ENJIN CARIAN BAHAN

Memuatkan ...

Selasa, 4 Mei 2010

TAMADUN ISLAM : TEMA 2 - KEPIMPINAN NABI MUHAMMAD S.A.W

“Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul tetapi juga seorang negarawan”. Bincangkan.

A. Pendahuluan   (3m)

Nabi Muhammad SAW diputerakan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun Gajah. Baginda diputerakan di kalangan keluarga ternama dalam masyarakat Quraisy. Baginda dilantik secara rasmi sebagai nabi ketika berusia 40 tahun. Baginda telah menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadhan bersamaan 16 Ogos 610Masihi, iaitu melalui  surah Al Alaq ayat 1-5. Setelah itu diikuti pula dengan surah Al Mudatthir ayat 1-7 yang menandakan kerasulan baginda SAW. Baginda mula menjalankan dakwah secara sulit selama tiga tahun dan kemudian secara terbuka. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga pemimpin negara dan masyarakat, panglima tentera serta perancang ekonomi yang disegani .


B. Isi-isi penting: (5x4m= 20m)   

1. Baginda diakui sebagai nabi dan rasul melalui tiga cara iaitu menerusi kitab suci al-Quran,Taurat, Injil dan Zabur, kedua melalui sifat-sifat kenabian seperti menerima wahyu dan memiliki sifat mulia seperti Siddiq, amanah, tabliqh, dan fatanah serta melalui bukti-bukti sejarah.
Selain kitab suci, tanda-tanda kenabian baginda sudah diperlihatkan sewaktu baginda masih kanak-kanak lagi. Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail untuk dibersihkan. Selama 13 tahun baginda di Mekah, baginda lebih dikenali sebagai seorang nabi dan rasul yang membawa agama Islam. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang  dakwah baginda. Semasa menyebarkan agama Islam ,nabi telah menunjukkan sifat sabar, lemah lembut, tolenrasi tetapi tegas. Baginda berakhlak menurut akhlak al-Quran sehingga menjadi insan yang paling sempurna dan menjadi ikutan seluruh umat manusia. Sebagai pemimpin agama, baginda telah menentukan beberapa bidang  bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Bidang- bidang tersebut adalah seperti ibadat solat, zakat, puasa dan sebagainya.

2. Baginda terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan negarawan. Semasa di Madinah, sifat-sifat kepemimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali. Baginda melakukan pelbagai langkah seperti:-

i.                    Berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah perpecahan begitu lama .
ii.                  Mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri menerusi usaha gigih mempersaudarakan orang Ansar dan Muhajirin. Madinah menjadi kuat,aman,stabil dari segi politik dan ekonomi.
iii.                Mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah dengan menyeru mereka bekerjasama dan bantu- membantu mempertahankan Kota Madinah dengan penggubalan Piagam Madinah.
iv.                Menegakkan agama Islam dan tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya bukan Islam. Tidak memaksa menganut ajaran Islam.
v.                  Ketua-ketua suku diberi peranan mengendalikan anggota suku masing-masing.
vi.                Membentuk konsep ummah.

3.  Kepimpinan politik nabi terserlah sejak baginda di kota  Mekah lagi seperti dalam menyelesaikan masalah meletakkan semula Hajar Aswad ke tempat asal di Kaabah akibat banjir yang melanda Makkah ketika itu.

Dalam perjanjian Aqabah, baginda menunjukkan kepimpinan politik yang matang sehingga mendapat sokongan yang baik dari orang Aus dan Khazraj. Sebagai pemimpin politik yang berkaliber, nabi  tidak pernah menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain terutamanya Yahudi, malah terus mengadakan perundingan dengan mereka.
Dalam politik di peringkat antarabangsa baginda dianggap diplomat yang berjaya kerana baginda menghantar perwakilan ke Habsyah, Mesir, Byzantine, dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam. Tidak sampai setengah abad,semua negara tersebut tunduk di bawah pemerintahan Islam. Sistem syura diperkenalkan dalam semua bidang  termasuk  politik dan ekonomi.

4. Nabi sebagai perancang ekonomi, baginda memperkenalkan dasar ekonomi baru menggantikan dasar ekonomi jahiliyah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras, dan aktif dalam urusan perniagaan dan pertanian. Masyarakat diminta mengelakkan riba, dan diwajib menunaikan zakat serta jujur dalama urusniaga. Nabi  berusaha membangunkan ekonomi Islam dengan menggalakkan tanah-tanah terbiar diusaha semula, tanah tergadai ditebus semula dan dikerjakan. Telaga-telaga air milik orang Arab Madinah dibeli dan dikuasai semula orang Islam.

5. Dalam bidang ketenteraan,baginda menjadi pemimpin tentera bagi setiap ekspedisi ketenteraan yang disertainya. Asas ketenteraan baginda adalah berdasarkan aqidah, syariah, dan akhlak mulia. Baginda mempunyai keyakinan ketika menghadapi musuh. Dalam peperangan,baginda bertindak mengikut batas-batas dan etika yang ditetapkan seperti tidak memerangi golongan lemah,dan golongan tidak bersenjata, serta tidak memusnahkan harta benda dan tanaman. Baginda menunjukkan akhlak baik dengan perasaan kemanusiaan seperti pernah memulangkan harta benda musuh yang ditawan (Perang Hunain dan Perang Taif). Kaedah ini  menarik minat  musuh untuk memeluk agama Islam.
Rasulullah SAW ialah seorang pemimpin perang yang cekap dan berpengetahuan luas dalam bidang taktik dan strategi perang. Contohnya dalam perang Badar , baginda menggunakan sistem saf, dalam perang Khandak menggunakan sistem pertahanan parit, serta teknik mengepung dalam perang Taif.                        


Kesimpulan: (2m)

Jelaslah bahawa nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang disegani malah baginda merupakan seorang pemimpin masyarakat, negarawan, perancang ekonomi, dan pemimpin tentera yang berjaya. Baginda cuba menonjolkan Islam yang tidak hanya mementingkan aspek akidah, tetapi juga menitikberatkan hal ehwal kehidupan seharian. Baginda berjaya membina tamadun Islam dan diwarisi pula oleh khulafa’ alRasyidin.
 

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.