ENJIN CARIAN BAHAN

Sabtu, 7 Februari 2009

TEMA 4: EKONOMI (TAMADUN INDIA)

TAKRIF EKONOMI

Sistem Ekonomi Sara Diri

Menjelang zaman Vedik, orang Aryan memainkan peranan penting dalam perkembangan kegiatan pertanian dan penternakan. Mereka mempunyai pengetahuan yang luas tentang musim. Mereka juga tahu cara untuk membajak, menyemai, menuai menerusi Rig Veda. Di samping bercucuk tanam, mereka juga terlibat dalam penternakan binatang.

Mereka menternak lembu, kambing, biri-biri dan kuda (untuk mengangkut bijirin). Menjelang akhir zaman Vedik (1000-600 SM), pertanian dan penternakan menjadi sumber makanan yang penting. Antara tanaman yang ditanam ialah barli, gandum, paUdi dan tebu. Barli dan gandum merupakan makanan utama manakala padi adalah makanan sekunder.

Sistem Ekonomi Komersil

Pada zaman Pra-Maurya (600-322 SM), perkembangan yang signifikan dalam bidang ekonomi telah berlaku. Padi, tebu dan kapas telah ditanam secara meluas. Walaupun peralatan yang digunakan adalah primitif, namun petani-petani berjaya mengeluarkan hasil pertanian yang berlebihan. Hasil pertanian yang lebih disimpan dan digunakan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar yang melibatkan diri dalam perdagangan dan perniagaan. Selain itu, hasil yang berlebihan juga dijual kepada orang lain atau ditukar dengan orang lain untuk memperolehi barang keperluan yang lain.

PEMBANGUNAN EKONOMI

Prasarana

Institusi Kewangan

Persatuan-persatuan pedagang berperanan sebagai bank, deposit dan memberi pinjaman kepada para pedagang dan orang lain. Mengikut Rig Veda dan Dharma Sutra, kadar faedah dan peraturan yang berhubung dengan hutang dan gadai janji telah ditetapkan, iaitu 1 1/4% sebulan ataupun 15% setahun. Tetapi dari segi praktiknya, kadar faedah yang dikenakan lebih tinggi.

Undang-undang Manu telah menetapkan kadar faedah yang berlainanbagi pinjaman tidak terjamin mengikut kelas penghutang iaitu Brahman 24%, Khastriya 36%, Vaisya 48% dan Sundra 60% setahun. Bagi pinjaman jangka pendek untuk tujuan perdagangan, Arthasastra menyenaraikan pedagang biasa 5%, pedagang yang mengembara melalui hutan 10% dan pedagang di seberang laut 20% sebulan.

Selain persatuan pedagang, raja juga bertindak memberi pinjaman kepada petani bagi menggalakkan kegiatan pertanian. Terdapat juga peminjam wang berprofesional seperti ceti.

Gudang

Sesetengah syarikat pedagang di India mempunyai cawangan di semua bandar utama. Mereka mendirikan gudang di merata tempat bagi menyimpan barang dagangan mereka. Semua gudang ini dilindungi oleh askar persendirian.

Pelabuhan

Menjelang abad pertama masihi, perdagangan maritim telah berkembang pesat. Di bahagian Timur, pelabuhan seperti Lampa dan Tamralipti telah berkembang pesat. Raja-raja di Selatan India pula menggalakkan perdagangan maritim dengan membina rumah api, bagan dan pelabuhan. Kavirippattinam merupakan pelabuhan utama Kerajaan Chola. Pelabuhan ini mempunyai kemudahan untuk kapal berlabuh dan semua barang dagangan akan diperiksa oleh pegawai kastam dan dicap dengan mohor diraja dan disimpan di dalam gudang.

Sistem Kewangan

Kemungkinan besar orang India mempelajari mata wang daripada orang Parsi. Mata wang yang awal dibuat daripada gangsa ataupun perak dan bentuknya tidak sekata. Mata wang itu mempunyai lambang diraja dan tanda kawalan pegawai dan pedagang tempatan. Mata wang emas dan plumbum juga digunakan. Kulit kowri (varataka) pula digunakan oleh golongan miskin sebagai mata wang.

Pada zaman pemerintahan Maurya, mata wang Rom digunakan secara meluas. Mata wang ini dibuat daripada emas. Dalam urusan jual beli, wang perak dan emas ini telah digunakan secara meluas.

Wang tembaga pula digunakan pada zaman pemerintaan Naga, iaitu Ganapati Naga dan dinasti tempatan seperti Yaudheya dan Mathura.

Sistem Percukaian

Cukai yang paling utama ialah levi yang dikenakan terhadap para petani. Mereka dikehendaki menyerahkan 1/6 daripada hasil pertanian kepada raja. Cukai ini dikenali sebagai Bhaga. Di samping itu, petani juga perlu membayar cukai taksiran yang dikenakan terhadap beberapa kampung. Terdapat juga cukai-cukai seperti berikut:

a. Bali
Cukai keagamaan zaman Maurya.

b.Kara
Penyerahan sebahagian hasil buah-buahan dan bunga kepada kerajaan.

c.Senabhakta
Tanggungjawab rakyat membekalkan makanan kepada tentera yang melalui wilayah mereka.

d.Hiranya
Cukai dalam bentuk tunai.

Kerajaan juga mengenakan cukai pengairan dan cukai persatuan pedagang. Kadang-kala, cukai darurat untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.