ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 30 Jun 2009

SIAPKAN NOTA ............!!!


Perhatian kepada SEMUA pelajar 6 Rendah dan Atas SMK DARY ,

Ingatan daripada saya, sila ambil nota yang berkaitan dari mana-mana bahagian blog ini. Susun dengan kemas dalam ring fail untuk rujukan dan pembacaan sebagaimana yang telah saya arahkan.

Sila lengkapkan ring fail dengan nota-nota berkaitan dan saya akan minta untuk semakan bila-bila masa. OK ! Pastikan ianya lengkap.

Antara bahan boleh ambil kat sini - Nota Modul Soalan Sejarah 1
juga daripada artikel yang lain. Yang penting cari dan 'print' atau salin.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

' MENGATA ' PELAJAR 6 ATAS ? ?? .....update 3 Julai


Isu ini bermula bila ada pelajar 6 Rendah memberitahu saya ' budak 6 Atas bagi tau cikgu suka 'mengata' ( maksudnya mengutuk la kot ) budak 6 atas....bla.bla..bla.............Rolling on the floor Cerita bermula di sini dan beberapa tulisan tahun 2008.

Dalam blog ni kadang-kadang saya tulis pasal pelajar form six terutama 6 Atas. Rupanya ada yang terasa. Saya tulis apa yang saya dengar dan betul. Yang terbaru adalah perkara hasil perbincangan dalam mesyuarat guru Tingkatan 6 masa cuti hari tu.Day dreaming

Ada yang kata ' saya mengata ' pelajar 6 Atas. Masa 6 Rendah dak pun. (betul ke bahasa saya nih !). Begitulah macam pelajar 6 Atas sebelumnya. Maknanya pelajar 6 Rendah tunggu ajelah akan 'dikata' bila masuk 6 Atas. Saya gelak jer !!!Rolling on the floor

Sebenarnya kamu semua faham tak apa situasinya. Sedarilah, bila masuk je 6 Atas setiap tahun kamu semua akan jadi fokus guru-guru sebab kamu akan ambil periksa STPM tahun semasa (2009 la sekarang). Segala masalah yang berkaitan dengan kamu semua akan dibincangkan sebab ia pasti akan melibatkan keputusan peperiksaan. Jadi, wajarlah saya menulis tentang perilaku pelajar 6 Atas. Kebetulan sayalah satu-satunya cikgu 6 Atas yang berblog. So layanlah tulisan saya dengan hati terbuka dan rasional....ambil iktibar.Shame on you

Ini bukan soal mengata. Tak timbul soal kenapa tak tulis masa kamu 6 Rendah @ 'mengata 6 Rendah'. Masa 6 Rendah tak nampak lagi riak tingkah laku kamu pun. Tak sampai 6 bulan masa kat 6 Rendah. Prestasi pelajaran, perangai, masalah dll belum nampak jelas. Guru-guru tak dapat nak komen banyak. Worried

Ingat yer, kalau saya tak dedahkan dalam blog saya, kamu semua tak tahu apa yang dibicara dan dikeluh oleh guru-guru kamu. Kamu akan terus dengan ilusi kamu. Jadi, berfikiran rasional lah yer. Semuanya untuk kebaikan kamu juga. Kalau tak ada orang yang berusaha nak menyedarkan kamu, apa nak jadi. So, saya mainkan peranan saya ikut cara saya. Thinking

Kepada pelajar 6 Rendah, saya akan 'mengata' kamu kalau kamu semua menunjukkan masalah dalam pembelajaran masa 6 atas.Jadi, ambil pengajaran dari apa yang telah dikomen terhadap senior kamu. Jaga diri....Jangan nanti tuduh saya 'mengata kamu pulak' ! ( Ho....Ho )Laughing

Update ( 3 Julai ) : Komen dan cadangan seorang pelajar 6 Atas - " Kenapa cikgu tak cakap direct jer dalam kelas. Tulis dalam blog semua orang tahu "

Ulasan saya : Dalam kelas pun saya cakap juga tapi penerimaan berbeza. Biasanya masuk kiri keluar kanan. Habis masa tu, ia akan berlalu tanpa meninggalkan 'catatan' di mata dan di hati. Jadi, bila tulis dalam blog , Insyaallah, ia akan menjadi ingatan bila kamu semua membuka dan membacanya kembali. Kamu semua boleh nilai semula dengan mata hati, di mana mungkin penerimaan dalam kelas separuh hati atau masa tu jasad dalam kelas tapi hati jauh di 'Eropah'.....ho...hoLaughing. Faham ker ??? Saya yakin kesannya berbeza dan positif. Itu pun hanya kepada mereka yang nak berubah dan 'ada perasaan'. Ada juga yang risau, nanti 'satu dunia' tahu ! Tak lah, pelajar di benua Antartika, Afrika, Australia, Eropah......tak baca pun pun blog nih!

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Isnin, 29 Jun 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 - PEMBUKAAN KOTA MAKKAH (2)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

20 Ramadhan tahun 8 hijrah, tarikh peristiwa Pembukaan Mekah. Peristiwa besar ini berlaku dan memberikan kepada kita banyak pengajaran dari sudut haraki dan tarbawi. Pengajaran yang banyak tersebut menjadikan peristiwa ini sebagai salah satu peristiwa penting di dalam bulan Ramadhan selain dari peristiwa Perang Badar dan peristiwa Nuzul al-Quran.


Kebangkitan Kuasa Baru

Quraisy tidak pernah menyangka ini akan berlaku. Di awal kemunculan Islam, mereka hanya memandangnya sebagai sebahagian golongan ‘Hanif’. Seksaan demi seksaan yang dilakukan dijangka dapat mematikan kemunculan ini. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pakatan untuk membunuh Rasulullah s.a.w. di ambang peristiwa hijrah juga rupa-rupanya tidak mendatangkan hasil. Tetapi mereka masih tidak kecewa, lalu di awal penubuhan negara Islam Madinah, mereka masih yakin dapat meruntuhkannya. Tetapi selepas satu demi satu peperangan, bermula dari Badar, Uhud dan seterusnya ke Khandak, apa yang mereka dapati adalah semakin hari kekuatan Islam semakin sukar untuk ditumpaskan. Walau pun ada sedikit sinar kemenangan buat mereka di Uhud, tetapi kekalahan memalukan di Khandak setelah pakatan dengan kabilah Arab dan Yahudi dilakukan seolah-olah menutup harapan mereka. Pola berubah. Tentera Islam berubah dari posisi mempertahankan diri kepada posisi menyerang. Manakala Quraisy berubah dari posisi menyerang kepada posisi mempertahankan diri. Satu pencapaian bagi tentera Islam yang tidak pernah mereka fikirkan.

Perjanjian Hudaibiah adalah bukti perubahan posisi tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh kaum Quraisy hanyalah meminta Rasulullah s.a.w. agar bersetuju untuk melakukan perjanjian damai dan gencatan senjata. Sekali lagi pencapaian baru dicapai oleh kaum muslimin. Kaum muslimin, daripada kaum yang ditindas dan tidak diberikan hak bercakap, mereka dirayu agar tidak menuju ke Mekah. Itulah yang berlaku kepada Quraisy. Mereka tidak lagi mampu untuk mengangkat senjata dan meneruskan peperangan.

Perjanjian damai dan gencatan senjata ini adalah suasana yang cukup selesa bagi kaum yang lemah. Tetapi sikap degil dan terburu-buru sebahagian pihak di dalam kaum Quraisy menjadikan mereka tersepit di dalam masalah baru. Tindakan membunuh beberapa orang daripada Bani Khuzaah, sekutu kaum muslimin amat-amat disesali oleh Abu Sufyan, ketua kaum Quraisy. Abu Sufyan memberanikan diri menuju ke Madinah merayu agar diberikan kemaafan atas keterlanjuran yang dilakukan. Tidak ada sesiapa yang melayannya. Rayuan yang menjatuhkan air muka seorang ketua kaum yang hebat ini berakhir dengan kekecewaan.

Peristiwa Pembukaan Mekah adalah kemuncak kepada kekecewaan tersebut. Ketika Abu Sufyan yang masih baru memeluk Islam melihat satu demi satu qabilah-qabilah Islam berjalan di hadapannya, secara spontan keluar dari mulutnya: “Aku lihat tidak ada sesiapa pun yang mempunyai kekuatan untuk mengalahkan mereka. Demi Allah wahai Abu al-Fadhl (Abbas bin Abd Mutalib), kerajaan anak saudaramu telah menjadi satu kerajaan yang agung.”

Berinteraksi Dengan Fitrah

Abu Sufyan r.a. memeluk Islam. Beliau adalah ketua kaum Quraisy ketika itu. Selain daripadanya, beberapa pimpinan Quraisy yang lainnya juga memeluk Islam. Di antara mereka adalah Sofwan bin Umayyah, Ikrimah bin Abu Jahl dan Suhail bin Amru. Kesemua mereka adalah peribadi hebat yang tidak pandai berpura-pura. Mereka memerangi Islam kerana yakin kepalsuan nubuwah dan masuk Islam hanya setelah yakin kebenarannya. Masing-masing mempunyai kisah keislamannya yang tesendiri dan bersama-sama Rasulullah s.a.w. melakarkan kemenangan Islam selepas itu.

Abu Sufyan r.a. disebut oleh Abbas r.a. sebagai seorang lelaki yang sukakan kemegahan diri. Lalu Rasulullah s.a.w. memberikannya satu pengiktirafan untuk dia bermegah dengan pengiktirafan tersebut. “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan dia aman. Sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dia aman. Sesiapa yang masuk ke dalam masjid dia aman.” Apakah bezanya berlindung di rumah Abu Sufyan dan berlindung di rumah sendiri jika kedua-duanya adalah tempat yang memberikan keamanan? Tetapi kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. di dalam menyusun kata-kata yang memenuhi fitrah Abu Sufyan telah menjinakkan ketua kaum Quraisy ini.

Ada pun Ikrimah anak lelaki Abu Jahal, kebijaksanaan dan keberanian isterinya telah menganugerahkan Islam kepadanya. Beliau sudah pun lari ke Yaman dan berniat untuk mengakhiri hayatnya di sana. Isterinya, Ummu Hakim memohon kemaafan Rasulullah s.a.w. ke atas suaminya dan mencarinya untuk mengkhabarkan kepadanya keamanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Keamanan yang diberikan kepada Ikrimah sebelum keislamannya membuka pintu kepada Ikrimah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. di Mekah mengisytiharkan keislamannya. Beliau boleh meneruskan kedegilannya, tetapi pengisytiharan keamanan khas buatnya itu benar-benar menyentuhnya. Apabila pulang bertemu Rasulullah s.a.w., sekali lagi Rasulullah s.a.w. memberikan sentuhan kepadanya. “Akan datang kepadamu Ikrimah sebagai seorang mukmin muhajir. Janganlah kamu semua mencela ayahnya. Sesungguhnya mencela orang yang mati akan menyakitkan orang yang masih hidup dan celaan itu tidak akan sampai kepada yang mati.” Para sahabat r.a. yang mendengar arahan tersebut menyambut Ikrimah dan isterinya dengan mesra ketika mereka sampai. Apakah pilihan lain bagi seseorang yang telah diberikan keamanan dan sambutan mesra oleh musuhnya ketika dia berada di posisi lemah? Ikrimah r.a. memilih untuk memeluk Islam dan berjuang bersama Rasulullah s.a.w. Beliau mengotakan janjinya apabila menjadi salah seorang panglima perang di dalam peperangan memerangi golongan murtad di zaman Abu Bakar r.a.

Sofwan bin Umayyah meminta dua bulan tempoh keamanan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. memberikan empat bulan tempoh keamanan. Sebelum peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w. bertemu dengan Sofwan dan meminjam daripadanya 5,000 dirham dan beberapa baju besi untuk digunakan di dalam peperangan. Sofwan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Adakah kamu memaksaku wahai Muhammad?” Rasulullah s.a.w. berlembut kepadanya dan berkata: “Tidak. Ia adalah pinjaman yang akan dibayar kembali.” Rasulullah s.a.w. membayar kembali selepas perang Hunain beserta ghanimah (harta rampasan) daripada perang Hunain. Tindakan itu membuka pintu hidayah kepadanya. Beliau berkata: “Demi Allah, tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku benci dari Muhammad. Baginda s.a.w. terus menerus memberikan ghanimah Hunain sehingga tidak ada seorang pun di atas muka bumi yang lebih aku sukai dari Muhammad.”

Suhail bin Amru seorang yang cerdik. Beliau adalah wakil Quraisy di dalam perjanjian Hudaibiah. Ketika perjanjian itu ditulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’, beliau berkata: “Allah kami tahu. Tetapi ar-Rahman dan ar-Rahim kami tidak tahu” dan mengarahkan agar dipadam kalimah ar-Rahman dan ar-Rahim. Ketika ditulis ‘Muhammad Rasulullah’, beliau mengarahkan dipadamkan kalimah ‘Rasulullah’ sambil berkata: “Kalau kami mengakuimu sebagai Rasulullah, nescaya tidak berlaku peperangan di antara kami dan kamu.” Pujian Rasulullah s.a.w. terhadap kecerdikan Suhail membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. Rasulullah s.a.w. berkata kepada anaknya, Abdullah: “Sesiapa yang berjumpa dengan Suhail bin Amru pasti tidak akan mengalihkan pandangan darinya. Demi Allah, Suhail mempunyai kecerdikan dan kemuliaan. Orang seperti Suhail tidak sepatutnya menjahili Islam.”

Bertasbih dan Beristighfarlah Kerana Kemenangan Dari Allah

Kemenangan di peristiwa Pembukaan Mekah mempunyai banyak lagi pengajaran lain dari sudut yang pelbagai. Kemenangan ini tidak disambut oleh Rasulullah s.a.w. seumpama bangsa lain menyambut kemenangan tentera mereka. Sebaliknya Allah mengajar satu sunnah di dalam menyambut kemenangan di dalam firmanNya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (an-Nasr: 1-3)


Sumber :
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Sekretariat Perhubungan Luar Negara
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 –PEMBUKAAN KOTA MAKKAH (1)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat bagi orang Islam iaitu Kaabah.
Sempena pembukaan kota ini, Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad saw) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah silapmu yang lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1 hingga 3).

Pembukaan kota Makkah pada tahun ke-8 hijrah adalah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah.Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui mereka dengan pihak Islam. Lebih-lebih lagi, serangan itu menyebabkan berpuluh-puluh orang daripada Bani Khuzaah terbunuh. Menurut catatan sejarah, hampir 20 orang terbunuh dalam serangan itu.
Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah.Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah, mereka begitu menyesal. Mereka lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf di atas tindakan itu.

Namun, Rasulullah dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, Abu Sufian pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.Oleh kerana Perjanjian Hudaibiah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah menyiapkan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah dan sahabat ke Makkah dijangka oleh pihak Quraisy.
Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.

Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan kepada keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad.Alasan ini diterima Rasulullah kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah menjanjikan keampunan.

Setiba Rasulullah di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Beberapa pertempuran berlaku, namun ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.Apabila Rasulullah memasuki kota itu, Baginda bertindak menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah. Pihak Islam juga memberi layanan amat baik kepada orang Quraisy.

Daripada peristiwa ini, dapat diperhatikan juga beberapa tindakan Rasulullah kepada orang kafir.

Pertama, ketika menandatangani Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah kuat dan Islam mantap. Namun, Baginda dan pihak Islam tidak mencabuli perjanjian itu, malah menghormatinya. Tetapi, apabila perjanjian itu dicerobohi, maka Rasulullah akan mengambil tindakan terhadap yang melanggarnya.
Tindakan ini melihatkan Islam adalah agama yang menepati perjanjian. Tetapi, pada hari ini kita melihat kufar menguasai dunia dan kekuatan mereka nyata dengan beberapa siri serangan ke atas negara Islam.

Kedua ialah tindakan Rasulullah memberi kemaafan kepada orang kafir Quraisy ketika pembukaan Makkah. Ini adalah langkah tepat bagi menarik mereka kepada ajaran Islam, walaupun sebelum ini mereka menindas, menyeksa dan membunuh orang Islam.

Hal ini menunjukkan Islam menjaga keamanan sejagat dan tidak memperlakukan musuhnya kerana dendam. Segala tindakan berdasarkan kepada lunas yang digariskan syarak.

Daripada peristiwa ini, jelas bahawa Ramadan bukan bulan yang menyebabkan umat Islam lemah. Sebaliknya, ia bulan yang meniupkan semangat berjuang untuk melawan musuh sama ada berbentuk dalaman seperti memerangi nafsu atau musuh luaran untuk menghancurkan umat Islam melalui pelbagai teknik dan bentuk penghancuran.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 28 Jun 2009

HANGAT-HANGAT TAHI AYAM….

image Kita semua biasa dengar peri bahasa tu kan? Dan ada kalanya, kita juga terjerat dalam keadaan “hangat-hangat tahi ayam”.

Pada mulanya, semangat berkobar-kobar nak lakukan “sesuatu”. Motivasi pun tinggi! Semangat tinggi! Bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan.

Alih-alih, 2-3 hari atau 2-3 minggu atau 2-3 bulan kemudian, habis semua lentur. Motivasi, semangat dan keyakinan hilang

Bagaimana caranya untuk ‘maintain’ dan meneruskan sesuatu motivasi?

Cara saya adalah dengan melakukan “sesuatu” tersebut setiap hari. Jangan lakukan sedikit sahaja, atau cukup syarat sahaja, tetapi lakukan bersungguh-sungguh setiap hari. Ini akan menambahkan momentum anda.

The trick is, jangan biarkan satu hari berlalu tanpa anda melakukan perkara tersebut kerana ini akan mengurangkan momentum anda

Katalah anda ingin meningkatkan pencapaian dalam Subjek Sejarah 1. Setiap hari, lakukan sesuatu supaya anda lebih dekat dalam mencapai matlamat anda tersebut. Setiap hari MESTI ada sesuatu yang anda lakukan untuk peningkatan pencapaian subjek Sejarah 1. Baca teks, catat nota, baca soalan jawapan, perbincangan kumpulan, dan sebagainya.

Aplikasi cara ini untuk apa sahaja yang anda ingin lakukan. Kebanyakan kita sering mengalami penyakit hangat-hangat tahi ayam ini. Dan ianya adalah amat merugikan apabila momentum kita hilang

Keep the momentum going!

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Kredit : Irfan Khairi under Tip Motivasi ( dengan ubahsuai )

TAMADUN ISLAM:TEMA 3 -PERANAN WANITA DALAM PEPERANGAN(1)

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Para kaum wanita pada zaman keemasan Islam banyak yang ikut berjuang , menyerbu di medan perang dan melawan musuh di bahagian depan atau dalam pertempuran .

Di antara mereka yang terdapat dalam riwayat dan buku sejarah antara lain : Sitti Aisyah , Sitti Fatimah , Sitti Shafiyah dan Sitti Ummu Sulaiman serta masih banyak lagi yang lainnya. Mereka ikut berjuang di medan perang untuk :

  • Mengangkat atau menyediakan air minum untuk para perajurit .
  • Memasakkan / menyediakan makanan sewaktu –waktu untuk perajurit.
  • Menjaga dan merawat para perajurit yang sakit .
  • Mengubati yang luka/cedera .
  • Menjaga dan memelihara kenderaan mereka.
  • Menjahitkan pakaian yang robek / rosak .
  • Mengangkut dan mengurus mereka yang gugur.
  • Mengamati gerak-geri musuh .
  • Menyediakan segala sesuatu yang diperlukan .
  • Bahkan bila perlu dapat juga ikut bertempur melawan musuh .
    Dan tentunya masih banyak lagi peranan kaum wanita dalam bidang perjuangan . Ini menunjukkan bahawa bukan kaum lelaki saja yang mampu ikut berjuang tetapi juga kaum wanitanya. Sejarah telah banyak membuktikan.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

RANCANGAN PELAJARAN SEJARAH STPM



UNTUK PANDUAN PENSYARAH DAN PELAJAR PRA-U

  1. SUKATAN PELAJARAN SEJARAH STPM
  2. RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN SEJARAH STPM KERTAS 1
  3. RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN SEJARAH STPM KERTAS 2

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Jumaat, 26 Jun 2009

TAMADUN ISLAM:TEMA 3 – KONSEP KETAHANAN PERTAHANAN

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - SILA AMBIL NOTA INI. BACA DAN FAHAMKAN

Bandingkan konsep ketahanan dan pertahanan mengikut perspektif sebelum dan selepas kedatangan Islam.

Pendahuluan

Konsep Ketahanan dan Pertahanan Secara Umum

Ketahanan

1. Ketabahan, kecekalan dan kesabaran.

2. Orang tahan ialah orang yang tabah, penyabar dan cekal menghadapi sebarang ancaman musuh.

3. Merangkumi 2 asas utama iaitu rohani dan fizikal.

4. Rohani (agama dan moral) dan fizikal (pembinaan jasmani dan ketenteraan)

5. Asas pembinaan ketahanan ialah ilmu pengetahuan, pengalaman, kecekapan dan pelaksanaan yang betul.

6. Ketahanan fizikal dan spiritual mesti seimbang dan sepadu.

7. Ketahanan diri, masyarakat dan negara adalah persediaan yang wajar dan perlu diambil perhatian yang serius untuk melaksanakan tahap kedua.Contoh, pertahanan.

Pertahanan

1. Mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara daripada musuh.

2. Membela golongan lemah dan teraniaya serta dizalimi.

3. Mempertahankan hak dan tanggungjawab terhadap diri, agama dan negara (wajib dan memerlukan pengorbanan yang besar seperti harta, masa,nyawa)

4. Setiap tindak-tanduk bagi mempertahankan sesuatu perlu diawasi dan dikawal agar kesilapan tidak berlaku.

5. Melalui proses ketahanan dan pertahanan ini telah mendedahkan masyarakat kepada bidang ketenteraan.

Isi – isi Penting

1. Konsep Ketahanan

Islam:

  • Terletak pada akidah dan kepercayaan kepada Allah - sehingga berjaya menyebarkan Islam.
  • Kerohanian – ilmu pengetahuan dan penghayatan yang mendalam.
  • Fizikal – (ketenteraan) kelengkapan perang dan persiapan alat senjata.

Arab Jahiliyah:

  • Semangat asabiyah – kebanggaan bagi kabilah yang menang.
  • Jumlah dan bilangan ahli kabilah – semakin ramai semakin besar sesuatu kabilah dari segi pengaruh dan kuasa.
  • Fizikal – kelengkapan perang dan persiapan peralatan senjata.

2. Konsep Pertahanan

  • Secara umum, pertahanan ialah langkah kedua yang berbentuk amali untuk melaksanakan dasar ketahanan masing-masing.

Islam:

Tujuan : Menegakkan kalimah Allah (akidah dan syariah)

  • Memelihara maslahat dan kepentingan umat (agama, jiwa, akal, keturunan, harta).
  • Menangkis kemudaratan bagi menjamin ketenteraman.
  • Menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman dan penindasan.

Arab Jahiliyah:

Tujuan : Mendapatkan kemegahan dan nama bagi kabilah

  • Mendapat keuntungan daripada harta rampasan perang.
  • Mengelakkan kabilah daripada dihina apabila kalah.

3. Organisasi Tentera

Islam:

  • Permulaan : Jumlah tentera kecil, contoh Perang Badar(313 orang) tetapi semakin meningkat dari semasa ke semasa, contoh pada zaman Abbasiyah (300,000 orang).
  • Zaman Nabi Muhammad s.a.w. , Baginda sendiri mengetuai peperangan
  • Kemudian, Khalifah sebagai pemimpin tentera dan gabenor-gabenor sebagai panglima tentera.
  • Tentera tamadun Islam adalah tersusun dan sistematik.
  • Fungsi tentera berbeza-beza – pemanah, peninjau, perunding dan pembawa bendera.
  • Zaman Abbasiyah – tentera dibahagikan kepada 6 bahagian – berkuda, berjalan kaki, kumpulan pemanah, tentera bola api, penembak dan pembawa senjata.
  • Konsep jihad – pengorbanan seorang Islam menegakkan kalimah Allah.

Arab Jahiliyah:

Badwi

  • Organisasi tidak teratur, menyerang dan lari.

Hadari

  • Teratur, dipengaruhi oleh Rom dan Parsi.
  • Dibahagikan kepada 5 kumpulan (al-Khamis) – depan, tengah, belakang, kiri dan kanan.
  • Syeikh berada di tengah untuk menjaga keselamatannya.
  • Kota pertahanan ialah di Ghundum dan Hadramaut.
  • Benteng pertahanan – kota Petra, al-Khawarnaq.
  • Tentera infantri ramai, tentera berkuda sedikit.
  • Kaum wanita dan kanak-kanak dibawa ke medan perang.
  • Pakar bedah – pisau panas untuk memotong bahagian cedera.
  • Pemain alat bunyian gendang dan serunai untuk membangkitkan semangat.

4. Etika Perang

Islam:

  • Perang utamakan perdamaian, dengan tawaran memeluk Islam atau membayar jizyah
  • Larangan membunuh kanak-kanak, orang tua, wanita dan ahli ibadat.
  • Larangan merosakkan harta benda, tanaman dan binatang.
  • Berdamai apabila musuh meminta berdamai.

Arab Jahiliyah:

  • Tidak beretika.
  • Wanita akan ditawan dan dijadikan gundik atau hamba yang boleh didagangkan.
  • Mereka hanya boleh ditebus melalui wang tebusan atau peperangan.
  • Syeikh diberi keutamaan untuk memilih barang rampasan peran.

Kesimpulan

  • Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. telah menukar persepsi bangsa Arab terhadap ketahanan dan pertahanan.
  • Bagi orang Arab Jahiliyah ketahanan dan pertahanan hanyalah untuk matlamat duniawi semata-mata dan hasil rasukan jiwa yang keji.
  • Islam meletakkan ketahanan dan pertahanan sebagai wasilah untuk memelihara agama, membela ummah dan menegakkan agama Islam.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Khamis, 25 Jun 2009

TAMADUN ISLAM: TEMA 1 – 3 NOTA RINGKAS

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - SILA AMBIL NOTA INI. BACA DAN FAHAMKAN

Pengenalan

Madinah terletak antara Makkah dan Syam. Laluan pedagang . Tempat persinggahan. Penduduknya terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan Arab. Yahudi – Bani Quraizah, Bani Nadhir, Bani Qunaiqa’ , Arab – Aus dan Khazraj. Kehidupan kurang maju sebab pergeseran kabilah dan penguasaan ekonomi oleh Yahudi. Aus dan Khazraj jemput Nabi saw – wujud Aqabah 1 pada 621M.

Madinah – Bandar bercahaya. Dikenali juga dengan Yathrib. Terletak di wilayah Hijjaz.

Suku Aus di Selatan dan Timur, Khazraj di tengah Madinah, Yahudi pertama hijrah ke Madinah ialah Qainuqa’.

Perjanjian Aqabah

1. Aqabah ialah tempat antara Mina dan Makkah. Wakil Aus dan Khazraj menemui Nabi di Aqabah kemudian peluk Islam. 621M mengunjungi lagi dan wujud perjanjian Aqabah 1. Syarat Perjanjian:

a. Suku Aus dan Khazraj hendaklah beriman dengan Allah swt. Dan Rasul

b. Membantu Nabi saw

c. Tidak mengamalkan amalan Jahiliyah.

2. Selepas perjanjian hantar Mus’ab bin Umair untuk berdakwah.

3. 622M Perjanjian Aqabah 2. Syaratnya :

a. Suku Aus dan Khazraj memeluk Islam dan taat kepada Nabi saw.

b. Suku Aus dan Khazraj jemput Nabi saw di Makkah untuk hijrah ke Madinah

c. Mereka secara sukarela menyediakan tempat tinggal

d. Berjanji menjaga keselamatan baginda dan orang Islam Makkah

e. Kesediaan mempertahankan Islam.

4. Kesan Perjanjian:

a. Penghantaran utusan dakwah ke Madinah

b. Islam mula tersebar di Madinah kemudian seluruh pelusuk dunia

c. Perlindungan bagi orang Islam Makkah.

d. Jaminan dan keselamatan orang Islam Makkah terjamin

e. Berlaku Hijrah dan kewujudan tahun Hijrah.

f. Permulaan wujudnya negara Islam di Madinah

g. Mengembalikan keamanan dan persaudaraan masyarakat Madinah oleh Nabi saw melalui Islam.

h. Wujud tentangan dan rancangan bunuh Nabi oleh Quraish di Makkah.

Hijrah

Berlaku pada 12 Sept 622M ( 1 H ). Berlaku secara rahsia dan berperingkat. Nabi Muhammad s.a.w hijrah bersama Abu Bakar AsSiddiq – perjalanan 12 hari. Umar secara sendirian dan terang-terangan.

Konsep Hijrah

Maknanya:

1. Maksud perkataan Arab – berpindah.

2. Dalam konteks tamadun Islam bermaksud perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah . Bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Islam dan satu strategi penyebaran.

3. Pengertian lain – Perjuangan untuk menegak kebenaran dan meninggalkan keburukan atau kejahatan.

4. Semangat ingin berubah dan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan spt perubahan sikap, cara berfikir, dan tingkah laku.

5. Barat mentafsir Hijrah sebagai pelarian. Disangkal kerana terdapat perbezaan konsep Hijrah Barat dan Islam spt berikut:

a. Hijrah orang Islam kerana jemputan orang Arab Madinah.

b. Orang Makkah ke Madinah disambut dengan gembira dan rela.

c. Orang Islam Makkah diberi jaminan keselamatan dan diberi tempat tinggal.

d. Nabi Muhamad saw pula dilantik sebagai pemimpin Madinah dan diterima oleh semua golongan penduduk Madinah.

Cara penghijrahan Nabi Muhamad saw

1. Setelah berjaya melepaskan diri daripada kepungan

2. Ali Abu Talib menggantikan nabi saw untuk tidur di tempat nabi.

3. Bersama Abu bakar meninggalkan Makkah .

4. Bersembunyi di gua Thur = Dibantu oleh Abdullah bin Abu bakar – intip kegiatan orang Quraish, Asma binti Abu Bakar – menghantar makanan, Amir bin Fuhairah – gembala kambing agar susu kambing diberi kepada baginda.

5. Dipandu oleh Abdullah bin Arqat – waktu itu belum Islam lagi.

Sebab dan Tujuan Hijrah

1. Perintah Allah swt menerusi wahyu. Firman spt: Surah al- Anfal.

2. Meneruskan penyebaran Islam. Di Makkah Islam diancam.

3. Satu strategi bukan kekecewaan penyebaran.

4. Suasana aman di tempat baru memudahkan penyebaran Islam.

5. Jemputan daripada penduduk Madinah yang menghadapi pelbagai konflik. Memerlukan pemimpin dan mendamaikan ketegangan.

Kepentingan Hijrah

1. Dakwah Islamiah dapat dilakukan dengan aman. Dan dilakukan secara terangan.

2. Peluang untuk mendamaikan masyarakat Arab di Madinah.

3. Menjalinkan hubungan persaudaraan orang Islam Makkah dan Madinah.

4. Dapat menyatukan golongan yang sebelum ini berseteru.

5. Wujud golongan Muhajirin dan Ansar.Muhajirin bermaksud – berpindah. Ansar bermaksud – menolong ( Nasara ) Golongan Ansar membantu Muhajirin dengan cara:

a. Menjaga keselamatan

b. Menyediakan modal untuk berniaga

6. Keamanan dapat menjana ekonomi , kegiatan agama, dan kegiatan lain dalam sejahtera sebagai sebuah negara.

7. Wujud takwim Hijrah. Mula dicipta dan digunakan pada zaman Khulafa Ar Rasyidin kedua – Umar al Khatab.

8. Wujud masjid Nabawi . Masjid pertama dalam perkembangan Islam ialah Masjid Quba’. Fungsi masjid pelbagai seperti:

a. Beribadat

b. Belajar

c. Tempat bertemu dan berbincang akan masalah

d. Aktiviti jual beli.

9. Pertukaran nama Yathrib kepada Madinah Al Munawarah . Pusat tamadun Islam dan agama.

10. Menunjukkan sikap toleransi dan tolong menolong ke arah kecemerlangan.

11. Menunjukkan sokongan dan pengorbanan sahabat nabi. Menggadai nyawa, harta. Abd rahman Auf menyumbangkan hartanya untuk Islam.

12. Memperlihatkan wanita beperanan menggerakkan kemajuan negara. Cth puteri Abu bakar Assiddiq – Asma’ – menghantar makanan dan berita semasa persembunyian Nabi di Gua Thur.

13. Menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa nabi sanggup meninggalkan kampung halaman.

14. Kebijaksanaan nabi mengatur strategi untuk berhijrah.

15. Kewujudan negara Islam pertama bagi mempertahankan Islam dan Madinah daripada Quraish.

Piagam Madinah atau Sahifah Madinah

1. Perlembagaan atau undang-undang bertulis pertama di dunia yang dirangka Nabi pada 622M- berpandukan wahyu.

2. Asas pemerintahan Kerajaan Islam yang terdiri daripada masyarakat Islan dan Bukan Islam.

3. Mencatatkan tentang tanggung jawab ketua negara dan rakyatnya

4. Dirangka berasaskan persetujuan orang Islam dan bukan Islam.

5. 47 fasal . 23 fasal membincangkan hubungan orang Islam dan tanggungjawab mereka. 24 fasal tanggungjawab orang bukan Islam terhadap Madinah.

6. Boleh dirumus kepada 7 aspek penting yg merangkumi politik, ekonomi, sosial spt

a. Pentadbiran

i. Nabi Muhamad pemimipin di Madinah

ii. Sebagai hakim menyelesaikan masalah antara Islam dan Bukan Islam

b. Agama

i. Bebas mengamalkan sebarang agama

ii. Bebas mengamalkan adat selagi tidak bertentangan dengan Islam.

c. Sosial

i. Masyarakat sebagai satu ummah dan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap negara

ii. Tidak boleh bermusuhan

d. Perundangan

i. Undang-undang Islam diguna pakai, tetapi undang-undang kekeluargaan dalam kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam

ii. Undan-undang Islam menekankan penginsafan dan bukannya jatuhan hukuman.

iii. Menetapkan syarat jatuh hukuman seperti saksi yang dapat mengesahkan jenayah.

e. Pertahanan

i. Semua anggota masyarakat dikehendaki pertahankan negara

f. Kedudukan kaum Yahudi

i. Keselamatan terjamin selagi mematuhi perlembagaan Madinah

g. Ekonomi

i. Kerjasama dituntut bagi memajukan ekonomi negara

ii. Unsur tipu dan riba dihapuskan.

Kepentingan Piagam Madinah

1. Model kerajaan Islam yang unggul

2. Unsur Islam boleh digunakan dalam negara pelbagai agama dan kaum

3. Perlembagaan yang mengandungi unsur dunia dan akhirat.

4. Menunjukkan sistem ekonomi Islam mementingkan keadilan dan ketelusan dalam perniagaan.

5. Berjaya membentuk masyarakat berasaskan ummah – hidup dalam bersatu padu dan aman menerusi semangat ukhuwah Islamiah – iaitu semangat persaudaraan sesama Islam. Aspek Ukhwah dapat dilihat menerusi:

a. Keadilan sosial

b. Persamaan hak dan persaudaraan Islam

c. Tiada perbezaan taraf

6. Mempamerkan undang-undang yang lengkap dan sempurna berasaskan undang-undang syariah.

7. Negara diwujudkan atas dasar perlembagaan terlebih dahulu.

8. Berjaya menyusun masyarakat kehidupan yang sistematik berasaskan undang-undang, bukan nafsu dan kekuatan kaum.

9. Wujudkan semangat kerjasama dan sama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan negara hingga menjadikan kerajaan Islam kuat dan disegani.

Penyebaran Islam

Strategi penyebaran Islam:

1. Menghantar utusan ke Rom, Rom Timur Timur, Parsi, Mesir, Habsyah dan wilayah di sekitar semenanjung Arab.

2. Tidak dengan paksaan tetapi dengan diplomasi dan menunjukkan nilai-nilai yang baik.

3. Menerusi warkah atau surat untuk wujud persefahaman.

4. Peperangan – dengan izin atau bertujuan mempertahankan diri, agama dan negara. Kerajaan Islam melalui beberapa siri peperangan sejak 622M Antaranya:

a. Perang Badar 624M/2H

i. Dalam perang ini Islam menang, Nabi mengampunkan orang tawanan Arab Quraish, Tawanan Wanita dan kanak-kanak dibebaskan. Lelaki diberi syarat untuk membebaskan diri mereka – ajar 10 kanak-kanak Islam baca dan tulis sehingga pandai akan dibebaskan.

b. Perang Uhud 625M/3H

c. Perang Khandak 627M/5H

d. Perang Tabuk 630M/8H

5. Perang dalam Islam mesti ikut prinsip tertentu, iaitu

a. Dengan izin Allah swt setelah turunnya wahyu. Berperang apabila diserang oleh musuh.

b. Berperang untuk mencari keamanan supaya tempat ibadat terjaga.

c. Menentang kezaliman dan mempertahankan diri.

d. Islam menganjurkan perdamaian jika musuhnya inginkan perdamaian.

e. Dakwah mesti dilaksanakan dengan baik

f. Perang berpandukan aspek berikut:

i. Tidak boleh membunuh orang yang lemah spt orang tua, kanak-kanak, wanita, orang sakit, dan orang yang menyerah diri.

ii. Tidak dibenarkan membunuh binantang ternakan, dan tanaman.

iii. Dilarang meroboh rumah ibadat.

Perjanjian Hudaibiyah

Latar Peristiwa

628M orang Islam ingin ke Makkah untuk beribadat dan mengerjakan umrah Disekat oleh Quraish di Hudaibiyah. Di situ orang Islam cuba menerangkan tujuan kedatangan dengan menghantar wakil iaitu Uthman bin Affan. Peringkat awal tidak dipedulikan, tetapi apabila dapat tahu orang Islam melakukan sumpah setia untuk membela Uthman yang dikatakan mati dibunuh. Orang Quraish takut dan hantar Suhail bin Amru untuk berunding. Maka wujud Perjanjian Hudaibiyah pada 628M/6H.

Mengapakah Uthman Bin Affan dipilih?

1. Mempunyai ramai saudara mara di Makkah

2. Sahabat yang matang dan tua berbanding sahabat lain

3. Lemah lembut dan bertolak ansur.

Kandungan Perjanjian Hudaibiyah

1. Bersetuju mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun

2. Kabilah Arab lain bebas memilih sama ada memihak kepada orang Islam Madinah atau Arab Quraish Makkah.

3. Orang Islam Madinah yang memihak ke Makkah tanpa kebenaran penjaganya tidak dipulangkan.

4. Orang Quraish Makkah yang memihak ke Madinah tanpa kebenaran penjaganya perlu dipulangkan.

5. Orang Islam boleh ke Makkah pada tahun berikutnya - 7 H.

Kepentingan Perjanjian Hudaibiyah

1. Orang Islam dapat menunaikan haji pada tahun 629M/7H.

2. Tempoh perdamaian membolehkan Nabi saw merangka program dakwah ke seluruh Tanah Arab.

3. Suku Arab boleh menganut sebarang agama tanpa halangan.

4. Islam dapat berkembang berlipat kali ganda.

5. Islam tersebar dengan aman

6. Walaupun dikatakan berat sebelah tetapi telah dapat mengislamkan pemuka Quraish spt Khalid Al Walid, Amru Al As, dan Uthman bin Talhah.

7. Melambangkan ketokohan Nabi saw sebagai pemimpin unggul dan berpandangan jauh.

8. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kerajaan Islam Madinah.

9. Pembukaan Makkah pada 630M berlaku setelah terjadi pencabulan terhadap gencatan senjata yang dipersetujui. Berlaku apabila orang Quraish memberi sokongan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuzaah yang berpihak kepada Islam.

Pembukaan Semula Kota Makkah

Sebab

1. Tempat kelahiran Nabi Muhamad saw dan tempat lahirnya Islam.

2. Orang Quraish melanggar perjanjian Hudaibiyah 630M.

3. Satu strategi jangka panjang dalam penyebaran Islam.

4. Kedudukan Madinah akan menjadi lebih mantap.

Cara:

1. Tanpa kekerasan

2. Peringkat awal menghantar tentera Islam – empat pasukan 10000 orang.

3. Diketuai oleh Khalid Al Walid, Abu Ubaidah Al Jarrah, Saad bin Ubadah, dan Zubair Al Awwam. Masuk Makkah melalui 4 penjaru.

4. Keyakinan dan setia kawan kunci kejayaan tentera Islam.

5. Pengislaman Abu Sufian dan Al Abbas – memudahkan lagi Makkah dibuka selain jaminan keselamatan yang diberi kepada penduduk Makkah.

Kesan

1. Sebelum memasuki Makkah Abu Sufian dan bapa saudara nabi Al Abbas telah memeluk Islam.

2. Menunjukkan persaudaraan dengan mereka yang memasuki rumah Abu Sufian tidak akan ditentang.

Kepentingan Pembukaan Kota Makkah

1. Menunjukkan semangat persaudaraan Islam dengan memberi jaminan keselamatan

2. Menunjukkan semangat perpaduan dalam negara yang pelbagai agama dan keturunan

3. Sifat pemaaf Nabi saw terserlah – tidak membalas dendam terhadap orang Quraish.

4. Kaabah terpelihara daripada kemungkaran. Agama menyembah berhala dihapuskan.

5. Kota suci umat Islam dalam melakukan ibadah.

6. Membuktikan kukuhnya negara Islam di Madinah.

7. Bermulanya penyebaran Islam secara menyeluruh ke Tanah Arab tanpa paksaan.

8. Wujud sebuah pusat pemerintahan Islam yang kuat – Madinah masih kekal pusat pemerintahan.

9. Titik akhir perjuangan Nabi saw dan pada 632M/11H Nabi Muhamad wafat. Khutbah akhir Nabi menyatakan

a. Setiap orang Islam bersaudara

b. Meninggalkan pusaka iaitu al quran dan sunnah yang menjadi panduan hidup manusia.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 21 Jun 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 2-PENTADBIRAN ISLAM DI INDIA

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - SILA AMBIL NOTA INI. BACA DAN FAHAMKAN

Bandingkan struktur pemerintahan dan pentadbiran Kesultanan Delhi dengan Kerajaan Moghul di India.

Pendahuluan:

  • Dua buah kerajaan Islam di India yang terkenal ialah Kesultanan Delhi (1206-1526M) dan Kerajaan Moghul (1527-1875M).
  • Pemerintah yang terkenal ialah Alaudin Khilji dan Tughluq bagi Kesultanan Delhi dan Akbar serta Aurangzeb bagi kerajaan Moghul.
  • Kesultanan Delhi diasaskan oleh Qutbubuddin Aibak/Aibek yang mengandungi enam buah dinasti seperti Dinasti Mamluk, Khilji, Tughluq, Syeid, Lodi dan Suri selama hampir tiga abad dengan pusat pemerintahannya di Delhi
  • Kerajaan Moghul pula diasaskan oleh Baber Babur dan mencapai zaman kegemilangan semasa zaman pemerintahan Babur, Akbar dan Aurangzeb.
  • Kerajaan Moghul jatuh ke tangan British selepas kematian Aurangzeb.

Isi:

A. Bentuk dan Sistem Pemerintahan

i. Kerajaan Delhi

· Berbentuk kerajaan berpusat di Delhi dan pemerintah tertingginya mempunyai kuasa autokrasi atau mutlak dalam pemerintahannya.

· Sistem pemerintahan berbentuk teokrasi dan perlembagaan Negara berdasarkan al Quran dan hadis.

· Golongan bukan Islam dikenakan jizyah sebagai jaminan perlindungan hak dan kebebasan.

· Bentuk pemerintahannya dipengaruhi oleh Kerajaan Abbasiyah, Parsi, Turki dan India.

· Sistem pentadbiran mempunyai unsur asimilasi antara pengaruh Islam dan India.

· Mengamalkan pewarisan takhta.

ii. Kerajaan Moghul

· Menjalankan pemusatan kuasa dan pentadbiran wilayah yang dilaksanakan pada zaman Akbar dan Aurangzeb.

· Pada zaman Akbar , golongan bukan Islam diberi kelonggaran persamaan hak dengan orang Islam untuk mengisi jawatan penting.

· Akbar juga menghapuskan bayaran jizyah dengan alasan mewujudkan keadilan dalam pemerintahannya.

· Manakala pada zaman Aurangzeb, baginda menghadkan orang Hindu dalam jawatan kerajaan termasuk ketenteraan dan kehakiman.

· Takhta kerajaan adalah berasaskan sistem pewarisan.

B. Pemerintah/Ketua Negara

i. Pemerintah Delhi

· Bergelar Sultan yang memerintah secara mutlak.

· Sultan bertanggungjawab menjalankan hubungan diplomatik dengan kerajaan Islam yang lain seperti kerajaan Bani Abasiyah.

· Sultan dibantu oleh pegawai-pegawai yang dilantik untuk melicinkan pemerintahan

ii. Pemerintah Moghul

· Bergelar Sultan / Maharaja (Akhbar) Sultan memerintah secara mutlak.

· Memiliki kuasa mutlak

· Akhbar mengasingkan politik daripada agama dan menghapuskan perbezaan berasaskan agama dan bangsa namun pemerintahan Aurangzeb cuba menjadikan seluruh India sebagai Negara Islam yang mengamalkan mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah.

· Sultan dibantu oleh pegawai untuk melicinkan pemerintahan.

C. Organisasi Pentadbiran

i. Kerajaan Delhi

· Sultan adalah pentadbir tertinggi dalam kerajaan Delhi.

· Baginda dibantu oleh Badan eksekutif yang diketuai oleh Amir di setiap wilayah sebagai wakil Sultan.

· Seorang Menteri yang berkuasa dalam perbendaharaan Negara dilantik untuk membantu Amir.

· Wazir ialah menteri kanan kepada Sultan yang mengetuai jabatan-jabatan dalam pentadbiran Negara.

· Terdapat Majlis I-Khalwat dan Bari I-Khas yang bertanggungjawab mengawal jenayah.

· Ketua hakim digelar Qadhi Al-Qudhat yang mengetuai urusan kehakiman berlandaskan syariaat Islam dengan dibantu oleh mufti.

· Urusan kewangan Mazhab Hanafi dijadikan sumber rujukan dalam pengutipan cukai Jizyah dan Kharaj.

· Sultan Muhammad Tughluq telah menubuhkan jabatan pertanian bagi menguruskan tanah pertanian, menyusun jabatan cukai, membuat rekod hasil tanah dan menaikkan cukai untuk menambah pendapatan Negara.

· Terdapat asimilasi sistem pentadbiran antara pengaruh Islam dan kerajaan Hindu tempatan.

ii. Kerajaan Moghul

· Akhbar mewujudkan satu sistem pentadbiran yang tersusun yang dikenali sebagai Mansabdar.

· Mansabdar bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pentadbiran awam.

· Mansabdar juga ditugaskan memerintah dan melengkapkan pasukan tentera diraja yang terdiri daripada 33 batalion tentera.

· Mewujudkan jabatan yang membantu Sultan, contoh Perdana Menteri (Wakil), Menteri (Wazir), Ketua tentera (Khan qanan), Kadi besar (Muhtasib) dll.

· Di peringkat daerah pentadbiran diuruskan oleh Faudjar yang bertindak sebagai pemungut cukai, mengawal jenayah/ kecurian dan menguasai tentera di daerahnya.

· Zaman Aurangzeb baginda melantik kadi dan mufti untuk menjalankan pengadilan bagi orang Islam dan hindu dengan diawasi oleh hakim besar.

D. Dasar Perluasan Wilayah

i. Perluasan empayar Delhi

· Wilayah kekuasan Islam meliputi 24 wilayah termasuk Deccan, (di bahagian tengah India)

· Alauddin Khilji berjaya menawan 4 buah kerajaan hindu (dinasti Yadava, Tengana,Hoysala dan Pandya)

· Meletakkan wilayah baru di bawah penguasaan Islam.

ii. Perluasan empayar Moghul

· Perluasan wilayah telah berlaku sejak zaman Babur.( Berjaya memerangi kerajaan-kerajaan Hindu tempatan)

· Maharaja Akhbar membina empayar Moghul yang meliputi bumi Hindustan bermula dari banjaran Himalaya hingga Nawada di bahagian Selatan.

· Untuk memastikan penguasaan terhadap wilayahnya beliau telah melantik wakil-wakil pemerintah untuk mengelakkan pemberontakan.

Penutup

Kerajaan Delhi dan Moghul berjaya mengukuhkan kedudukan kerajaan Islam di India yang meliputi bahagian utara dan tengah India selama hampir 6 abad. ( 1206-1875M )


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Sabtu, 20 Jun 2009

MINAT MEMPERBAIKI DIRI

image Kita akan mencapai tahap lebih baik jika kita minat memperbaiki diri. Apa maksud minat? Ia adalah sesuatu yang Anda lakukan dengan penuh suka. Semacam hobi.

Hobi adalah sesuatu perbuatan yang Anda buat dengan penuh suka. Tentu Anda ada hobi, misalnya memancing, bermain futsal, bola sepak, bermain games komputer, berjalan-jalan, bershopping atau melayari internet. Bila sudah suka, Anda akan buat tanpa perlu disuruh-suruh, tanpa perlu dipaksa-paksa, betul tak ?

Bila Anda sudah minat memperbaiki diri, Anda akan suka membaca sesuatu yang boleh membuat Anda menjadi semakin baik, mengawal emosi dengan lebih baik, menjaga tahap motivasi dengan lebih baik. Kemudian, Anda akan minat untuk belajar memperbaiki diri. Contoh paling spesifik, anda tahu diri anda lemah sangat-sangat subjek Sejarah khususnya Sejarah 1, maka anda minat nak baiki kelemahan tu. Anda pun rajin dan penuh konsisten baca buku Sejarah.1. Agaknya anda dapat tak baiki tahap pencapaian anda tu ?

Sampai ke satu tahap, bila Anda sudah banyak membaca bahan-bahan yang dapat membuat Anda berjaya memperbaiki diri sebelum ini, lama-kelamaan Anda akan minat untuk merekomenkannya pada orang lain, iaitu orang yang turut sama berminat untuk memajukan diri mereka khususnya nak memajukan diri dalam pelajaran @ Sejarah 1.

image

Dalam apa jua yang kita lakukan dan siapa juga kita, kita seharusnya kena ada minat memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Tahap kita akan jadi cemerlang dalam diam tanpa kita sendiri sedari. Bila Anda sudah minat sesuatu, kemudian Anda minat memperbaiki diri, memperbaiki tahap pengetahuan Anda dan tahap kemahiran Anda, Anda akan semakin maju ke depan.

Sedar tak sedar, Anda dah berjaya mencapai sesuatu tahap yang sukar dicapai oleh orang lain di sekeliling Anda. Lupakan dulu ganjaran, dahulukan minat lebih dari segalanya. Ganjaran akan datang selepas itu secara automatik. Ia mungkin waktu rehat yang selesa, tidur yang nyenyak atau duit yang tak yang tak putus-putus datangnya.

Sekarang ini, Anda kena minat memperbaiki diri dalam apa jua yang Anda lakukan. Tak kiralah sama Anda adalah pelajar, guru, suri rumah, pelukis, Editor majalah, wartawan, pemandu teksi ataupun seseorang yang baru belajar memandu kereta, mekanik, digital designer, perunding Takaful, Eksekutif mahupun seorang bapa.

Kita kena ingat siapa kita, bagaimana tahap pencapaian kita, perhatikan sekeliling kemudian tekadlah untuk memperbaikinya, dengan mula memperbaiki sikap diri sendiri dulu. Perubahan dalaman, akan mencetus perubahan luaran. Jangan ambil mudah. Keseronokan yang dibuat-buat senang dikenal pasti, kerana ia lahir dari hati.


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

imotivasi

Jumaat, 19 Jun 2009

MOTIVASI LEMBU

image Orang kita selalu mengaitkan lembu dengan seseorang yang bodoh. Dia akan kata, “ko ni bodoh cam lembu!”. Er, sori saya cakap cam tu, lebih baik berterus terang supaya Anda faham.

Motivasi susah nak berkias-kias, nanti orang salah faham. Lembu tu, walaupun binatang yang dianggap bodoh, sebenarnya ada motivasi tersirat yang kita boleh ambil darinya. Walaupun lembu nampak bodoh sebab kerjanya hanya meragut rumput, tak de perkara lain cuma rumput, rumput dan rumput, lembu meragut dengan penuh konsisten, ‘persistence’ pula tu.

Dia tak hirau hal lain, tak sibuk ambil tahu perkara-perkara lain mahupun dok sibuk bergosip hal dunia dengan lembu-lembu lain. Yang dia tau, ragut rumput, makan rumput, kunyah rumput. Kesan dari itu, lembu jadi cukup bagus, cukup cemerlang sekali meragut rumput, silap-silap habis rata rumput jadinya macam kita potong rumput pakai mesin rumput.

Jika ada anugerah meragut rumput, mungkin lembu itu mendapat tempat pertama, menjadi calon ‘fevret’. Seekor lembu tak akan pernah mengacau kawasan lembu-lembu lain dan tak akan pernah menceroboh ‘territory’ yang bukan dia punya. Haa..tengok tu, walaupun lembu ni kita anggap macam bodoh, tapi sebodoh-bodoh lembu, kita boleh belajar sesuatu, kemudian serap apa yang kita pelajari tu supaya kita makin maju.

Mesti ada sebab kenapa lembu dijadikan sifatnya macam tu. Kejadiannya mesti untuk menyempurnakan sesuatu dan sebagai pelengkap kepada peranan kita manusia untuk melaksanakan misi sebagai khalifah di muka bumi. Jangan pandang rendah pada lembu. Biar kerajinan kita mengalahkan kerajinan lembu.

Biar ‘kekonsistenan’ usaha kita mengalahkan ‘kekonsistenan’ lembu, walaupun dia cuma seekor lembu. Sebodoh-bodoh lembu, ia haiwan yang sangat rajin, cemerlang melaksanakan kerjanya. Kita entah cam mana, mungkin cemerlang kita sekejap saja sebab fokus fikiran kita terarah kepada banyak perkara, terutama masalah… masalah yang kadang-kadang dicari………


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

i-motivasi

TUGASAN DAN PEMBENTANGAN


PERHATIAN !!!!!!

PELAJAR 6 ATAS AMBIL PERHATIAN. TAJUK DAN SOALAN TELAH DIAGIHKAN. KUMPULAN YANG BERTANGGUNGJAWAB PERLU MENYIAPKAN BAHAN EDARAN. PEMBENTANGAN AKAN BERMULA ISNIN INI (22/6/2009) PADA WAKTU KELAS PAGI DAN KELAS TAMBAHAN.

** HARI ISNIN = KELAS YANG TERLIBAT ADALAH 6 ATAS SYAFIE DAN 6 ATAS HANAFI.

HARAP MAKLUM. HEBAHKAN KEPADA RAKAN-RAKAN ANDA YANG TERLIBAT.

Selasa, 16 Jun 2009

SAJAK PERTEMUAN MAHASISWA




( Mari layan sajak jap……………………..)

matahari terbit pagi ini
mencium bau kencing orok di kaki langit
melihat kali coklat menjalar ke lautan
dan mendengar dengung lebah di dalam hutan
lalu kini ia dua penggalah tingginya
dan ia menjadi saksi kita berkumpul di sini
memeriksa keadaan
kita bertanya :
kenapa maksud baik tidak selalu berguna
kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga
orang berkata : "kami punya maksud baik"
dan kita bertanya : "maksud baik saudara untuk siapa ?"
ya !
ada yang jaya, ada yang terhina
ada yang bersenjata, ada yang terluka
ada yang duduk, ada yang diduduki
ada yang berlimpah, ada yang terkuras
dan kita di sini bertanya :
"maksud baik saudara untuk siapa ?
saudara berdiri di pihak yang mana ?"

kenapa maksud baik dilakukan
tetapi makin banyak petani kehilangan tanahnya
tanah - tanah di gunung telah menjadi milik orang - orang kota
perkebunan yang luas
hanya menguntungkan segolongan kecil saja
alat - alat kemajuan yang diimport
tidak cocok bagi petani yang sempit tanahnya
tentu, kita saja bertanya :
"maksud baik saudara untuk siapa ?"
sekarang matahari semakin tinggi
lalu akan bertakhta juga di atas puncak kepala
dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya :
kita ini dididik untuk memihak yang mana ?
ilmu - ilmu diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan
atau kah akan menjadi alat penindasan ?
sebentar lagi matahari akan tenggelam
dan malam tiba
cicak - cicak bernyanyi di tembok
dan rembulan berlayar
tetapi pertanyaan-pertanyaan kita tidak akan mereda
ia akan muncul di dalam mimpi
akan tumbuh di kebun belakang
dan esok hari
matahari akan terbit kembali
sementara hari baru menjelma
pertanyaan - pertanyaan kita menjadi hutan
atau masuk ke kali
akan menjadi ombak di samudera
di bawah matahari ini kita bertanya :
ada yang menangis, ada yang mendera
ada yang habis, ada yang mengikis
dan maksud baik kita
berdiri di pihak yang mana !

RENDRA
( Jakarta, 1 Disember 1977 )

SAJAK INI DIPERSEMBAHKAN KEPADA PARA MAHASISWA UNIVERSITAS INDONESIA DI JAKARTA DAN DIBACAKAN DI DALAM SALAH SATU ADEGAN FILM "YANG MUDA YANG BERCINTA"YANG DISUTRADARAI OLEH SUMANDJAYA

DARI KUMPULAN PUISI "POTRET PEMBANGUNAN DALAM PUISI"
( PUSTAKA JAYA - 1996 )


[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Selasa, 9 Jun 2009

MESYUARAT GURU FORM 6.....MASALAH BUDAK FORM 6 !

TIDAK AKAN BERLAKU PERUBAHAN
JIKA
TIDAK BERUBAH PERLAKUAN..........

Hari ni saya menghadiri mesyuarat Guru Tingkatan 6 kat sekolah. Mesyuarat ni penting untuk bincang perjawatan dan penstrukturan semula guru tingkatan 6. Susah nak buat keputusan sebab beberapa masalah perjawatan dan masih dalam era transisi hingga 2011. Saya cikgu akademik Sejarah lah.....Sejarah 1 ,Ketua Panitia Sejarah, Guru J/Waktu dan Guru Disiplin. Jadual waktu masih 'kangkang' sebab masih ada yang terpaksa ngajar kelas bukan tingkatan 6. Lepas ni Tingkatan 6 akan 'separate' dengan pengurusan kelas lain. Tapi tu lah , masih transisi. Pening pun ada. Masih kena pegang Ketua Guru Disiplin....Pengetua masih mintak pegang lagi....Kalo dah suruh jugak, kenalah pegang juga.

Ada beberapa dapatan tentang budak 6 atas form six tahun ni berdasarkan mesyuarat ni. Harap budak 6 atas ambik perhatian dan muhasabahlah diri. Ni untuk kebaikan kamu. Saya tak akan sebut nama-nama individu terbabit. Pikir sendiri.......
  1. Ada pelajar macam tak pernah belajar. Sebabnya ujian pertengahan tahun tak leh buat dengan baik dan ada tak leh buat langsung ! Apa ni....macam ni nak ambik STPM 2009 ?? Kamu jangan bagi pelbagai alasan untuk beralasan. Tak payah cari alasan. Kamu yang jenis ni agaknya tak sedar diri lagi. Bila agaknya kamu baru mula nak belajar dengan baik.....Ada masalah dalam subjek Ekonomi, PA, PP, Sejarah, BM dan Geografi. Tak de masa ke....tapi hal lain ada masa. Jangan cari alasan. Tak kan kamu nak kecewa macam kecewa masa SPM. Saya tahu kamu semua kalo boleh tak nak sangat-sangat masuk form 6 ni.....betul tak ??? Kalo leh nak gi Poli, UiTM, dan macam-macam lagi. Asalkan jangan masuk form 6 ..... betukan ? Dah tu.....takkan nak rugi lagi 2 tahun ni , buang masa tak nak belajar pun ! Pikir la ya .....Jadi, usaha kuat mulai sekarang. Kamu boleh jika kamu fikir boleh ! Mana ada benda yang senang, nak makan pun kena gerak tangan dan jari...fikirkan!
  2. Bercinta, mabuk cinta, bercinta sakan.........masalah lumrah form 6. Saya faham jiwa remaja......akhir remaja. Kamu dah nak masuk awal dewasa. Guna akal lebih sikit la. Saya dengar ada yang memang dah lama bercinta, emmmm mak ayah pun 'macam' dah restu bunyinya. Ya ker ? Atau mak ayah tahu lain tapi jadinya lain ? Tapi berdasarkan keputusan PPT, hampeh ! Sedarlah wei......saya tak gemar macam ni ! Cukup! Saya kata cukup. Ada juga baru belajar nak bercinta. Nampak angau dalam kelas. Keputusan PPT pun tak mengancam. Dalam otak dah penuh dengan cinta....atau lebih tepat 'nafsu cinta'.......jangan marah ! Fikir sendiri.....apa benar cakap saya ? Dalam kelas nampak macam beri perhatian, tapi angan-angan. Pandang tembus sampai dinding. Ada yang dalam kelas asyik ngantuk tak habis-habis ! Kalo gini, guru turun dari langit pun kamu takkan berubah ! Saya nak kamu berubah demi untuk kebaikan kamu. Tak ramai pasangan yang kekal sampai kahwin tau ! Yang saya dengar adalah sorang dua budak form 6 dulu. Yang lain, hancus ( hancur + hangus ). Jangan la jadikan alasan pasangan untuk studi group. Dah takde ke teman yang sama jantina. Kalau kamu kata kamu boleh tahan nafsu, sampai bila. Kamu akan kalah dengan nafsu sebab syaitan akan terus bermain di hati kamu. Percayalah ! Kamu tak akan dapat keberkatan , malah yang dapat hanya dosa, maksiat dan buang masa. Cuba baca artikel tentang cerita orang kena tangkap basah dalam blog nih. Fikir guna akal dan iman !!!! Jangan buat silap dengan kesilapan yang kita memang tahu silap ...( faham ker ! ) Kalau kamu semua tak faham. memang b@#$%^&..... ( Sori ...sebab nak bagi kamu faham ). Kalau trend ini tak dibanteras, ramai la yang angau dan lingkup keputusan STPM 2009. Seterusnya baca artikel tentang kawal nafsu kat sini. Memang payah nak kawal nafsu, terutama nafsu seks, jangan main-main ! Kalau terlanjur, bertaubatlah ! Allah maha pengampun.
  3. Masalah hidup @ kemiskinan- yang ni saya simpati sangat tapi jangan la jadikan alasan untuk menempah kegagalan . Jadi lemah semangat dan tak nak berusaha dengan bersungguh-sungguh. Sepatutnya kamu cuba jadikan ia sebagai azimat untuk buat perubahan demi masa depan kamu dan keluarga. Cuba contohi pelajar lain yang dah berjaya. Contoh paling dekat ialah Siti Rohani , bekas pelajar DARY juga tahun ( lupa ????) berjaya dapat 5 Prinsipal A dalam STPM. Orangnya biasa tapi belajar dengan konsisten. Kalau kat Kelantan ada Siti Nor Madihah. Cuba baca tentang mereka ni. Tentu kamu rasa bersemangat.Tentang kewangan, cubalah berhubung dengan biasiswa. Kot-kot boleh membantu. Ada wang jimat. Belanja ke arah perkara yang berfaedah. dan ikut keutamaan. Kalo merokok, saya sarankan BERHENTI segera. Ini kerana merokok suatu perbuatan yang membazir. Baca sini tips berhenti merokok. Selamat berusaha.....azam dengan kuat dan istiqomah dalam belajar. Saya doakan kamu berjaya dengan cemerlang. InsyaAllah.
  4. Berlagak pandai tapi tak pandai pun ( hehehehe .....! ). Ramai cikgu yang suarakan macam tu. Tak tau tapi tak pulak bertanya. Berdasarkan keputusan PPT, soalan asas dan mudah pun tak leh nak jawab. Jawab pun tak de nilai jawapan. Apa dah jadi ? 'Honey moon' lagi ke ? Subjek sejarah 1 pun sama.....ada yang jawab 2 soalan saja, ada yang jawab cincai jer .....apa gambaran dan makna yang tersirat ?? Kamu tak reti nak jawab......mungkin tak faham sebelum ni, tapi tak pernah datang bertanya. Untuk subjek sejarah 1, saya dah kempen yang saya dah buka klinik....Klinik Sejarah 1. Tapi....Tak de sapa datang pun ! Patutnya sapa jumpa sapa ? Orang sakit jumpa doktor kan? Tapi semua berlagak pandai..... takkan malu kot dengan saya.....Cara yang saya nak guna mudah......saya dah terangkan dalam kelas. Ni nak bantu kamu....tapi berlagak pandai. Tu masa saya ada kat sekolah. Kat luar saya ada blog nih. Tapi berapa ramai yang ambik kesempatan. Saya bukan bubuh soalan sebarangan. Ambik, print dan baca. Tak nak print, salin lah kalo larat. Ramai yang dah mudah nak mudah lagi ! 'Spoon feeding ' ! Kamu semua pro-aktif la sikit ! Artikel semasa dan arkib lepas ambik la perhatian.....tajuk yang berkenaan ambiklah sebagai bacaan dan nota. Tak de duit.....salin.....salin.....salin nota tu !!!!! Banyak cara jika kamu ada kemahuan ! Buat perubahan OK......
  5. Tak de motivasi......memang ramai di antara kamu macam tak de motivasi.....please la... tak kan kamu masuk form 6 sebab terpaksa. Jadi biar masa yang menentukan apa yang nak terjadi ??.....'come on 'lah.......berubahlah demi kebaikan kamu. Kamu pelajar Islam dan Melayu yang akan bawa imej agama dan bangsa kamu ! Pelajar cina atitudnya lain....mereka kebanyakannya lebih bersemangat.....saya 'salute'. Takkan kamu pelajar Melayu......terus layu...jangan buang masa 2 tahun dengan percuma ! Alang-alang masuk form 6, biar sampai universiti.... Apa yang penting ialah kamu perlu ubah sikap, atitud kamu tu yang perlu kena ubah .Agak-agak nak panggil pakar motivasi mana nak bagi kamu sedar ? Dr. Fadzilah Kamsah, Dr. Hassan Ali, Dr. Tengku Asmadi............atau cukup kaunselor SMKDARY......... atau saya !!!! Kalau bukan kamu yang perlu ubah, sapa lagi ?
  6. Prioriti.......tak tau nak letak mana patut diutamakan. Macam tadi.......antara cinta 'buta' dan cita. Ramainya pilih 'buta'. Bagi penumpuan pada P&P atau layan perasaan @ mata. Nak beli buku atau handpon. Nak print nota atau 'top up' kad. Nak baca buku atau lepak, main sms, Nak buat nota atau buang masa, nak layari blog nih atau layan my space, friendster , nak mula bercinta ke tak. Mudahnya, semua kena buat pilihan. Buatlah pilihan yang betul. Ada akal pikir. Fikir dengan iman, dan akal yang waras. Demi masa depan dan tuntutan agama. Boleh kan ?
Harapan saya, dengan titipan ini, semua pelajar saya dapat baca. Baca sendiri dan hayati. Saya tak nak tengok kamu menangis bila keluar keputusan STPM kerana gagal. Itulah drama swasta yang berlaku setiap tahun........setiap tahun. Kenapa ?? Menyesal kenapa tak belajar kuat dulu ! Waktu tu tak guna dah nak menyesal. Tak guna dah !

Biarlah kamu waktu tu menangis kerana kejayaan. Kenapa saya tulis semua nih......kenapa saya buang masa saya kerana nih.....satu sebab UTAMA.....
SEBAB SAYA SAYANG KAMU SEMUA.....SAYA SAYANG PELAJAR SAYA. SAYANG KERANA AGAMA . AGAMA MENYURUH KITA MELAHIRKAN GENERASI YANG KUAT. MARAH SAYA MARAH SEORANG GURU.......ADAKAH KAMU TAK MERASAINYA ????

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Ahad, 7 Jun 2009

TAMADUN ISLAM : TEMA 3 -PERANG UHUD

hutang PELAJAR PRA-U (ATAS) SMKDARY - BACA DAN FAHAMKAN NOTA INI………….

Penduduk musyrikin Makkah (Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan perang Badar. Saudagar saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis ekonomi. Oleh kerana itu, maka berundinglah semua pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua keuntungan perdagangan di tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.

Kerana Abu Jahal sudah meninggal, maka Abu Sufianlah yang diangkat menjadi Panglima Perang, yang akan memimpin tentera 3 000 orang jumlahnya. Di antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan, anak dari Umaiyah bin Khalaf yang telah menyeksa Bilal, dan 'Ikrimah anak Abu Jahal. Selain itu, ikut serta pula memimpin tentera, seorang yang gagah berani, iaitu Khalid Ibnul-Walid. Kaum perempuan dengan dikepalai oleh Hindun (isteri Abu Sufian), dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi tentera yang ramai itu, mereka turut ke medan perang memukul genderang.

Kerana musuh terlalu ramai, maka Nabi berniat akan bertahan dan menanti musuh dalam kota Madinah. Tetapi suara ramai, berdasarkan siasat perang menghendaki agar musuh diserang di medan perang. Nabi tunduk kepada keputusan orang ramai ini, sekalipun dalam hatinya terasa kurang tepat. Dalam hal yang tiada turun wahyu, Nabi selalu berbincang dengan orang ramai, dan keputusan mereka pasti dijalankan dengan tawakkal, ertinya berserah kepada Tuhan.

Nabi lalu masuk ke dalam rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Baru Nabi keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk menyerang tadi, mencabut usul mereka kembali, kerana ternyata kepada mereka pendirian Nabi semulalah yang benar. Tetapi keputusan itu rupanya tidak dapat diubah lagi, kerana Nabi berkata: "Tidak, Kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali sebelum perang selesai."

Tentera Islam hanya berjumlah seribu orang. Semuanya berjalan kaki, hanya dua orang saja berkuda. Ramai pula di antara mereka itu orang tua dan anak anak yang di bawah umur.

Sebelum matahari terbenam, mereka bertolak menuju ke bukit Uhud. Sesampainya di pinggir kota Madinah, tiba-tiba 600 orang Yahudi, pengikut-pengikut Abdullah bin Ubay, menyatakan hendak turut bertempur bersama sama dengan Nabi. Tapi Nabi sudah tahu akan maksud mereka yang tidak jujur, maka ditolaknya tawaran itu dengan berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."

Kerana penolakan ini, Abdullah bin Ubay malu, marah, lalu berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang; 300 orang kaum Muslimin dapat dihasut, sehingga kembali pulang ke Madinah; mereka inilah yang dinamakan kaum Munafik. Maka tinggallah Nabi dengan 700 orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu.

Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum Muslimin di bukit Uhud di waktu dinihari. Segera Nabi mengatur strategi perang. Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh bukit Ainain. Lima puluh orang diserahkan Nabi menjaga di celah bukit dari belakang dikepalai oleh Ibnuz-Zubair, dengan perintah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.

Tiba-tiba kedengaranlah sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Segera mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap kirinya.

Seorang musuh menaiki unta mara kehadapan sampai tiga kali menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair sebagai harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dijatuhkannya ke tanah, lalu dibedah dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat berlaku dengan dahsyat.

Arta pemegang panji-panji/bendera musuh, mati dibunuh oleh Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dan bertempur dengan Zubair. Setelah Sibak tewas muncul pula Jubair bin Mut'im menghadapi Hamzah, untuk membalas dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan bapa saudaranya di medan perang Badar dulu. Jubair takut berhadapan dengan Hamzah. Hanya diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak ini dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.

Dengan menyeludup di balik belukar dari belakang Hamzah, dengan menggunakan tombak, Hamzah dapat ditikamnya sehingga syahid di saat itu juga.

Hamzah adalah pemegang panji-panji Islam di kala syahidnya itu. Panji panji itu segera diambil oleh Mus'ab bin 'Umair. Beliau pun tewas dan syahid di hadapan Nabi sendiri. Ali tampil menggantikannya. Sepantas kilat Ali dapat menetak leher musuhnya yang memegang panji-panji itu. Pertempuran hebat berkisar di sekitar panji-panji musuh yang sudah rebah ke tanah. Berpuluh-puluh musuh tewas di sekitar panji-panji itu, bersama dengan panji-panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.

Melihat musuh lari tunggang-langgang, tentera yang seramai lima puluh orang yang diarah menjaga di atas bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak, kepunyaan musuh yang lari itu. Dengan suara yang keras sampai serak, Ibnuz-Zubair menyuruh mereka kembali, tapi tidak dipedulikan sama-sekali.

Melihat tempat pertahanan yang strategik itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan yang kosong itu. Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Ibnuz-Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas diinjak oleh kuda kenderaan Khalid sendiri. Panji-panji Quraisy yang sudah jatuh ke bumi itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah, 'Umarah binti 'Alkamah namanya.

Tentera Islam menjadi kacau bilau. Sebahagian telah lari pulang ke Madinah, Usman bin 'Affan sendiri terikut juga. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar Nabi; tiba-tiba Nabi dilontar oleh batu, sehingga luka parah dan patah giginya. Baju besi yang kena batu, pecah dan pecahannya menembus ke pipi Nabi. Abu Usman mencabut besi itu dari daging Nabi sehingga giginya pun patah pula.

Nabi terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah tewas. Ali dan Talhah segera menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh seperti singa yang lapar . Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja. Badan Abu Dujanah penuh luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke medan peperangan dan menikam setiap musuh yang menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu 'Umarah namanya.

Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan Nabi sudah tewas itu, segera menjalar di medan pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat pertempurannya menjadi lemah kerananya. Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada mereka:

"Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"

Sebagai teladan, dia segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari-jarinya putus kena pedang musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati-matian menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.

Tiba tiba terdengar Ka'ab bin Malik berteriak mengatakan Nabi masih hidup , malah beliau pun sedang berjuang bermati-matian. Dari segala penjuru, tentera Islam segera menyerbu pergi ke tempat di mana Nabi berada. Nabi yang sedang terkepung dari segala penjuru, dapat mereka bela, sehingga terlepas dari bahaya besar. Mereka lalu merebut kembali celah bukit yang strategik dikuasai musuh itu. Dengan dapat merebut tempat itu, musuh dikepung di tengah-tengah. Tentangan pihak musuh dapat dipatahkan dan akhirnya mereka lari menyusup di lereng bukit Uhud, di mana terjadi pertempuran beberapa hari lamanya. Kerana sudah keletihan dan banyak terkorban, mereka lalu pulang kembali ke Makkah.

Dalam pertempuran itu, ummat Islam mengalami kekalahan, di mana tujuh puluh orang tewas. Sedang di pihak musuh hanya dua puluh tiga orang saja yang tewas. Sungguh mahal harganya strategi yang ditetapkan oleh Nabi kerana tentera Islam mengikari arahan Nabi Muhammad dan terpaksa membayar dengan tujuh puluh orang korban dan Nabi sendiri pun mendapat luka dan hampir saja menjadi korban.

Kekalahan besar itu menimbulkan keinsafan yang lebih dalam kepada tentera Islam. Keinsafan bahawa perintah Nabi jangan sampai dilanggar dan diabaikan. Dengan keinsafan inilah mereka meneruskan perang di hari-hari yang berikutnya, sehingga mendapat kemenangan yang gilang-gemilang.

Di pihak musyrikin Makkah pula, sehabis perang Uhud itu kekejaman mereka semakin bertambah juga. Jenazah-jenazah tentera Islam yang bergelimpangan di medan perang, mereka koyak-koyak dan hinakan. Dengan ramainya korban di kalangan orang-orang Islam dan sedikitnya korban di pihak mereka, mereka berasa bangga dan menyombongkan diri kerana menganggap tentera Islam akan dapat dikalahkan semuanya. Kesannya juga, orang Yahudi Madinah mula ingin bersahabat dan berbaik-baik dengan bangsa Quraisy untuk menyerang orang Islam. Ini sebenarnya telah melanggar janji yang sudah mereka tandatangani di hadapan Nabi sendiri dalam Piagam Madinah. Kaum munafik (yang bergabung dengan orang Islam, kerana takut dan lain alasan, bukan kerana keinsafan), makin terang-terang mengkhianati kaum Islam.

Guru guru Islam yang dikirim Nabi ke desa desa di pedalaman Arab tujuh puluh orang jumlahnya, hampir seluruhnya dibunuh oleh golongan Yahudi dan kaum munafik itu. Hal ini sangat menyedihkan Nabi.

[ SOKONG BLOG INI, SILA SIGN BUKU PELAWAT ]

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.