ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Monday, June 29, 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 - PEMBUKAAN KOTA MAKKAH (2)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

20 Ramadhan tahun 8 hijrah, tarikh peristiwa Pembukaan Mekah. Peristiwa besar ini berlaku dan memberikan kepada kita banyak pengajaran dari sudut haraki dan tarbawi. Pengajaran yang banyak tersebut menjadikan peristiwa ini sebagai salah satu peristiwa penting di dalam bulan Ramadhan selain dari peristiwa Perang Badar dan peristiwa Nuzul al-Quran.


Kebangkitan Kuasa Baru

Quraisy tidak pernah menyangka ini akan berlaku. Di awal kemunculan Islam, mereka hanya memandangnya sebagai sebahagian golongan ‘Hanif’. Seksaan demi seksaan yang dilakukan dijangka dapat mematikan kemunculan ini. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pakatan untuk membunuh Rasulullah s.a.w. di ambang peristiwa hijrah juga rupa-rupanya tidak mendatangkan hasil. Tetapi mereka masih tidak kecewa, lalu di awal penubuhan negara Islam Madinah, mereka masih yakin dapat meruntuhkannya. Tetapi selepas satu demi satu peperangan, bermula dari Badar, Uhud dan seterusnya ke Khandak, apa yang mereka dapati adalah semakin hari kekuatan Islam semakin sukar untuk ditumpaskan. Walau pun ada sedikit sinar kemenangan buat mereka di Uhud, tetapi kekalahan memalukan di Khandak setelah pakatan dengan kabilah Arab dan Yahudi dilakukan seolah-olah menutup harapan mereka. Pola berubah. Tentera Islam berubah dari posisi mempertahankan diri kepada posisi menyerang. Manakala Quraisy berubah dari posisi menyerang kepada posisi mempertahankan diri. Satu pencapaian bagi tentera Islam yang tidak pernah mereka fikirkan.

Perjanjian Hudaibiah adalah bukti perubahan posisi tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh kaum Quraisy hanyalah meminta Rasulullah s.a.w. agar bersetuju untuk melakukan perjanjian damai dan gencatan senjata. Sekali lagi pencapaian baru dicapai oleh kaum muslimin. Kaum muslimin, daripada kaum yang ditindas dan tidak diberikan hak bercakap, mereka dirayu agar tidak menuju ke Mekah. Itulah yang berlaku kepada Quraisy. Mereka tidak lagi mampu untuk mengangkat senjata dan meneruskan peperangan.

Perjanjian damai dan gencatan senjata ini adalah suasana yang cukup selesa bagi kaum yang lemah. Tetapi sikap degil dan terburu-buru sebahagian pihak di dalam kaum Quraisy menjadikan mereka tersepit di dalam masalah baru. Tindakan membunuh beberapa orang daripada Bani Khuzaah, sekutu kaum muslimin amat-amat disesali oleh Abu Sufyan, ketua kaum Quraisy. Abu Sufyan memberanikan diri menuju ke Madinah merayu agar diberikan kemaafan atas keterlanjuran yang dilakukan. Tidak ada sesiapa yang melayannya. Rayuan yang menjatuhkan air muka seorang ketua kaum yang hebat ini berakhir dengan kekecewaan.

Peristiwa Pembukaan Mekah adalah kemuncak kepada kekecewaan tersebut. Ketika Abu Sufyan yang masih baru memeluk Islam melihat satu demi satu qabilah-qabilah Islam berjalan di hadapannya, secara spontan keluar dari mulutnya: “Aku lihat tidak ada sesiapa pun yang mempunyai kekuatan untuk mengalahkan mereka. Demi Allah wahai Abu al-Fadhl (Abbas bin Abd Mutalib), kerajaan anak saudaramu telah menjadi satu kerajaan yang agung.”

Berinteraksi Dengan Fitrah

Abu Sufyan r.a. memeluk Islam. Beliau adalah ketua kaum Quraisy ketika itu. Selain daripadanya, beberapa pimpinan Quraisy yang lainnya juga memeluk Islam. Di antara mereka adalah Sofwan bin Umayyah, Ikrimah bin Abu Jahl dan Suhail bin Amru. Kesemua mereka adalah peribadi hebat yang tidak pandai berpura-pura. Mereka memerangi Islam kerana yakin kepalsuan nubuwah dan masuk Islam hanya setelah yakin kebenarannya. Masing-masing mempunyai kisah keislamannya yang tesendiri dan bersama-sama Rasulullah s.a.w. melakarkan kemenangan Islam selepas itu.

Abu Sufyan r.a. disebut oleh Abbas r.a. sebagai seorang lelaki yang sukakan kemegahan diri. Lalu Rasulullah s.a.w. memberikannya satu pengiktirafan untuk dia bermegah dengan pengiktirafan tersebut. “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan dia aman. Sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dia aman. Sesiapa yang masuk ke dalam masjid dia aman.” Apakah bezanya berlindung di rumah Abu Sufyan dan berlindung di rumah sendiri jika kedua-duanya adalah tempat yang memberikan keamanan? Tetapi kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. di dalam menyusun kata-kata yang memenuhi fitrah Abu Sufyan telah menjinakkan ketua kaum Quraisy ini.

Ada pun Ikrimah anak lelaki Abu Jahal, kebijaksanaan dan keberanian isterinya telah menganugerahkan Islam kepadanya. Beliau sudah pun lari ke Yaman dan berniat untuk mengakhiri hayatnya di sana. Isterinya, Ummu Hakim memohon kemaafan Rasulullah s.a.w. ke atas suaminya dan mencarinya untuk mengkhabarkan kepadanya keamanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Keamanan yang diberikan kepada Ikrimah sebelum keislamannya membuka pintu kepada Ikrimah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. di Mekah mengisytiharkan keislamannya. Beliau boleh meneruskan kedegilannya, tetapi pengisytiharan keamanan khas buatnya itu benar-benar menyentuhnya. Apabila pulang bertemu Rasulullah s.a.w., sekali lagi Rasulullah s.a.w. memberikan sentuhan kepadanya. “Akan datang kepadamu Ikrimah sebagai seorang mukmin muhajir. Janganlah kamu semua mencela ayahnya. Sesungguhnya mencela orang yang mati akan menyakitkan orang yang masih hidup dan celaan itu tidak akan sampai kepada yang mati.” Para sahabat r.a. yang mendengar arahan tersebut menyambut Ikrimah dan isterinya dengan mesra ketika mereka sampai. Apakah pilihan lain bagi seseorang yang telah diberikan keamanan dan sambutan mesra oleh musuhnya ketika dia berada di posisi lemah? Ikrimah r.a. memilih untuk memeluk Islam dan berjuang bersama Rasulullah s.a.w. Beliau mengotakan janjinya apabila menjadi salah seorang panglima perang di dalam peperangan memerangi golongan murtad di zaman Abu Bakar r.a.

Sofwan bin Umayyah meminta dua bulan tempoh keamanan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. memberikan empat bulan tempoh keamanan. Sebelum peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Sofwan dan meminjam daripadanya 5,000 dirham dan beberapa baju besi untuk digunakan di dalam peperangan. Sofwan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Adakah kamu memaksaku wahai Muhammad?” Rasulullah s.a.w. berlembut kepadanya dan berkata: “Tidak. Ia adalah pinjaman yang akan dibayar kembali.” Rasulullah s.a.w. membayar kembali selepas perang Hunain beserta ghanimah (harta rampasan) daripada perang Hunain. Tindakan itu membuka pintu hidayah kepadanya. Beliau berkata: “Demi Allah, tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku benci dari Muhammad. Baginda s.a.w. terus menerus memberikan ghanimah Hunain sehingga tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku sukai dari Muhammad.”

Suhail bin Amru seorang yang cerdik. Beliau adalah wakil Quraisy di dalam perjanjian Hudaibiah. Ketika perjanjian itu ditulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’, beliau berkata: “Allah kami tahu. Tetapi ar-Rahman dan ar-Rahim kami tidak tahu” dan mengarahkan agar dipadam kalimah ar-Rahman dan ar-Rahim. Ketika ditulis ‘Muhammad Rasulullah’, beliau mengarahkan dipadamkan kalimah ‘Rasulullah’ sambil berkata: “Kalau kami mengakuimu sebagai Rasulullah, nescaya tidak berlaku peperangan di antara kami dan kamu.” Pujian Rasulullah s.a.w. terhadap kecerdikan Suhail membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. berkata kepada anaknya, Abdullah: “Sesiapa yang berjumpa dengan Suhail bin Amru pasti tidak akan mengalihkan pandangan darinya. Demi Allah, Suhail mempunyai kecerdikan dan kemuliaan. Orang seperti Suhail tidak sepatutnya menjahili Islam.”

Bertasbih dan Beristighfarlah Kerana Kemenangan Dari Allah

Kemenangan di peristiwa Pembukaan Mekah mempunyai banyak lagi pengajaran lain dari sudut yang pelbagai. Kemenangan ini tidak disambut oleh Rasulullah s.a.w. seumpama bangsa lain menyambut kemenangan tentera mereka. Sebaliknya Allah mengajar satu sunnah di dalam menyambut kemenangan di dalam firmanNya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (an-Nasr: 1-3)


Sumber :
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Sekretariat Perhubungan Luar Negara
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

No comments:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.