ENJIN CARIAN BAHAN

Khamis, 18 Februari 2010

BACAAN 1 : TAMADUN DUNIA :TEMA 4 - EKONOMI KAPITALISME DI EROPAH DAN SRI VIJAYA DI ALAM MELAYU


Assalamualaikum wth : Pelajar 6 AS, 6 AH dan 6 AM 2010,
            Ujian Selaras 1 Sejarah 1 akan diadakan pada 23 Februari 2010. Sila bersedia dengan membuat pelbagai bacaan soalan dan jawapan. Berikut bacaan tambahan yang dapat membantu persediaan anda. Sila baca .

1.            Takrifkan Konsep Ekonomi Kapitalisme Dan Jelaskan Empat Faktor Yang Membawa Kepada Perkembangan Sistem Kapitalisme Di Eropah Dari Tahun 1400 Hingga Tahun 1700 Masihi.

A.   PENDAHULUAN :

  1. Zaman kemuncak Pertengahan ( 1050 – 1270 ) merupakan zaman berlakunya pelbagai perubahan dari segi ekonomi, politik dan sosial di Eropah Barat. Perubahan tersebut menjadi asas kepada zaman Eropah Moden yang bermula dengan kemunculan gerakan Renaissance di Itali dan kemunculan negara kebangsaan.

  1. Perkembangan ekonomi di zaman Pertengahan Akhir ( 1270 ).
a.    Wujudnya bandar perdagangan seperti Florence, Milan dan Venice.
b.    Pertambahan kekayaan dan asimilasi pelbagai budaya dan tradisi.
c.    Kewujudan Kesatuan dagang dan Kesatuan Tukang yang menjadi kepentingan pedagang dan tukang.

B.   ISI – ISI PENTING: ( 20 Markah )

  1. Takrif Konsep Ekonomi Kapitalisme. ( 5 Markah )

a.    Sistem yang menggalakkan pengumpulan modal, kebebasan ekonomi, hak milik persendirian, kebebasan pasaran dan perniagaan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan.

b.    Membolehkan individu atau kumpulan individu berusaha menambahkan kekayaan dengan melabur semua keuntungan.

c.    Melibatkan sistem pembayaran upah kepada kaum buruh berdasarkan prinsip persaingan perniagaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

d.    Sistem pengeluaran, pengedaran dan pertukaran secara besar – besaran yang bercorak baru.


  1. Faktor perkembangan sistem Kapitalisme. ( 5 isi x 3 M = 15 Markah )

a.    Gerakan Renaissance dan Refomasi.

Gerakan Renaissance pada abad ke – 14 Masihi dan refomasi telah memperkembangkan kapitalisme. Perkembangan aliran pemikiran Individulisme, humanisme, sekularisme dan rasionalisme telah melemahkan peranan agama dalam bidang ekonomi dan melahirkan masyarakat yang mementingkan kebebasan dan kekayaan kebendaan. Masyarakat di bandar Milan, Venice dan Florence telah mendorong kepada kelahiran sistem ekonomi kapitalisme melalui aktiviti pinjman, pelaburan dan pertukaran wang.

b.    Fahaman Calivinisme.

Gerakan reformasi yang dibawa oleh John Calvin dalam pemikiran agama Kristian di Eropah telah mendorong kepada perkembangan ekonomi kapitalisme. Ajaran Calvin membenarkan amalan riba dengan tujuan menggalakkan masyarakat bekerja keras. Fahaman ini menyebabkan negara Protestan mengenepikan Canon Law dan emmbolehkan pedagang membebaskan diri daripada kawalan padri dan peraturan lama.

c.    Kemunculan Negara bangsa.

Raja – raja negara bangsa merupakan penggerak kepada perkembangan sistem kapitalisme. Setiap buah negara bangsa berlumba – lumba untuk mengumpulkan kekayaan. Untuk tujuan itu penjelajahan dan penerokaan ke kawasan baru digalakkan. Putera Henry dari Portugal Raja Ferdinand dari Sepanyol telah mebiayai dan memberikan galakkan kepada aktiviti tersebut.

d.    Dasar Merkantalisme.

Revolusi perdagangan melalui campurtangan kerajaan negara – negara bangsa pada abad ke – 16 dan ke – 17 telah menggalakkan pertumbuhan kekayaan dalam negara. Menerusi dasar ini, kerajaan berusaha mewujudkan sektor pertanian dan perindustrian yang produktif dan pasaran yang luas. Untuk tujuan tersebut kerajaan mengadakan dasar melindungi pelabur dan pedagang tempatan. Ratu Elizeberth ( 1558 – 1603 ) telah memperkenalkan akta seperti Akta Perantis 1563, Undang – undang kemiskinan 1600, Akta Perkapalan 1650.

e.    Dasar Kolonisme.

Perluasan dasar merkantalisme membawa kepada koloni ke atas kawasan di timur dan Amerika Latin. Ini memperluaskan lagi sistem ekonomi kapitalisme. Kekayaan koloni mengalir ke Eropah.

f.     Perkembangan Institusi Kewangan.

Perkembangan Industri bank berlaku setelah amalan riba diterima oleh masyarakat Eropah menerusi institusi ini kemudahan pinjaman dan kredit ( pemabayaran melalui cek ) membolehkan pedagang dan pelabur membuat pelaburan modal dengan membesarkan perniagaan mereka. Kesanya lahir golongan kapitalisme yang terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha lombong. Di samping itu sistem bank juga merupakan sati perniagaan yang menguntungkan. Keuntungan yang diperolehi melalui pinjaman, pelaburan dan pertukaran wang telah melahirkan golongan kapitalisme. Keluarga Fuggers dan Ausgurg dan keluarga Medici merupakan keluarga yang terkenal dalam perniagaan institusi kewangan di Eropah.

g.    Perubahan dalam Organisasi Perniagaan.

Di zaman pertengahan, aktiviti perdagangan dan pengeluaran dimiliki oleh individu dan keluarga. Kesatuan Tukang dan kesatuan Dagang terikat dengan peraturan adat yang lebih mementingkan kebajikan sosial. Bermula pada abad ke – 16 berlaku perubahan dalam organisasi perniagaan dengan penubuhan syarikat perniagaan Regulated dan Joint Stock. Ahli PR mengeluarkan modal dan menanggung kerugian. JS ialah syarikat yang modalnya disumbangkan oleh pemegang saham awam dan diuruskan oleh badan pengarah. Syarikat England ( 1576 ) merupakan syarikat ragulated yang berdagang di laut Baltik. Syarikat Hindia Timur Inggeris ( SHTI ) 1660 merupakan syarikat joint stock yang terkenal. Dengan modal yang besar dan kedudukan yang kukuh, membolehkan syarikat menyediakan kemudahan perdagangan dan mendapatkan perlindungan ketenteraan. Kewujudan organisasi tersebut memperkukuhkan lagi sistem ekonomi kapitalisme di Eropah.

C.   KESIMPULAN :

Sistem ekonomi kapitalisme semakin penting di Eropah barat apabila berlakunya Revolusi Industri yang bermula pada abad ke – 18. Menerusi sistem ini negara Eropah menjadi kaya dan menguasai ekonomi dunia.

Nota : Markah Pendahuluan +  Kesimpulan = 5 Markah  maksimum
            Pembahagian markah  sama ada  ( 4 + 1 / 3 + 2 ) @ sebaliknya


2. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan Empayar Srivijaya muncul sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu dari abad ke- 7 hingga  abad ke-13 Masihi.

A.  Pendahuluan

Empayar Srivijaya  merupakan kuasa utama dan berpengaruh di Asia Tenggara dari abad ke-7 hingga ke-13 masihi. Dengan kewibawaan pemerintahnya seperti Dapunta Hiyam, Srivijaya telah meluaskan kuasa dan pengaruhnya ke atas beberapa negeri di Pulau Sumatera, sebahagian Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, selatan Siam dan persisiran Borneo sehingga menjadikan Srivijaya sebagai pelabuhan entrepot yang terkenal di Alam Melayu.
Pusat pemerintahan kerajaan Srivijaya yang terletak di Palembang adalah sangat strategik kerana dapat mengawal perairan Selat Melaka. Dalam hal ini, Srivijaya telah menggunakan angkatan lautnya yang kuat untuk menguasai perdagangan Timur- Barat terutamanya perdagangan antara Timur Tengah, China, India dan Asia Tenggara sendiri. Sebagai contohnya, pedagang-pedagang yang melalui perairan Selat Melaka telah dipujuk dan dipaksa untuk singgah di pelabuhan-pelabuhan Srivijaya.
Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah empayar maritim yang sangat bergantung kepada kekuatan dan kemahiran tentera lautnya, Srivijaya telah berjaya memonopoli perdagangan di Alam Melayu dengan menguasai bandar-bandar pelabuhan penting di sekitar Alam Melayu dan menjadikan Srivijaya sebagai emporium perdagangan yang terkenal. Rekod-rekod dari Negara China telah membuktikan perkara ini, di mana telah dicatatkan 14 kota raja telah membayar ufti kepada Srivijaya pada awal abad ke-11 masihi.
Dalam hal ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Empayar Srivijaya mampu muncul sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu.

B. Isi-isi ( 7 isi x 3 markah = 21 Markah )

  1. Kedudukan Yang Strategik
Kedudukan Srivijaya dari segi geografinya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara Timur dan Barat dan hal ini telah menjadikan Srivijaya sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dari Asia Barat, India, Negara China dan Alam Melayu. Kelebihan Srivijaya yang menghadap monsun timur laut telah menyebabkan pelabuhan Srivijaya tidak mampu ditandingi oleh pelabuhan-pelabuhan lain.

  1. Perlindungan Diplomatik Daripada Kerajaan China
Kejayaan Srivijaya mendapatkan naungan daripada Negara China dengan cara menghantar ufti kepada Maharaja China telah mengukuhkan kuasa dan pengaruh Srivijaya. Dikatakan antara tahun 960-983 masihi, Srivijaya telah menghantar tidak kurang dari lapan utusan diplomatik ke Negara China. Jaminan perlindungan daripada China telah berjaya mengelakkan Srivijaya daripada diserang oleh kerajaan Majapahit, Siam dan Burma. Lantaran itu, ini telah mengggalakkan kedatangan lebih ramai pedagang-pedagang dari Arab, China dan India ke pelabuhan-pelabuhan Srivijaya.

  1. Kekayaan Sumber Bahan Mentah
Kemampuan empayar Srivijaya menguasai dan memiliki bahan-bahan mentah yang banyak telah menyebabkan Srivijaya mampu muncul sebagai pelabuhan entrepot utama di Nusantara. Bahan-bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi daripada pasaran tempatan dan pedagang-pedagang China telah diperolehi daripada kawasan hutan di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu serta daripada kawasan jajahan takluknya di Kepulauan Riau Lingga. Bahan-bahan mentah tersebut adalah seperti emas, perak, kemenyan, gading gajah, kapur barus, kulit kura-kura, lilin lebah, damar, kayu gaharu, kayu cendana, lada dan rempah ratus. Dalam hal ini, kekayaan sumber bahan mentah telah menjadikan Srivijaya tumpuan pedagang-pedagang dari negara luar.

  1. Kemudahan-kemudahan Perdagangan/ Pelabuhan
Para pemerintah telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan-pelabuhan seperti stor, tempat penginapan sementara dan gudang-gudang menyimpan barang. Para pedagang yang datang ke Srivijaya dilayan dengan baik dan kemudahan dan layanan yang baik ini telah menyebabkan Srivijaya dikunjungi oleh ramai pedagang.

  1. Peranan Orang Laut
Peranan orang laut juga merupakan faktor penting dalam meningkatkan perkembangan Srivijaya sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu. Kemampuan dan kejayaan pemerintah-pemerintah kerajaan Srivijaya mengawal orang laut menyebabkan masalah perlanunan di Selat Melaka dapat dibendung dan diatasi. Dalam hal ini, pemerintah Srivijaya telah menjadikan orang laut sebagai sebahagian daripada angkatan tentera laut. Kemahiran orang-orang laut tentang selok belok laut seperti beting pasir, beting karang, cuaca dan sebagainya telah membolehkan mereka mengawal jalan-jalan laut daripada ancaman lanun-lanun dengan berkesan. Di samping itu, orang laut juga berperanan memantau dan ada juga yang bertindak memaksa kapal-kapal pedagang-pedagang singgah berdagang di pelabuhan-pelabuhan Srivijaya. Sumbangan orang laut ini telah menyebabkan Srivijaya mampu memainkan peranan sebagai pusat persinggahan kapal-kapal dagangan, pusat pengumpulan dan penyebaran barang-barang dagangan.

  1. Sistem Pentadbiran Yang Baik dan Sistematik
Kerajaan Srivijaya juga mempunyai sistem pentadbiran yang baik dan sistematik. Kajian terhadap inskripsi Telaga Batu menunjukkan bahawa Empayar Srivijaya dikenali sebagai Kedatuan. Kedatuan dibahagikan kepada Mandala yang diketuai oleh seorang Datu dan beliau dibantu oleh seorang Parvanda ( Ketua Tentera ). Dengan adanya sistem pentadbiran yang baik dan teratur, maka perdagangan di Srivijaya dapat dijalankan dengan lancar.

  1. Dasar Perdagangan Srivijaya
Srivijaya juga mengamalkan beberapa dasar yang berhubung dengan sistem perdagangan. Antaranya ialah pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan berdagang secara langsung di kawasan pedalaman dan mereka hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan-pelabuhan yang terletak di bawah penguasaan kerajaan pusat. Dasar ini bertujuan untuk mengelakkan pedagang asing menghasut penduduk tempatan di kawasan pedalaman untuk menentang kerajaan pusat. Pedagang-pedagang juga dikehendaki untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Dasar perdagangan ini menyebabkan pedagangan di Srivijaya mampu berkembang dengan baik sehingga menjadi satu pusat perdagangan utama di rantau ini.

  1. Galakan Kerajaan
Kerajaan Srivijaya telah menggalakkan pedagang tempatan agar terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Terdapat kumpulan pedagang tempatan yang menjalankan aktiviti perdagangan dengan China dan Asia Barat. Kumpulan yang terlibat dengan perdagangan luar negara dikenali sebagai Puhawang dan Vaniaga. Istilah Siddha-Yatra juga merujuk kepada pedagang-pedagang yang terlibat dengan perdagangan jarak jauh. Hal ini menunjukkan kerajaan Srivijaya menggalakkan penduduk tempatan bergiat dalam perdagangan antarabangsa dan seterusnya menjadikan Srivijaya sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu.

C. Kesimpulan
Berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah dibincangkan tadi, kerajaan Srivijaya telah berjaya sebagai sebuah kuasa perdagangan yang unggul daripada abad ke-7 hingga abad ke-13 masihi. Menjelang abad ke-14 masihi, Srivijaya telah telah hilang pengaruhnya sebagai sebuah empayar dan pusat perdagangan utama di Alam Melayu.

*  Apa sahaja kesimpulan yang sesuai.

Nota : Markah Pendahuluan +  Kesimpulan = 4 Markah  maksimum
            Pembahagian markah  sama ada  ( 3 + 1 / 2 + 2 ) @ sebaliknya

[SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT]





Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.