ENJIN CARIAN BAHAN

Memuatkan ...

Khamis, 28 Ogos 2008

FOKUS STPM 2008 - SUMBANGAN AHLI FALSAFAH -TEMA 6 (TAMADUN DUNIA)

Senaraikan sumbangan ahli falsafah Yunani dan China kepada peradaban dunia.

Pendahuluan

- Usaha untuk meningkatkan keilmuan manusia telah diteruskan oleh para cerdik pandai sejak zaman silam lagi. Satu daripada aspek ilmu ialah dalam bidang falsafah.

- Menambah pengetahuan dan kepandaian dalam pelbagai perkara dan aspek kehidupan merupakan suatu proses yang diberi keutamaan oleh sarjana-sarjana Yunani dan China.

- Kemunculan ilmu falsafah di Yunani adalah berkait rapat dengan sistem politik negara kota Athens yang mengamalkan sistem demokrasi yang banyak memberi kebebasan kepada golongan intelek sehingga lahirnya ramai ahli falsafah yang berpendapat bahawa pemimpin politik dan sosial mesti terdiri daripada golongan ahli falsafah.

- Manakala perkembangan falsafah Tamadun China pula, wujud beberapa pemikir falsafah yang menekankan hal ehwal manusia dan hubungan manusia dalam masyarakat.

- Antara ahli-ahli falsafah yang terkenal dalam Tamadun Yunani ialah Socrates, Plato dan Aristotle manakala aliran pemikiran utama China ialah Confucianisme, Taoisme dan Legalisme.

Isi Jawapan

A). Sumbangan Ahli Falsafah Yunani

1. Socrates

- Beliau dianggap sebagai bapa falsafah dan demokrasi Yunani.

- Socrates menggunakan kaedah bertanya untuk mencari jawapan, pengetahuan dan kebenaran. Segala perkara yang berlaku dalam alam ini harus dibuktikan. Kaedah ini menggalakkan orang ramai menggunakan akal.

- Persoalan yang dibangkitkan oleh Socrates menyentuh kehidupan manusia dan menanamkan nilai individualisme di jiwa rakyat Athens.

- Beliau mengajar manusia berkelakuan dan berakhlak baik serta berfikir dengan bijak.

- Beliau dihukum mati kerana dituduh menafikan dewa dewi dan merosakkan pemikiran golongan muda yang menggunakan kaedahnya iaitu menyampaikan pengetahuan melalui cara menyoal untuk mendapatkan kebenaran.

2. Plato

- Plato adalah anak murid Socrates.

- Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah yang bernama Akademi di Athens di mana sekolah itu telah melahirkan ramai ahli falsafah.

- Menurut beliau, sesuatu kerajaan dan juga kehidupan manusia haruslah berpandukan kepada prinsip-prinsip kebaikan, kemuliaan, keadilan dan kasih sayang. Beliau juga menegaskaan bahawa hak yang sama harus diberikan kepada golongan wanita.

- Plato dalam bukunya ‘ Republik ’ menerangkan tentang struktur kerajaan yang paling baik kepada rakyat dan menekankan bahawa kerajaan yang ideal adalah kerajaan yang dipimpin oleh ahli falsafah.

- Selain itu, pemerintah harus memberi pendidikan kepada setiap warganegara supaya manusia boleh mempunyai hidup yang baik, sempurna, berbudi dan berdisiplin.

3. Aristotle

- Aristotle adalah pengikut Plato yang terkenal dan dikenali sebagai bapa logik.

- Menurutnya, ilmu pengetahuan dan penyelesaian masalah haruslah diperolehi melalui proses pemerhatian, pengumpulan, penyusunan fakta serta fikiran yang yang teratur, tepat atau berdasarkan hubungan sebab dan akibat.

- Beliau merupakan orang yang pertama memperkenalkan kaedah saintifik dalam mencari kebenaran.

- Idea dan falsafah Aristotle terkandung dalam bukunya yang berjudul ‘ Ethics ’ dan ‘ Politic ’ .

- Dalam bukunya Politic, Aristotle menyarankan supaya manusia harus mengamalkan sifat sederhana dalam kehidupan.

- Menurut Aristotle, kerajaan bercorak demokrasi adalah sistem yang zalim dan menindas kerana mengabaikan perbezaan antara manusia. Bagi beliau, kerajaan yang baik adalah politi di mana pemerintahannya dijalankan oleh orang ramai yang meliputi ciri-ciri terbaik pemerintahan monarki dan oligarki.

- Beliau menubuhkan sebuah sekolah bernama Lyceum untuk mengembangkan falsafah dan kajian sainsnya.

B). Sumbangan Ahli Falsafah China

1. Mencius

- Falsafah tamadun awal China dipengaruhi oleh perubahan musim. Menurut Mencius, seorang ahli falsafah China, semua benda di dunia termasuk ilmu terbahagi kepada dua kategori umum iaitu Yin dan Yang.

- Yin dan Yang melambangkan keharmonian dan saling bertindak di antara unsur-unsur yang bertentangan seperti kegelapan dan kecerahan, kelembapan dan kepanasan, langit dan bumi serta lelaki dan perempuan. Kesinambungan di antara kedua-dua unsur ini telah mempengaruhi kehidupan masyarakat China.

2. Confucianisme

- Falsafah China juga tertumpu kepada manusia dan hubungannya dengan orang lain dan di dalam masyarakat. Ahli-ahli falsafah China seperti Confucius juga berusaha untuk memperkukuhkan semula feudalisme di China untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian. Ia tidak menekankan manusia sebagai individu yang bebas.

- Confucianisme yang berasaskan kepada ajaran Confucius, wujud pada zaman Dinasti Chou yang mengalami keruntuhan akhlak akibat keruntuhan sistem feudal dan peperangan. Menurut Confucius, manusia tidak hidup berseorangan atau terasing daripada masyarakat. Oleh itu, manusia diajar bagaimana mereka harus bertindak dalam masyarakat mengikut suatu upacara adat istiadat.

- Ajaran Confucius memberikan penekanan tentang harga diri dan kemanusiaan. Penekanan diberikan kepada prinsip amanah, rajin, bersifat mulia, berbudi bahasa dan bermurah hati. Kerajaan yang aman dan makmur dapat diwujudkan sekiranya pemerintah menunjukkan budi pekerti yang baik untuk dicontohi oleh rakyat.

- Pedoman untuk hubungan dalam masyarakat dibahagikan kepada lima bentuk iaitu hubungan pemerintah dengan rakyat, ibubapa dengan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan. Sekiranya wujud hubungan hormat-menghormati, kesopanan, kesusilaan dan bertanggungjawab, maka akan wujud keamanan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

- Ajaran-ajaran Confucius boleh diperolehi daripada dua buku iaitu Klasik Confucius dan Analekta.

3. Taoisme

- Taoisme berasaskan kepada ajaran Lao Tze dan Chuang Tzu. Ajaran falsafah mereka terkandung dalam dua buah buku mereka iaitu Tao Te Ching dan Chuang Tzu. Ajaran ini ialah reaksi terhadap ajaran Confucius yang menekankan kepatuhan kepada peraturan sosial.

- Ajaran Tao ini menekankan keharmonian manusia dengan alam semesta. Tao adalah suatu cara atau jalan untuk mencapai keharmonian itu. Menurut ajaran Tao, manusia tidak harus mementingkan keduniaan dan mencari kebahagiaan dengan mengasingkan diri daripada peraturan duniawi. Manusia harus hidup sederhana serta melakukan meditasi dan hidup berharmoni dengan peraturan alam semesta.

- Taoisme menegaskan bahawa kerajaan yang paling berkesan adalah kerajaan yang paling sedikit memerintah dengan undang-undang dan peraturan yang sedikit serta mudah difahami oleh rakyat. Penekanan kepada alam telah menggalakkan pengikut Taoisme menerokai sains dan teknologi. Pengaruh Taoisme juga terdapat dalam bidang kesusasteraan dan kesenian masyarakat China.

4. Legalisme

- Legalisme merupakan satu lagi falsafah yang penting di China. Ia mengajukan kepentingan penekanan undang-undang untuk mewujudkan kecekapan dalam kerajaan dan ketertiban dalam masyarakat.

- Pemikir unggul Legalis adalah Han Fei yang menulis Han-fei-tzu yang merupakan falsafah legalis yang komprehensif. Pengikut Legalisme tidak percaya tentang kasih sayang dan belas kasihan. Kuasa harus dikekalkan dan dipelihara dalam apa jua keadaan.

- Menurut Han Fei, nilai-nilai yang dicadangkan oleh Confucius adalah hipokratik dan hanya digunakan untuk kepentingan sendiri.

- Falsafah ini digunakan oleh Maharaja Shih Huang Ti untuk memerintah dan mengekalkan kuasanya setelah beliau berjaya menyatukan Negeri China.

Kesimpulan ( 2 markah )

- Pelbagai jenis falsafah yang muncul di Yunani dan Negeri China muncul akibat keadaan politik dan sosial yang wujud pada zaman itu yang memerlukan pendapat dan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah pada zaman itu. Sumbangan ahli-ahli falsafah di Yunani dan China juga adalah relevan untuk kehidupan pada masa kini.

- Apa sahaja kesimpulan yang sesuai.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

PENYOKONG BLOG SEJARAH

PENAFIAN :

Penulis blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada mana-mana bahagian dalam laman blog ini. Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster dan/atau Lain-Lain Penulis.