ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 24 Jun 2012

TAMADUN DUNIA : TEMA 1- KONSEP,CIRI-CIRI DAN FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN TAMADUN AWAL

BINCANGKAN KONSEP TAMADUN SERTA CIRI-CIRI UMUM PEMBENTUKAN TAMADUN AWAL MANUSIA.

Pendahuluan (3 markah)

1. Tamadun merujuk kepada pencapaian sesuatu bangsa dari segi lahiriah dan rohaniah, tamadun mula berkembang selepas penciptaan sistem tulisan. Munculnya masyarakat bertamadun adalah berasaskan faktor alam persekitaran dan perkembangan teknologi pada tahap Neolitik telah memberi sumbangan kepada pembentukan masyarakat bertamadun.

2. Tamadun awal bermula di Sumeria sekitar 3500 S.M. dan diikuti oleh tamadun Mesir Purba pada 3300 S.M, tamadun Indus dan diikuti tamadun Hwang Ho.

3. Perkembangan tamadun berlaku secara berperingkat-peringkat

4. Tamadun-tamadun awal manusia.

Isi – isi Jawapan (21 markah)

a. Konsep Tamadun (3 markah)

- Istilah tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu Mudun, Madain dan Madana. Perkataan Madana membawa maksud “tinggi budi bahasa atau pembukaan Bandar”.

- Dalam bahasa Inggeris, perkataan yang sinonim dengan tamadun ialah civilization berasal daripada perkataan Greek Civitas yang bermaksud “bandar”

- Bagi masyarakat Barat, tamadun ialah pencapaian lahiriah dalam hal pentadbiran, penulisan, undang-undang, kepercayaan, agama, kesenian, perbandaran, sistem tulisan dan adapt resam.

- Menurut Colin Renfew, terdapat tiga ciri yang menjadi pemangkin kepada lahiriah tamadun, iaitu kemunculan Bandar, tempat ibadat dan sistem tulisan

- Gordon Childe berpendapat revolusi urban meletakkan asas bagi perkembangan tamadun khususnya dari segi perkembangan budaya material, intelektual dan kesenian.

- Arnold J.Tonybee mentakrifkan tamadun sebagai suatu pemikiran dan gaya kebudayaan yang melahirkan institusi politik, undang-undang, kesenian, kesusasteraan, agama dan akhlak.

- Sarjana-sarjana Islam pula berpendapat tamadun merangkumi pembangunan dari segi lahiriah dan rohaniah. Menurut Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat

- Dapat dirumuskan bahawa tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian lahiriah tetapi juga diiringi dengan pencapaian dalam aspek kerohanian

b. Ciri-ciri umum pembentukan tamadun awal manusia ( 6 isi x 3 markah = 18 markah)

1. Pembentukan Petempatan kekal

- Petempatan awal terdiri daripada kampung yang didirikan berhampiran sungai. Kampung-kampung ini berkembang dan menjadi Bandar yang berperanan sebagai pusat tamadun awal

- Antara petempatan awal yang berkembang menjadi pusat tamadun awal ialah tamadun Indus (lembah sungai Indus), tamadun Mesir (lembah Sungai Nil), tamadun Mesopotamia (lembah Sungai Tigris dan Euphrates) dan tamadun Hwang Ho (Lembah Sungai Hwang Ho / Sungai Kuning)

2. Proses Pembandaran berlaku

- Pertambahan penduduk dan kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan kampung berkembang menjadi Bandar. Antara Bandar penting dalam tamadun awal ialah Mohenjo Daro dan Harappa di Lembah Sungai Indus; Anyang, Loyang dan Cheng Chow di lembah Sungai Kuning serta Thinis, Thebes dan Memphis di Mesir

- Bandar memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ekonomi, pusat pentadbiran, pusat keagamaan, pusat pendidkan dan pusat perindustrian

- Bandar-bandar berkembang pesat dan muncul negara kota seperti Babylon, Kish, Nippur, Lagash, Uruk, Ur, Eridu, Assur dan Mari di Mesopotamia

3. Pembentukan Organisasi sosial/susun lapis masyarakat

- Cara kehidupan bandar mewujudkan sistem sosial bersusun lapis terutamanya golongan memerintah dengan golongan yang diperintah. Sistem sosial dalam masyarakat tamadun awal berbentuk piramid. Lapisan paling atas terdiri daripada golongan pemerintah yang diketuai oleh raja, lapisan kedua ialah golongan pembesar yang terdiri daripada golongan pendeta, kumpulan pentadbir dan golongan cendikiawan. Lapisan ketiga ialah golongan rakyat biasa yang bergiat dalam aktiviti pertanian dan perdagangan dan lapisan terakhir ialah golongan hamba yang bergantung kepada lapisan-lapisan di atasnya

- Struktur masyarakat terbukti di Lagash, Ur dan Sumer di tamadun Sumeria dan Memphis di tamadun Mesir.

4. Pembentukan Sistem pemerintahan dan pentadbiran

- Dalam tamadun Mesir Purba, sistem pemerintahan diwujudkan untuk menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan dan mengurus pengagihan makanan di dalam negara. Kewujudan pemerintahan melahirkan sistem perundangan yang menjamin keamanan sesebuah tamadun

- Pemerintahan diterajui oleh raja dan dibantu oleh golongan bangsawan dan pegawai kerajaan

5. Agama dan kepercayaan

- Antara agama dan kepercayaan masyarakat tamadun awal ialah politeisme, animisme, kepercayaan dewa, dan pemujaan roh nenek moyang. Secara evolusi kepercayaan animisme berkembang menjadi politeisme, iaitu penyembahan lebih darpada satu tuhan. Kepercayaan politeisme terdapat dalam tamadun-tamadun awal seperti India, Mesir, Mesopotamia dan China

6. Pengkhususan kerja

- Masyarakat mula menjalankan pelbagai jenis kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, pertukangan dan pembuatan. Perkembangan ini melahirkan golongan pedagang, peniaga, artisan yang menghasilkan pelbagai barangan mengikut kepakaran masing-masing.

- Golongan wanita terlibat dalam bidang pertanian manakala golongan lelaki berkhidmat sebagai tentera dan tukang-tukang mahir.

- Terdapat juga anggota masyarakat yang berkhidmat sebagai askar bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh

7. Bahasa dan tulisan

- Antara bahasa yang tertua ialah bahasa Yunani dan bahasa Sanskrit

- Sistem tulisan awal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Tulisan yang digunakan dalam tamadun awal membentuk gambar, simbol dan pepaku

- Antara peranan bahasa dan tulisan dalam tamadun awal ialah sebagai alat penyebaran ilmu pengetahuan, alat perhubungan dalam sesebuah masyarakat dan antara satu masyarakat dengan masyarakat lain untuk menyampaikan, memperkembangkan dan mencatatkan idea dan pemikiran manusia

8. Kemajuan Ekonomi

9. Kemajuan sains dan teknologi

10. Kemajuan undang-undang

Kesimpulan (1 markah)

- Secara keseluruhannya, kemajuan sesebuah tamadun itu menunjukkan bentuk kehidupan yang formal, berorganisasi dan lebih kompleks berbanding zaman sebelumnya.

- Apa sahaja yang berkaitan.

HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN TAMADUN AWAL MANUSIA.

A. PENGENALAN (3 markah)

1. Sebelum kemunculan tamadun, manusia hidup berpindah-randah atau nomad dari satu kawasan ke satu kawasan lain. Mereka memburu binatang dan memungut hasil hutan yang tumbuh meliar. Cara kehidupan tersebut berubah apabila manusia mengetahui cara-cara bercucuk tanam dan menternak binatang. Melalui pengetahuan itu, perubahan yang besar telah berlaku dalam kehidupan manusia. Sungguhpun perubahan itu berlaku secara beransur-ansur di tempat-tempat tertentu pada masa yang berbeza-beza, sebenarnya perubahan itu telah mewujudkan garis pemisah yang sangat ketara dalam sejarah kehidupan manusia berbanding zaman sebelumnya.

2. Konsep Tamadun.

3. Lokasi tamadun awal : Tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus, dan Hwang-Hwo.

4. Permulaan tamadun awal manusia.

5. Penegasan soalan – terdapat pelbagai faktor kemunculan tamadun

B. ISI-ISI PENTING ( 7 isi x 3 markah : 21 Markah )

Faktor-faktor Kemunculan Tamadun

*Jawapan calon perlu menjurus kepada faktor pembentukan tamadun.

1. Pembentukkan Petempatan Kekal

Kemunculan tamadun awal sejak 3,500 SM telah disebabkan oleh wujudnya petempatan kekal. Wujud masyarakat bercorak perkampungan membolehkan manusia berkumpul di sesuatu tempat dan hidup bersama-sama untuk menghadapi cabaran fizikal supaya persekitarannya dapat dikuasai dengan lebih berkesan. Manusia tidak lagi berpindah- randah kerana mereka dapat bergantung kepada bekalan makanan yang dihasilkan di sekitar kawasan petempatan mereka. Petempatan kekal ini kemudiannya mewujudkan urbanisasi. Contohnya, petempatan di sepanjang Sungai Nil, Tigris dan Euphrates, Hwang-Ho, dan Indus-Ganges.

2. Eksploitasi Sumber Alam/ Kepentingan Sungai

Manusia tertarik kepada kesuburan tanah di lembah sungai untuk menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Proses pertanian dan pengairan yang terdapat di Mesopotamia dan Mesir menunjukkan kemampuan manusia mengawal air sungai untuk tujuan pertanian secara besar-besaran.Hal ini terbukti apabila tamadun-tamadun awal terletak di tebing-tebing sungai besar seperti Sungai Nil, Tigris dan Euphrates, Indus, dan Hwang-Ho.

3. Kemajuan Dalam Teknologi Penciptaan Peralatan

Manusia mula mencipta pelbagai peralatan yang membawa kemajuan teknologi. Hal ini terbukti dengan penggunaan logam seperti tembaga, gangsa, dan besi. Penggunaan bajak menyebabkan manusia mula menggunakan tenaga haiwan bagi membantu meringankan pekerjaan mereka. Haiwan seperti kuda dan kerbau dilatih untuk mengangkut barang atau membajak sawah. Selain itu, manusia telah berjaya mencipta pelbagai peralatan daripada tembikar.

4. Penciptaan Roda

Penciptaan roda telah mengubah corak pengangkutan dan mempercepat perkembangan industri terutamanya industri kerja tangan untuk memenuhi keperluan agama dan sosial. Roda telah meningkatkan daya produktiviti manusia. Penggunaan roda sebagai alat industri menyebabkan barangan yang dikeluarkan mempunyai bentuk yang seragam dan dapat dijadikan barang-barang eksport. Roda dapat menggalakkan pertumbuhan perdagangan dengan tamadun-tamadun lain seperti perdagangan antara Mesir dengan Mesopotamia dan antara Mesopotamia dengan Mohenjo-Daro.

5. Pembentukkan Organisasi Sosial

Organisasi sosial atau susun lapis dalam masyarakat telah membawa kepada kemunculan tamadun. Masyarakat memerlukan pemimpin untuk menyelaras dan memberikan arahan. Pahlawan pula diperlukan untuk menjaga keamanan. Masyarakat memerlukan pendeta untuk menjalankan kegiatan agama. Pemimpin, pahlawan, dan pendeta muncul sebagai seorang yang berkuasa. Pahlawan dengan senjatanya. Paderi pula dengan pengetahuannya tentang tuhan. Majoriti masyarakat yang tidak memiliki alat dan pengetahuan menjadi pengikut. Lama-kelamaan masyarakat di sesuatu petempatan terbahagi kepada kelas pemerintah dan rakyat.

6. Pengkhususan Kerja

Kehidupan yang bertambah kompleks menyebabkan masyarakat memerlukan kepada pengkhususan untuk menjalankan tugas tertentu mengikut kemahiran dan kebolehan seseorang. Peningkatan produktiviti telah menjamin keperluan bekalan di sesuatu kawasan. Keadaan ini membolehkan sesetengah penduduk di situ menjalankan kegiatan bukan pengeluaran seperti kegiatan kesenian atau aktiviti keagamaan. Hal ini membawa kepada bermulanya pengkhususan kerja dalam masyarakat.

7. Agama dan Kepercayaan

Agama dan kepercayaan telah membawa kepada kemunculan tamadun. Agama membantu manusia akur dengan hukum-hukum Tuhan. Kehidupan lebih memberikan penekanan kepada nilai-nilai agama dan kepercayaan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan bumi dan kesuburan tanah untuk pertanian. Contohnya, orang-orang Mesir percaya bahawa tuhan tinggal di Lembah Sungai Nil.

8. Sistem merekod

Penciptaan sistem merekod pada zaman Neolitik telah menjadi asas kepada penambahan pengetahuan dan melicinkan pengurusan ekonomi. Catatan telah digunakan untuk merekod hal agama, pentadbiran, dan perdagangan. Akhirnya, sistem merekod itu telah melahirkan sistem tulisan dalam tamadun awal manusia seperti sistem tulisan Cuneiform telah wujud dalam tamadun Mesopotamia, tulisan Hieroglif dalam tamadun Mesir, dan tulisan Ideogram dalam tamadun Hwang-Ho.

9. Perbandaran

Zaman prasejarah akhir atau zaman Neolitik menyaksikan kemunculan Petempatan - petempatan kekal yang berkembang pesat menjadi bandar. Petempatan kekal ini mengalami proses urbanisasi dan perkembangan bandar. Contohnya, bandar muncul di Mesopotamia pada pertengahan abad ke-4 SM apabila berlaku peningkatan hasil pertanian ekoran kemajuan pengairan. Antara bandar penting ialah Lagash, Babylon, Assur, Uruk, dan Hattusa.

10. Migrasi ( Penghijrahan )

Pertambahan penduduk pada zaman neolitik memerlukan peningkatan keperluan makanan. Kawasan-kawasan pertanian kian diperluas. Usaha ini telah menyebabkan berlakunya migrasi atau penghijrahan ke kawasan-kawasan baru. Angin digunakan sebagai punca tenaga yang menghasilkan corak pengangkutan baru dan peranan (wind mills ) antara kawasan. Penemuan roda turut menggalakkan pertumbuhan perdagangan jarak jauh dan digunakan sebagai alat pengangkutan darat. Akhirnya, aktiviti migrasi itu telah mempercepat kelahiran dan perkembangan tamadun awal manusia.

11. Kemajuan Ekonomi

Kemajuan teknologi dalam bidang pertanian, pengangkutan, dan perdagangan Menyebabkan perdagangan jarak jauh menjadi satu kenyataan dan berkembang pesat pada zaman neolitik. Hal ini membolehkan usaha mendapatkan bahan bahan mentah bagi keperluan agama, industri, dan pembinaan bangunan memperkayakan ciri-ciri kebudayaan akibat pertukaran fikiran dan teknik perindustrian. Akhirnya, kemajuan ekonomi berlaku dengan pesat dan menyumbang kepada kehidupan bertamadun.

12. Geografi – iklim, hujan, kesuburan tanah, bentuk muka bumi, sumber protein (makanan dan kesihatan).

13. Sistem Pertahanan

Tembok-tembok dan kubu dibina di sekitar petempatan. Kegunaan peralatan seperti tombak, pedang, panah, wagon (wheel), penggunaan tentera, menggunakan sungai, bukit sebagai sempadan. Pertahanan yang kuat menjamin keselamatan penduduk. Akhirnya, penduduk dapat melaksanakan aktiviti harian dengan lebih terjamin.

C. KESIMPULAN ( 1 markah )

Apa-apa yang berkaitan.

BINCANGKAN KEPENTINGAN REVOLUSI PERTANIAN DALAM ZAMAN NEOLITIK TERHADAP PERKEMBANGAN TAMADUN AWAL MANUSIA.

A. Pendahuluan : 3 markah

1. Maksud zaman Neolitik dan Revolusi Pertanian

Keupayaan manusia mengawal bekalan makanan dan menawarkan secara berterusan. Penggunaan alat-alat yang khusus untuk pertanian yang lebih baik pemilihan jenis tanaman dan ternakan yang sesuai. Kelahiran Revolusi Pertanian telah member kesan yang besar kepada kehidupan manusia pada Zaman Neolitik dan membawa kepada perkembangan tamadun awal.

2. Maksud tamadun

3. Zaman Neolitik menjadi asas ketamadunan kerana manusia tidak bergantung sepenuhnya kepada persekitaran tetapi juga berjaya menguasai persekitaran fizikal untuk memenuhi keperluan ekonomi mereka. Revolusi Pertanian menjadikan kehidupan mereka lebih kompleks dan memberi asas yang kukuh kepada perkembangan tamadun awal manusia.

B. Isi-isi – Kepentingan Revolusi Pertanian : ( 7x3 = 21 markah )

Jawapan yang baik ialah , apabila calon dapat mengaitkan kepentingan Revolusi Pertanian dengan pembentukan tamadun awal manusia.

1. Perkembangan Petempatan

Revolusi Pertanian telah menyebabkan manusia mula tinggal tetap di satu-satu kawasan. Mereka menjadikan kawasan rata dan subur di lembah-lembah yang kemudiannya akan menjadi petempatan kekal masyarakat dan mereka telah mula bercucuk tanam di kawasan tersebut. Akhirnya akan membawa kepada pembinaan perkampungan seperti di Catal Huyuk, Iraq lalu membentuk Tamadun Mesopotamia.

2. Penghasilan teknologi

Revolusi Pertanian telah membawa kepada penciptaan dan penggunaan peralatan dan teknologi pertanian yang lebih maju. Alat-alat yang dicipta untuk membantu manusia dalam kegiatan pertanian seperti penciptaan tenggala, roda untuk mengangkut hasil pertanian. Terusan dan tali air juga dalam mengairi kawasan pertanian.

3 Mewujudkan pengkhususan kerja

Pengkhususan kerja telah mula dibuat akibat pengeluaran pertanian bertambah. Bermula dengan golongan wanita akan bekerja dalam bidang pertanian dan lelaki terlibat dalam aktiviti perburuan . Golongan agama pula wujud apabila wujud kepercayaan bahawa hasil pertanian dan kebajikan masyarakat turut bergantung kepada kuasa semula jadi.

4. Pertambahan penduduk.

Revolusi Pertanian telah membawa kepada pertambahan penduduk. Taraf kesihatan yan baik, bekalan makanan yang mencukupi . Migrasi penduduk kerana banyak peluang pekerjaan di kawasan pertanian menyebabkan berlakunya pertambahan penduduk. Institusi perkahwinan monogamy dan poligami membawa kepada institusi kekeluargaan.

5. Perkembangan perdagangan

Revolusi Pertanian telah mengubah orentasi ekonomi daripada sara diri kepada komersial. Penggunaan teknologi dan penemuan kaedah penanaman telah menyebabkan hasil pertanian meningkat sehingga berlakunya lebihan hasil. Lebihan hasil itu akan diperdagangkan, selari dengan sistem mata wang dan perkembangan sistem pengangkutan .

6. Perkembangan kepercayaan dan keagamaan.

Revolusi Pertanian juga penting dalam menyumbang kepada perkembangan aspek kepercayaan dan keagamaan dalam tamadun awal manusia. Ketentuan hasil pertanian adalah dikaitkan dengan agama dan kepercayaan. Kejadian banjir, kemarau yang memusnahkan pertanian melahirkan upacara-upacara ritual yang melibatkan pemujaan dan pengorbanan.

7. Kewujudan Organisasi Sosial.

Revolusi Pertanian membawa kepada kewujudan organisasi sosial dalam sesebuah masyarakat. Pertambahan penduduk di satu-satu kawasan memerlukan ketua untuk memimpin mereka, perlukan pahlawan-pahlawan untuk menjaga keselamatan mereka,golongan agama yang menghubungkan mereka dengan tuhan-tuhan mereka dan golongan petani yang membekalkan makanan dan sebagainya.

8. Sistem Tulisan

Revolusi Pertanian membawa kepada penciptaan sistem tulisan heroglif, cuneiform dan Ideograf yang pada awalnya digunakan untuk golongan paderi untuk urusan keagamaan, juga digunakan untuk mencatat hasil pertanian dan kegiatan perdagangan.

C. Penutup ( 1 markah)

Sesungguhnya, sangat jelas bahawa Revolusi Pertanian telah berlaku pada Zaman Neolitik telah membawa kepada perkembangan tamadun-tamadun awal manusiadi Sumeria, Mesir, China dan Indus.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

1 ulasan:

Unknown berkata...

cikgu mcm nie blh ke jawab dlm periksa

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.