan pelbagai jenis kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pertukangan dan pembuatan
  • Perkembangan ini melahirkan golongan pedagang, peniaga, artisan yang menghasilkan pelbagai barangan mengikut kepakaran masing-masing.
  • Terdapat juga anggota masyarakat yang berkhidmat sebagai askar yang mempertahankan negara daripada serangan musuh.
  • Pengkhususan pekerjaan melahirkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.
  • Kemunculan tamadun-tamadun awal di Mesir dan Mesopotamia telah memperlihatkan kemajuan dalam bidang pertanian sehingga mewujudkan pengkhususan pekerjaan dalam masyarakat.
  • Penciptaan roda juga telah menggalakkan pertumbuhan perdagangan antara tamadun seperti Tamadun Mesir, Mesopotamia dan Mohenjo Daro yang sekaligus mewujudkan golongan artisan dan pedagang.

3.   Organisasi sosial.

  • Pertambahan penduduk dan perkembangan kegiatan ekonomi telah melahirkan masyarakat yang kompleks.
  • Sistem sosial dalam masyarakat tamadun awal berbentuk piramid.
  • Lapisan atas terdiri daripada golongan bangsawan yang diketuai oleh raja.
  • Lapisan kedua ialah golongan pembesar yang terdiri golongan pendeta, kumpulan pentadbir dan golongan cendekiawan.
  • Lapisan ketiga ialah golongan rakyat biasa yang bergiat dalam aktiviti pertanian dan perdagangan.
  • Lapisan terakhir ialah golongan hamba yang bergantung kepada lapisan-lapisan di atasnya.
  • Di Mesir, Firaun (raja) berada di kedudukan paling atas susunan lapis masyarakat dan di Mesopotamia raja atau pendeta mempunyai kedudukan yang tertinggi. Di Dinasti Shang, raja mempunyai kedudukan tertinggi dan diikuti oleh golongan bangsawan,petani, artisan, peniaga dan askar.

4.   Bahasa dan tulisan

  • Kewujudan bahasa dan tulisan juga merupakan ciri masyarakat bertamadun.
  • Tulisan memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran, menyimpan rekod aktiviti keagamaan dan kegiatan perdagangan.
  • Antara bahasa yang tertua ialah bahasa Yunani dan bahasa Sanskrit.
  • Sistem tulisan awal ialah hieroglif dan ideogram.
  • Tulisan yang digunakan dalam tamadun-tamadun awal berbentuk gambar, simbol dan pepaku.
  • Antara peranan bahasa dan tulisan dalam tamadun awal ialah sebagai alat penyebaran ilmu dan pengetahuan, komunikasi dan menyampaikan serta mengembangkan idea pemikiran manusia.
  • Pendeta Mesir telah mencipta bentuk tulisan bergambar yang dinamakan hieroglif, sementara tulisan simbol China dipanggil ideogram.

5.   Agama dan kepercayaan.

  • Kemunculan agama dan kepercayaan mempunyai pertalian rapat dengan adat istiadat dan cara hidup yang diamalkan oleh masyarakat tamadun awal.
  • Antara agama dan kepercayaan masyarakat tamadun awal ialah politeisme, animisme dan pemujaan roh nenek moyang.
  • Kepercayaan terhadap kuasa-kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling telah melahirkan kepercayaan animisme.
  • Secara evolusi, kepercayaan animisme berkembang menjadi politeisme, iaitu penyembahan lebih dari satu tuhan.
  • Kepercayaan politeisme terdapat dalam tamadun-tamadun awal seperti India, Mesir, Mesopotamia dan China.
  • Agama dan kepercayaan berkait rapat dengan pengiktirafan golongan pemerintahan, organisasi sosial, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan pembinaan.

6.   Petempatan kekal

  • Kehidupan menetap melahirkan corak hidup yang sistematik.
  • Petempatan awal terdiri daripada kampung-kampung yang didirikan berhampiran sungai.
  • Kampung-kampung ini berkembang dan menjadi bandar-bandar yang berperanan sebagai pusat-pusat tamadun awal.
  • Antara petempatan awal yang berkembang menjadi pusat tamadun awal ialah Tamadun Indus (lembah Sg. Indus), Tamadun Mesir (lembah Sg. Nil), Tamadun Mesopotamia(Lembah Sg. Tigris dan Euphrates) dan Tamadun Hwang Ho (Lembah Sg.Hwang Ho/Sg.Kuning)

7.   Sistem pemerintahan

  • Sistem pemerintahan diwujudkan untuk menguruskan masyarakat yang lebih besar.
  • Kewujudan pemerintahan melahirkan sistem perundangan yang menjamin keamanan sesebuah tamadun.
  • Pemerintahan diterajui oleh raja dan dibantu oleh golongan bangsawan dan pegawai kerajaan.
  • Dalam tamadun Mesir Purba, sistem pemerintahan diwujudkan untuk menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan dan mengurus pengagihan makanan dalam negara.
  • Sistem pemerintahan diketuai oleh Firaun dan dibantu oleh pembesar-pembesar negara.

C.   Kesimpulan

  • Masyarakat bertamadun mempunyai ciri-ciri perbandaran, pengkhususan kerja, organisasi sosial, sistem tulisan, agama dan kepercayaan, petempatan kekal, kemajuan sains dan teknologi serta sistem pemerintahan.
  • Kewujudan ciri-ciri ini menunjukkan kemajuan tinggi yang telah dicapai oleh masyarakat dalam segala aspek kehidupan.

(Apa-apa yang berkaitan)

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.