ENJIN CARIAN BAHAN

Ahad, 3 Julai 2011

TAMADUN DUNIA : TEMA 2 – PEMERINTAHAN BERAJA

Huraikan perkembangan sistem pemerintahan beraja di China pada zaman Dinasti Han.

A) Pengenalan

1. Latar belakang Dinasti Han

2. Sistem pemerintahan di China.

3. Dinasti Han muncul setelah jatuhnya kerajaan dinasti Chin pada tahun 206 SM. Dinasti ini kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah China. Ibu negaranya terletak di Chang-an. Pencapaian terpenting dinasti Han ialah dari segi pembentukan sistem pemerintahan yang stabil. Sistem ini menjadi model kepada dinasti-dinasti China yang berikutnya.

B) Isi ( 20 markah: 5 isi x 4 markah )

1. Pemerintah tunggal (Maharaja) – pemusatan kuasa oleh maharaja.

Maharaja menduduki puncak kekuasaan tertinggi, berkuasa penuh untuk menggubal undang-undang, menguasai kerajaan dan mentafsir ideologi negara. Apabila mahu mengubah undang-undang, Maharaja hanya mengeluarkan perintah. Perintah Maharaja itu adalah undang-undang.

2. Sistem Pentadbiran

Maharaja dibantu oleh sebuah birokrasi, yang diuruskan oleh pegawai kerajaan. Mereka dilantik berasaskan kepada sistem peperiksaan awam. Dalam peperiksaan ini, mereka diuji pengetahuannya dari segi kesusasteraan, falsafah dan hal-ehwal pemerintahan. Para pegawai bertanggungjawab secara langsung kepada Maharaja. Untuk mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, Maharaja biasanya tidak membenarkan seseorang pegawai itu berkhidmat terlalu lama di satu-satu tempat atau di tempat kelahirannya dan juga terlalu lama memegang sesuatu jawatan. Sebab itu, seseorang pegawai kadang kala diserahkan beberapa tugas sekaligus, bagi mengelak pegawai berkenaan memperolehi kemahiran dalam satu bidang tertentu sahaja. Malah, pada ketika tertentu, satu-satu tugas diserahkan kepada beberapa pegawai untuk dikongsi tanggungjawab pelaksanaannya. Birokrasi disusun kepada beberapa kementerian seperti perkhidmatan awam, percukaian, keraian, hukuman, dan pengadilan, dan kerja-kerja awam.

3. Sistem Undang-Undang.

Undang-undang terhadap petani dan golongan bawahan lainnya tidak boleh dipersoalkan, tetapi bagi golongan atasan/bangsawan, bentuk dan kuat kuasanya lebih fleksibel. Kadangkala apabila kesalahan membabitkan orang atasan, undang-undang boleh dipinda atau dihapuskan. Dikuatkuasakan dengan mengenakan hukuman yang berat, tetapi kadangkala dilaksanakan dengan lebih bertimbang rasa oleh pegawai yang berperikemanusiaan.

4. Ideologi rasmi

Pegawai kerajaan merupakan mereka yang taat kepada falsafah Confucius, mereka menganut fahaman ini dengan patuh. Mereka menjadi obor kepada penyebaran dan kelangsungan Confucianisme dalam tamadun China. Berbeza dengan Dinasti Chin, Pemerintahan Han berdasarkan prinsip intelektual, kesarjanaan Confucius dan bukan lagi berasaskan prinsip keperwiraan tentera.

5. Kerajaan imperial

Pentadbiran empayar-empayar yang ditakluki Empayar Han berdasarkan sistem ufti sebagai tanda kepatuhan kepada kerajaan Han dan membentuk kerajaan imperial. Sistem ini bermula dengan Maharaja Han Wu Ti.

6. Hubungan diplomatik

Menjalin hubungan diplomatik dengan Tibet, Hsiung Nu, dan Bactria untuk menjamin kestabilan sempadan wilayah Han di China. Dasar ini adalah sebahagian dasar pembendungan musuh-musuh.

C) Kesimpulan

Melalui sistem pemerintahan yang diwujudkan itu, China memperolehi tatacara pemerintahan yang mantap. Meskipun Dinasti Han jatuh pada tahun 220M, dan selepas itu China beberapa ketika berada dalam huru-hara, tetapi setelah munculnya dinasti Sui, Tang, dan Sung kemudiannya, sistem pemerintahan di negara itu terus bergerak di atas landasan yang terbina pada zaman dinasti Han. Sistem tersebut menjadi amalan berterusan di negara China sehingga runtuhnya kerajaan dinasti Ching pada tahun 1911.

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]

1 ulasan:

princess mia berkata...

Alhamdulillah..terima kasih..sangat berguna :)

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.