ENJIN CARIAN BAHAN

Selasa, 11 November 2008

Kerajaan Bani Umaiyyah (Nota)

1.1 Sejarah penubuhan Kerajaan Bani Umaiyyah

Kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik telah jatuh pada tahun 750M. Abdul Rahman al-Dakhil dan kaum keluarga Bani Umaiyyah ditangkap, disiksa dan dibunuh oleh pemerintah Abasiyyah yang baru. Beliau dan khadamnya, Badr, berjaya melarikan diri dari cengkaman kejam pemerintah yang baru. Mereka berdua telah melarikan diri ke Palestin, kemudian ke Mesir dan seterusnya ke kawasan pantai Maghribi pada 755M.

Sesampainya di sana, mereka telah menetap bersama keluarga berbangsa Badar. Pada awal cadangannya, mereka ingin ke Sepanyol untuk mencari pengaruh dan lari dari ancaman yang mereka hadapi. Oleh itu beliau mengutus khadamnya, Badr, ke Sepanyol untuk mendapatkan sokongan. Badr telah berjumpa dengan ketua kumpulan tentera Syria ( Syamiyyin ) dan Badr berjaya meyakinkan pemimpin-pemimpin tentera tersebut. Mereka bersedia menyambut kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil. Badr dan wakil dari Sepanyol iaitu Abdul Ghalib Tamman pulang ke Maghribi untuk memberitahu Abdul Rahman al-Dakhil.

Selepas itu mereka berangkat ke Sepanyol pada bulan September 755M. Pada bulan Mei 756M, Abdul Rahman al-Dakhil dan tentera Syria bertempur dengan tentera suku Qais yang memerintah pada masa itu. Mereka berjaya menewaskan tentera Qais. Selepas itu Andalusia jatuh ke tangan Abdul Rahman al-Dakhil dan diisytiharkan menjadi Amir di Andalus.

Kerajaan Bani Umaiyyah memerintah sendiri dan bebas dari kuasa luar kerana dahulunya kerajaan Islam di Andalus diletakkan di bawah kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik yang mewakilkan kepada gabenornya di Afrika Utara untuk melantik pemimpin atau gabenor di Andalus. Akan tetapi setelah berlaku perubahan itu, maka kerajaan Bani Umaiyyah di Andalus berada di bawah pimpinan seorang Amir yang akan mencari identitinya sendiri.

1.2 Sistem Pentadbiran

Kerajaan Bani Umaiyyah diperintah mengikut sistem autokrasi iaitu pemerintah mempunyai kuasa penuh. Amir ini bertindak sebagai ketua tentera dan kehakiman. Sejak institusi Khalifah ditubuhkan pada tahun 929M, kuasa dan imej pemerintah lebih ditonjolkan.

Di bawah Amir terdapat seorang Perdana Menteri ( Hajib ) sama fungsinya dengan wazir di kawasan di kawasan timur Empayar Islam.

Di bawah Hajib pula terdapat menteri-menteri yang tugasnya mengendalikan kerja-kerja pentadbiran yang berpusat di Istana Cordova. Di bawah menteri terdapat gabenor ( wali ) yang bertugas sebagai pentadbir wilayah ( kura ).

Orang bukan Islam mempunyai kuasa autonomi di mana mereka mempunyai ketua sendiri tetapi mereka terpaksa membayar jizyah ( cukai perlindungan ) dan setelah itu diserahkan kepada kerajaan.

Mereka juga mempunyai mahkamah dan hakim mereka sendiri. Ulama pula menjadi penasihat kepada Khalifah yang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Amir, khususnya dalam bidang agama. Oleh itu sistem pemerintahan Bani Umaiyyah adalah berlandaskan undang-undang Syariah.

1.3 Ketenteraan

Kerajaan Bani Umaiyyah mempunyai barisan tentera yang kuat iaitu sebanyak tiga markas di utara, tengah dan selatan. Al-Hakami ( 796M- 822M ) telah membentuk satu pasukan tentera upahan ( murtaziqah ) yang kuat gabungan tentera Saqalibah ( Slavs ), Frank dan lain-lain ( termasuklah Negro dan Barbar ). Kerajaan ini juga mempunyai tentera sukarelawan yang berperang untuk menegakkan agama Islam. Selain itu terdapat golongan yang ketiga iaitu tentera biasa yang dianggotai oleh semua kaum.

MASALAH YANG DIHADAPI DAN JALAN PENYELESAIANNYA


Sebaik sahaja Muawiyah dilantik manjadi Khalifah pada 41 H/661 M oleh hampir seluruh umat Islam, pelbagai masalah timbul dan terpaksa dihadapi oleh beliau. Di ketika itu perang saudara baru sahaja berakhir iaitu perang Jamal dan perang Siffin. Kesan daripada perang ini, umat Islam telah berpecah kepada beberapa puak. Di antara puak-puak ini, puak Syiah adalah yang paling berbahaya kerana mereka mempunyai penyokong yang ramai di Iraq dan Madinah.

Di samping itu terdapat juga tokoh-tokoh lain yang berpengaruh daripada keturunan Quraisy seperti Abdullah bin al-Zubair dan al-Husain bin Ali. Satu lagi puak yang merbahaya adalah puak Khawarij yang sudah menunjukkan penentangan terhadap Muawiyah dalam perang Siffin.
Matlamat politik yang sangat kompleks dan berbeza-beza merupakan penghalang kepada satu jalan penyelesaian yang menyeluruh. Berdasarkan pengalaman para khalifah yang terdahulu ianya adalah terbukti benar. Sungguhpun begitu, ia bukanlah penghalang untuk Muawiyah menyelesaikan masalah tersebut. Dengan kesabaran dan kepintaran yang dimiliki oleh beliau, segala masalah tersebut dapat diselesaikan.

Muawiyah telah mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dan usaha damai secara meluas bagi mencapai satu kata sepakat menerusi kompromi tanpa menunjukkan kuasanya sebagai pemerintah. Langkah bijak Muawiyah ialah dengan menunjukkan penghormatan terhadap tokoh-tokoh Quraisy dan tokoh-tokoh lain yang sudah berpengaruh dengan mengekalkan atau mengimbangkan kuasa-kuasa mereka yang sedia ada tanpa menunjukkan permusuhan terhadap mereka. Setiap rancangan kerajaan akan dilaksanakan hanya jika terdapat tentangan atau bantahan.

Langkah beliau yang seterusnya adalah dengan menjauhkan diri daripada kumpulan pemberontak Quraisy di bawah pimpinan Abdullah bin al-Zubair. Hasil daripada tindakan ini beliau telah berjaya melaksanakan rancangannya untuk mendamaikan masyarakat dan sekaligus mengukuhkan lagi pemerintahan Bani Umaiyyah. Seterusnya Muawiyah terpaksa memindahkan pusat pemerintahan Islam dari Madinah dan Kufah ke Damsyik. Perpindahan ini dianggap penting kerana terdapat sokongan yang kuat terhadap kerajaan Bani Umaiyyah di Damsyik.

Dengan ini pengawalan terhadap urusan pentadbiran pusat mudah dilakukan. Satu angkatan tentera juga telah ditubuhkan oleh Muawiyah yang dianggotai oleh penduduk Syam yang digelar jund. Mereka inilah yang memainkan peranan penting bagi mengawal keselamatan dan keamanan pemerintahan Bani Umaiyyah daripada sebarang ancaman dari dalam atau luar negara.

3.0 LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL UNTUK SELESAIKAN MASALAH PERKAUMAN.

Selepas zaman kebangkitan dan keunggulan yang dialami oleh Kerajaan Bani Umayyah di Andalusia pada tahun 912M - 976M. Berlakunya pelbagai masalah yang dialami oleh kerajaan Bani Umayyah. Antaranya adalah kerajaan Abbasiyyah yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan Bani Umayyah dan juga masalah perkauman di mana penganut-penganut agama Kristian cuba untuk menyelewengkan akidah orang-orang Islam di Andalusia.

Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil dan Amir-amir selepas beliau, bagi menyelesaikan masalah puak dan perkauman. Antara langkah-langkahnya adalah menubuhkan satu pasukan tentera yang bertaraf profesional. Pasukan tentera ini kebanyakannya terdiri daripada kaum-kaum hamba yang diperoleh dari utara Pyrenees. Dengan cara ini, kedudukan beliau sebagai Amir adalah lebih selamat kerana tenteranya itu bukan dari rakyatnya. Namun begitu, perkara ini juga telah menimbulkan masalah yang serius kepada Amir mereka kelak.

Selain itu, Abdul Rahman al-Dakhil juga cuba untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama menerusi Islam. Ini adalah merupakan langkah jangka panjang yang tidak dapat dilihat kesannya dalam jangka masa yang singkat. Abdul Rahman al-Dakhil juga telah menjalankan dasar pemerintahan yang tegas dan mengambil tindakan serta-merta terhadap sesiapa yang cuba mengugat kestabilan negara. Sebagai contoh yang jelas ialah dalam peristiwa tahun 797M di mana pada zaman Amir al-Hakam I apabila sekumpulan muwalladun yang cuba untuk menentang kerajaan telah dihukum bunuh di Istana Amir di Taledo dan mayat-mayat mereka telah dibuang ke dalam parit. Peristiwa ini dikenali sebagai “Hari Parit”.

Abdul Rahman al-Dakhil juga mendirikan markas-markas tentera yang kuat bagi tujuan mempertahankan negara dari serangan dalam dan luar negeri. Di Saragossa, dibina sebuah sebuah markas tentera bagi menyekat kemaraan tentera Kristian dari arah Pyrenees, terutama dari Perancis. Markas ini telah menjalankan fungsinya dengan berkesan ketika menewaskan tentera Charlemagne pada tahun 778M. Di bahagian tengah, markas tentera Islam berpusat di Taledo. Di bahagian selatan bertempat Merida. Kedua-dua markas tentera ini beroperasi bagi menyekat sebarang ancaman dari dalam dan juga luar negeri.

Mengadakan pembangunan dari segi fizikal dan intelektual serta meninggikan taraf ekonomi negara menerusi projek-projek pertanian dan perdagangan adalah salah satu daripada langkah-langkah yang diambil oleh Abdul Rahman al-Dakhil. Abdul Rahman al-Dakhil misalnya telah mendirikan sebuah masjid besar di Cordova sebagai pusat ibadat dan ilmu pengetahuan agama. Di samping itu, Beliau juga membangunkan kota-kota besar dan mengindahkannya. Abdul Rahman al-Dakhil telah melakukan pelbagai kemudahan bagi kemudahan rakyatnya. Selepas itu, hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan ini kemudiannya diperluaskan oleh anaknya Hisyam, al-Hakam bin Hasyim dan Abdul Rahman II. Hisyam telah mengindahkan lagi Bandar Cordova dengan bangunan-bangunan yang besar, serta taman-taman yang indah. Di samping itu, beliau memperbaiki sistem perparitan dan tali air bagi memajukan pertanian.

Langkah yang seterusnya adalah dengan melantik pemimpin yang berkaliber. Abdul Rahman al-Dakhil telah melantik anaknya Hisyam sebagai penggantinya, walaupun Hisyam bukan anaknya yang paling tua, Hisyam terkenal sebagai pemimpin yang bijak dari segi siyasah dan peperangan. Di samping itu, Hisyam juga terkenal sebagai seorang yang kuat berpegang kepada agama. Pada zaman beliau, penyebaran agama dan ilmu pengetahuan Islam tersebar dengan meluasnya. Beliau turut mengambil berat terhadap orang bukan Islam iaitu kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka ini dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan bebas turut serta dalam pentadbiran negara. Sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Hisyam ini dapat mengurangkan polarisasi kaum yang berbilang agama dan keturunan. Bagi menyatupadukan orang-orang Islam yang berbagai keturunan Hisyam mengamalkan lambang jihad dalam peperangan. Jihad ialah peperangan suci dengan nama Islam, tidak kira bangsa atau keturunan, bagi menentang orang-orang kafir.

Selain itu, Hisyam turut mengadakan beberapa ekspedisi ke bahagian utara Sepanyol. Pertama kali dilakukan pada tahun 793M pada zaman Hisyam bin Abdul Rahman al-Dakhil iaitu ke arah Narbonne. Kali kedua pula adalah pada tahun 841M iaitu pada zaman Abdul Rahman II (822M – 852M). Tujuan ekspedisi ini dilakukan ialah untuk mengukuhkan negara serta mempertahankan kedaulatannya dari diancam pihak musuh dari bahagian utara yang menganut agama Kristian. Walaupun kedua-dua ekspedisi ini dikatakan tidak banyak mencapai kejayaan, tetapi kedudukan pemerintahan Bani Umayyah di Sepanyol pada ketika itu sudah cukup kuat, khususnya selepas kenaikkan Abdul Rahman II pada tahun 822M. Pada waktu ini terdapat kerjasama yang erat antara orang Islam dan Kristian yang hidup di bawah naungan Kerajaan Bani Umayyah. Walaupun masih terdapat pemberontakan kecil yang dilakukan oleh individu tertentu, tetapi ini tidak sedikit pun menjejaskan pentadbiran kerajaan pusat di Cordova. Pemberontakan-pemberontakan itu dapat dipatahkan dengan mudah oleh tentera kerajaan, masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara aman damai ini sudah tentu memudahkan usaha Abdul Rahman II untuk meneruskan projek-projek pembangunan yang dimulakan sejak Abdul Rahman al-Dakhil dulu. Antara projek terbesar yang dilaksanakan oleh Abdul Rahman II ialah projek pembinaan menara-menara lampu di pelabuhan-pelabuhan untuk memudahkan kapal-kapal perdagangan datang berlabuh di pantai-pantai Andalus. Hasil daripada tindakan-tindakan yang progresif lagi adil ini menyebabkan orang-orang bukan Islam turut berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Dalam tempoh ini dan sebelumnya tidak ada satu pun pemberontakan yang bercorak agama terhadap kerajaan.

4.0 ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH DI DAMSYIK
Pada zaman kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah inilah telah berlaku pertukaran kuasa dari keluarga Muawiyyah kepada keluarga Marwan b. Hakam pada 683M(64H). Abdul malik ialah khalifah Bani Umaiyyah yang penting dan dianggap sebagai pengasas kedua Bani Umaiyyah . Pemberontakan dan kekacauan yang berlaku sebelum pemerintahan Abdul Malik hampir-hampir menghancurkan kerajaan Bani Umaiyyah tetapi dengan kebijaksanaan Abdul Malik semua musuhnya dapat dihapuskan dan keadaan politik kembali stabil, selepas itu Abdul Malik diganti oleh anaknya al-walid yang telah mengikut jejak langkah ayahnya bergerak memajukan negara dan mengembangkan jajahan takluk hingga ke negara-negara Asia, Afrika dan Eropah. Kekuasaan negara Islam di bawah Bani Umaiyyah amat cemerlang dalam tempoh pemerintahan khalifah-khalifah al-Walid b. Abdul Malik hingga kepada Umar b. Abdul Aziz. Abdul Malik telah menyusun semula pentadbiran negara .

Sistem pemerintahan Rom dan Parsi yang masih kekal di beberapa wilayah telah dihapuskan dan diganti dengan sistem Arab. Gerakan melaksanakan pembukaan Islam adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan dari ancaman luar negeri . Khalifah al-Walid telah banyak melakukan kebajikan dan pembangunan dengan mendirikan hospital untuk orang-orang buta ,penyakit kusta , penyakit bodoh sejak dilahirkan dan lain-lain. Dari sudut keagamaan beliau telah membangunkan masjid dan sekolah-sekolah tinggi di serata wilayah. Dalam bidang pertanian dan perdagangan , beberapa buah terusan dibina dan pedagang Islam juga telah pun membuat perdagangan hingga ke negeri China. Begitu juga bidang pelajaran dan pendidikan di mana kesusasteraan dan kebudayaan telah mencapai kemajuan dalam zaman al-Walid ini.

5.0 ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH DI SEPANYOL
Zaman kegemilangan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol bermula dari tahun 912M hingga ke tahun 976M iaitu kira-kira 64 tahun dan telah melibatkan dua orang Amir(khalifah) iaitu Abdul Rahman III Al-Nasir(912-961M) dan anaknya, al-Hakam II al-Mustansir(961-976M). Kerajaan Bani Umaiyyah mencapai kegemilangan dalam pelbagai aspek politik , ekonomi , sosial dan intelektual. Semasa pemerintahan Abdul Rahman III keadaan dan suasana negara agak tegang kerana pemberontakan dan penderhakaan berlaku . Tugas utama Abdul Rahman III selepas dilantik ialah mententeramkan keadaan negara bagi menyatupadukan semua masyrakat akibat daripada pemberontakan Ibn Hafsun. Tahun-tahun berikutnya Abdul Rahman mengalihkan pandangannya kepada markas-markas tentera yang mengawal di kawasan yang menjadi rebutan di kawasan sempadan bagi tujuan meletakkan pengawalan sepenuhnya di bawah kerajaan pusat.

5.1 Tentangan Dari Raja Leon
Setelah memerintah dengan gagah selama kira-kira 27 tahun , tiba-tiba pada tahun 939M , Romiro II raja Leon bangun semula menentang Abdul Rahman III . Romiro II di bantu oleh rakannya , Theuda, puteri pemangku raja Navarre telah melancarkan serangan ke atas tentera Abdul Rahman III pimpinan Najdah di Simancas pada 5 Ogos 939M. .Dalam pertempuran itu Najdah terbunuh. Namun begitu , selepas Romiro mati pada 950M telah berlaku perpecahan dikalangan pemimpin-pemimpin Kristian yang menyebabkan mereka lemah dan tidak berdaya lagi untuk menghadapi tentera Abdul Rahman III yang sudah dipulihkan berikutan kegagalan dalam peperangan di Simancas.

Kira-kira selama 27 tahun Abdul Rahman III menghadapi serangan dan peperangan di bumi Sepanyol bagi memulihkan semula kestabilan dan keamanan negara, dan tidak satu pun beliau mengalami kegagalan. Rahsia kejayaan Abdul Rahman III dalam bidang ketenteraan ialah bergantung pada kecekapan dan kelicinannya mengendalikan tenteranya. Dari tahun 961 hingga akhir abad ke-10M kawasan takluk Islam di Sepanyol boleh dikatakan yang terluas yang pernah di capai oleh mana-mana pemimpin Islam di Sepanyol. Pada waktu itu seluruh Semenanjung Iberia terletak di bawah kerajaan Islam Sepanyol , termasuk kawasan barat laut di mana terletaknya kerajaan Kristian Leon.

5.2 Cabaran Dari Kerajaan Fatimiyyah
Setelah setelah musuh-musuh dari dalam dapat ditewaskan , maka lahir pula musuh dari luar yang cuba menggugat kedudukan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol iaitu kerajaan Fatimiyyah. Kerajaan Fatimiyyah diasaskan oleh ‘Ubaidullah al-Mahdi dari keturunan Muhammad b. Ismail b. Ja’far al-Sadiq yang mengamalkan ajaran syi’ah di Tunisia pada tahun 904M. Kewujudan kerajaan Syi’ah di Afrika Utara menjadi ancaman besar kepada krajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol yang mengamalkan ajaran Sunni. Kaum Syi’ah mengisytiharkan bahawa komuniti Islam harus diperintah oleh seorang pemimpin atau iman yang dilantik dari kalangan Imam Syi’ah (keluarga Nabi Muhammad s.a.w) dan pemimpin kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol bukan dari kalangan Imam Syi’ah dan harus disingkirkan.

Di Sepanyol ejen syi’ah telah mempengaruhi puak-puak pemberontak , tidak terkecuali pemimpin-pemimpin kaum pemberontak yang terkenal seperti Ibn Hafsun yang memberi laluan kepada kerajaan Syi’ah di Tunisia untuk berkuasa di Sepanyol. Dengan sebab itu Abdul Rahman III cepat-cepat bertindak untuk memadamkan api pamberontakan yang sebahagiannya mempunyai unsur-unsur ajaran Syi’ah. Dalam pada itu beliau cuba mengapi-apikan pemberontakan terhadap kerajaan Fatimiyyah di Afrika Utara , supaya dengan itu kerajaan Syi’ah terpaksa menyelesaikan masalah mereka sendiri sebelum meluaskan kuasa ke Sepanyol.

Kelahiran kerajaan Fatimiyyah di Afrika Utara telah membawa perubahan kepada pemerintahan Bani Umaiyyah iaitu ke atas diri Abdul Rahman sendiri. Buat pertama kalinya beliau mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah atau Amir al-Mu’minin setelah memerintah dengan nama Amir selama kira-kira 17 tahun iaitu pada 317H(929M). Beliau adalah pemimpin pertama Islam di Andalus yang memakai gelaran ‘ khalifah’. Antara sebab-sebab penting ialah untuk mengikut jejak langkah pemimpin kerajaan Fatimiyyah yang menggelarkan diri mereka khalifah.. Sebab kedua ialah status dan dan kedudukan beliau akan menjadi lebih tinggi dan lebih dihormati . Untuk memperkukuhkan kedudukannya sama ada dari segi kebendaan dan kerohanian dengan mewujudkan gelaran baru sebagai tambahan kepada gelaran khalifah iaitu ‘al-Nasr li dinillah’ (pembela agama Allah). Ia diwujudkan bagi melengkapkan kuasa khalifah dalam bentuk duniawi dan ukhrawi. Ia juga bertujuan untuk menyekat pengaruh kerajaan Fatimiyyah yang mendakwa sebagai pemimpin masyarakat Islam di seluruh dunia. Beliau mahu kerajaan Fatimiyyah mengikhtiraf beliau sebagai khalifah kerajaan Islam di Sepanyol. Keadaan ini dirasakan beliau setelah beliau mencapai kejayaan besar di sana.

Abdul Rahman III adalah orang yang yang bertanggungjawab memulih serta memakmurkan bumi Islam di Sepanyol serta menjadi pembela maruah keturunan Bani Umaiyyah dan boleh dianggap sebagai pengasas kedua kerajaan Bani Umaiyyah Sepanyol selepas pengasas pertamanya iaitu Abdul Rahman al-Dakhil. Beliau meninggal dunia pada 16 Oktober 961 ketika berumur 71 tahun. Beliau meniggalkan jasa dan bakti yamg begitu besar terhadap pembangunan agama, masyarakat dan negara di Sepanyol.

Selepas kematian Abdul Rahman III, beliau digantikan oleh anaknya al-Hakam II al-Mustansirbillah. Beliau memerintah selama lebih kurang 15 tahun (961-976M). Beliau adalah seorang yang pemimpin yang sederhana kerana keadaan masyarakat dan negara sudah makmur dan stabil serta membangun dengan pesat membolehkan beliau malaksanakan tugasnya dengan mudah. Oleh itu beliau banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan. Tiada perubahan dalam dasar pemerintahan. Malah kedudukan pentadbiran awam dan ketenteraan juga kukuh. Beliau yang sangat berminat membaca dan menyelidik banyak mengumpulkan buku atau kitab sama ada dari Sepanyol atau luar Sepanyol dan dikumpulkan di perpustakaan di Cardova. Oleh kerana itu ramai yang datang mengunjungi Cardova termasuk para ulama’ bagi mendalami ilmu pengetahuan.

Al-hakam II meniggal dunia pada 22 Safar 366 (1 Oktober 976M) setelah memerintah selama kira-kira 15 tahun. Selepas itu keadaan pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol terus maju dan makmur sehingga berlaku perubahan mengejut selepas tahun 1000M di mana kerajaan Bani Umaiyyah mengalami kelemahan dan kejatuhan.

6.0 SUMBANGAN KERAJAAN BANI UMAIYAH
Selepas mengukuhkan kedudukannya di Andalusia, kerajaan Bani Umaiyyah telah berjaya memperlihatkan sumbangan peradabannya sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial dan lain–lain lagi. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuan atau sarjana dan sumbangan yang diberikan mereka secara tidak langsung ia mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Sebagai contoh Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd; masing–masing telah memperlihatkan zaman kegemilangan mereka walaupun selepas kerajaan Bani Umaiyyah, namun nama–nama ini telah menjadi suatu yang sinonim kepada para sarjana barat yang mengagung–agungkan ilmu yang mereka miliki.

Pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah, sistem ekonomi yang membangun dan sistematik telah pun diperkenalkan untuk memudahkan lagi rutin harian penduduk di kawasan itu. Selain itu, sistem ekonomi yang diwujudkan adalah lebih kepada kemudahan tanaman untuk diperdagangkan di negara–negara asing. Selain mendatangkan keuntungan ia juga telah menyebabkan berlakunya pengkhususan kerja bagi para penduduk setempat. Ini menyumbangkan peluang pekerjaan yang banyak dan secara tidak langsung kitaran ekonomi akan sentiasa berjalan dengan lancar, seimbang dan stabil. Hubungan dagangan dengan negara luar juga dipertingkatkan agar dapat mewujudkan satu lingkaran persahabatan antara negara lain. Ini amat penting kerana tanpa usahasama daripada pelbagai pihak maka kestabilan dalam bidang ekonomi tidak akan tercapai.

Antara kegiatan ekonomi yang termasyhur sekali ialah kegiatan dari segi pertanian iaitu kerajaan Bani Umaiyyah telah memperkenalkan sistem pengairan yang teratur dan sistematik. Dengan kewujudan sistem ini maka, ia telah menyebabkan hasil tahunan pertanian semakin bertambah dari setahun ke setahun. Pada masa itu, kualiti hasil yang dikeluarkan amat bermutu tinggi dan turut menghasilkan sayur–sayuran yang segar. Dengan ini secara tidak langsung hasil dalam negara akan lebih banyak dan ianya dapatlah digunakan untuk tujuan yang sama iaitu mengemaskinikan sistem ekonomi yang sedia ada. Antara jenis tanaman yang terkenal pada ketika itu ialah limau, tebu, padi dan kapas. Lazimnya benih–benih tanaman ini dibawa masuk dari negara–negara jiran.

Kerajaan Bani Umaiyyah merupakan kawasan yang paling maju dan membangun dari sektor pertaniannya. Selain itu, kerajaan ini juga turut kaya dengan hasil logamnya. Apabila sektor ini dimajukan dengan jayanya maka ia juga turut menyumbang kepada kemasukkan modal kepada negara itu sendiri. Dengan sistem yang terkini dan maju maka kerajaan Bani Umaiyyah dapat bersaing dengan negara lain dengan mudahnya. Maka dengan adanya sistem yang teratur boleh dikatakan negara Islam adalah pemangkin ke arah kemajuan berikutan dengan beberapa penemuan dari segi ekonomi itu sendiri. Kemajuan ini menandakan bahawa kerajaan Islam pada ketika itu sudah mampu untuk membangun dan berjaya seperti negara–negara yang wujud ketika itu.

6.1 Kebudayaan Dan Intelektual
Sesunggguhnya Kerajaan Bani Umaiyyah amat terkenal dengan pengembangan pengaruh kebudayaan dan turut menjadi tumpuan para intelektual serta telah melahirkan para cerdik pandai yang cukup disegani hingga ke hari ini. Bidang kebudayaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu intelektual, sastera dan seni yang pada masa yang sama telah pun berkembang maju mengikut aliran masing–masing. Berikutan daripada itu kesannya dapat kita lihat hingga ke hari ini dan telah menjadi ikutan para sarjana barat hasil daripada kajian yang mereka buat ke atas buku–buku yang di keluarkan oleh para intelektual Islam. Malah mereka turut mengakui bahawa hasil karya mereka bermutu tinggi hasil dari kajian para sarjana Islam ke atas Al–Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya untuk dikaji dan dinilai isinya .
Jika di kaji dari segi intelektual, bidang yang maju berkembang ialah bidang syariah di mana hukum–hukum agama islam adalah bersandarkan kepada Al–Quran dan Hadith. Ia juga adalah berdasarkan kepada Qiyas dan Ijma’ ulama yang pada ketika itu terdapat pelbagai aliran atau mazhab yang popular di dalam Islam iaitu Mazhab Sunni, Syiah , Khawarij’, Mu’tazilah, Zahari dan Awza’I tetapi mazhab yang selalunya diikuti ialah dari Mazhab Sunni dan Awza’I.

Antara tokoh–tokoh ulama Mazhab Sunni ialah Isa bin Dinor dan Yahya bin Yahya al–Laith; dan selepas itu muncul pula Al–‘utbi. Pada ketika itu, juga ada yang mengikut mazhab iaitu sebagai contoh tokoh Ibnu Hazm mengikut aliran Syafi’ dan Al–Jazis menganut aliran Muta’zilah. Namun bilangan mereka hanyalah sedikit sahaja dan kumpulan ini dan telah pun menjadi penasihat kerajaan dan mahkamah. Aktiviti mereka dianggap penting dalam bidang intelektual dan keagamaan pada zaman Bani Umaiyyah yang kebanyakkanya membuat kajian Islam mengenai Fikah Mazhab Maliki. Ilmu–ilmu agama lain seperti hadis, tafsir dan ilmu kalam turut diperkembangkan dan diajar. Kajian dalam bidang duniawi juga tidak ketinggalan di mana para ilmuan telah pun mengkaji ilmu falsafah, perubatan, astronomi dan matematik iaitu pada zaman Al–Hakam II.

Bidang sejarah dan biografi masih lagi di tempat setempat. Tokoh yang pertama mengaku bahawa beliau adalah seorang ahli Sejarah ialah Ahmad al-Razi. Karya beliau adalah berkisarkan kepada dokumen– dokumen Sepanyol yang berjudul “cronica demoro Rusis”. Sebuah buku para kadi (hakim) di Cordova berjudul “History of the Judges of Cordova” iaitu terjemahan dari bahasa Sepanyol oleh Al-Khuzani . Dalam kesusasteraan pula, Bani Umaiyyah telah banyak melahirkan ramai para saterawan dan penyair. Pelbagai bentuk sajak dan syair dapat diilhamkan terutamanya penyair dari kawasan Timur iaitu Abu Nawas, Abu Al–Atahiyah dan lain–lain lagi. Antara penyair yang terbilang ialah Ibnu Abd al–Rabbih dengan karyanya yang berjudul “Al–iqd al- Farid” (Rantai yang Tiada Taranya ). Beliau dilahirkan di kalangan golongan bukan Arab (Mawla). Manakala puisi Ibnu Hani banyak berkisar kepada politik yang memihak pada kerajaan Fatimmiyah serta menghasilkan sebuah antologi (diwan). Pada zaman akhir pemerintahan Bani Umaiyyah bidang syair telah berkembang dengan lebih pesat lagi. Antara tokoh yang terkenal hingga ke hari ini ialah Ibnu Sina atau Avincenna (Panggilan Barat) yang telah berjaya memaparkan sejarah cendiakawan pada zaman pertengahan. Penghormatan yang diberikan kepadanya amat tinggi kerana telah berjaya mewujudkan sistem sains yang telah bertahan selama beberapa kurun.
Pengaruh Plato dan Aristotle telah banyak mempengaruhi Ibnu Sina dalam banyak perkara dan beliau turut telah membetulkan Aristotle dengan membuat peraturan. Contoh hasil karyanya ialah kitab al-Shifa (kaedah penyembuhan penyakit). Falsafah Islam telah mencapai kepada kemuncaknya dalam zaman Ibnu Rusyd, Ibnu Bajjah dan lain–lain lagi dan pada ketika itu Abd. Rahman telah pun mengambil tampuk pimpinan malah beliau adalah seorang penyair. Kisah–kisah yang berunsurkan binatang dan tauladan telah mula menular dikebanyakan kawasan Eropah dan melahirkan kisah seperti Renard , Bocaccacio dan Chauser .

6.2 Kesenian
Pada zaman perkembangan kesenian Islam di Sepanyol sejak pembukaannya, ianya bolehlah dianggap sebagi tahap pembinaan tamadun Islam di Sepanyol. Dalam jangka masa itu terbinalah masjid besar di Cordova yang mula dibina oleh Abd al– Rahman Al–Dakhil, yang diperluas dan diperindahkan oleh Abd. Al–Rahman II, al Hakam dan al Mansur. Ianya dibina sebegitu rupa sehingga dikagumi seluruh dunia. Kehalusan seni binanya amat menakjubkan sehingga pernah disifatkan sebagai “keajaiban seni bina dunia”. Kos pembinaan adalah sebanyak 80,000 dinar yang berukuran 360 kali 270 kaki. Mimbarnya diperbuat daripada gading dan kayu yang berharga seerta dilekatkan dengan paku–paku emas. Disamping itu juga, ia mempunyai 1000 buah lampu yang di tengah–tengahnya mempunyai air pancut. Selain itu, terdapat juga benteng–benteng pertahanan yang dibina pada zaman Bani Umaiyyah yang menarik seninya, begitu juga dengan alat perhiasan rumah yang diperbuat dari emas, perak, gading kristal dan marmar yang ditemui di Cordova.

6.3 Pendidikan
Islam memandang tinggi terhadap ilmu pemgetahuan sebagai suatu yang amat penting. Hal ini dibuktikan kepada ajaran–ajaran Islam yang berlandaskan kepada Al–Quran dan Sunnah. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu agar mudah mentadbir alam. Maka, bagi Kerajaan Bani Umaiyyah ilmu pengetahuan merupakan bidang yang terpenting walaupun tiada sistem pendidikan yang percuma namun amatlah digalakkan oleh Kerajaan Bani Umaiyyah. Salah satu komitmen Bani Umaiyyah terhadap penduduknya ialah dengan mendirikan masjid–masjid sebagai tempat menimba ilmu. Penyebaran Islam juga digalakkan yang pada ketika itu ditadbir oleh Abd. Al-Rahman al dakhil. Sistem pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan Bani Umaiyyah terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap rendah yang diajar membaca Al–Quran dan tatabahasa Arab yang di tempatkan di masjid–masjid. Murid–murid juga diajar menggunakan pena dakwat malah guru–guru tidak dibayar gaji tetapi menerima elaun daripada murid–muridnya. Peringkat menengah pula diajar secara persendirian dan tiada sukatan pelajaran yang tertentu. Mereka diajar ilmu Matematik, astronomi dan lain–lain. Mereka yang layak akan diberi diploma atau ijazah manakala di peringkat yang lebih tinggi pula diwujudka secara informal yang dikendalikan oleh Profesor dan berpusat di Cordova serta Toledo, di mana ia merupakan pusat menuntut ilmu terutamanya di kalangan masyarakat barat dan Eropah. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan dan ini termasuklah buku–buku, alat tulis dan lain–lain lagi. Berhampiran dengan Cordova terletaknya sebuah kilang kertas dan ada yang diimport dari negara China.

Namun wujud juga pesaing-pesaing kepada kerajaan Abasiyyah seperti kerajaan Kristian di barat yang telah menyebabkan pendidikan bertambah pesat di Andalusia.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

top [url=http://www.c-online-casino.co.uk/]c-online-casino.co.uk[/url] brake the latest [url=http://www.realcazinoz.com/]casino online[/url] free no set aside perk at the foremost [url=http://www.baywatchcasino.com/]unshackle casino games
[/url].

Tanpa Nama berkata...

top [url=http://www.001casino.com/]casino games[/url] check the latest [url=http://www.realcazinoz.com/]online casinos[/url] manumitted no deposit hand-out at the leading [url=http://www.baywatchcasino.com/]casino online
[/url].

Tanpa Nama berkata...

I like looking through a post that can make men and women think.
Also, thanks for permitting me to comment!

Review my blog - Altgold verkaufen

Tanpa Nama berkata...

It really releates to a notion And any thought of whomever facing everyone. Selfconfidence and also the interests that will support it put across you are aware of your work. And when there's more you may be executing, they might belief [url=http://www.paulsmithsunny.com/]ポールスミス 財布[/url] ポールスミス 人気,ポールスミス 送料無料 http://www.paulsmithsunny.com/ you to definitely offer every thing you declare to do.
The people at Hard Rock International couldn't have picked a better day for a party in Orlando. The temperature was comfortable and the sky was clear and blue, perfect weather for an outdoor event. [url=http://www.paulsmithland.com/]ポールスミス 財布[/url] ポールスミス バッグ http://www.paulsmithland.com/ There were food trucks, beer tents, Hard Rock's 40th Anniversary Memorabilia Tour Bus, and [url=http://www.paulsmithcity.com/]ポールスミス 長財布[/url] Paul Smith http://www.paulsmithcity.com/ a great lineup of live music, many bands from the Orlando area.


Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.