ENJIN CARIAN BAHAN

Memuatkan ...

Sabtu, 6 September 2008

FOKUS STPM 2008 : PEMBAHARUAN KHALIFAH UMAR - TEMA 2 (TAMADUN ISLAM)

Bincangkan pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya.

Pendahuluan ( 3 markah)

Umar al-Khattab dilahirkan pada 583 M, merupakan seorang yang tegas, berani dan berterus terang dan terdidik dalam keluarga yang terkenal. Berasal daripada bani Adi dan merupakan seorang yang berketurunan bangsawan Quraisy. Dilantik menjadi khalifah pada 13 Ogos 634 M(13 hijrah) berikutan kemangkatan Khalifah Abu Bakar al- Siddiq dan dibuat oleh Saidina Abu Bakar melalui wasiat ketika beliau sakit dan dipersetujui oleh para sahabat dan orang ramai.

Isi Jawapan (5 x 4 markah = 20 markah)

1 Majlis al-Syura

Pembentukan satu majlis mesyuarat atau perundingan yang dinamakan sebagai majlis al-Syura. Beliau sebagai ketua pemerintahan dan ketua negara telah dibantu secara rasmi oleh ahli Majlis Syura yang dianggotai oleh beberapa orang sahabat yang mewakili seluruh rakyat. Majlis ini berfungsi sebagai kabinet negara. Ahli majlis terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar iaitu Uthman b. Affan, Zaid b. Thabit, Ali b. Abu Talib, Abdul Rahman b. Auf, Saab b. Abi Waqqas dan Muaz b. Jabal Majlis Syura terbahagi kepada dua majlis iaitu majlis tertinggi dan majlis harian. Segala masalah penting berhubung dengan negara diselesaikan oleh majlis syura ini yang mana khalifah tidak mempunyai hak istimewa dalam menentukan atau membuat keputusan tertentu tanpa mesyuarat majlis. Majlis juga berkewajipan untuk meneliti semua masalah umat Islam dan negara yang diterangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

2 Pembahagian wilayah

Mewujudkan pembahagian wilayah bagi melicinkan pentadbiran negara. Wilayah-wilayah pentadbiran dibahagikan kepada beberapa wilayah (antara 6 hingga 8 wilayah) seperti Madinah, Makkah, jazirah Mesir, Iraq, Wilayah Selatan dan Wilayah Timur. Setiap wilayah ditadbir oleh seorang Gabenor atau wali atau seorang Ketua Setiausaha dan mereka dibantu oleh para pegawai tertentu mengikut jabatan masing-masing. Pegawai-pegawai awam yang lain ialah Ketua Setiausaha Tentera, pegawai pemungut cukai dan hakim wilayah. Di setiap wilayah terdapat pegawai-pegawai tertinggi angkatan tentera.

3. Pelantikan pegawai secara bersurat.

Dibuat secara bersurat dengan melampirkan senarai tugas dan bidang kuasa mereka. Antara pegawai terkenal dalam pentadbiran belaiu ialah Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-As, Mughirah b. Syukbah dan Zaid b. Sumaiyah. Setiap pegawai yang dilantik dan berkhidmat untuk negara akan diberi gaji tetap. Terdapat sebilangan pegawai yang tidak mahu menerima gaji kerana sifat takwa mereka. Setiap pegawai juga tidak dibenarkan menunggang atau menaiki kuda Turki iaitu kuda yang cantik, memakai pakaian halus, tidak memakai tepung yang diayak dan tidak menggunakan penjaga rumah pintu kediaman. Ketika dilantik harta mereka turut direkodkan dan jika terdapat sebarang tambahan harta dan diragui pemilikannya maka mereka akan disiasat. Semua pegawai dikehendaki datang ke Makkah pada musim haji untuk mendengar taklimat daripada Khalifah Umar serta mengkaji semula keputusan yang telah dibuat dan mendengar aduan daripada orang ramai.

4. Penubuhan Jabatan baru

Penubuhan jabatan baru yang mana setiap wilayah mempunyai jabatan penting seperti Jabatan Setiausaha Tentera, Jabatan Percukaian, Jabatan Polis, Jabatan perbendaharan Negara dan Jabatan Kadi. Jabatan penyiasatan jenayah ditubuhkan bagi mengawal anggota pentadbiran awam dan tentera yang melakukan penyelewengan. Sehubungan dengan itu beberapa jawatan penting telah diwujudkan bagi mengetuai jabatan-jabatan tersebut. Setiap jabatan diketuai oleh Setiausaha atau khatib dan dibayar gaji bulanan. Jabatan kehakiman dipisahkan daripada jabatan lain bagi mengelakkan penyelewengan dan kadi-kadi tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan. Hakim akan menerima 500 dirham sebulan.

5. Sistem ketenteraan

Khalifah Umar telah menyusun semula sistem ketenteraan dengan membentuk tentera tetap dan tentera sukarela. Tentera tetap telah dibayar gaji dan diberikan pakaian seragam dan gaji tentera dibayar setelah penubuhan Jabatan Tentera pada tahun 20 Hijrah dengan pelbagai skim gaji berdasarkan status yang digariskan oleh Jabatan Tentera tersebut. Markas tentera pula telah dibina disempadan yang menghadap kawasan musuh seperti di Madinah, Kufah. Fustat dan Basrah. Tujuannya ialah untuk mempertahankan wilayah-wilayah yang ditakluki serta meneruskan penyebaran agama Islam dikalangan penduduk tempatan

6. Pembaharuan Pembangunan Ekonomi

Untuk meningkatkan ekonomi, beliau telah membina terusan dan tali air bagi menambahkan lagi hasil pertanian seperti pembinaan Empangan Abu Musa di basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 km di mesir. Rakyat juga digalakkan meneroka tanah baru untuk membian pertanian disamping mengusahakan tanah-tanah terbiar. Sebuah Jabatan Khas telah ditubuhkan bagi mengawal segala peraturan berkaitan dengan pembahagian dan pemilikan tanah. Tanah yang yang dikuasai oleh tentera Islam dibahagikan kepada dua kategori iaitu tanah bertuan dan tanah tidak bertuan. Tanah bertuan ditadbir oleh golongan pemegang amanah yang kebiasaannya terdiri daripada golongan al-Ayyam iaitu golongan peneroka yang biasanya berasal dari Iraq. Tanah tidak bertuan pula tidak boleh dibeli atau dimiliki oleh sesiapa pun dan ianya bertujuan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dikalangan umat Islam. Tentera dilarang sama sekali memiliki tanah dikawasan yang ditakluki bagi mengelakkan penyelewengan kuasa dan perpecahan sesama mereka.

7. Kalendar Hijrah

Khalifah Umar adalah orang bertanggungjawab menentukan tahun Hijrah dalam Kalendar Islam. Takwim atau kelendar ini dimulakan pada tahun 17 Hijrah bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran negara terutamanya dalam bidang Pendidikan yang banyak membabitkan penggunaan tarikh .

Kesimpulan ( 2 markah)

Kebolehan Khalifah Umar dalam bidang pentadbiran memang diakui umum. Pencapaiannya boleh dikatakan sebagai telah sampai ke tahap maksimum. Berdasarkan kejayaan dan sumbangannya yang besar inilah maka beliau telah diberi gelaran Amir al- Mukminin atau panglima agung Mukmin pada tahun ke-19 Hijrah.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.