ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Monday, June 29, 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 –PEMBUKAAN KOTA MAKKAH (1)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat bagi orang Islam iaitu Kaabah.
Sempena pembukaan kota ini, Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad saw) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah silapmu yang lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1 hingga 3).

Pembukaan kota Makkah pada tahun ke-8 hijrah adalah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah.Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui mereka dengan pihak Islam. Lebih-lebih lagi, serangan itu menyebabkan berpuluh-puluh orang daripada Bani Khuzaah terbunuh. Menurut catatan sejarah, hampir 20 orang terbunuh dalam serangan itu.
Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah.Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah, mereka begitu menyesal. Mereka lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf di atas tindakan itu.

Namun, Rasulullah dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, Abu Sufian pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.Oleh kerana Perjanjian Hudaibiah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah menyiapkan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah dan sahabat ke Makkah dijangka oleh pihak Quraisy.
Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.

Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan kepada keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad.Alasan ini diterima Rasulullah kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah menjanjikan keampunan.

Setiba Rasulullah di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Beberapa pertempuran berlaku, namun ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.Apabila Rasulullah memasuki kota itu, Baginda bertindak menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah. Pihak Islam juga memberi layanan amat baik kepada orang Quraisy.

Daripada peristiwa ini, dapat diperhatikan juga beberapa tindakan Rasulullah kepada orang kafir.

Pertama, ketika menandatangani Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah kuat dan Islam mantap. Namun, Baginda dan pihak Islam tidak mencabuli perjanjian itu, malah menghormatinya. Tetapi, apabila perjanjian itu dicerobohi, maka Rasulullah akan mengambil tindakan terhadap yang melanggarnya.
Tindakan ini melihatkan Islam adalah agama yang menepati perjanjian. Tetapi, pada hari ini kita melihat kufar menguasai dunia dan kekuatan mereka nyata dengan beberapa siri serangan ke atas negara Islam.

Kedua ialah tindakan Rasulullah memberi kemaafan kepada orang kafir Quraisy ketika pembukaan Makkah. Ini adalah langkah tepat bagi menarik mereka kepada ajaran Islam, walaupun sebelum ini mereka menindas, menyeksa dan membunuh orang Islam.

Hal ini menunjukkan Islam menjaga keamanan sejagat dan tidak memperlakukan musuhnya kerana dendam. Segala tindakan berdasarkan kepada lunas yang digariskan syarak.

Daripada peristiwa ini, jelas bahawa Ramadan bukan bulan yang menyebabkan umat Islam lemah. Sebaliknya, ia bulan yang meniupkan semangat berjuang untuk melawan musuh sama ada berbentuk dalaman seperti memerangi nafsu atau musuh luaran untuk menghancurkan umat Islam melalui pelbagai teknik dan bentuk penghancuran.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

No comments:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.