ENJIN CARIAN BAHAN

Memuatkan ...

Khamis, 28 Jun 2012

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 – SEBAB BERLAKU PEPERANGAN DI ASIA BARAT

  

Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya peperangan dalam masyarakat di Asia Barat. 

CONTOH JAWAPAN :

Pengenalan ( 1/ 2 markah)

1. Latar belakang masyarakat Semenanjung Arab sebelum Islam. Orang Arab hidup dalam berpuak-puak dari duku bangsa (kabilah) yang mempunyai pertalian keluarga yang sangat rapat. Mereka akan mengambil tindakan secara bersama dan akan sentiasa melindungi kabilah daripada ancaman kumpulan nomad yang lain. Orang Arab menganggap mempertahankan satu kumpulan kabilah mereka adalah satu kerja yang suci.

2. Latar belakang masyarakat Semenanjung Arab zaman Islam. Dalam kehidupan masyarakat Arab zaman Islam, kehidupan mereka adalah berasaskan agama. Mereka akan mempertahankan kepentingan agama Islam daripada ancaman lain-lain agama pada masa itu.

3. Maksud ketahanan dan pertahanan.

Definisi Ketahanan - Konsep ketahanan bermaksud ketabahan, kecekalan, dan kesabaran serta keupayaan, kebolehan serta kekuatan menanggung sesuatu kesukaran dan penderitaan. Ia juga satu halangan dan keupayaan menanggung sesuatu dalam pertempuran atau peperangan serta tidak mudah mengalah dalam peperangan.

Definisi Pertahanan - Pertahanan merujuk kepada langkah-langkah serta tindakan yang diambil untuk mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara dari ancaman musuh dan membela golongan yang lemah daripada teraniaya. Ketahanan dan pertahanan merujuk kepada kekuatan mental, ketabahan dan kecekalan dalam mempertahankan sesebuah negara dari ancaman musuh. Kekuatan pertahanan dan ketahanan banyak bergantung kepada kekuatan mental ,fizikal, peralatan senjata yang digunakan, taktik dan strategi serta jenis tentera yang ada.

4. Wacana isi/penegasan isi.

Isi ( 7 isi x 3 m = 21 markah)

Faktor-faktor berlakunya peperangan dalam masyarakat di Asia Barat.

A. Zaman Sebelum Islam /Jahiliyyah.

1. Semangat Assabiyah atau kesukuan. Iaitu semangat yang berasaskan kepada kepatuhan kepada kumpulan kabilah atau keturunan masing-masing. Semangat yang fanatik kepada kabilah menyebabkan masyarakat Arab jahiliyah turut dipengaruhi semangat suka berperang bagi mempertahankan kabilah mereka. Keadaan semula jadi dalam kehidupan di padang pasir juga menyebabkan persaingan antara kabilah. Ini menyebabkan mereka berpegang kepada prinsip kabilah yang kuat akan lebih berkuasa. Oleh itu bagi mereka peperangan adalah satu cara bagi meneruskan hidup.

2. Mencari nama dan kemegahan. Kemenangan di dalam peperangan adalah merupakan satu kemegahan bagi masyarakat Arab Jahiliyah. Setiap peperangan yang dimenangi akan membawa kemegahan dan keuntungan yang besar kepada kabilah. Sebab itu anak lelaki amat penting dalam kehidupan masyarakat zaman jahiliyah bagi tujuan menjulang nama kabilah mereka dalam peperangan. Mereka bukan sahaja dilatih bermain senjata sejak kecil, tetapi diajar kemahiran menunggang kuda.

3. Bagi mendapatkan harta. Dalam peperangan zaman jahiliyah melibatkan semua anggota kabilah dan semua harta benda dibawa bersama. Pihak yang menang akan memperoleh keseluruhan harta rampasan yang dibawa termasuk wanita dan kanak-kanak yang dijadikan sebagai tawanan perang. Wanita dan kanak-kanak akan dijual sebagai hamba atau meminta pihak yang kalah menebus dengan sejumlah mata wang. Harta rampasan perang akan diagih sama rata di kalangan tentera yang menang. Syeikh kabilah akan diperuntukkan sebanyak 1 / 4 daripada harta rampasan. Syeikh kabilah juga berhak memiliki barang rampasan perang yang disukainya termasuk wanita dan kanak-kanak.

4. Kepentingan ekonomi. Makkah terkenal sebagai pusat ekonomi utama penduduk bahagian tengah semenanjung Arab, sehingga hampir melemahkan penguasaan ekonomi Yaman di selatan. Ini kerana Makkah menjadi tumpuan penduduk seluruh semenanjung Arab, terutamanya pada musim haji. Menyebabkan Abrahah, raja Habsyah di Yaman pada zaman sebelum Islam mengambil inisiatif untuk menyerang Makkah bagi memastikan aktiviti ekonomi Arab berpindah ke bahagian selatan. Malah Abrahah telah membuat satu binaan yang hampir menyerupai Kaabah, bagi tujuan menarik penduduk semenanjung Arab membuat ibadat di sana.

5. Kepentingan maruah. Sebagai langkah untuk memulihkan semula maruah dan imej mereka yang tercemar ekoran kekalahan dalam Perang Badar. Orang Kafir Quraisy Makkah telah dipandang rendah oleh kabilah-kabilah Arab yang lain ekoran kekalahan tersebut. Musyirikin Makkah ingin membalas dendam dan menebus kekalahan ke atas orang-orang Islam ekoran kekalahan mereka dalam Perang Badar pada tahun 2H.Orang Kafir Quraisy ingin menuntut bela di atas kematian saudara dan keluarga mereka dalam Perang Badar. Seperti Khalid al-Walid yang menuntut bela atas kematian bapanya. Begitu juga dengan Hindun, isteri Abu Sufyan yang ingin menuntut bela kematian bapanya, Utbah.

B. Zaman Islam

6. Memperteguhkan keutuhan agama Islam. Sebab peperangan dalam Islam adalah untuk menegakkan agama Allah (Islam) dan memelihara kehormatan dan keutuhan agama Islam, masyarakat dan negara Islam. Perang Badar yang berlaku pada tahun ke 2 H adalah kerana orang Quraisy Makkah ingin menhgapuskan di Madinah. Musyrikin Makkah ingin melemahkan penguasaan orang Islam di Madinah. Selepas Perang Badar terdapat beberapa ancaman ketenteraan di bawah pimpinan Abu Sufyan b. Harb terhadap Madinah. Islam sendiri adalah agama damai dan cinta akan perdamaian kerana perkataan Islam sendiri membawa maksud salam dan perdamaian. Menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mempertahankan agamanya. Allah s.w.t tidak mengizinkan orang Islam berperang melainkan setelah orang Islam diancam di dalam negaranya sendiri seperti di Madinah.

7. Peluasan Wilayah/Empayar. Peluasan wilayah Islam – di samping objektif di atas, peperangan dalam Islam juga untuk meluaskan tanah jajahan, contohnya pada zaman Khulafa Al-Rasyidin, wilayah Islam sampai ke Afrika Utara(Mesir), dan Parsi. Zaman Khalifah Abu Bakar, beliau berjaya mengalahkan tentera Parsi di Hirah, Iraq dan tentera Byzantium di Palestin. Zaman kerajaan Bani Umayyah, wilayah Islam berkembang sehingga ke Andalus, Sepanyol.

8.Membina kekuatan ekonomi. Peperangan dalam Islam disebabkan untuk meningkatkan sumber ekonomi orang Islam, misalnya menakluk Iraq. Iraq kawasan yang subur untuk mendapatkan sumber ekonomi dan bercucuk tanam. Dalam Islam juga ketika melakukan peperangan adalah dibenarkan merampas harta orang kafir (ghanimah). Orang Arab Quraisy menyerang orang Islam di Madinah kerana mereka menganggap penguasaan orang Islam di Madinah telah menyekat laluan perdagangan mereka antara bahagian utara dan selatan semenanjung Arab. Musyrikin Makkah juga bimbangkan keselamatan rombongan pedagang mereka yang sentiasa melalui kota Madinah untuk berniaga di Utara Semenanjung Arab.

9. Menyelesaikan perbalahan politik dan Mempertahankan negara. Peperangan dalam Islam bertujuan untuk mempertahankan maruah diri, agama dan negara. Penduduk Madinah terpaksa mempertahankan negara kota Madinah apabila mereka diancam oleh golongan Musyirikin Makkah. Langkah menjaga dan melindungi keselamatan penduduk Madinah yang sentiasa diancam oleh gerakan-gerakan ketenteraan Musyirikin Makkah. Sebagaimana Abu Sufyan dengan 200 tenteranya telah membakar rumah dan memusnahkan tanaman sebuah kampung berhampiran Madinah. Peristiwa ini berlaku sebelum meletusnya Perang Uhud. Dengan itu, penduduk Madinah terpaksa menghadapi beberapa peperangan besar bagi mempertahankan Madinah, seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak.

10. Meneguhkan kedudukan/ mempertahankan diri. Ancaman daripada sebahagian masyarakat Yahudi Madinah terhadap orang-orang Islam dan diri Nabi Muhammad sendiri, menyebabkan orang Islam terpaksa mengangkat senjata bagi mempertahankan diri. Yahudi Bani Qainuqa dan Bani Nadir sentiasa mengancam masyarakat Islam Madinah. Persekutuan Yahudi Bani Nadir, Bani Quraizah dan Musyrikin Makkah telah mencetuskan Perang Ahzab tahun 5H. Kemenangan berpihak kepada orang Islam dan semua lelaki dewasa Yahudi Bani Nadir telah dihukum bunuh bagi tujuan memberi pengajaran kepada orang Yahudi.

11. Melemahkan penguasaan Empayar Rom dan Parsi. Sebahagian besar bahagian utara dan selatan semenanjung Arab berada di bawah pengaruh empayar Rom dan empayar Parsi. Syria du utara berada di bawah pengaruh empayar Rom Timur (Byzantin). Dalam peperangan di Muktah, Nabi Muhammad telah menghantar sejumlah kira-kira 3000 angkatan tentera Islam bagi menentang kira-kira 200 000 tentera Byzantin. Namun akibat kekuatan tentera musuh, tentera Islam terpaksa berundur ke Madinah selepas beberapa panglima perang Islam syahid, termasuk Zaid dan Jaafar b. Abi Talib. Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, baharulah tentera Byzantium berjaya ditewaskan.

12. Menunjukkan amalan etika Islam ketika peperangan. Islam mempunyai etika peperangan sendiri. Islam melarang membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang awam yang tidak terlibat dalam peperangan. Islam juga melarang membunuh binatang ternakan kecuali untuk dimakan dan dilarang memusnahkan tanam-tanaman serta harta benda pihak musuh.

Kesimpulan ( 1 / 2 markah)

Terdapat perbezaan yang ketara antara sebab-sebab peperangan sebelum dan selepas Islam.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih..nota yg banyak membantu.Alhamdulillah.:)

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.