ENJIN CARIAN BAHAN

Memuatkan ...

Isnin, 7 Jun 2010

TAMADUN DUNIA/ISLAM : TEMA 3 – KEPIMPINAN KETENTERAAN NABI MUHAMMMAD S.A.W VS ASOKA

Bandingkan kepimpinan pentadbiran ketenteraan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dengan Asoka.

Pengenalan.

1. Sejarah ketamadunan manusia telah memperlihatkan kepada kita bahawa kepimpinan yang berwibawa berkait rapat dengan keamanan dan kestabilan politik sesebuah ketamadunan atau Negara. Kepimpinan yaqng berwibawa mempunyai wawasan jangka panjang mampu mengorak kecemerlangan Negara. Pemimpin tentera yan hebat dan bijaksana berupaya menjadikan sesebuah Negara yang hebat dan disegani.

2. Latar belakang Rasulullah s.a.w - Nabi Muhammad s.a.w berketurunan bangsa Quraisy yang sangat dihormati di kalangan kabilah Arab. Memiliki sifat-sifat terpiji dan menjadi contoh kepada seluruh umat di dunia. Baginda dikagumi oleh kawan dan lawan. Nabi Muhammad s.a.w berperanan sebagai Rasulullah s.a.w dan juga sebagai ketua Negara sebagaimana termaktub di dalam Piagam Madinah. Rasulullah adalah juga merupakan seorang negarawan ulung melalui kepimpinan politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan yang sangat berjaya.

3. Latar belakang Asoka – Merupakan pemerintah agong dalam sejarah India. Beliau mewarisi pemerintahan empayar Maurya yang diasaskan oleh Chandragupta Maurya pada kurun ke -4 sm. Beliau menggantikan Bindusara pada tahun 273 sm. Asoka adalah cucu kepada Candragupta Maurya. Memerintah selama 40 tahun. Sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan pusat. Dinasti Maurya mencapai kemuncak kegemilangan di bawah pemerintahan Asoka. Asoka tidak terus menaiki takhta kerana terpaksa bersaing dengan saudara-saudaranya yang lain untuk merebut kuasan yang ditinggalkan oleh bapa mereka. Ada ahli sejarah mengatakan Asoka telah membunuh 100 orang anggota keluarganya dalam perebutan kuasa tersebut.

Isi.

Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w dan Asoka. ( 5 Isi x 2M x2M = 20 Markah )

1. Kepimpinan ketenteraan

  • Rasulullah s.a.w merupakan ketua angkatan tentera yang sangat hebat dan disegani oleh kawan dan lawan. Peperangan pada zaman Rasulullah s.a.w di bahagi kepada dua iaitu peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w (ghazwah) dan tidak disertai oleh Rasulullah (Sariyah). Setiap ekspedisi tentera yang disertainya, bagindalah yang mengetuainya. Antara peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w ialah Badar al-Kubra(2H), Uhud(3H), al-Ahzab (5 H), Perang Hunain (8 H), Perang Taif (8 H) dan lain lain lagi. Rasulullulah telah menunjukkan ciri kepimpinan yang cemerlang, adil dan tidak secara autokratik. Perbincangan (syura) diutamakan dalam membuat keputusan.
  • Asoka pula merupakan panglima tentera yang dianggap hebat dan menakutkan pihak lawan. Asoka telah melakukan serangan secara kejam dan keras terhadap negeri Kalinga pada 292 M bagi mengukuhkan kedudukan dan kuasa pemerintahan Dinasti Maurya. Asoka turut menyerang daerah Orissa di Pantai Timur India. Banyak korban dan orang tawanan. Kesengsaraan dan penderitaan perang ini telah mengubah jiwanya seperti keadaan Siddharta Gautama (Buddha) yang berubah hati setelah melihat kesengsaraan. Akhirnya menukarkan keganasan dengan kemanusiaan dan perdamaian.

2. Pengurusan Jenis tentera

  • Zaman awal Islam, bilangan tentera Islam amatlah kecil berbanding tentera musuh. Misalnya dalam Perang Badar tentera Islam hanyalah lebih kurang 324 orang (atau 313 orang). Tentera Islam terdiri daripada tentera pejalan kaki (infantri), tentera berkuda (kavalri) dan pasukan pemanah. Bilangan tentera sentiasa bertambah dari semasa ke semasa sehingga menjadi 30 ribu orang dalam perang Tabuk. Bilangan ini kemudiannya semakin meningkat kepada 300 ribu orang pada awal pemerintahan Abbasiah.
  • Angkatan tentera India dibahagiakan kepada empat kategori iaitu tentera bergajah, tentera berkuda, tentera kereta kuda, dan tentera infantri . Terdapat juga beberapa kategori tentera lain seperti tentera laut, pengintip anggota kumpulan perintis dan komisariat. Arthasastra menyebutkan satu unit tentera India terdiri dari 45 gajah, 225 kuda, dan 657 tentera. Semasa pemerintahan Chandragupta Maurya dipercayai tenteranya terdiri daripada 600,000 anggota infantri dan terus bertambah pada zaman Asoka. Tentera Laut diperkenalkan pada zaman Asoka.

3. Pengurusan Gaji Tentera

  • Zaman Rasulullah s.a.w tentera Islam terdiri daripada sahabat baginda yang berperang secara suka rela hanya kerana agama dan menuntut keredaan Allah S.A.W. Mereka tidak menerima gaji atau bayaran yang tetap daripada kerajaan Islam Madinah kerana tiada tentera bergaji tetap dibentuk pada ketika itu. ( Elaun atau gaji tetap hanya dibayar pada zaman Khalifah Umar al-Khattab yang dikuatkuasa mulai 20 H.) Tentera Islam pada zaman Nabi Muhammmad hanya memperolehi harta rampasan perang yang dibahagi secara adil dan setelah diberi sebahagiannya kepada perbendaharaan Negara.
  • Pada Zaman Pemerintahan Maharaja Asoka, tentera-tentera tidak diberi gaji tetap. Harta rampasan perang adalah merupakan ganjaran kepada para tentera. ( Gaji tentera secara tetap hanya dibayar pada zaman pemerintahan Alauddin Khilji (1296 -1316 M))

4. Pengurusan Peralatan Peperangan

  • Peralatan persenjataan peperangan pada Zaman Rasulullah s.a.w seperti tombak, panah, manjaniq , pedang, dan juga menggunakan kelebihan alam dengan cara meninjau keadaan cuaca dan angin. Penggunaan binatang seperti kuda dan unta juga dilakukan dengan meluas.
  • Pedang adalah senjata utama askar India. Terdapat pelbagai jenis pedang untuk tujuan yang berbeza. Selain itu lembing, busur panah, kapak, perisai, tombak yang bercabang dan lain-lain. Penggunaan binatang gajah dan kuda digunakan pada zaman ini.

5. Pengurusan taktik dan strategi peperangan

  • Pelbagai taktik dan strategi peperangan dalam Islam. Taktik ini disesuaikan dengan situasi dan lokasi tempat peperangan itu berlaku. Contohnya taktik menunggu dalam perang Badar, taktik bertahan dengan mengadakan benteng pertahanan seperti menggali parit dalam perang Khandak, taktik mengepung dan seterusnya menyerang bertubi-tubi, menubuhkan jabatan perisikan, dan lain lain.
  • Pada Zaman pemerintahan Asoka juga terdapat pelbagai taktik untuk memenangi peperangan. Antaranya menyerang, membina kubu pertahan, kem-kem tentera, serangan hendap dan sebagainya. Bentuk binaan di kota Harappa dan Mohenjo Daro menunjukkan tamadun India sangat menitik beratkan pembinaan kubu-kubu pertahanan bagi mengawal musuh.

6. Peperangan sebagai satu ibadat

  • Nabi Muhammmad telah mendidik tentera Islam bahawa peperangan adalah jihad sebagai jalan terakhir dalam usaha dakwah. Tentera Islam berjuang dalam peperangan kerana menuntut keredaan Allah S.W.T. Perjuangan kerana jalan Allah ini akan dijanjikan syurga. Oleh itu peperangan adalah satu ibadat kepada umat Islam dalam usaha menyebarkan dakwah dan perkembangan Islam
  • Masyarakat India juga menganggap peperangan sebagai satu ibadat agama. Oleh itu unsur agama banyak mempengaruhi selok belok peperangan India. Sebelum peperangan, akan dimulakan dengan ucapan suci dan pendeta akan memberi ucapan semangat. Kepatuhan Asoka kepada agama Buddha menyebabkan perubahan sikap keras dan kejam kepada berperikemanusiaan. Asoka berusaha menyebarkan agama Buddha ke Negara-negara luar. Asoka memerintahkan pembinaan tiang-tiang batu yang mengandungi ukiran doktrin agama Buddha.

7. Pengurusan Hubungan Diplomatik

  • Dalam usaha mengukuhkan keamanan dan kekuasaan Islam, Rasulullah s.a.w telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar. Baginda telah menghantar perwakilan ke luar seperti Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi. Kesan misi diplomatik ini, semua negara berkenaan telah tunduk di bawah pemerintahan Islam. Dengan demikian misi ketenteraan tidak perlu digerakkan dan peperangan dapat dielakkan.
  • Untuk menghindari peperangan dan mengekalkan keamanan, Asoka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara jirannya seperti Mesir, Megas, Cyrene. Antara tokoh luar yang dihubungi adalah seperti Ptolemy II, Philadelphos, dan Antiogomus Gonatas. Asoka tidak mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap kerajaan di sempadannya seperti kerajaan Chola, Pandya, Satiyaputra, Keralaputra dan wilayah kerajaan Yunani di Barat Daya India.

Kesimpulan

Kepimpinan yang berwibawa dan bijaksana akan dapat memastikan pengukuhan kerajaan dan negara. Kejayaan kerajaan Islam dan kerajaan India mempertahankan kerajaannya dari diserang oleh musuh adalah dibantu oleh organisasi ketenteraan yang utuh.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.