ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Friday, June 5, 2009

TAMADUN ISLAM : KEGEMILANGAN ISLAM ANDALUSIA (1)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - SILA AMBIL NOTA INI. BACA DAN FAHAMKAN

BAHAGIAN PERTAMA
PENDAHULUAN

Pemuda-pemuda kita yang beragama Kristian, mereka tampan, kemas, beretika dan mempunyai kenderaan yang baik. Mereka fasih berbahasa Arab serta tinggi kecenderungan untuk menggeluti buku-buku Islam. Mereka amat kagum dengan bahasa Arab yang indah, teruja dengan galur sastera dan pemikiran ilmu Islam sehingga karya-karya ilmuwan Islam lebih dikenali berbanding sastera gereja (Kristian). Malahan, di kalangan mereka ramai yang memandang rendah terhadap budaya dan sastera Kristian. Sayang, orang-orang Kristian jahil tentang undang-undang mereka sendiri. Orang-orang Latin tidak mengendahkan bahasa mereka sendiri.” *

Kata-kata ini diucapkan oleh Paderi Alwaro di Cordova pada tahun 854M terhadap bangsa Sepanyol yang beragama Kristian. Beliau kesal hegemoni Islam telah membuatkan budaya Kristian diabaikan, malahan rata-rata penganutnya lebih berbangga untuk bertutur dan bertingkah-laku seperti orang-orang Islam khususnya Arab.Golongan Mozarab (orang Kristian tempatan yang bernaung di bawah pemerintahan Islam Sepanyol) baik di kalangan awam dan aristokrat terpesona dengan undang-undang dan kebudayaan Islam apabila Islam bertapak di Sepanyol pada tahun 710M. Kedatangan Islam dilihat sebagai wira ‘yang menyelamatkan’ bangsa Sepanyol yang dimomoki pemerintahan kejam Clasas Elevadas (kaum atasan Rom dan Visigoth) yang diketuai golongan paderi, raja-raja dan bangsawan. Bagi golongan Hispano-Rumawi di kalangan kaum tani dan hamba, penindasan yang dialami menyebabkan mereka mudah menerima pengaruh Islam. Ini termasuklah orang Yahudi, yang hidup bergelandangan beberapa abad, Islam dianggap membawa pembelaan dan sinar baru buat Sepanyol.

cordova91.jpg

Pembukaan Sepanyol sebagai wilayah Islam di Eropah secara besar-besaran diterokai Tariq bin Ziyad bersama 12000 orang tentera (711M). Kemenangan tentera Islam mengalahkan pasukan Witiza Roderick juga berfaktorkan sokongan penduduk tempatan. Tentera Islam mara ke Cordova, Toledo, Seville, Merida,, Saragossa, Narbonne, Asturias Pamplona, Gerona, Malaga dan Elvira. Selama 5 tahun (711-715M), lengkaplah wilayah-wilayah al-Andalus yang keluasannya adalah 2/3 bumi Sepanyol jatuh ke tangan tentera-tentera Islam.

288-mosque-of-cordova-q75-500x375.jpg

Masjid Cordova

Andalusia adalah momen keagungan pemerintahan Islam sejak zaman Bani Umayyah. Umumnya, Islam mengawani bumi Andalusia selama 8 abad (711- 1492) dengan turun naik pemimpin Islam dari pelbagai monarki. Tahap kegemilangannya dicapai antara tahun 912M-976M pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III . Cabaran terbesar yang perlu dihadapi para pemimpin Islam adalah perpecahan masyarakat yang pelbagai bangsa, agama dan budaya termasuklah Islam, Kristian dan Yahudi dari bangsa Sepanyol, Arab Syam, Afrika (Barbar) dan Arab Yaman. Oleh kerana itu, pertahanan dan ketenteraan adalah sektor penting bagi kerajaan Islam ketika itu untuk mentadbir Andalusia.

muslim_soldiers.jpg

FAKTOR-FAKTOR KEGEMILANGAN ISLAM ANDALUSIA

Abdul Rahman ad-Dakhil adalah khalifah Islam pertama di bumi Andalusia yang sebelumnya hanya diwakili para gabenor Muslim, mendirikan kerajaannya dengan wajah, semangat dan cita-cita tersendiri, luar daripada pengaruh politik monarki Khalifah Abbasiyah yang mulai utuh. 32 tahun pertama, Andalusia diperkukuhkan dengan benteng pertahanan Islam di setiap sisi muka buminya. Kecemburuan tentera musuh terutama puak Kristian tempatan dan Perancis sentiasa menceroboh keamanan Andalusia. [ 1 ]

Justeru, seramai mungkin rakyat dikerah menjadi pegawai tentera, sama ada dari kalangan baladiyyun (peneroka Arab awal) , syamiyyun (muhajirin Arab dari Syam) dan kaum Barbar (Orang Islam Afrika dan Negro). Selain itu, khalifah juga mengambil pendekatan licik iaitu berbaik dengan pihak musuh terutama panglimanya bagi mematahkan penentangan. Baginda juga mengambil tentera upahan dari kalangan kaum Slavs , Frank, Barbar dan Negro yang dibeli dan dibawa ke Sepanyol. Selain tentera upahan, terdapat juga sukarelawan Muslim yang tekad berjihad demi Islam.

constantinos-paleologos.jpg

Tentera Kristian ‘tidak pernah menang’ menentang tentera Islam Sepanyol

Khalifah Abdul Rahman III , memerintah Sepanyol selama 27 tahun.Seusia itu juga pasukan baginda tidak pernah mengalami kekalahan dalam mana-mana serangan dan peperangan dengan pihak Kristian. Baginda turut menyediakan 200 buah kapal perang bagi menghadapi musuh samudera. Separuh pertama pemerintahannya ditumpukan kepada menghapuskan musuh dari dalam dan luar negeri. Manakala separuh kedua pemerintahannya ditumpukan kepada pembangunan fizikal dan intelektual. Selain itu, aktiviti ekspedisi khalifah ke wilayah-wilayah taklukan Kristian memberi kesan positif apabila raja-raja Kristian di Leon, Navarre, Castile dan Bercelona tunduk kepada pemerintahan Islam. [2]

Walaupun ketenteraan adalah kekuatan khalifah Islam Andalusia, ia bukanlah pendesak masyarakat Sepanyol memilih Islam. Penyebab dominasi utama adalah ukhuwah dan akidah Islamiah. Aspirasi inilah tunggak kekuatan yang mempertautkan masyarakat pelbagai kaum di Sepanyol menerima sistem pemerintahan Islam selama 8 abad. Walaupun khalifah memiliki autokrasi politik, namun penasihat dan tulang-belakang mereka adalah ulama. Perundangan Islam dilaksanakan secara integriti dan efisien. Bagi golongan non Muslim, mereka dibenarkan mengamalkan agama mereka secara bebas dan mengambil bahagian dalam pentadbiran negara. Toleransi khalifah mengurangkan polarisasi kaum. Namun, jika berlaku penentangan terhadap agama Islam, khalifah tidak akan teragak-agak melancarkan jihad terhadap golongan tersebut.

Sistem pemerintahan tersusun sistematik. Khalifah sebagai ketua tentera dan ketua kehakiman. Di bawahnya adalah perdana menteri yang dibantu para menteri lain bagi mengendalikan kerja-kerja pentadbiran yang berpusat di istana Cordova. Setiap wilayah ditadbir seorang gabenor. Setiap kawasan majoriti non Muslim pula mempunyai ketua di kalangan mereka sendiri yang bertanggungjawab memungut jizyah atau cukai untuk diserahkan kepada pemerintah. Mereka juga bebas mempunyai mahkamah dan hakim sendiri. Toleransi ini menyebabkan di kalangan masyarakat non Muslim Sepanyol berasa terlindung dan aman. Menurut mereka ; “Kami lebih suka hidup di bawah pemerintahan orang Islam dari pemerintahan orang Franks atau Goth.” [1] Rujuk Stanley Lane-Poole, The Moors in Spain, hal. 47

230px-andalusquran.JPG

Al-Quran ditulis dengan tulisan tangan

Ilmu pengetahuan dan kesusasteraan sangat padu dan erat dengan kelangsungan politik di Andalusia. Sesetengah sarjana mengatakan, pada waktu itu sesiapa yang mahu menjadi ahli intelektual Sains, falsafah dan agama maka perlulah datang ke Cordova; pusat pemerintahan Andalusia. Khalifah al-Hakam II misalnya telah mengumpulkan naskhah ilmu dari dalam dan luar Sepanyol termasuk Damsyik, Baghdad dan Kaherah. Jumlah kitab yang terkumpul di Perpustakaan Cordova berjumlah 400 000 salinan. Bahkan semuanya ditulis tangan dengan seni yang halus oleh para penulis dan penyalin Professional kerana belum ada teknologi percetakan pada waktu itu. Pada akhir abad ke 10M, bidang Fikah adalah yang paling pesat berkembang di Sepanyol selain ilmu Hadis, al-Quran, tafsir, tauhid dan lain-lain. Khalifah telah menjemput ulama dari pelosok jajahan Islam ke Sepanyol untuk mengajar di Masjid dan sekolah-sekolah. Para ulama ini dimuliakan dengan ganjaran yang setimpal. Tokoh ulama yang lahir ketika itu termasuklah Imam al-Ghazali r.a, Ibn Khaldun dan Ibn Rusyd.

science_1_55194.jpg

Andalusia adalah bumi perkembangan ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik. Menurut Mahayudin Yahya (1990), sumbangan ilmu pengetahuan khalifah Islam Sepanyol telah menyentakkan kegelapan dunia barat. Pakar-pakar barat seperti Adelard dan Morley dari Britain telah berguru dengan ilmuwan Islam di Sepanyol serta menterjemahkan karya agung Islam ke dalam bahasa Eropah. Misalnya karya al-Khawarizmi tentang geometri dan statistik, manakala Liber aba’ci karya Leonardo Fibonacci of Pisa (1202) adalah cedokan daripada tokoh-tokoh matematik Islam seperti Ibn al-Zarqiyali [3] .

Manakala sistem pendidikan pada zaman Bani Umayyah di Sepanyol terbahagi kepada tiga tahap iaitu rendah, menengah dan tinggi. Di peringkat rendah, para pelajar diajar membaca al-Quran dan nahu. Guru-guru mengajar mereka di masjid dan diberi elaun. Pendidikan menengah lebih khusus dan tidak mempunyai sukatan pengajian yang tetap seperti agama, nahu, sastera, sejarah, sains kesihatan, astronomi, matematik, metafizik, khat dan lain-lain. Pelajar yang lulus dikurniakan ijazah dan ditauliahkan untuk menjadi tenaga pengajar. Banyak universiti didirikan di Cordova dan Toledo serta diuruskan oleh para profesor dan intelektual Islam. Malahan, Cordova adalah pusat pengilangan kertas dan mengimport sebahagiannya dari negara China. Persekitaran ilmu mewujudkan masyarakat Andalusia yang cendekiawan serta menjadi rujukan golongan barat yang masih hidup di zaman kegelapan.

miniature-2lutes.jpg

Khalifah juga sangat menyanjung golongan sasterawan. Mereka dibayar digaji sehingga 2000 dinar jika mengarang syair dan cerita. Penyemarakan seni sastera seterusnya berkembang di seluruh peringkat masyarakat. Tukang-tukang cerita memeriahkan pasar-pasar perniagaan dengan kisah klasik dan legenda, yang popular tentunya Hikayat 1001 Malam. Kisah-kisah ini turut mempengaruhi negara Eropah yang kemudiannya melahirkan kisah Reynard dan Bocaccacio. Buku-buku bahasa Arab dan kamus disebar-luaskan sehingga di kalangan masyarakat tempatan lebih selesa berbahasa Arab. Bagi masyarakat Sepanyol yang masih diimbau kejahilan barat, budaya Islam dan Arab memberi pencerahan baru kepada identiti mereka. Rata-ratanya lebih sanggup menjadi ‘musta’ribun’ (orang Eropah yang diArabkan) daripada menoleh budaya asal mereka iaitu Kristian.

alhambra3g.jpg
Seni bina Andalusia

Tentunya tanpa pertumbuhan ekonomi yang subur dan kukuh, Andalusia tidak dapat menjadi kuasa besar khususnya kepada Sepanyol. Ketika zaman Visigoth, penduduk Sepanyol kurang didedahkan dengan struktur pemodenan Bandar. Ini kerana, golongan petani dan tuan tanah lebih dimuliakan dan mereka kebanyakan tinggal di desa. Justeru, Bandar sebagai kawasan strategik terabai. Pemerintahan Islam Andalusia telah mengubah posisi menjadikan Bandar Cordova setanding bandar elit Islam yang lain seperti di Damsyik, Basrah, Kaherah, Makkah dan Madinah. Ahli Perbadanan Bandar dilantik untuk memajukan pembangunan kota Cordova. Masjid, sekolah, hotel, bangunan kedai antara yang dibina. Malahan, pemerintah memberi peluang kepada ahli sastera, seni dan arkitek untuk mengekspresikan bakat mereka mengukir dan mencantikkan Kota Cordova.

NOTA KAKI

*Mahayudin Hj Yahaya (1990), Islam di Sepanyol dan Sicily, Kuala Lumpur: DBP, hal. 54. Sumber asal: T.W Arnorld, The Preaching Of Islam, hlm. 137.

[1] Abdul Rahman ad-Dakhil dilahirkan pada 730. Beliau adalah cucu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik, Khalifah ke 10 Kerajaan Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik. Bapanya bernama Mu’awiyah bin Hisyam

[2] Khalifah A. Rahman III dilahirkan pada bulan Ramadan 277H/ 891M. Bapanya bernama Muhammad bin Abdullah dan ibunya bernama Umm Walad. Ketika dilantik menjadi Amir di Sepanyol, beliau berusia 21 tahun. Rujuk: R. Dozy, The Moslems in Spain, hlm.382

[3] Dikenali nama Azarchel oleh barat. Beliau mahir menentukan gerhana matahari dan mencipta kompas bagi menentukan jarak antara bulan dan bumi serta antara bintang dan matahari

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Kredit : Ummu Hani Abu Hassan

No comments:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.