ENJIN CARIAN BAHAN

Loading...

Sunday, April 27, 2008

LADAP......

Saya agak sibuk sekarang, tapi saya ambil kesempatan untuk menulis di blog. Hari Jumaat lepas, budak Mas tanya ada apa-apa isu tak, kalau tak ada tak buka . Oh, macam tu ka ?
Masa lalu kat kelas 6 AH, tiga serangkai Azmir, Fendi dan Jamal, takbir bila saya lalu. Bunyi macam main-main, tapi saya faham apa maksudnya ..............heh !
Hari Isnin hingga Rabu saya tak ada di sekolah. Ada mesyuarat Sejarah 1 kat Kangar. Mesyuarat tentang apa...rahsia ! Harap kamu semua studi baik-baik dalam kelas. Masa Sejarah 1 mesti guna untuk baca Sejarah 1. Mesti dan Wajib !!! Buat bacaan teks dan lihat soalan-soalan. Pasti ada manfaat dan kelebihan untuk STPM nanti. Percaya cakap saya.
Hari Sabtu lepas semua guru kena pergi sekolah. Ada LADAP( Latihan Dalam Perkhidmatan ). Sampai pukul 3 petang baru balik. Penat. Tapi dapat ilmu baru. Dengar taklimat dari Pengetua, harapan dan nasihatnya. Ada ceramah dari seorang Peguam Cara yang dijemput. Tentang tatacara pegawai awam dan khusus tentang gangguan seksual....em mesti dengar ! Ceramah yang bagus.
Banyak perkara disentuh. Apa yang boleh dan tidak boleh. Banyak juga menyentuh tentang guru disiplin. Bahaya tugas saya ni.....he he ! Tapi tugas tetap akan diteruskan.....Insyaallah. Saya nak sentuh perkara 457 - unsur khianat. Rupanya kereta saya yang kena calar tu boleh buat laporan polis. Termasuk contengan di dinding yang mempunyai unsur ugutan dan menjatuhkan maruah saya tu juga boleh buat laporan polis . Saya senyum je. Kalau dapat ditangkap, budak yang buat tu gelap masa depan. Saya tak sampai hati, kecuali terlalu melampau!
Dalam hal gangguan seksual, kamu tahu, kalau kes rogol maksimum penjara 20 tahun. Banyak kes sumbang mahram , zina, dadah, cabul , dll berlaku. Sebanyak 1,000 kertas siasatan sebulan terpaksa dihadapi yang melibatkan rata-rata orang Melayu Islam. Dinyatakan juga permohonan untuk keluar agama juga banyak. Orang Melayu nak masuk Kristian. Na'uzubillah.
Nasihat beliau, kita perlu kembali kepada agama, Agama Islam lah. Pegangan agama asas yang kukuh untuk menghidari maksiat.
Tentang perundangan, beliau menyentuh undang-undang di Malaysia bersumberkan undang-undang dari India iaitu Indian Panel Code. Sumber asalnya tentunya dari penjajah British. Cuba kamu nilai secara kritis hal ini dengan apa yang kamu tahu dan belajar dalam Sejarah 1 dan Sejarah 2.
Saya juga nak ucap tahniah kepada rakan-rakan yang dapat HPG RM 1000. Kakak mek Asma, Cikgu Norhayana juga dapat. Ada lapan orang semuanya. Tahniah !! Saya lama dapat dah .....2 kali beb !!
OK, saya nak sambung sedikit lagi kerja saya. Saya mohon mencadang.....( itu dalam parlimen ).

Monday, April 21, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 2003 )

BANDINGKAN DASAR PEMERINTAHAN KHULAFA AR – RASHIDIN DENGAN PEMERINTAHAN BANI UMAIYYAH.

A. PENGENALAN ( 3 MARKAH ).

1. LATARBELAKANG KHULAFA AR – RASHIDIN.
Terdiri daripada empat orang Khalifah selepas kewafatan Rasulullah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

2. LATAR BELAKANG KERAJAAN BANI UMAIYYAH.
Kerajaan Bani Umaiyyah diasaskan oleh Muawiyyah bin Abu Sufyan pada tahun 41 Hijrah. Nama Umaiyyah diambil sempena dengan nama pembesar Quraisy iaitu Umaiyyah bin Abd. Manaf. Kerajaan Umaiyyah memerintah selama 91 tahun oleh dua keturunan, iaitu keturunan Harb Bin Umaiyyah dan keturunan Abu al – As.

B. ISI – ISI PENTING ( 5 ISI x 4 MARKAH = 20 MARKAH ).

1. PERLANTIKAN KHALIFAH.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Adalah hak untuk semua kaum muslimin. Jawatan tidak diwarisi sebaliknya dilantik dan mendapat persetujuan masyarakat Islam. Khalifah Umar dilantik melalui wasiat Abu Bakar dan Khalifah Uthman dilantik melalui penubuhan Majlis Syura.

b. Bani Umaiyyah.
Diwarisi secara keturunan, pemerintah mereka terdiri daripada kalangan keluarga Bani Umaiyyah. Khalifah melantik Putera Mahkota untuk mewarisi jawatan ketua Negara. Contohnya Muawiyyah telah melantik Yazid sebagai penggantinya dan Abdul Malik melantik al – Walid dan Sulaiman sebagai Putera Mahkota. Pelantikan dua orang putera mahkota menyebabkan berlakunya pergaduhan merebut kuasa.

2. DASAR PEMERINTAHAN.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Al – Quraan dan sunnah menjadi asas corak pemerintahan Khalifah mengutamakan kebajikan dan keadilan semua rakyat. Majlis Syura memainkan peranan penting dalam melaksanakan pentadbiran negara.
b. Bani Umaiyyah.
Mengamalkan pemerintahan bercorak monarki yang mengutamakan dan menjaga kepentingan serta kedudukan pemerintah sehingga kepentingan rakyat diabaikan. Sebahagian khalifah menjalankan dasar pilih kasih dengan mengutamakan keluarga Bani Umaiyyah. Kelemahan Khalifah menyebabkan gabenor di beberapa wilayah menyalah gunakan kuasa, mengumpul kekayaan dan mengamalkan rasuah.

3. POLISI TERHADAP RAKYAT.

a. Khulafa Ar – Rashidin.
Semua rakyat dipandang sama tanpa mengira kaum dan kedudukan. Bagi mereka mendapat layanan yang sama dari segi keadilan, sosial dan ekonomi. Bagi mengelakkan berlaku penindasan ke atas penduduk di wilayah seperti Iraq dan Mesir, Umar menyusun semula dasar pemilikan tanah. Orang bukan Islam yang mendapat perlindungan politik pemerintah Islam dikenakan cukai jizyah yang tidak membebankan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Kebanyakkan Khalifah menjalankan polisi baru iaitu membezakan orang Arab dengan bukan Arab. Orang bukan Arab terutamanya Bani Umaiyyah mendapat keistimewaan. Golongan Islam bukan Arab ( Mawali ) seperti orang Parsi tidak dibenarkan memegang jawatan penting dan masih dikenakan cukai jizyah. Ini menyebabkan mereka bekerjasama dengan bani Abbasiyyah mengadakan gerakan sulit menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

4. POLISI PROTOKOL KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Khalifah tidak mempunyai hak istimewa dari sudut undang – undang. Hubungan khalifah dengan rakyat terjalin dengan baik. Rakyat boleh bertemu dengan khalifah dan mengadu tentang masalah mereka dan penyelewengan pegawai – pegawai.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pentadbiran Kerajaan bani Umaiyyah banyak dipengaruhi oleh kerajaan Rom, Khalifah mengutamakan kepentingan dan kedudukan pemerintah. Khalifah mewujudkan protokol yang menyebabkan rakyat terpisah. Khalifah dikawal rapi oleh pengawal peribadi. Khalifah tinggal di istana dan kekayaan negara digunakan untuk kemewahan pemerintah dan keluarganya.


5. PERLANTIKAN DAN/ ATAU KEDUDUKAN PEGAWAI KERAJAAN.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Pegawai kerajaan seperti gabenor dan panglima tentera dilantik daripada mereka yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di zaman Khalifah Umar baginda telah memeriksa semua harta benda kakitangan kerajaan sebelum dan setelah dilantik bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah. Rakyat boleh mengadu tentang penyelewengan pegawai kerajaan.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Pegawai tinggi kerajaan dan tentera dilantik di kalangan keluarga Bani Umaiyyah dan golongan yang menyokong mereka. Pegawai yang dicurigai dipecat atau dihukum bunuh. Contohnya panglima Muhammad Ibnu Qassim dibunuh oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.

6. DASAR PERLUASAN KUASA.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Dasar perluasan kuasa wilayah di zaman ini adalah bertujuan untuk melemahkan kedudukan politik Rom dan Parsi yang menjajah dan menceroboh wilayah tanah Arab. Contohnya perluasan kuasa Khalifah Umar ke atas Mesir ialah untuk menamatkan kekuasaan Rom yang kejam dan membebaskan rakyat tempatan (Qibti). Kedatangan tentera Islam mendapat sokongan rakyat tempatan.

b. Zaman Kerajaan bani Umaiyyah.
Dasar perluasan wilayah di zaman bani Umaiyyah terutama di zaman Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dan al – Walid merupakan usaha untuk bersaing menunjukkan kehandalan dan kekayaan mereka. Contohnya Abdul Malik bin Marwan melancarkan gerakan tentera ke Kabul pada tahun 691H kerana Raja Kabul enggan membayar ufti tahunan. Dasar perluasan wilayah di zaman Bani Umaiyyah diperluaskan hingga ke sempadan China, India dan Sepanyol.

7. TINDAKAN KEPADA GOLONGAN YANG MENENTANG KHALIFAH.

a. Zaman Khulafa Ar – Rashidin.
Bagi menghadapi golongan ar – Riddah, iaitu golongan yang tidak mahu membayar zakat dan kemunculan nabi palsu, khalifah ar – Rashidin menghantar utusan memberi penerangan dan meminta mereka kembali kepada ajaran Islam. Tindakan ketenteraan diambil setelah golongan ini masih enggan menghentikan gerakan mereka. Abu Bakar dan khalifah yang lain memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada golongan yang telah bertaubat dan kembali semula kepada ajaran Islam.

b. Zaman Bani Umaiyyah.
Khalifah Bani Umaiyyah mengambil tindakan untuk menghapuskan gerakan yang menentang kerajaan Bani Umaiyyah terutama ke atas golongan Khawarij dan Syiah. Peristiwa Karbala telah memperlihatkan kekejaman Yazid yang membawa kepada pembunuhan Saidina Hussien. Penindasan dilakukan secara berterusan keatas golongan Khawarij dan Syiah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz sahaja yang berusaha untuk mengadakan perundingan dengan pihak musuh.

8. PERSAMAAN DASAR PEMERINTAHAN.
Persamaan dasar pemerintahan antara Khulafa Ar – Rashidin dan Khalifah bani Umaiyyah seperti berlandaskan dasar pemerintahan Umar Abd. Aziz. Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan Khalifah dari kerajaan Bani Umaiyyah yang berusaha menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam. Ini menyebabkan beliau dikenali oleh ahli sejarah sebagai Khulafa Ar – Rashidin yang ke lima.

9. KEDUDUKAN KHALIFAH SEBAGAI KETUA AGAMA.
Khulafa Ar –Rashidin mempunyai autoriti bidang keagamaan. Di zaman Bani Umaiyyah autoriti itu telah terhakis.

C. KESIMPULAN ( 2 MARKAH ).

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

Sunday, April 20, 2008

Tahniah !

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar 6 Atas yang berjaya mengikuti KBM anjuran KRJ. Jadikan ia sebagai landasan mula atau landasan pengukuhan diri anda. Saya ucapkan selamat mengubah diri menjadi orang baru yang lebih bersemangat, kental dan berhati waja.
Sebagai manusia biasa, saya juga guru biasa. Tak sunyi dari silap dan salah. Ada pandangan saya diterima positif dan tidak kurang yang membantah. Biasalah. Dalam tamadun Islam yang kita belajar pun, Nabi Muhammad ditolak ajarannya oleh sebahagian umat Arab. Saya terlalu kerdil dari perbandingan itu.
Apa pun , setiap kita mempunyai gagasan , idealisme, dan cita-cita tertentu dalam tugas dan perjuangannya. Bagi saya jelas, " Islam is a way of live " dan " Dinul Hayat". Setiap kita adalah da'i ( pendakwah ). Sedapat mungkin saya akan ke arah itu. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran walaupun menyedari saya bukanlah sempurna dan pernah melakukan kesilapan. Memang akan terdapat pertentangan dan konflik antara yang hak/benar dengan yang batil/salah.
Fahami dan perhatikanlah .............
Anak Soleh.................
video

Thursday, April 17, 2008

Kena Bancuh !! Perlu dibancuh !!

Pada pukul 11.20 pagi tadi semua budak 6 Atas diminta berhimpun di bilik gerakan. Wow, macam meeting tergempar je, dalam bilik hawa dingin pulaktu. Dengar khabarnya, kena bancuh lagi! Saya tak tanya kaunselor lagi. Tapi terserempak dengan budak Lela dan Mas, katanya kena bancuh la. Senada dengan apa yang saya selalu nasihat pada kome budak tingkat enam.

Antaranya ada kaitan dengan Program Keindahan Bersamamu, ada yang tak mau hadir. Bila lagi kome nak bangkitkan perasaan semangat jati diri kome yang sedang 'tidur' tu kalau bukan dengan program seperti ini? Kome tak sedar diri kerana tak kenal diri. Kome sebenarnya tak tau sapa kome, apa tugas kome saat ini, masa ini, tahun ini. Kalau sedar pun , dalam mamun,mamai, dan lemah longlai. Kalau pokok kena baja. Kalau kome dibaja guna baja pokok,tentu tumpo. Tapi kome perlu sentuhan hati dan perasaan yang ikhlas. Kome semua kena pegi juga dengan hati yang ikhlas. Baru kome boleh tergerak dan digerakkan untuk membuat perubahan. Ingat, inilah masa untuk membuat perubahan.

Ada yang tak mau pergi dengan alasan yang tak munasabah. Kalau setakat kenduri ke, ziarah keluarga ke, banyak masa lain lagi. Jangan cari alasan seolah-olah kamu sempurna, tak perlu pergi program macam ni. Jangan la buat macam tu, kami sebagai guru lebih tau apa yang perlu untuk kamu semua. Kami boleh agak apa hasil STPM kamu jika kamu berada di tahap sekarang !!

Satu lagi kes masih berkisar soal cinta. Tak mahu ulas dah. Saya dah banyak cakap pasal ini. Tolonglah kamu semua fikir dan fikir.

OK, cukup setakat ini. Jumpa di Program Keindahan Bersamamu.

Peringatan : Kamu semua mesti dapatkan bahan/nota yang saya sediakan. Wajib. Saya akan buat pemeriksaan dalam kelas mulai 25 /4/2008.

Tuesday, April 15, 2008

Marah Sayang !!!!

Pagi tadi semua budak 6 Atas yang tak hadir semalam dipanggil oleh PK Pentadbiran, Pn. Mashitah. Maknanya, sungutan saya dalam blog semalam berasas la. Pn. Mashitah marah sungguh. Sian pulak saya tengok bebudak tu. Tapi kami pikir sebagai seorang guru yang bertanggungjawab kena buat macam tu. Itu bidang kuasa Pn. Mashitah sebagai PK. Harap budak 6 Atas faham. Komen Pn. Mashitah sama dengan saya komen. Tak patut kome buat macam tu, suka datang , tak suka tak datang, itu peraturan mana ? Patutnya pas gi kursus ni, lebih semangat hadapi cabaran dan kesusahan. Bukan susah mana pun. Datang sekolah je.

Tapi ada juga yang menjawab dengan saya, dia berehat pagi sebab petang ada pertandingan. Ini menyerlahkan lagi ke********. Dah ramai cikgu yang bersungut dengan saya tentang budak 6 Atas yang macam ni. Kata mereka,"' mentanglah kami tak ngajo deme, deme eksyen dengan kami, tu baru form six ". Apapun, pendapat ni ada pro dan kontra. Saya hanya minta budak Tingkatan 6 cuba jadi pelajar senior yang lebih 'baik'.

Harap komen-komen saya dilihat dari sudut positif. Janganlah tak mau cakap ngan saya pulak.Marah saya. Tok seh senyum ngan saya. Relax ok...sebab kalau kira nak marah, sayalah orangnya yang patut marah sangat-sangat !

Belajar Terus Belajar. STPM makin dekat.
Jangan main-main, tak berkat.
Doa saya, 5P A semua dapat.
Amin.

Sunday, April 13, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

1. Khalifah Uthman bin Affan adalah seorang khalifah yang lemah dan tidak berwibawa . Berdasarkan pernyataan tersebut , bincangkan tuduhan dan alasan untuk menyangkal tuduhan tersebut.


Pendahuluan.

Uthman bin Affan bin Abi al- As berasal dari keturunan Bani Umayyah iaitu salah satu cabang keturunan Quraisy. Uthman dilahirkan pada tahun ke-6 dalam Tahun Gajah iaitu selepas lima tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W . Beliau ialah salah seorang terawal memeluk Islam dan di gelar ‘ Dzhu al- Nurain(orang yang mempunyai dua cahaya) kerana berkahwin dengan dua puteri Rasulullah iaitu Rugayah dan Ummi Khalthum.
Terpilih sebagai khalifah yang ketiga dan dibai’ah , pada bulan Zulhijjah pada tahun 2311 dan ditabal menjadi khalifah pada bulan Muharam 24H. Khalifah Uthman memerintah selama 12 tahun . Dalam tempoh enam tahun pertama disifatkan zaman keamanan dan kestabilan tetapi enam tahun berikutnya dikenali sebagai zaman kekacauan.
Sewaktu dilantik menjadi khalifah , beliau bersetuju meneruskan dasar pemerintahan Abu Bakar dan Umar tetapi perubahan masyarakat begitu cepat menyebabkan beliau menjadi sasaran tuduhan liar oleh musuh- musuh Islam terhadap Khalifah Uthman yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Khalifah Uthman.

Isi

1. Tuduhan

Mengamalkan dasar nepotisme
.
Khalifah Uthman dituduh bersikap nepotisme atau memihak kepada kaum keluarganya dalam pelantikan jawatan – jawatan seperti Gabenor Mesir yang di pegang oleh Amru bin al – As telah digantikan dengan Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah , saudara angkat khalifah Uthman din Affan.

Alasan

Pelantikan pegawai dan gabenor yang dibuat oleh Khalifah Uthman di kalangan keluarganya berdasarkan kebolehan dan kepimpinan mereka . Selain Abdullah , Al – Walid bin Uqbah bin Sa’id bin al – As , Gabenor Kufah , Abdullah Bin Amir , Gabenor Basrah dan Marwan Bin Al – Hakam , setiausaha negara ; mereka ini adalah sepupu Uthman. Khalifah Uthman melantik keluarganya menjadi pegawai kerajaan dan ada juga kewajaran kerana mereka boleh dipercayai. Pada zaman pemerintahan Khulafa al- Rasyidin , kerajaan pusat tidak mengamalkan dasar pemusatan kuasa seperti zaman Bani Umayyah. Banyak perkara pentadbiran diperingkat wilayah diselesaikan oleh gabenor di wilayah tersebut tanpa merujuk kepada khalifah . Tambahan pula usia khalifah Uthman telah lanjut tentulah memerlukan gabenor yang boleh di percayai untuk mengelakkan banyak masalah yang timbul. Sekiranya mereka gagal menunjukkan contoh yang baik atau ciri – ciri kepimpinan yang berkualiti mereka akan dipecat seperti yang berlaku ke atas al – Walid. Seandainya Uthman bersifat taasub kepada kaum keluarganya tentulah beliau menghalang pemecatan al – Walid kerana beliau mempunyai kuasa untuk tujuan tersebut.

2. Tuduhan

Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah
, saudara angkat khalifah Uthman din Affan dituduh sebagai gabenor yang tidak adil kerana memberi keistimewaan kepada pihak tentera, khususnya tentera yang baru berkhidmat di Mesir. Beliau juga dituduh bersikap zalim kerana memaksa penduduk Mesir untuk membayar cukai yang lebih dan tidak membahagikan harta rampasan perang seperti yang dilakukan oleh khalifah- khalifah yang terdahulu, ada juga yang mengungkit sejarah lampau beliau sebagai salah seorang bekas murtad .

Alasan

Tuduhan terhadap Gabenor Mesir iaitu Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah tidak sepatutnya diterima begitu sahaja tanpa mengkaji secara mendalam situasi yang dihadapi oleh beliau ketika itu . Semasa beliau dilantik menjadi gabenor , Mesir menghadapi ancaman tentera laut Byzantine. Untuk menyekat serangan tersebut beliau terpaksa memperkuatkan angkatan tentera laut . Angkatan tentera laut baru dibina pada zaman pemerintahan Uthman . Pembinaan angkatan tentera laut memerlukan perbelanjaan yang besar. Tindakan beliau tidak mengagihkan harta rampasan perang juga mempunyai tujuan yang sama. Tambahan pula kedudukan ekonomi lembab berbanding masa pemerintahan Umar al – Khattab. Khalifah Uthman juga terpaksa mengenakan kadar cukai yang tinggi di kalangan rakyatnya untuk menambah pendapatan negara sekaligus dapat membangun angkatan tentera laut yang memerlukan perbelanjaan yang besar untuk membeli kelengkapan peralatan perang.

3. Tuduhan

Memihak kepada Quraisy dan bekas murtad.

Alasan

Kedudukan Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah sebagai bekas murtad tidak perlu diungkitkan lagi kerana beliau sudah lama bertaubat. Nabi sendiri telah memaafkannya. Pada zaman Abu Bakar kejujuran dan keikhlasan mereka masih diragui tetapi ianya telah hilang pada zaman Umar. Khalifah Uthman melantik ramai di kalangan pegawainya terdiri daripada bekas murtad kerana kebolehan mereka. Misalnya , Asy’ath bin Qais al – Kindi salah seorang ketua kaum murtad yang terdiri daripada suku kaum Kindah , telah dilantik menjadi tentera dan Gabenor Azerbaijan.


4. Tuduhan

Hidup boros dan menggunakan harta Baitul Mal . Khalifah Uthman juga dituduh sebagai khalifah yang boros kerana telah membelanjakan wang yang banyak yang dikatakan diambil dari Baitul Mal. Beliau juga dituduh membelanjakan wang itu untuk diberikan kepada kaum keluarganya. Sebagai contoh beliau memberi kuasa kepada Gabenor Mesir , Abdullah bin Sa’d bin Abi Sarah , menggunakan 1/5 daripada harta rampasan perang di Tripoli . Kesannya , penduduk Mesir marah dan memberontak.

Alasan

Tuduhan Uthman seorang yang boros dan menggunakan harta Baitul Mal adalah palsu kerana beliau terkenal sebagai hartawan dan dermawan. Semenjak zaman Jahilliyah lagi. Pada zaman Rasulullah beliau telah menderma sebanyak 100 unta dan 1000 dinar. Oleh itu, tidak hairan beliau banyak memberi hartanya kepada keluarganya. Beliau juga tidak perlu mengambil wang daripada Baitul Mal kerana beliau seorang yang kaya. Pelantikan beliau sebagai khalifah menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti supaya beliau dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya sebagai seorang khalifah. Oleh kerana beliau tidak mempunyai masa untuk mengurus hartanya beliau telah memberikan harta tersebut kepada kaum keluarganya. Mengenai 1/5 harta rampasan perang yang diberi kepada Abdullah iaitu Gabenor Mesir bukan untuk tujuan peribadi tetapi untuk menampung perbelanjaan tentera laut dan membayar gaji pegawai kerajaan. Tambahan pula, Khalifah mempunyai hak untuk mendapatkan 1/5 daripada harta rampasan perang seperti yang terdapat dalam al – Quran surah al- Anfal bagi kegunaan awam.


5. Tuduhan

Membenarkan sahabat memiliki harta di Iraq . Uthman dituduh memberi tanah dan ladang kepada para sahabat dan ketua – ketua kabilah. Tanah tersebut dikenali sebagai tanah Sawafi iaitu tanah yang tiada bertuan yang dahulunya diuruskan oleh golongan Ahl al- Ayyam. Beliau juga dituduh membenarkan para sahabat nabi berhijrah keluar daripada Hijjaz.

Alasan

Pada zaman Khalifah Umar bin Al- Khatab tanah – tanah Sawafi di tadbir oleh golongan Ahl al – Ayyam iaitu masyarakat Islam yang menyertai ekspedisi ketenteraan di Iraq. Mereka terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan bekas murtad. Pada zaman Uthman sahabat – sahabat Rasulullah di beri peluang mendapatkan saham mereka melalui penyertaan mereka dalam ekspedisi tersebut iaitu melalui skim pertukaran tanah yang disediakan oleh khalifah. Melalui skim ini sahabat yang memiliki tanah dibenarkan menukar tanah mereka dengan tanah yang terdapat di Iraq. Misalnya, Talhah Bin Ubaidilah merupakan bekas tentera Iraq telah menukarkan tanahnya di Khaibar dengan tanah Sawafi di Nashstaj di Iraq. Mereka yang terlibat dalam skim ini bukan sahaja terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar tetapi juga bekas murtad seperti Asy‘ath bin Qais. Tambahan pula para sahabat mendapat tanah bukan secara percuma tetapi melalui skim pertukaran tanah. Tindakan Said mengisytiharkan tanah Iraq menjadi kepunyaan kaum Quraisy kerana mengenang jasa dan kedudukan kaum Quraisy yang sentiasa dipandang tinggi oleh oleh masyarakat pada masa itu. Dengan mengendalikan tanah-tanah di Iraq mereka dipandang dan dihormati. Sebelum ini hampir semua pemimpin yang dilantik sama ada dalam tentera atau pegawai kerajaan terdiri daripada kaum Quraisy.


6. Tuduhan

Membakar naskah al – Quran . Khalifah Uthman juga di tuduh mencemar kesucian al – Quran kerana bertindak membakar naskah al – Quran.

Alasan

Untuk mewujudkan sebuah al-Quran yang standard dan seragam, Uthman telah melantik sebuah jawatankuasa bagi mengkaji naskhah al-Quran yang ditulis dan disebarkan. Hasil kajian didapati al-Quran ditulis dalam pelbagai loghat tempatan dan tersebar di wilayah-wilayah Islam. Keadaan ini menyulitkan masyarakat Islam. Uthman memutuskan hanya perlu wujud satu bentuk al-Quran sahaja iaitu mengikut loghat Quraisy yang dikenali sebagai Masyaf Uthmani. Lain-lain al-Quran dibakar untuk menjaga kesucian Islam.


Kesimpulan

- Jika dilihat keseluruhan tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas khalifah Uthman kebanyakannya bertumpu kepada sikap dan tindakannya secara kebetulan berketurunan Bani Umayyah. Setiap tindakan dianggap salah oleh musuh-musuh Bani Umayyah.

- Tuduhan yang serupa juga berlaku terhadap Muawiyah dan pemimpin-pemimpin Bani
Umayyah. Keadaan ini berbeza pada zaman Rasulullah dan Abu Bakar kerana
mereka memandang tinggi dengan menghormati kedudukan dan kebolehan kaum
keluarga Bani Umayyah terutama dalam bidang pertabiran. Terbukti ramai di
kalangan mereka dilantik memegang jawatan penting negara pada kedua-dua
zaman tersebut.

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

1. Nabi Muhammad telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik dalam kepimpinan baginda. Bincangkan


Pendahuluan:

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun gajah.
Baginda menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadan (16 Ogos 610M) iaitu surah Al Alaq dan dilantik secara rasmi sebagai nabi ketika berusia 40 tahun 6 bulan.
Baginda telah menjalankan dakwah melalui dua cara iaitu berdakwah secara sulit selama kira-kira tiga tahun dan kemudian dilakukan secara terbuka tetapi mendapat tentangan yang sangat hebat dari orang Musyrikin sehingga baginda berasa sungguh kecewa dan berhijrah ke kota Madinah serta berjaya membina sebuah Negara yang berdaulat dan disegani.
Disifatkan sebagai contoh yang terbaik, berakhlak sebagaimana yang diajar di dalam al Quran. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga seorang pemimpin masyarakat dan Negara yang disegani.

Isi

Kepemimpinan nabi

i. Sebagai pemimpin agama

Mempunyai empat sifat terpuji iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah ( beri contoh untuk setiap sifat terpuji).
Menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia.
Baginda berakhlak mengikut ajaran yang diajar dalam al Quran.
Sebagai seorang pendakwah, nabi menunjukkan sifat – sifat sebenar iaitu lemah lembut, toleransi, tegas dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawanya terutama aspek akidah. Contohnya, baginda tetap bersabar menghadapi tentangan orang Musyrikin sehinggalah kemuncaknya mereka berkomplot untuk membunuh nabi.
Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi dan tidak pernah cuba menunjukkan kuasa – kuasa luar biasa walaupun dianugerahkan pelbagai mukjizat oleh Allah SWT.
Baginda telah menentukan beberapa bidang disiplin bagi menjamin kesejahteraan masyarakat iaitu ibadat (solat, puasa, zakat dan lain-lain), nikah kahwin, jenayah dan ketatanegaraan serta hubungan antarabangsa yang bersumberkan al Quran dan hadis.
Dalam amanat terakhir baginda berpesan supaya umat manusia berpegang kepada al Quran dan hadis

ii. Sebagai pemimpin politik

Mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia iaitu sahifah Madinah.
Kepimpinan baginda telah terserlah sebelum kerasulan baginda lagi apabila berjaya menyelesaikan pertelingkahan antara ketua – ketua suku Arab Mekah yang hampir menumpahkan darah iaitu meletakkan semula batu hitam atau Hajarul aswad dipenjuru Kaabah.
Mendamaikan pertelingkahan antara suku Aus dan Khazraj Arab Madinah melalui perjanjian Aqabah satu dan dua.
Diiktiraf menjadi ketua Negara Islam Madinah melalui Sahifah Madinah.
Mengadakan hubungan diplomatik. Contohnya menghantar perwakilan Islam ke Habsyah dan Mesir.
Memperkenalkan sistem Syura ( permesyuaratan) untuk membuat keputusan dalam semua bidang secara kolektif.

iii. Sebagai pemimpin tentera

Menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan.
Menjadi pemimpin dalam 27 ekspedisi ketenteraan ( Ghazwah) yang disertai oleh baginda.
Akidah , syariat dan akhlak yang mulia menjadi asas dalam kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan.
Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.
Mengamalkan sifat amanah dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.
Sentiasa adil kepada kawan sama ada kawan atau musuh. Contohnya membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada kawan – kawan yang menyertai peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh yang sudah lari dari medan perang atau kaum – kaum yang lemah.
Berjaya merangka taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera Islam.
Memperkenalkan etika peperangan dalam Islam iaitu:
× Mematuhi perintah Allah serta menuntut keredhaannya
× Memberi pilihan sebelum berperang iaitu masuk Islam, bayar Jizyah dan berperang
× Tentera Islam dilarang bertindak kejam terhadap tawanan perang, musuh yang telah mati.
× Tentera Islam dilarang memerangi kanak- kanak, kaum wanita dan orang tua.
× Tentera Islam dilarang memerangi orang yang sedang beribadat dan orang awam.
× Tentera Islam dilarang mengejar musuh yang telah lari.
× Tentera Islam dilarang memusnahkan harta benda dan tanaman awam.
× Berhenti berperang sekiranya musuh minta berdamai.
× Patuh kepada ketua.
× Tidak boleh lari dari medan peperangan.
× Dibolehkan melakukan tipu muslihat dalam peperangan.

iv. Sebagai pemimpin masyarakat

Berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.
Menyatukan umat Islam melalui persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar berdasarkan konsep ukhuwah Islamiyah dan bantu membantu kea rah kebaikan.
Berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.
Persamaan taraf antara lelaki dan perempuan kecuali takwa.
Menaikkan taraf wanita .
Menghapuskan batas – batas perbezaan kaum melalui konsep Ummah contohnya menyatukan orang Muhajirin, Ansar dan Yahudi ( diperingkat awal tetapi akhirnya Yahudi disingkirkan kerana melanggar Sahifah Madinah ).
Kebebasan beragama kepada semua penduduk Madinah dan mengamalkan adat masing –masing.
Ketua – ketua suku diberikan peranan masing – masing menyelesaikan masalah anggota suku masing – masing contohnya Sa’d bin Ubadah , ketua suku Khazraj dan Sa’d bin Muadz, ketua suku Aus untuk menjalankan penyiasatan. Setelah terbukti kesalahan bani Quraizah, Sa’d bin Muadz untuk menentukan hukuman kerana beliau lebih arif mengenai kedudukan bani Quraizah

v. Sebagai ketua hakim

Menjalankan kewajipan sebagai ketua hakim yang adil dan saksama.
Menunjukkan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh mana hakim.
Contoh: ketegasan baginda dipaparkan apabila baginda menegaskan bahawa hukuman memotong tangan terhadap pencuri akan dilaksanakan walaupun pencuri tersebut adalah Fatimah anak yang paling baginda sayangi.

vi. Sebagai perancang ekonomi

Memperkenalkan dasar ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliyyah dan menggalakkan umat Islam bekerja keras serta bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian.
Berusaha membangunkan ekonomi umat Islam yang tergadai kepada orang Yahudi.

Kesimpulan:

Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mempunyai ketokohan dari aspek kepimpinan baginda sebagai nabi dan rasul tetapi baginda juga sangat berkaliber dari aspek politik, sosial, ekonomi dan pertahanan.Kepimpinan Nabi Muhammad SAW telah membawa masyarakat Islam kepada kehidupan yang lebih baik dan teratur

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

1. Huraikan pembaharuan pembaharuan dalam sistem pentadbiran Islam pada zaman Umar Al-Khattab.

Pendahuluan
§ Latar belakang Saidina Umar Al-Khattab - Khalifah ke-2 zaman Khulafa Al-Rashidin.
§ Terkenal seorang yang berani, warak, dan mempunyai siasah politik yang baik.
§ Dikenali sebagai Al-Farouk/Amir al-Mukminin .Sahabat baik Nabi Muhammad s.a.w.
§ Memerintah selama 10 tahun dari 13- 23H.
§ Pelantikan sebagai khalifah telah dicalonkan oleh Abu Bakar dan dipersetujui oleh umat Islam.
§ Melakukan banyak pembaharuan dalam pentadbiran Islam dan perluasan wilayah Islam serta mengembangkan dakwah Islamiah.
§ Zamannya berlaku kegemilangan Islam ( Dalam bidang politik, ekonomi , sosial dan agama )
§ Meninggal dunia pada 23H.

Isi

Pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab.

1. Sistem Syura.

§ Majlis syura berperanan sebagai tempat perbincangan masalah yang berhubung dengan politik, ekonomi, social dan kebajikan serta masalah dalaman/ luar Negara.
§ Keputusan diambil atas persetujuan sebulat suara ahli majlis syura yang terdiri daripada para sahabat.
§ Membahagikan majlis syura kepada 2 jenis, iaitu Majlis Syura Tinggi dan Majlis Syura Am.
§ Bagi hal-hal yang kurang penting khalifah Umar mengadakan perbincangan di Masjid

2. Perluasan wilayah Islam

§ Islam berkembang melalui proses penaklukan / perluasan kuasa.
§ Kawasan pengaruh Islam meliputi Hijaz, Syria, Iran, Iraq, Mesir, Palestin.
§ Bagi memudahkan pengawasan, pentadbiran wilayah diperkenalkan dan dilengkapi dengan pusat pemerintahan. Contoh Mekah, Damsyik, dan Kufah.
§ Kota Madinah dijadikan pusat pemerintahan keseluruhan wilayah Islam

3. Pelantikan pegawai wilayah.

§ Memperkenalkan jawatan Wali/ Gabenor sebagai ketua pemerintah peringkat wilayah dan bertindak sebagai panglima tentera.
§ Melantik Sahib Bait-Al-Mal yang bertanggung jawab atas perbendaharaan wilayah.
§ Sahib Al-Kharaj berperanan memungut hasil percukaian wilayah Islam.
§ Ketua polis (Sahib Al-Ahdath) untuk mengawasi keamanan.
§ Jawatan Kadi diwujudkan untuk melicinkan sistem kehakiman.
§ Khalifah telah menentukan kriteria pemilihan pegawai yang layak memegang jawatan di wilayah.
§ Surat pelantikan pegawai yang mengandungi garis panduan/ tanggungjawab yang wajib dipatuhi.
§ Setiap Wali/ gabenor wilayah wajib memberikan laporan perkembangan di wilayah setiap tahun selepas musim haji.
§ Rakyat diberi penerangan tentang tanggungjawab pegawai yang dilantik, dan berhak untuk membuat pengaduan kepada khalifah.
§ Khalifah berhak melantik dan memecat pegawai yang tidak amanah/ tidak cekap melaksanakan tugas.

4. Pengurusan tanah.

§ Setiap wilayah Islam diperkenalkan undang-undang pengurusan tanah tersendiri, - Di Iraq tanah menjadi hak milik kerajaan contoh:
- Tanah yang asalnya dimiliki oleh pemerintahan Parsi.
- Tanah yang tiada waris.
- Tanah yang pemiliknya melarikan diri apabila kawasannya ditakluki oleh tentera Islam.
§ Hasil pungutan tanah digunakan oleh pemerintah Islam untuk membangunkan wilayah masing-masing.
§ Undang-undang pengurusan tanah di Syria dan Mesir memperuntukkan tanah yang dimiliki oleh golongan bangsawan dan pemerintah Rom diserahkan kepada petani.
§ Tentera Islam dan orang Islam tidak dibenarkan mengambil tanah di wilayah Islam ini kecuali jika dibeli untuk melindungi kebajikan penduduk asal wilayah Islam yang baru ditakluki.

5. Sistem percukaian tanah dan tanaman

§ Memperkenalkan sistem percukaian tanah berdasarkan jenis tanaman. Contoh:
§ Gandum dikenakan cukai= 2 dirham, Barli=1dirham, Anggur =10 dirham.
§ Tanah yang subur dikenakan cukai yang lebih tinggi berbanding dengan tanah yang kurang subur

6. Memajukan sektor pertanian

§ Memperkenalkan peraturan yang membenarkan rakyat memiliki tanah sekiranya mereka meneroka tanah baru untuk tujuan pertanian.
§ Tanah yang dibiarkan tanpa diusahakan dalam tempoh 3 tahun akan menjadi milik kerajaan semula.
§ Bagi menggalakkan pertanian sistem pengairan dan terusan telah dibina –dikenali terusan Amirul-Mukminin di Mesir dan empangan Abu Musa.

7. Struktur pentadbiran ketenteraan.

§ Memperkenalkan pasukan tentera tetap dan sukarela.
§ Pasukan tentera tetap dibayar gaji- Mereka tidak dibenarkan melibatkan diri dalam kegiatan sampingan seperti bertani bagi mengelakkan gangguan tumpuan terhadap tugas.
§ Tentera tetap diberi latihan intensif. Contoh - Berjalan tanpa pengalas kaki, menunggang kuda dan memanah.
§ Setiap tentera direkodkan nama dan nombor pendaftaran.
§ Pusat ketenteraan ditubuhkan, di Bandar-bandar utama seperti Madinah, Kufah, Basrah, Fustat dan Hims.
§ Membina kubu-kubu pertahanan sebagai langkah berjaga-jaga.

8. Kehakiman

§ Menetapkan syarat-syarat pelantikan kadi atau hakim yang ketat. Seperti berilmu, berperibadi tinggi, dikenali oleh masyarakat.
§ Jabatan kehakiman ditubuhkan dan dipisahkan dari Jabatan lain untuk menjamin keadilan.
§ Prinsip kehakiman berlandaskan syariat Islam.
§ Gaji Kadi/ hakim dibayar tinggi (500 dirham sebulan) untuk mengelakkan berlaku tidak adil.
§ Kadi/ hakim tidak digalakkan untuk terdedah kepada umum seperti di pasar atau tempat tumpuan ramai bagi menjamin keadilan perundangan.

Kesimpulan

§ Pelaksanaan dan kejayaan dalam pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh khalifah Umar berkaitan dengan asas yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan khalifah Abu Bakar. Khalifah Umar telah memperkenalkan sistem pemerintahan Islam secara meluas di samping membentuk empayar Islam.

Thursday, April 10, 2008

Penyakit Malas ? Cikgu Merajuk ? Murid Bercinta ?

Ada beberapa insiden berlaku hari ini.
Pertama, seperti biasa ramai budak menengah rendah yang ponteng dan memonteng kat 'Kolej Perhutanan Malaysia' , Bota. Tak taulah apa nak jadi. Menipu mak bapak dan berpura-pura datang ke sekolah.
Kedua, semasa saya masuk kelas 6 AH, bila nak mula pembentangan, rupanya ' puak-puak' budak laki tu tak siapkan bahan. Saya tenang je. Cuma dah buat perjanjian, jika tak siap bahan, saya akan keluar kelas . Saya masih rasional. Saya bukan merajuk macam budak kecik, atau merajuk macam kome budak sekolah bercinta. Saya tak tau sama ada si Azmir, Fendi dan Jamal serta semua bebudak 6 Hanafi faham mesej yang saya cuba sampaikan. Kabarnya, kata Cikgu Suhana ada beberapa budak 6 Hanafi cari saya lepas tu, tapi kebetulan saya tak ada di bilik guru. Ada hal lain . Yang saya nak awak semua faham, saya nakkan kesungguhan buat kerja. Bukan main-main. Saya tak suka main-main. Saya ada target untuk awak semua. Tapi tiga budak lelaki tu macam tak faham. Tak jumpa saya pun sampailah habis waktu sekolah. Dengarnya tak mau jumpa pun, hinggalah Adnin katanya yang cuba cari saya.
Kalau dalam belajar, tok guru saya selalu pesan, kita kena cari redha guru kita. Kalau tak, ia akan jadi hijab dan tak berkat. Moral ceritanya, dari apa yang berlaku, masih ada yang reti nak hormat guru. Hormat bukan ucap salam je. Buat mudah dan 'cincai'. Tidak menganggap penting tugasan yang diberikan. Suka cari pelbagai alasan. Bahkan orang jenis inilah juga akan cincai dalam pelajaran !!!! Kamu semua juga yang akan kecewa nanti.
Ingat, Janganlah ulangi perkara seperti ini lagi.
Ketiganya, tak lama lepas turun dari kelas 6 AM, saya dikejutkan pula dengan kenyataan seorang guru bahawa ramai budak 6 Atas bercinta. Iye ke ? Atau seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit. Katanya ketiga-tiga kelas pun sama je. Berita ini juga membuatkan saya jadi sakit hati. Saya dah cakap berapi-api dalam kelas tentang perkara ini. Dah terangkan banyak buruk dari baik. Ramai pelajar sebelum ini yang terlibat dengan cinta monyet ini hanyut keputusan STPMnya. Mengecewakan. Takkan kamu nak macam tu juga ? Kata cikgu tu lagi, ramai yang 'dating' diluar sebab pasangan orang luar/bukan pelajar sekolah ini. Ada dating kat pusat Tuntung. Ada dating waktu hujung minggu. Main SMS. Betul ke ??
Jika ya, saya agak kesal. Kamu buang masa sia-sia je . Bukan saya saja yang tak suka perkara ni, malah cikgu lain seperti Cikgu Kamariah pun ada cakap benda yang sama pada budak 6 Atas. Kamu semua akan hanyut dengan perasaan sebab jarang yang boleh control. Takkan kamu tak teringin nak tebus kekecewaan masa SPM dulu ?? Kalau gitu, jangan tempah maut kali kedua. OK, saya akan cari siapa mereka ini. Saya akan tengok dan analisa keputusan peperiksaannya. Jika perlu, bawa jumpa pengetua dan panggil mak ayah. Kalau dah tak nak sekolah betul-betul, suruh kahwin je !!!!!!!!
Apa pun, kepada mereka yang tak ada kaitan dengan apa yang saya bicarakan di atas, saya ucapkan syabas kepada kamu. Teruskan usaha. Kuatkan tekad. Jangan campur aduk dengan perkara tak berguna ni. Tak ada berkatnya. Andalah harapan sekolah.

Wednesday, April 9, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 1998 )

1. Huraikan sejarah perkembangan Islam di Madinah, dan jelaskan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w menyatukan pelbagai golongan masyarakat yang berada di kota Tersebut.

A. PENDAHULUAN
.

Madinah adalah sebuah negara kota di Hijzah yang dikenali dengan nama Yathrib sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w. Kota ini terletak di antara Yaman di Selatan dan Syam di Utara, di kawasan oasis yang subur. Jaraknya lebih kurang 200 batu di sebelah utara Kota Makkah.

Penduduk Madinah terdiri daripada beberapa suku kaum Arab dan bukan Arab. Penduduk utama di kota ini adalah suku Arab, Aus dan Khazraj yang tinggal di bahagian selatan. Antara suku kaum bukan Arab iaitu Yahudi yang terdiri daripada bani Quraizah, Banid Nadhir, bani Qainuqa dan lain – lain lagi yang menduduki di sebelah utara Kota ini.

B. SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI MADINAH.

1. Pertentangan antara Aus dan Khazraj telah membawa kepada perang Bu’ath yang telah mengorbankan jiwa yang banyak. Kedua – dua suku kaum ini sangat memerlukan kepada seseorang tokoh yang berwibawa untuk menyelesaikan masalah perselisihan antara mereka. Perbalahan ini telah melemahkan kuasa politik mereka dan ekonomi mereka di Madinah.

2. Pertelagahan antara Kaum Arab ini telah diambil kesempatan oleh orang – orang Yahudi untuk menguasai politik dan ekonomi mereka.

3. Penduduk Madinah lebih berminat kepada agama monoteisme dari penduduk Makkah. Kebangkitan Nabi akhir zaman telah diramalkan oleh pendeta – pendeta Yahudi sebagaimana yang tercatat di dalam kitab – kitab mereka. Mereka berkeyakinan bahawa Nabi itu akan dilahirkan di kalangan bangsa mereka, tetapi ramalan mereka tidak tepat. Nabi akhir zaman telah dibangkitkan dari keturunan Arab, iaitu nabi Muhammad s.a.w.

4. Pada mulanya, suku Aus dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk mencari jalan menyelesaikan pertelagahan tradisi antara sesama mereka. Tetapi setelah wakil kedua – dua pihak bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w di Makkah dan telah melahirkan Persetiaan Aqabah I ( 621 M ) dan persetiaan Aqabah II ( 622 M ) tujuan asalnya mereka telah berubah.

5. Persetiaan Aqabah II telah membuka jalan kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w dan umat Islam sebagai rasul, pemimpin, tokoh perpaduan dan ketua tentera dan negara di negara – negara kota Madinah.

C. Langkah Menyatukan Pelbagai Golongan masyarakat

1. Penyatuan penduduk Islam Madinah telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w seperti berikut:

1.1 Penyatuan antara golongan Ansar ( penduduk Madinah ) dan Muhajirin ( pendatang Makkah ) adalah diasaskan kepada keimanan, ketaqwaan dan persaudaraan tanpa melihat kepada keturunan, bangsa dan warna kulit. Dasar ini telah menyedarkan kaum Aus dan Khazraj dari meneruskan sikap permusuhan sekian lama mereka. Rasulullah s.a.w juga menjelaskan bahawa semua jenis persengketaan dan perselisihan adalah terhapus setelah mereka menganut Islam. Tiada sesiapa pun sesudah itu boleh menuntut bela atau menuntut hutang.

1.2 Untuk menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi orang – orang Muhajirin, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan orang – orang Muhajirin dengan orang – orang Ansar seperti mempersaudarakan Hamzah bin Abdul Mutalib dengan Zaid bin Harith, Umar bin Al – Khatab dengan Itban bin Malik, Abdul Rahman bin auf dengan Sa’ad al – Rabi’ dan lain – lain lagi. Perhubungan kekeluargaan antara orang Muhajirin dengan Ansar juga dilakukan tanpa mempunyai implikasi persaudaraan nisab ( keturunan ) termasuk hak pusaka, tolong – menolong dan lain – lain.

1.3 Masalah sosial dan ekonomi orang – orang Muhajirin telah diselesaikan kerana orang – orang Ansar yang menolong mereka telah dididik sehingga memiliki keimanan yang kukuh, ketakwaan yang ikhlas dan konsep persaudaraan yang harmoni dan mereka berlumba – lumba menghulurkan sumbangan bantuan kepada orang – orang Muhajirin. Ini termasuk sumbangan yang bersifat wang, makanan, pakaian, ladang pertanian, binatang ternakan, tapak tinggal dan lain – lain lagi.

1.4 Konsep ‘ satu ummah’ sebagai mana tercatat di dalam Piagam Madinah juga telah memperkukuhkan lagi persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Peruntukan Piagam Madinah ini telah mewajibkan kepada setiap penduduk Islam supaya bekerja sama dalam menegakkan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran, tidak boleh membiarkan saudara seagamanya dibebankan dengan hutang, berperang dan membunuh sesama sendiri dan menegah berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi umat Islam.

1.5 Akhirnya orang – orang Muhajirin dan Ansar dapat disatukan dalam satu ‘Ummah’ dalam sebuah negara Islam Madinah dan mereka telah berjaya untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

2. Nabi Muhammad s.a.w telah membuat beberapa langkah yang boleh menjamin keamanan di negara kota itu untuk menghindarkan daripada tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam di Madinah.

2.1 Nabi Muhammad telah memperuntukkan di dalam Piagam Madinah hak – hak golongan Yahudi seperti memberi kebebasan mengamalkan upacara dan ibadat agama mereka, kebebasan di dalam kegiatan ekonomi, sosial, adat istiadat mereka dan mereka pula diminta supaya bersedia untuk mempertahankan keselamatan Madinah dari ancaman musuh. Di sebaliknya, mereka pula meminta jasa bik Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan masalah – masalah yang dihadapi oleh mereka. Di dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama.

2.2 Golongan – golongan Yahudi ini hanya mematuhi Piagam Madinah pada peringkat permulaan sahaja. Selepas itu mereka mengingkarinya, seperti telah dirancang terlebih dahulu kerana tindakan mereka berdasarkan komposisi di dalam golongan Yahudi yang terdiri daripada Bani Qainuqa, bani Nadir dan bani Quraizah.

2.3 Bani Qainuqa telah menghina Piagam Madinah dengan mempersendakan kemenangan Rasulullah s.a.w dan pengikutnya dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun ke – 2 Hijrah. Mereka tidak mematuhi amaran Rasulullah s.a.w supaya menjaga kedamaian dan keharmonian di Madinah. Seterusnya mereka bertindak mengganggu maruah wanita secara terang – terangan. Sehubungan itu Rasulullah telah menghalau mereka keluar dari Kota Madinah ke suatu kawasan berhampiran dengan negeri Syam di utara Semenanjung Tanah Arab.

2.4 Bani Nadir telah melakukan dua kesalahan besar. Pertama, mereka telah mengadakan komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w semasa baginda mengadakan rundingan dengan salah seorang ketua mereka. Baginda terselamat dengan turunnya wahyu dari Allah seperti mana yang tersebut dengan turunnya ayat II, Surah Al – Maidah 15 ). Kedua mereka telah menyokong kaum Quraisy Makkah dalam Perang Uhud. Kesalahan – kesalahan ini merupakan pengingkaran terhadap Perlembagaan Madinah. Dengan arahan Rasullah s.a.w kemudiannya, mereka dikepung oleh tentera Islam selama enam hari. Setelah mereka menyerah kalah, mereka bersetuju meninggalkan kota Madinah.

2.5 Bani Quraizah pula juga mengingkari Piagam madinah dengan menimbulkan masalah besar pada masa berlakunya Perang Khandak ( Ahzab ). Huyai bin Ahtab, pemimpin Bani Nadir yang dihalau keluar dari Madinah telah menghasut pemimpin Bani Quraizah iaitu Ka’ab bin Asad sehingga akhirnya bersetuju membatalkan perjanjiannya dengan Rasulullah s.a.w dan seterusnya memihak kepada tentera Quraisy yang sedang mengepung Madinah. Bani Nadhir tidak mengendahkan amaran Rasulullah s.a.w tentang bahayanya pengkhianatan mereka.

2.6 Setelah Perang Khandak ( Ahzab ) dimenangi oleh tentera Islam, umat Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah selama 25 Hari. Akhirnya mereka menyerah kalah dan bersetuju melantik Sa’ad bin Muaz pemimpin suku Auz, membuat pengadilan mereka. Sa’ad bin Muaz telah membuat keputusan bahawa harta mereka dirampas, kanak – kanak, orang – orang Tua dan kaum wanita ditawan. Manakala orang lelaki pula dipancung. Hukuman ini setimpal dengan pengingkaran mereka terhadap perjanjian sebelum ini bersama – sama orang – orang Islam. Masalah yang ditimbulkan oleh orang – orang Yahudi ini akhirnya telah dapat diselesaikan oleh Rasulullah s.a.w ke atas mereka.



C. KESIMPULAN:
Setibanya Rasulullah s.a.w di Madinah dari Makkah, beliau terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh beberapa golongan penduduk di Madinah yang tidak senang terhadap kedatangannya. Dengan pimpinan dari Allah s.w.t dan dengan sifat seorang pentadbir yang cekap, pendamai yang dihormati, panglima berakhlak luhur dan pemimpin berwibawa baginda telah dapat menyelesaikan semua masalah berkenaan dengan adil. Akhirnya, baginda telah dapat menyatukan pelbagai kaum dan golongan masyarakat yang ditinggalkan di kota Madinah.

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 1999 )

1. Nabi Muhammad S.A.W Bukan Sahaja Seorang Nabi Dan Rasul Tetapi Juga Seorang Negarawan”. Bincangkan Pernyataan Ini.

A. PENDAHULUAN. ( Nyatakan )

Latar belakang Nabi Muhammad s.a.w
Pengertian nabi dan rasul.
Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w

B. ISI – ISI PENTING. ( Sila buat rujukan. Huraikan setiap isi dengan baik + contoh)

Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang nabi dan rasul
.
Baginda telah diakui sebagai seorang nabi dan Rasul menerusi kitab – kitab suci iaitu Al – Quran, Injil, Zabur dan Taurat dan juga menerusi fakta sejarah. Buhaira, seorang Pendeta Kristian telah menyatakan adanya tanda - tanda kenabian dan kerasulan pada diri Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi seorang pemimpin politik.
Nabi telah dilantik menjadi Hakim bagi menyelesaikan masalah pemindahan Hajar Aswad sewaktu Kaabah dilanda banjir. Setelah itu baginda mengetuai bagi pihak orang Islam Makkah dalam perjanjian Aqabah I dan II sebelum dilantik menjadi ketua negara Islam Madinah.
Membentuk Piagam Madinah dalam pemerintahan.
Membentuk Ummah yang berjaya.

Nabi sebagai perancang ekonomi.
Baginda telah merancang dan melaksanakan beberapa projek – projek ekonomi Madinah termasuk projek pertanian dan perdagangan. Membeli semula kawasan ekonomi yang dikuasai oleh orang Yahudi.

Nabi sebagai pembimbing kehidupan sosial.
Baginda sebagai ketua dalam keluarga dan telah berjaya menyelesaikan masalah persengketaan antara kaum Aus dan Khazraj dan antara kaum Arab dengan Yahudi di Madinah melalui Piagam Madinah.

Nabi sebagai pemimpin tentera yang berjaya.
Di antara kejayaan yang terbesar ialah dalam Perang Badar, Khandak dan pembukaan Kota Makkah.

C. KESIMPULAN:

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

Tuesday, April 8, 2008

Dengarlah Nasihat Saya !

Assalamulaikum wth,

Saya mengharapkan anda sukses selalu. Berdasarkan pemerhatian saya, sebahagian besar pelajar 6 Atas 2008 mempunyai potensi besar untuk SKOR A. Siapa mereka itu ?? Tentulah anda yang sedang membaca blog saya ini. Insyaallah.

Saya masih gusar dengan sikap segelintir pelajar yang masih sikap acuh tak acuh dengan STPM yang bakal mendatang. Ingat, tiada jalan singkat untuk berjaya. Untuk terbang mengapai awan kita perlu sampai dengan kapal terbang. Tapi untuk cermerlang, tidak cukup dengan angan-angan Mat Jenin. Ia perlu diserlahkan dengan usaha yang berterusan.

Untuk berjaya dalam subjek Sejarah STPM , anda tiada jalan singkat. Anda perlu kuasai fakta dan cerita sejarah dengan baik. Selepas itu anda baru layak menjengah soalan dan contoh jawapan. Baca soalan tahun-tahun lepas. Lihat bagaimana kehendak soalan dan jawapan.Jangan baca tebuk-tebuk. Pada tahap sekarang, anda perlu baca semua tema yang kita belajar dengan tekun supaya anda dapat lihat kesinambungan fakta dan idea.

Betul, dalam buku dipisahkan dengan tema dan bab, tetapi hakikatnya setiap tema mempunyai pertalian yang amat rapat. Ingat, baca dengan mata hati, jangan baca secara buta tuli. Jika ada masalah rujuklah guru sejarah anda. Cikgu Rasman, Cikgu Suhana dan Cikgu Amar tentu sedia membantu anda semua. Ayuh !!! Terus Usaha.

Berusaha , Berdoa , Insyaallah Berjaya.

Saya menanti kejayaan anda !!

Saya cabar anda. Buktikan!!!

video

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 2002 )

1. Sahifah Madinah Dianggap Sebagai Perlembagaan Bertulis Yang Pertama Di Zaman Islam. Huraikan Perkara – Perkara Yang Terdapat Dalam Sahifah Madinah.


A. PENGENALAN. ( Nyatakan hal yang berkaitan )

1. Hijrah Nabi Muhammad ke Madinah dan kesannya.

2. Sebelum perlembagaan Madinah diperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w telah mengambil beberapa langkah seperti mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, membina masjid dan mengawal aktiviti penduduk bukan Islam di Madinah.

3. Perlembagaan Madinah mempunyai 47 fasal.

4. Komposisi penduduk Madinah.


B. ISI – ISI PENTING. ( Hurai dengan baik setiap isi dan beri contoh yang sesuai ) - Sila Rujuk buku dan tambah huraian isi sendiri.

1. Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin. Dalam perkara pertama Piagam Madinah, semua rakyat Madinah hendaklah menerima kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w Penduduk Islam menerima Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin agama dan ketua negara. Nabi juga menjadi tempat rujukan sekiranya terdapat sebarang masalah.

2. Konsep ummah. Seluruh penduduk di Madinah sama ada Muslim atau non – muslim disatukan di bawah konsep ummah. Hal ini disebutkan dalam perkara kedua perlembagaan itu.

3. Kebebasan beragama. Sebagai sebuah negara yang bebas, rakyat juga diberikan kebebasan menganut agama masing – masing. Kebebasan ini telah dijamin oleh Al – Quran yang bermaksud “Tiada paksaan dalam agama”

Melalui ayat ini orang – orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Sungguhpun demikian Nabi sentiasa menggalakkan umat Islam memberikan contoh yang terbaik sehingga mereka tertarik dengan orang Islam dan menganuti Islam.

4. Kewajipan mempertahankan negara. Oleh kerana penduduk Madinah terdiri daripada Islam dan bukan Islam, Nabi Muhammad telah mengikat mereka dengan perjanjian ini bahawa semua hendaklah mempertahankan kota Madinah jika diserang oleh pihak musuh. Dengan kenyataan ini membuktikan bahawa orang bukan Islam hendaklah bersama dengan negara untuk mempertahankan keselamatan negara dari dicerobohi oleh musuh Islam dan negara.

5. Keselamatan penduduk Madinah dipelihara selagi mereka taat kepada perundangan negara.

6. Kerjasama dan sikap tolong menolong sesama warga Madinah diwajibkan.

7. Al – Quran dan hadis sebagai sumber perundangan dan rujukan utama.

C. KESIMPULAN:

Apa – apa sahaja yang berkaitan.

Monday, April 7, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 2000 )

1. Huraikan Sistem Pemerintahan Negara Islam Madinah Pada Zaman Nabi
Muhammad S.A.W.

A. PENGENALAN:

1. Nabi Muhammad s.a.w dalam keluarga ternama masyarakat Quraisy iaitu keturunan Bani Hashim.

2. Setelah baginda dilantik menjadi Rasulullah pada 610 Masihi, Nabi Muhammad s.aw mendapat tentangan yang hebat dari masyarakat Quraisy Makkah.

3. Penentangan demi penentangan menyebabkan baginda terpaksa berhijrah ke Madinah seterusnya mengasaskan sistem pemerintahan negara Islam pertama di Madinah.

B. SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA ISLAM MADINAH.( Huraikan isi )

Nabi Muhammad s.a.w telah mendirikan sebuah kerajaan Islam di Madinah dengan membuat beberapa dasar penting antaranya:

a. Membentuk Sistem Pentadbiran Islam berasaskan kepada empat perkara
iaitu:

1. Menghapuskan semangat Assabiyyah dan menggantikan dengan semangat ummah mengikut akidah Islam.
2. Menjadikan Islam sebagai landasan undang – undang dan peraturan dalam hidup bermasyarakat.
3. Menjadikan kaedah bermusyawarah sebagai kaedah berkesan dalam pentadbiran.
4. Memperkenalkan peraturan bertulis iaitu Piagam Madinah.

b. Pembentukan Ummah.

1. Nabi Muhammad s.a.w telah mengambil langkah awal dengan menyatupadukan umat Islam dan bukan Islam melalui konsep Pembentukan Ummah.
2. Penyatuan antara golongan Ansar dan Muhajirin telah berjaya mengatasi masalah perbezaan dari segi sosial dan ekonomi. Orang Aus dan Khazraj yang bersengketa sekian lama bermusuhan, disatukan setelah mereka memeluk Islam. Setelah itu tiada lagi perkara menuntut bela dan hutang darah seperti mana yang terdapat dalam amalan assabiyyah.
3. Pembentukan ummah di antar golongan Ansar dan Muhajirin telah berjaya menghapuskan perbezaan antara dua golongan sebaliknya dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

c. Mewujudkan Piagam Madinah.

1. Piagam Madinah yang diperkenalkan oleh Nabi Muhamamd s.a.w dilaksanakan kepada penduduk Madinah di mana undang – undang ini merupakan peraturan dan undang – undang yang tertinggi di Madinah.

2. Piagam Madinah menekankan pengiktirafan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang perlu dipatuhi dan dihormati. Baginda mempunyai kuasa memutuskan dasar – dasar negara Islam dan menyelesaikan masalah – masalah yang timbul.

3. Piagam Madinah menjadikan kota Madinah aman dan selamat kerana keselamatan penduduk adalah terjamin dan mereka bertanggungjawab mempertahankan negara Madinah daripada serangan musuh luar.


d. Kaedah Musyawarah Dalam Pentadbiran.

1. Baginda berjaya memperkenalkan sistem Syura ( Musyawarah ) dalam semua bidang terutamanya bidang politik dan ekonomi.

2. Baginda mengamalkan prinsip musyawarah semasa melakukan pengadilan terhadap tawanan Yahudi bani Quraizah semasa perang. Baginda tidak menunjukkan permusuhan dengan kaum Yahudi sebaliknya mengadakan perundingan demi perundingan dan memulangkan harta benda yang ditawan daripada pihak musuh semasa perang.

3. Baginda juga menjalankan musyawarah semasa mewujudkan persaudaraan antara golongan Ansar dan golongan Muhajirin dan juga mendamaikan permusuhan antara suku Aus dan Khazraj penduduk asal Madinah.

4. Nabi Muhammad s.a.w juga mengadakan musyawarah dengan para sahabat semasa menghadapi tentera Musyrikin Makkah bagaimana umat Islam dapat menghadapi serangan orang – orang Quraisy.

e. Membina Angkatan Tentera Islam.

1. Sebanyak 74 ekspedisi ketenteraan berlaku di zaman Nabi Muhammad s.a.w semasa memerintah Madinah. Pembentukan angkatan tentera Islam adalah bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada ancaman terutamanya dari kaum musyrikin.

2. Ekspedisi ketenteraan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w terbahagi kepada, pertama disertai oleh Nabi Muhammad yang dipanggil ‘ghazwah’ dan kedua ekspedisi ketenteraan yang tidak disertai oleh Nabi Muhammad dikenali sebagai ‘sariyah’ Nabi Muhammad s.a.w telah menyertai sebanyak 27 kali ekspedisi ketenteraan.

3. Pembentukan angkatan tentera Islam telah membolehkan umat Islam Madinah menghadapi serangan orang Musyrikin dalam beberapa siri peperangan menghadapi serangan orang Musyrikin Makkah dalam beberapa siri peperangan seperti Perang Badar, Uhud dan Khandak.

4. Nabi Muhammad s.a.w telah menjadi pemimpin tentera Islam yang terbaik kerana baginda telah menjadi ketua dan pemimpin angkatan tentera Islam dan beberapa ekspedisi perang.

f. Membina Masjid.

1. Langkah awal sewaktu baginda sampai di Madinah Nabi yang dikenali sebagai Masjid Al – Nabawi yang menjadi tempat beribadat dan pusat penyebaran Islam.

2. Selain fungsi masjid sebagai pusat ibadat, Masjid juga digunakan untuk menyebarkan pendidikan dan ilmu pengetahuan Islam. Masjid Al – Nabawi juga berfungsi sebagai mengajar, membimbing, memberi nasihat kepada orang – orang yang baru menganuti Islam.

C. KESIMPULAN.

1. Sistem pemerintahan Islam di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah merupakan sistem pemerintahan yang terbaik di dunia.

2. Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya mengasaskan sistem pemerintahan Islam di Madinah selain dapat menyebarkan Islam keseluruhan dunia.

Sunday, April 6, 2008

TEMA 2 : PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN ( STPM 1998 )

1. Piagam Madinah Merupakan Piagam Bertulis Yang Pertama Di Dunia. Berikan Huraian Berhubung Dengan Kandungan Dan Kepentingan Piagam Tersebut.

A. PENDAHULUAN.

1. Pada masa ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khazraj digelar sebagai Ansar ( Golongan Penolong ) dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin ( golongan Pendatang ). Orang – orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.

Orang – orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang – orang Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasulullah s.a.w dan pengikutnya. Orang – orang Munafik perlu menjadi musuh dalam selimut. Di samping itu pula orang – orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang – orang Islam.

Untuk menenteramkan keadaan gawat di Madinah, Rasulullah s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al – Madinah.

B. ISI – ISI PENTING:

Huraian mengenai Piagam Madinah.

1. Piagam Madinah berbeza dari tulisan – tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang – undang tertinggi di Madinah, selain itu Al – Quran, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu. Ia berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi amalan perlembagaan di negara itu. Piagam Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan buku teks untuk kanak – kanak raja. Ia juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Maurya, yang hanya menjadi buku teks pembelajaran untuk anak – anak raja waktu itu;

2. Beberapa aspek utama piagam Madinah ialah:

2.1 Pengakuan terhadap Rasulullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa – apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.

2.2 Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elemen yang tidak baik dari luar.

2.3 Semua penduduk hendaklah bersatu – pada, bekerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa – apa serangan musuh.

2.4 Wahyu sebagai sumber piagam termasuk tradisi .

2.5 Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing – masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.

2.6 Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.

3. Kepentingan Piagam Madinah kerana ia mempunyai beberapa peruntukan berhubung dengan perkara – perkara berikut:

3.1 Penerimaan Rasulullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa – apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah – masalah yang timbul dari masa ke semasa.

3.2 Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum – hukum Islam. Ketua – ketua kaum tetap mempunyai autoriti terhadap kaumnya dan Rasulullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan hukuman terhadap kesalahan – kesalahan di luar bidang kuasa ketua – ketua kaum berkenaan.

3.3 Orang – orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh – musuh Islam.

3.4 Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku – suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.

3.5 Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang – orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah.

3.6 Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang – pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam secara beransur – ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.

3.7 Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.

3.8 Dengan peruntukan piagam ini, orang – orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama – sama dengan orang Islam.

3.9 Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh mengganggu penganut – penganut agama lain.

3.10 Dengan kebebasan beragama ini, orang – orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini memberi peluang kepada orang – orang bukan Islam bergaul dengan orang – orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang – orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang – orang bukan Islam memeluk agama Islam.

3.11 Melalui piagam ini, orang – orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga – tiga perkara ini ditolak oleh orang – orang Yahudi.

3.12 Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana – mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat – beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa’ yang berkomplot dengan orang Arab Quraisy Makkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjasama dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.

C. KESIMPULAN:

1. Piagam Madinah bersifat perkembangan sebenar berbanding dengan tatacara pemerintahan kerajaan purba Greek, China dan India.

2. Piagam Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia.

3. Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad.

4. Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana – mana piagam Islam yang baru, terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang bangsa.
Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH STPM

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.